Sunday, May 9, 2010

MetroPolis 2010 - Bab 23 (Akhir)

Don



Di sebuah gudang yang terbiar, Lumut Perak.

“Penguasa Fong, tak sangka kau mengkhianatiku.” Kata-kata Remy disambut oleh gelak tawa daripada puluhan ahli Tai-Pan yang lengkap bersenjata. Penguasa Fong masih tersenyum kambing.

“Berilah aku peluang untuk berjumpa dengan tuan ketua. Kalaulah benar si Don telah menggerakkan algojonya, maka kita semua terjerumus dalam situasi yang berbahaya.” Saran Remy pula yang lebih mirip kepada merayu. Kata-katanya itu sekali lagi disambut dengan deraian tawa. Remy berasa bengang. Namun beliau tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru.

“Sebenarnya tuan Tai-Pan yang memasang perangkap ini dan mengarahkanku untuk menghapuskanmu. Kau bukan lagi suatu asset kepada kumpulan Tai-Pan tetapi adalah suatu liabiliti pula. Lagipun kumpulan Don sudah sangat lemah sekarang. Kumpulan Tai-Pan tidak perlu berasa gusar lagi terhadap mereka.” balas Penguasa Fong dengan begitu yakin sekali.

“Tai-Pan mahu aku dihapuskan? Aku tak lagi berguna?” tanya Remy dengan nada tersekat-sekat.

“Ya. Kau tak lagi berguna, Disco Inferno. Kau akan mati hari ini. Ada baiknya juga. Fesyen yang kau pakai cukup menyakitkan mata dan memalukan kumpulan kami jika kau menjadi ahli.” balas Penguasa Fong yang kemudiannya disambut dengan deraian tawa anak-anak buahnya. Sebaik sahaja tawa mereka mereda, suatu tawa masih lagi mengekek-ngekek tanpa henti. Penguasa Fong terus merenung ke arah si empunya suara ketawa. Beliau adalah Remy sendiri.

“Kau sudah gila agaknya kerana takutkan mati, ya?” tanyanya dengan nada sinis.

“Ago-go-go! Nampaknya kau tak tahu akan kehebatan disko!” balas Remy. Suara dan gayanya mulai berubah. Malah sinar matanya yang semakin tajam juga menjadikan Penguasa Fong berasa kurang senang.

“Apa yang kau boleh buat? Kau bukannya bersenjata!” tempelak Penguasa Fong yang kemudian memberikan isyarat kepada orang-orangnya untuk membunuh Remy. Tanpa bertangguh kesemua anggota Tai-Pan menyerbu ke arah Remy untuk mencincang tubuhnya. Remy dengan segera mendepangkan kedua tangannya yang masing-masing memegang alat pemancar iklan tiga dimensi di sisi kanan dan kiri beliau.

“A-Go-GO-TO-HELL!” pekik Remy.

Keadaan di luar gudang tempat pertemuan rahsia tersebut agak hingar-bingar sungguhpun pintunya tertutup. Tiba-tiba dinding gudang tersebut ditembusi oleh dua sinaran cahaya. Cahaya-cahaya itu kemudiannya berputar-putar membelah di sekeliling gudang tersebut dan tiba-tiba hilang pula dalam sekelip mata. Seketika kemudian bahagian bumbung gudang tersebut berserta dinding di bahagian atas terus runtuh menyembah bumi.


**********************************************

“Cepat sikit, Nazrul. Aku takut Riko jahanam itu akan menghilangkan diri.”

Nazrul segera menekan minyak untuk meningkatkan kelajuan Mercedes milik Enbi sebaik sahaja diarahkan oleh abangnya. Kereta E280 Z Edition tersebut berdesup ke matlamat yang ditujui. Catherine dan Zuraidah yang turut menumpang sama berasa seriau. Ren Fairuz pula melilau matanya memandang ke luar.

“Hei, janganlah laju sangat. Nanti kalau berlaku kemalangan teruk pula aku membayar kos untuk membaikinya!” leter Enbi pula. Nazrul menggelengkan kepala. Tadi diminta laju. Sekarang ditegah pula. Semuanya tidak kena. Setelah hampir 20 minit kemudian, akhirnya mereka tiba di MetroPolis Enterprise.

“Nazrul, kau dan Cat pergi cari Riko jahanam itu di rumahnya. Aku dan Zuraidah akan menyiapkan laporan yang baru.” arah Enbi yang dipapah keluar oleh Ren Fairuz. Nazrul menganggukkan kepala. Catherine mengambil-alih tempat duduk Enbi di hadapan.


************************************************

Di Sekolah Seni Wushu Langit Perkasa, pada masa yang sama…

Mahaguru Wang Fei Kung sibuk melayan belasan wartawan yang dijemput khas bagi ulangtahun Jubli Emas Sekolah Seni Wushu Langit Perkasa. Namun kemunculan Terawez dalam keadaan comot dan termengah-mengah ternyata telah berjaya mencuri perhatian lensa kamera beberapa jurugambar di situ. Mahaguru Wang Fei Kung segera dirapati oleh seorang anak buahnya.

“Mahaguru, inilah si Terawez. Dialah penuntut daripada Dojo Pedang Mangkubumi yang telah mencederakan Jeriza.” bisik anak buahnya itu. Mahaguru Wang mangangguk. Kemudian beliau mengalihkan renungannya tepat ke mata Terawez yang marak dengan api kemarahan. Pemimpin nombor satu Sekolah Seni Wushu Pedang Angkasa tersebut tersenyum mesra.

“Selamat datang ke…”

“Diam! Kaukah yang menyuruh orang-orangmu menyerang Dojo Pedang Mangkubumi dan kedua orang guruku?” herdik Terawez yang sekaligus mematikan kata-kata Mahaguru Wang.

“Kurang ajar!” pekik anak buah Mahaguru Wang tadi dan kemudiannya disambut dengan makian dan cercaan para ratusan para penuntut di situ. Sebaik sahaja Mahaguru Wang mengangkat tangannya, serta-merta mereka semua mendiamkan diri.

“Anak muda, kau ada buktikah bahawa kami yang menyerang kedua tok gurumu dan memusnah dojomu/” tanya Mahaguru Wang dengan lembut. Beliau seboleh-bolehnya cuba mengawal perasaan di hadapan belasan wartawan yang hadir tadi.

“Tok guruku yang beritahu. Itupun sudah cukup sebagai buktinya!” balas Terawez dengan garang. Kata-katanya itu disambut dengan hilai tawa majoriti hadirin yang berada di situ.

“Kau yang menyerang anak Tan Sri Zamin hingga menyebabkannya cedera parah. Kini kau menggunakan alas an yang tak munasabah pula untuk menyerang kami? Kau ini dah melampau, orang muda!” balas Mahaguru Wang. Terawez bungkam. Lama beliau dalam keadaan termangu-mangu di situ.

“Baiklah, setidak-tidaknya salah seorang anak muridku telah kau cederakan dengan teruk. Jatuhlah maruah kami kalau tidak membalas oleh kerana terlanjur kau berada di sini. Kau pula ingin membalas atas apa yang terjadi kepada kedua orang gurumu dan dojomu. Untuk berlaku adil, marilah kita adakan pertandingan persahabatan. Kau pilihlah sesiapa sahaja untuk melepaskan gerammu. Kami pun akan dapat faedah yang sama. Bagaimana orang muda? Setuju?” tanya Maharaja Wang. Ternyata beliau bijak menyulam kata-katanya untuk membuat provokasi terhadap Terawez.

‘Baiklah! Aku setuju! Mari kita berlawan sekarang!” jawab Terawez dengan penuh bersemangat. Kesemua hadirin yang berada di situ menjadi bungkam.

“Jahanam! Terus saja menyahut cabaran. Dia ini tak ada otak untuk berfikir dulukah?” rungut Maharaja Wang dalam hati. Seketika kemudian beliau tertawa kecil.

“Baiklah. Siapa yang kau mahu cabar di sini?” tanyanya dengan sikap acuh tidak acuh.

“Kamu semua. Bermula dengan kamu!” Sebaik sahaja mengungkapkan kata-kata tersebut, Terawez terus menyerbu dengan garang ke arah Mahaguru Wang Fei Kung.


************************************************

“MetroPolis sial! Selepas selesai kes ini aku akan ajar mereka cukup-cukup!” Peguam Riko yang bernama Thangaraj hanya menggelengkan kepala mendengarkan omelan anakguamnya. Thangaraj terpaksa menumpangkan Riko balik dengan Honda Superior miliknya.

“Bukankah Don sudah memberikan arahan agar kau jangan mengganggu budak-budak MetroPolis itu? Kau yang degil dan sengaja mencari penyakit.” tempelak Thangaraj. Rupa-rupanya beliau juga adalah orang bawahan ketua mafia yang bernama Don.

“Kau jangan nak mencari pasal, Raj! Angin aku memang kurang baik hari ini. Lagipun aku peduli apa dengan arahan Don itu? Don sekarang bukanlah seorang yang patut digeruni dan dihormati. Kumpulan yang paling hebat sekarang adalah di bawah pimpinan Tai Pan. Aku fikir lebih baik kita menyertai Tai Pan.” Kata-kata Riko itu menyebabkan air muka Thangaraj berubah.

“Eh? Kenapa kau singgah ke sini?” tanya Riko kemudiannya. Thangaraj telahpun memarkirkan keretanya di sebuah stesyen minyak yang agak terpencil.

“Aku nak buang air kecil. Tunggu sekejap, ya?” jawab Thangaraj disusuli dengan tawa kecil. Riko menggeleng-gelengkan kepala.

“Sungguhpun kau ini seorang peguam; bagi aku kau ini seorang yang pandir lagi bodoh.” kutuk Riko. Thangaraj mendengarnya; namun beliau enggan mempedulikan cercaan tersebut.


**********************************************

Di balai polis MetroPolis Enterprise :

“Bagus, Chief! Aku tidak sangka pengetahuan kau tentang komputer adalah begitu baik. Kita boleh memfailkan permohonan untuk waran tangkap termasuk laporan aduan ke mahkamah dari sini sahaja. Sekarang kita hanya perlu menunggu Nazrul dan Cat untuk menangkap si jahanam itu sekali lagi.” ujar Enbi dengan perasaan teruja. Sungguhpun pekerja barunya itu sudah lanjut usia, namun segala urusan yang renyah dan sukar dapat dilaksanakan dengan baik. Pada 100 tahun akan datang, kebanyakan prosedur berkaitan hal perundangan sudah berubah dengan drastik sekali. Ini adalah bagi menjamin kepantasan dan kelicinan pergurusan kes-kes yang meningkat 300 kali ganda berbanding dengan zaman ini.


***********************************************

Di stesyen minyak terpencil :

‘Mana si Raj ni? Lama betul di jamban; mengalahkan orang perempuan pula!’ rungut Riko di dalam hati. Tiba-tiba beliau berasa ada sesuatu yang tidak kena. Setakat ini tiada seorangpun yang kelihatan berada di stesyen minyak tersebut kecuali dirinya. Matanya meliar memandang sekeliling. Pandangannya terhenti pada sudut kanan kereta, arah pukul dua. Kelihatan sesusuk tubuh yang agak kecil menuju ke arahnya. Apa yang menarik perhatiannya ialah orang tersebut memakai topeng kaum peribumi bermotifkan haiwan. Spontan Riko baru tersedar apa yang berlaku.

“JAHANAM RAJ! KAU PERANGKAP AKU RUPA-RUPANYANYA!”


********************************************************

Di Taman Maju Rapat, Ipoh :

Kereta yang dipandu oleh Nazrul baharu sahaja tiba di perkarangan rumah Riko.Cuaca pada pagi ini agak terik. Jadi Nazrul dan Catherine bersama-sama terus menunggu di dalam kereta dengan penghawa dingin terpasang. Nazrul kelihatan monyok tidak bermaya.

“Tak sangka pula rumah Suraya dan Riko cuma selang lima buah sahaja. Rupa-rupanya penjenayah yang kita cari bukanlah jauh sangat berada.” ujar Catherine untuk memecah kesunyian.

“Yang lecehnya kita perlu melalui rumah Suraya.” ujar Nazrul. Nadanya berbaur bengang. Catherine tersenyum. Tadi; ketikamana melalui rumah Suraya, mereka ternampak kereta Mercedes milik Sabri yang diparkir di halaman rumah tersebut. Itulah sebabnya Nazrul sedang bermuram durja sekarang.

“Memang susah sekiranya kita mencintai orang yang hatinya dimiliki oleh orang lain. Mungkin Nazrul patut mendengar cakap Enbi. Janganlah bermuram lagi. Masih banyak lagi gadis-gadis yang lebih seksi dan cantik daripada Suraya. Rugi sahaja menghabiskan masa Nazrul untuk memikat hanya seorang gadis.” pujuk Catherine. Dalam masa yang sama beliau berasa bersalah pula kerana cuba mendorong Nazrul untuk menjadi seorang buaya darat. Perasaan Nazrul kembali menjadi teruja dan bersemangat.

“Betul! Saya tidak patut membuang masa untuk Suraya. Dengan gaya dan penampilan saya ini, saya pasti akan dapat memikat lebih ramai lagi gadis-gadis rupawan di luar sana.” ujar Nazrul dengan penuh keyakinan seraya terus ketawa. Catherine hanya tersenyum. Dalam benaknya beliau tidak berapa yakin gaya dan penampilan Nazrul yang begitu pelik itu mampu memikat gadis-gadis rupawan.


**************************************************

Di stesyen minyak yang terpencil :

“Aku pasti bahawa kau adalah salah seorang daripada empat Algojo yang dilantik oleh Don.” ujar Riko yang kini telahpun keluar daripada kereta. Orang bertopeng tersebut tidak memberikan sebarang reaksi. Algojo adalah pembunuh upahan peribadi yang dilantik oleh Don untuk menghukum para pengikutnya yang melakukan kesalahan berat atau menyelesaikan musuh-musuhnya yang sukar dibereskan.

“Berdasarkan rupa topeng yang engkau pakai; kau tentunya Algojo Serigala Angin.” teka Riko lagi. Orang bertopeng yang digelar Serigala Angin tersebut masih tidak berkata apa-apa. Sebaliknya beliau menghunuskan sepasang senjata bergelar Tekpi atau Sai yang tersisip di pinggangnya.

“Kalau begitu kau tentu tahu mengapa aku datang ke sini.” Akhirnya orang bertopeng tersebut bersuara. Riko tidak menjawab; sebaliknya beliau menyerbu ke arah orang bertopeng tersebut untuk membereskannya.

“PERGI MAMPUS!” jeritnya seraya melayangkan sepakan kanan yang kencang.


********************************************

Di MetroPolis Enterprise :

“Eh! Chief sudah tertidur?” rungut Enbi. Sebaik sahaja Red Wigwam menyempurnakan tugasan yang diberi, beliau mengambil keputusan untuk ‘berehat’ seketika. Enbi mengarahkan pandangannya kepada Ren Fairuz pula. Imam muda tersebut sedang begitu asyik menyedut air minuman kotak sambil menonton teleholo. Enbi menggelengkan kepala. Peguamnya, Zuraidah telahpun ke mahkamah untuk memastikan permohonan mereka didaftarkan.

“Aku harap Nazrul dan Cat tidak mengalami sebarang masalah.” ujarnya dalam hati.


******************************************

Di stesyen minyak yang terpencil :

Pertarungan telahpun selesai.

Mata Tekpi di tangan kiri Serigala Angin terbenam ke dada di bahagian jantung Riko. Manakala mata Tekpi di tangan kanannya pula terbenam di bawah dagu dan tembus hingga ke otak Riko. Segala-galanya berlaku tidak sampai 5 saat lamanya.

Riko tidak bersuara. Namun ekspresi mukanya menunjukkan beliau mengalami kesakitan yang teramat sangat. Sebaik sahaja kedua-dua bilah Tekpi dicabut keluar daripada tubuh Riko, pencuri pakaian dalam tersebut terus jatuh terjelepuk. Darah memancut keluar daripada bahagian luka di dadanya.

“Sudah selesai?” Sekonyong-konyong Thangaraj memunculkan diri.

“Krrrrkkhhh... Krrrrkhhhhh... hhh...” Tiba-tiba kedengaran dengkuran keluar daripada mulut Riko. Ianya adalah tanda beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

“Sekarang barulah selesai.” ujar Serigala Angin. Thangaraj ketawa kecil.

“Aku sebenarnya cukup benci dan meluat dengan kerenahnya. Kalau tidak kerana kau diarahkan oleh Don untuk membereskannya, sudah lama peluru pistolku menembusi kepala si jahanam itu.” ujar si Thangaraj dengan nada marah. Serigala Angin hanya menganggukkan kepala.

“Sekarang kau perlu membelasahku pula. Buat betul-betul, ya? Aku takut pembabitanku akan diketahui pula.” ujar Thangaraj.

“Baiklah.” balas Serigala Angin dengan nada dingin.


*******************************************

MetroPolis Enterprise; sejam kemudian :

“Mengapa mereka belum balik lagi?” rungut Enbi sambil mendail nombor telefon bimbit Nazrul. Beberapa saat kemudian kedengaran nada mendail di corong pembesar suara telefon bimbitnya.

“Hello?” Kedengaran suara Nazrul.

“Nazrul, kamu di mana? Riko sudah ditangkap atau belum?” tanya Enbi dengan nada yang agak kurang sabar.

“Kami masih berada di perkarangan rumah Riko, bang ngah. Dia masih belum pulang lagi.” jawab Nazrul. Tiba-tiba bahu kanan Enbi ditepuk.

“Kalau kau mahu air kotak lagi, pergilah ambil sendiri. Aku sedang bercakap di telefon.” ujar Enbi yang ditujukan kepada Ren Fairuz. Namun bahunya sekali lagi ditepuk dengan agak keras.

“Apa dia, Ren? Kau-” Kata-kata Enbi mati tatkala memandang ke arah jari telunjuk Ren Fairuz. Di teleholo, berita tentang pembunuhan Riko telahpun disiarkan. Keadaan sepi seketika.

“Hello? Hello? Abang Ngah!”

“Nazrul; Riko telah dibunuh. Peguamnya pula telah cedera parah dibelasah. Ianya sedang disiarkan dalam berita tengahari.” maklum Enbi dengan suara lemah. Tubuhnya terus tersandar di kerusi kaunter pertanyaan. Fikirannya buntu. Benar-benar buntu.


********************************************

Di sebuah gudang yang terbiar, Lumut Perak. Pada masa yang sama…

Remy memerhatikan keadaan sekeliling. Gudang tersebut kini hanya tinggal separuh di bahagian dindingnya sahaja. Matanya masih memerhatikan kebanyakan anggota Tai-Pan yang sama ada mati dikerat oleh sesuatu yang amat panas ataupun oleh kerana ditimpa bumbung gudang tersebut. Lelaki yang digelar Disco Inferno ini juga nampaknya tidak terelak dari mengalami kecederaan. Darah masih mengalir dari bahu kanannya.

Remy meleraikan pegangan alat pemancar iklan tiga dimensi tersebut di kedua belah tangannya. Beliau perlahan-lahan berjalan ke arah tempat di mana wujudnya pintu utama sebelum itu. Di situ terdapat sebuah meja yang sudah rosak akibat ditimpa bumbung gudang tadi. Remy perlahan-lahan mengopak laci meja yang diperbuat dari kayu yang disposes tersebut. Di dalam laci tersebut terdapat dua pucuk pistol miliknya yang telah diserahkan olehnya tadi sebelum masuk ke dalam gudang tersebut. Remy mengambilnya. Beliau kemudian berjalan perlahan-lahan menyusuri mayat-mayat yang bergelimpangan di atas lantai.

“ZRAP! ZRAP! ZRAP!” Remy mula menembak mana-mana mangsa yang masih hidup lagi. Sambil itu beliau menyanyi-nyanyi kecil bagaikan bergembira dengan perilakunya itu. Akhirnya kesemua anggota Tai-Pan yang berada di situ mati terbunuh atau dibunuh oleh Remy, kecuali seorang lagi iaitu Penguasa Fong. Remy akhirnya tiba ke tempat Penguasa Fong. Kedua kaki orang tua tersebut telah dipancung oleh sinaran cahaya tadi manakala tangan kanannya pula ditimpa oleh batu dinding yang seberat sebuah motorsikal.

“Penguasa Fong, kau tak ada apa-apakah?” tanya Remy yang lebih mirip kepada menyindir. Penguasa Fong yang kelihatan tercungap-cungap menahan sakit hanya mampu memberikan pandangan tajam ke arah musuhnya.

“Kau menipu rupa-rupanya. Alat pemancar iklan tiga dimensi itu sebenarnya adalah senjata laser. Celaka kau Disco Inferno!” makinya. Remy tertawa kecil.

“Aku tak menipu, Penguasa Fong. Kedua-dua alat itu memang merupakan alat pemancar iklan tiga dimensi yang dibuat oleh Sony dari Jepun. Aku cuma menipu bila aku nyatakan bahawa aku tidak mempunyai teknologi untuk menukarkan alat-alat itu kepada senjata. Aku ini pakar elektronik, faham? Bodoh! Dungu! Bangang!” cerca Remy seraya tertawa. Begitu senang benar hatinya kini kerana dapat menghidu perangkap yang dipasang oleh Penguasa Fong.

“Tuan Tai-Pan pasti tak akan akan melepaskanmu, celaka!” maki Penguasa Fong. Marah benar beliau kerana diakali oleh Remy. Pemuda yang dipanggil Disco Inferno itu mengangkat pistolnya ke arah muka lelaki tua tersebut.

“Biar aku beritahu sesuatu kepadamu. Aku pernah ditawarkan oleh Don untuk menjadi algojonya. Namun aku menolak. Sekarang baru kau tahu betapa handalnya orang-orang Don. Orang-orang Tai-Pan memanglah ramai, namun semuanya tak berguna!” maklum Remy sebelum meledakkan muka Penguasa Fong dengan senjatanya.


*******************************************

Di Sekolah Seni Wushu Langit Perkasa, pada masa yang sama…

Terawez akhirnya berjaya dikekang dan dipukul bertubi-tubi oleh saki-baki anak buah Mahaguru Wang Fei Kung yang masih tinggal. Mahaguru Wang telah cedera parah dan pengsan. Orang-orang kuatnya yang dianggap jaguh terhandal juga mengalami nasib yang sama. Puluhan para penuntut yang lain pula turut mengalami kecederaan dan masih tidak sedarkan diri. Setelah mengalami kehausan tenaga, baharulah Terawez dapat dikekang dan dibelasah. Itupun beliau masih sempat lagi memusnahkan tiga puluh peratus dari bangunan sekolah wushu tersebut sebagai timbal-balas kepada kemusnahan dojonya.

“Dahsyat benar anak murid Dojo Pedang Mangkubumi ini. Seni mempertahankan dirinya memang tiada tolok bandingnya lagi. Lebih dari separuh anak murid Mahaguru Wang termasuk Mahaguru wagng sendiri ditewaskan dengan begitu teruk sekali. Ini lebih menarik daripada cerita perasmian jubli emas sekolah wushu ini.” komen salah seorang wartawan dari akhbar Malaysia Kini. Nampaknya belasan wartawan yang lain juga bersetuju dengannya. Jurukamera mereka juga tidak berkesudahan merakamkan insiden bersejarah ini. Sekolah Seni Wushu Pedang Langit Perkasa pasti mendapat malu yang besar dan dicemuh oleh sekolah-sekolah lain selepas ini.


********************************************

Di suatu tempat rahsia, pada masa yang sama...

Orang yang bergelar Serigala Angin tadi kelihatan memasuki sebuah bilik yang agak kelam suasananya. Di dalamnya terdapat seseorang yang leka menikmati permandangan di luar jendela. Serigala Angin dengan cermat menanggalkan topengnya. Rupa-rupanya beliau adalah Daryll; penghuni Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat : Jabatan Remaja Bermasalah.

“Riko sudah saya hapuskan.” Begitu mudah sekali perkataan tersebut dipaculkan daripada mulut remaja itu. Orang yang sedang memandang ke luar jendela tadi masih enggan memalingkan wajah.

“Menurut kata Thangaraj, tuan tidak lagi ditakuti oleh sesiapa. Beliau juga-”

“Aku tahu.” Tutur Daryll dimatikan oleh kata-kata orang tersebut.

“Ini adalah kerana aku mengambil masa yang agak lama untuk mengumpulkan kekuatan ekonomi dan tentera kita. Namun ianya berbaloi. Sekarang kumpulan kita sudah cukup kuat untuk menghapuskan sesiapa sahaja termasuklah Syarikat Polis Malaysia Berhad.” ujar orang tersebut lagi.

“Kita mulakan dengan kumpulan Tai Pan; yang kononnya terbesar dan terkuat di Malaysia. Apa pendapatmu, Daryll?” tanya orang tersebut seraya memalingkan tubuhnya. Beliau adalah Donald; Ketua Pengarah Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat : Jabatan Remaja Bermasalah. Daryll tersenyum.

“Pilihan yang bijak, tuan Don!”



- Tamat Episod Satu -

No comments: