Sunday, June 3, 2012

MetroPolis Episod 3 - Bab 11


MetroPolis Episod 3
Bab 11
Bibit-bibit Perpecahan (Bah. 4)




Pada masa yang sama di Kumpulan HAMKA Berhad...

Nicol hanya merenung tajam bapanya yang begitu sibuk melayani panggilan holofon (pengganti bagi telefon) yang tidak putus-putus berkunjung ke bilik pejabatnya. Sesekali mata Dato’ Seri Hamka tertumpu ke arah anaknya. Beliau dapat membaca perangai kurang sabar Nicol. Namun sengaja dibiarkan anaknya itu menunggu tanpa berlayan dengan agak lama.

“Baiklah, apa pula hajat kamu datang ke sini?” tanya bapa Nicol setelah akhirnya selesai melaksanakan urusannya di talian.

“Oh! Saya khabar baik, ayah. Terima kasih kerana bertanya. Ayah pula bagaimana? Harapnya sihat-sihat sahaja.” sindir Nicol.

“Dalam dunia korporat, masa adalah sangat berharga. Jadi sebarang perbualan remeh adalah suatu pembaziran pada masa yang bernilai. Ayah kan dah ajar kamu perkara ini? Dah lupa? Semenjak melepak dengan Nizaruddin (Enbi) kamu dah buang semua ajaran ayah?” tempelak Dato’ Hamka kembali.

“Dengan anak sendiri pun ayah nak berkira masa juga?” tanya Nicol.

“Ya. Tak kira siapa. Setiap orang yang datang berjumpa ayah tanpa sebarang temujanji hanya diberikan masa selama lima minit saja. Kamu dahpun membazirkan seminit kamu tadi.” balas Dato’ Seri Hamka. Nicol bungkam seketika. Namun kemudian beliau ketawa kecil. Dari perbuatan tersebut, ketawanya semakin lantang.

“Apa yang melucukan?” tanya bapanya. Nicol menggelengkan kepala.

“Baguslah kamu dahpun membazirkan hampir 30 saat-“

“Bagi saya duit.” Nicol memangkas kata-kata bapanya. Dato’ Seri Hamka tergamam.

“Janganlah buang masa, ayah. Sudah dua saat dibazirkan dengan mendiamkan diri. Saya nak duit. Tuliskan cek kepada saya. Jangan salah eja nama saya.” sindir Nicol memulangkan paku buah keras kepada bapanya.

“Buat apa minta ayah duit? Bukankah kau makan gaji dengan Enbi?” tanya Dato’ Seri Hamka.

“Saya nak gunakan duit tu untuk melancong ke serata dunia. Duit tabung amanah saya yang dibuat oleh arwah ibu atas nama saya masih ada lagi, kan? Lebih kurang RM124.56 juta kalau tak silap.” jawab Nicol.

“Kau membazirkan masa berjumpa dengan ayah untuk membazirkan duitmu?” tempelak bapanya.

“Masa saya. Duit saya. Saya berhak untuk buat apa saja dengannya. Baiklah, dah hampir empat minit berlalu. Saya minta ayah uruskan pemindahan kesemua wang tabung amanah ke akaun saya dalam minggu ini juga. Kalau tidak, peguam saya akan datang ke sini.” Sebaik sahaja membuat permintaan yang disulami dengan ugutan tersebut, Nicol terus bangun dan menjauhkan diri dari kerusi yang didudukinya.

“Ada dalam 50 saat lagi. Ayah tahu mengapa saya ketawa tadi? Saya ketawa kerana Enbi yang umurnya separuh dari umur ayah terlalu banyak membuang masa dalam menguruskan syarikat-syarikatnya. Dia buat MetroPolislah, projek Pantai Jelapanglah, rumah anak yatim di Gunung Rapatlah. Dia selalu melepak makan bubur nasi di restoran kawan baiknya dan rajin bertandang ke rumah orang-orang bawahannya. Namun dia sekarang adalah sepuluh kali ganda lebih kaya dan berjaya daripada ayah. Ustaz Ren kawan kami pernah berkata bahawa masa memang sangat berharga. Ramai yang membazirkan masa mereka dengan sia-sia kecuali orang-orang yang sentiasa menghubungkan silaturrahim mereka dengan orang lain dan sentiasa membuat kebajikan dengan ikhlas. Ayahlah sebenarnya yang paling rugi kerana sentiasa membazirkan masa selama ini.” tempelak Nicol sebelum meninggalkan bapanya yang tergamam tanpa dapat membalas.

Sebaik sahaja melangkah keluar dari pintu utama bangunan yang amat mewah bernama Wisma HAMKA, telefon selular milik Nicol berdering. Beliau dengan segera menyeluk tas tangannya dan menekan butang menerima panggilan. Nombor yang tertera di skrin telefonnya adalah nombor MetroPolis.

“Hello?” ucapnya.

“Hello, Nicol. Dass bercakap di sini. Saya di Hospital Permaisuri Bainun sekarang. Chief pengsan diserang sakit jantung.” Air muka Nicol berubah mendengarkan makluman tersebut.

“Ya. Saya akan pergi ke sana sekarang juga.” balas Nicol lantas mengegaskan diri ke keretanya.

***************************************

Sementara itu di Dubai...

Enbi terdiam tak berkutik. Tidak tersangka olehnya akan syarat yang dikenakan oleh Emissary Drakulon sebagai balasan untuk menyelamatkan nyawa Catherine. Beliau memandang ke arah Emissary Blaze. Lelaki tersebut mengangkat kedua bahu tanda beliau juga tidak tahu-menahu akan hal tersebut.

“Bagaimana, Enbi? Adakah tuan sanggup menerima syarat saya ini?” tanya Naar Saif. Wajahnya begitu serius sekali, tanda beliau tidak bergurau. Enbi memandang ke sana-sini seolah-olah jawapan ada di sekelilingnya.

“Saya tak tahu sebenarnya macam mana mahu memberikan reaksi pada syarat tuan ini.” jawab Enbi dalam nada serba-salah.

“Katakan saja ‘ya’, Enbi. Awak selama ini memang mahukan perubahan yang lebih baik di negara awak. Semua projek yang telah awak buat termasuk MetroPolis adalah kerana awak mahu menentang dan memperbetulkan sistem yang telah korup di Malaysia. Sekarang kami menawarkan jawatan Perdana Menteri iaitu pemimpin nombor satu kepada awak. Jawatan itu membolehkan awak mengubah halatuju negara Malaysia mengikut cara yang sepatutnya.” pujuk Naar.

“Cara yang sepatutnya? Dato’ Seri Khamal juga berasakan bahawa beliau telah membawa halatuju Malaysia dengan cara yang sepatutnya. Namun tak semestinya orang lain bersetuju dengan cara beliau yang ‘sepatutnya’ itu. Besar kemungkinan saya juga akan berbuat perkara yang sama. Memimpin Malaysia mengikut hawa nafsu saya sendiri.” tingkah Enbi.

“Jadi apakata awak mentadbir Malaysia sebagai seorang hamba? Hamba kepada Allah. Bukan hamba kepada hawa nafsu seperti pemimpin yang lain. Awak pasti tidak akan sesat selama-lamanya.” balas Naar. Enbi terdiam seketika.

“Tuan Drakulon. Saya bukanlah seorang yang alim dalam agama. Saya tak berapa pasti bagaimanakah seseorang itu memimpin dengan cara Islamik. Saya baru saja belajar solat dan serba-sedikit asas Fardhu ‘Ain daripada sahabat saya ustaz Ren Fairuz. Saya seorang yang amat jahil dalam Islam, tuan.” maklum Enbi dengan perasaan segan. Naar Saif tersenyum dengan sikap merendah diri lawan sembangnya. Ternyata hujah-hujah Ren adalah benar. Enbi sememangnya memiliki sifat-sifat pemimpin yang dicari.

“Jangan bimbangkan hal itu, Enbi. Kami akan memimpin tangan awak dan menjadi guru kepada awak untuk mengenal Allah dan Islam dengan sempurna. Kami juga akan menunjukkan kepada awak bagaimana untuk menjadi pemimpin yang memimpin mengikut kehendak Allah dan RasulNya. Malah kami sebenarnya telahpun berbuat demikian selama ini. Cuma awak saja yang tak menyedarinya.” Kata-kata di penghujung hujah Naar Saif membuatkan Enbi berasa kehairanan. Malah hatinya berasa kurang enak pula.

“Tuan Drakulon. Saya begitu berat hati mahu menerima jawatan yang ditawarkan oleh Organisasi kepada saya. Ianya sungguh berat di mata dan hati saya. Sahabat saya ustaz Ren Fairuz pernah berkata bahawa menerima jawatan sebagai seorang pemimpin bermakna membuka jalan yang seluas-luasnya untuk ke neraka. Dia juga pernah memberitahu satu hadis Nabi Muhammad kepada saya bahawa kalau seorang pemimpin itu mati dalam keadaan menipu rakyatnya, maka Allah haramkan beliau untuk masuk ke syurga. Begitu berat sekali amanah yang tuan mahu berikan kepada saya. Saya tak sanggup menerimanya.” maklum Enbi mencurahkan isi hatinya. Naar tersenyum lagi. Jarang benar beliau tersenyum. Namun kali ini beliau benar-benar tersenyum dengan perasaan gembira.

“Saya adalah orang yang pertama menentang bila Windblade mencadangkan nama awak untuk menggantikan Perdana Menteri Malaysia yang ada sekarang ini. Namun bersungguhan orang yang awak mahu terajang itu mempertahankan nama awak. Kini barulah saya tahu mengapa. Awak telah lulus ujian kelayakan untuk menjadi seorang pemimpin.” perjelas Naar.

“Ujian?” tanya Enbi kembali.

“Dalam surah Al-Qasas ayat ke 83, Allah berfirman maksudnya : ‘Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di bumi. Dan kesudahan itu adalah bagi orang yang bertaqwa.’ Abdurrahman Bin Samurah radhiAllahu’anhu berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepadanya : ‘Wahai Abdurrahman Bin Samurah, janganlah engkau meminta jawatan, kerana jika engkau memangku jawatan tanpa memintanya terlebih dahulu, engkau akan diberi pertolongan dalam menjawatnya; sedangkan jika engkau memangku jawatan dan sebelumnya engkau memang memintanya, (nescaya) engkau akan dibebani dalam menjawatnya...’ Sekiranya awak memang mengharapkan dan suka akan tawaran untuk dijadikan sebagai Perdana Menteri Malaysia, maka pastilah saya akan menarik kembali tawaran tersebut. Namun awak berat hati untuk menerimanya dan bersungguh-sungguh menepisnya.”  perjelas Naar Saif.

“Itu sebabnya saya lulus dan layak?” tanya Enbi dengan penuh kemusykilan. Naar mengangguk.

“Abu Hurairah radhiAllahu’anhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda : ‘Sesungguhya kamu kelak akan mengharapkan jawatan, sementara jawatan itu akan menjadi sumber penyesalan bagi pemegangnya pada hari kiamat.’ Sahabat-sahabat Rasulullah SAW selepas kewafatan Baginda kesemuanya begitu berat dan enggan menerima jawatan sebagai pemimpin Islam kerana tidak sanggup menanggung amanah yang datang bersamanya. Namun kesemua mereka telah menjadi pemimpin yang amat cemerlang dan hebat. Awak juga mempunyai pendirian seperti mereka sungguhpun tidak mempunyai keperibadian dan ketaqwaan seperti mereka. Jadi saya percaya awak akan menjadi seorang pemimpin yang baik.” perjelas Naar Saif lagi. Enbi terdiam. Lawan sembangnya itu sememangnya seorang yang amat hebat dan alim dalam ilmu al-Quran dan Hadis. Setiap percakapannya pasti akan disokong dengan hujah al-Quran dan Hadis.

“Enbi, awak juga tidak tahan dan benci melihatkan senario di negara awak yang korup dan semakin mereput itu, bukan? Awak bukan saja hanya berharap seseorang akan mengubahnya, malah awak sendiri turut tampil mengubahnya dengan menubuhkan MetroPolis, bukan? Sungguhpun ianya kecil, namun awak berharap MetroPolis akan memberikan sinar harapan kepada rakyat kelas sederhana dan bawahan yang menderita akibat sistem pemerintahan yang korup tersebut, bukan?” Enbi hanya mampu mengangguk. Isi hatinya dibaca seperti sebuah buku oleh Naar sekarang. Hebat sungguh manusia yang digelarkan Maharaja Emissary ini.

“Daripada Ibn Umar radhiAllahu’anhu, Rasulullah SAW bersabda : ‘Seorang Muslim adalah saudara Muslimnya yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya dan merendahkannya. Sesiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang menghilangkan kesulitan seorang Muslim, maka Allah akan melepaskan kesulitannya kelak pada hari kiamat...’ Jawatan Perdana Menteri membolehkan awak menolong mereka semua, Enbi.  Awak telah menolong mereka dan meredakan kesengsaraan mereka. Sekarang tolonglah mereka semua dengan besar-besaran dan secara keseluruhan. Selepas itu, jika awak tidak inginkan lagi jawatan tersebut maka lepaskanlah kepada orang yang mempunyai pendirian yang sama seperti awak.” Nasihat Naar Saif itu benar-benar terkesan di dalam hati Enbi. Buat beberapa ketika beliau termenung.

“Jangan berikan jawapan awak sekarang. Fikirkan nasihat dan saranan saya ini untuk beberapa ketika setelah awak berfikir semasak-masaknya.” saran Naar pula.

“Bagaimana kalau saya menolak?” Akhirnya Enbi bersuara. Naar Saif tersenyum.

“Saya tetap akan membantu sahabat awak. Saya menggelarkannya sebagai ‘syarat’ tadi agar awak benar-benar serius memberikan perhatian kepada saranan saya. Dan nampaknya saya telah berjaya mencapai hasrat tersebut.” jawab Naar. Enbi bungkam. Benar-benar orang di hadapannya ini seorang yang bijak sehingga berjaya mempermainkan emosi beliau.

***************************************

Pada masa yang sama di pusat membeli-belah Rendezvous di Stesyen 18, Ipoh...

“Teruk betul awak ni, Nazrul. Boleh pula awak tidur dalam panggung!” omel Raihanah seraya mencubit bahu kanan Nazrul. Nazrul ketawa.

“Jalan ceritanya terlalu perlahan. Tak ada langsung orang bergaduh.” omel Nazrul pula.

“Memanglah! Kan kita menonton cerita romantik. Orang lelaki ni memang tak sensitiflah!” bidas Raihanah. Nazrul ketawa lebih lantang lagi. Tawanya menyurai tatkala telefon selularnya berbunyi. Nazrul segera menyeluk koceknya untuk mengeluarkan gajet tersebut.

“Nazrul di sini. Ya, Nicol. Apahal?  Apa?” Air muka Nazrul berubah tatkala mendengarkan pemberitahuan daripada Nicol tentang keadaan Red Wigwam. Raihanah pada masa yang sama turut berubah air mukanya tatkala Nazrul menyebutkan nama Nicol tadi.

“Ya, aku akan datang sekejap lagi.” ujar Nazrul lagi. Sebaik sahaja mengakhiri perbualan, beliau mengeluh. Wajahnya cukup sugul.

“Mengapa Nazrul?” tanya Raihanah sambil mengusap-usap bahu kanan teman lelakinya.

“Pak cik Red Wigwam diserang penyakit jantung tadi. Dia sekarang di Hospital Raja Permaisuri Bainun. Saya kena pergi ke sana sekarang juga. Saya minta maaf kerana terpaksa mengakhiri janjitemu kita, Hana.” pohon Nazrul. Raihanah mengangguk.

“Tak mengapalah, Nazrul. Pak cik Red dah macam ahli keluarga awak juga. Memang sepatutnya awak bergegas ke sana.” pujuk Raihanah.

“Oh, ya! Macam mana kalau awak ikut saya ke sana sekali?” Tiba-tiba Nazrul membuat cadangan. Air muka Raihanah sekali lagi berubah. Tapi dalam riak kegembiraan.

“Saya seganlah, Nazrul. Lagipun saya bimbang anggota MetroPolis yang lain akan menjadi kekok pula nanti dengan kehadiran saya.” ujar Raihanah berbasa-basi. Pun begitu di kotak fikirannya terbayang wajah Nicol Hanany yang padanya adalah suatu ancaman.

“Mana mungkin! Mereka pasti gembira dapat berjumpa dengan awak. Usahlah bimbang. Jomlah. Jomlah pergi bersama saya.” rayu Nazrul. Raihanah ketawa dengan memek muka teman lelakinya itu yang dilakonkan persis seperti seorang kanak-kanak.

***************************************

Pada masa yang sama; di suatu sudut tersembunyi dekat Taman Ipoh Jaya...

“Tuan Ren! Pak cik Red sekarang berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun. Beliau diserang sakit jantung tadi. Sekarang beliau masih berada dalam Unit Rawatan Rapi. Tapi keadaannya kini telah stabil.” maklum Remy dengan nada cemas. Baharu sekejap tadi Ghanshamdass menelefonnya untuk memaklumkan insiden tersebut. Air muka Ren Fairuz turut berubah. Beliau bingkas bangun.

“Mari kita ke sana sekarang.” arah Ren dengan suara yang agak tegas. Kesemua ahli MetroPolis telah dianggap sebagai sahabatnya. Maka tidak hairanlah perasaan bimbang turut menyelinap di hati Maharaja Pemancung Angin tersebut.

“Terawez tidak mempunyai telefon selular. Tapi saya tahu di mana dia sekarang. Bolehkah kita pergi kepadanya terlebih dulu dan kemudian membawanya bersama kita ke hospital?” tanya Remy tatkala kedua mereka sedang menderapkan langkah pantas ke kenderaannya.

“Itulah yang sepatutnya!” jawab Ren.


- Bersambung -

1 comment:

Anonymous said...

bro..mna smbungnnya?? dh lma menunggu nih..