Saturday, May 23, 2009

Emo Hero Bab 42

Emo Hero Bab 42



“Train wreck! Train wreck!”

“Lu diam la, butoooh…” ujarku sebagai membalas usikan Nizam. ‘Train wreck’ dalam konteks usikannya ialah malapetaka yang menimpaku sekarang. Mana taknya. Aku mencintai Adrina sebelum ini. Tapi lepas tu jatuh cinta pulak pada Shaleen. Alih-alih jatuh cinta balik pada Adrina. Sekarang kedua-dua gadis tersebut berada di hadapanku. Memang malapetaka!

“Arip jangan la panik. Rina baru-baru ni call Shaleen untuk truce. Sekarang kami dah berbaik. Jadi kami saja nak buat surprise kat Arip.” maklum Adrina. Aku dah memang surprise maut dah ni. Rasanya malaikat Izrail pun ada duduk kat sebelah aku ni.

“Peace and love, man!” ujar Shaleen pula. Sambil tu buat lambang peace dengan gaya ala-ala Bangla yang jinak dan comel. Ceh!

“Jadi korang betul-betul la dah berbaik sekarang?” tanya Wadi.

“Betul la. Kenapa pulak tanya macam tu?” tanya Adrina kembali.

“Bukan apa, kalau korang dah berbaik senang la Arip.” jawab Wadi. Senyuman mulai terukir di bibirnya. Aku pula mulai berasa tak sedap hati.

“Arip senang? Apa maksud you?” tanya Shaleen.

“Senang la Arip berpoligami!” Sebaik sahaja berkata demikian, Wadi dan Nizam tertawa terbahak-bahak sampai nak tercabut anak tekak. Aku pun sebenarnya nak menyertai tingkah laku yang tidak disenangi oleh Allah tersebut. Tapi aku takut nanti kena serang pulak dek persatuan kaum ibu tunggal zon Simpang Halt.

“Kamu ni memang jahat la Wadi! Setaaan!” maki Adrina seraya menembi bahu Wadi beberapa kali. Uih! Boleh tahan padunya penembi si Adrina ni. Mujur la aku hanya kena sepit ketam masak tiga rasa setakat ini. Kalau kena penembi macam itu, mau tak berbulu sebelah ketiakku barang sepurnama.

“Kamu tak marah ke Leen?” tanya Adrina setelah dilihatnya Shaleen bermuka selamba aje.

“Kenapa harus marah? Okeylah tu. Lebih baik jadi bini bernombor kedua dari jadi mistress.” jawab Shaleen. Kami serentak ketawa terbahak-bahak sekali lagi. Kali ini aku pun turut berserta. Kalau la mendiang Abu Jahal masih hidup, tentu dia berbangga melihat cara kami ketawa. Adrina yang berasa geram terus mencubitku sekuat-kuat hati. Aku mengaduh. Namun pada masa yang sama otakku berprasangka bahawa kemungkinan besar Adrina berasa cemburu. Mataku sempat melirik ke arah Shaleen. Amoi tersebut ternyata juga sedang memandangku bersama senyuman yang tersulam dengan makna yang diketahui hanya oleh kami berdua.

“Anyways… Kenduri mama Rina akan berlangsung Sabtu ni. Jadi korang semua kena datang, okey? Leen pun kena datang. Wadi, nanti ajak Wawa datang sekali, ya?” Bunyi Adrina seolah-olah memujuk. Beria-ria benar nampaknya beliau mahu berbaik dengan Norazwa yang masih bersikap dingin terhadapnya. Ternyata keakrabanku dengan Adrina masih gagal merobohkan dinding dingin di antara beliau dengan para penuntut lain, lebih-lebih lagi rakan-rakan perempuan sekuliahku. Aku mula berasakan bahawa mereka sebenarnya menggunakan alasan tragedi ke atasku dulu untuk menyisihkan gadis tercantik di UNISAS ini. Begitulah sikap manusia apabila mereka mempunyai perasaan dengki terhadap orang lain. Wadi mengangguk. Namun dari air mukanya aku telahpun dapat menangkap perasaan serba-salahnya. Pasti buah hati Wadi tersebut juga masih enggan menerima Adrina.

*********************************************

“Rina, jom balik. Aku dah boring buat assignment.” Adrina mempamerkan muka suram tatkala aku membuat keputusan tersebut. Aku tahu bahawa gadis di hadapanku ini ingin seboleh-bolehnya menghabiskan masa dengan kerap denganku sebelum ke Milan. Aku juga berperasaan serupa. Tapi aku dah rasa mengantuk teramat sangat ni. Sudah hampir 2 jam kami menghabiskan masa di perpustakaan.

“Petang ni kita jumpa, okay?” pinta Adrina.

“Malam tak boleh ke?” tanyaku pula. Malas la nak jumpa petang-petang ni. Aku nak melepak bersama kawan-kawan yang sejantina denganku dan mengganggu gadis-gadis genit yang lalu-lalang di kafeteria.

“Malam ni kan Rina kena tolong untuk kenduri kahwin mama? Mana boleh jumpa Arip…” jawabnya dengan nada omelan. Bibir mungilnya mulai menjuih macam bangau kat Bukit Jelutong. Nak merajuk la tu. Aku harap jangan la Liayana Jasmay merajuk macam ni bila menjadi suri hidupku nanti. Ewah!

“Okeylah. Kita jumpa petang ini la.” Akhirnya aku mengalah sojar Jerman. Lagipun Wadi dan Nizam pergi berjanji temu petang ni. Tinggallah aku seorang diri bak melukut di tepi gantang. Sekali air bah sekali aur berubah. Karam Walia… meet your match!

“Dah la. Jom la kita balik. Aku nak tido dulu la. Serius mengantuk sangat dah ni.” ajakku. Adrina mengangguk. Kami beriringan berjalan menuju ke arah keluar dari perpustakaan. Sepanjang perjalanan beliau menyanyi-nyanyi kecil. Mungkin berasa gembira gamaknya kerana dapat memaksa aku mengikut kemahuan nafsu serakahnya itu tadi. Tiba-tiba nyanyian Adrina berhenti. Begitu juga dengan derap langkahnya. Kakiku juga terus mengaktifkan sistem Electronic Brake Distribution (EBD) untuk bersaing memegun bersamanya.

“Hm? Kenapa Rina?” tanyaku. Aku mengarahkan pandanganku ke arah pandangan Adrina. Ianya sebuah bilik fotokopi yang kosong. Ada orang tercicir sekampit beras kat situ ke? Aku melihat tiada apa-apa yang istimewa di bilik tersebut. Tapi kulihat Adrina tersenyum gembira memandang tempat tersebut.

“Kenapa Rina?” tanyaku sekali lagi. Kali ini Adrina memandang ke arahku. Senyuman masih melirik di bibirnya.

“Apahal tersenyum pulak ni? Nampak taik hidung aku ke?” tanyaku dengan nada melawak. Adrina tertawa kecil. Namun senyuman manisnya masih menjadi teka-teki buatku.

“Arip tak ingat?” tanyanya. Aku kembali merenung ke arah bilik fotokopi kosong tersebut. Kemudian pandanganku diarahkan kembali ke arah Adrina dengan gelengan kepala. Adrina mencubit lenganku dengan lunak.

“Serius tak ingat?” tanyanya. Aku sekali lagi menjengah pandangan ke arah bilik fotokopi tersebut. Kemudian menggelengkan kepala.

“Ada apa kat situ?” tanyaku. Adrina masih tersenyum. Namun kali ini beliau pula menggelengkan kepala.

“Tak ada apa-apa. Jom kita balik.” jawabnya. Aku hanya akur dengan seribu pertanyaan yang bersarang di dalam benakku. Entah kenapa aku berasa macam dah buat sesuatu yang salah pulak.

*********************************************

Setelah menghantar Adrina pulang ke hostelnya, aku mendedaskan motorsikalku ke arah hostelku pula. Aku berharap dalam perjalanan nanti janganlah terlelap pulak. Kang tak pasal-pasal terjun tiruk ke lembah dengan kuda besiku ini. Akhirnya selang beberapa minit kemudian aku selamat tiba di hostel. Tatkala tiba di pintu bilikku, kulihat Wadi sedang mundar-mandir di luar bilik.

“Oit! Apahal melepak kat luar ni? Wawa ada kat dalam tengah tukar baju ke?” usikku. Wadi membalasnya dengan celangan tajam. Waduh! Inikah yang dikatakan sebagai cinta abadi? Tapi jelingannya macam Abby Abadi aku tengok…

“Kau masuk dalam pergi tengok sendiri.” jawabnya dengan dingin. Nampaknya Wadi bukannya marah padaku. Ada sesuatu yang membuatnya kurang selesa. Dan ianya ada di dalam bilik kami. Aku segera menguak daun pintu bilik.

“Hai dik!” Aku terpaku. Abang longku rupa-rupanya yang berada di dalam bilik. Spontan sahaja tanganku mengepal menjadi buku lima.

“Dik! Takkan kau nak pukul aku macam Lang jugak? Aku datang cuma nak bersembang aje. Takkan la tak boleh?” Pujukan abang longku berjaya membatalkan hasratku yang telah diserkap jarang olehnya.

***********************************************

“Mustahil!” Itulah kata-kata yang terpacul dari mulutku tatkala mendapat makluman terbaharu daripada abang sulungku.

“Sumpah. Wallahi. Andrew sendiri yang bagitau. Dia kata abang long tak payah nak bersembunyi lagi. Keluarga kita juga tak perlu jual tanah untuk bayar baki hutang tu. Andrew kata dah selesai.” ujar abangku memperincikan perkhabarannya tadi.

“Entah-entah dia nak kenakan abang long tak?” taakulku dengan nada gusar.

“Dungu! Kalau dia nak buat apa-apa kat aku, dah tentu la dia terus aje buat. Aku dah ada kat depan dia masa tu.” tempelak abang sulungku. Aku terdiam. Pelik betul. Fikir ikut mana pun aku berasakan bahawa mustahil Andrew akan melupuskan hutang empat puluh ribu ringgit tersebut. Bagaimanapun ada sesuatu yang lebih penting ingin kuutarakan kepada abang sulungku ini.

“Andrew ada berjumpa dengan aku. Dia bagitau aku yang bang long sekarang dah masuk kumpulan haram pulak. Betul ke?” tanyaku. Terbeliak mata abang sulungku. Beliau bungkam.

“Macam mana? Betul tak?” tanyaku dengan gaya mendesak. Akhirnya abang sulungku mengangguk.

“Abang long jadi gangster pulak sekarang, ya?” tanyaku lagi.

“Abang banyak berhutang dengan orang. Jadi abang perlukan perlindungan.” Jawapannya itu adalah suatu pengesahan kepada kemusykilan yang bermain di kepalaku sekarang.

“Jadi bang long fikir itulah sebabnya Andrew halalkan hutang abang kepadanya, ya?” tanyaku pula.

“Mungkin.” jawab abang sulungku. Terselit nada megah dalam jawapannya.

“Abang long jangan cari pasal! Orang yang jadi gengster ni mana pernah hidupnya berakhir dengan perkara baik. Bak kata orang, if you live by the sword then you’ll die by the sword.” nasihatku.

“Alah, aku tau la yang aku buat. Jangan la kau risau sangat. Pokok pangkalnya masalah hutang aku dah selesai sekarang.” tingkah abang sulungku untuk mempertahankan dogmanya. Aku menggelengkan kepala.

“Memang la satu masalah dah selesai. Tapi abang long dah cari masalah baru pulak.” ujarku.

***************************************************

Perbualan kami berakhir dengan pertengkaran kecil. Namun abang sulungku tetap dengan pendiriannya. Dalam hal seumpama ini aku cukup terkilan dengan ibu bapaku yang selalu memenangkannya. Itulah sebabnya mengapa beliau begitu mua sekali. Pun begitu abang longku sempat menghulurkan RM1,050.00 kepadaku sebelum beliau melangkah pergi. Beliau memberitahuku yang seribu ringgit tersebut adalah untukku manakala baki lima puluh ringgit tersebut untuk Adrina yang sebelum ini pernah memberinya wang belanja. Bila aku bertanya mana beliau mendapat wang sebanyak itu, abang sulungku menjawab bahawa beliau sekarang bekerja dengan salah seorang ahli kumpulan yang baharu dimasukinya itu. Kononnya kerja yang bersangkutan dengan kontraktor pembinaan.

“Aku memang tak berguna sebelum ni. Tapi aku tetap nak buat sesuatu yang baik untuk kamu.” ujarnya sebagai penutup perbualan kami.

Namun aku tetap berasa bimbang dan kurang enak di dalam hati…



- bersambung -


Notakaki :

Assalamualaikum...

Aku ingin meminta maaf kerana begtu lama tidak menghantar sambungan cerita Emo Hero. Entah mengapa bulan Mei ini aku betul-betul rasa 'beku' untuk menulis. Mungkin juga banyak perkara negatif yang berlaku di sekelilingku dan terhadap orang-orang yang kukenali yang memberi kesan kepada mood aku. Pun begitu, aku gagahi juga untuk menghabiskan Bab 42, dengan hasil yang mungkin nampak macam separuh hati. Harapnya aku boleh menulis dengan lebih baik lagi kelak apabila mood aku kembali.

13 comments:

Anonymous said...

Well 'Abg Long,' I smell trouble....

reza said...

apa yg pernah jadi kat bilik potostet tu ek...lupa laa....ermmm utang 40k abg long arip langsai? adrina ke yg bayokan...ke malboroman...hehehe

Anonymous said...

Pada awalan cerita Emo Hero di mana Arip masih lagi b'musuhan dgn Adrina, depa b'tembung dlm bilik photostat tu. Adrina t'cicir ubat anti-depressant kat bilik photostat.

jejaka kacak said...

yeahhhh...datang juga akhirnya..rindu gila kat andriana...potong stim tul la abang long tu...gigit idung karang..aku suka andriana dgn shaleen jd madu...nafsu kuda betulll arip...hahaha..bole bro nami depa 2 jadi madu????ada bran?

Anonymous said...

Kalo cerita ni b'akhir dgn kedua2 watak heroin jd madu kpd watak protagonis , mau gamaknya si penulis menerima surat kecaman, komplen serta bantahan dpd Persatuan Pembaca Kaum Wanita SeMalaysia (PEKAWAN).

jejaka kacak said...

suker2....alaa..citer p.ramlee bole ja buat kisah madu2 ni..siap madu 3 lagi..go2 bro nami....

Anonymous said...

ini norma kehidupan biasa, realiti yg berlaku dlm masyakarat kita.

jika itu yg penulis mahukan, kita sbg pembaca hanya mampu terima saje. (wpun x suke)

Anonymous said...

Demi b'saing dgn cerita Madu Tiga P. Ramlee, cerita Emo Hero selepas ini akan diteruskan dgn Arif Akmal b'kahwin dgn empat org gadis. Dua org gadis yg pertama adalah Adrina & Shahleen. Dua org gadis lg akan dimaklumkan dlm episod2 yg akan dtg (jgn percaya!).

Anonymous said...

jgn pecaya dan jgn tegur tp dibenarkan pndg blakang hehe

jejaka kacak said...

bole ja arip tambah 2 lg...sapu awek wadi sorang..pastu makcik brutal jd bini muda...ckup 4.xyah pening2 kpala dah..fuhhh...cayalah aripp...gogo

Anonymous said...

provokasi terlampau nmpak...panas2

Anonymous said...

wpun panas tp provokasi sehat tegoh membina utk penulis moga dpt membkr smgt beliau dlm bidang penulisan. kita sbg pembaca sokong di sebalik tabir saje.

Anonymous said...

aiii...makcik brutal pn jd calon ker???gila lahhh