15 tahun yang lalu…
“Hai Cat!” Catherine berpaling perlahan-lahan ke arah empunya suara yang menegurnya. Kelihatan Enbi tersenyum di jenang pintu kamarnya. Tangan kanan pemuda itu menjinjit seplastik buah anggur. Mukanya kelihatan bengkak-bengkil dan penuh dengan lebam serta calar-balar. Keadaan yang serupa turut berlaku terhadap Catherine.
“Hai Enbi! Kan Enbi patut berehat sekarang? Kenapa tak dengar arahan doktor?” tanya gadis manis itu setelah membalas sapaan Enbi. Enbi tersengih. Beliau terus masuk ke kamar Catherine lantas menghulurkan plastik gugusan buah anggur tersebut.
“Ish! Tak malukah masuk ke bilik orang perempuan?” tanya Catherine dengan nada yang agak tertekan. Sebenarnya beliau berasa malu dan berdebar-debar kerana lelaki idamannya kini berada di kamar peribadinya. Enbi pula dengan selamba duduk di atas katil di sebelahnya.
“Buah anggur ini sebagai ucapan terima kasih kerana menyelamatkanku.” ujar Enbi. Sedikitpun beliau tidak mempedulikan hal-hal kesusilaan dalam hubungan lelaki dan wanita. Catherine menggelengkan kepala. Namun beliau menyambut pemberian pemuda idamannya itu dengan wajah berseri-seri.
“Terima kasih, Enbi. Tetapi saya bukannya dapat menyelamatkan Enbi. Teruk Enbi kena pukul. Malah saya pun teruk dipukul oleh kumpulan samseng sekolah kita juga.” ujar Catherine yang kini semakin merungkaikan persoalan keadaan mereka berdua itu. Enbi tertawa kecil.
“Sekurang-kurangnya empat daripada sepuluh orang samseng tersebut masuk ke wad selama beberapa hari akibat dibelasah olehmu. Paling teruk ialah ketua mereka, si Rezman. Sampai sekarang beliau hanya makan bubur sahaja.” balas Enbi seraya tertawa tanda berpuas hati. Catherine menggelengkan kepala sekali lagi. Seketika kemudian keadaan menjadi hening buat sementara waktu.
“Maafkan saya Enbi…” ujar Catherine tiba-tiba. Air matanya mula menitis di atas tilam.
“Eh? Kenapa pula kau menangis ni, Cat?” tanya Enbi dengan nada terkejut.
“Saya tak cukup kuat dan handal untuk melindungi Enbi. Akibatnya Enbi teruk dicederakan kerana cuba melindungi saya pula.” jawab Catherine. Esakan kecil mulai kedengaran di telinga. Enbi bungkam seketika. Namun beliau kemudiannya melepaskan hela nafas sambil tersenyum. Tangan kirinya spontan memaut bahu kanan sahabatnya itu.
“Jangan merepeklah Cat. Kalau kau tak datang membantu, pasti aku lebih teruk dikerjakan oleh bedebah-bedebah itu. Mungkin barang sebulan dua aku perlu menginap di hospital. Sebenarnya aku yang lemah kerana gagal mempertahankan diriku sendiri. Kalau aku sehandal dan sekuatmu, pasti tiada siapa yang berani membuliku.” ujar Enbi untuk memujuk sahabatnya. Beliau menepuk-nepuk lunak bahu Catherine yang di pautnya tadi. Agak lama juga mereka dalam keadaan sedemikian rupa. Catherine akhirnya menjadi tenang dan esakannya mereda.
“Enbi, saya berjanji pada awak…” Tiba-tiba gadis manis tersebut bersuara.
“Janji nak masakkan makanan yang sedap untukku ke?” tanya Enbi dengan nada bergurau. Catherine menembi bahu kiri Enbi. Mereka berdua tertawa.
“Saya berjanji untuk belajar seni mempertahankan diri dengan bersungguh-sungguh. Saya berjanji akan menjadi seorang pakar seni mempertahankan diri yang terhandal dan mampu melindungi orang-orang yang penting dalam hidup saya termasuk Enbi.” ujar Catherine untuk menyambung kata-katanya tadi. Beliau tersenyum manis. Pipinya menjadi kemerah-merahan. Enbi juga turut tersenyum. Kemudian pemuda tersebut tertawa.
“Kenapa awak tertawa pulak?” tanya gadis manis tersebut dengan nada tidak berpuas hati.
“Kalau kau handal sangat, kaulah yang kena pakai seluar Cat. Aku pula kenalah memakai coli dan blaus.” perjelas Enbi. Beliau kembali menyambung tawanya. Catherine yang geram dengan lawak tidak senonoh Enbi terus menembinya lagi. Namun beliau juga turut tertawa berdekah-dekah.
Sementara itu ibu Catherine yang sedang memasang telinga di sebalik jenang pintu bilik anak gadisnya untuk memantau tindak-tanduk dua remaja tersebut yang pada bila-bila masa mungkin akan melakukan perkara yang bodoh hanya tersenyum.
Sekarang…
“Betina sial! Aku akan kerjakan kau cukup-cukup!”
Ancaman daripada Riko sekelumit pun tidak dapat menggugat api kemarahan Catherine sekarang. Gadis yang lemah-lembut sifatnya itu terus mara mendekati lawannya. Riko bersegera memperkemaskan langkah. Nalurinya memberitahu bahawa lawannya kali ini kehebatannya bukanlah alang-kepalang.
Riko menyepak sisi bahu kiri Catherine sebaik sahaja gadis tersebut berada di dalam lingkungan serangan. Sepakannya mengenai sasaran. Tubuh Catherine condong ke kanan bagaikan akan terjatuh. Pun begitu, Riko berasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Kuasa hentakan tendangannya langsung tidak dapat dirasai seperti lazim. Seolah-olah menendang ke ruang udara.
‘Tendangaku rupa-rupanya cuma menyentuhnya tetapi tidak menyakitinya!’ ujar Riko di dalam hati. Kaki kirinya disusulkan pula untuk serangan kedua sebaik sahaja yang kanan memijak bumi. Tendangan yang berbentuk terjahan ke hadapan tepat mengenai dada kanan Catherine. Tubuh lawannya berputar bagaikan anak patung kain yang dilempar. Namun sedetik itu juga hati Riko berasa gusar. Serangan padunya bagaikan mengenai ruang udara lagi.
‘Habislah aku!’ Itulah cetusan hati Riko tatkala melihat putaran tubuh lawan bergerak ke hadapan mendekatinya. Sekoyong-koyongnya pipi kanan Riko dihentak oleh sesuatu yang amat keras sehinggakan tubuhnya hampir rebah. Serangan tersebut adalah daripada buku lima Catherine yang diperkuatkan dengan momentum putaran tubuhnya. Ketikamana Riko cuba mengimbangi tubuhnya, beliau berasakan bahawa sisi bahagian kiri pinggangnya diampu oleh sesuatu. Kemudian secepat kilat itu juga tubuhnya dilonjak naik dan diputarkan ke udara. Riko yang kini keliru dengan keadaan sekeliling jatuh terhempas sekali lagi ke atas jalanraya. Tatkala tubuhnya sedang menerima kesan lantunan, Riko terlihat tangan kanan Catherine memaut ketiak kirinya pula. Dengan menggunakan momentum lantunan tadi, Catherine sekali lagi melambungkan tubuh Riko ke udara dan menghempaskannya kembali di atas jalanraya.
Pandangan Riko berpinar-pinar. Belakang tubuhnya berasa kebas. Catherine telah menggunakan teknik tai-chi untuk meladeni Riko. Namun cara beliau adalah ganas yang agak kejam. Sungguhpun bersifat lemah-lembut dan penyabar, adalah buruk padahnya terhadap sesiapa yang membuatkan Catherine marah. Beliau meneliti lawannya yang masih terbaring kejang di atas jalanraya. Darah yang mengalir keluar dari mulut Riko menunjukkan bahawa dia telah mengalami kecederaan dalaman yang agak serius. Manakan tidak, sudah empat kali tubuh Riko terhempas dengan kuat di atas permukaan bertar tersebut. Tidak mungkin beliau dapat memulihkan dirinya dengan segera.
Catherine mengalihkan pula pandangannya ke arah Enbi. Lelaki kesayangannya masih tidak menguit. Gadis manis tersebut segera meluru ke arah Enbi untuk memeriksa keadaannya. Ternyata kecederaan Enbi amat berat sekali. Semangat membara Catherine spontan berganti dengan perasaan sebak.
“Enbi…” serunya dengan nada sayu bercampur cemas. Kepala Enbi dialaskan atas pehanya untuk mengelakkan darah berkumpul dan membeku pada saluran pernafasan. Dada lelaki pujaan hatinya berombak dengan nada yang tidak sekata. Catherine memeriksa denyutan nadi di pergelangan tangan Enbi. Mujurlah ritmanya stabil.
“Uhuk! Uhuk!” Pandangan Catherine kembali terarah kepada Riko. Tidak tersangka olehnya lelaki tersebut masih mampu bergerak. Tentu tubuh lawannya itu sudah terlatih untuk menerima pukulan dan hentakan yang berat. Patutlah Enbi gagal menumbangkan Riko. Api kemarahan kembali menjalar ke segenap tubuh Catherine. Perlahan-lahan beliau meletakkan kembali kepala Enbi di atas jalanraya lantas bangun dan mara ke arah Riko yang masih dalam keadaan berteleku.
“Kau juga polis bukan? Aku sudah menyerah diri. Kau tidak boleh memukulku lagi. Ianya menyalahi-
“Diam! Bangun!” Jerkahan Catherine mematikan celoteh Riko. Beliau bangun perlahan-lahan. Namun bibirnya sempat mengorak senyuman sinis.
“Cepat bangun!” jerkah Catherine seraya menyepak muka Riko hingga beliau jatuh terlentang.
“Betina celaka!” cerca Riko sambil bersusah-payah cuba untuk kembali bangun.
“Cepat bangun!” Satu lagi sepakan padu singgah ke muka Riko. Beliau kembali jatuh terlentang.
“Aduh! Kau sengaja…”
“Bangun!” Catherine seolah-olah tidak mendengar rungutan Riko tadi.
“Kau akan menendangku lagi.” protes Riko.
“Aku kata, BANGUN!!!” tengking Catherine. Dalam keadaan jerah-jerih akhirnya Riko berjaya berdiri. Itupun kerana Catherine tidak lagi menyerangnya. Riko berasa kaget ketika bertentang dengan mata lawannya yang amat bengis. Seni bertempur gadis di hadapannya itu ternyata amat hebat dan sukar dijangka pergerakannya.
“Garilah aku sekarang, polis betina!” ujar Riko seraya menghulurkan kedua-dua belah tangannya ke arah Catherine. Para penghuni kawasan perumahan yang berdekatan semakin bertambah ramai mendekati tempat pertarungan mereka. Suraya dan rakan-rakannya juga telah keluar daripada rumah untuk menyaksikan peristiwa yang berlaku dengan lebih dekat. Gaya pertarungan yang Catherine tunjukkan tadi amat menarik hati mereka.
Catherine tidak berkata apa-apa. Beliau sebaliknya membuat gaya akrobatik balik kuang. Tapak kaki kanannya yang dilunjurkan tepat menghentak ubun-ubun kepala Riko. Tubuh Riko membongkok seolah-olah terdorong untuk jatuh ke hadapan. Kaki kanan Catherine yang baru sahaja menginjak bumi kembali naik menghinggapi dagu lawannya. Riko melayang dalam keadaan balik kuang. Namun sebelum beliau jatuh terhempas, Catherine sempat menangkap tangan Riko, merentapnya ke belakang dan secepat kilat menghentaknya kembali ke hadapan.
KRAK-KRAK-KRAK!!!
“ARRRGGHHH!!!” pekik Riko selantang-lantangnya. Ketiga-tiga bahagian sendi pergelangan tangan, siku dan bahu kanannya telah terkeluar daripada soket; angkara Catherine tadi. Riko terhempas buat kali kelima di atas jalanraya. Tubuhnya menggeletak kesakitan. Memang zalim sekali perbuatan Catherine. Beliau terus-menerus mencederakan Riko sungguhpun lawannya itu telah menyerah kalah dan tidak lagi berdaya untuk bertarung.
“Itu adalah atas apa yang kau lakukan terhadap muka dan tangan Enbi sungguhpun beliau telah tidak sedarkan diri lagi.” maklum Catherine dengan nada dingin. Sedikitpun tiada belas di hatinya tatkala menatap wajah derita Riko yang berlinangan air mata.
“Sekarang aku akan balas kembali atas apa yang telah kamu lakukan terhadap perut dan rusuk Enbi pula.” ujar Catherine lagi seraya meliuk-liukkan kedua belah tangannya untuk menggandakan kekuatan Qi pada kedua telapak tangan. Pasir-pasir halus di sekelilingnya turut naik ke udara dan berpusar dengan agak ganas.
“Berhenti! Tolong berhenti. Aku sudah tidak berdaya untuk menentangmu lagi.” rayu Riko dalam erangan sakitnya.
“Aku jamin; kali ini usus kau pasti akan pecah dari dalam!” ujar Catherine tanpa mempedulikan rayuan lawannya.
“Jangan! Jangan! Ampunkan aku! Aku tak mahu mati!” pekik Riko dengan nada cemas. Tiba-tiba dadanya dihentak dengan keras oleh tapak tangan Catherine. Namun tiada sebarang kesakitan yang dirasainya. Sebaliknya Riko berasa seolah-olah ada suatu daya yang menolak kembali tubuhnya dari belakang. Tahu-tahu sahaja tubuhnya terangkat naik tinggi. Perutnya terasa seperti dicengkam oleh sesuatu.
‘Matilah aku!’ getus hati Riko yang erat memejamkan mata.
“Kak Catherine! BERHENTI!!!”
Catherine yang tersentak mendengarkan jeritan tersebut spontan melepaskan cengkamannya ke atas perut Riko. Pun begitu, tubuh lelaki tersebut kembali terhempas ke bumi buat kali keenam. Sakitnya bukan kepalang lagi. Namun sekurang-kurangnya beliau berasa lega kerana nyawanya tidak melayang. Seketika kemudian kesedaran Riko mulai menghilang. Beliau akhirnya pengsan di atas jalanraya.
“Nazrul…” Perkataan tersebut terpacul daripada mulut Catherine. Kelihatan Nazrul yang baru sahaja tiba di situ dalam keadaan tercungap-cungap. Adik Enbi memerhatikan kadaan sekeliling. Nyatalah semuanya telah berakhir. Tumpuan Nazrul terfokus ke arah Riko yang terbaring tidak sedarkan diri. Kemudian dialihkan pula ke arah Enbi.
“Abang ngah!!!” pekik Nazrul sambil berlari mendapatkan Enbi.
Catherine bergerak meninggalkan Riko. Beliau mendekati Nazrul yang kini memangku tubuh Enbi. Rasional kembali menguasai kewarasannya. Menyusul pula perasaan bersalah kerana beliau telah bertindak melampaui batas tadi.
“Kak Catherine! Kita mesti menelefon ambulans sekarang juga!” ujar Nazrul dengan nada cemas. Catherine yang bagaikan terkejut dari lamunan segera mengeluarkan telefon bimbitnya.
“Tak perlu. Bawa Enbi ke kereta saya. Lebih pantas kita ke hospital,” Pemilik suara tersebut adalah Donald; yang tadi telah menumpangkan Catherine ke situ. Telunjuk kanannya ditundingkan ke arah keretanya yang diparkir kira-kira 40 meter dari situ. Kelihatan Daryll turut hadir; menjaga kereta tersebut. Nazrul segera mendukung abangnya lantas terus berlari ke arah kereta Donald. Catherine ingin turut serta; namun beliau perlu menguruskan perihal Riko terlebih dahulu.
Daryll yang turut sama memerhatikan pertarungan yang menarik tadi dari jauh mengorak senyuman teruja. Tubuhnya seakan bergetar. Aksi-aksi Catherine benar-benar membuatkan jantungnya berdegup kencang. Buat pertama kali dalam hidupnya, Daryll dapat bertemu dengan seorang pakar tai-chi yang ganas seperti Catherine.
No comments:
Post a Comment