Thursday, September 30, 2010

MetroPolis 2 - Bab 11

MetroPolis Episod 2
Bab 11
Raksasa

Seminggu kemudian…

“Hah! Itu dia balai MetroPolis!” ujar salah seorang dari penumpang sebuah van. Orang-orang yang berada di dalam van tersebut kesemuanya lengkap bersenjata berserta dengan niat buruk. Pemandu van tersebut segera memberhentikan vannya di perkarangan balai MetroPolis. Begitu juga dengan tiga buah kereta yang mengekori van tersebut. Seramai hampir dua puluh orang lelaki turun dari kenderaan-kenderaan tersebut dengan senjata api masing-masing tergenggam erat di tangan.

“Hoi MetroPolis! Hari kematian kamu semua sudah sampai!” jerit salah seorang dari kumpulan bersenjata tersebut. Tak lama kemudian muncul Terawez yang memakai apron dan serkup kepala sedang menyapu lantai balai. Beliau sedikitpun tidak mempedulikan kumpulan bersenjata tersebut.

“Celaka!” maki lelaki yang memekik-mekik tadi. Ternyata beliau berasa tersinggung dengan sikap endah tak endah Terawez. Beliau mengacukan pelancar roketnya ke arah Terawez dan terus memetik picu. Peluru roket tersebut bergerak pantas menuju ke sasaran. Ke arah kepala Terawez.

“Tang!” Dengan secepat kilat Terawez menepis peluru roket tersebut dengan batang penyapunya. Sasaran peluru tersebut mencapah keluar dari balai dan meledak dengan hebat tidak jauh dari kumpulan penjahat tersebut. Beberapa orang daripada mereka lari lintang pukang untuk melindungi diri. Lelaki yang menembak tadi turut meniarap kerana panik. Apabila keadaan kembali menjadi agak reda, lelaki tersebut bangun perlahan-lahan dengan kedua matanya masih mengawasi Terawez. Hatinya mula berasa gentar dan keyakinannya mulai goyah. Terawez tetap tegak berdiri di tempat tadi. Beliau hanya memerhatikan telatah mereka semua dengan senyuman sinis.

“Jahanam!” carut lelaki tersebut dengan perasaan bengang dan malu. Namun tiba-tiba matanya terarah pula ke arah seorang lelaki yang sedang memegang sebuah tong sampah berbentuk silinder yang agak panjang muncul berdiri di sebelah Terawez. Lelaki tersebut adalah Remy, bekas anggota tentera Organisasi berpangkat Guardian.

“Giliran kami pula, bangsat!” maki Remy seraya menghalakan tong sampah silinder ke arah kumpulan penjahat tadi. Serta-merta tong sampah tersebut meledak serta memuntahkan letusan-letusan bunga api ke arah para penjahat tersebut. Apabila mengenai sahaja sasaran, ianya meletus menjadi bebola api yang sangat besar dan marak. Kesemua para penjahat tadi dibakar hidup-hidup oleh senjata ciptaan Remy. Kenderaan mereka turut musnah dan meletup. Remy pula tertawa terbahak-bahak melihatkan senario tersebut. Ternyata kumpulan penjahat tersebut telah tersilap memilih lawan mereka kali ini.

“Ah! Masih ada yang hidup lagi!” ujar Remy. Nadanya agak gembira benar. Beliau mencapai sebuah senjata api berbentuk mesingan dan melompat keluar dari balai MetroPolis. Kemudian Remy mula menembak mana-mana yang masih bergerak atau menguit lagi. Bergerutup bunyi mesingan tersebut memamah tubuh mangsa di selang-seli dengan jeritan mereka. Akhirnya kesemua penjahat yang ingin menyerang MetroPolis tadi mati dalam keadaan yang mengerikan. Dalam sekelip mata Remy berjaya mencipta neraka dunia di hadapan balai MetroPolis.

“Kau ini sudah melampau Remy! Mereka sudah tak berdaya untuk membalas lagi. Mengapa kau harus menembak mereka macam binatang pula?’ jerkah Nazrul yang baharu muncul daripada belakang balai. Sekonyong-konyongnya muncul pula Enbi, Catherine dan Ghanshamdass.

“Sebaik sahaja mereka datang ke sini dengan senjata api yang erat di tangan, mereka memang telah bersedia untuk mati. Kalau situasi kita pula di tempat mereka sekarang, mereka pasti tak akan berbelas terhadap kita, tau?” balas Remy. Nazrul terkedu. Enbi memandang ke arah Dass. Dass menganggukkan kepala.

“Kau juga bersetuju dengannya Dass?” tanya Nazrul yang ternampak anggukan Dass tadi. Beliau berasa agak kecewa.

“Tak guna biarkan mereka hidup. Mereka ini adalah samseng kelas bawahan yang biasanya tak bermaruah. Kalau mereka terselamat, nescaya pasti akan ada orang tertentu yang mempergunakan mereka untuk mendakwa kita di mahkamah. Masa dan wang MetroPolis pasti akan terbazir.” perjelas Dass. Mendengarkan perkataan ‘wang’, Enbi dengan laju mengangguk menyetujui kata-kata Dass. Catherine yang berasa geram dengan prinsip Enbi tersebut spontan mencubit rusuk kiri sahabatnya itu sehingga Enbi mengaduh.

“Lagipun tindak-tanduk ganas Remy telah mencipta ketakutan dan rasa hormat terhadap MetroPolis. Selepas ini tiada penjahat yang berani lagi membuat kacau di tempat kita.” ujar Dass seraya mendongak ke arah langit. Anggota MetroPolis yang lain mendongakkan kepala. Di atas mereka kelihatan sebuah helipad dengan logo syarikat penyiaran Arus Media Berhad sedang berlegar-legar di situ sambil merakamkan setiap aksi dan kejadian yang berlaku tadi dan sekarang.

“Malulah kau sedang memegang sebuah kalkulator sebagai senjata, Nazrul!” ujar Remy seraya tertawa.

“Aku sedang menguruskan pelarasan gaji kamu semualah, bodoh!” bentak Nazrul seraya melemparkan kalkulator tersebut ke arah Remy. Remy tidak sempat mengelak dan ia mengenai kepalanya.

“Bangsat! Kau mahu matikah?” bentak Remy pula seraya mengacukan mesingannya ke arah Nazrul.

“Woi! Kau dah gilakah?” jerkah Enbi. Tahu-tahu sahaja Terawez telah menghentak lengan kanan Remy sehingga mesingan tersebut terlepas dari tangan manakala Dass pula menyerbu ke arah Remy dan mengunci pergerakannya.

“Lepaskan aku, sialan!” jerit Remy dengan marah.

*****************************************

Dua jam kemudian…

“Wah! Mereka bergaduh pula!” komen Inspektor Razmel. Peristiwa pertempuran dahsyat di MetroPolis tersebut kini telahpun terpampang di teleholo melalui saluran berita utama. Namun tiada siapa dalam balai Ibu Pejabat Daerah SPMB Kerian tersebut yang ketawa. Ternyata kemusnahan dan pembunuhan beramai-ramai angkara Remy seorang sahaja telah menyelinapkan perasaan takut dan bimbang di hati setiap anggota dan pegawai SPMB.

“MetroPolis sekarang sangat hebat. Seorang anggotanya sahaja dengan mudah membunuh lebih kurang dua puluh penjahat yang lengkap bersenjata. Beliau macam seekor haiwan pemangsa yang buas.” komen lans koporal Chuah pula.

“Bukan haiwan pemangsa yang buas. Beliau adalah raksasa.” balas ASP Muttaleeb.

***************************************

Pada masa yang sama di markas Kumpulan Neon Melambai…

“Erika! Kau dah lihat berita teleholo tadi? MetroPolis yang lemah kini menjadi sangat hebat. Jahanam!” Erika dapat mengagak empunya suara yang menelefonnya adalah Monsoon daripada kumpulan Terendak Biru.

“Ya, aku sedang melihat berita tersebut ditunjukkan lagi sekarang. Nampaknya MetroPolis mempunyai raksasa dalam skuadnya. Mungkin lebih daripada seorang.” komen Erika. Nampaknya sesuatu sedang bermain di fikirannya mengenai berita tersebut.

**************************************

Pada masa yang sama di markas Kumpulan Don…

“Wah… hebatnya.” puji Donald yang sedang menatap teleholo bersama orang-orang kuatnya.

“Mana Enbi mendapat individu-individu yang hebat itu untuk menyertainya? Kalau tak salah, saya ternampak penuntut tunggal daripada Dojo Pedang Mangkubumi yang meruntuhkan reputasi tidak terkalah Sekolah Pedang Angkasa bersama mereka dalam teleholo tadi. Malah si ‘Pembunuh Satu Peluru’ Ghanshamdass juga telah menyertai MetroPolis.” komen Duali dengan nada musykil. Daryll atau algojo ‘Serigala Angin’ juga kelihatan agak teruja melihatkan senario dahsyat tersebut yang masih diulang tayang di teleholo.

“Mungkin Tuhan dan dewa merahmati perjuangannya. Jadi Enbi dikurniakan dengan beberapa raksasa untuk merealisasikan hasratnya dan menggegarkan dunia.” komen Donald pula.

****************************************

Pada masa yang sama di markas Geng Chanderan.

Sebaik sahaja kabus di serata bilik utama markas mulai menipis, ternampaklah sesosok tubuh yang menggiurkan berdiri dengan penuh keyakinan. Beliau adalah Nicol Hanany yang kini memakai cat-suit dengan agenda tersendiri. Nicol meneliti beberapa orang lelaki dan wanita yang pengsan atau terbaring lumpuh di atas lantai. Seorang lelaki yang amat bengis rupanya sedang menghunjamkan pandangan ke arah Nicol. Beliau adalah Chanderan yang merupakan ketua Geng Chanderan tersebut.

“K.. Kau.. ini.. siapa?” tanya Chanderan dengan nada jerih payah. Kabus yang tiba-tiba menyelubungi ruang markasnya tadi ternyata melumpuhkan kesemua anggota kumpulannya. Seluruh tubuhnya terasa sengal-sengal dan amat lemah. Nicol Hanany tidak menjawab. Sebaliknya beliau yang masih memakai topeng pelindung segera menuju ke arah peti simpanan kebal milik Geng Chanderan dan mula menggodamnya. Tidak sampai beberapa saat kemudian peti simpanan kebal itu berjaya dibuka.

“M.. mustahil…” ujar Chanderan dengan amat terperanjat. Kabus yang melumpuhkan Geng Chanderan akhirnya sama-sekali menghilang. Nicol baharu berani membuka topengnya. Chanderan sekali lagi terkejut. Kali ini kerana melihatkan kejelitaan Nicol. Nicol yang tidak mempedulikan lelaki tersebut terus mengaut berikat-ikat wang, syiling-syiling emas dan barang-barang kemas dan disimpan di dalam karung kulit yang dibawa bersamanya. Setelah agak puas hati dengan ‘kutipannya’, baharulah Nicol mengusung karung tersebut dan melangkah pergi.

“Tunggu!” teriak Chanderan dengan payah. Nicol berhenti. Beliau berpaling ke arah Chanderan.

“Kau ini jenis penjenayah… yang bodoh.” ujar Chanderan.

“Mengapa pula?” tanya Nicol.

“Sepatutnya kau… bunuh sahaja kami semua. Tapi kau… tak sampai hati. Aku… sudah mengecam wajahmu. Aku pasti… akan mencari kau. Kau pasti… akan nahas. Aku… akan merogolmu… menyiksamu… meliwatmu… dan membunuhmu. Bagaimana… wahai gadis jelita? Suka tak?” ujar Chanderan seraya tertawa. Nicol hanya tersenyum dan kemudian meneruskan perbuatannya tadi.

Apabila beliau telahpun keluar daripada bangunan tinggal lima tingkat tersebut, Nicol dengan cermat menyimpan harta rampasannya di bonet kereta mewah beliau. Beliau melemparkan sekilas pandangan ke arah markas Geng Chanderan yang terkenal dengan aktiviti samun dan pecah rumah mereka. Kemudian gadis jelita tersebut masuk ke dalam keretanya yang terletak lebih kurang seratus meter dari bangunan tersebut. Sebaik sahaja pintu kereta ditutup dan enjin dihidupkan, Nicol mencapai sebuah alat kawalan jarak jauh di atas dashboard keretanya. Beliau memicit butang berwarna merah dan serta-merta markas Geng Chanderan meledak dan runtuh menyembah bumi. Di kawasan terbiar sebegini, pasti tiada siapa yang peduli atau datang menghulurkan bantuan.

“Aku bukan gadis jelita. Aku ialah raksasa.” ujar Nicol. Beliau kemudiannya tersenyum.



- Bersambung -

No comments: