Sunday, March 27, 2011

MetroPolis 2 - Bab 21

MetroPolis Episod 2
Bab 21
Tenang Sebelum Ribut Melanda (Bahagian Akhir)


Beijing, China. Lima hari kemudian...

Beberapa buah kapal perang Masonik kelihatan berlegar-legar di ruang udara kawasan yang telah dimusnahkan oleh Emissary Mayhem. Di daratan pula sekumpulan tiga belas orang saintis sedang giat mengambil sampel dan memeriksa tapak kemusnahan. Yoseph, ketua saintis kumpulan tersebut pula mengambil tugas untuk memantau kerja-kerja anak buahnya. Atas arahan Maharaja Adaj, mereka ingin mengukur tahap kuasa dan kekuatan Emissary Mayhem untuk dijadikan rujukan pada peperangan akan datang. Namun nampaknya Yoseph dan anak buahnya telah dapat mengesani sesuatu yang tidak kena di situ. Sekonyong-konyongnya salah seorang saintis berlari mendapatkan Yoseph.

“Tuan Yoseph, pakar forensik di Hospital Ying Yang telahpun mengesahkan bahawa Jeneral Miao Xeng telah terbunuh akibat letupan plasma dan napalm. Malah terdapat kandungan magnesium yang amat tinggi pada mayatnya. Ianya sama dengan penemuan kita di tapak di mana beliau dibunuh oleh Emissary Mayhem. Apakah maknanya ini, tuan?” tanya saintis tersebut.

“Aku belum dapat memastikannya lagi. Tetapi aku mengesyaki bahawa Jeneral Xiao Meng telah diserang oleh bala tenteranya sendiri.” Jawapan Yoseph benar-benar membuatkan anak buahnya menjadi kebingungan. Beliau kemudian berteriak untuk menyuruh para saintis lain memeriksa kenderaan-kenderaan perang yang telah musnah di situ untuk memastikan komponen kimia di dalam senjata-senjatanya. Pun begitu Yoseph telahpun berasa pasti bahawa senjata-senjata tersebutlah yang telah menembak ke arah Jeneral Xiao Meng dan mungkin telah membunuhnya. Tetapi persoalan yang berlegar dalam otaknya ialah mengapa? Menurut laporan askar-askar yang terselamat dalam pertempuran tersebut, mereka nampak Emissary Mayhem telah meledakkan tubuh Jeneral Xiao Meng dengan kuasa petirnya. Namun tidak ada kesan-kesan elektrik statik langsung pada mayat Jeneral Xiao Meng. Malah laporan saksi-saksi yang mengatakan bahawa tubuh ketua mereka itu terputus dua diledakkan oleh kuasa petir itu juga adalah tidak benar. Hati Yoseph berasa kurang enak. Beliau kini dihampiri oleh seorang saintis lain pula.

“Tuan Yoseph, kami telahpun selesai menganalisa keseluruhan kawasan pertempuran. Malangnya kami gagal menjumpai sebarang kesan elektrik statik pada permukaan atau dalam tanah. Kuasa petir yang telah dilepaskan oleh Emissary Mayhem adalah amat besar sehinggakan Maharaja Adaj terpaksa menahan dengan kuasa yang setara juga. Jadi mustahil kami gagal menjumpai kesan-kesan kuasa petir tersebut. Namun setakat ini kami hanya menjumpai kesan-kesan kuasa Maharaja Adaj sahaja. Kuasa elektrik statik Emissary Mayhem langsung tiada. Seolah-olah...” Saintis tersebut tidak sanggup menghabiskan kata-katanya kerana kemungkinan teorinya itu akan dianggap menderhaka kepada Maharaj Adaj.

“Ya, aku tahu apa maksudmu. Seolah-olah Emissary Mayhem langsung tidak melepaskan kuasa petirnya dalam pertempuran tersebut. Kemusnahan ini semuanya adalah akibat kuasa Maharaja Adaj sendiri. Namun aku ingin benar-benar memastikannya. Jadi pergi periksa dan buat analisa sekali lagi.” arah Yoseph. Anak-anak buahnya yang tadi memasang telinga kembali meneruskan kerja mereka. Pun begitu bukanlah Yoseph tidak mempercayai hasil kerja anak-anak buahnya. Beliau hanya cuma ingin memuaskan hati maharajanya sahaja. Apapun, Maharaja Adaj pasti tidak akan berasa gembira dengan berita ini. Maharajanya itu amat berkuasa dan sentiasa membuatkan Yoseph berasa gentar. Namun Emissary Mayhem yang juga dianggap sebagai maharaja telah membuatkan Yoseph berasa kagum dan hormat kepadanya. Beliau seolah-olah mengetahui tujuan Maharaja Adaj bertempur dengannya dan oleh kerana itu sengaja bermain teka-teki dengan mereka. Sememangnya beliau adalah seorang genius dan bukanlah semberono seperti yang pernah didengari oleh Yoseph.

******************************************

Beberapa jam kemudian di Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat : Jabatan Remaja Bermasalah Ipoh, Perak...

“Tuan Don. Kami masih gagal menghubungi Algojo Tiga Elemen. Kita terpaksa mengandaikan bahawa mereka telah terbunuh atau ditangkap semasa insiden pembersihan besar-besaran oleh pihak Organisasi.” Dahi Donald berkerut mendengarkan laporan daripada Duali, orang kanannya yang amat setia. Sekiranya benar situasi sedemikian berlaku, tiga puluh peratus dari tonggak kekuatan kumpulan Don pasti akan hilang. Ini bukanlah suatu perkara yang baik. Musuh ketatnya iaitu kumpulan Tai-Pan pasti akan mengambil kesempatan untuk menyerang. Pun begitu besar kemungkinan musuh ketatnya itu juga mengalami masalah yang serupa. Mungkin lebih teruk lagi.

“Kalau berlaku sedemikian, pasti kita akan rugi. Algojo Tiga Elemen adalah amat kuat dan lasak dalam pertempuran sungguhpun agak bodoh dan pandir. Jadi apakah pandanganmu pula, Daryll?” tanya Donald seraya mengalihkan pandangan ke arah Daryll atau Algojo Serigala Angin.

“Kita jangan keluar mencari mereka dulu. Mungkin pasukan tentera Organisasi masih berada di sini mencari saki-baki penjenayah yang masih terselamat. Malah dengar khabar MetroPolis juga telah keluar memburu orang-orang macam kita.” Daryll memberikan buah pandangannya. Donald mengangguk tanda bersetuju.

“Hm! Nampaknya MetroPolis telah mulai mengancam kedudukan kita sekarang.” komen Duali. Don tertawa.

“Memang benar. Namun aku sendiri tidak berani hendak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka. Bukan saja kumpulan mereka sangat handal dan kuat, malah aku mengesyaki bahawa mereka kini disokong oleh pihak yang jauh lebih berkuasa daripada kita dan SPMB sendiri. Namun yang aku paling bimbangkan adalah ‘dia’ yang juga nampaknya semakin berminat terhadap MetroPolis.” ujar Donald. Daryll nampaknya berasa agak keliru dengan pernyataan akhir ketuanya. Namun Duali memejamkan mata tanda memahami apa yang telah diperkatakan tadi.

***********************************

Sementara itu di Masjid An-Nur yang dijaga oleh Ren Fairuz...

“Bagaimana, Terawez?” tanya Ren apa bila melihatkan Terawez tercungap-cungap menahan lesunya. Namun kali ini beliau tidak lagi pengsan seperti selalu. Malah pedang Seru Tempur masih kemas digenggam di tangannya.

“Ustaz Ren... saya sudah berjaya! Saya sudah berjaya!” teriak Terawez dengan gembira. Beliau kemudian ketawa dengan senang hati. Ren Fairuz tersenyum seraya menunjukkan isyarat ‘bagus’. Nampaknya anak muda itu telah mula berjaya menjinakkan kuasa ganas pedang tersebut.

“Marilah minum teh herba buatan saya. Pasti tubuh Terawez akan kembali berasa segar.” saran Ren. Terawez mengangguk tanda setuju dan mula berjalan ke arah imam muda tersebut. Pedang Seru Tempur diunjukkan kepada Ren.

“Terima kasih kerana meminjamkan pedang ini untuk saya melakukan latihan.” ucap Terawez. Ren menolak hulu pedang tersebut dengan tangan kanannya perlahan-lahan sambil menggelengkan kepala.

“Pedang ini adalah hakmu. Ia sudah memilihmu. Ambillah.” ujar Ren. Terawez pula menggelengkan kepala.

“Saya tak layak. Ini adalah pedang yang sangat istimewa.” ujar Terawez menolak pemberian Ren. Ren Fairuz tersenyum.

“Dulu ada seorang pendekar yang amat hebat. Beliaulah pemilik pedang Seru Tempur ini. Pendekar ini amat kuat berpegang pada prinsip keadilan mutlak. Namun beliau menjadi terlalu taksub dengan prinsip ini apabila saudara seagamanya dibunuh secara beramai-ramai oleh musuh. Pendekar ini bertindak menegakkan keadilan mutlaknya dengan menyerang negara musuh tersebut. Beliau bukan sahaja membunuh kesemua orang yang dianggap mampu mengancam saudara seagamanya, malah memusnahkan kesemua infrastruktur dan teknologi di negara mereka. Ini adalah atas kepercayaan bahawa infrastruktur dan teknologi tersebut juga mampu memberikan ancaman yang serupa. Jadi kesemua loji tenaga dan janakuasa elektrik serta empangan hidro habis dimusnahkan kononnya untuk mengelakkan musuhnya membuat senjata di kilang-kilang. Stok makanan dan sumber pertanian juga habis dibakar olehnya atas kepercayaan bahawa mereka mampu mendapat kekuatan untuk kembali membalas dendam terhadap saudara seagamanya. Akhirnya negara musuh tersebut telah lumpuh sama sekali dan tidak mungkin akan bangun semula.” cerita Ren Fairuz dengan panjang lebar.

“Baguslah kalau begitu. Pendekar tersebut telah berjaya menyelamatkan saudara seagamanya. Keadilan sejati telah dapat ditegakkan.” komen Terawez.

“Begitulah juga yang beliau fikirkan pada masa itu. Namun kemudian barulah dia menyedari natijah perbuatan melampaunya itu. Pada musim sejuk, alat pemanas tidak lagi boleh digunakan kerana tiada elektrik. Kayu-kayan untuk bahan bakar bagi memanaskan diri juga telah habis dimusnahkan olehnya. Jadi ramai wanita, orang tua, kanak-kanak dan bayi yang tidak berdosa mati akibat kesejukan. Malah kekurangan bekalan makanan kerana semua stok makanan dan ladang-ladang telah musnah menyebabkan ramai yang mati kebuluran. Pendekar tersebut dengan bantuan pertubuhannya telah sedaya-upaya cuba menyelamatkan mereka tetapi semuanya sudah terlambat. Berpuluh-puluh juta wanita, orang tua, kanak-kanak dan bayi terkorban akibat prinsip keadilan mutlak pendekar ini. Mereka semuanya tidak berdosa dan tiada kena-mengena dengan kekejaman musuh yang mencabut nyawa saudara seagama pendekar tersebut. Ribuan nyawa saudara seagamanya dibalas dengan puluhan juta nyawa insan yang tidak berdosa. Adakah itu suatu keadilan sejati?” tanya Ren dengan nada sinis setelah bercerita panjang. Terawez menundukkan kepala. Ternyata beliau berasa menyesal dengan komentarnya tadi.

“Pendekar tersebut amat menyesal dengan perbuatannya. Beliau hampir-hampir menjadi gila dan meracau-racau selama hampir setahun. Jiwanya tidak tertanggung dengan perasaan bersalah yang amat sangat. Setelah emosi beliau kembali menjadi rasional, beliau menyerahkan Seru Tempur kepada rakan baiknya dengan pesanan. Pesanan tersebut ialah agar menyerahkan pedang ini kepada orang yang mampu menggunakannya untuk menegakkan keadilan mengikut kehendak Allah. Bukannya berdasarkan keadilan yang membabi-buta dan diselaputi dengan ketaksuban. Pedang tersbut kemudiannya telah diberikan kepada saya dengan tidak tentu pasal. Saya bukanlah tahu apa-apa pun. Tapi saya tahu bahawa Terawezlah orangnya yang layak menggunakan pedang ini.” ujar Ren.

“Saya pernah mencederakan ramai orang hanya semata-mata guru saya telah dicederakan oleh sebilangan orang. Saya tidak layak.” maklum Terawez seraya menundukkan kepala. Perasaan aib serta bersalah masih kuat bersarang di dalam hatinya.

“Dan kerana itulah Terawez paling layak memilikinya. Hanya orang yang pernah merasai apa yang telah dirasai oleh pendekar tersebut akan faham apa yang diwasiatkan olehnya. Sekaligus layak memiliki Seru Tempur. Perasaan bersalah dan malu akan menjadi penjaga Terawez agar tidak menyalahgunakan kuasa yang dimiliki.” perjelas Ren. Terawez masih tunduk mendiamkan diri. Namun Ren Fairuz sudahpun dapat membaca keputusan anak muda tersebut untuk menerima Seru Tempur.

*********************************************

Remy yang baharu sahaja habis syifnya kelihatan begitu tekun sekali dengan komputernya. Sudah hampir tiga jam beliau tidak menceraikan punggungnya dari bangku. Akhirnya bibir beliau mengorak senyuman gembira.

“Bagus! Bagus! Kau memang bagus, Trini!” teriak Remy. Beliau akhirnya berjaya menggodam masuk ke sistem emel kepunyaan Algojo Tiga Elemen. Sebelum itu dengan bantuan kekasihnya itu, Remy telah berjaya menyekat talian komunikasi dan sebarang emel untuk masuk ke dalam peti emel algojo tersebut. Padanlah kumpulan Don gagal menghubungi mereka. Rupa-rupanya ia adalah angkara Remy.

“Baiklah, kali ini misi membalas dendamku sudah bermula. Mampuslah kamu semua!” ujar Remy dalam hati. Bibirnya kini mengorakkan senyuman jahat pula.


- Bersambung -

No comments: