Thursday, July 25, 2013

Zero Hero SE - Bab 6 (Pt 3)




Zero Hero SE
Bab 6 (Part 3)
Airbus A380, Ferrari dan Buggati Veyron milikku, PSY!



Jam sudah menunjukkan hampir pukul tujuh setengah malam. Aku cepat-cepat membungkus burger yang dipesan oleh pelanggan dan memberikannya kepada beliau. Terdapat dua pasangan lagi sedang menunggu. Dari cara mereka berpakaian, tentu kedua pasangan itu mahu makan terlebih dahulu sebelum pergi clubbing. Namun begitu, mereka perlu menungguku dengan agak lama kerana ada urusan lain yang lebih penting.

“Tunggu sekejap, ya? Saya mahu pergi sembahyang dulu.” maklumku. Salah seorang daripada mereka mencebik.

“Kalau ini macam saya mahu makan tempat lainlah! You tak pandai jaga hati customer.” omelnya. Berubah air mukaku mendengarkan kata-kata tersebut. Namun aku masih berupaya untuk mengawal emosi. Malah aku dapat memikirkan hujah terbaik untuk membalas kata-katanya tadi.

“Duit manusia boleh kasi. You tak mau kasi, orang lain boleh kasi. Tapi nyawa saya Tuhan saja yang boleh kasi. Jadi hati Tuhan lebih penting dari jaga dari hati you.” balasku memulangkan paku buah keras. Pergi mampuslah dengan duit kamu! Kata-kata isteriku bahawa kalau Allah nak beri rezeki tiada siapa yang boleh menghalang dan kalau Allah nak menghalang, tiada siapa boleh memberi terlekat begitu kuat di sanubari. Setelah memberikan baki duit kepada pelanggan terakhir tadi, aku terus meninggalkan kedua pasangan tersebut untuk menunaikan tanggungjawabku terhadap Yang Maha Esa.

Ei! You datang balik pukul berapa?” teriak salah seorang daripada mereka yang membuatkan aku kembali berpaling ke belakang.

“Surau dekat situ saja. You bagi saya sepuluh minit, boleh?” tanyaku kembali. Keempat-empat orang pelangganku itu senada mengangguk setuju. Pun begitu, aku tidak pasti sama ada mereka mahu menungguku setelah diperli sedemikian rupa.


**************************

Lebih kurang lapan minit kemudian, aku tergopoh-gapah berlari kembali ke geraiku. Ternyata Allah menganugerahkan limpahan rahmatNya kepadaku sebagai balasan mendahuluiNya daripada hal dunia. Bukan sahaja kedua-dua pasangan tadi masih berada di situ, malah ada lagi enam pelanggan baharu turut menungguku dengan senyuman. Aku sempat membalas senyuman mereka sebelum memakai apron dan mula memanaskan kuali. Pak Cik Tow yang telah siap mengambil pesanan mereka segera memberikan slip catatan pesanan kepadaku. Berdetang-detang bunyi irama sudip dan kuali seolah-olah meraikan kegembiraan yang berbunga di hatiku.

“Alif! Ini Lengchai dan ini lengloi mau makan sini, tau ka? Yang lain-lain mau take away, ah?” maklum Pak Cik Tow dengan suara yang hampir berteriak. Aku tersenyum dan kembali melihat catatan pesanannya. Mak oi, aku kena siapkan hampir dua puluh biji burger. Patutlah Pak Cik Tow begitu teruja sekali nampaknya. Alhamdulillah, aku bersyukur kepadamu, ya Allah.


**************************

“Nah, uncle Tow. Saya sudah tolak semua kos dapat untung bersih enam puluh ringgit. Jadi saya bayar sewa ikut sepuluh percent sehari macam yang kita dah janji.” maklumku seraya mengunjukkan not sepuluh kepada Pak cik Tow. Jam dindingnya yang agak usang sudahpun menunjukkan pukul sebelas malam. Kami berdua duduk melepak di luar kedai makan sementara para pekerja Pak cik Tow sedang berkemas-kemas untuk pulang.

“Kita sudah janji sepuluh percent, ma. You patut bayar saya enam saja.” tikai Pak cik Tow seraya cuba menyeluk poket untuk mengeluarkan dompet. Namun aku segera menahannya.

“Kira cincailah. Esok uncle belanja saya minum air cincau.” ujarku. Pak cik Tow tertawa dan mengangguk-angguk tanda setuju.

Uncle, terima kasih sebab bagi saya berniaga di tempat uncle.” ucapku. Pak cik Tow mengukirkan senyuman seraya menepuk-nepuk bahuku.

“Alif, you adalah budak yang baik. Wa tak pandang you Malayu ka, Cina ka... apapun wa tak kisah. You orang kuat sembahyang dan you hormat orang. Orang macam itu kita boleh pakai dan percaya. You mesti pegang dan terus jadi ini macam punya character. You nanti mesti boleh berjaya dan kaya.” nasihat pak cik Tow. Aku yang berasa bangga dengan pujiannya terus menganggukkan kepala sambil tersenyum.


**************************


Aku tiba di rumah setelah hampir jam dua belas malam. Seperti yang kujangka, Adrina telahpun lena di atas sofa dengan jubah mandinya. Aku segera mematikan penghawa dingin di ruang tamu dan kemudian mengejutkan isteriku dari lenanya.

Akan tetapi Adrina nampaknya masih dibuai dalam mimpi. Aku mengusap-ngusap dan membelai-belai rambut isteriku dengan penuh kasih sayang. Pun begitu tanganku yang nakal sempat membuat aksi karate pula di dahinya. Aku mengulum tawaku. Seketika kemudian dahi Adrina kukucup pula dengan lembut. Kemudian bibirku berlabuh lama pula di bibir mongelnya. Perbuatanku itu akhirnya membuatkan Adrina membuka mata.

“Hai.” sapanya dalam keadaan mamai. Aku senyum.

“Berapa lama sayang tertidur di sini?” tanyaku dengan lembut. Isteriku mengangkat tangan kirinya dan melihat ke arah jam tangan pemberianku pada ulangtahun pernikahan kami yang ketiga. Err... ketiga ke atau kedua? Aku tak pastilah!

“Lama juga. Dalam satu setengah jam lebih kurang.” jawabnya. Oh, ya! Baharu aku teringat. Itu bukannya jam pemberianku untuk ulangtahun pernikahan kami. Itu ialah hadiah daripadaku untuk hari lahir Adrina pada dua tahun lepas. Err.. tahun lepas ke atau dua tahun lepas? Aku betul-betul terlupa!

Kesian manja tunggu abang sampai tertidur di sofa.” ujarku.

“Tak apa. Emh... macam mana dengan bisnes abang?” tanya Adrina sambil mengeliat-ngeliat kecil.

“Untung kasar dalam seratus dua puluh. Setelah ditolak duit modal pusingan, duit petrol dan sewa harian; dapatlah abang untung bersih sebanyak lima puluh ringgit.” jawabku.

Alhamdulillah.” ujar Adrina. Aku mengangguk tanda bersetuju dengannya. Kemudian kuhulurkan not lima puluh tadi.

“Nah, duit nafkah untuk hari ini.” ujarku. Adrina terus bangun dan duduk sebelum mengambil duit tersebut dariku.

“Terima kasih. Ini pelaburan abang di akhirat, tau?” maklum isteriku. Aku mengangguk tanda memahami apa yang diperkatakan oleh beliau.

“Abang bimbang juga kalau-kalau tak dapat belikan hadiah hari lahir Rina untuk tahun ini.” ujarku dengan nada yang agak muram.

“Sebab pendapatan abang dah kurang sekarang?” tanya isteriku. Aku mengangguk.

“Rina bukannya mata duitan, bang. Apapun yang abang belikan Rina pasti akan suka sebab Rina dapat hadiah daripada seorang yang Rina sangat sayangi dan kagumi.” ujar Adrina.

“Rina kagum pada abang? Macam kagum pada artis K-Pop ke?” tanyaku melawak.

Ha-ah, ya. Abang macam PSY. Opah Gangnam Style!” usik isteriku pula.

Wei! Apa pulak kata suamimu yang handsome ni macam PSY?” tikaiku dengan nada pura-pura marah. Adrina ketawa.

“Kalau abang betul-betul nak bagi hadiah yang Rina suka, abang terus-menerus sayang dan beri perhatian kepada Rina. Hah, satu lagi! Abang mesti memanjakan Rina macam selalu. Kalau lebih lagi pun lagi Rina suka.” maklum Adrina.

“Yang itu senang saja nak buat. Takkanlah bernilai sangat?” pertikaiku pula.

“Memang senang nak buat, tapi berapa ramai suami yang buat begitu kepada isterinya? Bila dah lama kahwin, berapa kerat saja yang tinggal yang masih buat begitu?” persoal isteriku. Aku terdiam seketika.

“Rina, abang dah kurang layan dan manjakan Rina macam dulu ke?” tanyaku.

“Kurang dua puluh peratus dari dulu. Tapi memandangkan dah lima tahun kita berkahwin, itu boleh dianggap suatu perkara yang hebat juga.” jawab Adrina yang menyulamkan pujian bersama bait-bait katanya itu. Aku tersenyum.

“Baiklah! Kalau begitu, abang akan cuba manjakan Rina macam dulu-dulu juga mulai esok pada setiap hari dan abang akan cuba pertingkatkan mutu layanan dan kemanjaan pada isteri abang yang melada-lada (mengada-ngada) ini.” ikrarku. Adrina ketawa dengan usikanku pada ungkapan yang terakhir tadi.

“Itu ialah hadiah istimewa daripada abang untuk Rina, kan?” tanyaku. Isteriku mengangguk.

“Rina pun ada hadiah istimewa untuk abang. “ maklum Adrina tiba-tiba.

Hm, apa dia?” tanyaku. Adrina tidak menjawab. Sebaliknya beliau terus sahaja berdiri dan melepaskan jubah mandinya ke lantai. Buat seketika aku terpegun. Dan setelah semangatku kembali pulih, aku bingkas bangun dan terus memegang tangan kanan isteriku.

“Abang pinda sikit ikrar abang tadi. Bukannya mulai esok, tetapi malam ini juga abang akan memanjakan Rina semaksimum mungkin!” maklumku seraya menarik tangan Adrina dan memimpinnya ke bilik tidur. Isteriku yang terpaksa berlari-lari anak untuk mengikuti langkah pantasku menderaikan tawanya dengan kata-kataku tadi.



- Bersambuuuuung -


Notakaki :

Assalamu 'alaikum warahmatullah. Bab 6 dah selesai. Saya juga sempat menjawab beberapa komen saudara dan saudari. Harapnya terus minat membaca hasil karya kechil saya ini :)

1 comment:

Anonymous said...

minat...insyallah akan terus berminat...tak pasti camner sya blh jumpa blog ni dlu...tp astu terus melekat dari la cerita pertama dlu...
moga dilimpahkan ilahi idea2 utk berkarya dan makin banyak unsur2 ajaran islam...tq