MetroPolis Episod 3
Bab 2
Emosi
Seminggu kemudian...
“Hai Cat!” tegur Enbi yang kebiasaannya tidak pernah pun membalas sapaan Catherine sebelum ini. Apatah lagi untuk menyapanya dengan begitu lembut dan mesra. Catherine yang sedang membelek-belek pokok Bonsai milik bapanya di halaman rumah segera memanggung kepala ke arah Enbi. Bibirnya pantas melirikkan senyuman gembira dan teruja. Bahasa tubuhnya begitu ketara menunjukkan bahawa beliau ingin segera bergerak menuju ke arah Enbi.
“Tak mengapa, Cat! Biar aku yang datang. Tunggu! Tunggu!” seru Enbi dengan agak lantang lantas segera berlari mendapatkan Catherine. Gadis manis yang masih berkerusi roda semenjak keluar dari hospital terus membatalkan hasrat tadi. Beliau menunggu Enbi dengan senyuman yang nyata gagal menyembunyikan rasa terujanya.
Sebaik sahaja langkah Enbi tiba di hadapan Catherine, beliau terus melutut di hadapan gadis tersebut. Kedua tangan Catherine dipautnya dengan erat. Catherine spontan merenung ke arah tangan kanannya yang kini telah tiada. Lelaki idamannya itu cuma memegang bahagian pergelangannya. Enbi segera terperasankan perkara tersebut tatkala melihat mata Catherine beralih ke situ. Beliau memandang ke arah yang Catherine pandang dan kemudian memandang kembali ke mata gadis itu. Mata Catherine telahpun terfokus ke arahnya. Cuba mencari reaksi jujur daripada lelaki idamannya.
“Maafkanku, Cat.” Itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Enbi. Wajah cerianya tadi kini terpalit dengan perasaan kekesalan yang amat ketara. Matanya yang tertancap pada renungan gadis tersebut kini mulai berkaca dioles dengan air mata.
“Tak mengapa, Enbi. Saya amat gembira kerana nyawa saya masih panjang. Pada malam kejadian itu, saya ingatkan bahawa saya tak akan dapat berjumpa dengan Enbi lagi.” pujuk Catherine. Beliau enggan melihat Enbi menangis lagi. Tangisan kekesalan Enbi di Hospital Ibnu Sinna pada tempoh hari cukup menyayat perasaannya sehingga beliau turut menumpahkan air mata.
“Ya, syukurlah kepada Allah. Aku masih dapat melihat wajahmu. Aku masih dapat melihat senyumanmu, renungan mata lembutmu. Aku masih dapat mendengar suaramu. Tiada apapun yang boleh menggantikan semua itu bila kau koma pucat dan lesu berbulan-bulan lamanya. Barulah aku tahu betapa bermaknanya kau dalam hidupku, Cat. Aku... aku hampir kehilangan semuanya itu. Aku... aku sangat takut, Cat.” ujar Enbi. Suaranya bergetaran.
“Jangan begitu, Enbi.” ujar Catherine dengan lembut. Beliau perlahan-lahan membongkokkan tubuh. Lengannya memaut kemas tubuh Enbi. Beliau turut merasakan tubuhnya juga didakap dengan erat.
“Hidup aku memang tak bermakna kalau kau tiada, Cat.” bisik Enbi.
“Hei... cakap Enbi tadi macam orang tengah bercintalah!” usik Catherine. Tubuhnya bergoncang kecil mengikut ritma tawanya.
“Ya, memang benar.” balas Enbi. Terbeliak mata gadis itu dibuatnya. Jantungnya seakan-akan hendak luruh ke bumi.
“Enbi...” ujar Catherine dengan nada bergetar. Seluruh tubuhnya kini memberikan tindakbalas emosi yang bercelaru sehingga gadis itu tidak tahu untuk bertindak dengan sewajarnya.
“Hoi! Jangan buat onar di tempat awam! Carilah bilik!” pekikan David segera mematikan suasana yang mengujakan tadi. Catherine seolah-olah baharu terjaga dari lamunannya tatkala Enbi melepaskan rangkulan dan bertindak menjauhkan diri.
“Sial kau ini, David!” teriak Enbi seraya menerkam ke arah abang Catherine. Tendangan yang dilepaskan ke arah David adalah sia-sia kerana lelaki tersebut bertindak pantas melarikan diri.
“Hoi bodoh! Kau tendang apa? Macam mana kau nak melindungi kekasihmu itu nanti, hah?” ejek David seraya ketawa. Beliau masih berlari-lari di sana-sini untuk mengelakkan Enbi.
“Tunggu di situ dan kau tahulah aku ini layak atau tak!” balas Enbi dengan keras. Beliau masih melompat-lompat dan melepaskan tendangan secara membabi-buta.
“Aiya...” keluh Catherine. Ternyata kedua orang yang dikasihinya itu masih tidak berubah perangai sepanjang tempoh beliau koma. Pun begitu senyuman manis dan penuh makna melirik di bibir gadis ayu tersebut. Hatinya teruja dan berbunga-bunga dengan kata-kata Enbi tadi.
**************************************************
Sementara itu di Balai MetroPolis Enterprise...
Remy yang duduk di kaunter pengaduan mengeluh buat kesekian kalinya. Beliau lebih banyak termenung panjang hari ini sehingga Red Wigwam terpaksa berseorangan mengendalikan aduan-aduan dari orang ramai yang semakin memenuhi ruang legar balai.
“Remy, awak tidak sihatkah?” tanya Red Wigwam. Remy yang agak tersentak dengan pertanyaan tersebut memalingkan pandangan kepada Red. Pertanyaan tadi bukan dilampir dengan sindiran tetapi dengan dengan perasaan bimbang dan mengambil berat.
“Tidak... saya okey. Chief tunggu sekejap. Saya nak masuk ke dalam untuk memanggil Terawez dan Dass untuk membantu kita.” ujar Remy lantas terus bangkit dari tempat duduknya dan bergegas masuk ke dalam. Red Wigwam hanya memerhatikan sahaja telatah pemuda tersebut. Semenjak insiden Catherine mengalami koma, Remy selalu dalam keadaan muram dan termenung. Malah perangainya itu semakin menjadi-jadi semenjak gadis tersebut tersedar dari koma.
**************************************************
Pada masa yang sama di Bistro Gusmuk Girl...
“Tempat ini memang menyeronokkan. Sangat santai dan lagu-lagu yang dialunkannya juga amat bagus!” teriak Nicol untuk cuba menyaingi bunyi muzik rancak yang menggemai segenap bistro tersebut. Lawan sembangnya iaitu Nazrul tersenyum girang. Suka hatinya apabila gadis tersebut menyukai tempat yang dicadangkan untuk minum petang.
“Awak tak pernah datang ke sinikah?” tanya Nazrul.
“Apadia?” tanya Nicol yang gagal mendengar pertanyaan tersebut. Beliau spontan menyelakkan rambut di bahagian telinga kiri dan merapatkan bahagian itu ke wajah Nazrul. Buat seketika degupan jantung Nazrul menjadi seolah-olah terhenti. Dalam hiruk-pikuk keriuhan dan bau peluh pengunjung yang terkinja-kinja berjoget mengikut alunan muzik, hidung Nazrul masih dapat menghidu bau tubuh Nicol. Baunya manis dan benar-benar meransang emosi.
“Nicol, awak tak pernah datang ke sinikah?” tanya Nazrul selepas berdehem seketika. Nicol memalingkan muka kali ini menghadapkan wajahnya ke wajah Nazrul. Namun tidak langsung beliau menjarakkan dirinya daripada lelaki itu.
“Tak pernah. Tempat ini sangat seronok. Terima kasih, Nazrul!” ucap Nicol dengan senyuman gembira. Pipi Nazrul tiba-tiba menjadi kemerah-merahan. Beliau perlahan-lahan menjauhkan jaraknya dengan Nicol. Buat seketika perasaan kekok mulai kuat bersarang di dalam hatinya.
“Ah! Lagu ini saya sangat suka! Jom menari!” teriak Nicol seraya merentap tangan Nazrul. Nazrul dalam keadaan masih tersipu-sipu berasa agak keberatan mengikut kehendak gadis jelita tersebut sungguhpun hatinya berasa amat gembira. Lagu yang dimainkan sungguh rancak. Ramai muda-mudi yang kini dipengaruhi oleh dadah dan arak makin berjoget rancak seolah-olah hilang dalam dunia fantasi mereka. Nicol menari dengan liuk dan lenggok yang agak keterlaluan dan provokatif. Nazrul menari biasa-biasa sahaja. Matanya hampir tidak berkelip memerhatikan gerak-geri ghairah teman menarinya.
“Hai si manis! Boleh kita menari bersama?” Tiba-tiba seorang lelaki yang tegap memegang tangan kanan Nicol. Bersamanya adalah dua orang pengiring yang agak garang parasnya. Nazrul spontan berganjak sedikit ke belakang. Nalurinya memberitahu bahawa lelaki tersebut bukanlah sembarangan status dari gaya pemakaiannya. Nicol tersenyum ke arah lelaki tersebut. Lelaki tersebut yang merasakan bahawa gadis di hadapannya ini mudah benar dipikat turut tersenyum. Namun senyumannya itu mati tatkala tiba-tiba sahaja Nicol merentap tangannya untuk melepaskan diri dan meneruskan kembali tariannya bersama Nazrul. Begitu geram sekali lelaki tersebut kerana Nicol membelakanginya sebagai isyarat tidak memandangnya walau sebelah mata sekalipun.
“Hei, janganlah sombong sangat!” ujar lelaki tadi seraya kembali memegang tangan kanan Nicol. Kali ini pegangannya agak kemas dan kejap. Nicol kembali berpaling ke arah lelaki tersebut. Namun kali ini tiada lagi senyuman terlakar di bibir mungilnya.
“Awak tadi berkasar dengan saya. Awak kena menari dengan saya sebagai denda.” ujar lelaki tersebut. Nicol merenung tajam lelaki tersebut. Sedikitpun beliau tidak gentar dengan bahasa tubuh agresif lelaki itu. Sebaliknya dengan mengilaskan pergelangan tangannya dengan pantas, terus sahaja Nicol berhasil melepaskan dirinya sekali lagi. Sebaliknya lelaki tersebut menyeringai kerana pergelangan tangannya telah tergeliat. Ternyata Nicol Hanany mahir dalam seni Aikido.
“Perempuan sundal!” teriak lelaki tersebut seraya menghayunkan tangan kirinya untuk melempang muka Nicol. Namun penembi kanan Nicol telahpun terlebih dahulu singgah dengan keras di bahagian ulu hatinya. Lelaki tersebut rebah terlentang ke lantai dan merintih kesakitan. Nicol telah menewaskannya dalam setengah gerak sahaja. Dua pengiring lelaki tersebut segera bertindak menyerbu ke arah Nicol. Dengan gerakan yang amat pantas, Nicol menyepak muka kedua-dua lawannya. Dalam keadaan kesakitan dan tenggelam punca, bahagian ulu hati kedua-dua pengiring tersebut ditembi pula oleh Nicol. Sebelum sempat mereka rebah ke lantai, Nicol melonjak ke udara dan menghentak kedua-dua belah sikunya sekuat hati ke muka mereka. Kedua pengiring tersebut rebah ke lantai dan tidak berkutik sedikitpun. Ternyata gadis jelita itu bukan sahaja mahir dalam Aikido, malah seni Jeet Kune Do dan Muay Thai juga.
“Celaka! Celaka kau ini! Kau tak kenal aku ini siapa? Kau tak kenal bapaku siapa?” teriak lelaki yang mengganggu Nicol tadi dalam keadaan masih mengerekot kesakitan di atas lantai. Para pengunjung di bistro tersebut mulai berhenti menari dan memerhatikan insiden tersebut. Muzik rancak juga tadi telah dihentikan. Nicol datang mendekati lelaki yang mengganggunya dan kemudian bertinggung di hadapannya.
“Aku kenal kau siapa. Kau ini anak Timbalan Menteri Kesihatan, bukan? Tapi aku peduli apa. Aku sekarang sedang menari dengan teman lelakiku. Dan kau telah membuatku marah sebab mengganggu suasana roamantik kami.” jawab Nicol. Beliau bingkas bangun. Kemudian menyepak muka lelaki tersebut dengan keras. Lelaki itu yang merupakan anak Timbalan Menteri Kesihatan juga mengalami nasib yang sama seperti pengiringnya. Pengsan tidak berkutik.
“Wow!” puji Nazrul sambil bertepuk tangan. Para pengunjung yang lain turut bertepuk tangan. Kemudian muzik kembali dimainkan. Lelaki yang membuat kacau berserta para pengiringnya diseret keluar oleh para pekerja di Bistro Gusmuk Girl itu.
“Hebat tak saya?” tanya Nicol Hanany. Nazrul mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata riak tadi. Nicol ketawa. Beliau kembali menari seperti para pengunjung yang lain. Nazrul tidak begitu. Beliau masih berdiri tegak dengan emosi teruja. Beliau berasa kagum dengan kehebatan Nicol dan pada masa yang sama berasa gembira bila disebut sebagai teman lelaki oleh gadis jelita itu.
Di suatu sudut yang agak tersembunyi dua pasang mata sedang memerhatikan insiden tadi dengan penuh minat. Mereka tidak lain tidak bukan adalah Erika dari kumpulan Neon Melambai dan Monsoon dari kumpulan Terendak Biru.
“Sialan jahanaaam... Budak perempuan MetroPolis itu sangat handal!” puji Monsson yang entah mengapa sangat suka mencarut tidak tentu pasal setiap kali membuka bicara. Erika yang masih memakukan pandangan ke arah Nicol juga mengangguk setuju.
“Bukan itu sahaja. Malah dia telah sebenarnya telah sedaya-upaya mengurangkan impak pemusnah pukulannya. Walhal nafsu membunuhnya pada masa itu begitu ketara kuatnya.” komen Erika.
“MetroPolis sememangnya mempunyai ramai jaguh-jaguh yang menakutkan. ‘Si Pembunuh Satu Peluru’ Dass, ‘Pemusnah Algojo Tiga Elemen’ Catherine, ‘Raksasa Berkapak’ Red Wigwam, ‘Raja Pedang Perak’ Terawez, ‘Penggila Perang’ Remy dan sekarang gadis ini pula! Betul-betul bedebah!” Hampir sahaja Monsoon berteriak kerana terlampau teruja. Ada juga bercampur dengan perasaan takut sebenarnya. Kebanyakan anggota MetroPolis kini diberikan gelaran-gelaran hebat oleh kawan dan lawan mereka semenjak insiden Peperangan Triad tidak lama dulu.
“Kau terlupa tentang ketua mereka, ‘Raja Suram’ Enbi. Dia pun telah menjadi sangat menakutkan semenjak anak buahnya mengalami kecederaan parah dalam pertempuran dengan Algojo Tiga Elemen. Namun aku agak risau dengan gadis cantik yang bernama Nicol Hanany itu. Beliau sangat mahir dan handal. Malah tadi beliau nampak seperti boleh sahaja membunuh mereka bertiga tanpa berfikir panjang. Namun dia langsung tidak menonjol seperti anggota lain. Kenapa?” persoal Erika. Monsoon tidak bersuara. Namun mulutnya masih terkumat-kamit seolah-olah memperkatakan sesuatu. Mungkin mencarut agaknya.
**************************************************
Beberapa jam selepas itu di Balai MetroPolis.
“Mana si Nazrul dan Nicol ni? Pasti berpeleseran lagi!” rungut Enbi. Tatkala beliau tiba di balai, kelihatan hanya Red Wigwam, Terawez dan Dass sahaja yang berada di kaunter pengaduan. Nazrul dan Nicol yang sepatutnya menggantikan syif Red dan Remy langsung tidak nampak batang hidung. Enbi merengus. Namun tampak benar dibuat-buat. Emosinya begitu baik hari ini. Malah setiap hari juga dalam keadaan begitu selepas melawat Catherine.
“Terawez, benarkah ustaz Ren tiada di sini? Dengar khabar beliau pergi ke Yemen.” tanya Enbi. Terawez yang sedang ralik memeriksa log aduan kelihatan agak terkejut.
“Aa.. ya! Dia kata dia dijemput menghadiri seminar dakwah Islam di sana.” jawab Terawez. Terawez masih tinggal bersama-sama Ren di masjid sungguhpun mempunyai pendapatan yang lebih dari mencukupi untuk menyewa sebuah apartment. Malah Enbi pernah menawarkan Terawez untuk menyewa salah satu apartment milik beliau dengan sewa bulanan yang cukup murah. Namun Terawez telah menolak. Beliau suka duduk bersama Ren Fairuz untuk mempelajari ilmu agama. Hatinya lebih tenang sekarang berbanding sebelum ini. Perasaan bersalahnya telah dapat dikurangkan. Di samping itu, Terawez juga telah sedaya-upaya cuba meringankan beban para penuntut Sekolah Pedang Angkasa yang telah dicederakannya dahulu. Ada yang sudi menerima permohonan maafnya. Ada juga yang tidak. Namun ramai di antara mereka akhirnya menjadi kawan baik Terawez. Semuanya adalah atas nasihat Ren Fairuz dan berkat kesabaran Terawez dan usahanya.
“Chief, benarkah anak-anakmu akan bertandang ke sini minggu depan?” tanya Enbi kepada Red Wigwam pula.
“Benar, bos. Tetapi mereka tak pasti bila tarikhnya. Minggu depan itu adalah kemungkinan saja.” jawab Red dengan sopan. Beliau tersenyum. Ternyata majikannya ini dalam keadaan gembira dan stabil emosinya sekarang semenjak Catherine tersedar dari koma.
“Dass, ibumu bagaimana?” tanya Enbi kepada Ghanshamdass pula. Bekas anggota SPMB itu tersenyum. Kos rawatan bagi merawat penyakit ibunya yang ditanggung oleh Enbi membuahkan hasil. Ibunya kini lebih sihat dan kembali normal tahap pemikirannya.
“Ibu saya makin sihat, Enbi. Terima kasih kerana sudi meminjamkan wang bagi kos rawatan ibu saya.” ujar Ghanshamdass.
“Betul tu. Pinjaman saja, tahu? Nanti kena bayar balik.” peringat Enbi. Ghanshamdass tertawa.
“Ya, saya sudah mula membayar secara beransur-ansur. Saya telah meminta Nazrul untuk menolak sebahagian gaji setiap bulan untuk tujuan itu.” maklum Ghanshamdass. Terbeliak mata Enbi seketika.
“Eh? Kau ada perbelanjaan yang cukupkah untuk menyara diri dan ibumu?” tanya Enbi. Air mukanya sedikit berubah kini.
“Ada, Enbi. Cukuplah untuk kami berdua kalau berdikit-dikit dalam berbelanja.” jawab Ghanshamdass. Enbi menggelengkan kepala.
“Jangan. Jangan macam itu. Ibumu mesti makan sedap-sedap. Banyak jasanya kepadamu. Jangan beri dia yang murah-murah. Kamu pun kena makan betul-betul juga. Kalau tidak kamu tak boleh bekerja dengan sepenuh perhatian nanti. Aku akan suruh Nazrul batalkan pemotongan itu. Bila aku berasakan kamu sudah mampu nanti, barulah aku akan minta kau bayar hutang, okey?” ujar Enbi dalam nada mengarah.
“Baiklah. Terima kasih, Enbi.” ucap Ghanshamdass. Hatinya berasa amat gembira dan terharu. Ternyata Enbi sebenarnya tidak mahu menerima wang pembayaran hutang beliau. Ghanshamdass tahu bahawa Enbi adalah seorang ketua yang amat baik kepada orang-orang yang dipimpinnya. Padanlah Catherine begitu menyintai Enbi.
“Remy sudah balikkah?” tanya Enbi pula untuk memotong topik bicara tadi. Red mengangguk.
“Dia nampak begitu murung sekarang, bos. Namun dia enggan membuka mulutnya untuk bercerita bila saya bertanya.” jawab Red. Enbi melepaskan keluhan kecil.
“Apa masalah dia agaknya, ya?” omel Enbi.
**************************************************
Pada masa yang sama di Kubu Utama al-Mahdi pihak Organisasi di Makkah...
“Silakan masuk, tuan Ren. Silakan masuk saudara Tal. Mereka sudah lama menunggu tuan Ren.” maklum salah seorang lelaki yang menyambut Ren Fairuz dan Tal Kushaini.
“Tahniah Abderrahman kerana telah dilantik menjadi Pendekar Eksekutif baru-baru ini.” ucap Tal kepada lelaki yang menjemput mereka masuk tadi. Begitu ramai anggota Organisasi pelbagai pangkat yang datang untuk bersalaman dengan Ren Fairuz. Beliau bagaikan seorang artis popular di tempat itu.
“Terima kasih, saudara Tal. Saya ini masih mentah lagi jika dibandingkan dengan tuan Ren dan saudara Tal.” balas Eksekutif Abderrahman merendah diri. Semakin ramai yang datang mahu bersalam dan berbual dengan Ren Fairuz. Malah para pendekar Emissary juga tidak melepaskan peluang berbuat perkara yang sama atas rasa teruja mereka kerana dapat bertemu dengan salah seorang Emissary bertaraf Maharaja.
“Minta maaf tuan-tuan. Tuan Ren kini telah terlambat menghadiri mesyuarat. Harapnya pihak tuan dapat memberikan laluan kepada tuan Ren.” pinta Eksekutif Abderrahman dengan sopan sungguhpun suaranya terpaksa dilaungkan. Hadirin membuka laluan. Ren Fairuz tersenyum ceria dan beberapa kali mengucapkan terima kasih. Beliau kemudiannya berpaling kepada Tal Kushaini di belakang.
“Tal, saya kena pergi dulu. Kamu beramah-tamahlah dengan mereka, ya?” pesannya sebelum menggegaskan diri ke pintu utama bangunan di hadapannya.
**************************************************
Sebaik sahaja membuka daun pintu yang sedikit besar dari saiznya, Ren Fairuz telahpun ternampak kelibat orang-orang yang menunggunya. Beliau tersenyum sepertimana mereka juga memberikan senyuman kepadanya kecuali seorang lelaki yang masih berwajah serius. Beliau ialah Naar Saif atau dikenali dengan nama Emissary Drakulon.
“Assalamu’alaikum warahmatullah.” ucapnya dan dibalas pula dengan ucapan salam oleh mereka semua.
“Minta maaflah kerana saya terlewat.” pohonnya dengan sopan. Di hadapannya kini duduk bersila orang-orang yang amat penting dalam Organisasi. Mesyuarat ini diketuai oleh Muhammad Zikrullah alias Maharaja Debu Berlian. Bersama-sama beliau ialah ‘Zoei’ Ahmad Bukhory alias Maharaja Naga Petir, “Naar’ Muhammad Saif alias Maharaja Ular Bara Merah, Muhammad Mishary yang mengetuai bahagian strategi peperangan Organisasi, Doktor Abdel Quddus, pakar dalam biologi dan biokimia, Syeikh Ahmed Qordhowi pakar tafsir dan hukum syarak dan beberapa para ulama lagi yang menjadi pemerintah utama pertubuhan Organisasi yang amat hebat ini.
“Tak mengapa, kami tahu kamu pergi ke jamuan makan besar di Chile terlebih dulu.” sindir Zoei Bukhory; disambut dengan deraian tawa daripada hadirin dalam mesyuarat tersebut. Kecuali Naar Saif yang amat jarang sekali memberikan senyuman. Ren Fairuz turut ketawa. Nampaknya rahsia beliau di Chile telahpun terbongkar.
- Bersambung -
No comments:
Post a Comment