MetroPolis Episod 2
(Bab 1)
Tiga Elemen
(Bab 1)
Tiga Elemen
100 tahun akan datang...
Beijing, 3 bulan kemudian…
Ibu kota yang dahulunya pernah menjadi kebanggaan rakyat China kini mengalami kemusnahan yang teruk akibat tiada berkesudahan dilanda peperangan. Semenjak ditakluki oleh Organisasi lebih kurang 60 tahun yang lalu, Beijing telah beberapa kali bertukar jajahan di antara Organisasi dan kerajaan China. Kini ianya baharu sahaja ditakluki oleh kerajaan China setelah setahun bermandikan api peperangan.
Jeneral Miao Xeng kini boleh berasa megah di atas kejayaannya menawan kembali Beijing daripada tentera Islam milik Organisasi. Malahan puluhan tentera elit milik beliau telah berjaya membunuh pasukan ‘Guardian’ milik Organisasi. Tentera elit milik kerajaan China adalah sekumpulan individu yang mempunyai kuasa luar biasa yang amat hebat. Seorang tentera elit elit tersebut adalah bersamaan dengan 30 orang tentera terlatih. Setelah itu penawanan semula Beijing menjadi semakin mudah. Kini beliau perlu bersiap-siaga untuk menghadapi serangan gelombang kedua daripada pasukan tentera Organisasi yang berada di Shanghai.
Jeneral Miao sedang berdiri di atas kereta kebal raksasa ‘Golden Dragon’ bersama pasukan tentera elitnya apabila tiba-tiba beliau dimaklumkan oleh salah seorang tentera peninjau bahawa terdapat perkara pelik di hadapan mereka dalam jarak lebih kurang 50 kilometer. Jeneral Miao menjengah ke ufuk di hadapan. Cuaca di kawasan tersebut telahpun menjadi mendung dan disulami dengan petir dan guruh. Bila-bila masa sahaja hujan pasti akan turun. Beliau segera menggunakan pula teropong kuasa definisi tinggi untuk melihat perkara aneh tersebut setelah koordinasinya diberikan. Mukanya berkerut tanda hairan.
“Rupa-rupanya seorang lelaki.” ujarnya seolah-olah berkata pada diri sendiri. Apa yang dilihat olehnya adalah seorang lelaki yang sedang perlahan-lahan berjalan merentasi kawasan yang tandus menuju ke arah ketumbukan tenteranya. Lelaki tersebut kelihatan berseorangan. Beliau memakai kemeja lengan panjang berwarna hitam tanpa berkolar. Kemeja tersebut juga tidak dimasukkan ke dalam seluarnya yang juga berwarna serba hitam. Begitu juga dengan warna sepatunya. Malah lelaki tersebut melindungi dirinya dengan menggunakan payung yang juga serba hitam. Jeneral Miao tertarik dengan lambang yang tertera pada payung tersebut iaitu lukisan grafik seekor naga berwarna perak.
Wajah pemuda tersebut adalah tampan dan air mukanya cerah. Rambutnya yang hitam lebat tersisir rapi melepasi bahu. Sinar matanya agak lembut namun penuh dengan perasaan keceriaan. Hidungnya mancung bagaikan diukir. Bibirnya juga seolah-olah mengorak senyuman. Jeneral Miao segera menekan butang merakam dan menghantar rakaman tersebut kepada anak buahnya di bahagian perisikan.
“Cuba kenalpasti siapa lelaki ini.” perintahnya melalui alat telekomunikasi di lehernya. Hatinya berasa kurang enak. Jeneral Miao juga bukanlah calang-calang orang. Kekuatan beliau adalah di atas daripada pasukan Guardian dan tentera elit miliknya. Hatinya tertanya-tanya adakah mungkin lelaki tersebut adalah pendekar Organisasi kelas Eksekutif yang menjadi wakil untuk berunding. Setakat seorang Eksekutif beliau tiada masalah untuk menewaskannya. Golongan tentera elit Eksekutif adalah sepuluh kali ganda lebih kuat dan handal daripada Guardian. Jadi biasanya mereka ini biasanya bertindak secara solo atau bergerak dalam kumpulan kecil. Kilat semakin galak sabung-menyabung di langit. Tentu nahas lelaki tersebut sekiranya beliau masih berani menggunakan payungnya dalam cuaca sebegini rupa sungguhpun berpangkat Eksekutif.
“Toot!” Alat telekomunikasinya berbunyi menandakan jawapan sudahpun diperolehi dari pejabat risikan.
“Tuan Jeneral! Sila berundur segera! Tuan dalam bahaya!” jeritan anak buahnya di alat penerima telekomunikasi tersebut benar-benar mengejutkan Jeneral Miao.
“Apa? Kamu minta aku buat apa?” tanyanya dengan nada terkejut bercampur bengang.
“Tuan! Kami gagal mengenalpasti identiti lelaki tersebut tapi kami berjaya mengenalpasti lambang pada payungnya. Lambang tersebut adalah lambang ‘Naga Petir’ iaitu lambang rasmi salah seorang pendekar Emissary berdarjat Maharaja. Tuan dalam bahaya!” Makluman tersebut membuatkan Jeneral Miao menjadi pucat. Pendekar Emissary adalah seratus kali ganda lebih kuat dan handal daripada pendekar berkelas Eksekutif. Namun dalam kelompok pendekar Emissary, terdapat empat orang Emissary yang berpangkat Maharaja dan tahap mereka lebih hebat daripada pendekar Emissary. Jeneral Miao cukup arif tentang perkara tersebut dan beliau mengetahui siapakah ‘Naga Petir’ tersebut.
“Emissary Mayhem…” ujarnya dengan terketar-ketar. Di hadapannya kini berdiri tegak lelaki yang diteropongnya tadi. Tingginya mencecah lebih dari tujuh kaki. Aura yang terpancar dari tubuhnya benar-benar hebat dan menakutkan. Jeneral Miao sempat berfikir bagaimana lelaki tersebut yang berada dalam jarak lebih kurang 50 kilometer daripadanya mampu muncul di hadapan beliau dalam sekelip mata.
“Kamu panggil aku?” tanya lelaki tersebut dengan senyuman manis yang tidak sepadan dengan renungan matanya yang tajam. Cuaca di kota Beijing tiba-tiba menjadi mendung dan tak lama kemudian disulami dengan kilat sabung-menyabung.
**************************************************
Telah 3 bulan berlalu semenjak kes kecurian pakaian dalam Suraya dan rakan-rakannya serta kematian Riko. Kehidupan Enbi dan Nazrul yang dahulunya berkisar tentang bidang perniagaan dan korporat kini beralih ke arah bidang kepolisan pula. Catherine yang dahulunya merupakan seorang usahawan restoran bubur nasi yang terkenal di Perak kini adalah juga seorang anggota polis yang berwibawa.Syarikat mereka, MetroPolis Enterprise kini semakin terkenal atas dasar mereka yang tidak mengenakan sebarang bayaran untuk berkhidmat pada masyarakat. Semakin ramai yang mula membuat aduan kepada mereka. Malah liputan tentang MetroPolis Enterprise sering terpampang di media massa atas usaha murni mereka. Nyatalah masyarakat dan media massa telah memberikan sokongan padu kepada MetroPolis.
Untuk melancarkan perjalanan kes-kes yang diadukan kepada mereka, Enbi telah merangka suatu program yang dikenali sebagai Rakan MetroPolis. Beliau mengambil idea daripada program Rakan Cop yang diperkenalkan pada zaman kita ini. Dengan ini, berpuluh-puluh sukarelawan telah menyertai Rakan MetroPolis untuk bersama-sama membenteras jenayah di kawasan kediaman mereka. Malah Enbi juga telah meminta bantuan daripada Donald iaitu Ketua Pengarah Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat : Jabatan Remaja Bermasalah untuk menyumbangkan tenaga para pelatih di situ bagi membuat kawalan malam di kawasan perumahan seperti program Rukun Tetangga. Dengan ini kadar jenayah di kawasan sekitar Ipoh dapat dikurangkan sehingga 60 peratus.
*****************************************************
Pada masa yang sama di Pusat Komuniti Masyarakat : Jabatan Remaja Bermasalah…
Duali berdehem untuk memaklumkan kehadirannya kepada Donald. Ketua Pengarah tersebut yang sedang menulis sesuatu di mejanya segera mengangkat kepala seraya tersenyum.
"Ada apa, Duali?" tanyanya dengan mesra.
"Tuan Don, nampaknya Enbi daripada MetroPolis itu bukanlah sembarangan orang. Beliau telah berjaya mencapai apa yang syarikat polis lain tidak mampu lakukan dalam masa hanya tiga bulan." Pernyataan Duali membuatkan Donald atau Don tersenyum.
"Kau ingin mempersoalkan mengapa aku turut membantu MetroPolis sedangkan mereka sepatutnya adalah musuh kita, bukan?" tanya Donald. Duali hanya menganggukkan kepala.
"Kumpulan Enbi adalah satu-satunya sumber yang boleh aku pecayai untuk memerhatikan dan mengetahui tentang gerak-geri musuh kita; seperti kumpulan Tai Pan, geng Neon Melambai dan Terendak Biru. Malah kumpulan-kumpulan kecil juga telah berjaya disekat daripada terus berkembang dengan adanya program Rakan MetroPolis. Pesaing kita telah dapat dikurangkan dengan begitu drastik sekali. Bukankah itu menguntungkan kumpulan kita juga?" Penerangan panjang lebar daripada Donald membuatkan Duali terdiam. Memang benar semenjak Donald atau Don menjadi pasif, ramai di kalangan anggota kumpulannya telah dikenalpasti sebagai musuh dalam selimut. Ini menyebabkan hanya segelintir individu sahaja yang boleh dipercayai oleh beliau.
*************************************************
Balai Polis MetroPolis Enterprise, pada masa yang sama…
"Jahanam kau, Ren! Bagi balik air kotak itu!"
Pekikan Nazrul itu langsung tidak dipedulikan oleh Ren Fairuz. Sebaliknya beliau berlari di sekeliling meja kaunter untuk mengelakkan Nazrul. Catherine yang sedang memangkas bunga Bonsai di meja kopi tempat menunggu hanya mampu menggelengkan kepala.
"Macam budak-budak…" komennya dengan nada kurang berpuas hati.
"Cantiknya Bonsai ini. Cik Catherine memang pandai menjaganya," puji Red Wigwam. Beliau turut membantu membersihkan ruang hadapan balai. Nazrul dan Ren Fairuz kononnya ingin turut membantu. Namun akhirnya mereka hanya membuat kacau sahaja.
"Terima kasih. Encik Wigwam pun seorang yang pandai mengemas. Balai ini semakin cantik dan kemas semenjak encik Wigwam bekerja di sini." puji Catherine kembali.
"Dapat!" pekik Nazrul sambil memaut pinggang Ren Fairuz daripada belakang. Kedua-duanya jatuh tertiarap di atas karpet.
"Hei; berhentilah!" pinta Catherine.
"Hampir habis kau minum? Jahanam!" pekik Nazrul seraya cuba mencekik Ren Fairuz. Imam muda tersebut kembali menonyoh muka Nazrul dengan tangan kanannya. Akhirnya mereka berguling-guling seperti dua orang perempuan yang bergaduh.
"Sudahlah Nazrul; Ren!" Kali ini suara Catherine berubah menjadi agak keras.
"TOK!" Begitulah bunyi kotak minuman yang telah melayang dan hinggap ke dahi Catherine. Gadis manis tersebut mengaduh kesakitan.
"Alamak! Air kotak terlepas dan terkena kepala cik Catherinelah!" ujar Ren Fairuz.
"Kaulah punya angkara!" tuduh Nazrul.
"Bukan aku! Kaulah yang bersalah!" tuduh Ren Fairuz.
"Engkau yang salah."
"Engkaulah!"
"Dua-dua pun bersalah!" Pertelingkahan Ren Fairuz dan Nazrul terhenti tatkala mendengarkan suara dingin Catherine di sisi mereka. Kedua-duanya memandang ke sisi mereka dengan perasaan berdebar-debar.
"Alamak!"
************************************************
Pasir Pinji, Ipoh. Selepas Isyak…
"Erika! Kau memang melampau! Mengapa kau dan kumpulanmu membelasah anak buahku sedangkan beliau tidak melakukan kesalahan?" herdik seorang lelaki dalam usia 30'an. Beliau berpakaian seperti seorang ninja. Kepalanya ditutupi oleh terendak berwarna biru. Turut menemani bersama beliau adalah ahli kumpulannya sebanyak 34 orang. Kesemuanya turut memakai terendak biru. Empunya suara tadi dikenali sebagai Monsoon; yang merupakan ketua kumpulan Terendak Biru. Di hadapan mereka pula adalah sekumpulan 28 orang mak nyah yang dikenali dengan nama geng Neon Melambai. Ketua mereka adalah seorang perempuan (mungkin lelaki sebenarnya) yang bertubuh kecil dan ramping serta sangat cantik. Beliau dikenali sebagai Erika.
"Ceh! Anak buah kau itu telah memasuki kawasanku dan telah melakukan kekacauan di sana. Jadi beliau memang patut dihukum!" balas Erika dengan nada keras. Namun masih mengekalkan suara femininnya. Jari-jemarinya giat mengurut tombak berpedang di tangan. Nyatalah beliau memang menginginkan pertarungan.
"Sejak bila pula kawasan Pasir Putih adalah kepunyaan Neon Melambai? Selama yang aku tahu kawasan tersebut adalah bebas untuk dijarahi oleh mana-mana samseng. Jangan nak memandai-mandai pula mendakwa ianya hak kalian." balas Monsoon pula dengan nada tidak berpuas hati.
"Itu aku tak peduli. Kalau kamu semua tidak berpuas hati; mari kita tentukan siapa yang lebih berhak menguasai Pasir Putih." cabar Erika seraya mengacukan tombak berpedangnya ke arah Monsoon. Ketua kumpulan Terendak Biru tersebut mengetap gigi menahan kemarahan.
"Sekumpulan pondan jahanam!" pekiknya. Konco-konco beliau mula menghunuskan senjata masing-masing.
"SERANG!!!" jerit Erika disambut dengan pekikan bersemangat konco-konconya pula. Geng Neon Melambai juga masing-masing turut menghunuskan senjata mereka.
"Hahahaha!!!" Sayup-sayup kedengaran tawa dari atas bangunan kedai berhampiran. Kumpulan Terendak Biru mendongak ke atas. Begitu juga Geng Neon Melambai. Niat mereka untuk bergaduh tadi mati serta-merta. Di bumbung bangunan kedai berhampiran tersebut kelihatan tiga susuk tubuh tegak berdiri dengan gaya yang agak pelik.
"Hoi! Siapakah kamu semua? Dan mengapa tiba-tiba ketawa tidak tentu pasal?" tanya Monsoon dalam nada berteriak.
"Malah berdiri dengan gaya watak animasi Jepun pula!" sahut Erika dengan nada mengejek.
"Yob, mereka mengejek gaya kemunculan kita…" salah seorang yang berdiri di atas bumbung tersebut separuh berbisik. Pun begitu mereka masih mengekalkan gaya tadi. Memang nampak agak kelakar dan bodoh gaya berdiri mereka itu.
"Cis! Kamu sekumpulan yang memakai tudung saji biru dan lelaki berpakaian wanita tidak berhak untuk mengkritik kami!" balas salah seorang daripada orang di atas bumbung tadi.
"Cis! Berani kau menghina pakaian rasmi Terendak Biru. Tunjukkan diri kalian sekarang. Mengapa berdiri dan ketawa di dalam gelap? Berapa lama kamu telah menunggu di situ? Tak digigit nyamukkah?" tanya Monsoon pula.
"Adalah juga, tapi Yob menegah kami menampar untuk mengelakkan diri kami semua dikesani." ujar seorang lagi kumpulan di atas bumbung tadi.
"Bodoh! Jangan cuba beramah-tamah pula dengan musuh!" ujar seorang lagi seraya menyekeh kepala orang yang berkata tadi. Dari tonasi suara mereka, ternyata kesemuanya adalah lelaki.
"Maaf, Yob!"
"Betul-betul macam watak animasi Jepun." komen Erika seraya disambut dengan dekahan tawa para pengikutnya.
"Cis! Kami akan tunjukkan diri kami sekarang. Buka mata kamu luas-luas. Hahahaha!!!" ujar lelaki yang bergelar Yob. Kemudian keadaan hening seketika. Masing-masing sedang menunggu sekumpulan tiga orang lelaki tadi memperlihatkan diri mereka.
Masih belum ada apa-apa perubahan.
"Yob, lampu tak mahu menyala." Kedengaran suara salah seorang dari lelaki di atas bumbung tersebut.
"Cis! Kenapa tidak boleh menyala pula? Semalam elok sahaja!" herdik lelaki yang bergelar Yob tadi.
"Ngah terlupa tutup suis semalaman. Agaknya mentol sudah terbakar." jawab seorang lagi.
"Alamak! Aku terlupalah," ujar seorang yang lain seraya ketawa segan.
"Bodoh! Tak boleh diharap! Memalukan betul!" herdik lelaki bergelar Yob tadi seraya menyekeh kepala lelaki yang bergelar Ngah.
"Maaf, Yob!"
"Sekumpulan monyet bodoh!" ejek Monsoon seraya disambut oleh gelak ketawa para pengikutnya. Erika dan Geng Neon Melambai turut sama ketawa. Namun tiba-tiba mereka semua bungkam apabila kawasan bumbung bangunan kedai tadi tiba-tiba terang-benderang dengan letusan api yang sangat marak.
Akhirnya jelas kelihatan ketiga-tiga lelaki di atas bumbung tadi. Mereka berpakaian serba hitam. Malah kepala mereka turut dilindungi oleh helmet yang kelihatan amat canggih. Letusan api yang besar dan begitu marak tadi datangnya daripada tapak tangan kiri salah seorang daripada mereka. Kesemua ahli kumpulan Terendak Biru dan Geng Neon Melambai ternganga besar.
"Kami adalah salah satu Algojo kumpulan Don yang dikenali sebagai Algojo Tiga Elemen. Kami diperintahkan oleh Don untuk menghapuskan kamu semua!" ujar si Yob memperkenalkan diri mereka.
- bersambung -
No comments:
Post a Comment