Zero Hero SE (Special Edition)
Bab 1
Seperti Burger Dalam Tong Sampah
Ahh... begitu nyaman
sekali pagi ini. Aku menghirup udara segar sedalam-dalamnya. Mmm... bau segar
macam bau durianlah. Oh! Aku makan crepe durian semalam dan terlupa gosok gigi.
Patutlah. Suasana pagi yang dilitupi oleh kabus dingin dihiasi pula dengan
kicauan burung yang amat menghiburkan. Begitu gembira sekali burung-burung...
“Woi! Burung celaka! Kau
berak atas kereta akulah!” Begitulah akhirnya keceriaan pagiku dirosakkan oleh
burung-burung pipit celaka tersebut. Ustaz kata Rasulullah melarang kita
mencaci makhluk lain. Baiklah. Aku cuma akan menembak mereka dengan senapang
angin nanti.
“Hei! Pagi-pagi belum
gosok gigi dah mencarut.” Satu suara menegurku dari belakang. Aku segera
berpaling dengan senyuman. Di hadapanku tegak berdiri Adrina. Senyuman manis
terhias indah di bibir mungilnya. Bak delima merekah. Aku bukannya suka makan
buah delima pun. Tapi bibir delima Adrina membuatkanku dalam dilema dan mahu
menjamahnya segera.
“Eee... Tak gosok gigi
ada air liur basiii...” protesnya sambil menyeka daguku agar tidak dapat bibir
kami bertemu. Aku segera menarik mukaku dengan cebik merajuk.
“Dulu sebelum kahwin
asyik nak cium bibir saya walaupun lepas makan petai. Sekarang barulah tahu nak
geli pulak!” omelku dengan nada geram. Adrina ketawa kecil. Beliau bergegas ke
arahku lantas memautkan kedua belah tangannya ke belakang leherku. Tubuhnya
dieratkan ke tubuhku. Manakala kepalanya melentok ke dadaku.
“You know I love you always and forever, right?” pujuknya. Hatiku
kembali menjadi ceria dan teruja. Sesungguhnya Allah memberikan frekuensi suara
kepadanya yang selalu mencairkan hatiku. Setakat ini dah tiga puluh ribu
berbalas kosong dah. Datuk Lee Chong Wei pun hanya mampu angkat reket ke udara.
“Habis tu berkorbanlah
sikit demi untuk menggembirakan bibir saya.” pujukku pula. Adrina langsung
ketawa. Beliau memukul-mukul manja dadaku.
“Tak mau! Tak mau! Tak
gosok gigi! Bau doloyan! Busyuuuk!” protesnya dalam tawa. Aku
turut ketawa. Sebenarnya aku pun tak tergamak pun nak mencium Adrina yang sudah
siap melawakan diri untuk ke tempat kerja.
“Mengapa tak pakai parfum?” tanyaku dengan nada kehairanan.
Biasanya semerbak bau wangian Adrina walau dalam jarak enam relung sepuluh
rantai dua pol sekalipun.
Sejak bila pulak aku
jadi juruukur tanah ni?
“Semalam kan ada cerita
Kurma Kurma di televisyen? Ustazah tu kata haram hukumnya si isteri yang
memakai wangian untuk dihidu oleh lelaki lain selain suaminya.” perjelas
Adrina. Kurma Kurma? Cerita apa pulak tu?
“Alhamdulillah! Semakin
banyak hidayah yang Allah bagi pada Rina. Tapi tudung bila nak pakai?” tanyaku
dengan nada mengusik. Adrina mencebik pula lantas mencubit lenganku.
“Oh, ya! Hari ini apa
program Arif?” tanyanya tiba-tiba. Dumbfounded
aku seketika. Tak terfikir pula nak buat apa pada hari ini. Tadi rasanya macam
nak memanfaatkan senapang anginku. Tapi untuk apa, ya?
“Tak tahu. Mungkin pergi
beratur ambil BR1M kot?” jawabku dengan acuh tidak acuh. Adrina menggelengkan
kepala tanda kurang senang dengan sikapku tersebut.
“Ayah kan dah tawarkan
jawatan pada Arif? Kenapa tak mahu terima?” leternya dengan lembut. Segera
wajah bapa mertuaku yang macho
ala-ala Marlboro Man terpampang di
cepu ingatan.
“Tak mahulah. Dia
tawarkan jawatan yang terlampau tinggi. Saya tak layak.” hujahku.
“Arif kenalah confident dengan diri sendiri.” pujuk
Adrina.
“Rina, saya cukup kenal
dengan kemampuan saya. Sebab itulah saya menolak.” hujahku lagi.
“Tapi dah tiga bulan
Arif tak bekerja. Arif tak risau ke?” tanya isteriku dalam nada bimbang. Aku
menggeleng.
“Apa nak risau? Duit VSS
ada banyak lagi. Ratus-ratus ribu lagi, tau?” balasku dengan gaya pura-pura
angkuh. Adrina mencebik. Tangan kanannya pantas menepuk punggungku tanda geram.
Aku ketawa berdekah-dekah.
**************************************
Sudah hampir tiga jam
Adrina berada di pejabat. Aku pula melengong tak tahu buat apa. Nak menonton
televisyen pun dah tak gamak. Rancangan memasak berbahasa Cina yang kutonton
semalam akhirnya menyedarkanku bahawa aku terlampau banyak membuang masa di
hadapan monitor LED tersebut. Setelah berfikir sejenak akhirnya aku membuat
keputusan untuk keluar merayau-rayau. Belum sempat aku bangkit meninggalkan
sofa, telefon selularku yang berada di atas meja kopi berbunyi. Aku segera
mencapainya dan melihat skrin. Adrina rupa-rupanya.
“Hai manja.” ucapku
dengan agak tidak bermaya.
“Hai sayang! Dah lunch?” tanya isteriku.
“Belum.” jawabku
ringkas.
“Biar Rina order pizza untuk Arif. Nak?” tanyanya.
Aku menggeleng. Eh! Dia manalah nampak!
“Tak apalah. Saya nak
keluar dah ni. Bolehlah cari makan sekali.” tolakku dengan sopan.
“Keluar seorang ke?”
tanya Adrina sekoyong-koyongnya. Oro? Cemburulah pulak!
“Tak. Ada kawan
perempuan temankan. Apa ke nama dia.. Wawa? Wawa Zainal?” jawabku dengan nada
mengusik.
“Yalah tu!” ujar Adrina
dengan nada geram.
“Dah tentulah saya
seorang saja. Wadi dah kena posting di Sarawak. Nizam semenjak kahwin dengan
Shaleen entah lesap kemana!” rungutku. Bercakap tentang Aswadi, aku pernah berpesan
agar dia hantar kek lapis Sarawak secara pos bulan lepas. Namun dia cuma hantar
ikan Terubuk masin saja. Punyalah kedekut Haji Bakhil. Bila dia balik ke
Semenanjung aku akan lepuk dia dengan Terubuk masin tersebut. Awas kau, Wadi!
“Hey...” seru Adrina
dengan lembut.
“Hm. Apa?” tanyaku pula.
“La tahzan.” ucapnya yang bermaksud ‘jangan bersedih’. Aku terdiam
sebentar.
“I love you, baby.” Akhirnya kuungkapkan kata-kata tersebut sebagai
tanda terima kasihku atas kata-kata perangsangnya tadi.
“I love you too, abang.” balasnya. Oro? ABANG? Buat julung-julung
kalinya Adrina memanggilku ‘abang’. Kata-kata tersebut benar-benar meresap ke
dalam jiwa dan sanubari sehingga naik meremang bulu romaku. Serta-merta
kegelisahanku lenyap entah kemana. Beginilah gamaknya perasaan Ultraman tatkala
mengalahkan raksasa Baltan yang jahat.
*************************************
Telah hampir dua jam aku
merayau-rayau di kotaraya tanpa sebarang halatuju yang tertentu. Aku sempat
singgah membeli sebiji burger untuk mengalas perut yang berbunyi dari tadi.
Kononnya burger yang kubeli ini burger unta. Tak rasa macam daging unta pun. Entah
kaki pesakit untut mana yang mereka cincang untuk buat burger gamaknya. Burger
tersebut yang hanya kugigit dua kali itu akhirnya selamat dikebumikan di dalam
tong sampah yang berdekatan. Aku bangkit dan mengibas-ngibas bahagian
punggungku. Nampak gayanya kena jualah aku bertandang ke kedai pak cik Kolonel
Sanders untuk memuaskan nafsu perutku ini.
“Dik! Dik! Boleh tolong
tak dik?” Dalam beberapa langkah sahaja aku berjalan, sekoyong-koyongnya
seorang lelaki dalam lingkungan usia empat puluhan menegurku dengan penuh
pengharapan.
Mengapa pulak tiba-tiba
aku teringatkan Tanjung Pengharapan di Afrika?
“Boleh tak tolong abang
buka meja dan kerusi ni? Nanti abang belanja makan sebagai upah.” ujar lelaki
tersebut dengan tawaran yang aku kira amat menarik buat kala ini. Aku merenung
dengan teliti keadaan gerai makan miliknya. Oh ya, lupa pula aku nak beritahu
bahawa lelaki tersebut adalah pemilik sebuah gerai makan nasi Padang.
“Abang terlambat hari
ni. Pekerja abang pulak hilang entah ke mana. Tolonglah. Boleh, ya dik?”
pintanya dengan nada separa rayuan. Aku bukannya suka makan nasi Padang. Lagipun
keadaan gerainya yang agak kotor semakin membantutkan seleraku. Entah dijamunya
aku makan tikus Padang pulak nanti. Manalah tahu!
“Sepuluh ringgit. Tak
mahu makan.” Aku memberikan tawaran balasku pula. Terkedu seketika abang gerai
tersebut. Kemudian beliau tersenyum.
“Lima ringgit, boleh?”
tawarnya pula.
“Nasi padang dengan lauk
biasa-biasa dan teh-o ais pun dalam tujuh ringgit. Takkan nak bagi lima saja,
kot? Itu tawaran Vasco da Gamma tu!” pertikaiku. Aku peduli sama ada abang
tersebut memahami ayat terakhirku. Yang penting aku nampak pandai bila
mengungkapkan kata-kata tersebut. Yalah, macam pak-pak menteri bila menggunakan
perkataan ‘retorik’ itulah.
“Okeylah! Okeylah!
Sepuluh! Sepuluh!” Akhirnya lelaki tersebut beralah. Mungkin kerana beliau
perlu menjenguk ke dapurnya sebelum semua lauk-pauknya mengepulkan asap hitam.
Aku tanpa bertangguh terus mengerahkan kudratku untuk membuka dan menyusun meja
serta kerusi. Setelah sempurna dan memuaskan hati pekerjaanku itu, lelaki
tersebut terus menghulurkan upah seperti yang dijanjikan. Tatkala aku membuka
dompet untuk memasukkan not sepuluh tersebut, baharulah beliau terperasankan
berkeping-keping not seratus di dalamnya.
“Woih! Banyaknya duit
kau! Aku ingat mamat daif tadi!” perlinya. Nada tidak berpuas hatinya jelas
terpapar. Aku hanya tersenyum.
“Abang yang menawarkan
upah kepada saya. Manalah boleh saya nak menolak rezeki.” balasku seraya
tertawa. Abang gerai nasi Padang turut ketawa. Namun biasalah ketawa ala-ala
Yahudi kalah perang.
Aku ternampak seorang
yang kurang siuman sedang makan burger di tepi tong sampah. Aku pasti itu
adalah burger daging kaki pesakit untut tadi. Aku tiba-tiba berasa sedih. Sedih
dengan keadaanku yang sebegini rupa. Dahulunya aku adalah seorang yang sangat
berjaya dalam kerjaya. Kini aku seolah-olah hampir hilang segala-galanya.
Pun begitu aku masih
berselera untuk makan nasi ayam di KFC!
- Bersambung -
1 comment:
yes!! dah ada sambungan citer zero hero. peminat setia zero hero & emo hero. teruskan mengarang cik mie..
Post a Comment