Thursday, November 18, 2010

MetroPolis 2 - Bab 15

MetroPolis Episod 2
Bab 15
Kemunculan Mara Terhadap Umat Islam


Pada 100 tahun akan datang, beberapa perubahan telah berlaku di Malaysia secara khususnya dan dunia secara amnya. Berikut adalah antara perubahan-perubahan tersebut :

Kawasan tanaman hijau di Malaysia telah dimusnahkan oleh pembalakan yang berleluasa secara tidak terkawal hingga menyebabkan berlakunya masalah tanah runtuh dan bekalan oksigen yang kurang. Ribuan rakyat Malaysia telah terbunuh akibat ditimbus oleh tanah runtuh di lereng-lereng bukit dan jutaan pula telah menemui ajal akibat kesesakan nafas. Kerajaan Malaysia dengan bantuan Organisasi terpaksa meratakan seluruh gunung dan bukit-bukau di Malaysia dan membuat penanaman semula pokok-pokok hijau untuk mencukupkan bekalan oksigen di negara itu. Namun hanya sedikit sahaja yang berjaya ditanam semula kerana tanah-tanih di Malaysia kebanyakan sangat bertoksik akibat pembuangan sisa tercemar yang juga tidak terkawal. Akhirnya kerajaan Malaysia terpaksa mendapatkan bantuan Organisasi untuk membina ratusan silo raksasa yang menjanakan oksigen bersih ke segenap pelosok negara. Namun bantuan tersebut bukanlah percuma dan sebagai balasannya, kerajaan Malaysia terpaksa menyerahkan kuasa pemilikan dan kedaulatan negara kepada Organisasi. Organisasi selepas itu telah menghapuskan sistem beRaja di Malaysia dan hanya mengekalkan jawatan Perdana Menteri sebagai penyelenggara bagi polisi Organisasi sahaja.

Organisasi adalah gelaran bagi sebuah kerajaan Islam yang ditubuhkan 40 tahun akan datang di Afrika. Beberapa billionair Islam telah bersepakat membeli beberapa juta ekar tanah daripada kerajaan Afrika yang hampir muflis pada ketika itu dan menjadikannya sebagai sebuah negara yang berkerajaan sendiri dinamakan Daulah Maddani. Dalam masa dua puluh tahun selepas penubuhannya, Organisasi telah berjaya memperluaskan jajahannya dan kuasanya dengan bantuan senjata terhebatnya iaitu Pendekar Emissary. Perang Emissary kemudiannya telah berlaku yang mana telah melumpuhkan kebanyakan negara barat dan memperkuatkan lagi kedudukan Organisasi. Namun misi penaklukan seluruh dunia oleh Organisasi buat masa ini telah dikekang oleh sebuah kerajaan yang selama ini bergerak secara rahsia selama beribu-ribu tahun. Kerajaan tersebut kini dikenali sebagai Masonik dan mempunyai kekuatan tentera yang seimbang dengan kehebatan Pendekar Emissary.

Rakyat Malaysia pada 100 tahun akan datang kebanyakannya mempunyai paras dan fizikal yang hampir sama hasil daripada perkahwinan campuran. Purata ketinggian rakyat Malaysia pada 100 tahun akan datang adalah 6 kaki 5 inci.Warna kulit rakyat Malaysia juga adalah puratanya sawo matang tidak kira apa bangsa mereka sekalipun.

Besi atau logam adalah sangat mahal pada 100 tahun akan datang kerana hampir kehabisan dilombong. Jadi para saintis telah berjaya mencipta logam sintetik yang sama kualitinya seperti logam asal namun lebih ringan dan tahan lama. Kelemahannya pula ialah ia tidak mempunyai ketahanan terhadap haba dalam darjah tertentu seperti logam asal. Logam asal pula telah menjadi suatu komoditi yang sangat berharga dan hanya mampu dimiliki oleh golongan berada sahaja.

Malaysia pada 100 tahun akan datang dikategorikan sebagai ‘Negara Pemulihan’ kerana masih mengalami pemulihan dari aspek fizikal dan kerohanian selepas terbabit dalam kancah Perang Emissary. Dari segi fizikal, Malaysia telah mengalami pemulihan dengan pesat sekali namun dari aspek kerohanian, ia masih jauh ketinggalan. Lebih-lebih lagi dari aspek keagamaan. Namun Emissary Windblade yang menjadi pemerintah di Malaysia seolah-olah mengambil sikap tunggu dan lihat dan enggan melibatkan dirinya buat masa ini.

*************************************

Dubai, beberapa hari selepas Perang Triad di Malaysia. Semasa Emissary Mayhem di Dubai…

“Apa khabar Tuan Mayhem.” Seorang pendekar berpangkat Eksekutif dengan sopan dan lembut menegur Zoei Bukhory tatkala beliau tiba ke destinasi yang ditandakan oleh Naar Saif ataupun Emissary Drakulon.

“Eh? Di manakah Naar?” tanya Zoei dengan wajah ceria dan teruja. Matanya meliar memandang ke sekeliling. Akhirnya beliau memandang ke atas.

“Assalamu’alaikum, Mayhem.” Seorang lelaki yang amat tegap dan kacak kelihatan terapung-apung di udara. Zoei tersenyum.

“Alaikumsalam. Menggunakan haba panas untuk mengapungkan diri. Memang sangat hebat, Drakulon!” puji Zoei. Lelaki tersebut adalah individu yang ingin ditemui olehnya. Beliau ialah Naar Saif alias Emissary Drakulon, salah seorang Emissary berpangkat Maharaja. Naar perlahan-lahan turun ke bumi.

“Macam pertunjukan belon udara panas!” sindir Zoei seraya tertawa. Suka benar beliau dapat mengusik saingannya itu.

“Kau benar-benar mahu berjumpa dengan aku hanya untuk mengejek akukah?” tanya Naar dengan nada serius.

“Sebenarnya aku ingin berlawan denganmu. Tetapi aku memang ada hal yang lebih penting untuk dimaklumkan.” ujar Zoei setelah menghabiskan baki tawanya.

“Ada kena-mengena dengan perbuatan ekstremmu di Beijingkah?” tanya Naar. Ternyata beliau pula mahu menyindir Zoei. Emissary Mayhem hanya tertawa. Namun kemudiannya wajah beliau menjadi serius.

“Di Beijing memang aku terpaksa berbuat begitu, Naar. Masonik kini telah mula menggunakan senjata baru mereka. Aku terpaksa menggunakan sepenuh kekuatanku untuk memenangi pertempuran tersebut. Itu sebabnya kemusnahan yang amat teruk terjadi di sana.” maklum Zoei.

“Sampai begitu sekali?” tanya Naar sambil merenung tepat ke mata Zoei. Beliau hingga kini enggan akur bahawa Mayhem yang suka bermain-main ini adalah Pendekar Emissary yang paling bijak dan kuat setakat ini.

“Terdapat lima puluh orang tentera elit Masonik dalam pertempuran tersebut. Kehebatan mereka adalah di bawah Pendekar Ekssekutif sahaja. Namun mereka amat sukar dibunuh sungguhpun aku berjaya membelah dua tubuh mereka.” ujar Zoei.

“Pengubahsuaian genetik?” tanya Naar.

“Aku pun mengesyaki begitu. Jadi aku membakar hangus tubuh-tubuh mereka. Barulah mereka mati. Namun terdapat bahagian-bahagian anggota badan yang tidak hangus masih bergerak-gerak lagi.” ujar Zoei.

“Hm. Kau cuma perlu menggunakan 30 peratus kuasamu sahaja pun sudah memadai. Kuasa petir yang kau janakan cukup panas untuk membakar mereka tanpa memusnahkan kawasan persekitaran dengan begitu teruk sekali. Apakah yang sebenarnya berlaku, Zoei?” tanya Naar. Zoei tersenyum.

“Itu sebabnya aku lebih suka bertemu denganmu sungguhpun kita bermusuhan. Kau amat bijak tetapi kau kalah denganku sebab kau ego.” ujar Zoei.

“Jangan pula nak mengubah topik kita, Mayhem!” tegur Naar dengan agak keras. Perasaannya agak terbakar dengan kata-kata saingannya itu.

“Aii.. Kau ini membosankanlah. Tak suka berbual-bual kosong. Kalau kau tak berperangai sebegini tentu kita boleh menjadi kawan baik. Baiklah, aku terpaksa menggunakan seratus peratus kekuatanku kerana terdapat seorang pendekar Masonik yang lain di situ. Hanya beliau seorang, tetapi kehebatannya adalah setanding dengan kita. Mungkin sebenarnya lebih hebat. Beliau akhirnya berundur tetapi aku tidak rasa beliau kalah. Mungkin beliau hanya mahu mengujiku sahaja pada hari itu.” maklum Zoei.

“Lebih hebat daripada kita?” Nada ego Naar kini sudah berubah. Perasaan kurang sedap sedang mencambah di dalam hatinya. Zoei mengangguk.

“Kau mesti pulang ke Daulah, Naar. Kau mesti maklumkan hal ini kepada mereka di sana. Seluruh umat Islam kini dalam keadaan bahaya.” pinta Zoei. Air muka Naar berubah. Beliau memandang tepat ke mata Zoei. Ternyata saingannya itu benar-benar serius.

“Siapakah pendekar itu, Zoei?” tanya Naar dengan nada yang agak gementar. Zoei tersenyum tawar.

“Kau tahu siapa dia sebenarnya, Muhammad Saif.” jawab Zoei yang menyebut nama sebenar Emissary Drakulon. Naar bungkam. Mukanya agak pucat. Bibirnya bergetar.

“Ad-Dajjal al-Masih!”


- Bersambung -

2 comments:

Anonymous said...

salam..
nk mnx tlg bg tips ckit cmne nk tulis cerpen or novel ley x?..

pinkpurle amie said...

waaa.... sambung2....dajjal??? eiii best2... fairuz 2 winblade kan???

sambung r cepat.. x sabar nak tau ending dia... cter awak sume best2.. tapi yg paling sye suke METROPOLIS.:)

cahyok2...