Sunday, December 4, 2011

MetroPolis Episod 3 - Bab 01

MetroPolis Episod 3

Bab 1

Mula

Pada masa 100 tahun akan datang...

Di suatu kawasan yang agak tandus di Chile. Tiga bulan kemudian...

Chile adalah antara negara yang mengalami kesan peperangan yang paling teruk. Kawasan tersebut akhirnya berjaya dikuasai oleh Pertubuhan Masonik. Namun bak kata pepatah “kalah menjadi abu tetapi menang menjadi arang”. Kini negara tersebut telah dijadikan tempat pembuangan sisa toksik dan radioaktif pihak Masonik. Namun bagi pendekar Masonik yang ingin mendalami latihan keras dan mempertingkatkan ilmu Kabbalah mereka, Chile juga adalah tempat yang amat sesuai sekali untuk bertapa.

Akan tetapi pada hari ini, salah suatu kawasan tandus di Chile ini bagaikan neraka di dunia. Api raksasa yang amat marak lagi panas menjulang ganas di beberapa kawasan dalam radius 500 meter persegi. Kelihatan lima buah pesawat terbang Masonik kelas pemusnah kini telahpun terhempas menyembah bumi. Komponen-komponen bangkai pesawat tersebut bertaburan di sana-sini. Ratusan mayat tentera Masonik juga bergelimpangan di merata tempat. Keadaan mereka yang telah dibunuh tidaklah sanggup untuk dipandang oleh orang yang lemah semangatnya. Ada yang rentung terbakar. Ada juga yang lumat daging dan tulang-temulang mereka. Malah ada yang hilang beberapa anggota tubuh dengan cara yang amat pelik.

Di antara mayat-mayat tersebut, masih terdapat seorang lagi tentera Masonik yang masih bernyawa. Beliau adalah seorang pendekar Grandmaster yang amat handal lagi berpengalaman. Namun ternyata beliau tidak lagi mampu berbuat apa-apa tatkala kepalanya dicengkam kemas oleh pihak lawan. Kedua lututnya kejap menyentuh bumi. Tubuhnya kemas dililiti oleh akar-akar pokok yang muncul disekelilingnya. Orang yang mencengkamnya tersenyum gembira. Beliau tidak lain tidak bukan adalah Ren Fairuz alias Maharaja Pemancung Angin.

“Nikolas Rothschild, saya amat gembira akhirnya kita dapat bertemu. Saya memang selalu menanti-nantikan peluang untuk kita berjumpa. Akhirnya peluang itu terbuka bilamana awak datang ke sini untuk menjalani pertapaan.” ujar Ren Fairuz.

“Apa.. yang kau... mahu...” tanya Nikolas dengan payah. Tubuhnya penuh dengan kecederaan berat. Namun lawannya itu hanya mengalami kecederaan ringan sungguhpun berseorangan menghadapi mereka semua. Malah kuasa lawannya itu benar-benar di luar jangkaan. Nikolas mengenali akan sifat kuasa lawannya itu. Emissary Windblade adalah pendekar dengan Karamah elemen angin. Namun apabila mereka bertempur, kuasa lawannya itu jauh berbeza dari apa yang diketahui olehnya.

“Awak memiliki kuasa Kabbalah untuk mengawal Tlaloc, jin elemen elektrik yang amat kuat selain dari Thor dan Zeus. Itu sebabnya saya memilih awak sebagai lawan.” jawab Ren Fairuz. Jika diperhatikan dengan teliti, terdapat arus kuasa kekuningan mengalir keluar tidak putus-putus dari kepala Nikolas dan masuk ke dalam tangan Ren yang kemas mencengkamnya.

“Kau... Kau bukan Wind...blade...” ujar Nikolas. Nafasnya semakin mencungap. Tenaganya semakin beransur-ansur menurun. Ren Fairuz tidak menjawab. Beliau sebaliknya melepaskan cengkaman tangan di kepala Nikolas. Ini adalah kerana kerjanya tadi telahpun sempurna.

“Jin pertama yang saya makan ialah jin elemen angin. Agaknya itulah sebab orang memanggil saya dengan gelaran Windblade atau Pemancung Angin.” maklum Ren Fairuz. Terbeliak mata Nikolas mendengarnya. Kini beliau dapat mengagak mengapa Ren Fairuz memiliki kuasa-kuasa yang pelbagai ketika bertempur. Ren Fairuz berundur sedikit ke belakang. Telapak tangan kanannya dihalakan tepat ke arah Nikolas.

“Mus.. mustahil!” teriak Nikolas dengan lemah.

Aukasoyyibimminassamaaaa ifiihi zhulumaatunww wara’ dunww wabarq (Al-Baqarah 19)” ucap Ren. Serta-merta telapak tangannya memancar-mancar dengan arus tenaga elektrik bervoltan tinggi dan terus menyaluti setiap inci tubuh Nikolas. Terjerit-jerit pendekar berpangkat Grandmaster tersebut kesakitan. Setelah hampir lima saat kemudian, baharulah Ren berhenti.

“Tla... Tlaloc... Apa.. dah... jadi... Apa dah jadi pada Tlaloc!” pekik Nikolas sekuat-kuat hati. Tubuhnya berasap. Beliau yang kebal terhadap arus elektrik kini mengalami kesakitan yang tidak terperi. Ren Fairuz tidak segera menjawab kemusykilan lawannya tadi. Beliau tersenyum dengan penuh makna.

“Tlaloc... Saya dah baham.” jawab Ren seraya mengucapkan potongan ayat dari Surah Al-Mursalat ayat ke 32. Tangan kanan Ren meledakkan pula letusan api yang amat marak yang menghanguskan keseluruhan tubuh Nikolas.

***************************************

Pada masa yang sama di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengarah Bank Enbi Sdn. Bhd., Malaysia...

Enbi tersenyum. Hanya beliau seorang sahaja yang tersenyum. Malah Nazrul yang sepatutnya tersenyum bersamanya menunjukkan wajah kaget pula. Di hadapan mereka kini adalah wajah-wajah ahli lembaga pengarah lain yang tidak berkongsi perasaan yang sama dengan Enbi. Ada yang amat terkejut sehingga tidak berkesudahan mengurut-urut dada untuk mengurangkan kesakitan. Ada yang mengetap gigi menahan kemarahan yang tiada terhingga. Tidak kurang juga yang pucat lesi sehingga bergenang air mata.

“PENIPU!” jerit Dato’ Suffian yang merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah tersebut. Beliau yang juga adalah bapa saudara Enbi dan Nazrul menumbuk muka meja sekuat-kuat hati. Enbi tersenyum. Sedikitpun beliau tidak berasa gentar. Walau Emissary Mayhem pun tidak mampu menakutkannya, inikan pula orang tua korporat yang jahil tetapi mengaku pandai di hadapannya ini.

“Kenapa pak cik mahu marah-marah pula? Bukankah pak cik sendiri yang mengusulkan agar nilai modal syer syarikat ini dinaikkan? Kini terima kasih kepada pak cik, saya berjaya menguasai 75 peratus daripada syer Bank Enbi Sdn. Bhd. Dua puluh peratus syer pula saya telah jualkan kepada Nazrul secara hutang. Lima peratus lagi masih menjadi milik kesemua lembaga pengarah yang ada di sini.” tempelak Enbi dengan lakonan lelaki yang budiman. Enbi telah mengenalapsti kesemua syarikat yang membeli syer Bank Enbi Sdn. Bhd. setelah resolusi menaikkan nilai syer dilaksanakan. Beliau kemudian telah menggunakan sokongan Organisasi untuk memaksa syarikat-syarikat tersebut menjual kembali kesemua syer itu kepadanya. Tiada syarikat yang sanggup membantah dengan ‘tawarannya’ itu. Lagipun nilai belian balik syer yang ditawarkan adalah lebih tinggi dari harga yang telah dibeli. Lebih baik mendapat untung dari kehilangan segala-galanya.

“Kau telah memaksa kesemua syarikat yang membeli syer Bank Enbi untuk menjual kembali kepadamu, bukan? Ini adalah suatu kesalahan jenayah, Enbi!” ancam Tuan Haji Azman yang juga bapa saudara kepada Enbi dan Nazrul. Beliau serkap jarang sahaja. Enbi tersenyum sinis. Beliau tahu bapa saudaranya itu membuat andaian semata-mata.

“Bila pula saya memaksa mereka? Saya menawarkan nilai tiga puluh peratus lebih tinggi dari nilai yang mereka telah beli. Tentulah mereka bersetuju. Dalam masa sebulan setengah selepas membeli syer mereka mendapat untung tiga puluh peratus dari hasil jualannya. Orang gila sahaja yang enggan menjualkannya.” balas Enbi seraya tertawa sinis. Beliau tahu bahawa kesemua syarikat tersebut berjanji untuk bersatu dan menamakan Professor Dato’ Azhan sebagai pengerusi Bank Enbi Sdn. Bhd. selepas ini. Namun nampaknya perancangan mereka semuanya menjadi suatu angan-angan kosong sekarang.

“Dari mana kau mendapat wang untuk membeli hampir majoriti syer tersebut, Enbi?” tanya Professor Dato’ Azhan yang cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan rasa sakit hatinya. Beliau sedar bahawa Enbi cukup seronok sekarang melihat perasaan kecewa yang terzahir pada air muka mereka.

“Itu tak perlu kalian ambil tahu. Sekarang yang kalian cuma perlu tahu ialah aku tak memerlukan khidmat kalian lagi sebagai lembaga pengarah. Tunggulah sahajalah surat pemecatan daripada setiausaha sulitku. Kalian duduklah di rumah bermain dengan cucu dan tunggu sahaja dividen tahunan daripada Bank Enbi Sdn. Bhd.” balas Enbi. Kali ini beliau mula bersikap kurang ajar dengan kesemua bapa saudaranya.

“Kurang ajar! Kau jangan biadap sangat, Enbi! Ingat dengan siapa kamu bercakap sekarang!” jerkah Datuk Razis. Beliau benar-benar telah naik angin sekarang.

“Aku memang ingat dengan siapa yang aku bercakap sekarang. Kau, kau, kau... kau semualah yang telah mengkhianati dan menganiayai bapa kami. Bapa kami mati dalam keadaan miskin, berhutang keliling pinggang dan patah hati. Kamu semua pula bersenang-lenang dengan duit yang kalian dapati dengan cara menganiayai bapa kami. Sekarang kalian cuba nak menganiayai aku pula? Hei, kalian ingat kalian ini siapa nak bersaing denganku? Aku berjaya merampas kembali syer milik bapa kami dulu dengan muslihat. Kini aku berjaya sekali lagi memperdayakan kalian semua. Memang aku ingat dengan siapa aku bercakap sekarang. Apa yang aku ingat ialah kalian semua cumalah biawak di paya yang percaya dirinya seekor naga di angkasa.” tempelak Enbi disudahi dengan tawa sinisnya.

“Bangsat kau ini, Enbi!” pekik Datuk Razis seraya bangun dan meluru ke arah Enbi. Namun langkahnya itu terhenti kerana seorang lelaki yang berdiri jauh di belakang Enbi kini tampil ke hadapan dengan dua pucuk pistol yang diacukan tepat ke arahnya. Orang yang mengawal Enbi tersebut tidak lain tidak bukan adalah Remy.

“Kau ini sudah melampau, Enbi! Kau ternyata menyalahgunakan kuasa polis untuk menindas kami semua sekarang!” teriak Tuan Haji Zaharim. Enbi ketawa berdekah-dekah mendengarkan protes tersebut.

“Kalau si Razis ini membelasahku tadi, tentu aku pula yang ditindas. Jadi apa bezanya tindakannya dengan tindakanku?” tempelak Enbi. Lembaga pengarah yang lain merangkap bapa saudara Enbi hanya diam bersama wajah yang masam mencuka. Enbi pula berpaling ke arah gambar potret bapanya yang di gantung di dinding sebelah kanan bilik mesyuarat tersebut. Gambar yang berukuran saiz 40R itu ditatapnya dengan senyuman gembira.

“Abah, sekarang saya sudah berjaya membalas dendam untuk abah dan mengembalikan maruah abah.” ujar Enbi dalam hati.

*******************************************

Sementara itu di Ibu Pejabat Kontinjen SPMB di Bukit Antarabangsa...

“Dato’ Seri... Dato’ Seri mesti menolong kami dalam sokongan kewangan. Semenjak MetroPolis ditubuhkan, pendapatan kami menyusut sebanyak 30 peratus. Perbelanjaan kami mengalami defisit dalam anggaran lima puluh juta ringgit. Malah semenjak kematian Tan Sri Albaeen dan perletakan jawatan Datuk Seri Rathinathan, SPMB menjadi semakin lemah dan hilang pengaruhnya. Dato’ Seri mesti membantu kami. Kalau tidak matilah kami di SPMB ini.” rayu Dato’ Aideet yang baharu sahaja memegang tampuk kempimpinan tertinggi dalam Syarikat Polis Malaysia Berhad. Dato’ Seri Khamal yang merupakan Perdana Menteri Malaysia buat masa ini bungkam. Beliau mencari-cari bait ayat yang sesuai untuk diungkapkan. Ancaman daripada Emissary Mayhem masih menghantuinya hingga terbawa-bawa di dalam mimpi sampai sekarang.

“Aku sudah tak berdaya lagi, Aideet. Ketua MetroPolis yang dikenali sebagai Enbi dipercayai mempunyai sokongan Organisasi. Maharaja Naga Petir sendiri yang menyokong pertemuannya denganku dan kemudian memaksaku untuk bersetuju dengan semua permintaan Enbi. Ternyata beliau bukan sembarangan orang.” balas Dato’ Seri Khamal.

“Habis, Dato’ Seri tak mahu langsungkah membantu SPMB?” tanya Dato’ Aideet dengan nada yang agak kecewa. Perdana Menteri Malaysia tersebut tersenyum kelat.

“Setakat bantuan kewangan, aku mungkin boleh bantu. Selain dari itu, aku tidak berani. Tiada kuasa politik yang berani menyentuh walau sehelai bulu roma anggota MetroPolis sekalipun sekarang. Kau tiada di sana pada ketika Maharaja Naga Petir mengamuk di kediaman rasmiku. Bukan sahaja jentera perang dan bala tentera elitku dihapuskan dengan sekelip mata, malah dua orang pendekar berpangkat Grandmaster yang mengawalku juga dibunuh dengan begitu mudah sekali olehnya. Sehingga sekarang aku berasa amat takut bila teringatkan akan peristiwa itu.” jawab Dato’ Seri Khamal dengan nada gugup di hujung bait ayatnya.

*************************************

Lebih kurang sejam kemudian, di Hospital Ibnu Sinna...

Enbi menarik nafas sedalam-dalamnya. Kemudian tatkala menghembuskannya, beliau memandang wajah Nazrul yang mengiringinya dengan senyuman.

“Dik, kau dapat bau tak?” tanya Enbi. Hidung Nazrul berdesit-desit menghidu.

“Entah, bau ubat sahaja. Abang ngah terkentutkah?” tanyanya dalam nada bergurau. Enbi menembi lengan kiri Nazrul dengan agak kuat.

“Bodoh! Aku bercakap secara kiasan. Aku dapat menghidu bau kemenangan. Kau dapat tak membaunya?” tanya Enbi. Langkah mereka masih dihalakan ke wad di mana Catherine ditempatkan. Kini telah hampir empat bulan gadis manis itu di dalam keadaan koma. Namun syukurlah kecederaannya telahpun seratus-peratus sembuh. Rambutnya yang cantik itu kembali tumbuh melebat. Kulitnya yang melecur terbakar telahpun mengelupas keluar dan digantikan dengan kulit baharu yang lebih mulus, lembut dan licin. Malangnya doktor tidak dapat berbuat apa-apa mengenai tangan kanannya yang telah kudung akibat pertempuran dengan Algojo Kilat tempohari.

“Tentu sahaja saya gembira dengan kejayaan abang ngah menguasai majoriti syer Bank Enbi dan hak abah daripada bapa-bapa saudara kita. Tapi saya masih risau sebab abang ngah masih enggan bercerita tentang identiti pelabur yang telah membantu abang ngah.” balas Nazrul.

“Aku sememangnya ingin memberitahumu, Nazrul. Tapi aku dah berjanji dengan mereka. Mereka tak mahu dikenali. Itulah antara syarat untuk mereka melabur denganku. Jadi maafkan aku sebab tak dapat berkongsi tentang hal itu denganmu, dik.” balas Enbi dengan nada keberatan. Nazrul terdiam. Sekali lagi topik tersebut menghala ke jalan buntu. Kini kaki kedua beradik tersebut telahpun pegun di bilik 786. Di situlah wad di mana Catherine masih dibuai lena yang amat panjang. Wajah Enbi serta-merta berubah. Air mukanya yang ceria tadi kini diselubungi perasaan kesedihan yang tidak terhingga. Gadis yang amat disayanginya itu masih belum terjaga dari komanya.

“Bersabarlah, bang ngah...” pujuk Nazrul tatkala pintu bilik dikuak. Namun pujukan Nazrul mati di situ. Di hadapan mereka adalah Catherine; yang kini sedang duduk di atas katilnya dengan mata tepat merenung ke arah mereka. Bersama-sama Catherine adalah Nicol Hanany yang kini bertugas mengawal dan menjaga gadis itu.

“Kak Catherine!” seru Nazrul dengan nada hampir berteriak. Air matanya bergenang. Catherine tersenyum. Lemah tetapi masih nampak manisnya.

“Hai Nazrul...” sapa Catherine. Nadanya juga lemah. Ternyata beliau baharu sahaja terjaga dari komanya. Kini mata Catherine terarah pula kepada Enbi. Enbi tercegat di situ. Pandangannya tidak berkelip ke arah Catherine.

“Enbi... maafkan saya...” ucap Catherine pula. Air matanya mulai bergenang.

“Enbi, aku minta maaf kerana tak memberitahumu. Catherine telahpun terjaga sejam yang lalu. Tapi dia minta aku rahsiakan kerana tidak mahu mengganggu mesyuaratmu.” maklum Nicol. Enbi tidak berkata apa-apa. Sebaliknya beliau berjalan ke arah Catherine. Kemudian mendakapnya dengan erat.

“Cat... Aku minta maaf... Aku minta maaf...” pohon Enbi dalam esakan tangisnya. Air mata Catherine yang diseka tadi akhirnya tumpah berjurai mengalir di kedua pipi. Nicol turut mengalirkan air mata. Beliau memandang ke arah Nazrul yang juga dikuasai oleh tangisan keharuan. Nazrul juga turut memandangnya dengan senyuman. Nicol dalam esakannya masih mampu tersenyum kembali.

Enbi masih teresak-esak dan memohon maaf buat kesekian kalinya. Catherine tersenyum. Kedua tangannya diangkat perlahan-lahan dan mendakap tubuh Enbi seerat mungkin. Hatinya tidak pernah berasa sebahagia begini. Jika boleh, beliau ingin berperasaan seperti ini selama-lamanya.

- Bersambung -

No comments: