Saturday, July 6, 2013

MetroPolis Episod 3 Bab 18 (Part 3) - Suram



MetroPolis Episod 3
Bab 18 (Part 3)
Suram



“Kalau puak Syiah ini muslim tetapi membunuh orang muslim juga; apakah pandangan tuan?” tempelak Debu Berlian. Langsung bungkam Rofsanni. Mencuka raut wajahnya. Amru senyum kambing. Nampaknya ketuanya ini sudah pandai terikut-ikut dengan gaya Maharaja Naga Petir yang suka mempermainkan orang.

“Nampaknya kami menyambut tuan berdua dengan baik tetapi tuan menghina pula kami di rumah kami sendiri!” ujar Rofsanni dengan agak keras. Debu Berlian tersenyum.

“Tidakkah kalian yang menghina sahabat saya terlebih dahulu tadi hanya semata-mata kerana nama beliau adalah sama dengan salah seorang sahabat Rasulullah yang kalian benci?” balas Debu Berlian. Senyumannya semakin melebar kerana dapat memerangkap Rofsanni dalam hujahnya sendiri.

******************************

Pada masa yang sama di Menara HAMKA, Malaysia...

“Lama tak berjumpa, Nicol. Bagaimana keadaanmu sekarang?” tanya Emissary Mayhem dengan nada teruja. Nicol Hanany tersenyum lebar. Senyuman lelaki di hadapannya ini sememangnya manis dan mesra; namun orang yang benar-benar mengenali Maharaja Naga Petir itu pasti akan sama ada berasa gelisah atau sangat gembira. Nicol sempat mengerling ke arah pendekar berpangkat Eksekutif yang bernama Zaquan. Rupa-rupanya kabus yang amat tebal ini adalah hasil dari kuasa Karamah orang kanan Mayhem itu.

“Saya sihat, bos. Cuma terlalu tertekan dengan kerjaya saya ini.” jawab Nicol. Mayhem ketawa.

“Kau ini seorang yang sangat cantik. Carilah suami untuk menghilangkan stres kamu itu.” saran Mayhem.

“Apa pula saya nak beritahu kepada suami saya bila saya ke serata dunia untuk tugas-tugas pengintipan dan menjadi ejen talam dua muka? Bahkan buat masa ini hanya bos, maharaja-maharaja Emissary dan Zaquan sahaja yang mengetahui identiti saya yang sebenar.” balas Nicol.

“Aku minta maaf kerana banyak menyusahkan kau selama ini. Tapi jangan kata bahawa aku tak pernah melarangmu untuk memilih jalan ini pula.” ujar Mayhem.

“Tak mengapa, bos. Memang saya yang pilih jalan ini. Namun, kalau bos nak membalas budi saya juga, maka jadikanlah saya ini isteri bos!” balas Nicol Hanany dengan nada yang tidak dapat dipastikan keseriusannya. Mayhem bungkam. Seketika kemudian beliau ketawa terbahak-bahak.

“Shh... perlahan sikit, bos!” pinta Nicol. Emissary Mayhem sememangnya seorang yang amat semberono.

“Aku dah ada tiga orang isteri, Nicol. Mereka selalu membuliku. Kalau kau yang banyak akal ini menyertai isteri-isteriku; pasti aku akan mati muda!” balas Mayhem. Nicol tidak dapat menahan tawanya lantas ketawa berdekah-dekah. Beliau tidak peduli sama ada ada orang lain dapat mendengar suara mereka atau tidak.

“Lagipun si Pemancung Angin memberitahuku bahawa kau angaukan seseorang di MetroPolis.” ujar Mayhem lagi.

“Tuan Ren memang bacar mulut.” komen Nicol dengan nada geram.

“Ya, majikanmu si Enbi telah menumbuknya di kubu Daulah Maddani. Padan muka dengannya!” maklum Mayhem.

“Enbi menumbuk tuan Ren? Berani dan gila dia ini!” komen Nicol pula. Mayhem ketawa lagi.

“Adiknya yang kau angaukan itu bagaimana pula orangnya?” tanya beliau untuk memancing emosi anak buahnya itu. Nicol mencebik.

“Dia mencintai orang lain.” jawab Nicol pendek.

“Tapi dia juga menyintaimu, kan?” tanya Mayhem lagi. Nicol mengangguk.

“Saya tak mahu berebut cinta dan kasih sayang dengan perempuan itu. Kasihan dia nanti.” balasnya.

“Kau tak kisah berkongsi kasih dengan isteri-isteriku tapi kau enggan pula berkongsi kasih dengan perempuan itu. Kau ini peliklah!” tempelak Mayhem. Merah padam muka Nicol. Beliau dengan pantas mengacukan pistolnya ke arah Mayhem.

“Bos jangan nak mempermainkan saya macam orang lain! Saya tengah stres sekarang!” bentak Nicol. Mayhem ketawa dengan lebih lantang. Tangan kanannya mengisyaratkan agar Nicol tidak mengacukan senjata ke arahnya.

“Baiklah! Baiklah! Aku minta maaf. Janganlah tembak. Nanti siapa yang menjaga isteri-isteri dan anak-anakku pula?” ujar Mayhem. Nicol kembali menyimpan senjatanya. Beliau tahu bahawa kata-katanya ketuanya tadi adalah gurauan dan mustahil pistol Nicol boleh mengapa-apakan seorang pendekar bertaraf Emissary.

“Cukuplah kita berbasa-basi. Biarlah kita berbicara tentang tujuan aku menghubungimu dan berjumpamu di sini.” ujar Mayhem.

“Ya; tindakan tuan memang agak semberono dan mungkin mendedahkan identiti sebenar saya pada Masonik.” komen Nicol pula.

“Identiti sebenarmu telahpun diketahui oleh Masonik, Nicol. Kau sepatutnya akan ke Prague lagi pada minggu hadapan, bukan? Mereka akan menangkapmu dan menyiksamu untuk mendapatkan maklumat tentang Organisasi.” Pemberitahuan Mayhem itu membuatkan muka Nicol menjadi pucat.



- Tunggu Part 4 nanti -



No comments: