Metropolice Episod 2
(Bab 2)
Pembuka Tirai Peperangan
(Bab 2)
Pembuka Tirai Peperangan
Tapak Dojo Pedang Mangkubumi; lebih kurang pukul 8.32 malam…
Kedua kaki Terawez yang sebelum ini tidak henti-henti melangkah akhirnya memegun. Destinasi yang ingin ditujuinya kini telahpun tercapai. Setelah selama lebih kurang 3 bulan meringkuk di dalam penjara, akhirnya Terawez dibebaskan. Beliau segera ingin pulang ke Dojo Pedang Mangkubumi untuk bertemu dengan kedua orang guru yang dirinduinya. Akan tetapi tatkala tiba di sana, hatinya diruntun pula oleh kekecewaan yang amat sangat. Kawasan tempat beliau tinggal dan berlatih seni mempertahankan diri kini diliputi oleh pagar karbon setinggi 15 kaki. Terdapat papan tanda holografik yang menyatakan bahawa kawasan tersebut adalah kawasan larangan.
“Hai, orang muda. Apa tujuanmu ke sini? Ini adalah kawasan persendirian milik syarikat Enbi Sendirian Berhad. Kamu dilarang memasuki kawasan ini.” Seorang lelaki Cina dalam lingkungan umur 40’an dating mendekati Terwaez dan menegurnya. Di pemakaian serta gayanya, Terawez dapat mengagak bahawa lelaki tersebut adalah seorang pengawal keselamatan yang bertugas menjaga tapak dojo tersebut.
“Minta maaf, bang. Saya dulu pernah tinggal di sini tak lama dulu. Tak sangka dalam masa tiga bulan saja, tapak ini sudah bertukar pemilik. Dulu ianya adalah adalah milik tok-tok guru saya. Sekarang dah jadi milik tuan Enbi pula.” maklum Terawez dengan sopan.
“Oh! Rupa-rupanya kaulah pemuda yang mengalahkan Mahaguru Wang dari Sekolah Pedang Angkasa tiga bulan lepas!” ujar pengawal keselamatan tersebut dalam nada separuh berteriak.
“Saya berasa malu kerana bertindak sedemikian. Kalau saya ada`mencederakan ahli keluarga abang dalam insiden tersebut, saya memohon maaf.” pohon Terawez seraya menundukkan kepala. Pengawal keselamatan tersebut sebaliknya ketawa serta menepuk-nepuk bahu kanannya dengan mesra.
“Terima kasih kerana mengajar Mahuguru Wang yang angkuh itu. Beliau selama ini menyangka ilmu pedangnya sudah cukup hebat dan sempurna, maka barulah beliau menyombong dan membangga diri. Akhirnya kau menunjukkan realiti kepadanya dan sekaligus menghancurkan egonya. Syabas, anak muda!” ucap lelaki tersebut dengan nada gembira. Terawez tersenyum tawar. Apa gunanya pencapaian tersebut sekiranya ia menyebabkan dojonya tergadai?
“Oh, ya. Abang tahu tak ke mana tok-tok guru saya pergi atau berpindah?” tanya Terawez. Pengawal keselamatan tersebut menggelengkan kepala.
“Maaf, aku pun tidak tahu. Mungkin tuan Enbi tahu. Lagipun beliau yang membeli tapak dojo ini daripada kedua orang tok gurumu.” saran si pengawal keselamatan itu. Terawez mengangguk tanda setuju.
******************************************
Balai Polis MetroPolis, pada masa yang sama :
Enbi baru sahaja pulang dari mesyuarat di Bank Enbi Sdn. Bhd. Beliau singgah di balai polis terlebih dahulu. Di bawah pengurusan beliau yang mementingkan kesempurnaan, MetroPolis kini lebih terkenal dari mana-mana syarikat polis yang ada di Malaysia.
"Hai semua!" tegur Enbi. Hiasan dalaman balai telah berubah lagi. Boleh dikatakan tiap-tiap bulan dekorasi balai akan diubah. Mujurlah ianya dilakukan tanpa sebarang kos. Catherine begitu gembira sekali semenjak Red Wigwam bekerja dengan mereka. Orang tua tersebut begitu ringan tulang membantunya. Turut bersama di balai adalah sekumpulan pemuda yang biasa melepak di balai selepas Maghrib. Mereka adalah sukarelawan yang membantu anggota MetroPolis hampir setiap malam.
"Alamak! Aku terlupa kamu semua ada sekali." ujar Enbi seraya mengangkat tangan kanannya yang sedang memegang beg kertas kitar semula. Beg-beg kertas tersebut tertera dengan cop Restoran Gaya Desa. Enbi hanya membeli makanan untuk Catherine, Red Wigwam, Nazrul dan Ren Fairuz sahaja. Beliau langsung terlupa akan pemuda-pemuda yang melepak di balainya.
"Tidak mengapa, bang Enbi. Kami akan pergi beli sendiri." ujar salah seorang daripada pemuda tersebut.
"Baguslah kalau begitu. Dapatlah aku berjimat.. Adui!" Enbi tidak sempat menghabiskan kata-katanya kerana bahunya ditembi oleh Catherine.
"Kamu semua makanlah nasi bungkus ni. Kami semua akan makan di luar, ya? Lagipun Enbi sudah lama tak belanja kami makan di luar." Catherine segera mencelah sebelum sempat Enbi membuka mulut.
"Ye ke? Bagusnya kalau begitu! Terima kasih abang Enbi." ucap pemuda tadi disusuli oleh ucapan terima kasih oleh rakan-rakannya yang lain.
"Hmm." jawab Enbi dengan separa ikhlas.
*********************************************
Lebih kurang 5 minit kemudian :
"Mujurlah kita dah membeli sebuah van terpakai. Bolehlah keluar makan angina selalu, kan Enbi?" ujar Catherine. Enbi cuma mencebik. Nazrul sedang menjenguk-jenguk keluar untuk melihat gadis-gadis di jalanan. Ren Fairuz kelihatan sedang membilang biji tasbih. Red Wigwam pula sudah mula terlena.
"Bolehkah kita percayakan budak-budak itu untuk menjaga balai?" tanya Enbi dengan nada curiga.
"Hei! Mereka tu kan anak-anak jiran kita? Tentulah mereka boleh diharap. Lagipun mereka dah banyak menolong kita untuk menjayakan program Rakan MetroPolis." balas Catherine dengan nada kurang senang. Enbi mengambil keputusan untuk enggan memanjangkan isu tersebut dengan berdiam diri.
"Ke mana abang ngah nak membawa kami?" tanya Nazrul.
"Kita makan mi kari Dabus di Shatin Court." jawab Enbi. Ringkas.
"Kita makanlah di tempat lain. Asyik ke sana saja. Bosanlah!" protes Nazrul.
"Jangan bising! Di sana murah dan sedap. Lagipun aku yang belanja. Aku punya duit, aku punya keputusan, faham?" bentak Enbi. Nazrul bungkam. Ren Fairuz tertawa. Red Wigwam terjaga dari lena. Van mereka telah pun melalui kawasan Pasir Pinji. Kawasan tersebut bertaburan dengan silo-silo gergasi yang membekalkan oksigen bersih untuk penduduk Ipoh. Semenjak hutan-hutan simpanan telah digondolkan atas nama pembangunan, Malaysia telah mengalami kekurangan bekalan oksigen yang sepatutnya dihasilkan oleh proses fotosintesis pokok-pokok hutan tadi. Kini kerajaan terpaksa membelanjakan wang beratus-ratus bilion ringgit untuk membina silo-silo yang menjanakan oksigen bersih di serata Malaysia.
BOOOM!!!!
Suatu letupan yang kuat kedengaran di hadapan mereka. Kawasan di persekitaran bagaikan dilanda gempa bumi. Kelihatan api menyembur keluar dari sebuah lorong di sebelah kanan mereka bersama sesusuk tubuh yang terpelanting lantas terhempas ke bumi.
"ENBI! BREK! BREK! ADA ORANG DI HADAPAN VAN KITA!" jerit Catherine. Enbi segera menghentikan van. Sejurus kemudian mereka semua bergegas keluar daripada kenderaan tersebut untuk memeriksa keadaan.
"Eh? Ini salah seorang daripada geng Neon Melambai." maklum Nazrul.
"Nazrul, masuk balik ke van. Pandu dan lenyek dia!" arah Enbi dengan nada bergurau.
"Hei! Janganlah bergurau! Tengok di hadapan kita." Kesemua mereka mendongakkan kepala untuk memandang keadaan di hadapan mengikut arahan Ren Fairuz.
"Ya Allah…"
*********************************************
Tidak jauh dari situ, pada masa yang sama…
"Jahanam punya Don!" Erika yang turut melarikan diri bersama Monsoon menganggukkan kepala. Kenderaan yang mereka naiki turut dimusnahkan. Beberapa puluh orang pengikut mereka turut mengekori daripada belakang. Ternyata mereka telah dikalahkan oleh Algojo 3 Elemen tadi dan kini sedang melarikan diri. Mereka menyelinap di sebalik silo-silo gergasi tersebut.
"Erika! Aku cadangkan agar kita mengadakan gencatan senjata. Kali ini kita mesti bersatu tenaga dan kekuatan untuk memerangi si sial Don itu." saran Monsoon.
"Kita akan berjumpa di zon neutral Bistro Gusmuk Girl lusa untuk membincangkan syarat-syaratnya terlebih dulu, boleh?" tanya Erika. Monsoon menganggukkan kepala tanda bersetuju. Sayup-sayup di hadapan kelihatan beberapa orang Geng Neon Melambai sedang menunggu dengan beberapa buah kereta yang tersedia.
"Erika! Kami hanya berjaya merampas tujuh buah kereta sahaja." maklum salah seorang pengikut Erika. Rupa-rupanya Erika telah bersedia dan merancang untuk melarikan diri kalau-kalau beliau tertewas.
"Monsoon, kau dan anak buah kau yang penting boleh mengambil tiga dari tujuh buah kereta ini. Yang lain-lain seeloknya berpecah ke merata tempat untuk mengurangkan jumlah ahli kumpulan kita yang terkorban kelak." saran Erika. Monsoon tersentak dengan pemberian musuhnya itu. Beliau berdiam diri untuk beberapa ketika untuk mencari perkataan yang sesuai untuk diungkapkan kepada Erika.
"Pergi cepat, Monsoon. Kalau kau di tempat aku pun, kau akan berbuat perkara yang serupa!" ujar Erika. Monsoon menganggukkan kepala.
"Bedebah Erika! Aku, Monsoon tidak akan lupakan budi baikmu!" teriak Monsoon lantas segera masuk ke dalam salah sebuah kenderaan curi tadi. Begitulah ketua kumpulan Terendak Biru yang bernama Monsoon. Beliau tidak tahu selain bercakap kasar walaupun untuk berterima kasih.
"Yang lain-lain; segera berpecah melarikan diri. Kita tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk menentang Algojo bertiga tadi." arah Erika. Gabungan anak buah Geng Neon Melambai dan Terendak Biru masing-masing menganggukkan kepala tanda bersetuju. Sejurus kemudian mereka mula bergerak ke beberapa arah yang bertentangan untuk mengelirukan musuh.
“Celaka. Aku tak sangka Algojo Don begitu dahsyat sekali.” ujar Erika dalam hatinya. Wajahnya cukup sugul sekarang.
********************************************
Pasir Pinji :
Kesemua anggota MetroPolis ternganga besar melihatkan permandangan di hadapan mata mereka. Ren Fairuz pula masih berwajah tenang sambil mengira biji tasbih. Ekspresi sedemikian tidak sepatutnya terlakar pada wajah beliau berdasarkan keadaan yang mengerikan di hadapan mereka.
Beberapa bangunan kedai di hadapan mereka telah musnah dan terbakar dengan begitu marak sekali. Berbelas-belas mayat bergelimpangan di merata tempat dalam keadaan yang mengerikan. Ada yang rentung menjadi arang. Ada juga yang menjadi lebam dan berasap. Tidak kurang juga ada yang darah meleleh keluar dari segenap rongga tubuhnya.
"Uweek!" Enbi yang tidak biasa melihat mayat-mayat dalam keadaan mengerikan langsung termuntah. Bau mayat-mayat yang rentung juga dalah penyumbang kepada perasaan mualnya. Disusuli oleh Nazrul dan Catherine. Red Wigwam dan Ren Fairuz pula masih tegak memerhatikan senario di hadapan mereka. Seketika kemudian Red Wigwam pergi memeriksa salah satu daripada mayat-mayat tersebut. Beliau mengeluarkan sebatang rod seperti tabung uji dan sebilah penyepit kecil.
"Chief, apa yang kau cuba buat tu?" tanya Enbi yang masih dalam keadaan terhoyong-hayang.
"Saya mahukan sedikit sampel mayat yang telah rentung ini. Saya dapat mengesan bau kimia yang yang agak pelik. Kita mesti menyiasat apakah jenis senjata yang sebegini dahsyat sehinggakan mayat ini rentung sehingga ke tulang." maklum Red Wigwam. Selama tiga bulan bersama MetroPolis, Enbi mendapat tahu bahawa orang tua ini juga adalah pemegang PhD dalam biokimia.
"Mayat ini juga agak pelik. Tubuhnya lebam dan berasap pula. Terdapat beberapa liang luka kecil yang seperti membakar masuk ke tubuhnya. Setiap rerambut pada tubuhnya juga tegak berceracak seolah-olah-"
"Terkena renjatan elektrik statik yang amat tinggi." Enbi memotong kata-kata Nazrul. Kedua adik-beradik ini masih berasa loya dan ngeri. Namun perasaan ingin tahu mereka mengatasi segala-galanya.
"Mayat ini juga agak ganjil. Bahagian dadanya yang tercedera tidak lebam; tetapi saya dapat rasakan tulang-temulang dadanya retak seribu seolah-olah dihentak dengan penukul besi besar." komen Catherine yang sedang memeriksa satu lagi mayat.
"Mengikut penampilan, mereka ini adalah kumpulan Terendak Biru dan Geng Neon Melambai." ujar Nazrul.
"Secara teorinya mereka bukan bergaduh sesama sendiri dan terkorban." ujar Enbi yang memberikan taakulannya.
"Ada kumpulan lain yang menggunakan tiga jenis senjata yang mampu membunuh dan mengalahkan mereka." sambungnya lagi.
"Ahli-ahli Terendak Biru dan Neon Melambai bukan alang-kepalang. Mereka mahir dalam seni pertempuran tangan kosong dan bersenjata. Pasti pihak yang mengalahkan mereka lebih ramai." komen Catherine.
"Yakah? Kalau begitu di mana mayat mereka pula?" Pertanyaan Enbi membuatkan masing-masing terdiam.
"Cepat kumpulkan segala bukti dan maklumat sebelum Syarikat Polis Malaysia Berhad datang. Mereka pasti akan menghalang kita nanti." arah Enbi seraya memandang ke belakang. Ren Fairuz telahpun tiada di situ. Sebenarnya Enbi berasa agak musykil kerana imam muda tersebut tidak menunjukkan sebarang reaksi terkejut apabila mereka mula-mula ternampak kejadian yang mengerikan tadi.
Seolah-olah ianya adalah biasa sahaja.
- bersambung -
No comments:
Post a Comment