Tuesday, July 16, 2013

Zero Hero SE - Bab 6 (Pt 1) Airbus A380, Ferrari dan Buggati Veyron milikku, PSY!



Zero Hero SE
Bab 6 (Part 1)
Airbus A380, Ferrari dan Buggati Veyron milikku, PSY!


Beberapa hari kemudian, setelah menunggu hampir setengah jam akhirnya pesawat airbus A380 yang dinaiki oleh Adrina dan bapa mertuaku tiba. Aku pernah dua kali menaiki pesawat tersebut. Memang hebat. Aku fikir di syurga kelak aku akan meminta pesawat A380 tersebut untukku. Adrina pernah memberitahu tentang ustazahnya yang menceritakan hadis sahih Rasulullah SAW bahawa ada nanti orang yang ingin bercucuk tanam di syurga dan Allah akan makbulkan permintaannya. Jadi tentunya kita boleh minta bermacam-macam lagi selain dari berbudi kepada tanah di syurga. Aku juga berangan-angan untuk meminta koleksi kereta-kereta Ferrari dan Buggati Veyron bila di sana kelak. Tentu bahagia tidak terkata bila dapat memandu selaju-lajunya tanpa perlu merisaukan tentang perangkap hadlaju, risiko kemalangan maut, kos untuk Ron97, membayar tol dan cukai jalan serta insurans. Kawanku yang masuk aliran kesufian berkata adalah syirik kalau kita mengharapkan syurga. Aku bukanlah handal sangat dalam bab agama ini, tapi kalaulah betul syirik untuk manusia mengharapkan syurga, buat apalah Allah menciptakan syurga dan Rasulullah SAW menyuruh kita berdoa meminta syurga Firdaus? Aku agak monyet sarkas pun tak akan berfikir sebodoh aliran tarekat melampau itu.

Lamunanku terhenti seperti Aris Ariwatan tatkala ternampakkan kelibat Adrina dan bapa mertuaku. Mereka melambai-lambai padaku dengan ceria. Aku juga berbuat perkara yang sama. Aku menggesakan diri untuk mendapatkan mereka. Adrina pula terus berlari dan mendakapku erat-erat tatkala tubuh kami bertemu.

“I miss you, I miss you, I miss you...” ucap isteriku. Aku senyum. Kedua tanganku perlahan-lahan menjalar ke belakang tubuh Adrina dan memegangnya dengan kemas.

“I miss you too, manja.” balasku.

“Hey entrepeneur!” sapa bapa mertuaku. Aku ketawa kecil. Jelas terselit perasaan tidak puas hatinya lagi kerana aku masih menolak tawaran untuk bekerja dengannya.

“Hey Marlboro Man!” sapaku kembali dengan nada bergurau juga. Bapa mertuaku yang sememangnya macho macam koboi iklan rokok tersebut ketawa besar. Tiba-tiba baharulah aku terperasan bahawa ada seseorang berdiri agak hampir dengan kami. Aku berpaling memandangnya. Beliau adalah seorang warga luar negara yang agak tegap dan kemas penampilannya. Aku mengagak tentu beliau adalah seorang anggota unit beruniform.

“Oh, I can see that you’re really not lying about being married. Well, congratulations sir. You’re one lucky guy.” ucapnya padaku. Aku yang agak terpinga-pinga seperti Pingu hanya memandangnya dengan perasaan keliru.

“Er, thank you... I guess?” balasku kembali. Lelaki yang pada taakulanku warga Australia berdasarkan slanganya itu tersenyum sebelum melangkah pergi.

“Siapa pula mangkuk tu?” tanyaku dengan perasaan ingin tahu setelah lelaki tadi jauh meninggalkan kami.

“Haha! Dia dari lapangan terbang di sana tadi asyik nak mengorat Rina saja. Dia puji Rina cantiklah, Rina lemah-lembutlah. Bila Rina beritahu dia yang Rina dah berkahwin, dia tak percaya. Bila Rina tunjukkan cincin perkahwinan Rina, dia masih tak percaya. Kalau Rina mengadu pada ayah tadi, selamatlah Rina. Tapi oleh sebab ayah sibuk mengurat perempuan Rusia seksi mana entah, langsung tak jadi Rina nak repot. Ayah ni buat orang malulah!” Cerita Adrina diakhiri dengan leterannya terhadap bapa mertuaku. Bapa mertuaku hanya ketawa sambil menggaru-garu belakang kepala. Aku turut ketawa untuk mengurangkan perasaan segan bapa mertuaku.

“Cemburu tak?” tanya Adrina cuba mengumpan emosiku.

“Hm, adalah dalam empat puluh dua peratus.” jawabku sambil tersenyum.

“Eleh!” balas Adrina sebelum mencubit manja lenganku. Kami kemudiannya ketawa.


**************************


Setelah makan tengahari bersama, akhirnya kami membawa haluan masing-masing. Bapa mertuaku menumpang kereta seorang wanita yang sangat seksi. Kalau tak silap, wanita tersebut adalah setiausaha sulitnya. Kalaulah tak kerana dicubit oleh Adrina, mahu melekat kedua biji mataku pada peha mulusnya. Aku dan isteriku pula menghala ke arah lain. Aku ingin singgah di pasaraya terlebih dahulu untuk membeli bahan-bahan mentah sebelum pulang ke rumah. Dalam kereta, isteriku itu membebel tentang kelakuan bapa mertuaku.

“Ayah tu dah makin melampau! Entah perempuan murahan mana diambilnya jadi secretary!” omel Adrina dengan suara yang agak keras.

“Aik? Rina kata tak baik memaki saudara seagama kita, kan?” peringatku. Adrina terdiam sebentar. Kemudian beliau beristighfar beberapa kali.

“Tapi betul, bang! Perempuan yang jadi setiausaha sulitnya itu bukan tahu apapun! Rina tengok dia cuma usung fail ke sana sini. Lepas itu asyik tonggekkan punggung pada ayah. Itu yang buatkan ayah selalu gelap hati tu!” omelnya lagi. Aku ketawa terbahak-bahak.

“Rina bimbang perempuan tu akan mengikis duit ayah?” tanyaku. Adrina menganggukkan kepala.

“Sepanjang yang Rina kenal ayah, berapa ramai dah perempuan sebegitu yang Rina tengok berkepit dengan ayah?” tanyaku.

“Ramai.” jawabnya.

“Setakat ini bisnes ayah terjejas tak?” tanyaku lagi. Adrina menggelengkan kepala.

“Apa nak buat kita dapat bapa semacam itu. Tapi sungguhpun ayah itu kaki perempuan, dia bukannya bodoh. Dia pernah beritahu abang bahawa apa sahaja yang kita miliki, kita mesti fikirkan cara untuk mendapatkan keuntungan maksimum darinya dan lepaskan pada orang lain kalau kita rugi kerananya.” hujahku. Adrina terdiam sebentar.

“Itu ke sebabnya abang tak mahu terima tawaran bekerja dengan ayah?” tanya isteriku. Perbuatanku yang mendiamkan diri agak lama memberikan isyarat bahawa aku mengiyakan pertanyaannya tadi.

“Pening kepala Rina dapat ayah dan suami yang licik.” rungutnya seraya mencubit lengan kiriku. Aku mengaduh dan ketawa.

- Tunggu Part 2 nanti -

Sunday, July 14, 2013

MetroPolis Episod 3 Bab 18 (Part 4) - Suram



MetroPolis Episod 3
Bab 18
Suram (Part 4)


“Identiti sebenarmu telahpun diketahui oleh Masonik, Nicol. Kau sepatutnya akan ke Prague lagi pada minggu hadapan, bukan? Mereka akan menangkapmu dan menyiksamu untuk mendapatkan maklumat tentang Organisasi.” Pemberitahuan Mayhem itu membuatkan muka Nicol menjadi pucat.

“Bos janganlah bermain-main dengan saya!” tikai Nicol dengan bentakan kecil.

“Aku tak main-mainlah! Aku serius ni!” balas Mayhem.

“Habis, mengapa tuan tersengih-sengih bila bercakap begitu tadi?” hujah Nicol pula.

“Yakah aku tersengih? Aku memang suka tersenyum; apa nak buat! Lagipun tadi dalam masa yang sama sebenarnya aku terfikir untuk menyakatmu. Tapi dalam hal yang lain.” balas Mayhem pula. Nicol memincingkan mata. Orang atasannya itu masih tersengih-sengih.

“Bos tipu!” bentaknya dengan nada bengang.

“Demi Allah yang jiwaku di dalam genggamannya. Aku benar-benar bercakap benar, Nicol. Aku tersengih sebab aku bercadang nak mengusik fesyen rambutmu yang macam separuh tempurung kelapa. Wuahaha!” Mayhem ketawa berdekah-dekah selepas itu. Nicol menggelengkan kepala.

“Baiklah! Serius! Serius semula! Nicol! Aku arahkan agar kau terus pergi ke kubu utama Organisasi. Malam ini juga!” ujar Mayhem tiba-tiba menghentikan tawanya. Wajahnya kali ini benar-benar serius.

***************************************

Pada masa yang sama di kubu Organisasi Daulah Maddani, Madinah.

“Ren; apa maksudmu? Kenapa dengan Cat, Ren?” tanya Enbi bertalu-talu. Ren Fairuz memperlihatkan wajah serba-salahnya. Seketika kemudian Drakulon dengan pakaian makmalnya muncul.

“Ah! Saif! Tepat pada masanya!” seru Ren dengan nada gembira dan lega. Kini pandangan bimbang Enbi beralih kepada Drakulon pula.

“Tuan Drakulon...” ujar Enbi. Drakulon senyum tapi ketara kelatnya.

“Enbi, cik Catherine telah menggunakan kaedah terlarang iaitu mengaktifkan adrenalinnya tanpa henti-henti untuk jangkamasa yang lama. Saya sendiri pun berasa kagum dengan tekniknya itu tapi malangnya ia telah memudaratkan tubuh cik Catherine dengan serius. Dengan kata lain, cik Catherine telahpun memusnahkan otot-otot serta sel-sel dalam tubuhnya apabila menggunakan teknik adrenalin tersebut. Ditambah pula dengan kecederaan akibat rejatan elektrik berkuasa tinggi, sepatutnya beliau telah lama mati. Namun Mayhem telah berjaya menahan kerosakan sel-sel dalam tubuhnya dan memacu penyembuhannya dengan kadar ratusan kali ganda. Mayhem tiada pilihan kerana kalau dia tak berbuat begitu, maka cik Catherine mustahil dapat diselamatkan. Bagaimanapun semua kombinasi yang terjadi ke atas tubuh cik Catherine telah menyebabkan kerosakan sel-sel di tahap yang amat serius. Tubuhnya tak mampu lagi menghasilkan sel-sel yang baru. Sel-sel lama pula telah musnah dengan kadar yang begitu cepat sekali. Maka apa yang saya dapat buat cuma memperlahankan kadar kemusnahan sel-sel cik Catherine ke tahap paling optimum.” perjelas Drakulon dengan panjang lebar.

Air mata Enbi bercucuran dengan deras tatkala mendengarkan kata-kata tadi. Beliau menyedari bahawa orang yang amat dicintainya akan mati tidak lama lagi. Namun suatu persoalan masih kuat bersarang di sanubarinya buat masa ini.

“Berapa... berapa lama lagi... dia akan hi.. dia akan bertahan, tuan?” tanya Enbi dengan nada tersekat-sekat. Drakulon dan Ren berpandangan sesama sendiri. Drakulon kemudian memalingkan wajahnya ke arah Enbi kembali.

“Paling lama dalam masa enam tahun sahaja.” jawab Drakulon. Sekonyong-konyongnya Catherine muncul. Beliau tidak lagi menggunakan kerusi roda. Tubuhnya nampak telah pulih seratus-peratus.

“Hai Enbi.” tegur Catherine. Senyuman manisnya masih dipaparkan sungguhpun telah melihat suasana suram di dalam bilik tersebut. Enbi tidak berkata apa-apa. Beliau cuma mendakap tubuh Catherine dan menangis semahu-mahunya.


- Bersambung di Bab 19 -

Saturday, July 6, 2013

MetroPolis Episod 3 Bab 18 (Part 3) - Suram



MetroPolis Episod 3
Bab 18 (Part 3)
Suram



“Kalau puak Syiah ini muslim tetapi membunuh orang muslim juga; apakah pandangan tuan?” tempelak Debu Berlian. Langsung bungkam Rofsanni. Mencuka raut wajahnya. Amru senyum kambing. Nampaknya ketuanya ini sudah pandai terikut-ikut dengan gaya Maharaja Naga Petir yang suka mempermainkan orang.

“Nampaknya kami menyambut tuan berdua dengan baik tetapi tuan menghina pula kami di rumah kami sendiri!” ujar Rofsanni dengan agak keras. Debu Berlian tersenyum.

“Tidakkah kalian yang menghina sahabat saya terlebih dahulu tadi hanya semata-mata kerana nama beliau adalah sama dengan salah seorang sahabat Rasulullah yang kalian benci?” balas Debu Berlian. Senyumannya semakin melebar kerana dapat memerangkap Rofsanni dalam hujahnya sendiri.

******************************

Pada masa yang sama di Menara HAMKA, Malaysia...

“Lama tak berjumpa, Nicol. Bagaimana keadaanmu sekarang?” tanya Emissary Mayhem dengan nada teruja. Nicol Hanany tersenyum lebar. Senyuman lelaki di hadapannya ini sememangnya manis dan mesra; namun orang yang benar-benar mengenali Maharaja Naga Petir itu pasti akan sama ada berasa gelisah atau sangat gembira. Nicol sempat mengerling ke arah pendekar berpangkat Eksekutif yang bernama Zaquan. Rupa-rupanya kabus yang amat tebal ini adalah hasil dari kuasa Karamah orang kanan Mayhem itu.

“Saya sihat, bos. Cuma terlalu tertekan dengan kerjaya saya ini.” jawab Nicol. Mayhem ketawa.

“Kau ini seorang yang sangat cantik. Carilah suami untuk menghilangkan stres kamu itu.” saran Mayhem.

“Apa pula saya nak beritahu kepada suami saya bila saya ke serata dunia untuk tugas-tugas pengintipan dan menjadi ejen talam dua muka? Bahkan buat masa ini hanya bos, maharaja-maharaja Emissary dan Zaquan sahaja yang mengetahui identiti saya yang sebenar.” balas Nicol.

“Aku minta maaf kerana banyak menyusahkan kau selama ini. Tapi jangan kata bahawa aku tak pernah melarangmu untuk memilih jalan ini pula.” ujar Mayhem.

“Tak mengapa, bos. Memang saya yang pilih jalan ini. Namun, kalau bos nak membalas budi saya juga, maka jadikanlah saya ini isteri bos!” balas Nicol Hanany dengan nada yang tidak dapat dipastikan keseriusannya. Mayhem bungkam. Seketika kemudian beliau ketawa terbahak-bahak.

“Shh... perlahan sikit, bos!” pinta Nicol. Emissary Mayhem sememangnya seorang yang amat semberono.

“Aku dah ada tiga orang isteri, Nicol. Mereka selalu membuliku. Kalau kau yang banyak akal ini menyertai isteri-isteriku; pasti aku akan mati muda!” balas Mayhem. Nicol tidak dapat menahan tawanya lantas ketawa berdekah-dekah. Beliau tidak peduli sama ada ada orang lain dapat mendengar suara mereka atau tidak.

“Lagipun si Pemancung Angin memberitahuku bahawa kau angaukan seseorang di MetroPolis.” ujar Mayhem lagi.

“Tuan Ren memang bacar mulut.” komen Nicol dengan nada geram.

“Ya, majikanmu si Enbi telah menumbuknya di kubu Daulah Maddani. Padan muka dengannya!” maklum Mayhem.

“Enbi menumbuk tuan Ren? Berani dan gila dia ini!” komen Nicol pula. Mayhem ketawa lagi.

“Adiknya yang kau angaukan itu bagaimana pula orangnya?” tanya beliau untuk memancing emosi anak buahnya itu. Nicol mencebik.

“Dia mencintai orang lain.” jawab Nicol pendek.

“Tapi dia juga menyintaimu, kan?” tanya Mayhem lagi. Nicol mengangguk.

“Saya tak mahu berebut cinta dan kasih sayang dengan perempuan itu. Kasihan dia nanti.” balasnya.

“Kau tak kisah berkongsi kasih dengan isteri-isteriku tapi kau enggan pula berkongsi kasih dengan perempuan itu. Kau ini peliklah!” tempelak Mayhem. Merah padam muka Nicol. Beliau dengan pantas mengacukan pistolnya ke arah Mayhem.

“Bos jangan nak mempermainkan saya macam orang lain! Saya tengah stres sekarang!” bentak Nicol. Mayhem ketawa dengan lebih lantang. Tangan kanannya mengisyaratkan agar Nicol tidak mengacukan senjata ke arahnya.

“Baiklah! Baiklah! Aku minta maaf. Janganlah tembak. Nanti siapa yang menjaga isteri-isteri dan anak-anakku pula?” ujar Mayhem. Nicol kembali menyimpan senjatanya. Beliau tahu bahawa kata-katanya ketuanya tadi adalah gurauan dan mustahil pistol Nicol boleh mengapa-apakan seorang pendekar bertaraf Emissary.

“Cukuplah kita berbasa-basi. Biarlah kita berbicara tentang tujuan aku menghubungimu dan berjumpamu di sini.” ujar Mayhem.

“Ya; tindakan tuan memang agak semberono dan mungkin mendedahkan identiti sebenar saya pada Masonik.” komen Nicol pula.

“Identiti sebenarmu telahpun diketahui oleh Masonik, Nicol. Kau sepatutnya akan ke Prague lagi pada minggu hadapan, bukan? Mereka akan menangkapmu dan menyiksamu untuk mendapatkan maklumat tentang Organisasi.” Pemberitahuan Mayhem itu membuatkan muka Nicol menjadi pucat.



- Tunggu Part 4 nanti -