MetroPolis Episod 2
Bab 9
Temuduga (Bahagian 3)
Bab 9
Temuduga (Bahagian 3)
Di Bistro Gusmuk Girl, Buntong Ipoh
“Erika, aku Monsoon sengaja melewat-lewatkan pertemuan kita kerana mengesyaki bahawa di kalangan kita sudah ada pembelot. Pertempuran kita pada hari itu nampaknya telah diketahui oleh algojo kumpulan Don pada awal-awal lagi. Sialan!” Erika tersenyum mendengarkan kata-kata Monsoon itu. Nampaknya pemimpin kumpulan Terendak Biru ini bukanlah sembarangan orang.
“Aku pun berasakan begitu juga. Malah aku telah mengesyaki bebarapa orang anak buahku. Itu sebabnya aku meminta anak-anak buah kita tunggu di luar dan hanya kita berdua sahaja yang berbincang.” maklum Erika.
“Aku pun telah memgesyaki beberapa orangku juga. Celaka betul kalau ianya benar!” ujar Monsoon seraya menepuk-nepuk meja.
“Aku bercadang untuk memerangkap algojo bedebah itu dan menyerang balas kembali. Namun aku bimbang kalau-kalau rancangan kita dibongkar oleh pembelot dalam kumpulan kita. Buat masa ini janganlah kita menggunakan emel kita. Seeloknya kita berkomunikasi dengan cara tersembunyi.” ujar Erika dengan separuh berbisik.
“Siaaal… itu memang gagasan yang bagus! Apa cara yang kau cadangkan Erika?” tanya Monsoon.
“Aku telah membuka sebuah laman blog secara rahsia. Nama blog tersebut ialah erikamonsoon.blogring.com. Aku telah meninggalkan semua mesej rahsia kepada kau di situ. Jadi perancangan kita tak akan bocor kecualilah kau atau aku adalah pembelotnya.” maklum Erika. Terbeliak kedua mata Monsoon. Tiba-tiba beliau bingkas bangun.
“BANGSAT! Itu memang gagasan yang bernas!” ujar Monsoon dengan perasaan yang sangat teruja. Kemudian ketawa terbahak-bahak pula. Para pengunjung di bistro tersebut kini menumpukan perhatian mereka ke arah Monsoon dan Erika. Erika hanya mampu memekupkan mukanya tanda berasa aib yang amat sangat.
*****************************
Pada masa yang sama…
“Resume kau memang sangat bagus. Namun selama setahun kau menghilangkan diri. Apa sudah jadi pada masa itu?” tanya Enbi sambil membelek-belek resume Remy.
“Saya diambil oleh kerajaan sebuah negara untuk kerja-kerja pengintipan. Tetapi ianya adalah perkara yang amat sulit dan peribadi. Saya tak dapat nak memberitahu. Minta maaf.” jawab Remy yang kini menyamar sebagai Fayeed As-Salam. Setahun lalu beliau menyamar sebagai Disco Inferno dan menjadi konco Don. Enbi memandang ke arah Ghanshamdass. Anak buah terbaharunya juga memandang ke arahnya.
“Jangan-jangan kau bekerja untuk negara yang memusuhi Organisasi. Susahlah MetroPolis kalau begitu.” pertikai Enbi. Remy agak tergamam dengan kata-kata tersebut.
“Baiklah. Kalau tuan agak bimbang, saya sebenarnya bekerja dengan sekutu Organisasi pada masa itu. Tapi setakat itu sahaja yang saya boleh beritahu.” ujar Remy. Seketika kemudian komputer di hadapan Enbi berbunyi. Enbi membelek monitornya seketika.
“Nampaknya maklumat yang diberikan semuanya benar. Kau memang pernah mendapat latihan ketenteraan dan kini bekerja sebagai tentera upahan. Dass, ada apa-apa yang ingin kau suarakan?” tanya Enbi setelah melihat Ghanshamdass yang daripada tadi agak gelisah.
“Ya. Setahu saya askar upahan biasanya tidak setia. Bila-bila masa sahaja boleh membelot. Buat apa kamu bekerja dengan MetroPolis? Gaji yang ditawarkan amat sedikit bagi askar upahan yang berpengalaman sepertimu, kan?” tanya Ghanshamdass. Remy tertawa kecil.
“Memang saya dulunya begitu. Namun selepas suatu insiden saya mula berubah hati. Kesemua rakan-rakan saya terbunuh, Hanya saya seorang yang terselamat. Jadi saya terfikir bahawa mungkin Tuhan memberikan peluang kepada saya untuk membuat sesuatu yang baik sebelum saya mati. Itulah sebabnya saya menyertai sekutu Organisasi setahun yang lalu. Namun saya masih tidak berpuas hati selepas tamat kontrak. Saya dimaklumkan oleh ejen Organisasi tentang matlamat MetroPolis. Saya berasa sangat teruja dan sanggup datang ke mari demi untuk berkhidmat dengan tuan.” perjelas Remy dengan panjang lebar. Beliau berharap kelentongnya itu berhasil.
“Ceh! Macamlah kami nak percayakan cerita kamu itu!” bentak Enbi.
“Lebih baik kamu beritahu hal yang sebenarnya.” ujar Ghanshamdass memberikan amaran. Remy mengeluh pendek. Kemudian beliau cuba menyeluk sesuatu di koceknya. Dengan secepat kilat juga Ghanshamdass mengacukan pistol ke muka Remy. Namun Remy masih dengan selamba mengeluarkan sesuatu di koceknya. Ia adalah sekeping kad pengenalan yang agak pelik rupanya. Kad tersebut diberikan kepada Enbi. Mata Enbi dan Ghanshamdass terbeliak besar.
“Kau adalah tentera Oganisasi rupa-rupanya!” ujar Enbi dengan nada yang agak gugup. Namun beliau segera meyematkan kad Remy tersebut di alat pengimbas kad elektronik. Ghanshamdass pula perlahan-lahan menyimpan kembali pistolnya.
“Ya. Nama saya yang sebenar ialah Abdel Rahimy. Panggil saja saya Remy.” ujar Remy sambil menguntum senyuman. Seketika kemudian pengimbas kad elektronik tersebut berbunyi. Enbi segera merenung ke arah monitor komputernya.
“Kau memang adalah tentera Organisasi. Bertaraf Guardian pula tu! Akan tetapi khidmat kau telah ditamatkan kerana salah laku.” ujar Enbi yang membaca catatan profail Remy.
“Ya, sebab saya suka mencuri harta rampasan perang dan kesalahan maksiat dengan kekasih saya.” maklum Remy seraya tertawa. Sedikitpun tidak berasa malu dengan kesalahannya itu.
“Tak sangka aku akan berjumpa dengan orang-orang yang pelik dan istimewa.” ujar Enbi dengan perlahan. Beliau menyandarkan tubuhnya di kerusi empuk yang dihadiahkan oleh Catherine kepadanya. Remy terus ketawa.
“Bagaimana, tuan Enbi? Saya adalah sangat handal dan boleh diharap seperti anggota tuan itu juga.” ujar Remy sambil matanya menyorot ke arah Ghanshandass. Ghanshamdass berasa agak gementar sekarang. Inilah kali pertama beliau berhadapan seseorang yang setaraf dengannya daripada segi kemahiran bertempur. Malah Remy sedikitpun tidak takutkan ancaman pistolnya tadi. Ternyata lelaki di hadapannya ini juga telah biasa merenung ke arah mata kematian.
“Kami berdua sahaja sudah cukup untuk mengalahkan kumpulan Don dan Tai-Pan sekalipun mereka bergabung. Tuan Enbi pasti tak akan menyesal!” ujar Remy lagi dengan penuh keyakinan. Keangkuhannya itu memang agak keterlaluan tetapi ia membuatkan Enbi turut berasa teruja dan berkeyakinan.
“Fayeed… Remy, boleh tak kau keluar sekejap? Aku mahu berbincang sesuatu dengan Dass.” pinta Enbi. Remy tersenyum dan bingkas bangun.
“Nama kau ialah Dass, ya? Memang hebat hasil karya kau ini Dass.” ujar Remy yang merujuk pada darah yang memercik di merata balai. Kemudian beliau tertawa dengan senang hati.
“Macam mana Dass? Biasanya aku akan merujuk pada Chief atau Cat kalau berhadapan dengan orang macam dia itu. Tapi aku rasa kau pun layak untuk menilainya.” pinta Enbi. Ghanshamdass terdiam seketika.
“Saya tak tahu sama ada dia layak atau tidak. Tapi apa yang saya tahu ialah Remy atau Fayeed itu memang sangat handal. Pandangan matanya juga adalah sama seperti saya. Kami sama-sama biasa bergelumang dengan maut dan tidak gentar akannya.” maklum Ghanshamdass.
“Kau dan dia sebenarnya tak sama. Aku berasa hormat kepada kehandalanmu, Dass. Tapi dengan Remy ini; kehandalannya membuatkan aku berasa sangat gentar. Namun rasionalku mengatakan bahawa beliau memang patut bekerja dengan kita.” ujar Enbi.
“Orang seperti dia pasti mempunyai agenda tersendiri. Itu sebab beliau tak kisah menerima gaji yang kecil daripada tuan.” telah Ghanshamdass. Enbi terdiam seketika untuk memperhalusi kata-kata anggota baharunya itu.
“MetroPolis sekarang dianggap lemah dan menjadi sasaran ramai samseng yang ingin menempa nama. Kita perlukan orang-orang yang handal dengan segera untuk mengelakkan perkara ini. Kalau aku pun berasa takut kepadanya, apatah lagi orang lain.” Akhirnya Enbi bersuara setelah agak lama mendiamkan diri.
*****************************
Sementara itu Catherine pula sedang sibuk mengemaskan meja-meja di restorannya tatkala restoran tersebut dimasuki oleh enam orang lelaki yang tidak dikenali. Mereka semuanya nampak bengis dan angkuh sekali. Mereka ketawa sekuat-kuat hati dan duduk dengan gaya kasar. Beberapa orang pelanggan menjeling-jeling takut kepada keenam-enam lelaki tersebut. Catherine segera mendapatkan seorang pelanggan yang baharu sahaja selesai menjamah buburnya.
“Kesemuanya hanya lima ringgit sahaja.” maklum Catherine dengan sopan. Lelaki tersebut memakai jubah serba putih dan mempunyai wajah yang warak seperti Ren Fairuz juga. Cuma bezanya imam muda tersebut juga suka menumpang makan secara percuma seperti Enbi juga.
“Bubur nasi yang saya makan ini sangat sedap.” puji lelaki tersebut seraya menghulurkan wang pembayaran.
“Terima kasih.” jawab Catherine yang tersenyum bangga dipuji sedemikian.
“Oh, ya. Bolehkah cik memberitahu saya di mana letaknya masjid di sini?” tanya lelaki tersebut.
“Tuan ikut jalan ini dan bila tiba ke simpang tiga terus belok ke kanan. Teruskan perjalanan. Selepas melalui balai MetroPolis, tuan boleh nampak masjid tersebut.” maklum Catherine. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat. Rupa-rupanya seorang daripada lelaki yang datang berenam tadi menumbuk meja.
“Aku mahu tahu siapa pelayan di restoran ini yang menjadi barua MetroPolis. Aku mahu mencincangnya!” bentak lelaki tadi seraya mengacukan pisaunya ke arah David. Merah padam muka David menahan marahnya.
“David, jangan! Tunggu saudara semua. Marilah kita keluar dari restoran ini dan cuba selesaikannya dengan cara baik.” pujuk Catherine. Beliau perlahan-lahan datang merapati keenam-enam lelaki tersebut.
“Kau diamlah, betina!” herdik seorang yang lain pula. Dua daripada mereka ketawa sinis. Catherine mengulum kemarahannya. David cuba bertindak namun dengan segera Catherine menarik bahu abangnya untuk mundur.
“Marilah kita keluar dulu. Nanti saya akan beritahu siapa orangnya. Tolonglah jangan membuat kecoh di sini.” pinta Catherine dengan nada separuh merayu. Beliau seboleh-bolehnya enggan membabitkan para pelanggan lain dalam kejadian yang tak diingini.
“Kau tak faham bahasa ke, betina sial?” tengking seorang yang lain pula. Ternyata mereka semua mahu membuat kacau di restoran Catherine. Tiba-tiba lelaki yang berjubah tadi menyelinap di hadapan Catherine. Tindakannya adalah amat pantas sehinggakan gagal disedari oleh gadis tersebut mahupun David. Sedar-sedar beliau telahpun berada di hadapan Catherine seraya menekan dada salah seorang lelaki yang berada di hadapan sekali.
“FFFUPHH!” Tiba-tiba sahaja keenam-enam lelaki tersebut terhumban keluar daripada restoran seperti luncuran anak panah. Mereka terguling-guling di atas jalan dengan ganas sekali.
“Biarlah saya membalas budi baik cik kerana menunjukkan jalan ke masjid tadi.” ujar lelaki berjubah putih itu dengan lembut. Beliau terus melangkah keluar dari restoran dan menuju ke arah keenam-enam lelaki yang masih mengerang di atas jalan yang bertar itu. Catherine dan David terlopong besar melihatkan kehebatan lelaki berjubah tersebut.
“Celaka… Kau memang sudah jemu hidup agaknya!” ujar lelaki yang memegang pisau tadi. Rakan-rakannya juga telah bangun dan mengeluarkan senjata mereka. Lelaki berjubah tersebut terus melangkah ke arah mereka tanpa sebarang kegusaran.
“Hiah!” Keenam-enam lelaki yang membuat kacau tadi menyerbu ke arah lelaki berjubah tersebut. Lelaki berjubah tersebut terus melangkah ke hadapan sambil mengibas-ngibaskan tangannya seperti gaya tai-chi Catherine juga. Tubuh keenam-enam lelaki tersebut tiba-tiba berputar-putar tidak tentu arah bagaikan digulung oleh ombak yang ganas.
“KRAK-KRAk-KRAK!” Jelas kedengaran bunyi tulang-temulang kesemua lelaki pengacau patah-riuk. Disusuli kemudiannya dengan bunyi jeritan kesakitan mereka tatkala tubuh patah-riuk mereka terhempas ke bumi. Catherine dan David ternganga melihatkan perkara yang menakjubkan tersebut. Lelaki berjubah tadi hanya maju ke hadapan tanpa mempedulikan nasib para pengacau tadi. David tiba-tiba terus berlari mendapatkan lelaki berjubah tersebut.
“Tunggu! Tunggu!” teriak David. Lelaki tersebut akhirnya berhenti. Beliau berpaling memandang ke arah David.
“Ya?” tanyanya. Senyuman terlakar di bibirnya.
“Siapakah awak sebenarnya?” tanya David dengan nada yang agak gementar.
“Nama saya ialah Tal Kushaini. Saya ialah orang kanan kepada Maharaja Pemancung Angin.” jawab lelaki tersebut. Hampir-hampir sahaja mangkuk bubur nasi yang dipegang oleh Catherine terlepas dari tangannya.
- Bersambung -
No comments:
Post a Comment