Tuesday, May 29, 2012

MetroPolis Episod 3 - Bab 10


MetroPolis Episod 3
Bab 10
Bibit-bibit Perpecahan (Bah. 3)




Balai MetroPolis, pada hari yang sama. Selepas sejam kemudian.

Terawez dan Nicol agak terkejut melihatkan kereta Mercedes Enbi yang diparkir secara tergesa-gesa. Keluarlah Enbi dalam keadaan gegas menuju ke arah mereka. Wajahnya yang pucat lagi kelesuan membuatkan mereka agak cemas.

“Apa dah jadi, Enbi? Awak okeykah?” tanya Nicol.

“Nazrul. Nazrul mana?” tanya Enbi yang nampaknya tidak mempedulikan pertanyaan Nicol.

“Nazrul pergi bersiar-siar dengan teman wanitanya. Tapi dia tak beritahu pula di mana.” balas Nicol dengan nada sedikit tersinggung.

“Baiklah. Dengar sini baik-baik. Aku mahu pergi ke Dubai semula. Ada hal kecemasan.” maklum Enbi dengan tonasi yang agak tertekan dan kelam-kabut. Terawez dan Nicol berpandangan sesama sendiri. Nampaknya Enbi begitu keberatan untuk berkongsi sebab-musababnya dengan mereka berdua.

*************************************

Keesokan harinya...

“Enbi pergi begitu saja? Tak pernah pula selama ini dia buat begitu.” omel Catherine. Nicol yang singgah di restorannya telahpun memaklumkan kepadanya akan tindak-tanduk Enbi  semalam. Beliau menghirup sup ayam yang dihidangkan secara percuma oleh Catherine. Manakala Nazrul yang ikut menemani Nicol hanya minum segelas teh halia sahaja.

“Jadi awak juga tak tahulah sebab dia kelam-kabut ke Dubai semula?” tanya Nicol. Catherine menggelengkan kepala.

“Kalau Nazrul adiknya sendiri pun tak tahu, inikan pula saya.” balas Catherine.

“Oh... Nazrul. Saya tak mahu bercakap dengan dia. Dia dah sakitkan hati saya.” maklum Nicol pula. Nazrul yang berada semeja dengan mereka tergamam.

“Haha! Nampaknya Nazrul ada masalah besar sekarang!” usik Catherine.

“Nicol, kan dah berkali-kali aku meminta maaf? Janganlah begini. Beritahu apa yang patut aku buat supaya kau dapatkan maafkan aku dan kita berbaik semula?” pohon Nazrul.

“Pergi mampuslah kau, Nazrul.” balas Nicol lantas menghirup kembali supnya.

“Haha! Janganlah berkeras sangat, Nicol. Kan kalian berdua adalah kawan baik? Nanti kalau awak merajuk panjang-panjang orang tersalah sangka yang kalian berdua ni sepasang kekasih pula.” usik Catherine lagi. Tergamam seketika Nicol. Beliau merenung ke arah Catherine yang juga merenungnya untuk membaca perasaan sebenar si jelita tersebut.

“Yalah, yalah! Pasal Catherine aku sanggup maafkan kau, bahlul! Tapi kalau kau nak kita berbaik semula, kau mesti habiskan masa seharian denganku esok. Kita sama-sama bercuti esok, kan?” pinta Nicol.

“Nanti aku tanyakan dulu pada Raihanah.” balas Nazrul dengan jawapan diplomatik. Namun ternyata ianya tidak menyukakan hati Nicol.

“Apahal pula kau mesti meminta kebenaran dia untuk keluar bersama kawan baikmu? Dulu sebelum kau mempunyai teman wanita kau tak pula meminta kebenaran daripada Enbi untuk menghabiskan masa denganku!” bentak Nicol dengan geram.

“Nicol, Raihanah tu kan teman wanitaku? Aku tak mahu dia tersalah sangka pula nanti.” balas Nazrul yang masih cuba memujuk. Nicol bingkas bangun. Ternyata alasan yang diberikan oleh Nazrul itu semakin menaikkan darah Nicol.

“Sudahlah! Anggap saja aku dah memaafkan kau tapi aku tak ingin berbaik semula dengan orang yang bodoh macam kau ini!” herdik Nicol sebelum meluru meninggalkan Catherine dan Nazrul. Buat seketika kedua mereka masih termangu-mangu dengan insiden tersebut.

“Apahal dengan si Nicol tu? Dia itu memang gila!” omel Nazrul dengan nada tidak berpuas hati.

“Nazrul, sungguhpun Nicol itu sahabat baik Nazrul tetapi dia tetap seorang perempuan. Hati perempuan sangat sensitif dan mudah terluka, tau? Nazrul tak patut menghina Nicol dan membanding-bandingkan dia dengan perempuan lain.” tegur Catherine dengan lembut.

“Alah, saya melawak saja hari tu.” balas Nazrul mempertahankan diri.

“Bagi orang lelaki tentu saja boleh menerimanya. Tapi kami kaum hawa ini tak dapat menerima gurauan sebegitu. Persahabatan antara seorang lelaki dan perempuan adalah seperti sepasang kekasih juga. Perasaan cinta tiada di dalamnya tetapi yang lain-lain seperti kasih-sayang, rasa hormat dan pengorbanan tetap ada. Letakkan diri Nazrul pada diri Nicol. Kalaulah Nicol mempunyai teman lelaki tetapi Nazrul tidak ada, bagaimanakah perasaan Nazrul pada masa itu? Bagaimanakah perasaan Nazrul bila Nicol asyik menghabiskan masa dengan teman lelakinya dan tidak lagi menghabiskan masa yang berkualiti dengan Nazrul?” Nazrul terdiam mendengarkan teguran daripada orang yang dianggap sebagai kakaknya sendiri. Kata-kata tersebut memang tidak dapat dinafikan kebenarannya. Namun pada masa yang sama ia juga turut mengundang persoalan yang telah lama bersarang di dalam hati Nazrul.

“Kak Catherine dengan abang ngah bagaimana pula?” soalan yang diutarakan oleh Nazrul membuatkan Catherine agak tergamam.

“Apa maksud Nazrul?” tanya Catherine yang masih cuba berpura-pura sungguhpun hati kecilnya mengetahui bahawa ia adalah sia-sia.

“Yalah, saya dah lama mengenali kak Catherine. Saya tahu yang kak Catherine sangat sukakan abang ngah. Tetapi mengapa menolaknya bila abang ngah sudah bersedia untuk komitmen? Kak Catherine nak membalas dendamkah?” tanya Nazrul. Berubah air muka Catherine mendengarkan kemusykilan tersebut.

“Kakak tak mungkin berperangai kebudak-budakkan seperti itu, Nazrul.” balas Catherine.

“Habis tu, apa masalahnya?” tanya Nazrul.

“Ianya sangat rumit, Nazrul...” jawab Catherine. Beliau nampaknya enggan memberitahu alasan yang sebenar.

“Kalau kak Catherine berada di tempat abang ngah, bagaimanakah pula perasaan kak Catherine?” tanya Nazrul. Catherine menggelengkan kepala.

“Tak adil Nazrul. Tak patut Nazrul menggunakan nasihat kakak tadi untuk mengenakan kakak pula.” bantah Catherine dengan agak geram.

“Saya bukan nak mengenakan kakak. Tapi apa yang kakak telah lakukan pada abang ngah samalah seperti apa yang saya lakukan pada Nicol. Abang ngah sudah tak keruan jiwanya sekarang sebab kakak tak memberikan sebarang alasan yang beliau boleh faham dan terima. Adakah itu adil dan patut untuk abang ngah?” tanya Nazrul pula. Catherine langsung terdiam. Giginya mengetap kemarahan. Namun beliau terpaksa menerima hakikat bahawa beliau telah membuat tindakan yang serupa dengan Nazrul terhadap orang yang disayanginya walau apa alasan sekalipun.

****************************************

Beberapa jam kemudian di suatu sudut tersembunyi dekat Taman Ipoh Jaya...

Seperti yang dijanjikan, Ren Fairuz sudahpun berada di kawasan kolam buatan tatkala Remy tiba di situ. Beliau dengan santainya duduk di bawah pohon yang rendang sambil membaca buku. Di sisinya terdapat sebatang joran yang dihalakan tali pancingnya ke dasar kolam tersebut.

“Assalamu’alaikum.” tegur Remy dengan sopan.

“Wa’alaikum salam warahmatullah.” balas Ren seraya mengangkat kepala memandang ke arah si pemberi salam. Senyuman ceria terlakar di bibirnya. Remy segera melabuhkan punggungnya di atas rumput bersebelahan dengan Ren Fairuz.

“Berapa ekor ikan yang tuan dah tangkap?” tanya Remy dengan sopan. Ren Fairuz tidak menjawab. Sebaliknya beliau mengangkat jorannya tinggi-tinggi untuk menunjukkan kepada Remy. Ternyata tali pancing itu hanya diikat dengan sebatang skru tumpul yang agak besar.

“Bagaimana nak menangkap ikan kalau macam ini?” tanya Remy kehairanan. Ren Fairuz ketawa.

“Saya tak berniat pun mahu menangkap ikan. Lagipun saya tak sanggup menyakiti ikan dengan menggunakan mata kail yang bercangkuk lagi tajam. Remy terdiam. Segera dia teringat bahawa Ren adalah juga seorang ulama yang amat warak. Orang yang alim seperti Ren mana mungkin mahu membuat sesuatu yang akan menyiksa haiwan hatta seekor nyamuk sekalipun.

“Terawez memberitahu saya bahawa Enbi telah bertolak ke Dubai semula semalam.” maklum Remy. Ren hanya memandang tepat ke arah orang bawahan terbaharunya tanpa berkata apa-apa. Kemudian beliau ketawa kecil.

“Kenapa tuan?” tanya Remy dengan penuh kemusykilan.

“Nampaknya benarlah seperti ramalan si Zoei. Memang semuanya ini telah ditakdirkan.” ujar Ren. Remy mengerutkan dahinya tanda tidak faham.

“Takdir apa, tuan?” tanya Remy.

“Nanti awak akan faham, Remy.” jawab Ren sambil tersenyum. Benar-benar beliau berniat untuk membiarkan Remy dalam kusut pertanyaan.

************************************

Pada hari yang sama, di Dubai...

Enbi tidak menyangka begitu senang sekali beliau dibawa berjumpa dengan Maharaja Ular Bara Merah alias Emissary Drakulon alias Naar Saif. Pendekar Emissary yang amat hebat tetapi pendiam tersebut dengan senang hati menerima kedatangan Enbi yang langsung tidak membuat sebarang janjitemu.

“Assalamu’alaikum! Tuan Enbi rupa-rupanya!” sapa Emissary Blaze yang merupakan orang kanan Maharaja Ular Bara Merah. Mereka yang berada di dalam bilik mesyuarat di kediaman rasmi Emissary saling berjabat tangan. Blaze tersenyum atas sikap Enbi yang masih berani dan begitu semberono sekali mahu bertemu dengan gurunya. Tidak ramai orang yang berani untuk bertemu secara terus dengan Naar Saif sungguhpun tiada sebarang sekatan atau birokrasi untuk berbuat demikian.

“Wa’alakum salam, tuan Blaze. Assalamu ‘alaikum, apa khabar tuan Drakulon?” sapa Enbi pula yang kini sedang bersalaman dengan Maharaja Ular Bara Merah. Naar Saif dengan perlahan membalas ucapan salamnya itu.

“Dapatkah tuan Enbi mencari pasukan kontraktor yang sesuai untuk projek pembaikan kubu kami?” tanya Emissary Blaze. Enbi menggelengkan kepala.

“Tuan Drakulon; saya ingin meminta pertolongan daripada tuan. Saya tahu bahawa saya agak keterlaluan tetapi hanya tuan sahaja yang boleh menolong saya.” pinta Enbi. Naar Saif dan Blaze bungkam buat seketika. Tak lama kemudian akhirnya bunyi tawa kecil jelas kedengaran terpacul dari mulut Naar Saif.

“Awak ini sentiasa membuatkan saya berasa senang hati, Enbi. Saya masih gagal meramalkan tindak-tanduk awak hingga kini. Baiklah, apa yang saya boleh bantu awak? Kalau saya mampu, InsyaAllah saya akan cuba sedaya upaya saya.” balas Naar Saif.

“Saya ingin berjumpa dengan tuan Emissary Mayhem. Saya ingin berjumpa dengannya segera. Kalau boleh minggu ini juga!” pinta Enbi dengan suara yang tegas. Tergamam orang-orang yang berada di situ hatta Emissary Blaze dan Maharaja Ular Bara Merah sekalipun. Sekali lagi Naar Saif ketawa. Kali ini dengan agak lantang.

“Sekali lagi saya tak menjangkakannya. Awak memang istimewa, Enbi. Padanlah Windblade dari awal-awal lagi telah memberikan perhatiannya kepada awak.” ujar Naar. Enbi agak terkejut dengan pernyataan tersebut.

“Emissary Windblade?” tanyanya. Naar Saif mengangguk.

“Permintaan awak itu sangat berat, Enbi. Saya dan Mayhem bukanlah rapat. Malah saya tak berapa sukakan dia. Bahkan Mayhem bukanlah seorang yang mudah untuk dicari. Beliau lebih suka menyendiri dan berkelana daripada mentadbir jajahan. Selepas mesyuarat, pihak Organisasi cuba mencarinya. Tetapi hingga kini gagal menemukannya.” maklum Naar. Enbi bungkam. Air mukanya berubah serta-merta. Jelas perasaan kecewa terpalit di wajahnya yang tadi berhias dengan harapan.

“Adakah begitu penting untuk awak berjumpa dengannya dengan begitu cepat?” tanya Naar Saif yang dapat membaca dengan jelas perasaan Enbi. Enbi mengangguk lemah.

“Orang yang saya amat sayangi akan mati kalau saya tidak segera bertemu dengannya.” maklum Enbi dalam nada sebak. Naar menggelengkan kepala.

“Jangan kata begitu. Hidup dan mati seseorang itu di tangan Allah; bukannya manusia. Kalaupun awak berjaya bertemu dengan Mayhem, belum tentu dia dapat menyelamatkan orang yang awak sayangi.” nasihat Naar.

“Tapi tuan, Mayhem yang sebelum ini telah berjaya menyelamatkan sahabat saya itu. Tetapi kini kesemua sel-sel dalam tubuh sahabat saya mati dan mungkin dia akan mati tanpa mayat.” maklum Enbi. Air matanya jelas berlinangan di pipi.

“Oh...Saya pernah mendengar teknik ini. Teknik ini memacukan sel-sel dalam tubuh untuk penyembuhan segera demi untuk menyelamatkan nyawa seseorang. Tetapi sel-sel itu akan mengalami kehausan yang melampau dan berderai sebelum sempat digantikan oleh sel-sel yang baru.” ujar Naar Saif.

“Ya! Ya! Doktor juga ada menyebut tentang sel yang haus melampau. Itu sebabnya sahabat saya akan mati. Tolonglah tuan Drakulon. Tolonglah saya.” rayu Enbi dengan bersungguh-sungguh. Naar dan Blaze berpandangan sesama sendiri.

“Janganlah bersedih dan risau lagi, tuan Enbi. Tanpa tuan Mayhem pun, sahabat awak boleh diselamatkan, InsyaAllah.” maklum Blaze. Enbi terkedu. Esaknya langsung mati. Bibirnya perlahan-lahan mengukir senyuman gembira.

“Be.. Betulkah apa yang tuan Blaze katakan ini?” tanya Enbi dalam nada separa berteriak. Blaze menganggukkan kepala.

“Tuan Drakulon juga adalah seorang doktor dan merupakan pakar dalam biogenetik.” maklum Blaze pula. Enbi mengarahkan pandangannya pada Naar Saif.

“Be... Betul ke?” tanya Enbi.

“Saya bukanlah pandai sangat tetapi saya pernah menolong orang dalam kes yang sama dengan sahabat awak. InsyaAllah saya akan cuba.” jawab Naar. Enbi terus memeluk Naar lantas menangis tersedu-sedan.

“Terima kasih tuan! Terima kasih.” ucapnya dalam esakan. Kesemua yang berada di situ berasa amat terkejut. Malah Naar juga. Beliau memandang ke arah anak buahnya. Emissary Blaze tersenyum sambil cuba menahan tawa.

“Nampaknya tuan Enbi tak takutkan sesiapa pun.” komen Blaze sebelum ketawa berderai.

************************************

Pada hari yang sama. Di balai MetroPolis.

Red Wigwam begitu asyik mengemaskan fail-fail tugasan yang tadinya berlambakan di atas meja. Mulutnya tidak henti-henti menyanyikan lagu-lagu lama. Hatinya begitu riang sekali. Ghanshamdass yang sedang bertugas bersamanya hanya tersenyum sahaja sambil memerhatikan telatah warga tua tersebut.

“Chief nampaknya begitu riang sekali hari ini.” tegur Ghanshamdass. Red Wigwam berhenti menyanyi. Beliau memalingkan wajahnya ke arah Ghanshamdass dengan senyuman ceria.

“Saya berasa sangat gembira kerana kini saya bersama dengan anak menantu serta cucu-cucu saya. Malah anak saya telahpun mendapatkan pekerjaan di Bank Enbi. Nampaknya mereka akan terus tinggal di Malaysia. Dan saya tidak bercadang untuk berhijrah ke mana-mana lagi selepas ini.” maklum Red Wigwam.

“Saya tumpang gembira dengan keadaan Chief sekarang.” ujar Ghanshamdass. Red Wigwam tersenyum dan menganggukkan kepala tanda berterima kasih di atas perucapan tersebut. Namun tiba-tiba air mukanya berubah.

“Eh, Chief? Kenapa Chief?” tanya Ghanshamdass. Red Wigwam tidak menjawab. Sebaliknya tubuh beliau terus lembik menyembah ke lantai. Mujurlah Ghanshamdass dengan tangkas melompat dan merangkul tubuh Red Wigwam.

“Chief! Chief!” teriak Ghanshamdass dengan lantang. Namun tubuh Red Wigwam tidak menguit walau seinci pun.

- Bersambung -

No comments: