Friday, October 18, 2013

Cerpen - Ibnu Hibban (part 3)



Cerita Kemetot (cerpen la tu)
Tajuk : Ibnu Hibban (Part 3)



“Assalamu a’alaikum warahmatullah.” Segera Ibnu Hibban memandang ke arah si empunya suara yang menegurnya. Beliau adalah Hasheem Baihaqi yang merupakan Ketua Pengarah di Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar. Ibnu Hibban tersenyum kelat. Tentu akan berlaku pertengkaran kelak, pada firasatnya. Mana mungkin Hasheem secara kebetulan bertembung dengan Ibnu Hibban di perkarangan pintu sayap kiri bangunan persekutuan.

“Wa ’alaikum salam warahmatullah.” jawabnya sebagai menunaikan kehendak syarak. Matanya tepat merenung lelaki berusia awal 50’an tersebut untuk membaca helah beliau.

“Tuan Qadhi mahu pergi makan tengaharikah?” tanya Hasheem dengan mesra. Bibirnya mengoral senyuman melihatkan riak kecurigaan pada wajah anak muda tersebut. Ibnu Hibban mengangguk.

“Marilah makan dengan saya. Kita tak usah bercakap tentang kerja. Cuma bersembang tentang hal-hal santai sahaja. saya mahu mengenali Tuan Qadhi dengan lebih dekat. Bagaimana? Harapnya Tuan Qadhi tak menolak.” pelawa Hasheem. Ibnu Hibban terdiam. Beliau tahu bahawa lelaki tua ini ingin mencari kelemahan dirinya. Namun ini juga adalah peluang terbaik untuk beliau mengenali siapakah lawannya ini. Selama ini mereka saling mengkritik melalui wakil atau media massa. Ibnu Hibban mengeluarkan telefon selular dari koceknya.

“Assalamu a’laikum, cik Soffeah. Ibnu Hibban sedang bercakap. Saya mahu pergi makan tengahri bersama Tuan Hasheem Baihaqi dari Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar. Jadi saya mungkin lewat masuk ke pejabat. Sila maklumkan kepada staf yang lain. Terima kasih. Ma’assalamah.” Setelah Ibnu Hibban selesai meninggalkan pesan, beliau menyimpan kembali telefonnya di dalam kocek. Beliau kemudian memandang ke arah Hasheem Baihaqi sambil tersenyum dan menganggukkan kepala.

“Sungguh Tuan Qadhi ini sangat berwaspada orangnya! Namun janganlah tuan bimbang kerana saya ini bukanlah askar Hezbollah yang kejam dan jahat. Saya cuma seorang ahli sunni yang tua lagi tak berdaya.” sindir Hasheem.

“Makin tua makin berakal panjang, tak begitu kata pepatah orang-orang lama?” sindir Ibnu Hibban kembali. Hasheem ketawa terbahak-bahak. Ternyata anak muda di hadapannya ini tidak langsung berasa tertekan dan gugup seperti kebanyakan orang.

“Memang kehebatan Tuan Qadhi bukanlah hanya khabar-khabar angin sahaja!” puji Hasheem. Pun begitu beliau menyedari bahawa pujiannya itu tidak memberikan sedikitpun kesan kepada lelaki yang cinta dan takutkan Allah tersebut.

“Kita mahu makan di mana?” tanya Ibnu Hibban. Hasheem senyum.

“Di Kelab Mendonan. Ianya tak jauh dari pejabat kita. Selepas itu kita boleh bersolat berjemaah di sana.” saran Hasheem.

“Mendonan? Bukankah itu kelab milik seorang warga dari Malaysia?” tanya Ibnu Hibban. Hasheem mengangguk.

“Malaysia adalah salah satu rakan niaga terbesar kita. Jadi tak hairanlah ramai rakyatnya yang berminat melabur di sini. Namun setakat ini kerajaan kita hanya membenarkan syarikat yang dimiliki oleh seratus peratus milik orang Islam melabur di sini. Rendang ayam di sana sangat sedap!” perjelas Hasheem yang diakhiri dengan sulaman pujian.

“Baiklah, sekali-sekala bertular selera, apa salahnya!” ujar Ibnu Hibban sebagai isyarat beliau bersetuju dengan saranan Hasheem tadi.

“Mari kita pergi dengan kereta saya.” saran Hasheem pula.

********************************

Beberapa minit kemudian mereka akhirnya tiba di perkarangan Kelab Mendonan. Ibnu Hibban memerhatikan sahaja Hasheem yang menunjukkan kad keahliannya kepada pengawal di situ. Ketua Pengarah Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar itu kemudian memandu masuk ke kawasan parkir yang disediakan khas untuk ahli.

“Tentu mahal untuk menjadi ahli kelab ini.” taakul Ibnu Hibban.

“Mm? Oh, memang feenya tinggi. Namun mereka memberikan keahlian kepada saya tanpa sebarang bayaran. Jadi saya ambil sajalah!” jawab Hasheem seraya ketawa.

“Pada pandangan saya, ianya adalah gula-gula rasuah.” Kata-kata Ibnu Hibban membuatkan Hasheem tersentak. Namun seketika kemudian lelaki tua itu ketawa.

“Setakat ini saya belum pernah menggunakan kuasa saya untuk membuat sesuatu demi kepentingan mereka mahupun pihak lain. Lagipun ia telah diberikan kepada saya tanpa sebarang syarat. Kelab ini dibuka dengan cara mengikut undang-undang kita yang ketat termasuk larangan membawa minuman keras dan makanan yang diharamkan ke sini.” balas Hasheem.

“Saya tak menuduh tuan Hasheem terlibat dalam rasuah. Saya cuma mengatakan bahawa tindakan mereka itu adalah untuk menjadi akrab dengan tuan. Tentu sukar untuk mengambil tindakan pada orang-orang yang akrab dengan kita, bukan? Jadi tidakkah ia dianggap sebagai gula-gula rasuah?” balas Ibnu Hibban kembali. Hasheem terdiam. Namun topik perbualan mereka mati tatkala ternampak begitu banyak kenderaan dari Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar yang diparkir di situ.

“Anak-anak buah tuan Hasheem pun dapat keahlian percumakah?” tanya Ibnu Hibban.

“Tidak...” jawab Hasheem. Dahinya berkerut. Sebaik sahaja keretanya diparkir, beliau dan Ibnu Hibban segera turun dan menuju ke arah kumpulan manusia yang berada di sebuah kafe bernama Kafe Mendonan. Sebaik sahaja menyedari kehadiran Hasheem, beberapa pegawai yang berada di situ memberikan tabik hormat mereka.

“Apa yang dah terjadi?” tanya Hasheem.

“Tuan, kami sedang membuat tangkapan terhadap seorang rakyat Malaysia yang menyeludup masuk arak dan minum di khalayak ramai secara terbuka.” maklum salah seorang pegawai tadi.

“Hmh! Bagus! Bagus! Lihatlah tuan Qadhi, saya tak termakan dengan gula-gula rasuah tersebut.” ujar Hasheem dengan riak berpuas hati.

“Cuma ada satu masalah, tuan.” maklum pegawai itu pula. Belum sempat beliau meneruskan percakapannya, kedengaran suara maki hamun seorang lelaki. Beliau diheret oleh dua orang anggota Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar ke arah Hasheem dan Ibnu Hibban.

“Kurang ajar! Kau tahu tak aku ini seorang Timbalan Menteri! Aku ada imuniti, tahu!” tengkingnya.

“Alamak!” ucap Hasheem. Namun Ibnu Hibban yang sedang memandang ke arahnya menyedari bahawa ini adalah suatu perangkap yang disediakan untuknya tatkala melihat senyuman gembira di bibir lelaki tua tersebut.



- Bersambung -

Saturday, September 21, 2013

Cerpen : Ibnu Hibban (Part 2)



Tajuk : Ibnu Hibban
(Part 2)


“Baiklah, tuan pendakwaraya. Apa yang tuan ingin cakapkan tadi?” tanya Tuan Qadhi tersebut bersama senyuman yang penuh dengan teka-teki. Si pendakwaraya hanya merenung tajam Tuan Qadhi Ibnu Hibban yang sekali lagi mencetuskan kontroversi dengan hukumannya tadi.

“Mengapa Tuan Qadhi melepaskan kedua pasangan berkhalwat tetapi menghukum orang-orang baik yang telah melakukan kerja amal ma’aruf dan nahi mungkar?” pertikai pendakwaraya tersebut yang cuba sedaya-upaya mengawal kemarahannya. Namun getaran tidak sekata pada tonasi suara beliau jelas memberitahu Ibnu Hibban tentang perasaannya yang sebenar.

“Baik? Kerja amal ma’aruf dan nahi mungkar?” tanya Qadhi tersebut kembali.

“Ya! Itulah saya perkatakan tadi!” ujar tuan pendakwaraya dengan nada hampir membentak. Ibnu Hibban ketawa kecil. Beliau kemudian menyebut surah al-Hujurat ayat ke dua belas dalam al-Quran. Buat seketika tuan pendakwaraya tersebut terpegun mendengar pembacaan yang begitu elok dan merdu sekali.

“Wahai orang-orang yang beriman. Jauhi kebanyakan buruk sangka yakni kecurigaan, kerana sebahagian dari buruk sangka itu adalah suatu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang lain dan janganlah kamu mengumpat antara satu sama lain...” terjemah Ibnu Hibban sambil merenung tepat ke arah tuan pendakwaraya.

“Tuan pendakwaraya; nahi mungkar itu bermakna mencegah kemungkaran. Bukannya menyediakan perangkap untuk saudara seagama kita agar kita berasa gembira melihat mereka dihukum. Para petugas dari Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar mempunyai segala peluang untuk mencegah kedua pasangan berkhalwat tersebut dari menyewa bilik hotel dan melakukan maksiat di dalamnya. Namun mereka nampaknya menunggu dan memasang perangkap untuk memastikan kedua pasangan tersebut dihukum. Adakah ini merupakan ruh Islam yang Allah mahukan?” Kali ini tuan pendakwaraya benar-benar kehilangan kata-kata. Beliau menundukkan kepala. Hukuman ke atas para petugas Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar tersebut dikekalkan.

********************************

Beberapa hari kemudian baharulah Ibnu Hibban menjengah masuk ke bilik ketuanya yang dikenali sebagai Maulana Syaukanee. Ketuanya itu mengerutkan dahi sebaik sahaja melihat kelibat Ibnu Hibban yang tersengih-sengih. Pun begitu Syaukanee tetap mempersilakan Qadhi muda tersebut duduk.

“Sudahkah kau menjatuhkan hukuman ke atas pemilik hotel tersebut?” tanyanya dengan nada serius. Ibnu Hibban mengangguk.

“Tahu tak betapa marahnya Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar kerana mereka didenda sebanyak dua ribu Dinar?” tanya Syaukanee pula.

“Itu salah mereka kerana tak mengikut peraturan dan tak mengajar anak-anak buah mereka tentang peraturan yang betul.” tingkah Ibnu Hibban mempertahankan diri.

“Kau tahu tak bahawa kau boleh hanya memberikan amaran kepada jabatan itu dan tak perlu mendenda?” tanya Syaukanee.

“Sejak bila pula Jabatan Kehakiman perlu berasa takut kepada Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar?” tanya Ibnu Hibban pula yang lebih merupakan suatu tempelakan. Syaukanee yang kini berumur genap 75 tahun minggu lepas merenungnya dengan tajam. Namun pemuda di hadapan beliau begitu berani membalas pandangan tajam Ketua Qadhi Jabatan Kehakiman tersebut.

“Kau ini memang sungguh berani.” omel lelaki tua itu.

“Berani terhadap Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar atau berani menentang pandangan tajam tuan?” tanya Ibnu Hibban. Syaukanee menggelengkan kepala.

“Dalam sekejap masa kau sudah mencetuskan kemarahan beberapa jabatan dan kementerian. Malah kau kini mendapat perhatian Amirul Mukminin kita.” maklum Syaukanee yang kini memberikan jawapan pada pernyataannya tadi.

“Jadi benarlah mereka sedang mencari jalan untuk memecat saya?” tanya Ibnu Hibban.

“Aku sebenarnya tak pasti. Namun desas-desus tersebut begitu kerap sekali singgah ke telingaku.” jawab Syaukanee.

“Tuan, ingat tak surah ali-‘Imraan ayat 173 tentang kata-kata seorang yang beriman apabila dia dikepung dan diancam oleh orang-orang musyrik?” tanya Ibnu Hibban.

“Hasbunallahi wani’mal wakeel (cukuplah Allah untuk kami dan Dia adalah sebaik-baik Pengurus).” jawab Syaukanee. Ibnu Hibban tersenyum dan bangun untuk meninggalkan ketuanya. Beliau tanpa berkata apa-apa terus bergerak menuju ke arah pintu. Syaukanee hanya merenung pemuda yang keras kepala itu di hadapannya. Namun beliau memang menyedari siapa Ibnu Hibban sebenarnya. Pemuda tersebut pernah terlibat dalam konflik peperangan di Syria sebelum mendapatkan kewarganegaraan di Daulah Maddaniyah. Manusia yang entah berapa ratus kali merenung kematian di depan matanya itu sudah tentu tidak gentar dengan permainan politik orang-orang yang hanya duduk bersenang-lenang di rumah mewah mereka sambil membaca kitab-kitab. Ibnu Hibban yang setiap masa mempelajari al-Quran dan hadis-hadis beberapa minit sebelum menyerang sasaran musuh tentulah tidak sama penghayatannya dengan mereka.

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan ingatan yang ajaib untuk Ibnu Hibban kerana beliau dengan mudah menghafal dan mampu berdebat dan mentarjih hukum-hakam syarak dengan begitu baik sekali. Beliau difaqihkan oleh Allah dalam agama serupa dengan seorang tokoh yang alim dalam bidang hadis iaitu Ibnu Hibban yang meninggal dunia pada tahun 354 Hijrah. Kerana itu Amirul Mukminin telah berkenan untuk melantiknya sebagai seorang Qadhi, iaitu jawatan hakim dalam usia sebegitu muda.

Namun dek kerana darah mudanya itu jugalah Ibnu Hibban kini telah bergesel dengan hampir kesemua ‘orang-orang besar’ dalam jabatan kerajaan. Beliau sedikitpun tidak berasa gentar dengan tekanan dan ancaman yang bakal dihadapi. Syaukanee sebenarnya memang mengkagumi sikap hitam dan putih Ibnu Hibban. Beliau yakin pemuda tersebut akan menjadi salah seorang tokoh yang membawa kepada perubahan besar dalam negara tersebut. Namun kini beliau bimbangkan nasib Ibnu Hibban yang mungkin akan dianiaya oleh orang-orang yang memusuhinya.

Syaukanee mendail nombor pada telefon tangan. Beliau menunggu seketika sebelum panggilannya itu bersambut.

“Assalamu ‘alaikum. Apa khabar tuan guru Syaukanee?” sapa orang yang menerima panggilan dengan mesra.

“Wa’alaikum salam warahmatullah, Amirul Mukminin.” balas Syaukanee dengan nada hormat.

“Sudahkah tuan guru berjumpa dan bercakap dengan Ibnu Hibban?” tanya Amirul Mukminin.

“Ya. Baharu sekejap tadi. Nampaknya dia tetap dengan pendiriannya dan enggan berganjak. Saya bimbang beliau akan dianiaya oleh musuh-musuh ciptaannya kelak.” jawab Syaukanee. Amirul Mukimini tertawa.

“Ingat tak surah ali-‘Imraan ayat 170?” tanya Amirul Mukminin. Syaukanee pula ketawa kecil kali ini.

“Bukan 170. Ayat 173. Baharu tadi Ibnu Hibban menyebutnya.” balas Syaukanee. Amirul Mukminin ketawa besar. Mungkin untuk menutup malunya kerana tersilap tadi.

“Kalau begitu, tidak perlu kita bimbangkan akan nasibnya. Dia sendiri telahpun menyerahkan bulat-bulat nasibnya kepada Allah. Tentu Allah akan menjaga dan melindungi hamba yang bertaqwa seperti Ibnu Hibban.” ujar Amirul Mukminin.

“Ya.” balas Syaukanee.

“Saya melantiknya kerana saya berasakan bahawa terlalu ramai manusia berperangai munafik dalam sektor pemerintahan Daulah Maddaniah. Saya sendiri tak berdaya untuk mengekang nafsu mereka pada kuasa dan harta. Saya berharap... saya benar-benar mahu Ibnu Hibban memerangi mereka dengan ketaqwaannya dan membersihkan kepimpinan Daulah Maddaniah daripada manusia-manusia korup ini.” perjelas Amirul Mukminin dengan panjang lebar.

“Kata-kata Amirul Mukminin tadi jelas memaklumkan kepada saya bahawa Ibnu Hibban adalah buah catur yang akan dikorbankan pada bila-bila masa sahaja demi untuk memenangi permainan ini.” Terdiam Amirul Mukminin mendengarkan kata-kata Syaukanee.



- Bersambung di Part 3 -






Thursday, August 1, 2013

Cerpen : Ibnu Hibban (Part 1)



Cerita Kemetot

Tajuk : Ibnu Hibban
(Part 1)


Lebih kurang 20 tahun akan datang...


“Yang Arif Tuan Qadhi; kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh ini adalah di bawah kategori jenayah maksiat. Dan kesalahan mereka ini adalah serius kerana kedua-duanya dicekup dalam keadaan berdua-duaan di dalam bilik hotel dan tidak berpakaian mengikut syarat menutup aurat dalam Islam. Bahkan kami mendapati bahawa kedua-dua mereka ini tiada sebarang pertalian mahram yang membolehkan mereka duduk berdua-duaan di dalam bilik hotel tersebut.” hujah pihak pendakwaraya. Pun begitu tatkala matanya tertancap ke arah Tuan Qadhi merangkap hakim kes jenayah bagi negara Daulah Maddani, pendakwaraya tersebut agak tersentak dan berasa sedikit tersinggung. Ternyata Tuan Qadhi Mahkamah Jenayah tersebut sedang menopang pipi kanannya dengan buku lima kanan beliau; sedangkan matanya pula terarah ke siling mahkamah tersebut dengan wajah jemu. Buat seketika keadaan mahkamah menjadi sunyi sepi.

“Ehem!” dehem pendakwaraya yang ternyata berjaya menyentak lamunan Tuan Qadhi. Buat seketika hakim tersebut kelihatan termangu-mangu.

“Err... kamu berdua pasangan yang didakwa dalam kes ini, bukan?” tanyanya sambil menunding jari ke arah sepasang lelaki dan wanita yang sedang berdiri tegak dalam kandang pertuduhan. Kedua-dua pasangan tersebut mengangguk serentak. Perasaan gementar begitu ketara terpapar pada wajah keduanya.

“Err... kamu mengaku salah ke terhadap pertuduhan berdua-duaan di dalam bilik hotel dalam keadaan tidak menjaga aurat?” tanya si Tuan Qadhi. Kedua-duanya mengangguk.

“Kena cakap. Kena cakap ‘saya mengaku bersalah’ untuk pengakuan rasmi.” pinta Tuan Qadhi.

“Saya mengaku bersalah.” ujar lelaki tersebut.

“Saya juga mengaku salah, tuan.” ujar pasangannya pula.

“Pendakwaraya, siapa yang berada di tempat kejadian semasa tangkapan dibuat dalam kes ini?” tanya Tuan Qadhi. Beliau baharu sahaja dalam usia 25 tahun, namun entah mengapa diberikan kepercayaan untuk memegang jawatan yang sebegini berat.

“Ada enam orang pegawai dan anggota dari Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar pada masa itu. Kesemua mereka hadir pada hari ini.” jawab pendakwaraya yang kini mencecah usia empat puluhan. Inilah kali pertama beliau mengendalikan kes di hadapan Tuan Qadhi muda tersebut. Telah banyak cerita kontroversi yang singgah ke telinganya berkenaan cara Tuan Qadhi tersebut mengendalikan kesnya dan membuat keputusan, sungguhpun baharu lebih kurang dua bulan dilantik. Salah satu daripada cerita tersebut ialah bagaimana Tuan Qadhi ini telah membuang kes pendakwaraya hanya semata-mata kerana gagal mengemukakan pegawai dan anggota yang membuat tangkapan, sedangkan selama ini keterangan bersumpah secara bertulis adalah memadai.

“Panggil mereka semua datang berdiri di sebelah kandang pertuduhan.” pinta Tuan Qadhi. Pendakwaraya mengangguk lantas menggamit kesemua saksi yang mengendalikan penangkapan dalam kes ini untuk akur pada permintaan Tuan Qadhi.

“Adakah kalian semua terlibat dalam kes serbuan dan penangkapan pasangan bukan mahram dalam kandang pertuduhan ini?” tanya Tuan Qadhi. Keenam-enam orang pegawai dan anggota bagaikan tentera yang sedang berkawad serentak menganggukkan kepala.

“Kena cakap. Kena cakap ‘ya’ untuk pengakuan rasmi.” pinta Tuan Qadhi. Maka keenam-enam mereka segera membuka mulut dan mengiyakan pertanyaan tadi.

“Ketikamana kalian menyerbu masuk, adakah orang lain selain pasangan lelaki dan wanita ini di dalam bilik hotel tersebut?” tanya Tuan Qadhi. Keenam-enam mereka menjawab ‘tidak’.

“Mereka dalam keadaan tidak menjaga aurat, bukan?” tanya Tuan Qadhi. Keenam-enam mereka menjawab ‘ya’.

“Kami percaya bahawa mereka sedang melakukan mukaddimah zina sebelum kami menyerbu masuk.” maklum salah seorang daripada mereka.

“Mukaddimah zina? Anda ada buktikah? Anda melihat sendiri?” tanya Tuan Qadhi.

“Kami tak lihat sendiri. Tetapi kami ada bukti. Perbuatan mukaddimah zina itu telah dirakamkan oleh kamera litar tertutup.” maklum pegawai tadi.

“Dirakamkan? Adakah kamera litar tertutup itu milik pihak hotel?” tanya Tuan Qadhi yang nampaknya semakin berminat dengan kes ini.

“Bukan milik hotel. Ianya milik kami.” jawab si pegawai.

“Pihak hotel tahu tak kalian memasang kamera itu?” tanya Tuan Qadhi.

“Ya, kami telah mendapat keizinan bertulis daripada pihak pengurusan.” jawab pegawai tersebut. Beliau sempat mengerling tuan pendakwaraya yang senyum padanya. Nampaknya kes yang mereka bawa ini adalah lengkap sekali dan tiada sebarang lakuna untuk membolehkan Tuan Qadhi membatalkannya.

“Kalian memasang kamera litar tertutup sebelum pasangan itu masuk, bukan?” tanya Tuan Qadhi.

“Ya, Tuan Qadhi.” jawab pegawai tersebut.

“Kamera litar tertutup itu dipasang tanpa pengetahuan pasangan dalam kandang pertuduhan itu, bukan?” tanya Tuan Qadhi.

“Ya.” jawab pegawai tersebut dengan perasaan pelik. Tentulah kemera tersebut dipasang tanpa pengetahuan mereka. Entah mengapa soalan sebodoh itu yang ditanya. Mungkin hakim yang amat muda ini masih mentah dan cetek pengalamannya.

“Di mana cip rakaman itu? Ada dibawa ke mahkamah?” tanya Tuan Qadhi.

“Ya, Tuan Qadhi.” ujar pegawai tersebut dengan nada teruja.

“Bolehkah kami memainkan rakaman itu sekarang, Tuan Qadhi?” tanya pendakwaraya.

“Tak perlu! Saya akan menjatuhkan hukuman sekarang.” balas Tuan Qadhi. Pendakwaraya tersebut agak tersentak dengan tindak-tanduk hakim muda ini. Pun begitu, beliau mengambil keputusan untuk mendiamkan diri.

“Pasangan encik Mukhtar dan cik Diyarena. Anda berdua adalah rakyat Malaysia dan saya ambil kira perkara itu kerana mungkin kerana anda berdua tidak menyedari bahawa undang-undang syariah kami di sini adalah lebih tegas dan menyeluruh. Jadi saya lepaskan anda berdua dengan amaran keras. Nama anda berdua akan dicatat dalam rekod pelaku salah. Jika anda berdua membuat kesalahan yang sama sama ada secara bersama lagi atau dengan orang lain, maka saya akan penjarakan kalian.” ujar Tuan Qadhi. Pasangan kekasih tersebut tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira mereka sehingga si lelaki jatuh terduduk. Pasangannya pula memekup muka untuk menyembunyikan tangisan kegembiraan.

“Bagaimanapun, kalian berenam saya hukum dipenjarakan selama seminggu dan Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar didenda sebanyak dua puluh ribu Dinar. Hukuman berkuatkuasa pada hari ini juga!” ujar Tuan Qadhi pula. Buat seketika keadaan mahkamah menjadi hingar-bingar.

“Diam! Diam semua!” pinta Bailif mahkamah dengan suara yang lantang. Mahkamah kembali menjadi tenang.

“Tuan Qadhi, saya...”

“Nanti dulu, tuan pendakwaraya. Saya belum selesai menjatuhkan hukuman!” potong Tuan Qadhi dengan nada yang agak keras. Terkebil-kebil tuan pendakwaraya yang amat berpengalaman dan dihormati itu dibuatnya.

“Pengurus dan/atau pemilik Hotel Jameel diperintahkan untuk hadir ke mahkamah ini keesokannya untuk menjawab tuduhan membenarkan kamera litar dipasang di bilik hotelnya. Tuan pendakwaraya; sila uruskan hal ini termasuk kertas pertuduhannya sekali.” perintah Tuan Qadhi. Keadaan menjadi hingar-bingar kembali. Bailif mahkamah sekali lagi terpaksa melantangkan suara untuk melenyapkan keriuhan tersebut.

“Baiklah, tuan pendakwaraya. Apa yang tuan ingin cakapkan tadi?” tanya Tuan Qadhi tersebut bersama senyuman yang penuh dengan teka-teki. Si pendakwaraya hanya merenung tajam Tuan Qadhi Ibnu Hibban yang sekali lagi mencetuskan kontroversi dengan hukumannya tadi.



- Bersambung ke Part 2 -


Selamat menunaikan ibadah puasa dan selamat hari raya Aidilfitri. Maafkan salah dan silap saya jika selama ini ada yang menyinggung hati saudara dan saudari sekalian. Ma'assalaamah