MetroPolis
Episod 3
Bab
11
Bibit-bibit
Perpecahan (Bah. 4)
Pada masa yang sama di Kumpulan HAMKA
Berhad...
Nicol hanya merenung tajam bapanya
yang begitu sibuk melayani panggilan holofon (pengganti bagi telefon) yang
tidak putus-putus berkunjung ke bilik pejabatnya. Sesekali mata Dato’ Seri
Hamka tertumpu ke arah anaknya. Beliau dapat membaca perangai kurang sabar
Nicol. Namun sengaja dibiarkan anaknya itu menunggu tanpa berlayan dengan agak
lama.
“Baiklah, apa pula hajat kamu datang
ke sini?” tanya bapa Nicol setelah akhirnya selesai melaksanakan urusannya di
talian.
“Oh! Saya khabar baik, ayah. Terima
kasih kerana bertanya. Ayah pula bagaimana? Harapnya sihat-sihat sahaja.”
sindir Nicol.
“Dalam dunia korporat, masa adalah
sangat berharga. Jadi sebarang perbualan remeh adalah suatu pembaziran pada
masa yang bernilai. Ayah kan dah ajar kamu perkara ini? Dah lupa? Semenjak
melepak dengan Nizaruddin (Enbi) kamu dah buang semua ajaran ayah?” tempelak
Dato’ Hamka kembali.
“Dengan anak sendiri pun ayah nak
berkira masa juga?” tanya Nicol.
“Ya. Tak kira siapa. Setiap orang
yang datang berjumpa ayah tanpa sebarang temujanji hanya diberikan masa selama
lima minit saja. Kamu dahpun membazirkan seminit kamu tadi.” balas Dato’ Seri
Hamka. Nicol bungkam seketika. Namun kemudian beliau ketawa kecil. Dari
perbuatan tersebut, ketawanya semakin lantang.
“Apa yang melucukan?” tanya bapanya.
Nicol menggelengkan kepala.
“Baguslah kamu dahpun membazirkan
hampir 30 saat-“
“Bagi saya duit.” Nicol memangkas
kata-kata bapanya. Dato’ Seri Hamka tergamam.
“Janganlah buang masa, ayah. Sudah
dua saat dibazirkan dengan mendiamkan diri. Saya nak duit. Tuliskan cek kepada
saya. Jangan salah eja nama saya.” sindir Nicol memulangkan paku buah keras
kepada bapanya.
“Buat apa minta ayah duit? Bukankah
kau makan gaji dengan Enbi?” tanya Dato’ Seri Hamka.
“Saya nak gunakan duit tu untuk
melancong ke serata dunia. Duit tabung amanah saya yang dibuat oleh arwah ibu atas
nama saya masih ada lagi, kan? Lebih kurang RM124.56 juta kalau tak silap.”
jawab Nicol.
“Kau membazirkan masa berjumpa dengan
ayah untuk membazirkan duitmu?” tempelak bapanya.
“Masa saya. Duit saya. Saya berhak
untuk buat apa saja dengannya. Baiklah, dah hampir empat minit berlalu. Saya
minta ayah uruskan pemindahan kesemua wang tabung amanah ke akaun saya dalam
minggu ini juga. Kalau tidak, peguam saya akan datang ke sini.” Sebaik sahaja
membuat permintaan yang disulami dengan ugutan tersebut, Nicol terus bangun dan
menjauhkan diri dari kerusi yang didudukinya.
“Ada dalam 50 saat lagi. Ayah tahu
mengapa saya ketawa tadi? Saya ketawa kerana Enbi yang umurnya separuh dari
umur ayah terlalu banyak membuang masa dalam menguruskan syarikat-syarikatnya.
Dia buat MetroPolislah, projek Pantai Jelapanglah, rumah anak yatim di Gunung
Rapatlah. Dia selalu melepak makan bubur nasi di restoran kawan baiknya dan rajin
bertandang ke rumah orang-orang bawahannya. Namun dia sekarang adalah sepuluh
kali ganda lebih kaya dan berjaya daripada ayah. Ustaz Ren kawan kami pernah
berkata bahawa masa memang sangat berharga. Ramai yang membazirkan masa mereka
dengan sia-sia kecuali orang-orang yang sentiasa menghubungkan silaturrahim
mereka dengan orang lain dan sentiasa membuat kebajikan dengan ikhlas. Ayahlah
sebenarnya yang paling rugi kerana sentiasa membazirkan masa selama ini.” tempelak
Nicol sebelum meninggalkan bapanya yang tergamam tanpa dapat membalas.
Sebaik sahaja melangkah keluar dari
pintu utama bangunan yang amat mewah bernama Wisma HAMKA, telefon selular milik
Nicol berdering. Beliau dengan segera menyeluk tas tangannya dan menekan butang
menerima panggilan. Nombor yang tertera di skrin telefonnya adalah nombor
MetroPolis.
“Hello?” ucapnya.
“Hello, Nicol. Dass bercakap di sini.
Saya di Hospital Permaisuri Bainun sekarang. Chief pengsan diserang sakit
jantung.” Air muka Nicol berubah mendengarkan makluman tersebut.
“Ya. Saya akan pergi ke sana sekarang
juga.” balas Nicol lantas mengegaskan diri ke keretanya.
***************************************
Sementara itu di Dubai...
Enbi terdiam tak berkutik. Tidak
tersangka olehnya akan syarat yang dikenakan oleh Emissary Drakulon sebagai
balasan untuk menyelamatkan nyawa Catherine. Beliau memandang ke arah Emissary
Blaze. Lelaki tersebut mengangkat kedua bahu tanda beliau juga tidak
tahu-menahu akan hal tersebut.
“Bagaimana, Enbi? Adakah tuan sanggup
menerima syarat saya ini?” tanya Naar Saif. Wajahnya begitu serius sekali,
tanda beliau tidak bergurau. Enbi memandang ke sana-sini seolah-olah jawapan
ada di sekelilingnya.
“Saya tak tahu sebenarnya macam mana
mahu memberikan reaksi pada syarat tuan ini.” jawab Enbi dalam nada
serba-salah.
“Katakan saja ‘ya’, Enbi. Awak selama
ini memang mahukan perubahan yang lebih baik di negara awak. Semua projek yang
telah awak buat termasuk MetroPolis adalah kerana awak mahu menentang dan
memperbetulkan sistem yang telah korup di Malaysia. Sekarang kami menawarkan
jawatan Perdana Menteri iaitu pemimpin nombor satu kepada awak. Jawatan itu
membolehkan awak mengubah halatuju negara Malaysia mengikut cara yang
sepatutnya.” pujuk Naar.
“Cara yang sepatutnya? Dato’ Seri
Khamal juga berasakan bahawa beliau telah membawa halatuju Malaysia dengan cara
yang sepatutnya. Namun tak semestinya orang lain bersetuju dengan cara beliau
yang ‘sepatutnya’ itu. Besar kemungkinan saya juga akan berbuat perkara yang
sama. Memimpin Malaysia mengikut hawa nafsu saya sendiri.” tingkah Enbi.
“Jadi apakata awak mentadbir Malaysia
sebagai seorang hamba? Hamba kepada Allah. Bukan hamba kepada hawa nafsu
seperti pemimpin yang lain. Awak pasti tidak akan sesat selama-lamanya.” balas
Naar. Enbi terdiam seketika.
“Tuan Drakulon. Saya bukanlah seorang
yang alim dalam agama. Saya tak berapa pasti bagaimanakah seseorang itu
memimpin dengan cara Islamik. Saya baru saja belajar solat dan serba-sedikit
asas Fardhu ‘Ain daripada sahabat saya ustaz Ren Fairuz. Saya seorang yang amat
jahil dalam Islam, tuan.” maklum Enbi dengan perasaan segan. Naar Saif
tersenyum dengan sikap merendah diri lawan sembangnya. Ternyata hujah-hujah Ren
adalah benar. Enbi sememangnya memiliki sifat-sifat pemimpin yang dicari.
“Jangan bimbangkan hal itu, Enbi.
Kami akan memimpin tangan awak dan menjadi guru kepada awak untuk mengenal
Allah dan Islam dengan sempurna. Kami juga akan menunjukkan kepada awak bagaimana
untuk menjadi pemimpin yang memimpin mengikut kehendak Allah dan RasulNya. Malah
kami sebenarnya telahpun berbuat demikian selama ini. Cuma awak saja yang tak
menyedarinya.” Kata-kata di penghujung hujah Naar Saif membuatkan Enbi berasa
kehairanan. Malah hatinya berasa kurang enak pula.
“Tuan Drakulon. Saya begitu berat
hati mahu menerima jawatan yang ditawarkan oleh Organisasi kepada saya. Ianya
sungguh berat di mata dan hati saya. Sahabat saya ustaz Ren Fairuz pernah
berkata bahawa menerima jawatan sebagai seorang pemimpin bermakna membuka jalan
yang seluas-luasnya untuk ke neraka. Dia juga pernah memberitahu satu hadis
Nabi Muhammad kepada saya bahawa kalau seorang pemimpin itu mati dalam keadaan
menipu rakyatnya, maka Allah haramkan beliau untuk masuk ke syurga. Begitu
berat sekali amanah yang tuan mahu berikan kepada saya. Saya tak sanggup
menerimanya.” maklum Enbi mencurahkan isi hatinya. Naar tersenyum lagi. Jarang
benar beliau tersenyum. Namun kali ini beliau benar-benar tersenyum dengan
perasaan gembira.
“Saya adalah orang yang pertama
menentang bila Windblade mencadangkan nama awak untuk menggantikan Perdana
Menteri Malaysia yang ada sekarang ini. Namun bersungguhan orang yang awak mahu
terajang itu mempertahankan nama awak. Kini barulah saya tahu mengapa. Awak
telah lulus ujian kelayakan untuk menjadi seorang pemimpin.” perjelas Naar.
“Ujian?” tanya Enbi kembali.
“Dalam surah Al-Qasas ayat ke 83,
Allah berfirman maksudnya : ‘Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang yang
tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di bumi. Dan kesudahan itu
adalah bagi orang yang bertaqwa.’ Abdurrahman Bin Samurah radhiAllahu’anhu
berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepadanya : ‘Wahai Abdurrahman
Bin Samurah, janganlah engkau meminta jawatan, kerana jika engkau memangku
jawatan tanpa memintanya terlebih dahulu, engkau akan diberi pertolongan dalam
menjawatnya; sedangkan jika engkau memangku jawatan dan sebelumnya engkau
memang memintanya, (nescaya) engkau akan dibebani dalam menjawatnya...’
Sekiranya awak memang mengharapkan dan suka akan tawaran untuk dijadikan
sebagai Perdana Menteri Malaysia, maka pastilah saya akan menarik kembali
tawaran tersebut. Namun awak berat hati untuk menerimanya dan
bersungguh-sungguh menepisnya.” perjelas
Naar Saif.
“Itu sebabnya saya lulus dan layak?”
tanya Enbi dengan penuh kemusykilan. Naar mengangguk.
“Abu Hurairah radhiAllahu’anhu
berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda : ‘Sesungguhya kamu kelak akan
mengharapkan jawatan, sementara jawatan itu akan menjadi sumber penyesalan bagi
pemegangnya pada hari kiamat.’ Sahabat-sahabat Rasulullah SAW selepas kewafatan
Baginda kesemuanya begitu berat dan enggan menerima jawatan sebagai pemimpin
Islam kerana tidak sanggup menanggung amanah yang datang bersamanya. Namun
kesemua mereka telah menjadi pemimpin yang amat cemerlang dan hebat. Awak juga
mempunyai pendirian seperti mereka sungguhpun tidak mempunyai keperibadian dan
ketaqwaan seperti mereka. Jadi saya percaya awak akan menjadi seorang pemimpin
yang baik.” perjelas Naar Saif lagi. Enbi terdiam. Lawan sembangnya itu
sememangnya seorang yang amat hebat dan alim dalam ilmu al-Quran dan Hadis.
Setiap percakapannya pasti akan disokong dengan hujah al-Quran dan Hadis.
“Enbi, awak juga tidak tahan dan
benci melihatkan senario di negara awak yang korup dan semakin mereput itu,
bukan? Awak bukan saja hanya berharap seseorang akan mengubahnya, malah awak
sendiri turut tampil mengubahnya dengan menubuhkan MetroPolis, bukan?
Sungguhpun ianya kecil, namun awak berharap MetroPolis akan memberikan sinar harapan
kepada rakyat kelas sederhana dan bawahan yang menderita akibat sistem
pemerintahan yang korup tersebut, bukan?” Enbi hanya mampu mengangguk. Isi
hatinya dibaca seperti sebuah buku oleh Naar sekarang. Hebat sungguh manusia
yang digelarkan Maharaja Emissary ini.
“Daripada Ibn Umar radhiAllahu’anhu,
Rasulullah SAW bersabda : ‘Seorang Muslim adalah saudara Muslimnya yang lain.
Dia tidak boleh menzaliminya dan merendahkannya. Sesiapa yang memenuhi
keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang
menghilangkan kesulitan seorang Muslim, maka Allah akan melepaskan kesulitannya
kelak pada hari kiamat...’ Jawatan Perdana Menteri membolehkan awak menolong
mereka semua, Enbi. Awak telah menolong
mereka dan meredakan kesengsaraan mereka. Sekarang tolonglah mereka semua
dengan besar-besaran dan secara keseluruhan. Selepas itu, jika awak tidak
inginkan lagi jawatan tersebut maka lepaskanlah kepada orang yang mempunyai
pendirian yang sama seperti awak.” Nasihat Naar Saif itu benar-benar terkesan
di dalam hati Enbi. Buat beberapa ketika beliau termenung.
“Jangan berikan jawapan awak
sekarang. Fikirkan nasihat dan saranan saya ini untuk beberapa ketika setelah
awak berfikir semasak-masaknya.” saran Naar pula.
“Bagaimana kalau saya menolak?”
Akhirnya Enbi bersuara. Naar Saif tersenyum.
“Saya tetap akan membantu sahabat
awak. Saya menggelarkannya sebagai ‘syarat’ tadi agar awak benar-benar serius
memberikan perhatian kepada saranan saya. Dan nampaknya saya telah berjaya
mencapai hasrat tersebut.” jawab Naar. Enbi bungkam. Benar-benar orang di
hadapannya ini seorang yang bijak sehingga berjaya mempermainkan emosi beliau.
***************************************
Pada masa yang sama di pusat
membeli-belah Rendezvous di Stesyen 18, Ipoh...
“Teruk betul awak ni, Nazrul. Boleh
pula awak tidur dalam panggung!” omel Raihanah seraya mencubit bahu kanan
Nazrul. Nazrul ketawa.
“Jalan ceritanya terlalu perlahan.
Tak ada langsung orang bergaduh.” omel Nazrul pula.
“Memanglah! Kan kita menonton cerita
romantik. Orang lelaki ni memang tak sensitiflah!” bidas Raihanah. Nazrul
ketawa lebih lantang lagi. Tawanya menyurai tatkala telefon selularnya
berbunyi. Nazrul segera menyeluk koceknya untuk mengeluarkan gajet tersebut.
“Nazrul di sini. Ya, Nicol. Apahal? Apa?” Air muka Nazrul berubah tatkala
mendengarkan pemberitahuan daripada Nicol tentang keadaan Red Wigwam. Raihanah
pada masa yang sama turut berubah air mukanya tatkala Nazrul menyebutkan nama
Nicol tadi.
“Ya, aku akan datang sekejap lagi.”
ujar Nazrul lagi. Sebaik sahaja mengakhiri perbualan, beliau mengeluh. Wajahnya
cukup sugul.
“Mengapa Nazrul?” tanya Raihanah
sambil mengusap-usap bahu kanan teman lelakinya.
“Pak cik Red Wigwam diserang penyakit
jantung tadi. Dia sekarang di Hospital Raja Permaisuri Bainun. Saya kena pergi
ke sana sekarang juga. Saya minta maaf kerana terpaksa mengakhiri janjitemu
kita, Hana.” pohon Nazrul. Raihanah mengangguk.
“Tak mengapalah, Nazrul. Pak cik Red
dah macam ahli keluarga awak juga. Memang sepatutnya awak bergegas ke sana.”
pujuk Raihanah.
“Oh, ya! Macam mana kalau awak ikut
saya ke sana sekali?” Tiba-tiba Nazrul membuat cadangan. Air muka Raihanah
sekali lagi berubah. Tapi dalam riak kegembiraan.
“Saya seganlah, Nazrul. Lagipun saya bimbang
anggota MetroPolis yang lain akan menjadi kekok pula nanti dengan kehadiran
saya.” ujar Raihanah berbasa-basi. Pun begitu di kotak fikirannya terbayang
wajah Nicol Hanany yang padanya adalah suatu ancaman.
“Mana mungkin! Mereka pasti gembira
dapat berjumpa dengan awak. Usahlah bimbang. Jomlah. Jomlah pergi bersama
saya.” rayu Nazrul. Raihanah ketawa dengan memek muka teman lelakinya itu yang
dilakonkan persis seperti seorang kanak-kanak.
***************************************
Pada masa yang sama; di suatu sudut
tersembunyi dekat Taman Ipoh Jaya...
“Tuan Ren! Pak cik Red sekarang
berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun. Beliau diserang sakit jantung tadi.
Sekarang beliau masih berada dalam Unit Rawatan Rapi. Tapi keadaannya kini
telah stabil.” maklum Remy dengan nada cemas. Baharu sekejap tadi Ghanshamdass
menelefonnya untuk memaklumkan insiden tersebut. Air muka Ren Fairuz turut
berubah. Beliau bingkas bangun.
“Mari kita ke sana sekarang.” arah
Ren dengan suara yang agak tegas. Kesemua ahli MetroPolis telah dianggap
sebagai sahabatnya. Maka tidak hairanlah perasaan bimbang turut menyelinap di
hati Maharaja Pemancung Angin tersebut.
“Terawez tidak mempunyai telefon
selular. Tapi saya tahu di mana dia sekarang. Bolehkah kita pergi kepadanya
terlebih dulu dan kemudian membawanya bersama kita ke hospital?” tanya Remy
tatkala kedua mereka sedang menderapkan langkah pantas ke kenderaannya.
“Itulah yang sepatutnya!” jawab Ren.
- Bersambung -
1 comment:
bro..mna smbungnnya?? dh lma menunggu nih..
Post a Comment