Sunday, March 7, 2010

MetroPolis 2010 - Bab 18

Topeng Musuh Terdedah


Dua hari kemudian :


“Hai Enbi… Nazrul!” tegur Catherine seraya meletakkan bekas makanan yang agak besar di atas meja makan. Catherine sempat singgah ke kondominium Enbi sebelum melaksanakan urusannya.

“Hai Kak Catherine. Wah! Pakai cantik-cantik ini mahu ke mana pula?” tanya Nazrul yang mula datang mendekati meja makan.

“Ala, kakak pakai cheongsam lama. Kejap lagi kakak mahu ke pementasan opera Cina. Jadi kenalah memakai pakaian tradisional pada malam ini.” balas Catherine. Nazrul memandang ke arah abangnya. Enbi pula memandang ke arah Catherine tanpa berkelip.

“Kakak masakkan nasi goreng untuk kamu berdua. Masih panas lagi. Marilah makan. Enbi, marilah makan.” pelawa Catherine seraya memandang ke arah Enbi. Enbi yang tersentak dengan renungan Catherine mula mengalihkan pandangannya ke arah lain.

“Hm. Sekejap lagi.” jawabnya. Matanya kembali merenung tele-holo.

“Saya nak pergi ke opera Cina. Sekarang mereka menggabungkan teknik pementasan manusia dengan hologram. Cantik, tau?” maklum Catherine kepada Enbi. Enbi memandang kembali ke arah sahabatnya itu.

“Okey.” balasnya seraya kembali memandang ke tele-holo. Catherine tersenyum tawar.

“Baiklah, kakak pergi dulu. Nazrul dan Enbi makanlah nasi goreng ini sementara masih panas, ya?” pesan Catherine sebelum beliau melangkah keluar. Tatkala pintu kondominium tertutup, baharulah Enbi memandang ke arah pintu tersebut.

“Bodoh.” Nazrul tiba-tiba bersuara.

“Hm? Kau ada kata apa-apa ke tadi?” tanya Enbi yang antara dengar dengan tidak apa yang diperkatakan oleh adiknya itu.

“Tak.” Jawab Nazrul. Pun begitu beliau sempat mengeluh kecil dan menggelengkan kepala. Entah mengapa Enbi begitu bodoh sekali tidak memahami maksud Catherine yang mahu mengajaknya menemani gadis ayu tersebut tadi.

***********************************************


“Kesan potongan adalah disebabkan oleh cahaya laser berkuasa tinggi dan mempunyai kepanasan yang melampau.” Remy termenung tatkala mendengarkan penerangan dari komputer. Lama beliau termangu sambil merenung skrim hologram tiga dimensi yang dijanakan hasil dari imej telefoto yang dirakamkan oleh satelit.

“Kalau tembakannya dari udara, bagaimana satelit boleh gagal merakamkan sebarang pesawat udara di situ?” rungut Remy. Beliau terus-menerus menapis imej satelit yang menjadi statik putih tatkala serangan dilancarkan ke atas anak buahnya pada malam kejadian. Remu masih meneliti rakaman video dari 13 buah kamera yang dipasang di bangunan berhampiran tempat kejadian. Kesemuanya menunjukkan pancaran-pancaran laser tersebut adalah datangnya dari udara.

“Toot! Imej satelit sekunder telah berjaya digodam. Mula memancarkan imej rakaman sekarang.” Rakaman dari satelit-satelit yang berhampiran benar-benar mengejutkan Remy.

“Mustahil…” ujarnya perlahan dalam nada penuh kebimbangan.

********************************************************


“Dia tidur lagi!” rungut Nazrul. Enbi ketawa kecil melihatkan Wigwam yang begitu sedap berdengkur di meja pertanyaan.

“Tapi semua kerjanya telah disiapkan dengan sempurna. Tengok, agenda kita yang dibincangkan semalam pun telah dicatatkannya di dalam diari pejabat. Nazrul, kau sepatutnya ke rumah Puan Asyikin untuk kes kucingnya yang hilang.” maklum Enbi sambil membelek diari pejabat mereka. Nazrul mengeluh kecil.

“Aku akan ke rumah Suraya dan rakan-rakan. Mereka telefon Chief (Wigwam) semalam semasa kita di restoran Cat. Entah coli siapa pula yang hilang semalam.” Komen Enbi dibalas dengan gelak besar daripada Nazrul. Wigwam pula semakin kuat dengkurannya.

“Eh! Aku tak tahu pula Cat ada temujanji dengan Donald.” ujar Enbi dengan nada kehairanan. Tentu Catherine mendapat panggilan dari Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat : Jabatan Remaja Bermasalah awal pagi tadi.

********************************************************


Lokasi : Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat : Jabatan Remaja Bermasalah.

“Selamat datang, cik Catherine. Silakan masuk.” pelawa Duali, salah seorang tenaga pengajar di pusat komuniti tersebut. Catherine berasa agak gementar kerana datang berseorangan sungguhpun mahir dalam seni mempertahankan diri.

“Minta maaf kerana tergesa-gesa minta cik datang ke sini. Encik Donald baru sahaja mendapat tahu sesuatu yang penting. Beliau berasakan bahawa perkara ini mungkin boleh membantu penyiasatan MetroPolis.” maklum Duali dengan nada sedikit teruja. Catherine antara dengar dengan tidak; asyik menumpukan perhatiannya ke arah sekumpulan remaja yang sedang berlatih seni mempertahankan diri.

“Biar saya cari encik Donald dulu. Cik Catherine tunggu di sini sebentar, ya?” saran Duali yang menyedari bahawa gadis molek tersebut lebih beminat dengan aktiviti yang berada di dewan besar tersebut. Catherine menganggukkan kepala; namun pandangannya masih terarah kepada latihan seni mempertahankan diri tadi. Kelihatan seorang remaja yang muda dan berbadan kecil sedang berlawan tanding dengan beberapa remaja yang lebih tua daripadanya.

“Mari; serang aku serentak.” cabar remaja tersebut. Tanpa bertangguh, remaja-remaja tadi terus menyerbu serentak bagaikan mahu membahamnya. Namun dengan begitu mudah beliau mengelak sambil kedua-dua tangannya menghentak dua orang penyerang tersebut di dada dan kepala. Malah secepat kilat juga remaja berfizikal kecil tersebut memutarkan tubuh seraya siku kanannya menghentak dagu seorang lagi penyerang. Dengan momentum putaran yang masih ada, beliau melonjak ke udara lantas menerjah dua orang lagi penyerang dengan kedua belah kaki. Aksi yang ditunjukkan oleh beliau bagaikan sekelip mata. Kini kelima-lima remaja yang menyerbunya tadi terbaring kesakitan di atas lantai.

“Hebatnya adik ini!” puji Catherine seraya bertepuk tangan. Remaja bertubuh kecil tadi hanya membalas komen tersebut dengan renungan serius. Langkahnya diderapkan ke arah Catherine.

“Kakak ini siapa?” tanya remaja tersebut. Gayanya agak kurang sopan. Pun begitu, Catherine masih mampu tersenyum tanda tidak berkecil hati.

“Kakak bernama Catherine. Anggota MetroPolis.” maklum Catherine dengan lembut. Remaja tadi masih enggan melirik senyum.

“Kakak tentu pakar dalam seni mempertahankan diri, bukan?” tanya remaja tersebut.

“Mengapa adik tanya begitu?” tanya Catherine.

“Gaya kakak berjalan seperti berjengket. Ia untuk memudahkan pergerakan apabila mengelakkan serangan hendap, bukan?” Komen remaja tadi membuatkan Catherine memandang ke bawah. Ternyata kedua kakinya telahpun sedia menjengket. Mungkin berlaku secara spontan tatkala dihampiri oleh remaja yang handal bertarung tadi.

“Pengamatan adik ini memang hebatlah! Sebenarnya kakak cuma tahu seni wushu dan taichi sikit-sikit. Cukuplah untuk menjaga diri sendiri.” Catherine nampaknya merendah diri untuk mengelakkan sebarang provokasi.

“Saya bernama Daryll. Saya harap kita boleh berlawan tanding suatu hari nanti.” Gaya percakapan remaja tersebut menunjukkan bahawa ternyata beliau mengetahui niat sebenar Catherine tadi. Catherine ketawa.

“Baiklah. Tetapi jangan terlalu serius, ya? Kasihanilah kakak.” balas Catherine. Masih merendah diri. Daryll akhirnya tersenyum; dan perbualan mereka nampaknya berakhir di situ apabila dirapati oleh Duali.

“Encik Donald ada di pejabat. Silakan, cik Catherine.” pelawa Duali.

“Jumpa lagi, Daryll!” ucapan Catherine hanya dibalas dengan reaksi dingin daripada remaja bertubuh kecil tersebut. Pun begitu, beliau tercegat seketika untuk memerhatikan kelibat Catherine yang meninggalkannya sehingga hilang.

********************************************************


“Minta maaf kerana lama menunggu. Saya menjawab panggilan penting tadi. Silakan duduk.” Donald seperti biasa menyambut tetamunya dengan wajah ramah-tamah. Catherine terus melabuhkan punggungnya ke kerusi empuk yang disediakan.

“Tak sangka encik Donald mempunyai seorang remaja yang berbakat seperti Daryll di sini.” puji Catherine tanpa mempedulikan kata-kata Donald tadi.

“Ah, Daryll! Kasihan dia itu. Semenjak kecil lagi beliau telah dianiaya oleh orang-orang dewasa, bermula daripada ibu bapanya. Itulah sebab beliau sukar untuk mempercayai orang dewasa kecuali kami di sini. Semasa kami mula-mula bertemu dengannya, beliau dipenuhi rasa kemarahan dan semangat memberontak yang meluap-luap. Mujurlah beliau dapat diselamatkan daripada terus terjerumus ke dalam kancah jenayah.” maklum Donald dengan nada yang agak emosional. Catherine hanya mengangguk sambil tersenyum tawar.

“Oh ya! Saya mempunyai satu maklumat penting yang saya rasakan dapat menolong MetroPolis dalam kes yang kalian siasat sekarang,” ujar Donald lagi seraya menghulurkan sekeping fail yang agak kusam kepada Catherine. Gadis molek itu menyambutnya dan terus membelek-belek dokumen di dalam fail tersebut.

“Itu adalah fail bekas pekerja kami. Namanya Riko. Beliau dulunya adalah seorang tenaga pengajar merangkap warden bagi pusat komuniti ini. Riko menjaga blok asrama remaja lelaki dan perempuan untuk mengelakkan berlakunya maksiat. Malangnya, harapkan pagar, pagar pula yang memakan padi. Riko telah diberkas oleh tenaga pengajar lain ketika cuba memperkosa seorang remaja perempuan. Serta-merta beliau dipecat dan dihalau dari pusat komuniti ini.” terang Donald dengan panjang lebar.

“Jadi apa kaitannya Riko dengan kes yang sedang kami siasat sekarang, encik Donald?” tanya Catherine.

“Enbi ada memberitahu saya bahawa kamu semua sedang menyiasat tentang kes kecurian pakaian dalam. Baru saya teringat bahawa ketika kami menyelongkar bilik Riko, kami telah menemui begitu banyak pakaian dalam remaja perempuan yang dicuri dan disembunyikannya. Saya rasa kemungkinan besar Riko ada kaitannya dengan kes siasatan MetroPolis.” jawapan Donald membuatkan mata Catherine membulat besar. Pun begitu, beliau masih membelek-belek fail tersebut.

“Eh! Alamat tetapnya berdekatan sahaja dengan rumah Suraya.” ujar Catherine dengan nada yang agak cemas. Hatinya tiba-tiba diserang petanda buruk.

“Menurut Duali, Riko masih lagi menetap di sana.” Kata-kata Donald tersebut membuatkan seolah-olah jantung Catherine berhenti berdegup. Spontan beliau mencapai telefon selularnya dan mendail nombor Enbi. Namun tiada sebarang jawapan. Pasti Enbi meninggalkan telefon selularnya di dalam kereta seperti selalu. Catherine mengambil keputusan untuk mendail nombor Nazrul pula.

“Hello kak Catherine.”

“Nazrul! Cepat ke rumah Suraya. Enbi mungkin di dalam situasi bahaya!” arah Catherine dengan nada cemas. Petanda buruk kian bertalu-talu bertampuk di sanubarinya.

********************************************************


“MetroPolis celaka! Tak sangka kau datang menyerahkan diri kepadaku!”

Enbi agak keliru dengan pernyataan lelaki di hadapannya itu. Entah mengapa tiba-tiba beliau dikekang daripada memasuki kawasan rumah Suraya.

“Kau ini abang kekasih Surayakah?” tanya Enbi secara serkap jarang.

“Ceh! Kau tak ingat rupanya! Baiklah; biar aku ingatkan kamu!” Serentak dengan itu lelaki tadi terus melayangkan kaki kanannya ke arah kepala Enbi. Mujurlah dengan pantas Enbi mengelit untuk mengelakkannya. Menyusul pula beberapa peninju kencang ke arahnya. Sungguhpun agak kelam-kabut, Enbi masih berjaya menangkis kesemua serangan ke atasnya. Pun begitu, beliau mengambil keputusan untuk melompat ke belakang bagi memperkemaskan langkahnya.

“Hebat! Kau dah makin cekap sekarang!” puji lelaki tersebut seraya ketawa terbahak-bahak.

“Rupa-rupanya kau ini si pencuri pakaian dalam!” ujar Enbi. Hatinya kini dihurung dengan perasaan gementar; namun bergaul dengan perasaan dendam yang membara.



- bersambung -


1 comment:

reza said...

alaaaa sikitnyer....panjang kan sikit aa bro...br syok baca...nak tunggu entry baru makan tahun..ahaks...:p