Monday, April 20, 2009

Emo Hero Bab 40

Emo Hero Bab 40


Beberapa hari kemudian…

“Hai sayaaang!”

‘Hai sayang’ la pulaaak. Perasaan gemuruh untuk berdepan dengan Adrina semakin menebal dalam diriku. Pompuan ni macam sengaja aje nak menyakat aku. Mati esok jadi penunggu perhentian bas baharu tau! Aku membalas sapaan manja lemak berkrimnya itu dengan senyuman sekangkang kera. Kira ipar duai senyuman gementar la tu.

“Ha… Hai Adrina.” balasku kembali setelah beliau datang mendekati. Segenap liang di dalam rongga hidungku dapat menghidu bau semerbak wangian yang terpancar dari tubuh langsingnya. Entah mengapa hatiku begitu meruntun untuk mendakap Adrina ketika ini. Walhal sebelum ini aku lebih rela mendakap pokok pisang Rastali. Yalah tu! Tentulah lebih baik tubuh awek dari batang pisang, kan? Cuma perasaanku sahaja yang berlainan dari sebelum ini.

“Eh? Mana Nizam dan Wadi?” tanyanya. Setiap patah tutur bicara yang kudengar bagaikan aliran elektrik yang menjalar di segenap tubuhku. Suwey betui perasaan yang kurasakan di kala ini. Aku dengar ada seorang bomoh yang pandai mengalihkan penyakit manusia kepada kambing. Boleh kot gamaknya dia alihkan perasaan membuakku ini kepada kambing? Mau gamaknya kambing tu pulak yang angaukan gadis jelita di hadapanku ini.

“Aaa..diorang ada kat kafeteria.” jawabku dengan nada yang agak kalut. Aku tadi sebenarnya kelam-kabut pergi ke jamban untuk melakukan tanggungjawab sebagai insan kerdil di bumi Allah ini. Sebaik sahaja keluar dari premises terunggul tersebut, mau pulak terserempak dengan gadis manis ini. Tiba-tiba lengan kanan Adrina merangkul lengan kiriku sebelum sempat aku berbuat apa-apa.

“Jomlah kita ke sana.” sarannya dengan nada separa merengek. Aku yang bagaikan terkena pukau Abu Bakar Juah dalam Puaka Niyang Rapik menurut sahaja daya tarikannya itu. Kami beriringan berjalan ke arah kafeteria yang dalam jarak 12 batu nautika bot nelayan.

“Arip.” Tiba-tiba Adrina bersuara setelah agak lama kami berdiam diri. Aku langsung memandang ke arahnya. Kulihat Adrina hanya menatap wajahku dengan senyuman yang amat manis tapi penuh dengan teka-teki. Harapnya janganlah dia bagi teka-teki macam dalam akhbar Kosmo! tu. Aku lepas berak ni memang jadi bengap sikit untuk beberapa puluh minit.

“Kenapa Rina?” tanyaku setelah Adrina tidak mengungkapkan sebarang bicara selepas itu.

“Tak ada apa-apa.” jawab Adrina sambil menggelengkan kepala. Beliau kemudian memandang ke depan untuk mengelakkan renunganku. Namun senyuman manis tadi masih tetap utuh di bibir mungilnya. Setelah beberapa ketika, akhirnya kami sampai ke kafeteria.

*********************************************

“Rina, nanti bila kau dah ke Milan, semua nota kau hadiahkan la kat aku, ek?” pinta Wadi. Dah hampir 20 minit kami melepak dan berlabun di kafeteria selepas habis kuliah. Begitulah trend bebudak bangsa aku menghabiskan masa yang berharga. Kat kampung mak bapak bersembur-sembur taik gigi bercerita kat orang yang anaknya setiap masa belajar untuk lulus peperiksaan. Kalaulah diorang tau…

“Eh! Mana boleh! Rina cadang nak hadiahkan kat Arip.” tingkah Adrina.

“Kau mintak dulu ke?” tanya Wadi. Aku menggelengkan kepala.

“Ha! Arip tak mintak puuun! Kenapa nak bagi kat dia jugak? Tak acilah macam ni.” ujar Wadi.

“Arip kan pernah tolong Rina berbaik dengan ayah Rina? Sampai sekarang Rina tak dapat balas budi baiknya tu. Jadi Rina cadang nak hadiahkan la nota-nota Rina kat Arip.” jawab Adrina dengan panjang lebar.

“Ala, Rina. Janganlah sebut hal tu lagi. Malulah.” ujarku pula.

“Apalah lu, mamaaat. Kau mintak ajelah kat si Wawa kau tu. Apa, tulisan dia buruk sangat ke?” tempelak Nizam yang baharu selesai menghabiskan burgernya. Wadi tidak membalas. Sekadar mencebikkan bibirnya cuma.

Setelah hampir setengah jam kemudian, kami akhirnya membawa haluan masing-masing. Nizam perlu ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan bapanya. Beliau baharu sahaja tiba dari Sarawak semalam. Nizam mengajak aku menemaninya tapi aku laju aje menggelengkan kepala. Bapak Nizam memang mafia gila. Pertama kali aku jumpa dulu, aku rasa macam nak tercirit keluar ikut pusat. Punyalah seriau kat bapaknya masa itu. Wadi pulak sampai demam empat hari. Tapi memang masa tu dia kena hujan panas pun. Pun begitu kami berteori bahawa andai kata tak berjumpa dengan bapak Nizam masa tu, pasti Wadi cuma demam sehari aje. Atau mungkin senggugut yang minor.

Wadi pulak sebaik sahaja si Wawa datang, terus la jadi suara jadi macam apek jemur colok. Lembut romatik tak tentu pasal. Gitu le agaknya resam orang bercinta. Hingus pun terasa manis bergula sungguhpun hijau kalernya. Aku nak aje mengejeknya tadi tatkala Wadi berbual-bual ala manja kucing Whiskas dengan Wawa. Namun hikmat sepit ketam Adrina terlebih dahulu singgah bertanya khabar di lengan kiriku yang sekaligus membatalkan niatku yang patriotik itu. Jadi aku cuma mampu melambai bye-bye aje kepada capati dua sejoli itu (saja sebut salah ikut macam Shaleen).

“Ha! Sekarang tinggal kita berdua aje. Habis la awak!” usik Adrina setelah hanya kami berdua sahaja yang tinggal di kafeteria tersebut. Hatiku kembali menjadi tidak keruan. Patutnya aku ikut aje si Nizam tadi. Sekurang-kurangnya boleh aku terjun keluar dari kereta dalam perjalanan nanti. Harapnya aku jatuh dekat-dekat rumah urut Ah Mei masa tu.

“Arip marah kat Rina ke?” tanyanya tiba-tiba. Aku menggelengkan kepala.

“Betul? betul tak marah?” tanyanya lagi.

“Betullah.” jawabku dengan iringan senyuman. Namun nyata ianya kaku dan seperti dipaksa.

“Arip nampak lain la sejak kebelakangan ni.” komennya. Isk! Cepat saja dia dah dapat menghidu tingkah-laku pelikku. Gamaknya masa kecik dulu Adrina ni berkawan baik dengan Lassie, kot?

“Ma.. Masalah famili. Abang long saya…” balasku untuk segera mematikan sebarang taakulan daripadanya. Ianya suatu pembohongan. Namun aku berharap agar ianya boleh dipercayai oleh Adrina.

“Oh… I’m sorry. Rina tak akan tanya lagi. Maafkan Rina, ya? Please…” pintanya dalam nada merayu. Aii… cair hatiku jadinya. Mujur la dia tak merayu minta aku terima dia sebagai isteri.

“Rina isterimewa dalam hati saya. tentu la saya maafkan.” ujarku dalam nada melawak. Namun perasaanku berasa ada sesuatu yang tak kena pada kata-kataku tadi. Ianya terzahir pada wajah Adrina.

“Hm? Arip kata apa tadi? Isteri-mewa?” tanyanya. Ih! Memang sah aku dah tersebut benda yang sepatutnya terpendam dalam kepala otakku aje. Belum aku membuka mulut untuk membela diri, Adrina telahpun menderaikan tawa.

“Aku silap cakap la…” ujarku. Kantoi… kantoooiii…

“Hm. Okay… Rina pun nak balik ke rumah. Banyak lagi persiapan mama yang tak selesai. Arip nak ikut ke sana?” pelawanya. Aku menggelengkan kepala. Biasanya ada aje jawapan lawak yang boleh kuutarakan dan membuat gadis jelita ini tertawa. Namun kali ini otakku tak mampu berfikir apa-apa. Sebenarnya ada. Tapi yang lucah punyalah! Adrina tiba-tiba bangun dan mengesat-ngesat bahagian punggung dengan kedua tangannya. Beliau kemudian memandang ke arahku dan menghadiahkan satu senyuman manis.

“Bye Arip. Take care.” ucap Adrina.

“Babai.” Itu aje yang dapat kuucapkan. Takut rasanya untuk mengucapkan ‘take care too’ kepadanya. Mungkin aku takut isi hatiku yang sebenar sampai kepada Adrina bersama ungkapan itu nanti. Adrina terus berpaling dan melangkah pergi. Tinggallah aku termangu-mangu seorang diri di situ. Agak lama aku memerhatikan kelibat tubuh Adrina sehingga ianya menghilang dari pandangan.

“Kamu tak balik ke?” Pertanyaan tersebut benar-benar membuatkanku terperanjat. Hampir saja aku menjerit hingga menanggalkan seluar dan kemudian menjemurnya di ampaian. Namun rasionalku segera menenangkan emosiku. Aku segera mengangkat muka untuk memandang si empunya suara yang pada firasatku mampu menarik perhatian kerbau-kerbau betina untuk mengawan.

“Mak cik?” ujarku dengan nada kehairanan. Mataku masih tak berkelip-kelip memandang ke arah mak cik Brutal; tokeh kafeteria Fakulti Undang-Undang UNISAS ini.


- Bersambung -

2 comments:

jejaka kacak said...

best2...syiok gila...nak lagi...

reza said...

aiks...apa kes makcik tu tegur arip...dia berkenan ngan arip ke....ngeh ngeh ngeh....:p