“Nah.” Aku terpaku merenung air teh O ais limau yang diunjukkan oleh mak cik brutal. Wanita yang pada agakanku dalam lingkungan 50’an kemudiannya duduk menghadapku. Akal rasionalku cuba membuat puluhan taakul tentang niat dan tindak-tanduknya yang tiba-tiba mahu berbual denganku. Tapi yang lebihnya ialah aku terfikir mengapa tak dihidangkan kuih sekali? Sebagai bonus friends and family, aku juga terfikir bahawa mak cik brutal ni mahukan apa dariku. Aku ni warga kebanyakan yang santai aje, bukannya anak menteri. Entah-entah bapakku dapat darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri semalam, tak? Oh… sampai hati bapak tak bagitau aku tentang hal gilang-gemilang ini. Eh! Fokus! Fokus!
“Mana mak cik tau saya suka teh O ais limau?” tanyaku. Selain ice lemon tea, itulah minuman yang aku kerap teguk.
“Kamu selalu order, tentulah mak cik tau.” jawabnya.
“Tak sangka mak cik ingat.” komenku. Entah-entah mak cik brutal sebenarnya menyimpan perasaan terhadapku juga, tak? Tak pun aku ni anaknya yang hilang semasa rusuhan penunjuk perasaan kumpulan baju kuning di Thailand.
“Mak cik ingat setiap makanan dan minuman kegemaran student-student yang datang ke sini. Mana mungkin mak cik tak tau?” jawabnya. Biar benar… Mak cik brutal ni pun ada memori fotografik juga ke? Namun aku mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan isu tersebut ke parlimen. Terus saja kusedut minuman pemberian mak cik brutal tadi.
“Kenapa dengan kamu, Arif?” Tiba-tiba mak cik brutal menyuarakan pertanyaan yang pelik pada telingaku. Lagipun makin pelik bila dia tau nama aku. Tapi mungkin juga tak pelik sebab aku, Nizam, Wadi dan Adrina kerap sangat menghabiskan masa kami berbuat bising di kafeterianya setiap hari.
“Apa maksud mak cik?” tanyaku kembali.
“Mak cik selalu perhatikan kamu dan Adrina. Sejak kebelakangan ni mak cik tengok kamu macam bersedih saja. Dan kerap sangat kamu duduk menyendiri kat sini walaupun kawan-kawan kamu dah balik. Kamu ada masalah ke?” tanyanya. Buat seketika aku bungkam. Mak cik brutal pula begitu setia menunggu jawapan dari mulutku. Baik aku cepat jawab. Kang buatnya dia hilang sabar, mau terbakar wajah ayuku terkena sinaran laser ungu pembakar dunia dari kedua biji matanya. Aku menghela nafas dalam-dalam dan kemudian melepaskan satu keluhan berat.
“Sebenarnya saya baru aje sedar yang saya jatuh hati kat Adrina.” ujarku sebagai mukaddimah.
“Dia tak terima kamu?” tanya mak cik brutal. Aku menggelengkan kepala tanda menidakkan taakulan tersebut.
“Dia tak tahu pun.” jawabku.
“Kenapa kamu tak bagitahu dia? Kamu takut?” tanya mak cik brutal lagi. Memang la tak salah kami panggil makcik ni sebagai mak cik brutal. Bertanya pun punya la terus terang macam samseng pecahkan botol nak ajak gaduh. Entah-entah kat belakang kafe ni ada motorsikal Harley dia dengan rantai besi terpalit darah yang terlilit kat handle-bar.
“Kamu tengok apa tu?” tanya mak cik brutal tiba-tiba setelah dilihatnya aku tercangak-cangak memandang ke arah belakang kafeteria. Aku segera menggelengkan kepala.
“Adrina sebenarnya nak berhenti belajar kat sini. Dia nak ikut bapak dia ke Itali. Mungkin tiga empat tahun duduk di sana. Kalau saya bagitau yang saya jatuh hati kat dia, mungkin dia tak mau ikut bapak dia.” jawabku pada pertanyaannya sebelum ini.
“Dia sukakan kamu juga ke?” tanyanya lagi.
“Rasanya ya. Dia pernah bagitau dulu.” jawabku.
“Tapi kamu tetap mahu dia pergi?” tanyanya. Aku menganggukkan kepala.
“Walaupun saya sangat sayangkan dia dan tak sanggup tengok dia pergi, tapi saya tetap mahu dia pergi demi kebaikan dia.” jawabku. Entah kenapa tiba-tiba terasa air mataku mulai bergenang.
“Bertuah Adrina dapat orang macam kamu ni. Bodoh tapi sangat baik.” komen mak cik brutal. Aduss… bisa betul pernyataannya itu. Kalau tak kerana teh O ais limau, mau aku karate budokan tujuh belas Dan kat dahi kedut berlapis mak cik brutal ni.
“Arif, mak cik faham apa yang kamu inginkan. Tapi pernah tak kamu fikir apa yang Adrina inginkan?” tanyanya pula. Soalannya itu membuatku tergamam seketika.
“Apa yang Adrina inginkan?” tanyaku kembali. Mak cik brutal mengangguk.
“Adrina tentu mahukan kepastian tentang perasaan kamu pada dia. Dia tentu sangat sedih kalau dia pergi tanpa tahu sama ada kamu cintakan dia atau tak. Dia tak akan tahu sama ada untuk terus setia kepada kamu atau teruskan hidupnya di sisi orang lain. Kamu sepatutnya bagitahu dia perasaan kamu tu. Kemudian biar dia yang buat keputusan sama ada mahu ikut bapa dia atau terus tinggal di sini. Jangan memandai nak tentukan apa yang dia mahu dalam hidup dia.” Terpaku aku mendengarkan teguran dan nasihat mak cik brutal. Agak lama kami mendiamkan diri. Aku menyedut minumanku sehingga selesai.
“Hari ni mak cik belanja kamu minum. Lain kali kena bayar.” maklum mak cik brutal seraya mengambil gelas kosongku dan bangun meninggalkanku dalam keadaan terpinga-pinga. Aku hanya memerhatikan sahaja mak cik brutal yang kini mencuci gelasku tadi. Seketika kemudian aku pula bangun dan mendekatinya.
“Mak cik…”
“Hm? Nak minum lagi?” tanya mak cik brutal. Aku menggelengkan kepala.
“Saya cuma nak tau nama mak cik.” jawabku. Mak cik brutal terpaku seketika. Kemudian beliau tersenyum.
“Rodiah. Nama mak cik Rodiah.” maklumnya.
“Terima kasih, mak cik Rodiah. Saya jugak nak minta maaf sebab selama ni kami panggil mak cik dengan nama mak cik brutal.” ujarku.
“Beru… berutal tu apa?” tanyanya.
“Aaa… lebih kurang maknanya ialah ganas. Sebab mak cik-” Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, mak cik Rodiah tertawa besar. Inilah pertama kali aku melihatnya tertawa. Aku mahu membiarkan mak cik Rodiah menghabiskan tawanya, namun akhirnya aku juga turut tertawa sama.
“Muka mak cik ni memang nampak garang dan ganas, kan?” tanyanya setelah tiba ke ekor tawanya. Aku mengangguk. Sekali lagi mak cik Rodiah tertawa. Aku juga turut tertawa. Dalam hatiku sebenarnya bersyukur ke hadhrat Illahi sebab tak dihentak dengan kepala cangkul olehnya. Tidak… sebenarnya hatiku bersyukur kerana mendapat pedoman dari Illahi melalui mak cik Rodiah.
Beberapa hari kemudian, aku mulai dapat berbual secara normal dengan Adrina. Namun sesekali apabila beliau menyentuhku jantungku pasti akan berdetak keras. Aku mencuri-curi peluang untuk berbual secara serius dengannya dan mencurahkan isi hatiku mengikut apa yang dicadangkan oleh mak cik Rodiah. Namun ada saja la halangan pagar trek balapan untukku berbuat demikian.
“Apabila pihak pendakwaraya telah mengemukakan semua saksinya, maka kedua-dua pihak pendakwaraya dan peguambela tertuduh akan membuat penghujahan. Sekiranya pihak pendakwaraya berjaya membuktikan kesnya, maka hakim akan memutuskan wujudnya prima facie di dalam kes pendakwaraya. Hakim tersebut akan mengarahkan pihak tertuduh untuk membela diri dan mengemukakan kesemua saksinya. Namun jika pihak pendakwaraya gagal membuktikan kesnya, hakim akan terus membuang kes tersebut dan melepaskan si tertuduh tadi.” Ketika aku sedang begitu khusyuk mendengar pengajaran Puan Faridah, tiba-tiba bahuku dicuit. Siapa pulak la yang nak jadikan aku imam pulak ni? Aku bukannya tengah solat, bodoooh… Ha! Cuit lagi. Ooo… agaknya nak suruh aku pandang ke belakang kot! Aku menoleh untuk memastikan siapakah yang ingin malaaaikatul mauuut menjemputnya pergi di awal pagi ini. Rupa-rupanya si Wadi. Nasib baik la sahabat baik aku dunia akhirat yang mencuit.
“Nah.” ujar Wadi dengan perlahan sambil mengunjukkan secebis kertas kepadaku. Aku dapat mengagak pasti ianya daripada Adrina. Aku segera membaca tulisan yang tercatat pada kertas tersebut.
‘Rina nak jumpa Arip. Tunggu Rina di kafe, ok?’ Begitulah isi kandungannya lebih kurang. Hatiku berasa teruja. Namun resah pada masa yang sama. Tak payah tulis nota atau batu bersurat Terengganu pun kami pasti akan melepak di kafeteria. Kenapa mesti beria-ia nak berpesan-pesan dengan kesabaran pulak? Aku menoleh ke arah Adrina. Beliau kelihatan ralik mencatat syarahan Puan Faridah. Namun senyuman melirik lebar di bibirnya.
“Mana Rina?” tanya Nizam setelah melihat hanya aku seorang melenggang. Ketika ini hanya kami berdua yang berjalan beringingan. Wadi masih besembang mesra dengan Norazwa. Adrina pula lesap entah ke mana selepas habis kuliah tadi.
“Aku pun tak tau. Dia mintak kita tunggu di kafe.” maklumku.
“Wadi! Kami nak ke kafe! Kau nak ikut tak?” teriak Nizam ke arah Wadi.
“Kejap lagi!” teriak Wadi pula. Bertempik-tempik sahabat-sahabatku ini macam Tarzan nak pinjam cawat. Malu betul! Tiba-tiba Puan Faridah keluar dari bilik kuliah. Terkedu Nizam dan Wadi.
“Saya ingat Tarzan ada di luar tadi.” sindirnya. Ha! Kan aku dah kata! Para penuntut yang masih berada di perkarangan bilik kuliah terus mentertawakan Wadi dan Nizam. Aku la lebih-lebih lagi. Sampai nampak halkum jantan keberetku sekali. Namun hidup ini perlu diteruskan. Jadi aku dan Nizam tetap bepergian ke kafeteria sungguhpun sekali-sekala kami bertembi sesama sendiri.
“Mana Rina ni?” sungut Nizam setelah hampir setengah jam kami menunggu di kafeteria. Wadi baharu sahaja menyertai kami tanpa buah hatinya di sisi. Jadi beliau tidaklah berasa jemu sangat seperti kami.
“Kamu nak minum lagi, Arip?” Tiba-tiba mak cik brutal… eh! Rodiah berteriak kepadaku.
“Mak cik Rodiah; buatkan saya teh O ais limau satu, ya?” pintaku. Nizam dan Wadi berpandangan.
“Ro… Rodiah? Mak cik brutal tu namanya Rodiah? Bila pulak kamu jadi anak angkatnya, Rip?” tanya Nizam. Ha! Bangganya aku! Walaupun Nizam yang selalu bersembang dengan mak cik Rodiah selama hari ni, namun aku juga yang tau siapa nama sebenarnya.
“Haha! Apa macam? Kagum tak-” Keangkuhanku nampaknya tidak bertahan lama kerana akhirnya aku ternampak kelibat tubuh Adrina yang menuju ke arah kami…. bersama Shaleen!
4 comments:
ooo nama makcik berutal tu rodiah ek...tu laaa len kali dun nilai the buku by its kulit...hehehe....oro...adrina bawak shaleen...wah wah wah menarik nieh....
mntap tegap n seksi macam shaleen..haha..shaleen kaco lampu hijau plak...camna arip nak cakap...?mesti gagap confirm
awatla rasa sunyi sepi ja ni...!!!
semua kena cirit birit ker???
Post a Comment