MetroPolis Episod 2
Bab 16
Perkara-Perkara Yang Mengejutkan
Bab 16
Perkara-Perkara Yang Mengejutkan
Dalam perjalanan ke Stesyen 18, Nicol Hanany menyanyi-nyanyi kecil dengan riang. Sementara Nazrul yang sedang memandu pula lebih banyak mendiamkan diri.
“Nazrul, cerialah sikit. Kita kan tengah berjanji temu dengan romantik sekarang?” usik Nicol. Nazrul tersenyum sumbing. Perasaan berkecamuknya itu disedari oleh Nicol.
“Selepas memarahi Dass dan Remy, apa kata kita pergi makan ais krim di bistro Gusmuk Girl. Selepas itu kita pergi melihat matahari terbenam di Bukit Keledang. Tentu sangat romantik.” cuit Nicol lagi.
”Nicol...” seru Nazrul.
“Ya, sayang.” balas Nicol seraya melirikkan matanya dengan gaya manja.
“Masa mula-mula MetroPolis ditubuhkan, pengadu pertama kami adalah seorang model cantik bernama Suraya. Saya pada masa itu cuba memikatnya. Beliau memberikan tindakbalas yang sangat baik terhadap cubaan saya itu. Namun rupa-rupanya Suraya hanya mempergunakan saya sahaja untuk memastikan kesnya terus disiasat secara percuma. Saya mendapat suatu pengajaran yang sangat berguna pada masa itu iaitu gadis yang cantik akan menggunakan kecantikannya untuk kesenangan diri sendiri. Macam awak juga.” ujar Nazrul dengan tenang. Namun ianya cukup untuk meledakkan emosi Nicol sehingga si jelita itu bungkam seketika.
“Nazrul… Saya… Saya…”
“Saya tahu siapa diri saya. Tapi saya harap awak janganlah menghina saya lagi dengan berpura-pura menyukai saya.” Kata-kata Nazrul itu adalah mendatar dan tiada beremosi. Namun ianya cukup berbisa dan menikam sangat dalam ke hati Nicol. Perbualan mereka berdua terhenti setakat itu. Kedua-duanya setelah itu hanya mendiamkan diri melayani gelodak perasaan masing-masing.
*************************************************
Sementara itu di Bandar Tawas (dahulunya dikenali sebagai Kampung Tawas)…
“Bangsat kau, MetroPolis!” teriak Chong Kan Nam, ketua Geng Tigabelas Jed lantas menyerbu ke arah Terawez yang bersedia menunggu dengan dua bilah pisau pemotong daging di setiap tangannya. Anak-anak buahnya yang masih bernyawa seramai enam orang lagi turut menyerbu sama. Namun Terawez terlebih dahulu meluru ke arah mereka dan melibas-libas senjata-senjatanya dengan kelajuan yang sukar dipercayai. Darah memercik di sana-sini dan kesemua ahli kumpulan tersebut gugur menyembah bumi. Pada hari ini Geng Tigabelas Jed secara rasminya terbubar apabila kesemua ahlinya yang berjumlah seramai tiga puluh orang telah terkorban di tangan seorang anggota MetroPolis bernama Terawez. Terawaez berjalan perlahan-lahan ke arah seorang lelaki Cina tua yang masih terketar-ketar di petak ruang niaganya di pasar basah.
“Terima kasih kerana meminjamkan saya pisau-pisau ini. Maafkan saya kerana ia rosak sedikit.” pohon Terawez. Pemuda itu kemudiannya memandang ke arah para peniaga yang masih berada di dalam pasar basah tersebut. Kesemua mereka tadi telah diancam nyawa oleh Geng Tigabelas Jed kerana enggan mengakui ketuanan kumpulan samseng tersebut di Bandar Tawas. Beberapa orang penduduk telah kehilangan nyawa dan puluhan yang lain cedera parah natijah penentangan mereka itu. Terawez yang baharu tiba di situ berasa amat geram kerana beberapa anggota SPMB yang turut berada di situ enggan membantu. Malah mereka hanya duduk memerhati sahaja seolah-olah ianya sebuah rancangan hiburan. Kini mata Terawez tertumpu ke arah polis-polis yang tidak bermaruah tersebut. Pandangannya sangat tajam dan penuh dengan nafsu membunuh sehingga membuatkan anggota-anggota SPMB itu berasa amat gentar. Perlahan-lahan mereka menikus meninggalkan tempat melepak mereka tadi.
“Kurang ajar…” ujar Terawez dengan perlahan. Tiba-tiba tubuhnya didakap dengan kemas. Terawez yang berasa agak terkejut itu segera mengenali lelaki yang didakapnya. Beliau ialah lelaki tua yang meminjamkan pisau-pisau dagingnya tadi. Lelaki tua tersebut tidak berkata apa-apa. Namun sesiapapun akan tahu bahawa ianya adalah tanda penghargaan ke atas apa yang dibuat oleh Terawez, sungguhpun tindakannya itu tadi adalah terlalu mengikut perasaan. Para penduduk lain kemudiannya turut meluru dan mendakapnya serta menyoraknya. Ada yang menepuk-nepuk bahunya. Malah ada juga yang mengusap-usap kepalanya. Reaksi mereka membuatkan Terawez berasa sayu hati. Beliau teringatkan tok-tok gurunya yang selalu menepuk-nepuk bahu dan mengusap-usap kepalanya. Terawez tiba-tiba menangis teresak-esak. Hadirin kesemuanya berasa amat terperanjat.
“Woi kamu semua! Wira kita sedang sesak nafas sampai dia menangis kesakitan. Sudah! Sudah! Berhenti memeluknya!” jerit salah seorang wanita Cina yang berada di situ. Hadiri segera merenggangkan jarak mereka dengan Terawez. Namun pemuda tersebut masih menangis teresak-esak.
*******************************************
Sementara itu di Simpang Pulai…
Pertempuran sengit di antara Kumpulan Tai-Pan dan Kumpulan Don baharu sahaja berakhir. Kemenangan kali ini memihak kepada Kumpulan Don kerana ternyata pertempuran tersebut adalah berat sebelah. Sungguhpun ahli Kumpulan Tai-Pan adalah lebih ramai, namun mereka semuanya tidak sehandal dan semahir ahli-ahli Kumpulan Don. Benarlah kata-kata Remy kepada Penguasa Foong tidak lama dahulu.
Daryll yang mengetuai skuad Kumpulan Don berjalan mundar-mandir untuk memeriksa mayat-mayat yang bergelimpangan di sana-sini. Ternyata negara Malaysia sekarang tidak ubah seperti neraka dunia. Syarikat Polis Malaysia Berhad yang lebih lengkap bersenjata dan ramai seperti tidak bersungguh-sungguh cuba menyurutkan keganasan kumpulan-kumpulan gengster di semerata tempat. Organisasi pula setakat ini enggan memberi bantuan ketenteraan sungguhpun Malaysia dalam jajahannya. Mata Daryll tiba-tiba tertumpu ke arah seorang ahli Kumpulan Tai-Pan yang masih hidup. Beliau dalam keadaan cedera yang amat berat. Namun masih gagah untuk berjuang habis-habisan. Tangannya mengacukan sepucuk pistol plasma tepat ke arah Daryll. Pun begitu Daryll tidak langsung berasa gentar atau peduli. Sebaliknya pandangannya terpaku dengan tajam ke arah lawan beliau.
“Kau… mesti… mati…” ucap lelaki tersebut dengan payah jerih. Namun tiba-tiba beberapa jalur cahaya putih melalui tubuhnya. Serentak dengan itu tubuhnya terbelah-belah bersama jeritan mautnya. Daryll bungkam seketika. Kemudian rasionalnya perlahan-lahan memulih. Beliau memandang ke suatu sudut yang agak kelam di hadapannya.
“Kau memang dahsyat, Serigala Angin. Menggunakan kuasamu untuk memegunkan tubuh mangsa. Kemudian datang ke arahnya dengan selamba dan menusuk kedua tekpimu tepat ke jantung dan otak lawanmu yang tidak mampu berbuat apa-apa.” komen seorang lelaki yang amat tegap dan garang irasnya. Beliau tidak lain tidak bukan lelaki yang bertanggungjawab membunuh kesemua anak buah Remy alias Disco Inferno semasa transaksi memberi ufti kepada pemimpin Kumpulan Tai-Pan. Orang yang dianggap oleh Remy sebagai algojo misteri Don. Anggota Kumpulan Don yang masih terselamat dalam pertempuran tersebut memandang ke arah lelaki itu dengan mulut yang masih melopong.
“Mengapa kau tidak menolong kami tadi sedangkan kau telah berada di situ semenjak mula lagi?” tanya Daryll dengan nada curiga dan tidak berpuas hati. Lelaki tersebut ketawa terbahak-bahak. Beliau kemudiannya datang mendekati remaja yang diangkat menjadi pembunuh elit Kumpulan Don itu. Akhirnya beliau berhenti betul-betul di hadapan Daryll. Namun remaja tersebut tidak langsung berganjak mengundur sebagai isyarat bahawa beliau tidak gentarkan lelaki misteri tersebut.
“Aku sudapun melakukan tugasku. Aku enggan masuk campur dalam urusanmu. Lagipun aku khuatir teknikku ini akan membunuh rakan seperjuangan kita sendiri. Termasuklah kau. Jadi aku berada di sini cuma untuk memastikan bahawa kau menyempurnakan tugasmu. Itu sahaja.” maklum lelaki misteri tersebut. Daryll memaku ke matanya dengan pandangan tajam. Kedua tangannya menggeletar kerana menahan keinginan bertarungnya dengan lelaki misteri tersebut. Saingannya itu yang seolah-olah memahami apa yang tersirat di hati remaja tersebut hanya tersenyum sinis.
********************************************
Sementara itu di pinggir Bandar Grand Bois, Mauritius…
“Tuanku Emissary, saya bersedia untuk menerima hukuman saya sekarang. Namun izinkan saya memberitahu sebab-musabab saya berbuat demikian.” ujar Presiden Maximiliano dengan nada redha. Beliau enggan merayu dan menjatuhkan maruahnya sebagai seorang manusia dan pemimpin tertinggi negara. Namun dia ingin menyatakan pendiriannya. Zoei Bukhory alias Emissary Mayhem hanya tersenyum simpul.
“Hukuman apa?” tanya Zoei.
“Bukankah tuanku mahu memenggal kepala saya kerana membunuh seorang Islam di negara saya?” balas Maximiliano dengan nada yang agak bengang. Zoei tertawa.
“Bila pula saya beritahu saya mahu memenggal kepala tuan presiden? Itu semuanya hanya khabar angina media massa sahaja. Saya tak pernah berkata apa-apa pun. Tetapi saya juga tak ingin menafikannya. Tahukah kenapa?” Zoei mula bermain teka-teki. Maximiliano yang berasa sedikit gembira hanya menggelengkan kepala. Di benaknya hanya terbayang wajah anak perempuannya yang menyambut kepulangannya dengan pelukan dan tangisan gembira.
“Orang yang tuan presiden arahkan untuk dibunuh itu namanya ialah Moostapha Sinnai. Beliau adalah pemimpin radikal yang menggunakan nama Organisasi untuk melakukan pemberontakan sedangkan Organisasi tidak pernah menyokong kumpulannya. Cuma saya ingin tahu bagaimana beliau mendapatkan senjata-senjata ciptaan Organisasi dengan begitu mudah sekali. Organisasi mengesyaki bahawa wujud pengkhianat di dalam kumpulan kami yang membekalkan senjata api secara seludup kepada kumpulan Moostapha ini. Malah besar kemungkinan kepada pihak-pihak yang lain juga.” perjelas Zoei dengan panjang lebar.
“Jadi memang bukanlah Organisasi yang memberikan senjata api kepada kumpulan Moostpha Sinnai?” tanya Maximiliano. Zoei menggelengkan kepala. Dengan tidak semena-mena beliau menyanyikan lagu “Tidak Sama Sekali” daripada kumpulan Ufuk Sakti yang amat terkenal masa kini.
“Organisasi hanya menyerang mana-mana negara untuk mempertahankan umat Islam yang teraniaya. Kami tidak langsung menyokong mana-mana umat Islam yang ingin menganiayai orang lain sungguhpun yang bukan Islam. Malah kami menyokong tindakan tuan presiden dalam hal ini demi menjaga maruah dan nama baik agama kami. Tetapi saya enggan berkata apa-apa tentang hukuman bunuh tuan presiden kerana saya ingin saki-baki kumpulan Moostapha menjadi cuai dan mendedahkan secara tidak sengaja dalang yang membekalkan senjata api kepada mereka.” jawab Zoei dengan panjang lebar. Fahamlah sekarang Maximilano akan tujuan Zoei ingin bertemu dengannya.
“Tuan presiden tentu sudah menyiasat habis-habisan tentang ahli kumpulan serta aktiviti mereka ini. Kalau boleh Organisasi inginkan maklumat tersebut. Namun kami tidak boleh meminta secara terang-terangan kerana negara tuan presiden bersekutu dengan pihak Masonik. Kami takut akan timbul salah faham nanti. Makin sukarlah saya hendak mendapatkan payung saya kembali.” perjelas Zoei. Maximiliano menganggukkan kepala sungguhpun tidak begitu memahami maksud kata-kata terakhir Zoei tadi.. Kini semuanya telah jelas dan terungkai. Buat pertama kalinya beliau berasa hormat dengan Emissary Mayhem bukan kerana takut kepadanya tetapi kerana mengagumi kebijaksanaan pendekar tersebut.
“Baiklah, Eksekutif Zaquan akan menghantar tuan presiden pulang sekarang. Semoga tuan presiden panjang umur dan hubungan dengan pihak kami akan menjadi lebih baik lagi. Dan jangan lupa untuk minum susu demi kesihatan tubuh badan.” ucap Zoei. Baharulah Maximiliano dapat memahami maksud Zoei yang sebelum ini memintanya untuk mengucapkan terima kasih kepada Eksekutif Zaquan sekarang. Bibirnya tidak lagi payah untuk mengukir senyuman gembira.
**************************************
Beberapa minit selepas Presiden Maximiliano pergi…
Sebuah pesawat yang saiznya seperempat dari saiz pesawat Masonik yang dimusnahkan oleh Zoei tadi muncul dengan deruman enjin yang hampir tidak didengari telinga. Beberapa orang lengkap dengan sut pelindung radiasi turun dari pesawat itu dan memberikan isyarat hormat kepada pendekar kelas tertinggi tersebut.
“Maaflah kalau saya menyusahkan kamu semua. Di situ masih terdapat beberapa anggota tubuh yang bergerak-gerak sungguhpun tanpa nyawa. Saya meminta pertolongan tuan untuk membawanya pulang ke Daulah. Beritahu mereka untuk mengkaji segera bahagian-bahagian tersebut.” pinta Zoei.
“Baik tuan Mayhem.” balas salah seorang dari anggota kumpulan tersebut. Mereka tanpa bertangguh segera melakukan pekerjaan mereka. Namun salah seorang yang tidak dapat menahan perasaan segera merapati Zoei.
“Maafkan saya jika mengganggu tuan Mayhem. Saya ingin tahu makhluk apakah yang kami sedang kumpulkan ini?” tanya beliau. Zoei tersenyum. Ahli kumpulan yang lain juga turut berhenti untuk memasang telinga.
“Mereka bukannya makhluk. Mereka adalah manusia.” jawab Zoei.
“Manusia? Manusia apakah mereka ini?” tanya lelaki tadi dengan nada terperanjat yang amat sangat. Zoei tersenyum seolah-olah tidak ingin menjawab pertanyaan tersebut. Namun akhirnya beliau mengambil keputusan untuk memberitahu mereka juga.
“Mereka ini adalah manusia yang disebut dalam Al-Quran sebagai musuh terbesar umat Islam. Mereka inilah yang digelarkan sebagai Yakjuj dan Makjuj.” jawab Zoei. Bibirnya kembali mengorak senyuman. Beliau pasti para pembantu di hadapannya ini sedang terlopong mulut mereka sungguhpun memakai topeng pelindung.
- Bersambung -
Notakaki :
Terima kasih buat drqofar91 dan pinkpurle amie yang menghantar mesej untuk saya.
Kepada drqofar91 : Sebenarnya saya juga amat baharu dalam bidang penulisan ini. Tetapi saya menulis dengan beberapa persediaan. Pertamanya, saya banyak membaca buku-buku berbentuk ilmiah dan menonton rancangan ilmiah. Antaranya ialah History Channel di Astro siaran 555. Dengan pelbagai disiplin ilmu, saya mendapat idea untuk menulis cerita lain dari yang lain. Keduanya, saya sedaya-upaya memperbaiki teknik penulisan dan tatabahasa saya dengan menggunakan bahasa Melayu yang standard dan tidak menggaulnya dengan bahasa rojak. Kecuali Zero Hero dan Emo Hero kerana saya ingin mengetahui sama ada pembaca di Malaysia ini lebih cenderung kepada tatabahasa yang indah atau plot cerita yang menarik. Yang akhir sekali, saya sanggup menahan telinga untuk menerima sebarang kritikan demi untuk meningkatkan kualiti penulisan dan cerita saya. Kalau boleh buatlah suatu cerita yang tidak pernah dibuat oleh penulis lain sungguhpun ianya cerita cinta.
Kepada pinkpurle amie : Terima kasih kerana masih setia membaca MetroPolis. Dan untuk pertanyaan awak tu, jawapannya : No komen. macam artis pulak. Haha!
Bye!
No comments:
Post a Comment