Monday, October 11, 2010

MetroPolis 2 - Bab 12

MetroPolis Episod 2
Bab 12
Perjanjian Maut

Tiga hari kemudian…

“Aaah… bosannya…” maklum Remy. Beliau dari tadi melekapkan pipi kirinya di atas meja kaunter pertanyaan. Dass yang duduk melepak bersamanya tersenyum sinis.

“Kaulah yang punya pasal. Kau terlalu ganas sehingga menakutkan semua bakal mangsa kita untuk datang mencari pasal di sini.” tempelak Dass. Remy merengus. Namun kata-kata Dass memang ada kebenarannya. Semenjak kejadian tiga hari lepas, tiada penjenayah yang berani menunjukkan muka di balai MetroPolis atau berada dalam lingkungan satu kilometer radius darinya.

“Itu adalah tong sampah yang kau ubahsuai menjadi senjata lagikah?” tanya Dass. Matanya terarah ke sebuah tong sampah logam sintetik yang berbentuk silinder di atas meja kaunter pertanyan.

“Ha-ah. Aku menunggu peluang untuk menggunakannya lagi.” jawab Remy. Dass tertawa kecil. Perbualan kosong mereka terganggu dengan kehadiran Catherine.

“Hai, Catherine.” tegur Dass. Catherine tersenyum. Remy pula membuat sikap acuh tidak acuh terhadap gadis ayu tersebut.

“Encik Dass, Enbi meminta awak dan Nazrul pergi ke Zon 16 di Gunung Rapat. Penduduk di kawasan itu mengadu bahawa mereka telah disamun dan diperas ugut oleh Geng Chanderan. Enbi meminta encik Dass untuk menangani kes ini dengan sebaik mungkin.” pinta Catherine.

“Haha! Akhirnya!” teriak Dass dengan gembira seraya mengangkat pistol Magnum .45 miliknya searas muka. Remy pula bingkas memanggung kepala dan merenung Catherine dengan perasaan tidak berpuas hati.

“Apa?” tanya Catherine yang membalas kembali renungan tajam tersebut. Dass telahpun bangkit dan beredar ke belakang balai untuk mendapatkan Nazrul.

“Kenapa aku tak dapat pergi bersama?” tanya Remy.

“Saya tak tahu. Itu adalah arahan Enbi, ketua kita.” jawab Catherine.

“Hmh! Tentu dia mendendaku sebab mengacukan mesingan ke arah adiknya. Walhal aku hanya bermain-main sahaja.” telah Remy.

“Enbi tak akan mengambil kira hal-hal yang remeh seperti itu. Dia adalah seorang tokoh korporat yang sangat berjaya kerana sikap professionalnya. Tapi saya tidak begitu.” balas Catherine.

“Apa maksud kau?” tanya Remy.

“Perbuatan awak mengacukan senjata kepada rakan setugas awak sendiri adalah suatu perbuatan yang melampau dan tidak boleh dimaafkan. Saya sangat tidak berpuas hati dengan awak sekarang.” jawab Catherine dengan agak keras. Remy tertawa sinis.

“Apakah hak engkau untuk mengarahkan aku itu dan ini? Enbi sahaja yang layak berbuat demikian. Jangan ingat aku tidak tahu bahawa kau yang lemah ini diterima menjadi anggota MetroPolis atas sebab persahabatanmu dengan Enbi.” tempelak Remy.

“Kau kata aku lemah?” tanya Catherine. Nada dan gaya percakapannya mulai berubah. Beliau mengangkat tangan kirinya dan melekapkan tapak tangan di permukaan silinder tong sampah tersebut. Matanya pula merenung tajam ke arah Remy.

“Kau nak buat apa?” tanya Remy.

“BOOM!” Tiba-tiba sahaja tong sampah tersebut meletup. Bahan-bahan letupan dan cecair napalm turut sama meledak. Remy spontan melonjak ke belakang dan melindungi mukanya dengan kedua belah tangan. Namun api letupan tersebut tidak tersebar ke serata tempat seperti jangkaannya. Ia hanya tersebar ke satu arah sahaja iaitu keluar dari balai tanpa sedikitpun menjejaskan meja kaunter pertanyaan. malah tangan kiri Catherine sedikitpun tidak dijilat api dan seolah-olah dilindungi oleh aura lutsinar. Akhirnya kesemua impak letupan tersebut menghilang.

“Mus… Mustahil!” ujar Remy yang masih lagi terduduk di atas lantai. Catherine bukan sahaja mampu memesongkan api letupan tersebut malah arus gegaran (shockwave) juga ke arah yang disukai olehnya. Tahap sedemikian hanya mampu dicapai oleh pendekar Organisasi berpangkat Emissary atau Executive yang senior sahaja.

“Aku akan hancurkan tulang-temulang kau kalau kau berani mengancam nyawa dan keselamatan anggota-anggota MetroPolis lagi, faham?” tanya Catherine dengan keras. Remy terpaku. Ketakutan dan kekalutan masih kuat bersarang di hatinya.

“FAHAM TAK?” tanya Catherine dengan nada jerkahan.

“Y.. ya… aku faham…” jawab Remy dengan nada gementar. Seketika kemudian Enbi, Nazrul, Red Wigwam dan Dass muncul di hadapan balai dengan keadaan tergesa-gesa.

“Apakah yang terjadi? Ada musuhkah?” tanya Enbi. Matanya meliar memandang di luar balai. Namun tiada apa-apa yang dilihatnya kecuali api yang masih membakar marak di atas jalanraya.

“Tiada apa-apa. Hanya berbincang dengan Remy tentang perbezaan sebenar antara yang kuat dengan yang lemah.” balas Catherine. Matanya masih merenung tajam ke arah Remy. Seketika kemudian baharulah gadis manis tersebut masuk ke dalam bilik belakang balai. Enbi merenung Remy yang baharu sahaja mendapat keberanian untuk bangun dari atas lantai.

“Tentu kau sudah membuat Cat meradang.” taakul Enbi. Remy hanya tersengih-sengih.

******************************

Lebih kurang dua jam kemudian…

Terperanjat Nazrul dan Dass tatkala melihatkan markas Geng Chanderan yang kini telah menjadi timbunan batu-batu yang sangat besar.

“Wah, nampaknya ada pihak yang benar-benar bengang dengan Geng Chanderan ini.” komen Nazrul. Mereka berdua mula melangkah merapati kawasan timbunan runtuhan tersebut. Namun langkah Nazrul memegun tatkala bau busuk mula menyengat di hidungnya. Dass pula meneruskan langkah seperti tiada apa-apa.

“Bau apa ini, Dass? Hendak termuntah aku dibuatnya.” rungut Nazrul seraya memekup hidung.

“Bau mayat. Mereka pasti telah diserang beberapa hari lepas. Nampaknya ada pihak atau kumpulan lain yang mahu memastikan bahawa tiada Geng Chanderan yang patut hidup. Inilah akibatnya apabila pihak berkuasa hanya membantu orang-orang yang kaya dan berkepentingan sahaja. Nyawa orang-orang miskin seperti sudah tiada nilainya lagi.” omel Dass. Nazrul yang masih memekup hidung hanya bungkam.

“Jom. Nampaknya ada orang yang telahpun menyelesaikan tugas kita. Kita beritahu pada
penduduk Gunung Rapat dan laporkan kepada media.” saran Dass.

“Habis, siapakah yang akan menyelamatkan mereka? Tentu masih ada yang hidup dalam timbunan batu-batan ini.” tingkah Nazrul pula. Dass menggelengkan kepala.

“Bukannya kerja kita untuk membuat kebajikan terhadap orang-orang jahat. Nazrul, kau mesti lepaskan perasaan ingin menolong semua manusia kerana kau tak akan mampu berbuat begitu. Dalam keadaan gawat sebegini kita mestilah fokus untuk membantu orang-orang yang patut dibantu.” nasihat Dass.

“Siapakah orang-orang yang patut kita bantu?” tanya Nazrul dengan nada sinis. Beliau tidak faham bagaimana Ghanshamdass dengan begitu sahaja sanggup membiarkan orang-orang yang mungkin hidup di bawah timbunan ribuan tan batu-batan tersebut.

“Ahli keluarga kita, kawan-kawan dan orang yang kita sayangi serta penting dalam hidup kita.” jawab Dass. Nazrul terkedu. Beliau tidak langsung terfikir akan perkara sedemikian. Memang semenjak rusuhan dan peperangan triad berlaku, ramai kenalan serta anggota sukarelawan yang menjadi mangsa. Dass tahu bahawa Nazrul mula memahami keutamaan dalam tugasnya sebagai anggota polis. Namun beliau mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan membiarkan kata-katanya itu tadi meresap ke sanubari Nazrul.

******************************************

Di Bandaraya Las Piedras, Uruguay. Pada masa yang sama…

“Tuan Presiden, wakil Organisasi bersetuju untuk berbincang dan berjumpa dengan tuan. Namun mereka mahu mengadakan di zon neutral sementelah peperangan di antara kumpulan Masonik dengan Organisasi. Kawasan yang dipilih oleh Organisasi ialah di bandaraya Grand Bois, Mauritius. Mereka mahu bertemu dengan Tuan Presiden seminggu daripada tarikh hari ini.” maklum Jeneral Dante kepada Presiden Maximiliano.

“Ayah, tak usahlah terburu-buru. Mungkin Emissary Mayhem yang menunggu di situ untuk membunuh ayah.” ujar Romina. Beliau adalah anak perempuan tunggal Presiden Maximiliano. Ketua pemimpin tertinggi Uruguay tersebut mendiamkan diri. Wajahnya amat sugul.

“Permata hatiku, ayah memang mengetahui bahawa Emissary Mayhem yang akan menunggu ayah di sana. Ayah telah bersalah terhadap orang-orang Islam. Ayah memang patut menerima hukuman.” ujar Presiden Maximiliano dengan nada perlahan dan bergetar. Hatinya begitu pilu kerana terpaksa berpisah dengan anak kesayangannya.

Romina tidak lagi berkata apa-apa. Beliau hanya mampu memeluk bapanya dengan erat sambil menangis tersedu-sedu.


- Bersambung -

No comments: