MetroPolis Episod 2
Bab 14
Gambaran Ketakutan
Bab 14
Gambaran Ketakutan
Tiga hari kemudian di Kampung Simee
“Mulai sekarang, Kampung Simee adalah hak kami, Geng Sepoi. Semua wang dan harta benda kamu adalah milik kami. Jangan cuba melawan dan memandai-mandai. Polis semua sudah terlalu sibuk untuk menolong orang-orang miskin seperti kamu.” ujar Saifool yang merupakan ketua kumpulan pemeras tersebut. Para penduduk di Kampung Simee hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Belasan orang ahli kumpulan tersebut yang lengkap bersenjata api langsung meruntuhkan semangat untuk menentang mereka.
“Sudah, pergi masuk ke rumah masing-masing dan jangan cuba nak memprotes lagi.” bentak Saifool seraya memandang ke arah mayat salah seorang penduduk yang menunjuk perasaan tadi. Beliau dibunuh dengan kejam untuk menjadi teladan kepada yang lain agar tidak menentang Geng Sepoi lagi. Para penduduk Kampung Simee segera beredar ke rumah masing-masing dengan perasaan tidak puas hati. Namun ketakutan lebih menebal di hati mereka daripada berjuang untuk menangkis penindasan tersebut. Saifool tertawa riang apabila ruang di jalan utama kawasan tersebut telah kembali menjadi lapang.
Tiba-tiba muncul sebuah kereta Jaguar berwarna hitam dan berhenti hampir dengan kumpulan samseng tersebut. Saifool berasa cuak lantas menghalakan senjatanya ke arah kereta tersebut. Begitu juga dengan rakan-rakannya. Pintu kereta Jaguar dibuka dengan perlahan-lahan. Muncul seorang perempuan yang amat cantik dan seksi. Beliau ialah Nicol Hanany. Geng Sepoi kesemuanya ternganga kekaguman.
“Heh! Nampaknya hari ini merupakan hari bertuahku. Sudahlah mendapat kereta yang cantik, gadis yang cantik juga menyerah kepadaku.” komen Saifool. Rakan-rakannya tertawa. Namun ada yang berasa bengang kerana terdetik juga di hati untuk memilik gadis rupawan tersebut terlebih dahulu. Nicol Hanany tiba-tiba mencampakkan dua batang rod logam sepanjang hampir 6 inci ke arah kumpulan samseng tersebut. Sebaik sahaja menyentuh bumi, rod-rod tersebut tiba-tiba meledakkan asap tebal yang menyelubungi Geng Sepoi. Nicol pula bersegera masuk ke dalam keretanya dan mengundur dengan pantas.
“Bangsat! Tembak kereta tersebut!” jerit Saifool yang antara nampak dengan tidak arah Jaguar tadi mengundur. Kesemua ahli kumpulannya mula mengangkat senjata dan menarik picu.
“BOOM!” suatu letupan berapi meledak di kalangan Geng Sepoi. Rupa-rupanya gas yang meliputi mereka tadi adalah besifat mudah terbakar. Serta-merta kumpulan yang tadinya begitu angkuh kesemuanya menyembah bumi kini. Sepuluh daripada mereka tebunuh serta-merta. Manakala bakinya pula mengalami kecederaan yang amat berat sungguhpun masih bernyawa. Kereta Jaguar kini kembali merapati mereka. Nicol kembali keluar daripada keretanya. Kali ini dengan sepucuk pistol di tangan.
“Aarghh… arghh… Kau ini siapa?” tanya Saifool dengan payah jerih tatkala Nicol berjalan mendekatinya. Nyatalah kecederaannya juga sangat parah. Nicol tidak berkata apa-apa. Sebaliknya terus mengacukan pistol di dahi Saifool dan menarik picu. Melayang nyawa ketua Geng Sepoi itu serta-merta. Senjata maut Nicol dihalakan ke arah saki baki samseng yang masih bernyawa pula. Beberapa saat kemudian kesemuanya mati di tangan gadis rupawan tersebut dengan cara yang sama.
Nicol berjalan menuju ke arah kereta Saifool pula. Beliau menembak di bahagian kunci but belakang. But tersebut terbuka dan kelihatanlah wang tunai yang beguni-guni dan barang-barang kemas yang berharga di dalamnya. Nicol tersenyum. Beliau segera mengangkut hasil rampasannya dan memuatkannya ke dalam Jaguar miliknya.
“Kau ini siapa? Kau juga perompak macam merekakah?” tanya salah seorang penduduk Kampung Simee yang mulai keluar daripada rumah setelah mendengar letupan dahsyat tadi. Nicol berhenti daripada perbuatannya seketika. Beliau melemparkan pandangan ke arah para penduduk yang semakin ramai mengerumuninya. Setelah memastikan bahawa mereka semua tidak mendatangkan sebarang ancaman terhadapnya, Nicol kembali meneruskan tugasannya tadi. Tiba-tiba bahunya ditepuk dan dikejap dengan kemas.
“Hei! Kami sedang bertanya kepada awak ni.” tegur seorang pemuda dengan gaya berani. Nicol terus mengacukan pistolnya ke arah dada di bahagian bahu pemuda tersebut dan menembaknya. Pemuda tersebut terhumban ke belakang dan terguling-guling menahan kesakitan. Beberapa orang wanita di kalangan penduduk tersebut terjerit-jerit ketakutan. Para penduduk yang mengerumuni Nicol mulai berundur ke belakang.
“Jangan nak tunjuk lagak pula denganku. Selepas ini sesiapa yang cuba menghalang kerjaku akan kubunuh dengan begitu sahaja, faham?” ujar Nicol yang berbentuk suatu ancaman keras. Ketakutan kembali melanda di hati para penduduk Kampung Simee. Mereka kembali menyuraikan diri; kecuali seorang wanita tua yang tampak sedang meratapi kematian suaminya, iaitu penduduk yang dibunuh oleh Geng Sepoi tadi. Mayat tersebut telah separuh terbakar akibat letupan tadi. Nicol Hanany buat-buat tidak tahu dan meneruskan perbuatannya tadi. Akhirnya kesemua harta milik Geng Sepoi telah berjaya disapu olehnya. Esakan wanita tua tadi masih kedengaran di telinga Nicol. Gadis jelita tersebut mengeluh kecil. Beliau datang merapati wanita tua tersebut. Wanita tua tersebut dalam esakannya menyedari kehadiran Nicol. Beliau mengesot-ngesot berundur ketakutan.
“Maafkan saya sebab turut membakar mayat suami puan.” pohon Nicol seraya meletakkan tiga ikat wang kertas not seratus Ringgit Malaysia di sisi wanita tua tersebut. Jumlah kesemuanya mau mencecah RM6,000 lebih kurang. Nicol kemudiannya segera meninggalkan tempat tersebut dengan Jaguar dan keadaan wanita tua pula masih terkulat-kulat seperti tadi.
*****************************************
Dua jam kemudian. Di balai MetroPolis.“Si Nicol ni asyik menghilangkan diri. Susah betul dengan anak orang kaya yang besar kepala ini. Dia sedikitpun tidak menghormati arahanku dan membuat perkara yang sewenang-wenangnya.” rungut Enbi. Catherine yang duduk bersamanya tertawa kecil.
“Yang lain-lain pula adalah gila dan melampau-lampau dalam menegakkan undang-undang. Kita ini mungkin lebih ditakuti oleh rakyat daripada para penjahat di luar sana.” omel Enbi lagi. Namun kali ini beliau turut ketawa bersama sahabat baiknya itu.
“Namun Enbi kena akui bahawa mereka semua telah berjaya menaikkan reputasi baik MetroPolis. Kini kita digeruni oleh musuh dan dihormati oleh para pesaing kita. MetroPolis bukanlah tempat permainan ‘polis sentri’ untuk orang dewasa seperti yang pernah dinista oleh SPMB. Kini mereka pun berasa gentar dengan kehebatan kita.” puji Catherine untuk menyedapkan hati Enbi.
“Ya, betul. Inilah kali pertama aku berasa sangat berpuas hati dengan pencapaianku. Pada mulanya aku hanya ingin menyakitkan hati SPMB. Tak sangka pula menjadi seperti begini sekarang.” ujar Enbi. Bibirnya mengorak senyuman.
“Tapi aku paling gembira sebab kau mempercayaiku selama ini dan menyokongku hingga sekarang. Malah menyelamatkan nyawaku pula.” ujar Enbi lagi seraya memandang ke arah Catherine. Gadis manis tersebut tersipu-sipu malu. Namun bibirnya masih mampu melakar senyuman gembira. Gembira kerana dihargai oleh lelaki idamannya.
“Hai, mengumpat sayakah?” Suasana romantik tersebut tiba-tiba dipangkas oleh suara yang lembut dan lunak di telinga. Namun Enbi memasamkan muka dan Catherine pula tersenyum kelat.
“Kau pergi ke mana, Nicol? Kau mahu bekerja dengan aku ke tidak?” tanya Enbi dengan nada bengang. Rupa-rupanya empunya suara tadi adalah Nicol Hanany. Si jelita itu tidak membalas soalan sia-sia tersebut. Sebaliknya beliau menghulurkan sekeping kad kepada Enbi.
“Ini panggu saya untuk pembayaran gaji bulan ini. Seperti yang telah dijanjikan. Saya juga telah menyelesaikan masalah penindasan penduduk Kampung Simee. Juga seperti yang dijanjikan.” ujar Nicol dengan agak sinis. Namun Enbi enggan melayan provokasi sedemikian. Beliau segera mengambil kad di tangan Nicol.
“Sekarang aku mahu kau ke Stesyen 18 pula. Entah apa si gila Remy dan Dass sudah lakukan. Penduduk di situ agak marah dengan mereka. Kali ini jangan lagi pergi berseorangan. Kalau kau melanggari lagi arahanku, kau akan dipecat. Pergi dengan Nazrul, faham?” arah Enbi dengan nada tegas. Nicol membuat tabik hormat tetapi dengan gaya bermain-main.
“Woit! Mengumpat sayakah?” Tiba-tiba suara lain pula menerjah untuk mengganggu suasana yang agak tegang tersebut. Empunya suara tersebut adalah Nazrul. Beliau baharu sahaja selesai menyantap pisang goreng yang dibeli oleh Catherine tadi. Nicol bingkas bangun dan tiba-tiba mendakap erat tubuh Nazrul.
“Yahoo! Kita akan pergi bersama untuk tugasan seterusnya!” ujar Nicol dengan gembira. Entah sama ada benar-benar atau dibuat-buat perasaan tersebut. Kemudian beliau melepaskan dakapannya dan bergegas masuk ke belakang balai. Meninggalkan Nazrul yang masih termangu-mangu tetapi amat teruja dan gembira.
“Sekejap lagi kau akan pergi dengan Nicol ke Stesyen 18. Aku mahu kau awasi tindak-tanduknya. Jangan berasa seronok sangat. Ingatlah apa yang telah terjadi semasa kau dengan Suraya dulu.” arah Enbi yang mematikan keseronokan Nazrul. Adiknya itu mencebik.
**********************************************
Di pinggir Bandaraya Grand Bois, Mauritius pada waktu yang sama…Presiden Maximiliano akhirnya tiba di lokasi tempat pertemuan di antaranya dengan wakil Organisasi. Seperti yang dijangkakan, Zoei Bukhory atau Emissary Mayhem sedang menunggunya. Pendekar kelas tertinggi tersebut sedang dalam keadaan santai duduk di kerusi lipat di bawah payung besar berwarna putih. Layaknya seperti beliau sedang berkelah sahaja. Di sebelah Mayhem tegak berdiri seorang lelaki yang pastinya seorang pendekar daripada Organisasi juga.
“Tuan…” Lamunan Maximilano dimatikan dengan seruan anak buahnya. Beliau memandang ke arah Camus, pengawal peribadinya yang paling setia. Jelas terlakar emosi ketakutan pada wajah tersebut sungguhpun Camus telah beberapa kali menyelamatkan nyawanya dengan kemahiran yang tinggi.
“Camus, kamu baliklah. Perangai Emissary Mayhem sangat sukar untuk dijangka. Kau juga mungkin akan turut dibunuhnya. Beritahu Romina bahawa aku amat menyayanginya dan aku minta agar beliau menjadi lebih tabah.” arah Maximilano dengan nada tersekat-sekat. Inilah arahan terakhir beliau sebagai presiden Uruguay.
Setelah beberapa ketika akhirnya Camus memecut limousine rasmi meninggalkan Maximilano berseorangan. Jarak di antara beliau dengan Emissary Mayhem cuma dalam lima puluh meter sahaja. Namun kakinya begitu berat sekali untuk melangkah ke hadapan.
“Tak sangka aku akan mati di tempat sebegini.” ujar Maximilano dengan perlahan. Kawasan tersebut adalah sebuah dataran lapang yang luas dan agak tandus. Kaki presiden Uruguay tersebut akhirnya terhenti tatkala berada hanya beberapa kaki sahaja daripada Emissary Mayhem.
“Apa khabar, Maximiliano? Sila duduk.” Mayhem bertegur-sapa membuka bicaranya. Dengan berat hati Maximiliano melabuhkan punggung di sebuah lagi kerusi lipat yang telah disediakan untuknya.
“Terima kasih.” ucapnya. Itu sahaja kata-kata yang menerjah di cepu pemikirannya buat masa ini. Nyatalah ketakutan benar-benar menguasai segenap saraf di tubuhnya.
“Nama saya ialah Zoei Bukhory. Yang berdiri dengan gaya gagah perkasa itu ialah Eksekutif Zaquan. Nanti jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih kepadanya.” Kata-kata Mayhem tersebut menimbulkan perasaan hairan di hati Maximiliano. Namun beliau mengambil keputusan untuk berdiam diri terlebih dahulu.
“Yang ini pula namanya Oskoko. Saya baru sahaja berikan namanya itu tadi.” maklum Mayhem pula seraya menunding pada seekor semut yang sedang berlegar-legar di kerusi lipatnya. Mayhem menghalakan telunjuknya ke arah belakang pula.
“Yang ramai-ramai di belakang itu saya tidak tahu nama mereka. Saya tak sempat nak bertanya.” maklum Mayhem. Maximiliano sekali lagi melontarkan pandangan ke arah tempat yang telah ditunjukkan oleh Mayhem tadi. Di belakang pendekar terhandal Organisasi tersebut kelihatan berpuluh-puluh mayat yang kebanyakannya seperti dibakar oleh sesuatu. Tidak jauh daripada mayat-mayat tersebut kelihatan sebuah pesawat udara kelas pemusnah berukuran hampir seratus meter yang telahpun terhempas dan terbakar dengan begitu marak sekali. Lambang pada pesawat malang tersebut jelas menunjukkan ianya milik kerajaan Masonik, iaitu musuh ketat kepada Organisasi.
Presiden Maximiliano menundukkan muka. Tidak sanggup rasanya untuk mempertontonkan perasaan ketakutannya kepada Mayhem. Tadi Camus pengawal peribadinya yang amat handal itu juga tidak mampu menahan riak ketakutan di wajah apabila melihatkan senario yang mengerikan tersebut, inikan pula manusia biasa sepertinya.
- Bersambung -
No comments:
Post a Comment