Thursday, August 1, 2013

Cerpen : Ibnu Hibban (Part 1)



Cerita Kemetot

Tajuk : Ibnu Hibban
(Part 1)


Lebih kurang 20 tahun akan datang...


“Yang Arif Tuan Qadhi; kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh ini adalah di bawah kategori jenayah maksiat. Dan kesalahan mereka ini adalah serius kerana kedua-duanya dicekup dalam keadaan berdua-duaan di dalam bilik hotel dan tidak berpakaian mengikut syarat menutup aurat dalam Islam. Bahkan kami mendapati bahawa kedua-dua mereka ini tiada sebarang pertalian mahram yang membolehkan mereka duduk berdua-duaan di dalam bilik hotel tersebut.” hujah pihak pendakwaraya. Pun begitu tatkala matanya tertancap ke arah Tuan Qadhi merangkap hakim kes jenayah bagi negara Daulah Maddani, pendakwaraya tersebut agak tersentak dan berasa sedikit tersinggung. Ternyata Tuan Qadhi Mahkamah Jenayah tersebut sedang menopang pipi kanannya dengan buku lima kanan beliau; sedangkan matanya pula terarah ke siling mahkamah tersebut dengan wajah jemu. Buat seketika keadaan mahkamah menjadi sunyi sepi.

“Ehem!” dehem pendakwaraya yang ternyata berjaya menyentak lamunan Tuan Qadhi. Buat seketika hakim tersebut kelihatan termangu-mangu.

“Err... kamu berdua pasangan yang didakwa dalam kes ini, bukan?” tanyanya sambil menunding jari ke arah sepasang lelaki dan wanita yang sedang berdiri tegak dalam kandang pertuduhan. Kedua-dua pasangan tersebut mengangguk serentak. Perasaan gementar begitu ketara terpapar pada wajah keduanya.

“Err... kamu mengaku salah ke terhadap pertuduhan berdua-duaan di dalam bilik hotel dalam keadaan tidak menjaga aurat?” tanya si Tuan Qadhi. Kedua-duanya mengangguk.

“Kena cakap. Kena cakap ‘saya mengaku bersalah’ untuk pengakuan rasmi.” pinta Tuan Qadhi.

“Saya mengaku bersalah.” ujar lelaki tersebut.

“Saya juga mengaku salah, tuan.” ujar pasangannya pula.

“Pendakwaraya, siapa yang berada di tempat kejadian semasa tangkapan dibuat dalam kes ini?” tanya Tuan Qadhi. Beliau baharu sahaja dalam usia 25 tahun, namun entah mengapa diberikan kepercayaan untuk memegang jawatan yang sebegini berat.

“Ada enam orang pegawai dan anggota dari Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar pada masa itu. Kesemua mereka hadir pada hari ini.” jawab pendakwaraya yang kini mencecah usia empat puluhan. Inilah kali pertama beliau mengendalikan kes di hadapan Tuan Qadhi muda tersebut. Telah banyak cerita kontroversi yang singgah ke telinganya berkenaan cara Tuan Qadhi tersebut mengendalikan kesnya dan membuat keputusan, sungguhpun baharu lebih kurang dua bulan dilantik. Salah satu daripada cerita tersebut ialah bagaimana Tuan Qadhi ini telah membuang kes pendakwaraya hanya semata-mata kerana gagal mengemukakan pegawai dan anggota yang membuat tangkapan, sedangkan selama ini keterangan bersumpah secara bertulis adalah memadai.

“Panggil mereka semua datang berdiri di sebelah kandang pertuduhan.” pinta Tuan Qadhi. Pendakwaraya mengangguk lantas menggamit kesemua saksi yang mengendalikan penangkapan dalam kes ini untuk akur pada permintaan Tuan Qadhi.

“Adakah kalian semua terlibat dalam kes serbuan dan penangkapan pasangan bukan mahram dalam kandang pertuduhan ini?” tanya Tuan Qadhi. Keenam-enam orang pegawai dan anggota bagaikan tentera yang sedang berkawad serentak menganggukkan kepala.

“Kena cakap. Kena cakap ‘ya’ untuk pengakuan rasmi.” pinta Tuan Qadhi. Maka keenam-enam mereka segera membuka mulut dan mengiyakan pertanyaan tadi.

“Ketikamana kalian menyerbu masuk, adakah orang lain selain pasangan lelaki dan wanita ini di dalam bilik hotel tersebut?” tanya Tuan Qadhi. Keenam-enam mereka menjawab ‘tidak’.

“Mereka dalam keadaan tidak menjaga aurat, bukan?” tanya Tuan Qadhi. Keenam-enam mereka menjawab ‘ya’.

“Kami percaya bahawa mereka sedang melakukan mukaddimah zina sebelum kami menyerbu masuk.” maklum salah seorang daripada mereka.

“Mukaddimah zina? Anda ada buktikah? Anda melihat sendiri?” tanya Tuan Qadhi.

“Kami tak lihat sendiri. Tetapi kami ada bukti. Perbuatan mukaddimah zina itu telah dirakamkan oleh kamera litar tertutup.” maklum pegawai tadi.

“Dirakamkan? Adakah kamera litar tertutup itu milik pihak hotel?” tanya Tuan Qadhi yang nampaknya semakin berminat dengan kes ini.

“Bukan milik hotel. Ianya milik kami.” jawab si pegawai.

“Pihak hotel tahu tak kalian memasang kamera itu?” tanya Tuan Qadhi.

“Ya, kami telah mendapat keizinan bertulis daripada pihak pengurusan.” jawab pegawai tersebut. Beliau sempat mengerling tuan pendakwaraya yang senyum padanya. Nampaknya kes yang mereka bawa ini adalah lengkap sekali dan tiada sebarang lakuna untuk membolehkan Tuan Qadhi membatalkannya.

“Kalian memasang kamera litar tertutup sebelum pasangan itu masuk, bukan?” tanya Tuan Qadhi.

“Ya, Tuan Qadhi.” jawab pegawai tersebut.

“Kamera litar tertutup itu dipasang tanpa pengetahuan pasangan dalam kandang pertuduhan itu, bukan?” tanya Tuan Qadhi.

“Ya.” jawab pegawai tersebut dengan perasaan pelik. Tentulah kemera tersebut dipasang tanpa pengetahuan mereka. Entah mengapa soalan sebodoh itu yang ditanya. Mungkin hakim yang amat muda ini masih mentah dan cetek pengalamannya.

“Di mana cip rakaman itu? Ada dibawa ke mahkamah?” tanya Tuan Qadhi.

“Ya, Tuan Qadhi.” ujar pegawai tersebut dengan nada teruja.

“Bolehkah kami memainkan rakaman itu sekarang, Tuan Qadhi?” tanya pendakwaraya.

“Tak perlu! Saya akan menjatuhkan hukuman sekarang.” balas Tuan Qadhi. Pendakwaraya tersebut agak tersentak dengan tindak-tanduk hakim muda ini. Pun begitu, beliau mengambil keputusan untuk mendiamkan diri.

“Pasangan encik Mukhtar dan cik Diyarena. Anda berdua adalah rakyat Malaysia dan saya ambil kira perkara itu kerana mungkin kerana anda berdua tidak menyedari bahawa undang-undang syariah kami di sini adalah lebih tegas dan menyeluruh. Jadi saya lepaskan anda berdua dengan amaran keras. Nama anda berdua akan dicatat dalam rekod pelaku salah. Jika anda berdua membuat kesalahan yang sama sama ada secara bersama lagi atau dengan orang lain, maka saya akan penjarakan kalian.” ujar Tuan Qadhi. Pasangan kekasih tersebut tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira mereka sehingga si lelaki jatuh terduduk. Pasangannya pula memekup muka untuk menyembunyikan tangisan kegembiraan.

“Bagaimanapun, kalian berenam saya hukum dipenjarakan selama seminggu dan Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar didenda sebanyak dua puluh ribu Dinar. Hukuman berkuatkuasa pada hari ini juga!” ujar Tuan Qadhi pula. Buat seketika keadaan mahkamah menjadi hingar-bingar.

“Diam! Diam semua!” pinta Bailif mahkamah dengan suara yang lantang. Mahkamah kembali menjadi tenang.

“Tuan Qadhi, saya...”

“Nanti dulu, tuan pendakwaraya. Saya belum selesai menjatuhkan hukuman!” potong Tuan Qadhi dengan nada yang agak keras. Terkebil-kebil tuan pendakwaraya yang amat berpengalaman dan dihormati itu dibuatnya.

“Pengurus dan/atau pemilik Hotel Jameel diperintahkan untuk hadir ke mahkamah ini keesokannya untuk menjawab tuduhan membenarkan kamera litar dipasang di bilik hotelnya. Tuan pendakwaraya; sila uruskan hal ini termasuk kertas pertuduhannya sekali.” perintah Tuan Qadhi. Keadaan menjadi hingar-bingar kembali. Bailif mahkamah sekali lagi terpaksa melantangkan suara untuk melenyapkan keriuhan tersebut.

“Baiklah, tuan pendakwaraya. Apa yang tuan ingin cakapkan tadi?” tanya Tuan Qadhi tersebut bersama senyuman yang penuh dengan teka-teki. Si pendakwaraya hanya merenung tajam Tuan Qadhi Ibnu Hibban yang sekali lagi mencetuskan kontroversi dengan hukumannya tadi.



- Bersambung ke Part 2 -


Selamat menunaikan ibadah puasa dan selamat hari raya Aidilfitri. Maafkan salah dan silap saya jika selama ini ada yang menyinggung hati saudara dan saudari sekalian. Ma'assalaamah

1 comment:

Anonymous said...

wah.. lamanya tunggu yg baru...