Thursday, March 10, 2011

MetroPolis 2 - Bab 20

MetroPolis Episod 2

Bab 20

Tenang Sebelum Ribut Melanda (Bah. 3)

Dua hari kemudian...

Terawez tercungap-cungap. Tubuh kekarnya lenjun bermandikan peluh. Pedang pemberian Ren Fairuz tertancap ke dalam tanah yang berjarak lebih kurang 100 meter daripadanya. Kawasan di sekeliling kelihatan seolah-olah seperti dilanda Garuda. Tubuh Terawez menggeletar. Bukan kerana ketakutan tetapi dek berasakan amat teruja.

"Dahsyat. Pedang ini bukan sahaja mampu menahan kuasaku, malah seolah-olah ingin membunuhku juga." ujarnya dalam hati. Pedang yang bernama Seru Tempur itu ternyata melebihi daripada kemampuan Terawez untuk mengendalikannya. Ia membuatkan pemuda itu sedar betapa beliau masih di tahap rendah dari segi kuasa dan keupayaan. Namun Ren Fairuz berjaya memujuknya untuk terus menggunakan Seru Tempur atas alasan untuk meningkatkan lagi keupayaan beliau.

Terawez mula melangkah dengan lemah ke arah pedang tersebut. Beberapa langkah sahaja kakinya menapak tiba-tiba beliau hilang keseimbangan dan jatuh tertiarap. Ternyata Terwaez mengalami kehausan tenaga. Beliau mengangkat kepala. Matanya mengarah pada Seru Tempur. Pedang tersebut kelihatan sangat dingin dan kejam. Ia juga seolah-olah mengejek Terawez yang kini kelihatan amat lemah.

"Pedang berpuaka. Dari siapa sebenarnya Ren menerimanya?" Tercetus persoalan tersebut di kotak fikiran Terawez yang berasa semakin lemah. Pandangannya perlahan-lahan menjadi kelam.

**********************************

Di balai MetroPolis, pada masa yang sama...

Enbi kelihatan sibuk meneliti akaun MetroPolis yang disediakan oleh Nazrul tatkala bahu kanannya ditepuk dengan lunak. Beliau memalingkan muka ke arah kanan. Catherine yang menepuknya. Gadis ayu berketurunan Cina tersebut tersenyum manis kepadanya. Enbi meneliti wajah sahabatnya itu. Ada sesuatu yang tidak kena pada senyumannya itu.

"Kau nak apa sebenarnya Cat?" tanya Enbi. Senyuman Catherine mati serta-merta. Dengan perasaan geram beliau menepuk sekali bahu Enbi. Namun kali ini dengan agak kasar. Perasaan geramnya dapat disampaikan apabila Enbi mengaduh kesakitan.

"Apa ni, Cat?" tanya Enbi dengan agak geram bercampur hairan.

"Nak senyum pun tak boleh. Bertanya yang bukan-bukan pula. Tak bolehkah Enbi membalas senyuman saya dengan senyuman juga?" omel Catherine dengan perasaan geram. Enbi bungkam. Beliau akhirnya memberikan senyuman untuk tidak memanjangkan lagi rajuk sahabatnya itu.

"Cat, nampaknya tuah akan menyebelahi kita. Aku sudah berjaya mendapatkan pelabur untuk kedua-dua projekku di Dubai dan London. Kini bebanan kewanganku akan berakhir dan aku juga mampu menjaga kepentingan Bank Enbi." maklum Enbi. Matanya kembali tertancap pada kunci kira-kira tadi.

"Waah! Betulkah ini Enbi?" tanya Catherine dengan perasaan teruja. Enbi mengangguk.

"Memang bagus sekali kalau macam itu! Enbi tak perlu lagi berasa risau sehingga selalu terlupakan makan minum. Enbi patut berasa gembira dan lega sekarang." ujar Catherine dengan nada ceria. Enbi tersenyum. Sememangnya beliau patut berasa gembira dan lega. Namun entah mengapa hatinya tidak berasa sedemikian.

*********************************

Dua hari sebelum itu; di Bank Enbi Sdn. Bhd.

"Bagaimana? Sanggupkah tuan Nizar menerima bebanan seberat itu? Ataupun tuan terima sahaja tawaran kami tanpa banyak soal. Malah kalau tuan tidak mahu menerima bantuan kamipun tak mengapa." saran Tal Kushaini. Enbi masih mendiamkan diri.

"Minta maaf kerana mendesak tuan untuk membuat keputusan serta-merta. Ini adalah kerana kami tidak mahu pihak Masonik mengesyaki tindak-tanduk serta perancangan kami. Selain dari tuan, kami juga telah berjumpa dengan kesemua ketua syarikat polis di Malaysia untuk mengucapkan penghargaan kami di atas bantuan mereka menangani masalah kes jenayah selama ini. Namun itu semualah hanyalah suatu cara untuk menyembunyikan niat kami yang sebenar untuk bertemu dengan tuan. Jadi inilah sebabnya kita hanya dapat berjumpa sekali ini sahaja." perjelas Ardh Ukhrowi dengan panjang lebar pula. Enbi masih terdiam. Seketika kemudian beliau melepaskan keluhan panjang.

"Baiklah, saya bersedia untuk menjamin dengan nyawa saya. Itu lebih baik daripada berasa curiga dan runsing kerana tidak mengetahui apa yang sedang berlaku." Akhirnya Enbi bersuara. Kedua tetamunya tersenyum.

“Pernahkah tuan Nizar mendengar kisah Yakjuj dan Makjuj?” tanya Tal Kushaini. Enbi menampakkan wajah kelirunya.

“Yakult?” tanyanya. Kedua tetamunya itu ketawa besar.

“Yakjuj dan Makjuj adalah dua buah bangsa purba yang amat ganas. Mereka datang dalam gerombolan yang amat besar dan mempunyai kepakaran serta senjata yang amat canggih melampaui zaman mereka. Pembinaan tembok besar China yang wujud hingga ke hari ini adalah bukti wujudnya usaha untuk menyekat serangan mereka. Malah cerita mereka ini telah disebut di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Kahfi ayat ke sembilan puluh empat dan Al-Anbia ayat ke sembilan puluh enam.” cerita Tal.

“Apa kena mengena dengan projek saya ini?” tanya Enbi.

“Pada enam puluh tahun lalu, seorang pendekar Emissary telah menyerang Amerika Syarikat dan England. Beliau bolehlah dianggap sebagai Maharaja Emissary pada masa itu. Beliau digelarkan Emissary Black Rain atau Hujan Suram. Tujuan beliau berbuat demikian bukan sahaja untuk melumpuhkan kekuatan negara barat yang semakin menjadi-jadi menindas negara-negara Islam dan sekaligus menggagalkan Order Baru Dunia, malah sebenarnya oleh kerana di situlah antara negara yang paling banyak didiami oleh keturunan Yakjuj dan Makjuj ini.” jawab Tal. Enbi kelihatan semakin keliru. Beliau menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Keturunan Yakjuj dan Makjuj ini adalah dipercayai orang-orang barat yang menetap di negara-negara antaranya seperti Amerika Sakit, Israel Raya, Russia, England dan Peranchis. Ada di antara mereka yang menjadi baik dan beriman. Namun majoriti mereka adalah manusia yang jahat dan suka melakukan kerosakan di dunia serta menganiayai manusia lain. Buktinya adalah Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, Peperangan Menentang Pengganas dan Peperangan Emissary. Ada yang percaya bahawa Yakjuj dan Makjuj ini adalah suku bangsa Yahudi yang hilang tetapi muncul kembali. Apapun mereka ini kemudiannya menubuhkan pertubuhan rahsia seperti The Elders of Zion, Freemason dan Illuminati.” perjelas Tal lagi. Enbi masih tidak dapat memahami perkaitannya. Namun cerita Tal benar-benar menangkap minatnya untuk terus menadah telinga.

“The Elders of Zion telah merealisasikan negara rejim Zionis seratus tahun lalu.” maklum Tal.

“Ah! Kalau Zionis memang saya tahu!” maklum Enbi pula dengan rasa teruja. Ardh Ukhrowi mengangguk sambil tersenyum.

“Freemason dan Illuminati pula adalah pertubuhan yang menyembah Dajjal Al-Masih dan telah berjaya menyemaikan benih-benih fahaman sesat mereka. Mereka bercita-cita untuk mencipta dunia yang diperintah oleh syaitan. Selepas Peperangan Emissary, mereka bergabung dan menubuhkan Pertubuhan Masonik pula.” maklum Tal.

“Yakah? Tapi menurut Perdana Menteri Dato’ Seri Khamal Hasyim, itu adalah tohmahan serta manipulasi sejarah yang dibuat oleh pihak tertentu. Freemason adalah pertubuhan yang menjalankan aktiviti amal kebajikan di seluruh dunia. Manakala Illuminati pula adalah mitos sahaja.” pertikai Enbi.

“Tahukan tuan Nizar bahawa Perdana Menteri Malaysia sekarang sedang bersekongkol dengan mereka?” tanya Tal. Enbi terkedu.

“Wah! Ini memang rahsia yang amat besar.” komen Enbi. Ardh menggeleng.

“Itu bukan rahsia yang amat besar, tuan Nizar.” ujar Ardh.

“Rahsia yang amat besar ialah tentang Maharaja Adaj yang memerintah negara-negara di bawah Pertubuhan Masonik.” maklum Tal.

“Saya tahu tentang Maharaja Adaj.” maklum Enbi.

“Kalau begitu tahukah tuan Nizar bahawa Maharaja Adaj itu adalah Dajjal Al-Masih?” tanya Ardh. Enbi menggelengkan kepala.

“Siapakah Dajjal Masih?” tanya Enbi.

“Tuan tahukah tentang Anti-Christ?” tanya Ardh sebagai membalas pertanyaan Enbi.

“Itu fahaman memprotes agama Kristian yang dibawa oleh sesetengah kumpulan muzik.” jawab Enbi.

“Bukan. Itu hanya gimik sahaja. Anti-Christ ini disebut dalam kitab Injil sebagai syaitan pada akhir zaman yang muncul untuk melakukan kerosakan di dunia ini bersama para pengikutnya. Bagi agama Islam, beliau dikenali sebagai Dajjal Al-Masih. Dajjal ini dipercayai hidup dari zaman Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam lagi.” maklum Ardh.

“Biar betul! Berapa ribu tahun sudah umurnya?” tanya Enbi dengan nada agak skeptikal.

“Dajjal ini dipercayai hasil percantuman benih jin dan manusia. Kelebihan jin adalah mereka mampu hidup lama dan boleh merentasi tembok pemisah antara dunia jin dan manusia. Kelebihan manusia pula ialah akal dan kekuatan yang dikurniakan oleh Allah mampu mengatasi akal serta kekuatan malaikat. Dengan dua kombinasi ini, Dajjal berasakan bahawa beliau berhak menjadi tuhan dan kufur dengan nikmat yang Allah telah berikan kepadanya. Jadi hiduplah beliau dilaknat oleh Allah, para malaikat, para nabi dan rasul serta orang-orang beriman sehingga ke hari kiamat. Jadi Dajjal ini berdendam dengan Allah dan manusia lebih-lebih lagi dengan orang-orang yang beriman. Beliau cuba mengkafirkan seberapa banyak manusia yang boleh demi untuk mencabar Allah. Beliau berasakan bahawa beliau mampu membonekakan manusia. Akan tetapi Dajjal tidak menyedari bahawa beliau sendiri sebenarnya adalah boneka kepada Iblis laknatullah.” jawab Ardh dengan panjang lebar.

“Saya masih tak nampak perkaitannya dengan projek saya ini.” ujar Enbi dengan nada yang agak mendesak. Ternyata kesabarannya telah makin terhakis.

“Sabarlah tuan Nizar. Dengar dahulu cerita kami agar tuan faham akan tujuan kami.” pinta Ardh. Enbi yang menyedari dengan siapa beliau berbicara akhirnya mengangguk akur dengan permintaan Ardh.

“Kami percaya bahawa Dajjal telahpun berjaya membuatkan para pengikutnya menjadi tentera super dan kebal dari kebanyakan senjata yang dipunyai oleh Organisasi. Para pengikutnya ini adalah saki-baki bangsa Yakjuj dan Makjuj yang terselamat dalam Peperangan Emissary. Kini bilangan mereka kembali bertambah dan melalui perisikan kami, terdapat lebih dari sejuta orang tentera Masonik yang mempunyai kelebihan super tersebut.” maklum Ardh.

“Ini bermakna jikalau pihak Masonik melancarkan peperangan secara besar-besaran terhadap Organisasi, besar kemungkinan pihak kami akan mengalami kekalahan dan hampir lapan puluh peratus umat Islam di dunia ini akan kehilangan nyawa mereka.” maklum Tal pula. Enbi terlongo. Pernyataan tersebut benar-benar telah menyentak emosinya.

“Takkanlah mereka begitu kejam sekali?” tanya Enbi dengan nada mempertikai.

“Sejarah pada masa lalu telah berkali-kali membuktikan bahawa mereka adalah amat kejam terhadap musuh-musuh mereka. Malah mungkin lebih dari itu. Lihat sajalah peperangan yang terjadi di Amerika Sakit baru-baru ini. Hampir lima juta orang Islam telah dibunuh tanpa belas kasihan oleh Masonik. Pihak Organisasi telah mencuba sehabis baik untuk mempertahankan jajahan kami, namun menemui kegagalan. Malah dua orang Pendekar Emissary juga turut terkorban dalam peperangan tersebut. Peperangan selama hampir dua tahun itu berakhir dengan kekalahan teruk di pihak kami.” ujar Ardh.

“Mereka pasti akan menyerang negara-negara Islam yang lain pula.” taakul Enbi.

“Ya. Itu sememangnya telah tersirat dalam takdir umat Islam di akhir zaman. Junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW telahpun meramalkannya. Jadi selepas Peperangan Emissary, kami dari awal lagi telah bersedia untuk menghadapi takdir ini.” maklum Ardh.

“Persediaan yang macam mana?” tanya Enbi.

“Organisasi telah merekacipta kubu pertahanan untuk umat Islam berlindung dari serangan serta penindasan tentera Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Ianya terdapat di beberapa lokasi yang amat strategik. Antaranya ialah di Makkah, Iraq, Afrika, Siberia dan kini Malaysia.” ujar Tal.

“Malaysia?” tanya Enbi dengan nada hampir tidak percaya.

“Ya, juga di Malaysia. Malaysia adalah amat strategik kerana terletak di tengah-tengah negara-negara jiran yang lain seperti Indonesia, Thailand, Myanmar dan Kemboja. Negara-negara jiran inilah yang telah dijadikan perisai untuk mempertahankan Malaysia. Kami telahpun selesai membina kubu-kubu dan tembok-tembok bersenjata di negara-negara tersebut. Kalaupun pihak Masonik menyerang dengan sepenuh kekuatan pada hari ini, mereka mungkin hanya akan berjaya menawan Malaysia sepuluh tahun kemudian.” ujar Ardh. Enbi mulai memahami akan sebab mengapa Maharaja Pemancung Angin tidak begitu mengambil berat tentang Malaysia tetapi bertindak sebaliknya terhadap negara-negara jiran yang lain.

“Kubu-kubu lain yang dibina oleh Organisasi juga mempunyai keupayaan yang serupa. Namun setakat ini ianya masih tidak memadai untuk menampung jumlah umat Islam yang berlindung kelak. Kami mengambilkira sekali dari faktor bekalan makanan hinggalah ke bahanapi.” maklum Tal pula.

“Di sinilah perkaitan projek tuan Nizar dengan pelaburan kami. Dubai yang selama ini bersikap neutral telah mula menyatakan sokongannya secara rahsia kepada Organisasi. Projek pembangunan tuan Nizar di sana adalah tepat pada masanya. Organisasi mahu melabur secara rahsia di dalam projek tuan Nizar agar tuan dapat menyediakan hab makanan berskala raksasa di Dubai untuk umat Islam di kubu-kubu tersebut. Lokasi penanaman serta penternakan akan dibina di permukaan tanah dan juga di bawah tanah. Organisasi telahpun menyediakan wang peruntukan sebanyak tiga ratus billion ringgit kepada tuan Nizar untuk pembangunan di Dubai dan selebihnya untuk projek di London. Malahan tuan tidak perlu membayar walau sesenpun kepada Organisasi. Pada masa yang sama, Organisasi juga kini sedang membina kubu dan tembok untuk menjadi perisai di sekeliling Dubai.” perjelas Ardh dengan panjang lebar.

“Jadi bagaimana? Adakah tuan Nizar masih berminat untuk menerima Organisasi sebagai pelabur selepas mendengar penjelasan kami?” tanya Tal. Enbi tersenyum. Dengan bantuan kewangan sedemikian rupa tidaklah lagi sukar untuknya membiayai kos MetroPolis dan mempertahankan syer majoriti di Bank Enbi Sdn. Bhd. Di dalam kotak angannya beliau sedang membayangkan air muka bapa-bapa saudaranya apabila Enbi mengenakan mereka kelak.

- Bersambung -

4 comments:

Anonymous said...

nak mohon share kat fb...

Si Nami said...

Okey. No problem :)

Si Nami said...

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa umat Islam pada akhir zaman adalah bak buih-buih di lautan. Amat banyak tetapi akan berderai dan pecah bila dipukul ombak. Perumpamaan buih ini adalah kerana umat Islam terlalu lemah dan tidak mampu menguasai satu apapun lebh-lebih lagi ekonomi dunia.

Ya, memang benar negara-negara Islam mengusai pasaran minyak antarbangsa tetapi cuba lihat raja-raja atau pemimpin negara itu. Kepada siapa mereka tunduk dan bersekutu?

Mesir selepas ini akan mempunyai pemimpin yang InsyAllah akan melaksanakan daulah Islamiyyah, namun tanpa kekuatan ilmu dan ekonomi dari setiap rakyatnya, tak mustahil pemimpin tersebut akan menjadi korup tanpa disedari oleh mereka. Hosni Mubarak di dunia ini terlalu ramai dan mereka datang silih-berganti.

Prinsip khilafah ini adalah sangat baik namun tanpa kekuatan ekonomi dan penguasaan sistem kewangan dunia seperti Illuminati dan Freemason, maka kita nanti tak ubah seperti buih-buih di lautan.

Cuba sahabat sekalian check di internet tentang Rufaqa' Corporation. Ianya diasaskan oleh bekas pemimpian Al-Arqam. Saya tak ingin memperkatakan tentang tauhid dan akidah mereka kerana saya jahil namun kekuatan ekonomi mereka begitu ketara sekali. Saya melihat mereka mampu membeli keseluruhan blok kedai yang berharga jutaan ringgit untuk dijadikan tempat berniaga ahli-ahli mereka. Mereka benar-benar memahami bahawa penguasaan ekonomi adalah menguasai kuasa. Dan mereka faham bahawa negara ini sebenarnya dikuasai oleh orang yang menguasai ekonomi dan kewangan.

Anonymous said...

setuju dgn nami pasal rufaqa' corporation..,syg seribu kali sayang atas akidah mereka yg sedikit lari..,namun jika ekonomi umat islam kita boleh jd mcm tu...,daulah islamiyah yang kita impikan boleh didrikan..