MetroPolis Episod 2 Bab 8
Temuduga (bahagian kedua)
Temuduga (bahagian kedua)
Beberapa hari kemudian…
“Hei Dass…” tegur Nazrul akhirnya setelah begitu ralik memerhatikan Ghanshamdass membersihkan pistolnya. Mereka kini berada di hadapan balai MetroPolis. Keadaan masih aman buat masa ini. Cuma dua-tiga pertempuran kecil sahaja yang berlaku semalam di Taiping.
“Hm.” Jawab Ghanshamdass seraya memfokuskan pandangannya ke arah Nazrul. Beliau memberikan senyuman tanda hormat. Ini adalah kerana pangkat Nazrul adalah lebih tinggi daripadanya.
“Tentu kau tak berpuas hati dengan pangkatku ini. Aku habuk pun tak ada dalam pengalaman sebegini sedangkan kau begitu handal dan sangat berpengalaman.” ujar Nazrul. Ghanshamdass terpaku daripada perbuatannya. Beliau merenung lama ke dalam pandangan Nazrul. Adik Enbi itu berasa tidak selesa.
“Aku minat perempuan, tau?” Tiba-tiba Nazrul membuat pernyataan sebegitu rupa. Ghanshamdass sekali lagi terpaku. Namun kemudiannya beliau ketawa terbahak-bahak.
“Janganlah tuan Nazrul risau. Saya pun sukakan perempuan juga. Saya cuma merenung ke mata tuan tadi untuk membaca niat tuan. Sama ada tuan saja-saja cakap begitu atau benar-benar maksudkannya.” maklum Ghanshamdass.
“Heh! Aku benar-benar maksudkannya, tau?” ujar Nazrul. sedikit tersinggung.
“Ya, saya tau. Jadi saya tak berasa bengang dengan tuan pun. Saya amat menghormati orang yang pandai merendah diri dan tahu menghormati orang lain.” balas Ghanshamdass.
“Baguslah kalau begitu. Lagi satu, Enbi tak benarkan kita menggunakan perkataan ‘tuan’. Jadi kau panggil saja aku Nazrul. Aku pula akan memanggil kau sebagai abang Dass.” maklum Nazrul. Ghanshamdass terlongo seketika.
“Peliklah peraturan ketua kita.” komennya.
“Abang ngah kata kerana terlalu mementingkan pangkat yang boleh dibeli itulah menyebabkan SPMB menjadi badan kapitalis yang buruk.” ujar Nazrul lagi. Ghanshamdass mengangguk.
“Memang benar pegawai rendah dalam SPMB berlumba-lumba membuat duit agar mereka dapat membeli pangkat yang lebih tinggi. Pandangan ketua kita tak salah. Tapi saya berasa kurang selesalah.” maklum Ghanshamdass.
“Abang ngah aku itu memang merapu. Walaupun beliau berniat baik, tapi tetap merapu. Oh, ya! Jangan bagitau abang ngah yang aku mengumpatnya, ya? Ini adalah arahan.” ujar Nazrul. Kedua-dua mereka ketawa terbahak-bahak.
**************************************
Keesokannya di bilik temuduga Balai MetroPolis.
“Tolonglah tuan! Saya memang minat untuk menjadi polis. Saya mahu berbakti kepada masyarakat dan negara.” rayu Ruhaizal, yang ditolak permohonannya oleh Enbi.
“Kamu tiada pengalaman dan kamu tiada lesen senjata api. MetroPolis ada terlalu banyak musuh. Kau mungkin akan mati sebelum sempat berbakti kepada masyarakat, faham?” jawab Enbi dengan keras. Biarlah anak muda di depannya ini boleh menikmati hidupnya lebih lama daripada mati sia-sia. Ghanshamdass yang berada bersama Enbi hanya mendiamkan diri. Beliau memahami kehampaan Ruhaizal. Namun beliau memang amat bersetuju dengan keputusan Enbi. Minat dan dorongan sahaja tidak memadai dalam suasana huru-hara sekarang. Ruhaizal bangun dengan longlai. Beliau melangkah lesu keluar daripada bilik temuduganya. Ghanshamdass memerhatikan tindak-tanduk Enbi. Ketuanya itu pasti akan berkata sesuatu untuk menyedapkan hati dengan keputusannya tadi. Namun Enbi tidak berbuat demikian dan sedikitpun tidak terganggu dengan perkara tersebut.
“Hebat betul budak ini.” ujar Ghanshamdass dalam hati. Seketika kemudian pntu bilik temuduga sekali lagi terbuka. Muncul seorang pemuda yang agak berkeyakinan parasnya. Beliau melangkah dengan gaya yang sedikit angkuh ke arah meja temuduga.
“Nama?” tanya Enbi.
“Mampuslah kau-” Belum sempat pemuda itu mengahbiskan ayatnya, suatu bunyi letupan yang amat kuat kedengaran di belakang Enbi. Pemuda tersebut melayang dan terhempas tubuhnya ke pintu yang beliau masuk tadi. Darahnya memercik hampir di serata bilik.
“Aduh…” ujar Enbi. Kepalanya berdengung. Telinganya berdesing. Beliau memandang ke arah pemuda yang kini tersandar di pintu bermandikan darah. Ternyata tangan kanan pemuda tersebut masih menggenggam kemas sepucuk pistol plasma. Beliau kelihatan tersangap-sangap menahan sakit. Enbi berpaling ke belakangnya. Kelihatan Ghanshamdass sedang menggenggam sepucuk pistol yang agak pelik rupanya.
“Kau memang pintar sebab memakai Kevlar (baju kalis peluru) untuk mengurangkan kecederaanmu. Tapi malangnya Kevlar tersebut hanya mampu menahan peluru plasma sahaja. Peluru aku adalah peluru logam. Malang kau juga menjadi berganda kerana aku baru saja bekerja di sini. Melihatkan loket di lehermu pun aku sudah tahu kau daripada Geng Harimau Api.” ujar Ghanshamdass.
******************************************
Pada masa yang sama…
“Kita sudah berjaya mendapatkan seorang pelabur yang akan membeli majoriti saham dalam Bank Enbi Sdn. Bhd. Kini tugas kita yang terakhir ialah untuk mengecilkan pegangan saham Enbi sehingga menjadi 30 peratus sahaja pada mesyuarat agung syarikat kelak dengan cara meluluskan usul agar Bank Enbi membesarkan lagi jumlah sahamnya.” pernyataan Dato’ Suffian disambut dengan tepukan meja yang gemuruh tanda sokongan daripada ahli-ahli lembaga pengarah yang lain.
“Tapi ini juga bermakna pegangan saham kita juga turut mengecil seperti Enbi, iaitu lebih kurang 30 peratus juga.” peringat Tuan Haji Zaharim. Tuan Haji Azman dan Professor Dato’ Dr. Azhan mengangguk tanda bersetuju dengan pernyataan tersebut.
“Memang betul, Zaharim. Empat puluh peratus lagi adalah kononnya untuk pelabur-pelabur pasif. Namun sebenarnya hanya seorang pelabur sahaja yang akan membelinya melalui beberapa syarikat miliknya. Enbi dan Nazrul pasti tidak akan terperasankan hal ini. Beliau hanya melihatnya sebagai peluang untuk membuat pinjaman bagi projek meganya di London. Apabila kesemua 40 peratus saham tersebut telah dibeli oleh pelabur yang sudah berpakat dengan kita, beliau akan bergabung dengan kita dan dengan majoriti syer yang kita ada, kita akan menyingkirkan anak saudara kita itu dari kerusi presiden Bank Enbi.” perjelas Dato’ Syariman dengan panjang lebar. Yang lain-lain sekali lagi menepuk-nepuk meja.
*************************************
Di balai MetroPolis. Pada masa yang sama…
“Ce.. Celaka…” ujar pemuda tersebut dengan lemah. Beliau adalah salah seorang ahli kumpulan samseng Harimau Api yang ditugaskan untuk membunuh Enbi dan anggota MetroPolis yang lain sebanyak mungkin. Namun sebaliknya pula berlaku. Ghanshamdass yang sebelum ini merupakan pegawai polis elit SPMB telah berjaya mematahkan percubaan jahat tersebut. Kini pemuda tersebut pula yang cedera parah ditembak oleh anggota MetroPolis. Namun beliau nampaknya masih enggan mengalah. Tangan kanannya terketar-ketar cuba mengangkat pistol untuk membalas.
“Lebih baik kau jangan berbuat begitu!” ujar Ghanshamdass dengan keras seraya mengacukan pistolnya ke dahi pemuda tersebut. Bidikannya kali ini pasti akan memburaikan otak sasarannya ke serata dinding. Kalau boleh beliau enggan berbuat begitu. Namun pemuda tersebut masih juga berkeras cuba mengangkat pistolnya untuk membalas. Tiba-tiba tangannya itu dihenyak kembali ke lantai dengan sepasang kaki yang tegap. Bunyi retakan jelas kedengaran disusuli dengan lolongan pemuda tersebut. Kaki tersebut terus menenyeh-nenyeh tangan yang patah tadi dengan rakus. Kesakitan yang tidak terperi akhirnya membuatkan pemuda yang cuba membunuh Enbi itu hilang kesedaran diri. Enbi dan Ghanshamdass sama-sama memanggung kepala untuk memerhatikan tuan empunya kaki tersebut.
“Apa khabar? Saya ialah Fayeed As-Salam. Saya mempunyai permit senjata api yang komprehensif. Saya juga biasa membunuh orang.“ si empunya kaki tegap tadi akhirnya bersuara. Beliau tidak lain tidak bukan ialah Remy, si pengkhianat dalam kumpulan Don.
- Bersambung -
No comments:
Post a Comment