“Disco Inferno, nampaknya kau benar-benar telah mengecewakan Tuan Tai-Pan. Kau telah menyebabkan orang-orangnya terbunuh. Ini adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima oleh Tuan Tai-Pan!” Remy meriakkan wajah cemasnya di hadapan imej holografik yang dipancarkan oleh alat telekomunikasinya.
“Tunggu dulu Penguasa Fong. Don bukanlah calang-calang orang. Beliau telah memperdayakanku untuk berjumpa dengannya dan dalam masa yang sama menghantar pembunuh untuk menyerang tempat penghantaran kita. Aku mengesyaki ada orangku atau orang Tai-Pan sendiri yang mengkhianati kita.” maklum Remy dengan nada tertekan.
“Salah kau juga. Mengapa kau tidak menghantar pasukan elitmu untuk menjaga keselamatan penghantaran ufti tersebut dan sekaligus nyawa orang-orang Tai-Pan?” tanya imej holografik yang dipanggil sebagai Penguasa Fong oleh Remy tadi.
“Aku telah memeriksa imej satelit-satelit yang dapat kugodam tadi. Orang-orang kita kesemuanya telah dibunuh dengan pancaran laser dari alat-alat pengimejan holografik yang bertebaran di ruang udara kita ini.” maklum Remy yang tidak seperti menjawab soalan tersebut.
“Maksud kau, alat-alat pengimejan yang digunakan untuk pengiklanan di ruang udara? Mustahil! Ianya hanyalah memancarkan imej hologram tiga dimensi sahaja. Mana mungkin ia boleh membunuh orang!” bentak Penguasa Fong dengan nada tidak percaya.
“Aku pun pada mulanya berasa tidak percaya. Peralatan pengimejan pengiklanan hanya menyerakkan imej cahaya tiga dimensi di ruang udara dan tidak mampu mencederakan sesiapa. Namun sekiranya alat pengimejan tersebut memancarkan imej cahaya lurus yang tertumpu pada suatu titik sahaja, ianya mampu menjanakan haba yang amat tinggi dan mampu mengerat dan membakar apa sahaja. Penguasa Fong, nampaknya Don telah menghantar individu elit yang bergelar Algojo untuk membunuh orang-orang kita. Orang-orangku yang terbunuh itu kesemuanya adalah pasukan elit yang amat terlatih dan berpengalaman. Itu sebabnya aku menghubungi kalian. Aku dapat berasakan bahawa kedudukan kalian juga dalam bahaya!” pertjelas Remy dengan panjang lebar yang akhirnya sekaligus menjawab persoalan Penguasa Fong tadi. Pegawai utama kumpulan Tai-Pan bungkam seketika.
“Aku pernah mendengar serba-sedikit tentang pasukan Algojo milik Don. Tapi aku ingatkan ianya hanyalah mitos sahaja.” ujar Penguasa Fong.
“Tidak benar. Algojo milik Don sememangnya wujud. Terdapat empat orang Algojo menurut risikanku dan mereka ini hebat-hebat belaka. Tapi aku ketahui hanyalah dua sahaja iaitu Serigala Angin dan Tiga Elemen. Algojo Serigala Angin adalah pakar dalam ilmu qigong dan seni mempertahankan diri. Algojo Tiga Elemen pula adalah pakar dalam memanipulasikan elemen api, bunyi dan petir. Aku mengesyaki seorang lagi Algojo telah dihantar untuk memusnahkan operasi kita. Namun aku masih tidak jelas akan kekuatan dan kuasanya. Setakat yang aku ketahui ialah beliau mampu memanipulasikan peralatan elektronik seperti satelit dan alat pengimejan hologram.” perjelas Remy dengan panjang lebar sekali lagi. Penguasa Fong terdiam dengan agak lama mendengarkan kata-kata tersebut.
“Baiklah! Aku pasti Tuan Tai-Pan mahukan penjelasan lebih lanjut daripada mulutmu sendiri. Aku akan tetapkan tarikh pertemuan kita untuk menyelesaikan masalah ini. Namun aku berharap agar kau tidak lagi memberitahu sesiapa walau anak buahmu sekalipun tentang perkara ini. Dan berkemungkinan Tuan Tai-Pan hanya mahu kau sahaja yang datang untuk berjumpa dengannya atas sebab-sebab keselamatan.” maklum Penguasa Fong dengan nada yang mulai dilunakkan. Remy menarik nafas kelegaan. Nampaknya masih ada sinar harapan untuk beliau kali ini.
“Bagaimana, MetroPolis jahanam? Boleh bertahan lagikah?”
Pertanyaan Riko yang berbaur ejekan tersebut benar-benar menyakitkan hati Enbi. Namun pada masa yang sama beliau turut akur akan kehebatan lawannya itu. Lengan kirinya berasa amat sakit sekali. Sepakan kencang daripada Riko yang ditangkisnya benar-benar berbisa. Jika terkena mukanya tadi, pasti beliau akan tumbang.
“Mari kita bermain lagi.” Serentak dengan itu Riko mula menumbuk dan menendang secara bertubi-tubi ke arah segenap tubuh Enbi. Beberapa serangan berjaya dielak oleh Enbi. Selebihnya terpaksa ditangkis dengan tangan.
“Serangannya pantas. Tapi tak bertenaga.” ujar Enbi dalam hati. Secara tidak semena-mena dadanya diterjah dengan tendangan yang cukup bertenaga daripada Riko. Enbi terhumban ke belakang dan jatuh berguling-guling.
“Haha! Tentu kau sudah cedera parah kali ini!” Riko begitu gembira sekali kerana berjaya mengalahkan Enbi dengan begitu pantas. Kujur tubuh lawannya itu langsung tidak menguit di atas jalanraya. Pasti beliau telah pengsan. Riko segera merapati Enbi untuk membereskannya.
“Nak berlawan denganku? Tunggulah seratus tahun lagi!” ejek Riko seraya ketawa berdekah-dekah dengan kejayaannya.
“ZRASS!!!” Tiba-tiba pandangan Riko diselubungi dengan partikel debu. Namun dengan pantas dan spontan kedua-dua tangannya menutup muka. Rupa-rupanya Enbi hanya berpura-pura pengsan. Apabila Riko merapatinya, Enbi dengan pantas melemparkan segenggam serbuk besi yang dibawa bersama ke arah muka Riko. Dalam keadaan lawannya yang kelam-kabut itu, Enbi segera mengeluarkan sebatang cota kayu yang tersisip di pinggang dan dengan sekuat-kuat hati memukul kepala lutut kiri Riko.
“ARRRGHHH!!!” Melolong Riko apabila kepala lututnya diperlakukan sebegitu rupa. Spontan beliau berteleku untuk memegang bahagian anatomi yang telah dipukul oleh Enbi tadi. Enbi pula bingkas bangun.
“Mampus!” Serentak dengan itu Enbi menghayun cota kayunya ke kepala Riko pula. Suatu bunyi rekahan kedengaran disertai dengan percikan darah ke udara.
Buat kesekian kalinya Nazrul telah menghempaskan tapak tangannya ke hon kereta. Namun ianya tidak begitu membantu untuk meredakan kesesakan lalulintas yang dialaminya di Jalan Ashby. Hatinya benar-benar bimbang.
“Jahanam! Apa hal pula boleh sesak di sini?” pekik Nazrul lantas terus keluar daripada keretanya. Pasti ada berlaku sesuatu di hadapan. Dari jauh kelihatan sebuah lori telah terbalik dan merintangi jalan. Pasti pengimbang graviti tidak berfungsi dengan baik kerana sudah lama tidak diservis. Sekonyong-konyongnya Nazrul terdengar telefon tangannya berbunyi.
“Hello?” Nazrul gagal mengecam nombor si pemanggil. Pun begitu hatinya kuat memberitahu bahawa ianya panggilan penting.
“Nazrul, ini Donald dari Pusat Komuniti Remaja Bermasalah. Saya bersama Catherine sekarang. Kami dalam perjalanan ke kawasan perumahan cik Suraya. Awak di mana sekarang?” maklum si pemanggil.
“Saya di Jalan Ashby. Jangan lalui menghala ke sini, Donald. Di sini sekarang sedang mengalami kesesakan lalulintas yang sangat teruk.” maklum Nazrul pula.
“Baiklah. Terima kasih. Kita berjumpa di sana.” saran Donald.
“Baiklah.” akur Nazrul sebelum mematikan panggilan tersebut. Sayup-sayup di hadapannya kesesakan lalulintas masih belum mahu surut. Nazrul menggaru-garu kepalanya.
Enbi hanya memerhatikan sahaja keadaan Riko yang terhuyung-hayang bahana dibelasah dengan cota tadi. Malah sempat juga beliau mengerling ke arah cota yang masih digenggam erat. Cota tersebut yang diperbuat daripada kayu penyapu telah terpatah dua. Dada Enbi berasa pedih. Namun jaketnya yang agak tebal telah berjaya mengurangkan kuasa pemusnah tendangan Riko. Tambahan pula beliau turut melonjak ke belakang tatkala tendangan lawannya menerjah di dada. Dengan cara yang diajarkan oleh David Zhang, Enbi telah berjaya mengurangkan kuasa tendangan tersebut sehingga ke tahap 40 peratus.
“Lemah betul kayu penyapu ini. Lain kali aku tak boleh kedekut lagi. Aku kena beli cota yang sebenar!” getus hati Enbi. Pun begitu, cota buatan sendiri tersebut telah berjaya mencederakan Riko dengan agak teruk sekali. Pasti kini otot tempurung kakinya mulai membengkak dan akan menyukarkan pergerakan serta serangan kakinya. Bahkan mungkin juga otaknya bergegar akibat pukulan yang begitu keras tadi. Ia juga mampu menjejaskan keseimbangan serta daya penanggapannya. Boleh dikatakan kini Enbi telah berjaya menguasai situasi pertarungan.
“Jahat! Celaka! Kau menggunakan taktik kotor!” cerca Riko yang masih dalam keadaan berpinar-pinar. Beberapa batang giginya telah patah. Mulutnya bersememeh dengan darah. Pipi kirinya mulai naik bengkak. Serbuk besi yang dicampakkan oleh Enbi ke mukanya telah berjaya mengalihkan perhatian Riko yang menyebabkan pertahanan beliau terlerai. Akibatnya adalah sangat buruk. Kini beliau seolah-olah kehilangan 40 peratus kuasa optimumnya.
“Hei, ini bukan pertandingan karate peringkat Olimpik. Ini adalah pertarungan sebenar yang menentukan hidup dan mati kita. Segala taktik dan teknik yang digunakan dalam pertarungan ini adalah sah dan boleh digunakan. Matlamat pertarungan ini adalah untuk menentukan siapa kuat dan siapa lemah; siapa hidup dan siapa mati; bukannya untuk mengutip pingat emas atau pingat perak!” tempelak Enbi; mengulangi kata-kata David Zhang yang menjadi mentornya.
Riko bungkam. Kata-kata tersebut sememangnya benar. Beliau yang telah bertahun-tahun mempelajari seni kick-boxing selama ini rupa-rupanya tidak memahami konsep antara pertarungan latihan dan yang sebenar. Dalam keadaan lawannya yang agak keliru tersebut, Enbi senyap-senyap membuka butang beg uncang kecil yang tersisip di talipinggangnya.
“Enbi!” panggilan lunak tersebut menyebabkan Enbi teralih tumpuan. Beliau memandang ke arah rumah Suraya. Empunya suara tersebut adalah Suraya. Enbi terpaku seketika. Ini adalah kerana Suraya memakai baju-T yang sendat dan berseluar pendek. Terserlah bentuk kakinya yang panjang, licin, putih lagi gebu tersebut. Permandangan di hadapan mata Enbi adalah begitu menarik sekali.
“Sial!” ujar hati Enbi sebelum mengalihkan perhatian ke arah Riko pula. Namun ianya sudah terlambat. Peninju Riko telahpun singgah ke mukanya. Mujurlah Enbi sempat menangkis lengan lawannya untuk mengurangkan kuasa tumbukan. Tindakannya itu berjaya mencapai matlamatnya. Tumbukan Riko hanya menyakitkan pipinya tetapi tidak mengganggu keseimbangannya. Tambahan pula Riko menyerangnya dalam keadaan yang masih lemah. Kuasa tumbukannya tentulah juga tidak sekuat mana. Menyusul pula tumbukan kiri Riko ke rusuk kanan Enbi. Enbi yang kali ini telahpun nampak akan susulan serangan tersebut mengambil keputusan untuk meloncat kecil ke belakang. Riko enggan memberi ruang kepada lawannya. Beliau terus menyerbu untuk merapati Enbi agar lawannya tidak sempat menggunakan sebarang senjata lagi.
Akan tetapi Riko tidak mengetahui bahawa Enbi sebenarnya telah memasang perangkap untuknya. Enbi melonjak lagi ke belakang untuk mendapatkan ruang yang masa yang sesuai. Riko masih lagi menyerbu dengan hunjaman tinjunya. Lonjakan kali ketiga Enbi kali ini adalah ke sebelah kiri pula dan bukannya ke belakang. Riko yang masih menyerbu arah lurus sperti sebelumnya kali ini telah tersasar serangan. Jaraknya dengan Enbi telah menjadi jauh. Ini bermakna Ebi telah memperolehi ruang dan masa untuk memerangkap lawannya.
Riko berpusing dan kembali menyerbu ke arah Enbi. Namun sebelum sempat beliau merapati lawannya, Enbi secara tiba-tiba meludah ke arah muka Riko. Dengan jarak yang sebegitu jauh di antara mereka, amat jelas pada penglihatan Riko akan air kahak Enbi yang menuju ke arah mukanya. Spontan Riko menutup mata kerana terselit perasaan jijiknya. Namun tindakan tersebut adalah suatu kesilapan besar. Enbi dengan pantas meloncat ke sebelah kiri dan dengan sekuat-kuat hati menendang lutut kiri Riko yang telah sedia tercedera. Tangan kanannya yang masih memegang kayu cota patah tadi ditikamnya pula dengan sepenuh kekuatan ke arah rusuk muda Riko.
Riko berguling-guling ke tanah menahan kesakitan. Pesanan mentor Enbi agar terus menyerang bahagian yang cedera dan lemah telah membuahkan hasil. Lawannya pasti akan mengambil masa yang agak lama untuk mengatasi kesakitannya kali ini. Kesempatan ini digunakan oleh Enbi untuk mengalihkan perhatian ke arah Suraya dan rakan-rakannya yang mula berkumpul di halaman rumah. Enbi terkaku seketika. Kesemua gadis tersebut memakai hot pants. Imej kaki mereka yang seksi kini memenuhi ruang otak Enbi.
“Hoi! Lain kali janganlah berpakaian begitu! Susahlah aku nanti, tahu?” pekik Enbi. Gadis-gadis tersebut berpandangan sesama sendiri; menandakan mereka tidak memahami apa yang cuba Enbi sampaikan.
“Suraya! Telefon Nazrul. Beritahu dia aku sedang berlawan dengan pencuri pakaian dalam kamu semua. Minta dia telefon Catherine juga.” arah Enbi. Terbeliak mata Suraya dan rakan-rakannya tatkala mengetahui bahawa lawan Enbi adalah pencuri pakaian dalam mereka.
“Pergi sekarang! Kamu semua juga pergi masuk! Di luar ini keadaannya masih berbahaya!” pekik Enbi. Kesemua model muda tersebut bingkas meluru masuk ke rumah. Entah sama ada mereka takutkan Riko ataupun raut muka Enbi yang begitu bengis sekali.
“Yang lain-lain pun masuklah ke rumah juga. Orang ini sangat berbahaya, tahu?” pekik Enbi ke arah jiran tetangga di sekitar kawasan tersebut yang begitu seronok menyaksikan adegan pergaduhan tadi. Namun cuma beberapa orang sahaja yang akur. Yang lain-lain masih tidak berganjak.
“Celaka! Degil!” maki Enbi dalam hati. Beliau tahu bahawa mereka menyangkakan bahawa beliau telah menang dan berjaya menguasai pertarungan ini. Namun mereka semua tidak mengetahui keadaan pertarungan sepertimana yang beliau ketahui semenjak berlatih seni Shinkuai. Riko adalah seorang pengamal seni bela diri yang telah lama berkecimpung dalam dunia sepak terajang ini. Badannya telah menjadi sangat mantap dan tahan lasak terhadap sebarang pukulan. Kecederaan yang dialaminya mungkin teruk, namun tubuh Riko yang tahan lasak tentu mampu mengatasinya. Kekuatan Riko mungkin akan kembali pulih pada tahap 85 peratus. Angka tersebut bukanlah suatu berita yang baik untuk penarung amatur seperti Enbi.
Enbi berharap agar Nazrul dan Catherine akan segera sampai. Pukulan-pukulan Riko ke atas tubuhnya memang mantap dan berisi. Begitulah besarnya perbezaan tahap mereka sekarang. Kesakitan mulai berdenyut-denyut di lengan kiri, muka dan dadanya. Jika tidak kerana latihan intensif yang dijalaninya, sudah tentu Enbi akan pitam sekarang. Pun begitu, pandangannya telah mulai berkunang-kunang.
Enbi benar-benar berharap agar Nazrul dan Catherine segera sampai!
No comments:
Post a Comment