Zero Hero SE
Bab 6 (Part 1)
Airbus A380, Ferrari dan Buggati Veyron
milikku, PSY!
Beberapa hari kemudian, setelah menunggu hampir
setengah jam akhirnya pesawat airbus A380 yang dinaiki oleh Adrina dan bapa
mertuaku tiba. Aku pernah dua kali menaiki pesawat tersebut. Memang hebat. Aku
fikir di syurga kelak aku akan meminta pesawat A380 tersebut untukku. Adrina pernah
memberitahu tentang ustazahnya yang menceritakan hadis sahih Rasulullah SAW
bahawa ada nanti orang yang ingin bercucuk tanam di syurga dan Allah akan makbulkan
permintaannya. Jadi tentunya kita boleh minta bermacam-macam lagi selain dari
berbudi kepada tanah di syurga. Aku juga berangan-angan untuk meminta koleksi
kereta-kereta Ferrari dan Buggati Veyron bila di sana kelak. Tentu bahagia
tidak terkata bila dapat memandu selaju-lajunya tanpa perlu merisaukan tentang
perangkap hadlaju, risiko kemalangan maut, kos untuk Ron97, membayar tol dan
cukai jalan serta insurans. Kawanku yang masuk aliran kesufian berkata adalah
syirik kalau kita mengharapkan syurga. Aku bukanlah handal sangat dalam bab agama
ini, tapi kalaulah betul syirik untuk manusia mengharapkan syurga, buat apalah
Allah menciptakan syurga dan Rasulullah SAW menyuruh kita berdoa meminta syurga
Firdaus? Aku agak monyet sarkas pun tak akan berfikir sebodoh aliran tarekat
melampau itu.
Lamunanku terhenti seperti Aris Ariwatan tatkala
ternampakkan kelibat Adrina dan bapa mertuaku. Mereka melambai-lambai padaku
dengan ceria. Aku juga berbuat perkara yang sama. Aku menggesakan diri untuk
mendapatkan mereka. Adrina pula terus berlari dan mendakapku erat-erat tatkala
tubuh kami bertemu.
“I miss you, I miss you, I miss you...” ucap
isteriku. Aku senyum. Kedua tanganku perlahan-lahan menjalar ke belakang tubuh
Adrina dan memegangnya dengan kemas.
“I miss you too, manja.” balasku.
“Hey entrepeneur!” sapa bapa mertuaku. Aku
ketawa kecil. Jelas terselit perasaan tidak puas hatinya lagi kerana aku masih
menolak tawaran untuk bekerja dengannya.
“Hey Marlboro Man!” sapaku kembali dengan
nada bergurau juga. Bapa mertuaku yang sememangnya macho macam koboi iklan
rokok tersebut ketawa besar. Tiba-tiba baharulah aku terperasan bahawa ada
seseorang berdiri agak hampir dengan kami. Aku berpaling memandangnya. Beliau
adalah seorang warga luar negara yang agak tegap dan kemas penampilannya. Aku
mengagak tentu beliau adalah seorang anggota unit beruniform.
“Oh, I can see that you’re really not lying about
being married. Well, congratulations sir. You’re one lucky guy.” ucapnya
padaku. Aku yang agak terpinga-pinga seperti Pingu hanya memandangnya dengan
perasaan keliru.
“Er, thank you... I guess?” balasku kembali.
Lelaki yang pada taakulanku warga Australia berdasarkan slanganya itu tersenyum
sebelum melangkah pergi.
“Siapa pula mangkuk tu?” tanyaku dengan perasaan ingin
tahu setelah lelaki tadi jauh meninggalkan kami.
“Haha! Dia dari lapangan terbang di sana tadi
asyik nak mengorat Rina saja. Dia puji Rina cantiklah, Rina lemah-lembutlah.
Bila Rina beritahu dia yang Rina dah berkahwin, dia tak percaya. Bila Rina
tunjukkan cincin perkahwinan Rina, dia masih tak percaya. Kalau Rina mengadu
pada ayah tadi, selamatlah Rina. Tapi oleh sebab ayah sibuk mengurat perempuan
Rusia seksi mana entah, langsung tak jadi Rina nak repot. Ayah ni buat orang
malulah!” Cerita Adrina diakhiri dengan leterannya terhadap bapa mertuaku. Bapa
mertuaku hanya ketawa sambil menggaru-garu belakang kepala. Aku turut ketawa
untuk mengurangkan perasaan segan bapa mertuaku.
“Cemburu tak?” tanya Adrina cuba mengumpan emosiku.
“Hm, adalah dalam empat puluh dua peratus.” jawabku
sambil tersenyum.
“Eleh!” balas Adrina sebelum mencubit manja
lenganku. Kami kemudiannya ketawa.
**************************
Setelah makan tengahari bersama, akhirnya kami
membawa haluan masing-masing. Bapa mertuaku menumpang kereta seorang wanita
yang sangat seksi. Kalau tak silap, wanita tersebut adalah setiausaha sulitnya.
Kalaulah tak kerana dicubit oleh Adrina, mahu melekat kedua biji mataku pada
peha mulusnya. Aku dan isteriku pula menghala ke arah lain. Aku ingin singgah
di pasaraya terlebih dahulu untuk membeli bahan-bahan mentah sebelum pulang ke
rumah. Dalam kereta, isteriku itu membebel tentang kelakuan bapa mertuaku.
“Ayah tu dah makin melampau! Entah perempuan murahan
mana diambilnya jadi secretary!” omel Adrina dengan suara yang agak
keras.
“Aik? Rina kata tak baik memaki saudara
seagama kita, kan?” peringatku. Adrina terdiam sebentar. Kemudian beliau
beristighfar beberapa kali.
“Tapi betul, bang! Perempuan yang jadi setiausaha
sulitnya itu bukan tahu apapun! Rina tengok dia cuma usung fail ke sana sini.
Lepas itu asyik tonggekkan punggung pada ayah. Itu yang buatkan ayah selalu
gelap hati tu!” omelnya lagi. Aku ketawa terbahak-bahak.
“Rina bimbang perempuan tu akan mengikis duit ayah?”
tanyaku. Adrina menganggukkan kepala.
“Sepanjang yang Rina kenal ayah, berapa ramai dah
perempuan sebegitu yang Rina tengok berkepit dengan ayah?” tanyaku.
“Ramai.” jawabnya.
“Setakat ini bisnes ayah terjejas tak?” tanyaku
lagi. Adrina menggelengkan kepala.
“Apa nak buat kita dapat bapa semacam itu. Tapi
sungguhpun ayah itu kaki perempuan, dia bukannya bodoh. Dia pernah beritahu
abang bahawa apa sahaja yang kita miliki, kita mesti fikirkan cara untuk
mendapatkan keuntungan maksimum darinya dan lepaskan pada orang lain kalau kita
rugi kerananya.” hujahku. Adrina terdiam sebentar.
“Itu ke sebabnya abang tak mahu terima tawaran bekerja
dengan ayah?” tanya isteriku. Perbuatanku yang mendiamkan diri agak lama
memberikan isyarat bahawa aku mengiyakan pertanyaannya tadi.
“Pening kepala Rina dapat ayah dan suami yang
licik.” rungutnya seraya mencubit lengan kiriku. Aku mengaduh dan ketawa.
- Tunggu Part 2 nanti -
2 comments:
menarik...nak lg...
Norihan : Kat atas tu part 2 dah baca? Tunggu part 3 pulak ya? Saya bz ada satu kes untuk rayuan di high court buat masa ni :(
Post a Comment