MetroPolis
Episod 3
Bab
14
Bibit-bibit
Perpecahan (Bah. Akhir)
“Kamu berdua ini biar betul!” bentak
Enbi. Matanya menghunjam tajam ke arah Remy dan Terawez. Baharu sahaja tiga
hari lepas beliau bergembira kerana akhirnya Catherine bersetuju untuk menjalani
rawatan bagi menyelamatkan nyawanya. Namun kini beliau benar-benar terkejut dan
kecewa kerana Remy dan Terawez menyerahkan surat perletakan jawatan kepadanya. Di
meja terpakai milik balai MetroPolis itu beliau menerima resume Remy dan
Terawez. Di meja yang sama juga beliau menerima surat perletakan jawatan
mereka.
“Maafkan kami, tuan Enbi.” ucap
Terawez. Kepalanya masih tunduk dengan beban perasaan bersalah. Remy pula
sepatahpun tidak berkata apa-apa. Enbi merengus. Wajah Remy langsung tidak
menunjukkan perasaan bersalah. Memang padanlah dengan sikapnya sebagai askar
upahan. Namun agak mengejutkan kerana Organisasi masih menerima orang seperti
Remy.
“Kamu berdua ialah antara anggotaku
yang amat kuat dan handal. Cat mungkin tidak dapat membantu MetroPolis lagi
kerana masih dalam tempoh rawatan. Nicol pula telah mengambil keputusan untuk
meninggalkan kita kerana masalah peribadinya dengan Nazrul. Chief kini senasib
dengan Cat dan tak mungkin dapat membantuku lagi. Kini kamu berdua pula mahu
memecahkan diri dari MetroPolis.” ujar Enbi dengan nada yang jelas menunjukkan
kekecewaannya.
“Benarkah Organisasi yang menjemput
kalian berdua menyertai mereka dan bukan sebaliknya?” tanya Enbi. Kedua anak
buahnya itu mengangguk hampir serentak. Enbi mengeluh. Adakah Organisasi ini
membawa manfaat atau mudarat kepadanya? Mungkinkah bantuan kewangan mereka
sebelum ini adalah untuk mempampas perbuatan mereka mencuri anak buah
terhandalnya sekarang?
“Sekurang-kurangnya beritahulah siapa
yang membuat tawaran kepada kalian berdua.” pinta Enbi dengan nada memujuk.
“Windblade!” jawab Terawez dengan
pantas sebelum sempat Remy memegang bahunya. Terawez tahu bahawa Remy pasti
akan cuba mengisyaratkannya agar berdiam diri. Namun beliau tidak sanggup untuk
menyakitkan hati Enbi dengan tidak memberitahunya perkara sebenar. Atau lebih
teruk lagi iaitu berbohong pula kepada ketuanya.
“Pemancung Angin...” ujar Enbi dengan
perlahan. Giginya terketap rapat. Dengan tidak semena-mena buku lima tangan
kanan Enbi menghentak meja dengan sekuat-kuat hati.
“Maaf, tuan Enbi...” ucap Terawez
lagi. Enbi tidak berkata apa-apa selain dari bingkas bangun. Langkahnya
digegaskan ke arah pintu yang kemudian dikuakkan dengan cara yang agak keras.
“Aku menerima perletakan jawatan
kalian. Sekarang berambus dari sini dan jangan tunjukkan lagi muka kalian
kepadaku.” maklum Enbi dengan nada dingin sebelum keluar dan menghempaskan
pintu.
**************************************
Lima hari kemudian. Di Lapangan
Terbang Antarabangsa Ibnu Thaimiyah...
Cuaca agak mendung di luar balai
berlepas namun Nicol Hanany memakai gaun kain kapas yang amat cantik dan
berwarna-warni pada hari ini. Ketika ini beliau sedang memeluk erat Catherine.
Kebanyakan anggota MetroPolis hadir untuk menghantar Nicol pergi. Namun Enbi
dan Remy tidak kelihatan di situ.
“Tahniah Cat! Aku daripada dulu sudah
tahu yang kamu berdua patut menjadi pasangan bercinta.” ucap Nicol dengan nada
ceria.
“Yalah tu! Tapi terima kasih!” balas
Catherine. Wajahnya berseri-seri sungguhpun nampak agak pucat.
“Bila kalian akan berkahwin?” tanya
Nicol. Catherine yang agak terkejut dengan soalan tersebut bingkas memukul bahu
kawannya itu. Pipinya menjadi kemerah-merahan.
“Maaf! Maaf! Aku tanya soalan lain
pula. Apa kata keluargamu tentang hubungan kalian berdua?” tanya Nicol pula.
Catherine tersenyum lantas sekali lagi memukul bahu beliau.
“Itupun salah?” pertikai Nicol.
“Keluarga saya tak kisah. Mereka
sudah mengenali Enbi dari kecil lagi. Lagipun keluarga kami mempunyai ramai
sahabat beragama Islam termasuklah Allayarham bapa Enbi. Soal agama tidak
menjadi hal.” jawab Catherine akhirnya.
“Haii, cemburunya aku dengan
kebahagiaan kalian berdua. Apapun aku juga sangat gembira dengan perkembangan
hubungan kalian. Ucapkan tahniahku juga kepada Enbi.” maklum Nicol.
“Saya minta maaf kerana Enbi tidak
dapat datang ke sini.” ujar Catherine.
“Aku tahulah Remy itu memang
anti-sosial dan bersifat anarki. Tetapi aku agak kecil hati kerana Enbi tidak
mahu datang.” omel Nicol dengan nada kecewa. Catherine ketawa kecil.
“Dia masih marah dan bersedih dengan
perletakan jawatan Remy dan Terawez.” maklum Catherine yang ingin membela
tindakan ketua mereka. Matanya sempat mengerling ke arah Terawez yang tunduk ke
lantai tatkala mendengarkan kata-katanya tadi.
“Janganlah susah hati, Terawez. Enbi
selalu bercakap yang bukan-bukan bila dia tengah marah. Tapi awak pun dah tahu
dia bukannya bermaksud sedemikian. Nanti bila kemarahannya dah reda, dia pasti
akan rasa menyesal bercakap sebegitu pada awak dan Remy.” maklum Catherine
dengan nada memujuk.
“Ya, Terawez. Janganlah ambil hati
dengan cakap si Enbi. Dia itu selalu merepek dan suka berlagak kononnya tiada
perasaan. Tapi hatinya memang baik dan lembut. Tahniah kerana awak ditawarkan
untuk menyertai Organisasi. Awak sememangnya handal dan layak.” pujuk Nicol
pula seraya memeluk Terawez dengan erat.
“Oih! Oih!” ujar Terawez yang berasa
kekok dan tidak selesa diperlakukan sedemikian. Pipinya menjadi
kemerah-merahan.
“Haha! Kau ini budak sucilah,
Terawez!” usik Nicol yang akhirnya melepaskan pelukannya. Beliau mengorak
langkah ke arah Red Wigwam pula. Orang tua tersebut dipeluknya dengan erat.
“Pak cik Wigwam jaga kesihatan dan
jangan banyak makan daging, ya?” nasihat Nicol. Anaknya Ox yang menemani beliau
tergelak. Red Wigwam turut ketawa sambil menepuk-nepuk belakang Nicol.
“Cik Nicol juga jaga diri dan
kesihatan. Kalau ada kesempatan hubungilah kami semua, ya?” pesan Red pula.
“Itu suatu janji yang mesti
ditepati!” balas Nicol seraya tertawa. Beliau melepaskan dakapannya dan menuju
ke arah Ren Fairuz pula.
“Awak jangan peluk saya, cik Nicol.
Nanti reputasi saya sebagai imam muda yang baik hati akan tercemar dan akhirnya
kita terpaksa bernikah untuk memulihkan kembali reputasi tersebut.” maklum Ren
memberikan amaran. Nicol terkaku seketika. Buat seketika beliau memandang tepat
ke arah mata Ren dan dapat melihat perasaan lega ustaz tersebut. Bibir Nicol
mengorakkan senyuman nakal.
“Nikah? Okey!” balas Nicol seraya
mendepangkan kedua belah tangannya ke arah Ren. Namun Maharaja Pemancung Angin
yang masih menyembunyikan identitinya itu terlebih dahulu melarikan diri.
Kesemua yang berada di situ ketawa terbahak-bahak. Nicol berjalan menuju ke
arah Ganshamdass dan ibunya pula. Beliau terus menghulurkan tangan untuk
berjabat salam. Dass tersenyum dan menyambut salam wanita jelita itu.
“Mampuslah!” ujar Nicol seraya terus
mendakap tubuh Dass pula. Ibu Dass yang amat terkejut dengan perbuatan Nicol
tidak henti-henti berleter dalam bahasa Tamil. Dass ketawa terbahak-bahak.
“Maaf mak cik! Saya pun sayangkan mak
cik juga.” ucap Nicol seraya terus memeluk ibu Ganshamdass pula. Ibu Dass
langsung terdiam dari menceceh. Sebaliknya dia membalas kembali pelukan Nicol
sambil ketawa.
“Awak sangat nakal, tau? Tapi mak cik
juga sayangkan awak.” balas ibu Dass. Mereka yang berada di situ kembali ketawa
dengan telatah Nicol.
“Hai Nicol! Tunggu!” Tiba-tiba
kedengaran suatu suara berteriak keras. Nicol dan kesemua yang berada di situ
agak terkejut lantas memalingkan wajah ke arah si empunya suara.
“Enbi!” teriak Catherine dengan nada
gembira. Enbi kini tiba di hadapan mereka semua dalam keadaan termengah-mengah.
Namun matanya sempat menjeling tajam ke arah Terawez.
“Kan aku sudah kata aku tidak mahu
melihat mukamu? Pandang ke tempat lain!” herdik Enbi. Terawez yang
terkulat-kulat kerana dimarahi oleh Enbi akur menghadapkan wajahnya ke arah
lain.
“Enbi...” seru Catherine yang kurang
senang dengan perlakuan kekasihnya itu.
“Sebelum kau bertolak ke markas
Organisasi, pergi ambil gaji dan bonus tahunanmu daripada Nazrul. Jangan
terlupa pula. Kalau tidak aku campakkan kesemua duit gaji dan bonus kau itu ke
tong sampah! Beri pesanan yang sama kepada Remy.” ujar Enbi dengan keras.
Catherine tersenyum. Ternyata kemarahan Enbi telahpun reda.
“Terima kasih, tuan Enbi!” teriak
Terawez. Jelas kedengaran nada sebaknya sungguhpun beliau membelakangi mereka.
“Menangis konon. Menyampah.” omel
Enbi. Pun begitu bibirnya mengorakkan senyuman gembira. Namun ianya tidak lama
kerana satu terjahan keras hinggap di perut beliau.
“Berani kau enggan menghantarku
pergi!” bentak Nicol. Rupa-rupanya beliau yang menumbuk perut Enbi tadi.
“Ce.. celaka kau, Nicol. Aku
datanglah sekarang ini, bodoh!” maki Enbi dengan wajah yang menyeringai. Namun
amarahnya segera hilang tatkala didakap dengan erat oleh wanita jelita
tersebut.
“Terima kasih bos kerana menjaga saya
selama ini.” ucap Nicol. Enbi tersenyum.
“Jangan lupakan kami semua, tau?
Kalau tidak, nahas kau!” pesan Enbi dengan nada gurauan. Nicol melepaskan
pelukannya. Matanya terarah pula kepada Nazrul yang kira-kira lima belas kaki
jaraknya dari Nicol. Buat seketika mereka saling berpandangan. Mata Nicol
kemudian teralih pula ke arah Raihanah. Jelas pada senyuman kelat gadis itu
bersama renungan yang agak tajam. Nicol membalas senyuman tersebut dengan
sebuah senyuman yang dipaksa juga.
“Semoga kalian berdua berbahagia.”
ucapnya. Nicol terus menggegaskan diri meninggalkan mereka semua dengan
semena-mena. Namun setelah berada dalam jarak sepuluh meter beliau kembali
bepusing menghadap mereka.
“Selamat tinggal semua!” teriak Nicol
dengan senyuman ceria dan kemudian kembali berpaling mengorakkan langkah masuk
ke dalam balai berlepas. Catherine faham mengapa kawannya itu berbuat
sedemikian. Nicol tidak mahu Nazrul nampak air mata yang bergenang di kedua
kelopak matanya. Catherine melepaskan keluhan kecil. Kemudian beliau berpaling
ke arah Enbi yang kini mendekatinya.
“Nampaknya saya kenalah mencari
ahli-ahli baru selepas ini.” ujar Enbi.
“Ya, Enbi perlu mencari ganti tempat
mereka dengan segera untuk mengukuhkan kembali MetroPolis.” balas Catherine.
Enbi menggelengkan kepala.
“Tak mungkin saya akan menggantikan
tempat mereka dengan orang lain. Tempat mereka sentiasa akan ada di Metropolis
dan mereka bila-bila masa boleh kembali mengisinya.” maklum Enbi. Catherine
tersenyum. Beliau berasa bangga dengan pendirian kekasihnya itu.
“Tempat saya bagaimana pula?” tanya
Catherine tiba-tiba. Enbi tersenyum sambil merenung kekasihnya itu.
“Tempat awak bukan lagi di
MetroPolis, Cat. Tempat awak kini di hati saya.” jawab Enbi. Catherine
tersenyum dan tertunduk malu. Enbi mengambil kesempatan tersebut untuk mendakap
bahu kekasihnya itu.
- Bersambung -
No comments:
Post a Comment