Sunday, February 15, 2009

Emo Hero Bab 35

Emo Hero Bab 35



Telah dua hari berlalu semenjak perihal perpindahan Adrina ke Milan, Itali sampai ke pengetahuanku. Fikiranku benar-benar buntu. Perutku asyik berasa senak, lebih-lebih lagi jika terserempak dengan Adrina. Kalau terserempak dengan Diana Danielle tak apa.

“Morning, Arip!” Alamak! Itu suara Adrina. Serta-merta perutku menjadi senak. Aku berpaling ke belakang. Senyumanku yang kelat terpaksa diberikan kepada sahabatku itu.

“Apa pasal senyum teruk macam tu? Nak terberak ke?” tanya Adrina seraya tertawa.

“Sebenarnya perut aku rasa senak. Tapi tak mau pulak buat sebarang pelaburan.” balasku dalam sulaman jenaka. Namun Adrina tidak tertawa kali ini. Matanya tertancap ke arahku seolah-olah cuba membaca fikiran.

“Eh, are you mentally undressing me?” tanyaku dengan nada melawak. Adrina menjelirkan lidah tanda tidak menyukainya.

“Arip nampak tension la…” komennya.

“Apahal pulak kau cakap aku macam tu?” pertikaiku.

“Arip guna perkataan ‘aku’. Tak ingat?” tanyanya kembali. Aku baharu la teringat bahawa Adrina telah mengetahui jika aku menggunakan perkataan ‘aku’ ketika berbual dengannya, maknanya aku sedang dalam emosi yang tidak baik.

“Aku okey. Jangan fikir yang bukan-bukanlah! Jom kita masuk ke bilik kuliah. Nanti bising pulak Prof Aishah.” Aku segera mematikan topik perbualan yang ingin diketengahkan oleh sahabatku itu. Malah aku segera melangkah pergi ke arah bilik kuliah untuk mengelakkannya secara mutlak.

*************************************************
Dua jam selepas kuliah…


“Ku merenung dan merindu. Jelas untukmu kasih. Hanya untukmu. Yakin aku hampiri dirimu yang semakin jauh. Yakin kamu menanti diriku yang sering keliru. Kan kutuju. Kan kutuju. Dan di situ. Halalkanlah aku.” Aku menyanyikan lagu Nitrus bertajuk Cinta dengan penuh perasaan. Wadi yang duduk setentang denganku hanya menjeling. Beliau ditemani oleh buah hatinya si Wawa. Kami bertiga kini sedang melepak di luar perpustakaan Fakulti Undang-Undang.

“Wei, bro! Dah la dari tadi kau senyap saja. Ni apahal layan emo sangat ni?” tanyanya dengan nada yang agak bimbang.

“Suara Arip best la. Tapi macam bunyi tension aje.” komen Wawa pula. Hmh! Ikut aje la apa yang boyfriend kamu cakapkan. Macam burung kakak tua.

“Lechum! Lechum! Lechum ulalaa! Burung kakak tuaaaa!!!” nyanyiku pula. Wadi menggelengkan kepala. Sekoyong-koyongnya kami dihampiri oleh Nizam pula. Di tangannya tergenggam sekeping coklat. Uii… Cadbury perasa kacang Hazel. Kegemaran aku tu!

“Yo!” tegur Nizam.

“Hai!” balas Wadi.

“Hai Nizam.” sapa Wawa pula. Aku hanya mengangkat tanganku dengan lesu.

“Apahal mangkuk tu?” Nizam mengutarakan soalannya kepada Wadi tetapi ditujukan kepadaku. Pemuda berketurunan Melayu-Jawa tersebut menggelengkan kepala. Macam ala tarian Jaipong pulak! Lagipun berani Nizam kata aku ‘mangkuk’? Aku spontan menunjukkan isyarat tangan lucah ke arahnya. Wawa menggelengkan kepala.

“Waa… Junior perempuan bagi coklat kat awak ke, Nizam?” tanya Wawa. Nizam pula menggelengkan kepala. Apahal semua orang nak menggeleng kepala juga ni? Disampuk hantu Ronda si Macan Betawi ke?

“Coklat ni daripada Adrina.” Nizam menghulurkan coklat tersebut kepadaku. Terbeliak mataku. Pada pembungkus coklat tersebut terlekat sekeping kertas kecil yang berlipat rapi. Sekeping nota. Yang enggan diuar-uarkan kepada sesiapa kecuali pada diriku sahaja dari gaya lipatannya. Aku segera menguraikan lipatan nota tersebut.

“I’m so sorry :( ” Begitulah tulisan tangan Adrina yang tercoret pada kepingan nota tersebut. Heh… rupa-rupanya sahabatku itu lebih memahami keadaanku sekarang berbanding dengan diriku sendiri.

“Kau bergaduh dengan Adrina ke?” tanya Wadi. Aku menggelengkan kepala. Namun seperti juga tadi, aku tak ingin nak memanjangkan topik perbualan tersebut. Jadi aku terus menceraikan punggungku dari kerusi empuk yang disediakan di luar perpustakaan tersebut.

“Aku nak ke toilet.” ujarku dengan pendek. Suka hatilah sama ada mereka nak mempercayainya atau tak. Aku terus melangkah pergi meninggalkan mereka.

**********************************************

Ketika sedang merayau-rayau tak tentu hala di bahagian pentadbiran, langkahku memegun kerana terserempak dengan Adrina. Kenapa dia berada kat sini juga?

“Arip nak ke mana? Puas Rina cari merata tempat.” omelnya dalam keadaan termengah-mengah. Aku menatap wajah gadis manis tersebut dengan agak lama.

“Arip? Kenapa ni? Arip marah kat Rina, ya? Arip marah kat Rina sebab Rina nak tinggalkan Malaysia, ya?” Bertubi-tubi pertanyaan Adrina dihunjamkan kepadaku. Aku bungkam. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan-soalan tersebut.

“Arip tak nak Rina pergi ke? Kalau Arip tak nak… Rina… Rina tak akan pergi!” ujarnya yang menyentakkan setiap inci tubuhku.

“Kau cakap apa ni? Jangan mengarutlah Adrina! Takkan kau nak korbankan bapak kau demi untuk aku? Kita ni… kita ni kawan aje, tau? Aku bukannya apa-apa pun dalam hidup kau!” bentakku. Adrina terdiam. Ekspresi wajahnya yang terkejut dan gementar membuatkanku berasa kesal kerana meninggikan suaraku tadi.

“Rina… A… Aku minta maaf.” ujarku dengan nada mengendur. Aku terus berpaling dan berlari meninggalkan Adrina. Namun baharu aje beberapa tapak, tiba-tiba aku tersepak kakiku sendiri lantas jatuh tertiarap ke lantai.

“ARIP!” Aku dapat mendengar jeritan Adrina. Pandanganku berpinar-pinar. Aduuii… Malunya aku! Celaka betul! Kuat betul bunyi dentumanku jatuh tadi. Pasal apa kalau dalam filem komedi perkara macam ini dianggap kelakar? Sakit, tau? Setelah beberapa ketika baharulah aku mampu untuk bangun. Adrina dengan segenap kudratnya berusaha memapahku untuk bangun.

“Ya Allah! Mulut Arip berdarah!” teriak Adrina dengan nada cemas. Oro? Patutlah mulutku terasa masin.

************************************************


Telah hampir setengah jam lamanya aku berada di klinik universiti. Aku telahpun dibawa oleh Adrina pergi ke klinik tersebut. Doktor yang merawatku tadi memberitahuku bahawa kecederaan bibirku tidak berat. Cuma bibirku aje yang pecah. Dahiku pula dah membenjol. Kini kami berdua sedang duduk menunggu pembantu doktor memberikan ubat-ubatan.

“Arip, rasa pening lagi tak? Teruk juga dahi Arip bengkak.” Adrina masih lagi menyuarakan rasa kebimbangannya.

“Teruk? Ada cermin tak?” tanyaku. Adrina membuka beg tangannya lantas mengeluarkan sekotak bedak asas. Baharu la aku terperasan beg tangannya jenis Prada. Kaya-raya, sial… Adrina membuka bedak asasnya. Ah! Aku tak teringat pulak ada cermin disediakan sekali pada bedak asas tu. Sahabatku itu segera menghulurkannya kepadaku.

“Thanks.”ucapku. Perasaan kurang selesa dan bersalah masih kuat bersarang di hati ini. Namun aku segera membelek wajahku pada cermin.

“Alamak! Teruknya benjol kat dahi aku ni! Macam askar Klingon la!” komenku. Namun Adrina tidak ketawa dengan jenakaku kali ini. Aku spontan berpaling ke arah sahabatku itu. Matanya tajam memaku ke mataku. Ternyata beliau berasa marah terhadapku. Aku mengambil keputusan untuk tunduk memandang ke lantai dan mendiamkan diri.

**********************************************


Setelah mengambil ubat, Adrina menghantarku pulang dengan kenderaannya. Aku telahpun menghantar SMS kepada Nizam untuk memaklumkan bahawa aku tak akan menghadiri kuliah Undang-Undang Jenayah Islam dan terus balik ke hostel. Dalam perjalanan kami langsung tidak bercakap. Akhirnya kami tiba ke destinasi yang ditujui. Namun kami berdua masih berdiam diri seribu bahasa.

“Rina… Ingat lagi ke tak lama dulu masa saya gunakan kereta Nizam untuk tumpangkan Rina balik? Masa tu hujan lebat. Ingat tak?” tanyaku seraya memandang ke arah Adrina. Gadis tersebut hanya mendiamkan diri dan memandang ke hadapan. Aku spontan kemudiannya memandang ke hadapan. Manalah tau kot-kot Adrina tengah usha awek cun mana kat hostel aku ni. Nak la tumpang sekaki. Eh! Itu perangai si Shaleen. Silap orang!

“Rina ingat tak kita singgah kat kafe dan Rina belikan saya burger?” tanyaku lagi.

“Arip masa tu sangat-sangat menyakitkan hati Rina. Macam sekarang.” jawab Adrina tiba-tiba. Wah la toi! Masih membara lingkaran api pasifik kemarahannya!

“Hm. Ya. Macam sekarang. Dulu situasinya pun lebih kurang sama macam sekarang juga. Kita dalam kenderaan. Tak berapa mahu bercakap.” ujarku dengan perlahan. Buat seketika kami berdua hanya mendiamkan diri.

“Cuma ada sikit yang berbeza. Sekarang saya pulak di tempat Rina masa dulu tu. Barulah saya tau macam mana perasaan Rina sekarang.” ujarku lagi.

“Tak. Tak berubah. Kedudukan kita tak berubah. Dulu Arip lukakan hati Rina dan buat Rina berasa sangat sedih. Sekarang pun Arip masih lukakan hati Rina dan buat Rina sangat sedih.” Sebaik sahaja mengungkapkan kata-kata tersebut, Adrina terus memekup mukanya dan menangi teresak-esak. Aku bungkam. Tidak tahu apa yang patut terungkap dari mulutku lagi.

“Kenapa Arip buat Rina macam ni? Rina dah beribu-ribu kali minta maaf kat Arip. Tapi kenapa Arip masih buat Rina macam ni?” soalnya pula dalam esakan tangisnya. Hatiku bagaikan luluh mendengarkan pernyataannya yang sayu itu. Memang buat masa ini aku berasakan bahawa akulah manusia yang paling keji dalam dunia ini. Aku melepaskan suatu keluhan berat.

“Saya memang… Saya minta maaf. Saya tak layak jadi sahabat Rina. Saya… Saya tak tau apa nak cakap lagi. Bye, Rina. Goodbye.” jawabku akhirnya seraya membuka pintu kenderaan dan keluar. Setelah menutup pintu kembali, aku terus melangkah ke arah hostelku. Sial betul! Kenapa jadi begini? Kenapa jadi perkara yang membuatkan aku berasa sangat sakit hati sekarang ni? Sial! Sial betul! SIAL BETUL!

Aku kembali berpusing dan berlari ke arah kenderaan Adrina yang masih pegun di kawasan parkir. Ternyata beliau masih memekup mukanya. Masih menangis. Aku segera membuka pintu RAV4 tersebut. Adrina yang tidak menyedari kehadiranku berasa tersentak melihatkan diriku yang tiba-tiba saja muncul di depannya. Buat seketika kami saling berpandangan. Air mata Adrina masih bergenang di kedua matanya. Jangan peduli yang itu. Cakap saja apa yang aku nak cakapkan. Cakap sekarang!

“Adrina… Saya rasa sangat sedih dan marah sebab Rina nak pergi. Tapi saya tetap tak mahu menghalang Rina pergi sebab… sebab saya sangat-sangat sayangkan Rina. Dan kalau kita sayangkan seseorang tu, kita mesti sanggup bekorban demi kepentingannya dan bukan demi kepentingan kita. Itulah yang saya buat sekarang. Tapi saya ni manusia yang lemah. Hati saya tetap sedih dan marah. Saya tak dapat halang perasaan itu sekarang. Maafkan saya, Rina. Saya tak ada niat nak sakitkan hati Rina lagi. Maafkan saya.” perjelasku dengan panjang lebar. Buat seketika kami hanya saling pandang-memandang.

Adrina tiba-tiba memelukku dengan seerat-eratnya. Esak tangisnya semakin lantang di telingaku. Namun ia akhirnya benar-benar melegakan hatiku.


- Bersambung -

Saturday, February 7, 2009

Emo Hero Bab 34

Emo Hero Bab 34



Dalam keadaan yang sangat kekok lagi tegang, sesaat terasa bagaikan begitu lama sekali. Bagi seorang perokok tentu ianya adalah impian mereka. Tapi bagi aku, kini ianya begitu menyiksakan sekali. Apa taknya, aku baharu sahaja menyeranah abang kandungku sendiri dan mendoakan kematiannya.

“Hmm… Begitu rupa-rupanya aku di mata kau selama hari ini, dik. Aku ini macam sampah saja la di mata kamu, ya?” tempelak abang sulungku.

“Kau kecil hati, ya? Kau rasa kau tak patut diperlakukan macam ini, ya? Kenapa kau tak terfikir macam tu bila kau buat kami sekeluarga merana dulu?” tempelakku kembali. Abang sulungku bungkam.

“Arif… Rina tau Rina tak patut masuk campur. Tapi ini bukannya Arif yang Rina kenal. Rina tau tentu ada Arif ada cara yang lebih baik untuk selesaikan hal ini.” suara lunak Adrina singgah menyapa di telingaku dan segera meredakan amarah di dalam hatiku. Aku memandang ke arah sahabatku. Kemudian kembali menatap abang sulungku.

“Aku tak mau cakap apa-apa lagi. Abang long pergi la dari sini. Itulah yang terbaik.” ujarku. Abang sulungku masih lagi terdiam. Namun kemudian beliau melirikkan senyuman.

“Dik, aku nak pinjam seratus boleh tak?” pintanya. Darah baranku kembali meluap. Memang ada yang kena libas dengan pedang Conan karang ni! Sebelum aku membuka mukaddimah carutku, lenganku terasa diramas dengan agak kejap secara tiba-tiba. Aku menoleh. Rupa-rupanya Adrina yang memegang kemas lenganku.

“Ini saja yang kami ada. Abang ambillah dan buatlah apa yang patut sekarang.” pinta Adrina sambil menghulurkan sekeping not lima puluh Ringgit Malaysia. Dengan perasaan tiada malu abang sulungku mencapai wang tersebut. Kemudian tanpa berkata sepatahpun beliau terus berpaling dan melangkah pergi meninggalkan kami berdua. Kini perhatianku terarah ke Adrina pula.

“Kenapa kau buat begitu? Kau seolah-olah menghina keluarga aku, tau tak? Kau ingat aku ni sengkek sangat tak berduit nak bagi abang aku yang sengkek juga tu ke?” persoalku dengan nada keras. Adrina menggelengkan kepala.

“Rina tau Arip ada duit. Tapi persoalannya, Arip nak bagi ke duit kepada abang Arip tadi?” tanyanya.

“Jangan harap! Pergi mampuslah!” ujarku.

“Rina tau Arip tak akan bagi. Itu sebab Rina bagi. Kalau tak, tentu Arip dan bang Arip akan bertengkar dengan lebih lama lagi di sini. Arip nak ke membuka pekung dan aib keluarga Arip sendiri dan bagi semua orang kat sini dengar?” tanya Adrina dengan lembut. Namun bait-bait katanya itu memang masuk akal. Emosiku kembali mengendur.

“Rina… Aku minta maaf sebab cakap kasar kat kau tadi. Sorry, ya?” pintaku. Adrina tidak menjawab. Sebaliknya beliau mencubit lenganku dengan agak kuat sambil tersenyum geram.

“Sampai hati marah kat Rina macam itu! Geramnyaaaa….” omelnya seraya menguatkan cubitan. Aku langsung tertawa dengan telatah sahabatku itu.

“Okey! Okey! Aku akan bayar balik lima puluh tu kat kau. Janganlah piat aku lagi. Sakit, tau?’

*****************************************


Beberapa hari kemudian.

“Sekali lagi pak cik rasa terhutang budi dengan Arip sebab tolong Adrina hari tu.” Pak cik Marlbo… Jeffery memulakan bicara setelah berbasa-basi buat beberapa ketika. Aku memerhatikan tempat yang Adrina bawaku tuju. Sebuah restoran. Namanya Restoran Songket. Bukan main keMelayuan sekali. Tapi rekabentuk dalamannya memang cukup hebat. Tentu tempat ini cukup eksklusif dan mahal. Malah kerusi yang kulabuhkan punggung inipun memang empuk rasanya. Tak berani aku nak kentut, takut kalau-kalau rosak pulak sulaman baldunya!

“Saya kan kawan baik Rina. Takkan saya nak buat tak peduli aje?” balasku. Chewah! Macam iklan tak nak merokok pulak!

“Arip kata kalau nak balas budi, ayah kena bayar dia dua ratus ribu ringgit.” ujar Adrina secara tiba-tiba. Buat seketika kami berdua bungkam.

“Eh, mana ada? Pandai la Adrina buat cerita.” tingkahku. Adrina tertawa mengekek. Samdol kau, minah. Saja nak jatuhkan indeks Nikkei Hang Seng aku di depan Marlboro Man, ya? Pak cik Jeffery akhirnya turut tertawa.

“Ha! Dulu anak ayah ni tak pandai buat lawak yang bukan-bukan macam sekarang. Ni… mana belajar ni?” persoal pak cik Jeffery. Adrina tak menjawab. Sebaliknya matanya menyorot ke arahku dengan senyuman nakal. Ah, sudah! Nak menuduh aku pulak! Walaa Takrabuzzinaak! Pak cik Jeffery tentu akan mengetahui siapakah perosak moral jati diri anaknya. Buat-buat tak tahu! Pandang tempat lain! Uii… lawanya pelayan tu. Pakai baju kebaya bukan main seksi sekali. Memang baju kebaya ni cukup hebat rekaciptanya. Pinggul gadis-gadis Melayu terakhir menjadi semakin seksi dibuatnya. Aku patut ucapkan tahniah kepada Datuk Dahaman Manja Lela sebab merekacipta baju kebaya ni pada zaman kerajaan Kesultanan Melaka. Tentu dia setaraf dengan Gucci kalau mengikut zaman ini. Eh, korang percaya ke apa aku cakapkan ni? Aku sendiri pun tak percaya. Hahaha!

“Pelayan tu memang cantik, kan? Seksi pulak tu. Malah di sini semua pelayannya cantik-cantik. Arif suka yang mana?” Tiba-tiba pak cik Jeffery menghunjamkan soalan yang membuatkan aku bagaikan di saat-saat kematian seorang pencuri wayar elektrik bervoltan tinggi.

“Oro? Eeehh… Tak! tak! Saya tak pandang pun punggung perempuan tu!” tingkahku mempertahankan diri. Tapi nampaknya hujahan bernasku itu tadi langsung tak menolong menegakkan benang basahku. pak cik Jeffery tertawa berdekah-dekah. Begitu juga dengan Adrina.

“Hansapnya betul Arip ni!” perli Adrina seraya mencubit lenganku.

“Biasalah orang lelaki, ya tak Arif?” ujar pak cik Jeffery seraya menepuk-nepuk bahuku. Aku pula tak tahu nak berkata apa-apa. Malunyaaa… Tolong la sesiapa lemaskan aku dengan serkupan kain songket sekarang!

**************************************************


Lebih kurang sejam kemudian…

“Wuu… Rendang Tok ni memang betul-betul sedap!” puji Adrina.

“Rendang Tok ni makanan special orang Perak, kan Arif?” tanya pak cik Jeffery. Aku mengangguk.

“Tapi saya tak berapa suka makan Rendang Tok. Saya suka makan ayam ikan bakar stail Johor.” ujarku seraya menunding ke arah laukku. Memang sedap sungguh ikan pari bakar ni. Apa yang membuatkannya selazat memandang para pelayan yang cantik di restoran ini ialah sos ikan bakarnya yang memang cukup berperisa sekali. Memang padanlah dengan statusnya sebagai sebuah restoran yang mahal. Bila aku dah kaya nanti, aku akan belanja abah, mak dan adik-beradik aku makan kat sini. Err… abang long, aku tak nak bawak. Err… aku tapau aje untuk dia.

“Lepas ni mungkin susah kami nak dapat makan macam ni lagi.” ujar pak cik Jeffery tiba-tiba.

“Eh? Kenapa pulak?” tanyaku. Pak cik Jeffery memberikan reaksi terkejutnya.

“Rina tak beritahu lagi, ayah…” maklum Adrina. Aku menjadi semakin Conficius.

“Tak bagitau apa?” tanyaku.

“Arip, sebenarnya mama Rina akan berkahwin dua minggu lagi. Arip dijemput hadir, tau? Tapi Arip seorang saja sebab ini majlis tertutup sebenarnya.” maklum Adrina.

“Apa?!!” ujarku dengan nada terperanjat.

“Arip seorang saja yang dijemput. Memang bunyinya tak baik tapi-”

“Mak Rina nak kahwin lagi?” tanyaku. Adrina menganggukkan kepala. Aku spontan memandang ke arah pak cik Jeffery.

“Heh! Bukan pak ciklah. Cukuplah sekali. Pak cik dah serik. Haha!” ujar pak cik Jeffery sambil tertawa.

“Bila mama nak kahwin lain, hak penjagaan Rina akan pergi ke ayah pula. Ini untuk mengelakkan berlaku sumbang mahram.” ujar Adrina. Aku menganggukkan kepala. Orang secantik Adrina ni tentu menyelerakan mana-mana bakal bapa tiri sekalipun. Mak Adrina sungguhpun cantik, namun kalau dibandingkan dengan Adrina yang masih muda ranum lagi bergetah… Wei! Wei! Apa hal aku fikirkan hal macam ini pulak?

“Arip? Kenapa ketuk-ketuk kepala sendiri ni?’ tanya Adrina. Alamak! Aku buat perkara bodoh lagi!

“Aaa… Tak… Saya memang rasa pening kepala kalau minum ais cepat-cepat.” ujarku untuk membuat dalih. Adrina merenung ke arah meja di hadapanku. Aku turut memandang ke arah yang sama. Alamak! Aku terlupa yang aku memesan teh O panas tadi!

“Anyways, Rina akan tinggal dengan ayah dan famili ayah mulai dua minggu lagi.” ujar Adrina lagi. Beliau kemudian memandang ke arah ayahnya.

“Wah! Baguslah! Dapatlah korang berdua tebus masa-masa yang korang dah hilang dulu.” ujarku dengan nada teruja. Adrina menganggukkan kepala. Namun tiada senyuman terlakar pada bibirnya. Pak cik Jeffery pula memberikan senyuman serba-salahnya.

“Arip, Rina mungkin hanya tinggal dengan ayah di Malaysia selama lebih kurang dua minggu saja. Lepas tu mungkin kami semua tak akan ada lagi di sini.” maklum Adrina. Aku gagal menyembunyikan rasa terkejutku.

“Apa maksud kau, Rina?” tanyaku dengan suara bergetar.

“Ayah sebenarnya dah dapat tawaran bertugas di Milan, Itali. Dia terima sebelum tahu mama akan berkahwin. Rina tak mau ayah sia-siakan peluang ni. Jadi Rina akan ikut ayah dan famili ayah ke sana. Ke Milan. Ke Itali.” jawab Adrina.

Jantungku seakan-akan terhenti…


- Bersambung -

Sunday, January 18, 2009

Emo Hero Bab 33

Emo Hero Bab 33


“Rina…”

Bibir Adrina masih lagi menjelajahi pipiku. Perlahan-lahan desahan nafasnya terasa di telingaku pula. Geli, siuut! Tapi memang best rasanya. Lebih best dari ditiup oleh angin sepoi-sepoi bahasa Gunung Fujiyama. Ewah! Macam la aku pernah pergi ke sana!

“Rina… Cukup! Cukup tu…” Aku dengan segenap kudratku menjauhkan tubuh gadis itu dariku. Aku agak kalau dalam komik Pendekar Laut, mau 999,999.99 hp kuasa yang kugunakan tadi. Memang betui la kata Rasulullah bahawa manusia paling kuat di dunia ini adalah orang yang mampu mengekang hawa nafsunya. Adrina mempamerkan perasaan tak puas hati melalui raut wajahnya.

“Rina, kita orang Islam. Aku memang bukan orang alim. Tapi bukan juga orang jahil. Kita tak patut buat begini. Ini… ini dah salah.” ujarku.

“Habis, masa Arip cium bibir Shaleen kat parking lot tu tak salah?” tingkah Adrina. Aku bungkam. Rupa-rupanya ada orang nampak. Lagi teruk orang tu ialah Adrina!

“Kau menghendap aku ke, Rina?” tanyaku.

“Ya. Tapi jangan berdalih nak menjawab soalan Rina tadi.” tegas Adrina. Aku terdiam seketika. Kemudian menghela nafas panjang dan melepaskan suatu keluhan berat.

“Memang. Memang salah. Malah berdosa. But two wrongs can never do one right, betul tak? Lagipun kalau kita biarkan perkara tadi terus berlaku, mungkin akan terjadi lebih teruk lagi dari apa yang aku buat kat parking lot dengan Shaleen hari tu.” ujarku mempertahankan diri. Mata Adrina mulai berkaca. Alamak! Ini yang leceh ni! Aku segera memalingkan pandanganku dari menatapnya. Tak sanggup rasanya aku melihat Adrina dalam keadaan terluka sekarang.

“Arip… Betul ke dalam hati Arip tak ada secebis pun rasa cinta kat Rina?” tanyanya dalam nada bergetar. Aku memejamkan mataku. Aku berharap agar semua ini hanya mimpi. Tapi bila aku membuka mata, realiti tersebut tetap mengasakku. Apa yang diperingatkan oleh ibu Adrina sebelum ini kini menjelma di depan mata.

“Rina… Tak adil dalam keadaan sekarang Rina bertanyakan soalan tu kat saya.” ujarku. Wajahku masing berpaling darinya. Namun esakan kecil tangisannya jelas kedengaran di telingaku.

“Arip… Arip tak cintakan Rina sebab Arip masih tak percayakan Rina ke? Arip masih ingat Rina akan buat aniaya kat Arip ke?” tanya gadis itu dalam esakannya. Aku hanya mendiamkan diri.

“It’s true, then. You never trust me. Even from the very beginning. You just… pity me.” taakul Adrina. Aku masih berdiam diri. Mengiyakan pun tidak dan menafikan pun tidak. Tiba-tiba bahuku disentuh dengan lembut. Aku spontan berpaling ke arah Adrina. Pandangan kami bertemu.

“I really love you, Arif Akmal. That’s all I have to say.” ujarnya seraya tersenyum. Senyumannya itu cukup pahit dan dipenuhi rasa kepiluan. Air matanya masih beruraian mengalir di kedua pipi. Hatiku bagaikan tersayat-sayat melihatnya. Adrina bangun. Kemudian beliau terus menuju ke biliknya tanpa berpaling lagi. Aku pula hanya memandangnya dengan perasaan bersalah.

Ya Allah, apa yang patut aku buat sekarang? Aku tahu tindakan aku ini memang betul. Pun begitu taakulan Adrina juga adalah benar. Aku kembali berbaring di atas karpet yang empuk. Namun tubuhku langsung berasa tidak selesa.

***********************************************

“Arip… Bangun… Dah pagi ni.” Perlahan-lahan mataku terbuka tatkala mendengarkan permintaan yang lembut tersebut. Dalam keadaan separa sedar aku memandang si empunya suara.

“Adrina… aku memang teruk, kan? Aku bencikan kau sebab cuba menganiayai aku dulu. Tapi aku pun buat perkara yang sama.” ujarku dengan nada masih mengantuk. Adrina kulihat tersenyum.

“Tak apalah, Arip. Memang patut pun Arip rasa begitu. Rina minta maaf because I’ve put you in a difficult situation.” pohonnya.

“Kau tentu tak mau cakap dengan aku lagi, kan?” telahku.

“Ni, Rina tengah bercakap dengan Arip ni! Jom. Arip pergi mandi dulu. Rina ada T-shirt jenis uniseks untuk Arip pakai. Lepas tu kita makan pagi, okey?” saran Adrina. Senyuman kembali bertaut di bibir mungilnya. Namun aku masih dapat melihat kepahitan di dalam senyuman itu. Aku dengan bersusah-payah bangkit untuk menyiapkan diri.

**********************************************

Lebih kurang setengah jam kemudian…

“Apa macam? Best tak nasi lemaknya?” Pertanyaan Adrina kusambut dengan anggukan kepala. Memang sedap sungguh! Nasi lemak mak cik brutal kira tercicir beratus-ratus tiang la kalau disayembarakan!

“Baru-baru ni Rina ajak ayah makan di sini. Dia pun suka.” maklumnya pula. Aku memandang ke arah papan tanda gerai tersebut. “Gerai Long Fadilah”, begitulah nama premises perniagaan tersebut.

“Rina.”

“Hm.”

“Tentang semalam…”

“Jangan sebut lagi, Arip. Nanti Arip rasa bersalah pulak. Rina mungkin rasa terluka sekarang. Tapi lama-lama nanti okeylah. Rina harap Rina akan berjumpa dengan orang yang sebaik Arip. Kalau lagi baik, LAGI BAIK!” ujarnya seraya tertawa. Aku hanya tersenyum kelat. Tidak tahu apa yang patut diungkapkan.

“Rina tak sepatutnya minta yang bukan-bukan daripada Arip. Arip… Arip dah bagi macam-macam kat Rina. Rina ni aje yang tamak. Rina memang selfish… I’m so sorry…” ujarnya lagi seraya menundukkan kepala. Buat seketika masing-masing mendiamkan diri.

“Arip… Rina ada satu lagi permintaan yang selfish. Tapi Rina betul-betul berharap agar Arip boleh penuhi.” pintanya. Senyuman melirik di bibir. Namun cahaya mengharap dapat kulihat dari wajahnya.

“Emh. Kalau aku mampu, aku akan penuhi.” ujarku.

“Rina harap persahabatan kita tetap takkan berubah. Rina harap Arip takkan menjauhkan diri daripada Rina. Rina harap kita tetap mesra macam sebelumnya.” pintanya. Aku menggigit bibir bawahku. Cuba mencari perkataan yang sesuai untuk diungkapkan.

“Aku sebenarnya masih rasa canggung. Tapi aku juga rasa sayang kalau persahabatan kita dirosakkan sebegitu aje. Jadi… aku akan cuba.” ujarku. Adrina tersenyum.

“Itupun dah cukup bagus. Thank you!” ucapnya.

“Nak kemana kita lepas ni? Dah le ponteng kuliah.” omelku. Adrina tertawa.

“Kita-” Adrina tiba-tiba bungkam. Matanya memandang sesuatu di belakangku. Aku segera menoleh ke belakang. Mataku terbelalak.

“Hai Rip!”

“Kau… kau rupanya!” balasku dengan nada terkejut bercampur bengang. Si empunya suara yang menegurku tadi adalah seorang lelaki dalam lingkungan umur 30’an. Beliau senyum. Tapi ianya amat menyakitkan hati.

“Amboi! Dah ada girlfriend lawa buat sombong pulak, ya?” sindirnya. Adrina kulihat menjadi termangu-mangu.

“Kau nak apa sebenarnya?” tanyaku dengan nada dingin.

“Amboi! Begini cara kau bercakap dengan aku? Eh, aku ni Abang Long kau. Hormatlah sikiiit…” balas lelaki tersebut.

“Ye ke? Kalau begitu cubalah bersikap macam seorang abang sulung. Jangan asyik menyusahkan adik-beradik lain.” tingkahku dengan agak keras.

“Ni abang Arip ke?” tanya Adrina. Baharulah aku tersedar dari emosi marahku. Perasaan segan mulai menjalar di segenap sanubariku.

“Ah.. ya. Ini abang aku. Namanya Adry Abrar.” maklumku dengan nada serba-salah.

“Hai, abang.” tegur Adrina dengan agak gementar.

“Hmm… You ni pakaian macam anak orang kaya. Kalau jadi ipar abang besok, bolehlah you tolong abang, kan?” Kata-kata abang sulungku bagaikan guruh yang berdentum di hati. Aku bingkas bangun.

“Sial kau! Dari dulu sampai sekarang perangai macam setan!” ujarku dengan kasar.

“Wei! Lu apahal? Aku bercakap dengan pompuan ni, bukannya lu! Lagipun aku ni abang kandung kau. Aku harap kau hormat la sikit kat aku, faham?” bentak abang sulungku dengan nada keras.

“AKU PULAK HARAP KAU MAMPUS CEPAT! TAK HABIS-HABIS MENYUSAHKAN KAMI SEMUA TERMASUK MAK DAN ABAH! PERGI MAMPUSLAH KAU!” jerkahku.

Buat seketika keadaan sekelilingku menjadi sunyi-sepi…



- Bersambung -

------------------------------------------------------------------------------------------------
Notakaki :

Setiap kali aku menghabiskan masa dengan anakku Damia, pasti dia meminta aku memasang vcd cerita Pingu. Aku sampai dah hafal jalan ceritanya. Pun begitu, aku tak pula berasa jemu menontonnya bersama Damia (kalau aku tak nak join, dia akan merajuk). Cerita Pingu sungguhpun untuk kanak-kanak, ianya sarat dengan pengajaran dan nilai-nilai yang baik berbanding dengan filem atau drama untuk golongan dewasa. Dan ianya telah mencetuskan minat aku untuk menceburi bidang penulisan buku cerita kanak-kanak pula.

Aku masih teringat pada zaman kecilku, kami dihidangkan dengan buku cerita kanak-kanak berbentuk siri penyiasatan atau cerita sains fiksyen. Namun zaman sekarang selera kanak-kanak telahpun berbeza. Mereka lebih cenderung kepada cerita-cerita seperti Harry Porter, Narnia dan The Golden Compass. Malah kartun-kartun yang kutonton bersama Damia pada masa kini lebih berbentuk kepada perkara-perkara gelap, ganas dan kesyaitanan seperti Danny Phantom, Astro Boy, Ben10, Naruto dan beberapa lagi yang aku tak ingat buat masa ini. Memang ianya sangat mengganggu fikiranku sebagai seorang bapa...

Mungkin aku juga terpaksa mengikut selera zaman sekarang dalam pembuatan cerita kanak-kanak. Namun pada masa yang sama aku juga perlu berhati-hati agar minda kanak-kanak di Malaysia tidak dirosakkan oleh idea di dalam penulisanku. Rupa-rupanya lebih susah nak membuat cerita kanak-kanak, ya? :)

Friday, January 9, 2009

Emo Hero Bab 32

Emo Hero Bab 32


“Rina, kita dah sampai.”

Adrina yang baharu saja dibuai mimpi membuka matanya. Nasib baik la minah ni bukan jenis berdengkur badak air. Tak pun lagi teruk air liur basi menjelejeh keluar dari mulut. Kalau macam itu aku kena ucap takziah la kat laki dia nanti.

“Hai.” tegurnya seraya tersenyum. Ewah… nak buat aksi manja-manja sleeping beauty pulaaak! Entah kenapa tiba-tiba aku terkenangkan bapak aku yang mesti terkentut lima enam kali setiap kali bangun dari tidur. Bunyi gemaannya yang mampu meruntuhkan gunung tu aku anggap jam loceng untukku bangun bersolat subuh.

Aku sempat menjeling jam. Dah pukul 4.12 pagi rupanya. Tadi di hospital terlalu banyak masa terbuang hanya untuk tunggu doktor bertugas datang memeriksa Adrina. Aku pula dah macam batang balak tidur di atas bangku panjang yang disediakan oleh pihak hospital. Sementelah Adrina turut kehilangan telefon selularnya angkara peragut-peragut brengsek itu, aku pinjamkan telefonku kepadanya untuk beliau menghubungi ibu bapanya. Aku malas nak mendengar biji butir perbualannya. Cuma sesekali terdengar esakan tangisnya tatkala beliau sedang bercerita. Aku terus berpura-pura tidur dan enggan bangun untuk menenangkan Adrina. Nanti mesti nak berpeluk lagi. Seronok tu memang la seronok. Tapi… aku takut hatiku semakin keliru nanti. Semenjak akhir-akhir ni aku berasakan bahawa hubungan platonik antara aku dan Adrina dah semakin jauh tersasar dari matlamat asal.

“Kita dah sampai. Jom.” maklumku.

“Dukung.” pinta Adrina. Ewah-ewaaah! Tadi bukan main aktif jalan ke sana-sini macam kuda equestarian alih-alih nak berdukung pulak?

“Jangan nak mengada. Nak dukung-dukung pulaaak. Kau bukannya dugong perlu nak berdukung.” sindirku seraya tertawa. Adrina mencebikkan bibir. Marah le tu.

“Kalau Shaleen tu tentu boleh.” omelnya.

“Tak adanya! Korang berdua ni kalau aku dukung berat sekor-sekor macam tujuh guni beras. Mau terkehel tulang bontot aku, tau?” balasku. Kami sama-sama tertawa.

“Okey. Kalau Arip cakap macam tu baru adil.” ujarnya.

“Adil apa pulak? Bukannya korang berdua bermadu jadi bini aku.” perliku seraya tertawa. Lepas tu baharu la aku menyumpah dalam hati sebab bermulut capui sangat.

“Perasan la abang kita sorang ni… Nak kahwin dua kunuuun. Siapa entah nak kahwin dengan dia! Tak malu…” kutuk Adrina kembali. Kini giliran dia pulak ketawa. Aduss… tepalu hatiku dengan usikannya itu. Entah kenapa aku berasa agak kecewa bila Adrina berkata sedemikian rupa.

“Yalah… kita sedar la siapa diri kita ni. Rupa tiada… harta pun kurang. Bulu hidung pun panjang.” balasku. Berderai tawa Adrina menggemai (ada ke perkataan ni wahai editor?) ruang lingkup SUV. Aku pun turut tertawa. Berjaya juga aku menyembunyikan perasaanku tadi.

Pun begitu aku tetap memapah Adrina masuk ke rumahnya. Nasib baik la tembok rumahnya setinggi Tembok Besar China. Kalau ada jiran yang ternampak kami tentu akan ingat yang bukan-bukan. Rumah orang-orang kaya ni memang selalunya tak ada semangat nak berjiran. Kalau aku jadi billionair nanti aku akan tiap-tiap hari bertandang ke rumah jiran tetangga untuk bagi juadah kek pisang. Tambahan pulak la kalau dia ada anak dara yang lawa macam Maya Karin.

“Masuklah. Jangan malu-malu. Hanya kita berdua saja.” sakat Adrina. Dalam jalan terengkat-rengkat tu berani nak buat provokasi lagi.

“Kalau parents Rina tau, tentu depa marah.” taakulku. Adrina menggelengkan kepala.

“Rina dah bagitau. Ayah tak kisah. Nampak sangat dia percayakan Arip. Mama… Mama tak peduli pun.” maklum Adrina. Aii… moden sungguh pemikiran mak bapak Adrina. Kalau bapak aku sahih berbirat kena batang beluti.

“Kalau geng Majlis Agama Islam datang, mampus kita.” telahku pula.

“Kita kahwin saja la. Apa susahnya?” usik Adrina seraya tertawa.

“Mudahnya cakaaap. Kita ni tak sekufu’ dari segi status, tau? Takkan kau nak pilih orang yang macam aku ni?” balasku merendah diri.

“Habis tu, Shaleen pun anak orang kaya juga. Lagi kaya dari Rina, tau?” tingkah Adrina. Nyatalah nadanya berbunyi kurang senang walaupun dia anak ‘orang senang’. Ewah! Sempat buat lawak!

“Sebenarnya… sebenarnya aku tak nak harap apa-apa di antara aku dengan Shaleen. Memang jurang status kami berdua terlalu besar. Tak… tak mungkin dia akan… Yalah… tak mungkin…” maklumku sambil menelan air liur kepahitan. Adrina mendekatiku. Bahu kananku dipegang lunak olehnya.

“Rina tak tau pendirian Leen dalam cinta. Tapi… Rina hanya akan berkahwin dengan orang yang boleh membahagiakan hidup Rina. Rina tak kira siapa dia dan apa status dia. Okey, Arif Akmal?” maklumnya. Nada tersinggung masih ketara pada bait-bait katanya. Kemudian beliau terus melangkah (mendengkot sebenarnya) meninggalkanku. Aku pula tak terkata apa-apa.

“Arip. Di dapur tu ada macam-macam makanan. Makan la kalau Arip lapar.” teriak Adrina dari biliknya yang berada di tingkat atas beberapa minit kemudian.

“Kalau aku jumpa kucing parsi kau kat dapur, boleh tak aku baham?” tanyaku dengan niat melawak. Senyap. Tiada balasan atau tawa Adrina. Nyatalah beliau masih berasa marah. Aku dah jadi macam ni nak makan pun tak ada selera. Jadi aku mengambil keputusan untuk terus berbaring di atas karpet ruang tamu dan memejamkan mata. Empuknya karpet ni. Kalau di rumah aku, karpet macam ni mau cuma dipakai masa hari raya aje. Itupun tak termasuk Gong Xi Fa Cai dan Deepavali. Ah, hari Gawai pun tak juga.

“Arip… kenapa tidur kat sini? Tidur la elok-elok.” Aku terus membuka mata tatkala mendengarkan suara lunak Adrina bersama sentuhannya. Ish, aku betul-betul dah tertidur rupa-rupanya. Tadi rasanya macam tengah tengok cicak mengawan kat atas siling aje.

“Hari Gawai tak payah la pakai karpet ni.” ujarku.

“Ha? Apa Arip cakap ni? Ariiip… Arip mamai lagi nii… Bangun laa…” Sekali lagi mataku terbuka. Aku berasakan tubuhku digoyang-goyang dengan lembut. Aku memfokuskan pandanganku ke arah Adrina. Beliau kelihatan seperti baharu saja lepas mandi. Beberapa titis air di rambutnya menitik ke mukaku.

“Berapa lama saya tertidur?” tanyaku. Bibir gadis yang duduk di sisiku ini mengorak senyuman manis.

“Rina mandi dekat setengah jam. Lepas bersiap Rina turun ke bawah. Tengok-tengok Arip tengah sedap berdengkur.” jawabnya yang tak seperti menjawab soalanku tadi. Tak pedulilah. Bukannya dapat markah macam ujian lisan SPM pun. Aku perlahan-lahan bangun. Baharulah aku dapat melihat fizikal Adrina secara keseluruhannya. Beliau hanya memakai baju T yang longgar dan seluar pendek. Putih mulus lagi melepak pahanya pada pandanganku. Gamaknya kat situ pun dilumurnya Fair and Lovely.

“Ai? Mata tu tengok ke mana?” tanya Adrina dengan nada menyindir.

“Sorry. Mata aku memang nak pandang wajah cantik kamu dan hanyut dalam mata bening kamu. Tapi paha putih melepak lagi seksi kamu mengatasi segala-galanya.” jawabku dalam melawak juga. Adrina tertawa besar.

“Hmh!” ujarnya seolah-olah marah.

“Sorry…” ucapku lagi.

“Kena bayar penalti sebab miang sangat. Tolong sapu ubat dan balut luka Rina kat siku ni. Rina dapat buat di muka dan lutut tapi kat siku ni tak boleh.” pintanya sambil menunjukkan siku kanannya yang mengalami luka tersagat.

“Okey, boss.” jawabku. Aku segera mengambil peti kecemasan yang diunjukkan oleh Adrina kepadaku.

“Angkat siku tu tinggi sikit. Saya nak sapu ubat ni.” pintaku. Adrina akur. Oleh kerana baju T beliau besar lagi menggelebeh, ternampak jelas di mataku bahagian ketiaknya tatkala tangan kanannya diangkat. Dan sudah tentu sedikit dari bahagian dadanya juga ternampak pada mata kasarku. Jantungku bagaikan terhenti seketika. Namun aku buat selamba dan meneruskan kerjaku. Badan gadis di hadapanku ini masih panas. Nampaknya dedar demamnya belum mahu surut. Akhirnya sempurnalah balutanku ke sikunya. Adrina tersenyum.

“Kenapa?” tanyaku.

“Nampak apa-apa yang menarik tadi?” tanyanya. Senyuman mengusik melirik di bibirnya. Siul! Dia perasan rupa-rupanya!

“Hm. Bulu ketiak kau boleh tahan banyaknya…” komenku. Adrina berteriak kecil dan memukulku.

“Jahat la Arip niii!!!” bentaknya. Aku tertawa terbahak-bahak. Mataku menyorot ke arah balutan lututnya pula.

“Ni macam mana Rina balut lutut ni? Macam burung gagak buat sarang aje! Bak sini biar aku balutkan semula.” saranku. Adrina menghulurkan kaki kanannya kepadaku tanpa banyak soal. Aku perlahan-lahan membuka balutan yang tidak kemas tersebut.

“Ouch…” ujar Adrina. Mungkin berasa sakit kerana kulitnya yang terlekat pada kain kasa balutan tadi tertarik sekali tatkala kutanggalkan balutan tersebut.

“Sorry… sorry…” ujarku seraya meniup dengan lunak ke tempat lukanya.

“Aaa…” ujar Adrina pula.

“Sakit ke?” tanyaku. Adrina menggelengkan kepala. Aku terus membubuh ubat kembali ke tempat lukanya dan kemudian membalut dengan kemas menggunakan kain kasa dan plaster yang baharu.

“Okey, dah siap. Sekarang kat muka pulak. Tak payah la tampal tebal-tebal begitu. Macam buruh Myanmar nak ikat bata aje.” komenku seraya tertawa.

“Emh!” rengek Adrina dengan nada tak puas hati. Aku segera menanggalkan balutan pada bahagian pipi kanannya pula.

“Isk! Sakit…” rengek gadis tersebut. Ish… Mengada-ngada la minah ni! Tadi kakak nurse gemuk kat hospital balut luka-lukanya macam memaku ke dinding elok aje tak mengomel.

“Sorry… sorry…” pohonku.

“Tiup.” pinta Adrina seraya menghulurkan pipi kanannya. Aku tanpa berfikir panjang terus meniupnya.

“Aaa…” ujar Adrina dengan perlahan. Oro? Ini rasa ngilu ke atau terangsang ni?

“Tiup lagi.” pintanya dengan nada separa manja. Entah mengapa aku kali ini akur sahaja melakukannya. Aku meniup perlahan-lahan di luka tersebut.

“Aaarif…” Tanpa kuduga Adrina terus merapatkan wajahnya ke pipi kananku dan menciumnya. Kemudian menciumnya sekali lagi. Kemudian menekan bibirnya lama-lama ke pipiku. Desah nafasnya jelas kedengaran pada telingaku.

Aku pula benar-benar tak tahu apa yang patut kulakukan sekarang!


- Bersambung -

*************************************************************************
Nota kaki :

Buat masa sekarang ni, perkara yang paling menyakitkan hati aku ialah perangai setan Zionis, perangai hipokrit Amerika dan Peranchis, perangai pilih kasih PBB, perangai pengecut negara-negara Arab dan perangai zalim negara Mesir yang menyekat bantuan dari luar. Saban hari ianya keluar dalam berita. Dan kalau anda semua perasan, setiap tahun Zionis akan menyerang negara Palestein. Setiap tahun. Bezanya kali ini ianya secara besar-besaran kerana nak menutup malu dek kalah dalam peperangan 34 hari dengan Lebanon (terima kasih kepada Hizbullah).

Di Malaysia, seperti biasa kita akan buat demonstrasi, hantar surat bantahan (macam la diorang nak baca), buat solat hajat serta berdoa dan menyeru agar barang-barang Amerika serta Yahudi diboikot.

Bagiku, ini sajalah yang mampu kita buat. Namun yang aku kesalkan ialah kita membuatnya setakat setengah masak aje. Sebelum solat Jumaat, imam menyeru agar jemaah menunggu seketika untuk bersolat hajat agar umat Islam di Palestein diselamatkan dan Zionis dihancurkan. Tapi aku berasa kesal kerana lebih dari separuh jemaah terus pulang selepas solat Jumaat. Beginilah lemahnya ukhuwah umat Islam di Malaysia. Kemudian imamnya pula berdoa secara umum sahaja. "Hancurkanlah musuh-musuh Islam di muka bumiMu ini." doanya. Oro? Kenapa tak mahu spesifikkan doanya? Doa ajelah "Ya Allah, turunkan hujan api di negara Zionis seperti mana Engkau menurunkannya di kota Sadum dan Gomorah. Datangkanlah ribut yang dahsyat sepertimana Engkau mendatangkannya terhadap kaum 'Ad. Benamkanlah kesemua rakyat Zionis dengan banjir yang besar sepertimana Engkau membenamkan kaum Nabi Nuh 'Alaihissalam. Telanlah mereka semua ke dalam perut bumi sepertimana Engkau melakukannya terhadap Qarun."

Spesifikkan ajelah doa itu. Kenapa berbentuk umum sahaja? Memanglah sepatutnya solat hajat bukan untuk meminta kecelakaan terhadap seseorang tetapi umat Islam di Gaza sedang dizalimi dengan dahsyatnya. Aku tak faham mengapa imam tersebut berdoa sebegitu umum sekali. Apa, dia takut dituduh sebagai anti-Semitik ke? Bila bab boikot lagilah aku sedih. Seorang ustaz tu berdegar-degar memaki Zionis dan Amerika selepas solat. Sambil tu bukan main sedap lagi dia menikmati rokoknya. Aku bagitau yang kebanyakan rokok adalah dari syarikat Yahudi yang menyumbang hampir 20% pendapatan mereka untuk negara Zionis. Jadi sepatutnya kerajaan Hadhari kita sekarang ni dah menyekat import rokok dari syarikat-syarikat tersebut. Dan kita sebagai umat Islam sepatutnya berhenti membeli dan menghisap rokok sebagai tanda boikot. Juga berhenti pergi ke KFC, Mac Donalds, Pizza Hut, Dunkin Donuts dan semua restoran daripada Amerika. Bukan setakat Starbucks aje.

Tau apa kata ustaz tu? "Aku kalau sehari tak merokok ni susah la pulak nak buat kerja." Itulah ujarannya. Aku tersenyum dan dengan selamba berkata "Ustaz, harga rokok tu 60 sen sebatang, kan? Jadi setiap kali ustaz hisap sebatang rokok, ustaz ingatlah bahawa sebanyak 12 sen akan didermakan oleh ustaz sendiri kepada negara Zionis yang ustaz laknat tadi untuk membeli senjata membunuh orang Islam. Assalamualaikum." Itulah kataku lebih kurang. Aku tau tak sepatutnya aku berkata begitu. Namun aku berasa kesal kerana itulah ukuran iman majoriti umat Islam di Malaysia ni.

Selamat menjamu selera di Mac Dee...

Monday, December 29, 2008

Emo Hero Bab 31

Emo Hero Bab 31



“Rip! Join le aku menyanyi lagu Pari-Pari Dibawa Angin ni.” pelawa Yusman. Dia ni senior aku. Cukup suka layan lagu-lagu macam ni. Pandai bermain gitar pulak tu. Setiap hari ada aje la lagu baharu yang dibuatnya. Aku ingat Yusman ni salah tumpang lori masa nak daftar di universiti la gamaknya. Patutnya dia tumpang lori kicap ke studio Ajai. Tapi tersilap naik lori simen ke UNISAS.

“Aku tengah blues la, bro. Susah sikit la nak masuk lagu Meet Uncle Hussain sekarang ni.” tolakku dengan baik dan penuh merafak sembah hormat. Wadi yang sedang berkecimpung dalam aktiviti membuang masa bersama Yusman merenungku dengan pandangan penuh tanda-tanya. Namun beliau enggan menyuarakan kemusyikilannya itu.

“Nizam mana, Di?” tanyaku. Wadi mengangkat kedua bahunya tanda tidak tahu.

“Aku rasa dia keluar dengan gofren barunya tu laaa…” taakul Wadi. Aku tersengih. Senang betul jadi manusia hati batu macam Nizam ni. Tak pernah rasa bersalah terhadap kaum hawa yang dilayannya macam sampah. Aku pula sekarang bagaikan telah membunuh orang. Selepas berjanji temu dengan Shaleen, aku telah menghantar SMS beberapa kali kepada Adrina. Namun tiada sebarang balasan yang aku terima. Hatiku mula dihurung kerisauan. Agaknya Adrina merajuk dengan aku ke? Atau mungkin ibu jarinya bengkak digigit semut api ke? Celaka punya semut api! Pasal engkau la Adrina tak dapat balas SMS aku sekarang! Aku panggil bomba nanti, baru kau tau tinggi rendah langit!

Dalam masa yang sama aku berasa pelik dengan persetujuan Shaleen untuk aku menjaga nyawanya. Siap melawak kalau aku nak jaga tubuhnya pun dia tak kisah! Minah tu seingat aku memang seganas Mak Cik Brutal kat kafeteria tu. Kalau lelaki lain kacau memang likat taik telinga kena maki seranah daripadanya. Aku risau jugak kadang-kala tu. Takut kalau-kalau jantan-jantan keparat ni naik bengang dan mengapa-apakan gadis yang kucintai itu. Menurut Shaleen, pernah mat-mat rempit mengejarnya dengan tak tentu pasal. Rasanya memang dia yang menacri pasal. Namun manalah kapcai mampu melawan Mitsubishi Evolution 7 di lebuhraya, ya dak?

Oh, ya! Berbalik pada lawaknya tadi... memang aku tak sangka dia cakap begitu. Gamaknya kalau aku kata okey, mau la jadi benda yang finger lickin’ good pulak kang! Namun aku benar-benar sayangkan Shaleen. Jadi aku rasa tak ingin mengambil kesempatan ke atasnya walaupun aku dapat mengagak bahawa dia bukanlah gadis yang suci murni macam sabun Zaitun.

Perasaan yang sama juga aku rasakan terhadap Adrina. Kesenyapannya membuatkan aku tak keruan sekarang. Nak basking bersama-sama rakan tersayang pun dah tiada selera. Tapi kalau diajak tengok cerita blue mungkin aku jeling-jeling jugak kot? Aku teringin nak bermain SMS dengan Shaleen. Namun aku tahu Shaleen pasti akan menelefonku untuk berlabun lama-lama dan aku takut Adrina pada masa itu cuba menghubungiku. Biasa la macam cerita filem. Lepas tu kalau filem Melayu tak semena-mena kena langgar kat tempat parking. Lepas tu mati.... Entah apa pangajaran taufik dan hidayah kita boleh dapat dari cerita bodoh macam itu, aku pun tak tau. Ni tengah bengang mulalah cakap yang bukan-bukan.

**********************************************************

Adrina-Adrina-Adrina.... Mengapa dia tak balas-balas mesej aku ni? Dah hampir sejam berlalu semanjak aku menghatar SMS keenam kepadanya. Hatiku bercampur-antara gelisah, marah serta risau. Emosiku tersentap tatkala mendengarkan bunyi nada penerimaan SMS di dalam telefon selularku. Bingkas kubelek pada skrin telefonku.

Aaaiii... Bukannya daripada Adrina tetapi Shaleen. Amoi tersebut ingin mengetahui sama ada aku masih bersengkang mata atau sedang membuakkan taik mata. Aku berasa teruja menerima SMS tersebut, namun aku mengambil keputusan untuk tidak membalasnya.

”Eh? Itu bukan RAV-4 Adrina ke?” Tiba-tiba sahaja Wadi bersuara. Aku bingkas melompat turun dari kerusi dan terus menjengah kepalaku di jenang tingkap. Sah itu kenderaan Adrina. Ternampak olehku kelibat sahabat baikku itu yang keluar dari kenderaannya. Namun ianya nampak agak kekok dan begitu payah sekali.

”Eh, Wadi! Aku keluar kejap. Nampak macam ada yang tak kena dengan Rina la.” maklumku seraya keluar dari bilik tanpa melihat respons sahabatku itu. Langkahku pantas dihalakan ke arah tempat parkir kenderaan. Selang beberapa saat kemudian, akhirnya aku tiba ke destinasi dalam keadaan termengah-mengah.

”Adrina!” sapaku. Adrina yang rupa-rupanya tidak menyedari kehadiranku hampir berteriak kerana terkejut. Tatkala beliau mengangkat wajahnya memandangku, baharulah aku perasan wajahnya mempunyai kesan lebam dan calar-balar.

”Adrina!” teriakku kali ini dengan nada cemas lantas segera mendapatkannya. Adrina pula terus memelukku dengan erat lantas menangis teresak-esak.

”Kenapa ni? Kenapa ni, Rina?” tanyaku. Perasaan cemas masih belum dapat kunyahkan dari sanubari.

”Rina kena ragut!” adu gadis tersebut dalam esakannya. Tergamam aku mendengarkan perkhabaran tersebut.

******************************************************************

Telah hampir setengah jam berlalu semenjak kami sampai di IPD (ibu pejabat polis daerah). Adrina masih memberikan keterangannya kepada seorang pegawai penyiasat yang bertugas pada malam itu. Aku yang enggan masuk campur hanya duduk di suatu sudut yang disediakan sambil asyik menguap-nguap dek kebosanan. Entah berapa setan togel yang dah masuk ke dalam mulutku ini. Aku menjeling ke arah jam. Dah melepasi pukul satu pagi. Sesekali aku menjeling pula ke arah Adrina yang sedang berbual-bual dengan pegawai penyiasat yang pada anggaranku tua sedikit dari umur kami. Begitu segak sekali perawakannya. Muka kacak ala-ala hero Bangladesh pulak tu.

Oro? Aku berasa cemburu ke? Kenapa perasaan aku rasa kurang enak? Emosi aku sekarang berkecamuk sebab mengantuk ke atau kurang senang melihat kemesraan Adrina dengan pegawai penyiasat tersebut?

Tiba-tiba handset milikku berbunyi. Oh! Ada SMS masuk. Aku segera memeriksa. Rupa-rupanya daripada Wadi. Beliau bertanyakan keadaan Adrina. Aku segera membalas bahawa Adrina okey tetapi masih nampak gementar. Wadi kemudiannya membalas pula mesejku yang memintaku menyampaikan salam takziah kepada Adrina. Tatkala aku mahu membalas SMS tersebut tiba-tiba telefonku berbunyi. Ada seseorang sedang menelefonku. Rupa-rupanya panggilan daripada Nizam.

“Hai Nizam.” sapaku.

“Kau kat mana ni, Rip?” tanya Nizam. Apalah tanya terus perkara penting. Berbasa-basi sikit laa… Tanya la dulu cuaca hari ni macam mana ke… Period dah habis ke belum ke…

“Aku kat IPD. Dengan Adrina.” jawabku dengan agak kuat. Aku dapat mengagak yang Nizam telahpun diberitahu oleh Wadi akan insiden tersebut. Adrina berpaling seketika ke arahku. Beliau kemudiannya menghadiahkanku senyuman manis sungguhpun nampak masih gementar. Pegawai muda yang sedang menyoalnya juga memandang ke arahku. Tapi tak tersenyum pun. Eleh, baharu Adrina bersembang dengan dia dah rasa macam girlfriend sendiri pulak. Pegeraaa… Setakat pangkat kat bahu satu paku… aku tak heran pun. Rumah bapak aku ada banyak paku, tau? Paku untuk batu konkrit pun ada, tau?

“Wadi dah bagitau aku tentang hal Adrina. Macam mana dia?” tanya Nizam yang sekaligus mematikan lamunanku.

“Dia tak berapa okey. Badan luka-luka sebab jatuh atas jalan tar. Muka dia pun lebam dan bercalar. Kesian aku tengok. Celaka betui peragut tu! Aku harap dia mampus kena langgar lori IWK sebab cederakan Rina! Oh, tak! Tak! Aku harap dia lumpuh satu badan sampai umur 70 tahun baru mati lepas kena langgar dengan lori IWK.” seranahku dengan nada bengang.

“Bagi ucapan takziah aku kat dia, okey?” maklum Nizam.

“Eheh! Tak ke kau tak sukakan dia?” sindirku. Nizam tertawa.

“Sampai sekarang pun aku tak sukakan dia. Tapi sebab best friend aku cukup sayangkan dia, aku kena la berbaik-baik dengan dia, ya tak?” sindir Nizam seraya tertawa sekali lagi. Dengan segera juga beliau menamatkan hubungan taliannya.

“Oih! Celaka kau Nizam!” rungutku. Apa pulak si buaya tu repekkan? Memang la aku sayangkan semua kawan baik aku. Apadaa… Seranahku di dalam hati segera kutamatkan tatkala melihatkan Adrina yang kini semakin menghampiriku. Nampak gayanya macam beliau telahpun selesai ‘diayat’ oleh pegawai polis muda tersebut. Aku melemparkan pandanganku ke arah pak pulisi tersebut. Ternyata beliau sedang memandang ke arah kami. Eleh… dengan mata bundar Bangla macam tu nak bagi aku renungan maut pulaaak. Tunjal dengan kacip pinang kang baru tau!

“Rina dah selesai. Jom kita pergi ke hospital pulak..” saran Adrina seraya menghulurkan tangannya kepadaku. Entah mengapa beliau berbuat begitu, aku pun tak tahu. Pun begitu aku segera menyambutnya dan terus bangun dari dudukku.

“Rina okey ke?” tanyaku. Wajah tenang dan lembut gadis di hadapanku ini serta-merta menjadi hiba. Beliau menangis teresak-esak sekali lagi di hadapanku. Nyatalah beliau masih trauma dan berasa takut. Aku biasanya tidak tahu apa yang patut kubuat. Namun kali ini aku spontan mendakap Adrina dengan erat untuk menenangkan hatinya. Jari-jemari Adrina juga kurasakan begitu kemas mencengkam tubuhku. Tubuhnya dapat kurasai gigilannya. Namun pada masa yang sama aku turut merasakan peningkatan suhu yang agak luar biasa.

“Semuanya akan okey. Rina jangan menangis lagi, ya? Badan Rina dah dedar. Mungkin terlalu terkejut sampai nak jadi demam. Saya akan temankan Rina sampai selesai semua urusan ni. Dah, jangan menangis lagi, ya?” ujarku untuk memujuknya. Adrina mengangguk. Aii.. Dah le muka tu lawa jelita. Siap dihiasi dengan air mata. Mengangguk comel pulak tu. Memang betul la kaum hawa ni boleh melemahkan hati batu seorang lelaki. Kecuali si Nizam. Dia tu memang tak ada hati gamaknya! Seketika kemudian aku memimpinnya hingga ke pintu SUV. Sempat kulemparkan pandangan ke arah pegawai polis berpangkat Inspektor Pelatih tadi. Beliau masih memandang ke arah kami.

“Rina bagitau polis tadi yang Rina dah bertunang dengan Arip. Dia bukannya nak siasat sangat kes ni. Sibuk nak ngorat Rina.” maklum Adrina beberapa minit selepas kami meninggalkan IPD. Aku yang sedang memandu SUV tersebut hanya tertawa kecil. Patut la mamat tu pandang aku macam babun yang mendendami pasangannya.

“Arip marah ke?” tanya Adrina pula.

“Kenapa pulak saya mesti marah? Rina nak mengelak dari ‘sales after service’ mamat polis tu, kan?” tanyaku.

“Sales after service?” tanyanya seraya mengorak senyuman lebar.

“Yalah! Lepas tolong ambil statement, sibuk la dia nak buat ‘sales’ untuk mengayat pulak. Kunun nak protect Rina la tu…” perjelasku. Adrina tertawa kecil.

“Rina tau keadaan Rina sangat fragile sekarang. Jadi sesiapa saja boleh ambil kesempatan ke atas Rina.” ujarnya.

“Itu sebab Rina reject mamat polis tu, ya?” taakulku seraya memandangnya. Adrina menganggukkan kepala. Kemudian kami berdua berdiam diri buat beberapa ketika.

“Arip… Sebenarnya ibu Rina tak ada di rumah. Dia ke Los Angeles. Ayah pulak ada kat Brisbane. Jadi malam ni Rina seorang diri aje kat rumah.” maklum Adrina secara tiba-tiba.

“Ooo… jadi Rina nak saya hantar Rina ke rumah kawan malam ni?” tanyaku. Adrina menggelengkan kepala.

“Rina nak balik ke rumah. Tapi Rina harap Arip dapat temankan Rina malam ni.” jawabnya. Aku benar-benar terperanjat hinggakan SUV yang sedang kupandu terbabas sedikit ke tengah jalan.

“A… Apa?” tanyaku dengan gementar. Entah aku tersilap dengar ke tadi? Itulah, mak aku berpesan agar selalu minum susu setiap pagi untuk kesihatan pendengaran. tapi aku ‘tak dengar’. Heh-heh! Dapat faham tak lawak aku tadi?

“Arip tidur saja kat rumah Rina malam ni, ya? Pleaseee… Please, ya Arip?” Adrina sekali lagi merayu dan mengulangi permintaannya itu. Gadis tersebut tahu bahawa beliau berada dalam keadaan yang amat rapuh sekarang. Jadi beliau telah menyekat semua pintu peluang yang ada terhadap pegawai polis muda tadi. Namun beliau telah membuka pintu kesempatan tersebut kepadaku pula kali ini.

Akal dan emosiku begitu giat berfikir sekarang. Adakah ini suatu perkara yang sangat baik… atau suatu perkara yang sangat berbahaya kepadaku?


- bersambung -

Wednesday, December 17, 2008

Emo Hero Bab 30

Emo Hero Bab 30



Apa kejadahnya makan roti aje ni… Perut aku ni biasanya memproses nasik jadi bahan kumbahan. Inikan alih-alihnya nak proses roti pulak. Namanya pun udah la pelik-pelik. Pan Au Crust. Macam bunyi mencarut aje… Mujur la intinya ada yang pedas-pedas. Sedang aku melahap dengan iltizamnya, baharulah aku perasan bahawa dua bijik mata comel Shaleen sedang menatapku. Aku tersenyum. Amoi tersebut turut tersenyum.

“You don’t like eating here, yes?” tanyanya.

“Perut aku ni perut kampung. Nak makan nasik jugak. Itu sebabnya aku tak boleh pergi belajar kat oversea.” jawabku secara kiasan yang mengiyakan pertanyaan tersebut. Siap dengan alasan lisan lagi tu! Sebenarnya otak aku ni jenis bengap. Itu sebabnya keputusan SPM aku hanya layak untuk universiti tempatan aje. Kalau tak memang teringin nak belajar kat oversea. Boleh la setiap malam pergi kelab tarian bogel! Hahahaha!!!

“Kalau sebegitu rupanya, marilah kita mencari-cari restoran makan orang Melayu selepas ini.” saran Shaleen. Aku tertawa kecil.

“Ha! Apa pula gerangan halnya?” tanya Shaleen. Amboi mak! Hebatnya tatabahasa! Berpotensi untuk jadi jurubuhasa Adolf Hitler ni!

“Leen kata ‘restoran makan orang Melayu’. Mampus laaa aku nak pergi ke sana!” maklumku seraya tertawa. Shaleen turut tertawa. Jari-jemarinya segera dihalakan ke arahku. Nak mencubit aku la tu. Dah ikut perangai Adrina la-

Adrina… Tiba-tiba wajah sahabat baikku itu muncul di fikiran. Dia masih diboikot oleh bebudak batch kami. Tentu dia keseorangan sekarang. Selalunya ada la aku di sisi untuk mengisi cepu keceriaan hatinya. Kesian dia…

“Adeh!” Lamunanku dimatikan dengan perasaan pedih di lengan kananku. Sahih cubitan Shaleen telah menemukan mangsanya. Aku kembali membalas dengan menangkap tangan nakalnya itu.

“Aku kokak kang tangan ni!” ugutku. Shaleen tertawa.

“Kokak?” tanyanya pula.

“Kokak tu maknanya gigit la!” maklumku.

“Kalau Arip kokak tangan Leen, Leen akan kokak kepala Arip, tau?” ugutnya pula. Aku tertawa lantas melepaskan tangannya. Shaleen segera menarik tangannya itu dan kemudian menjelirkan lidah kepadaku.

“Cantik bebeno le rupanya tu. Macam opah ular Anaconda!” kutukku. Shaleen yang berasa bengang dengan usikanku bingkas bangun. Sahih nak mendebik aku la tu! Dan buat seketika meja kami menjadi kecoh. Namun tiba-tiba keceriaan TV3 tersebut terbantut tatkala telingaku menangkap nada deringan telefon selularnya. Shaleen segera melihat empunya si pemanggil pada skrin telefonnya. Jelas pada pandanganku air mukanya yang berubah secara tiba-tiba.

”It’s me. Hm. Hm. I’m with someone right now. Why do you wanna know? Since when you’re becoming a busybody?” Secara beransur-ansur suara Shaleen menjadi keras.

“Well, since when do you give a fuckin’ damn about my whereabouts? I don’t give a damn about what you think. It’s my fuckin’ life and hence it’s none of your fuckin’ business. So, chill… and fuck-off!” Rasa nak tergeliat femur left metatharsal aku melihatkan sikap kasar 18SG amoi di hadapanku ini. Nampaknya betul-betul kalah mi kari berapi kali ni! Buat seketika kami mendiamkan diri apabila Shaleen menutup suis telefonnya.

”Are you okay?” tanyanya tiba-tiba.

“Aku la yang patut tanya begitu. Tapi tak berani. Kang aku takut tak pasal-pasal kena maki dengan kau pulak.” jawabku dengan panjang lebar. Shaleen tertawa.

”Leen okey. Leen marah orang lain, takkan nak lepas marahan Leen ke Arif.” ujarnya seolah-olah memujukku. Eleh... dulu aku kena maki pasal tanya personal life dia kat kafeteria tu dia tak ingat ke? Hmh! Amoi mudah lupa!

”Ini la pertama kali aku tengok kau betul-betul sangat marah. Siapa tu? Boyfriend lama, ya?” tanyaku. Shaleen menggelengkan kepala.

”That’s my father.” jawabnya pendek. Namun jelas rasa pedih tersulam pada jawapannya itu.

“Oro?” Dah. Aku tak mau tanya lagi!

************************************************************************


”Betul-betul ke Arip kekeyagan dengan henya makan roti?” tanya Shaleen. Kami baharu sahaja keluar dari Delifarnce setelah melepak di sana selama berjam-jam sambil melahap roti. Aku mengangguk.

”KEKENYANGAN la, sayang.” balasku memperbetulkan nahunya.

”Ke-ke..” ujar Shaleen yang sedang cuba untuk menyebut dengan betul.

”Nyaa... ngan!” ujarku pula untuk mengajarnya.

”Nyaaaaaaaa... NGAN! Ke-ke.. nyaaaaa... NGAN!” ujar Shaleen.

”Betul! Pandai!” pujiku.

”Cakap lee ’pandai, sayang’ macam tadi.” sindir Shaleen.

”Ewah... pandai perli aku pulak tuuuk!” komenku. Shaleen tertawa. Tapi aku sebenarnya berasa malu pulak diperli dengan sebegitu rupa.

“Eh, amoi! Kita singgah ke masjid atau surau kejap. Saya kena solat.” maklumku tatkala tiba di keretanya. Shaleen menaikkan kedua keningnya.

“Soldad?” tanya Shaleen.

“Solat. Pray.” jawabku.

“Ooo… Kenapa tak gelarkan sembahyang?” tanyanya lagi.

“Sembahyang tu sebenarnya dari perkataan ‘Sembah Hyiang’. Kalau tak silap aku itu dewa orang Cina. Jadi tak proper la…” maklumku.

“Oh? Leen tak tahu-menahu berkenaan hal itu tersebut.” ujar Shaleen. Aku rasa nak tergelak. Kadang-kadang si amoi ni dahsyat sangat bahasanya. Tapi selalunya terpelecok Mak Limah melatah-latah.

“Pious! Arip is a pious person.” ujarnya lagi.

“Huh? Apa maknanya tu?” tanyaku.

“Aaa… Maknanya Arip orang baik-baik. Al-al-al… alen!” maklum Shaleen.

“Ooo… Alim! Taklah! Kalau saya alim tentu saya tak kiss Leen tadi. Tapi solat tu wajib bagi orang Islam. Kalau tak buat hidup saya rasa macam ada kekosongan aje.” maklumku.

“What’s the meaning of ‘hidup konsonan?’ just now?” tanya Shaleen.

“Kekosongan la… Maknanya hidup macam tak ada makna. Tak bersemangat nak hidup. Walaupun cukup serba-serbi tapi hati rasa tak puas.” jawabku.

“I know that feeling. Itu sebab Leen buat nianya pada orang-orang lelaki dulu. Sebab Leen rasa hidup tak ada makna. Selalu fikir nak bunuh diri.” maklumnya. Terbeliak mataku mendengarkan pernyataannya. Gamaknya muka aku macam sumpah-sumpah dalam iklan kerepek kentang Jack and Jill sekarang.

“Leen… Bunuh diri tu berdosa, tau?” ujarku.

“Heh! Leen free-thinker la. I believe that when people die, they won’t go to heaven nor hell. They just… disappear. Be a dirt. Be a part of this ecosystem in this world.” ujar Shaleen.

“Kau sampai sekarang masih rasa nak bunuh diri ke?” tanyaku dengan nada yang agak tertekan. Yalah, dah le lawa. Kalau mati nanti rugi besar, tau? Aku la yang rugi!

“Everyday… Sekarang saja Leen tak fikir nak bunuh diri. Tau tak kenapa?” tanyanya. Aku menggelengkan kepala. Kalau aku jawab pun nanti bukannya dapat A dalam ujian lisan Bahasa Melayu.

“Sebab Leen sekarang rasa happy. Happy sebab Leen bersama manusia yang Leen suka.” jawabnya dengan senyuman melirik. Eleh, saja nak usik perasaan aku la tu! Aku kukur nyor kang baru tau! Yalah, bila aku kukur nyor tentu dia kecewa sebab macam aku tak pedulikan usikannya itu, faham? Huu… ganasnya…

“Leen, betul ke Leen tak sayang nyawa Leen sendiri?” tanyaku. Shaleen mengangguk. Comelnya rupa dia mengangguk. Sayangnya kalau leher yang mampu mengangguk dengan comel tersebut terjerut dengan tali gantung.

“Leen tak peduli langsung dengan nyawa Leen?” tanyaku. Sekali lagi Shaleen mengangguk. Minah ni… aku ingatkan Adrina aje yang skru kepala dah loose. rupanya dia ni lagi banyak skru yang hilang!

‘Hmh!” Itu saja yang terpacul dari mulutku setakat ini. Lebih kurang macam Uchiha Sasuke la bila buat bunyi macam tu. Shaleen membuat ekspresi muka ingin tahu mengapa aku berbuat begitu.

“Kalau kau tak sayangkan nyawa kau, kau bagi aje nyawa kau tu kat aku untuk aku pegang.” saranku tiba-tiba.

“Bagi Arip pegang nyawa Leen?” tanya Shaleen. Aku mengangguk. Rasanya tak comel langsung anggukanku itu!

“Kalau Leen bagi kat saya, saya yang jaga nyawa Leen tu. Jadi Leen tak berhak untuk buang nyawa Leen tak tentu hala lagi. Macam mana? Setuju?” saranku. Shaleen terpaku mendengarkan kata-kataku.

“Why would you want me to do that?” tanyanya.

“Sebab saya tak mahu tengok orang yang saya sayangi sia-siakan nyawanya macam itu aje.” jawabku. Shaleen bungkam. Agak lama kami dalam dalam keadaan mendiamkan diri. Akhirnya Shaleen memberhentikan keretanya di hadapan sebuah surau. Aku segera keluar dari keretanya.

“Tunggu kejap, ya? Kunci pintu, tau?” ujarku. Shaleen mengangguk. Aku segera melangkah pantas ke arah surau. Aku enggan melengahkan lagi masa. Namun semasa solat, tak la aku bullet train-kan pergerakan solatku. Setelah beberapa minit kemudian aku kembali masuk ke dalam kereta Shaleen yang sedia menunggu.

“Sorry, ya sebab lama menunggu.” pohonku. Shaleen menggelengkan kepala tanda tidak mengapa.

“Arif…”

“Hm. Ada apa, Leen?”

“Arif… Leen setuju bagi Arif pegang nyawa Leen!”

- Bersambung -

Nota Kaki :

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana lewat menghantar entry untuk kali ini. Satu sebabnya adalah kerana saya terlalu sibuk. Yalah... bila dekat akhir tahun ni sibuk la nak uruskan hal memperbaharui lesen peguam saya. Yang kedua ialah saya terlalu banyak out-station sampai jatuh sakit. Jadi tak ada mood nak buat cerita ni. Yang ketiga ialah, saya beberapa kali menukar cerita ni sebab rasa tak best. Saya sebenarnya tiada perancangan akan halatujunya selepas ini. Saya tau secara kasarnya apa nak ditulis dan cara ia berakhir, tapi along the way saya reka saja sesedap rasa.

Baharu-baharu ni saya menangis bila membaca berita seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan telah disumbatkan oleh ibunya di dalam lubang tandas. Bayi yang lebam biru kerana kesejukan itu masa dtemui sedang menghisap ibu jarinya dek kelaparan yang amat sangat. Itulah dia 'kasih sayang ibu yang membawa ke syurga'. Selama hidup di dunia ini akhirnya saya dapat merumuskan sesuatu. Kasih sayang yang abadi hanyalah di antara Allah terhadap hambaNya. Yang lain tu jangan cakaplah... Mungkin ada kaum hawa yang mengatakan bahawa kaum lelaki juga patut dipersalahkan dalam kes tersebut. Tetapi cuba fikirkan... siapa yang menyumbat bayi yang tak berdosa tersebut ke dalam lubang tandas? Ada banyak lagi cara untuk menguruskan bayi tersebut agar beliau tidak dizalimi. Jadi dalam hal ini, bagi saya si ibu tersebut adalah seorang yang amat kejam serta berdosa besar terhadap bayinya... dan lelaki yang membuntingkannya hanya berdosa besar kerana berzina sahaja.

Sunday, November 30, 2008

Emo Hero Bab 29

Emo Hero Bab 29



Aku tak dapat mengagak selama mana bibirku bertaut dengan bibir Shaleen. Namun cukup untuk aku merasai kelembutan bibirnya. Cukup untuk aku menghidu bau mekap yang harum pada wajahnya. Cukup untuk aku menyedari bahawa gadis idamanku ini membalas ciumanku dengan rela. Ciuman amaturku ini bukanlah seperti ciuman uda dan dara di dalam filem Hollywood yang memulas-mulas bak buaya membanting mangsanya. Tidak juga seperti filem blue yang bermain-main lidah sampai ular Inland Taipan pun naik seriau melihatnya. Ciuman kami cuma bibir yang menyentuh dan menekan dengan lunak di antara satu dengan yang lain. Lidah kami langsung tidak bertemu. Pun begitu ianya cukup menggetarkan perasaan serta tubuhku.

“Shaleen… Sorry… Sorry…” pohonku setelah akhirnya melekangkan bibirku dari bibirnya. Aku kemudian memandang sekeliling. Fuh… Nasib baik tak ada sesiapa kat sekitar tempat parkir ni. Pandanganku kembali tertancap kepada Shaleen, yang sedang agak tajam memandang kembali.

“I’m sorry… I really am…” ujarku dengan nada kesal.

“Are you?” tanya Shaleen kembali. Kali ini senyuman melirik di bibirnya. Ih! Rasa nak cium lagilah!

“Depends…” balasku.

“On what?” tanya Shaleen kembali.

“Bergantung sama ada kau suka atau tak tadi.” jawabku. Shaleen tertawa. Pun begitu penembinya sempat menyinggah di bahu kiriku.

“Hmh!” rengus Shaleen. Pun begitu senyuman masih tetap utuh melirik pada bibirnya. Oro? Dia tak marah? Aku menjadi semakin teruja pulak sekarang.

**************************************************************

Pun begitu, sudah lebih kurang 15 minit berlalu semenjak kami memulakan perjalanan namun masing-masing berdiam diri kerana masih dicengkam dengan perasaan kekok. Aku betul-betul tak tau topik apa yang nak dibualkan. Kalau dengan Adrina, tak habis-habis kami bersembang macam mesingan yang tak berkesudahan pelurunya. Kadang-kadang tu dua-dua sekali bercakap dan aku tak tahu la siapa yang mendengar. Bila bersama Shaleen otak aku terus beku kecut tak dapat mengalirkan idea.

“Arif masih cintai Leen ke?” Akhirnya keheningan tadi dipecahkan oleh soalan yang paling tak ingin aku nak jawab. Eh, tak! Soalan yang paling tak inginku jawab ialah apakah hubungan aku dengan Fasha Sandha selama ini. Hahahaha!!!

“Cintai sungai kita.” ujarku dalam nada mengumam.

“Hah?” tanya Shaleen.

“Tak. Tak. Just thinking out loud. Buat apa nak jawab soalan tu? Dengar pun hati aku dah rasa macam dihiris-hiris. Hiris bawang buat rencah sup.” jawabku.

“Hah? Arif cakap apa benda tu?” tanya Shaleen kembali.

“Tak. Tak. Thinking out loud lagi.” balasku. Aku ni pun satu. Dalam tengah ‘emo‘ macam ni pun masih nak fikir yang bebukan. Eh! DVD blue Island Fever aku siapa yang pinjam hari tu, ek? Wadi kot? Puih! Puih! Jangan fikir benda tu lagi! Kang terpacul kat mulut tak berlesen FINAS aku ni pulak!

“Arif. I’m so sorry. Leen sangat sukai Arif. Tapi Leen tak boleh pergi jauh dari situ. Leen tak berani. Leen sorry.” Kata-kata Shaleen mengesahkan bahawa beliau mengetahui apakah perasanku terhadapnya kini. Lagipun aku dah menciumnya tadi. Sudah terang lagikan bersuluh la jawabnya! Takkan la aku cium dia tadi sebab nak suruh dia rasa taik gigi aku. Aii… Tak patut tadi aku menciumnya. Kini hatiku kembali sakit seperti dihirs-hiris. Hiris bawang buat rencah sup. Eh? Aku cakap lagi ke? Ah, lega! Aku terfikir dalam hati aje rupanya tadi… Kini kami kembali mendiamkan diri. Tiba-tiba lagu di radio menguandangkan lagu ‘Cinta Antara Kita’ nyanyian Duta. Secara spontan aku turut menyanyikan lagu tersebut.

“Sejak dari dulu kumenyintaimu. Kau tahu begitu namun kau berpura. Kumasih teringat kau peluk diriku. Dan telah membuat kumenyintaimu. Sudah berapa lama diriku ini tak bertemu mu. Mungkin kuharap jua kau merinduku sebagaimana kurindumu. Cinta antara kita tiada penghalangnya. Walau akhir usia kumenyinta dirimu. Kuhanya menunggumu mengata kau cintaku. Ku kan berjanji menyintamu sayang…”

“It’s a very beautiful song. And you have a beautiful voice.” puji Shaleen. Eleh, nak bodek aku la tu.

“Lagu tu memang bagus. Tapi tatabahasa dalam liriknya banyak yang tak betul. Jadi tak bagus untuk dijadikan rujukan dalam latihan tubi peperiksaan kertas Bahasa Melayu, ya anak-anak?” terangku dengan nada melawak. Siap kepit suara macam cikgu Markonah lagi tu. Shaleen tertawa.

“Kau tak usah la rasa bersalah sebab tak dapat balas cinta aku ni, Leen. Aku bukannya bebudak lagi. Aku okey. Aku percaya satu hari nanti aku akan jatuh cinta dan cinta aku itu akan dibalas. Pompuan tu nanti akan jadi isteri aku dan kami akan hidup bahagia dengan cinta kami. Kalau ada duit banyak pun okey jugak!” ujarku. Shaleen tertawa lagi.

“Thanks.” ucapnya. Aku mengangguk.

“For what it’s worth, Leen rasa elok Arif bercinta sama Adrina.” Tiba-tiba sahaja Shaleen mengutarakan cadangan yang kembali membuat suasana menjadi kekok.

“Haii… kau ni memang pandai la mencari topik untuk awkward silence.” sindirku. Shaleen tertawa kecil. Namun sempat lagi penyikunya singgah di lengan kiriku.

“Eh, betul apa?” ujarku mempertahankan kata-kataku tadi.

“What’s wrong with you and Adrina? Leen rasa dia suka Arif melebih dari kawan baik. Dari cerita Arif, Leen rasa meymang dia cintai Arif sekarang. Butul-butul kali ni.” ujar Shaleen.

“Apa nak buat… Aku tak rasa begitu pada dia. Cinta mana boleh dipaksa. Macam keadaan kita sekarang ni leee…” balasku sambil mengajuk cara amoi itu bercakap ‘leee’ beliau.

“Tapi kalau Arif menterima Adrina punya cinta, nanti lama-lama Arif pun akan cintai Adrina jugah. Cinta kan boleh dipopok?” Shaleen membalas servisku dengan back-hand yang kencang. Tapi kelakar dalam masa yang sama.

“Popok tu diapers la… Apa kena-mengena cinta dengan Mami Poko? Pupuk… cinta boleh dipupuk. Bukan popok!” balasku memperbetulkan nahu amoi tersebut. Beliau hanya tertawa. Manja bunyinya. Kalau la kau ni kucing, dah lama aku peluk-peluk kau! Tapi cium mulut aku tak nak! Kucing mana gosok gigi! Busuk!

“Kalau Leen kata begitu, kenapa Leen tak terima cinta saya dan belajar untuk mencintai saya? Cinta tu kan boleh dipupuk?” balasku memulang paku buah keras.

“Hmh! Pandai la Arif manipulate cakap Leen dan cakap pusing-pusing.” rungut gadis Cina tersebut.

“Cakap putar belit laa…” balasku.

“Kenapa tuduh Leen saorang yang penipu pulak?” tingkahnya dengan kata-kata yang tak masuk akal.

“Oro? Bila pulak aku tuduh kamu seorang penipu?” pertikaiku.

“Tu tadi… Arif kata putar-belit!” ujarnya dengan nada merajuk. Aku tertawa.

“Tadi Leen kata saya ‘cakap pusing-pusing’ kan? Bukan ‘cakap pusing-pusing’ sayang… Cakap putar-belit sebenarnya. Itu baru betul. Bukannya saya tuduh Leen ni penipu tadi.” perjelasku dan kembali menyambung tawa.

“Habis, orang yang menipu tak ka dikatakan putar-belit jugah?” tingkahnya. Dah tuisyen Bahasa Melayu pulak nampaknya kami dalam kereta sport yang hebat ni. Tak cool langsung!

“Itu ‘putar alam’ laa… Tapi sebenarnya orang yang cakap putar-belit pun boleh dianggap penipu juga.” maklumku.

“Hah! Makna ya Arif jugah menipu la bila cakap putar-belit tadi, kan? Kan? Kan?” usik Shaleen seraya tertawa.

“Samdol kau ni, amoi! Aku penat-penat ajar kau bahasa kebangsaan, kau gunakan untuk kenakan aku balik, ya? Kin to nin jiom pei pa ko!” ujarku dengan ungkapan ‘makian’ sebagai penutup bicara. Shaleen semakin rancak ketawanya.

***********************************************************

Akhirnya kami tiba juga ke restoran Delifrance setelah memandu selama hampir setengah jam. Betul cakap Wadi tadi. Memang tempat ni agak jauh dari UNISAS. Namun aku sengaja mencari tempat sedemikian untuk mengelakkan dari bertembung dengan orang-orang yang kukenali. Lebih-lebih lagi Adrina. Aku tak mahu hatinya terusik tatkala mana ternampak diriku bersama Shaleen sungguhpun beliau tahu akan jadualku pada hari ini. Mengetahui dan nampak dengan mata kepala sendiri adalah berbeza, tau?

“Dah sampaaaiii…” ujarku dengan nada lega. Yalah, aku berasa lega dan bersyukur sebab tak berlaku apa-apa terhadap kereta Shaleen semasa aku memegang steeringnya. Buatnya terlanggar babi hutan orang asli tadi, tak ke naya?

“Hei, Arif.”

“Hah? Apa dia?”

“Thank you for the lessons. Muah!” Shaleen kini mengucup pipiku pula sebaik sahaja menghabiskan ayatnya. Aku tergamam seketika. Namun sepantas Space Cop Gaban aku kembali pulih dan tenang. Eh, Space Cop Gaban tu ahli Rakan Cop PDRM jugak ke?

“You’re welcome. Tapi mengapa mesti cium pipi aku pulak?” tanyaku dengan nada ingin tahu. Shaleen telahpun membuka pintu keretanya.

“Leen akan belajar menterima cinta Arif. Cinta kan boleh dipupuk?” jawabnya dengan sulaman senyuman seraya terus keluar dari kereta.

Aku pula masih termangu-mangu di dalam kereta dek cuba mencernakan kata-kata gadis idamanku tadi. Space Cop Gaban entah ke mana, Rakan Cop entah ke mana…


- Bersambung -
************************************************************************************
Notakaki :

Akhirnya si penyeksa Nirmala Bonat mendapat balasan yang setimpal di atas perbuatannya iaitu dijatuhi hukuman penjara 18 tahun. Buat masa ini hukuman tersebut digantung sementara menunggu permohonan rayuan daripada peguamnya.

Aku spontan sahaja menepuk tanganku tatkala mendengarkan perkhabaran tersebut waktu disiarkan dalam berita tengahari di TV3 sambil berkata "Padan muka". Si penyeksa tersebut menangis teresak-esak sambil menyatakan "Tiada keadilan dalam dunia ini".

Aku terpaksa bersetuju dengan pernyataannya itu. Hukuman 18 tahun adalah terlalu tidak adil buatnya. Hukuman yang kurasakan paling setimpal buatnya ialah diseksa dengan cara yang sama seperti apa yang dibuat olehnya terhadap Nirmala Bonat. Itu baharulah adil.

Ada pula yang mengatakan bahawa si penyeksa tersebut adalah syaitan bertopengkan manusia. Aku tak bersetuju. Bagiku kejahatan dan kekejaman manusia ini tidak boleh dibandingkan dengan makhluk lain. Binatang tak pernah membunuh atau mencederakan mangsanya demi untuk keseronokan. Begitu juga dengan syaitan. Pernah tak terdengar bahawa kaum syaitan membunuh anak mereka sendiri? Atau menzalimi syaitan yang lain? Tentulah tidak.

Itulah keistimewaan kita ini yang bernama manusia. Kebaikan yang kita lakukan boleh melebihi tahap malaikat manakala kejahatan yang kita lakukan boleh melebihi tahap syaitan.