Pada waktu yang sama. Di kawasan pasar tani Medan Gopeng.
“Janganlah memandang aku sedemikian rupa. Aku pun tak cukup belanja untuk makan. Minggu ini aku dan tok-tok guru terpaksa makan sayur-sayuran dah hampir busuk, tau?”
Terawez berasa serba-salah ditenung oleh seekor kucing betina yang comot rupanya. Kucing tersebut mengiau-ngiau lemah sambil menggesel-geselkan tubuhnya di kaki pemuda tersebut. Air mata Terawez mulai berlinangan.
“Maafkan aku, cik kucing! Aku ini memang tak mampu nak menolongmu kali ini.” ujarnya seraya menangis. Tiba-tiba telinga Terawez dapat menangkap hilaian tawa beberapa orang pemuda.
“Entah apa-apa kau ini Terawez. Dengan kucing pun kau nak bersembang. Menangis pula tu. Macam orang gila sahaja.” salah seorang individu yang ketawa tadi mengutarakan sindirannya. Terawez melemparkan fokusnya ke arah mereka. Terdapat empat orang pemuda dalam lingkungan umur beliau sedang berdiri tidak jauh dari situ. Mereka masih tertawa.
“Kamu berempat ini tentu dari Sekolah Seni Wushu Langit Perkasa.” ujarnya. Tekaan Terawez tersebut dibalas dengan cebikan menghina keempat-empat pemuda tersebut.
“Engkau pula si bodoh yang tak habis-habis lagi belajar seni mempertahankan diri dan berpedang.” balas pemuda yang sama tadi. Keempat-empat mereka tertawa terbahak-bahak. Ternyata mereka ingin mencari pasal dengan Terawez. Terawez dengan langkah yang bersahaja mulai bergerak ke arah mereka. Tindakannya itu membuatkan mereka kaget dan mula memperkemaskan langkah untuk bertarung.
“Apahal? Mahu mencari gaduh?” tanya si pemuda tadi. Tentu beliau adalah ketua kumpulan mereka. Tangan kanannya mulai meraba-raba hulu pedang yang tersisip di pinggang. Terawez tidak membuka langkah untuk bertarung. Sebaliknya beliau menghulurkan tapak tangan kanannya.
“Apa ni?” tanya si pemuda tadi. Tonasi kehairanannya jelas dituturkan. Namun perasaan cemasnya masih kuat bersarang di hati.
“Minta sedikit wang. Aku mahu membelikan cik kucing itu makanan. Kau nampaknya seperti anak orang kaya. Tentu ada sedikit wang untuk disedekahkan.” ujar Terawez dengan bersahaja. Pemuda tersebut menjadi bungkam. Agak lama juga mereka berkeadaan sedemikian. Tiba-tiba pemuda tersebut mendekatkan wajahnya ke tapak tangan Terawez. Dengan biadapnya beliau meludah ke tapak tangan tersebut. Rakan-rakannya tertawa terbahak-bahak. Terawez pula tersengih-sengih seraya mengesat-ngesatkan tapak tangannya itu ke seluar.
“Bodoh. Tak guna. Pergi mampuslah kau, Terawez.” maki pemuda tersebut lagi. Terawez yang masih menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal mula mengorak langkah meninggalkan mereka.
“Kamu dan tok gurumu berdua itu memang sama. Bodoh lagi bangang!” maki pemuda tersebut lagi. Ternyata beliau masih belum berpuas hati dengan Terawez. Langkah Terawez terhenti. Kapalanya kembali dipalingkan ke arah pemuda tersebut. Namun kali ini sinar matanya benar-benar nampak ganas dan menakutkan.
“Apa kamu kata tadi?” tanyanya dengan serius. Pemuda yang membuat penghinaan tersebut berasa cuak dengan perubahan sikap Terawez. Beliau memandang ke arah rakan-rakannya. Mereka juga sedang memandangnya. Pandangan mereka kesemuanya mahu menduga sama ada beliau benar-benar berani atau hanya bercakap besar sahaja.
“Tadi aku kata bahawa kamu dan tok-tok gurumu bodoh lagi bangang. Kenapa? Tak puas hatikah?” tempelak pemuda tersebut dengan gaya berani yang dibuat-buat.
“Tarik balik kata-katamu itu. Kau boleh menghinaku tetapi jangan sekali-kali menghina kedua orang tok guruku. Mari ikut aku untuk pergi berjumpa dengan mereka. Kamu mesti meminta maaf daripada mereka.” saran Terawez. Ternyata sikapnya telah berubah seratus-peratus sekarang.
“Hei! Kau siapa nak mengarahkanku, hah? Aku ini Jeriza anak Tan Sri Zamin, tau? Kau tak berhak mengarahkan aku itu ini, faham? Bodoh!” herdik pemuda tersebut yang bernama Jeriza.
“Aku peduli apa kau ini anak siapa. Aku mahu kau ikut aku sekarang. Kalau tidak, nahas kau nanti.” Nada Terawez mulai menjadi semakin garang. Ancamannya juga diungkapkan dengan serius dan penuh keyakinan. Jeriza tidak membalas ancaman tersebut. Beliau segera menghunuskan pedang yang tersisip di pinggang.
“Marilah! Aku ini penuntut kedua terbaik di Langit Perkasa. Kau pula penuntut bangang yang tak habis belajar lagi. Kau fakir apa peluang kau untuk menang?” cemuhnya. Pedang ditangan diacukan ke arah Terawez dalam keadaan bersedia menyerang. Terawez tidak membalas. Sebaliknya beliau mendepangkan kedua-dua tangannya dalam gaya memancung.
“Aku bersedia. Kau mahu serang atau aku mahu serang?” tanya Terawez. Jeriza berasa geram dengan nada angkuh tersebut. Namun beliau enggan mengambil langkah terburu-buru.
”Kau serang. Biar aku kerat-kerat tubuhmu itu!” laung Jeriza dengan garang untuk menguatkan semangat serta keyakinan. Keadaan mereka pegun seketika demi untuk bersedia sertus peratus dalam sayembara yang tidak dirancang ini.
”PANG!” Tahu-tahu sahaja Terawez telahpun bergerak melepasi tubuh Jeriza dan serentak dengan itu tubuh lawannya itu melambung tinggi ke udara. Pedang milik Jeriza terpatah dua. Lantai konkrit tempat beliau berpijak tadi meledak menjadi serbuk pasir. Seketika kemudian tubuh pemuda angkuh tersebut jatuh terhempas ke bumi. Rakan-rakannya segera menerkam dan memangku beliau.
”Jeriza! Jeriza! Ya Allah! Kenapa boleh jadi begini? Azraf, cepat hubungi ambulans.” ujar rakan Jeriza yang bernama Halif. Matanya tajam mengawasi Terawez kerana bimbang Jeriza akan diserang lagi. Namun nampaknya si pemenang tadi sudah kehilangan minat untuk meneruskan sayembara tadi. Mata Halif tertumpu pula ke arah kedua-dua tangan Jeriza yang hancur sepeti ditetak dengan puluhan parang. Darah tidak berkehabisan mengalir keluar sebagai natijah kepada keceluparan bait kata si mangsa tadi. Sayembara tadi ternyata memperlihatkan perbezaan kehebatan Jeriza dan Terawez seperti langit dan bumi.
Keadaan Jeriza mulai menjadi gawat tatkala tubuhnya menggelepar kesakitan selepas rasa terkejutnya mereda.
“Hello?”
Suara Nazrul agak bergetar tatkala menjawab panggilan daripada Suraya. Jantungnya berdegup kencang. Entah sama ada kerana berasa cemas akan situasi abangnya ataupun kerana mendapat panggilan daripada gadis idamannya.
“Hello Nazrul; ini Suraya bercakap.” Begitu merdu sekali nada suara yang singgah di gegendang telinganya.
“Oh, Suraya rupanya! Di mana Suraya sekarang?” Nazrul buat-buat tidak mengenali empunya nombor tersebut. Kononnya untuk menjaga air muka agar tidak nampak terlalu obses dengan model jelita tersebut.
“Suraya berada dalam rumah sekarang. Nazrul, abang awak sedang berlawan dengan pencuri pakaian dalam kami. Dia meminta Nazrul datang dengan segera. Pencuri itu nampaknya sangat handal.” Begitulah permintaan Suraya dengan nada cemas becampur separuh merayu.
“Ya, saya akan datang segera!” Nazrul segera menekan butang yang mematikan perbualan mereka. Beliau terus memberi isyarat membelok ke kiri. Setelah mendapat ruang, Nazrul memarkir Audinya di suatu kawasan tanah lapang milik persendirian.
“Hoi! Kamu tak boleh memarkir di sini!” Tiba-tiba suatu suara keras menerjah di telinganya. Nazrul berpaling ke arah empunya suara. Ianya milik seorang lelaki dalam usia 40an. Pasti beliau adalah pemilik atau penjaga tanah persendirian tersebut.
“Minta maaf. Saya ialah polis. Saya ada urusan kecemasan sekarang. Saya minta kerjasama dan jasabaik encik untuk meninggalkan kereta saya di sini sekejap.” ujar Nazrul seraya menayangkan lencana polisnya. Lelaki tersebut tidak memandang ke arah lencana yang dipegang. Sebaliknya dengan kasar beliau mencekak leher baju Nazrul.
“Aku peduli apa! Kau berambus dari sini sekarang atau aku belasah kau sampai lembik.” ancam lelaki tersebut dengan kasar. Tubuhnya agak berisi berbanding dengan Nazrul. Semua mata pemandu kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas berhampiran tertumpu ke arah insiden tersebut. Nampaknya ada berlaku drama menarik di hadapan mereka. Air muka Nazrul berubah. Sudahlah berlaku perkara yang bapet sekarang; lelaki di hadapannya ini pula mahu menyulitkan lagi keadaan. Secepat kilat Nazrul menembi tekak lelaki tersebut. Serta-merta lelaki yang biadap tadi melepaskan cengkamannya dan berundur dalam keadaan terhoyong-hayang. Nazrul dengan segera pula menjatuhkannya ke tanah. Dalam keadaan lelaki itu masih kebingungan, Nazrul menggari kedua-duanya belakang.
“Kamu ditahan atas kesalahan menghalang tugasan polis dan disyaki bersubahat dalam kes mencuri. Kamu mungkin akan didakwa di mahkamah dan jika didapati bersalah, kamu akan dihukum mengikut Kanun Keseksaan Pindaan Baru.” bentak Nazrul dengan keras.
“To- Tolong jangan tahan saya. Saya bersalah terhadap tuan. Tolonglah maafkan saya.” rayu lelaki tersebut. Kini keangkuhan dan sikap biadapnya telah hilang sama-sekali. Namun Nazrul terus berlari ke arah rumah Suraya tanpa mempedulikan rayuan tersebut. Tinggallah lelaki itu dalam keadaan terkial-kial di situ.
“Jimatkan tenaga. Jangan pedulikan provokasi lawan.”
Itulah nasihat David Zhang yang kini terngiang-ngiang di fikiran Enbi. Jangkaan negatifnya kini menjadi kenyataan. Riko, si pencuri pakaian dalam telahpun memperolehi kembali rentak untuk bertarung. Pun begitu, Enbi bersyukur kerana kecederaan di kepala lawannya lebih serius daripada jangkaan. Serangan Riko tidak lagi begitu pantas dan jitu.
“Kau ni manusia ke atau monyet? Lawanlah betul-betul! Janganlah melompat ke sana sini!” cabar Riko buat kesekian kalinya. Beliau mahu menaikkan kemarahan Enbi agar lawannya itu mendekatinya. Pada firasatnya, tentu Enbi telah menjadi lemah akibat kesakitan yang dialami.
Enbi tidak mempedulikan cabaran tersebut. Fikirannya difokuskan hanya ke atas gerak-geri lawan. Malah beliau menjaga jaraknya agar berada di luar kawasan lingkungan serangan lawan. Riko menyerbu. Enbi mengelak. Begitulah keadaan mereka berdua; bagaikan bermain kejar-kejar lagaknya.
“Celaka! Berdirilah diam-diam di situ!” maki Riko.
“Jika lawan nampak tertekan, naikkan kemarahan dia agar dia melakukan kesilapan.” Pesanan David Zhang terngiang di fikirannya pula.
“Kenapa? Sudah penat mengejar akukah? Akhirnya kau sedar bahawa kau sudah tua? Sudah mencecah 40an?” ejek Enbi. Riko melompat lantas menendang ke arah mukanya. Enbi mengelak. Riko menumbuknya pula. Enbi berjaya menepisnya dan segera berundur keluar dari lingkungan serangan.
“Buah pukulan kau masih berbahaya. Namun kepantasan kau sudah berkurangan dengan begitu banyak sekali. Pak cik, kau sudah letihkah? Mahu hidu seluar dalam perempuan sebentar untuk melepaskan lelah?” ejek Enbi lagi. Beliau tahu emosi Riko sudah terusik.
“Kurang ajar!” Riko menyerbu Enbi dan mengejarnya. Enbi melarikan diri. Adegan kejar mengejar berlangsung dalam 20 saat. Namun sudah memadai untuk Enbi menjauhkan Riko daripada rumah Suraya. Enbi sebenarnya agak khuatir kalau-kalau Riko menyerbu masuk ke rumah anak-anak gadis tersebut. Kedua-dua mereka termengah-mengah. Namun ternyata Riko nampak lebih lesu berbanding Enbi.
“Memang dasar keturunan bacul! Pengecut!” cerca Riko untuk menaikkan kemarahan Enbi pula. Enbi tergelak kecil.
“Pak cik lagi teruk. Haiwan tua yang abnormal. Gilakan seluar dalam dan coli perempuan!” balas Enbi kembali seraya ketawa terbahak-bahak yang jelas dibuat-buat. Suaranya sengaja dikuatkan agar penduduk taman perumahan yang berdekatan dapat mendengar dengan jelas. Riko yang semakin meradang kembali menyerbu ke arah Enbi. Enbi yang sudah bersiap sedia dengan pantas mengelit ke sisi kanan untuk menjauhkan diri. Riko menghentikan pergerakan dan berpaling untuk menukar arah serbuannya. Kali ini Enbi tidak sempat untuk menjarakkan diri.
“HIAHH!!!” pekik Riko sambil menghunjam tinjunya tepat ke perut Enbi. Beliau berasa gembira kerana akhirnya serangan beliau mengena. Namun dalam masa yang sama Riko berasa agak pelik. Mengapa Enbi gagal mengelakkan diri sedangkan beliau mempunyai ruang dan masa yang memadai?
“Celaka! Perangkap rupanya!” ujar hati Riko. Namun semuanya sudah terlambat. Enbi menepuk muka Riko dengan sekuat-kuat hati. Kelihatan wap merah bersemburan dari muka Riko.
“ARRRRGHHH!!!” Riko berguling-guling menahan kesakitan sambil menggenyeh-genyeh muka dengan kedua tangannya. Enbi yang juga sedang mengerang di atas tanah sempat memandang ke arah lawannya. Nampaknya serbuk cili yang dipekup oleh beliau ke muka Riko membawa kesan yang sangat dahsyat. Lawannya masih lagi menjerit-jerit kesakitan bagaikan orang gila.
“Padan muka kau!” ujar Enbi seraya cuba bangun dengan keadaan terhoyong-hayang. Namun tiba-tiba Riko menerkam dan melepaskan satu penumbuk tepat ke ulu hati lawannya. Tumbukan yang begitu mantap dan berkuasa mengakibatkan Enbi terhumban ke belakang. Pandangannya menjadi kelam. Beliau jatuh terhempas ke tanah.
“Budak bodoh! Kau ingat kau dapat mengenakan aku dengan teknik remeh begitu? Sungguhpun aku sudah berumur dan pergerakanku tidak selincahmu, daya penanggapanku masih sehandal dulu. Aku dapat mengagak kemungkinan besar kau akan menyerang kelemahanku yang terbesar, iaitu bahagian mata. Jadi aku telahpun bersedia sebelum seranganmu mengenaiku. Lagipun memejamkan mata secepat kilat bukanlah suatu perkara yang sukar.” Rupa-rupanya Riko hanya berlakon tadi. Beliau cuma mengambil kesempatan untuk menghapuskan saki-baki serbuk cili yang masih melekat di mukanya sebelum menyerang Enbi. Nampaknya kali ini Enbi pula yang terperangkap.
Riko meneliti keadaan Enbi. Nampaknya lawannya itu benar-benar telah pitam berdasarkan keadaan anak matanya. Tidak seperti Enbi, pengalaman Riko yang begitu lama dalam seni pertarungan membolehkan beliau mengenalpasti antara lakonan dengan kebenaran tentang keadaan lawannya. Riko tidak terus menyerang Enbi. Beliau juga perlu melepaskan penat sambil menghapuskan saki-baki serbuk cili yang masih melekat di sekitar kawasan matanya.
“Baik, tibalah masa untuk menghapuskanmu,” ujar Riko. Beliau tidak pasti sama ada Enbi mendengarnya atau tidak. Riko tidak peduli. Suatu sepakan padu dilepaskan ke arah perut Enbi. Lawannya tidak memberikan sebarang reaksi.
“Dah pengsan rupamya!” ujar Riko. Namun beliau masih tidak berpuas hati. Disepaknya pula muka Enbi. Memercik darah keluar daripada mulut dan hidungnya. Riko kali ini ketawa terbahak-bahak. Dihenyaknya pula jari-jemari kanan Enbi dengan tumit kanannya. Bunyi berderap jelas kedengaran. Riko sekali lagi menendang perut Enbi.
“Uuuhh-” Suatu keluhan lemah keluar daripada mulut Enbi yang bersememeh dengan darah. Riko ketawa lagi. Sempat pula beliau memandang sekeliling. Terdapat beberapa pasang mata yang memerhatikan insiden ini; namun Riko pasti tiada siapa akan menolong. Begitulah keadaan manusia 100 tahun akan datang. Semuanya mementingkan diri dan tiada keberanian untuk menyokong atau menegakkan keadilan.
“Aku akan hadiahkan seluar dalam gadis yang tercantik dipusaramu!” ujar Riko disusuli dengan ketawa dekah. Beliau mengangkat kaki kanan dengan setinggi mungkin untuk menyepak muka Enbi; sekaligus akan mematahkan tengkuk lawannya. Tiba-tiba muka Riko dipekup sesuatu daripada belakang. Belum sempat beliau bertindak, Riko berasa seolah-olah tubuhnya berputar dan jatuh terhempas ke tanah. Secepat kilat itu juga tubuhnya kembali terangkat dan terhumban ke belakang. Riko jatuh berguling.
“Aduh! Ce-Celaka!” Dalam keadaan mengerang kesakitan, Riko cuba mengenalpasti punca beliau menjadi begitu. Pandangannya difokuskan ke arah Enbi. Kelihatan sesusuk tubuh berdiri tegak melindungi lawannya yang terkujur kaku.
“Kau siapa?” Pertanyaan Riko tersebut hanya dibalas dengan renungan tajam dan ganas daripada Catherine.
No comments:
Post a Comment