Sunday, February 15, 2009

Emo Hero Bab 35

Emo Hero Bab 35



Telah dua hari berlalu semenjak perihal perpindahan Adrina ke Milan, Itali sampai ke pengetahuanku. Fikiranku benar-benar buntu. Perutku asyik berasa senak, lebih-lebih lagi jika terserempak dengan Adrina. Kalau terserempak dengan Diana Danielle tak apa.

“Morning, Arip!” Alamak! Itu suara Adrina. Serta-merta perutku menjadi senak. Aku berpaling ke belakang. Senyumanku yang kelat terpaksa diberikan kepada sahabatku itu.

“Apa pasal senyum teruk macam tu? Nak terberak ke?” tanya Adrina seraya tertawa.

“Sebenarnya perut aku rasa senak. Tapi tak mau pulak buat sebarang pelaburan.” balasku dalam sulaman jenaka. Namun Adrina tidak tertawa kali ini. Matanya tertancap ke arahku seolah-olah cuba membaca fikiran.

“Eh, are you mentally undressing me?” tanyaku dengan nada melawak. Adrina menjelirkan lidah tanda tidak menyukainya.

“Arip nampak tension la…” komennya.

“Apahal pulak kau cakap aku macam tu?” pertikaiku.

“Arip guna perkataan ‘aku’. Tak ingat?” tanyanya kembali. Aku baharu la teringat bahawa Adrina telah mengetahui jika aku menggunakan perkataan ‘aku’ ketika berbual dengannya, maknanya aku sedang dalam emosi yang tidak baik.

“Aku okey. Jangan fikir yang bukan-bukanlah! Jom kita masuk ke bilik kuliah. Nanti bising pulak Prof Aishah.” Aku segera mematikan topik perbualan yang ingin diketengahkan oleh sahabatku itu. Malah aku segera melangkah pergi ke arah bilik kuliah untuk mengelakkannya secara mutlak.

*************************************************
Dua jam selepas kuliah…


“Ku merenung dan merindu. Jelas untukmu kasih. Hanya untukmu. Yakin aku hampiri dirimu yang semakin jauh. Yakin kamu menanti diriku yang sering keliru. Kan kutuju. Kan kutuju. Dan di situ. Halalkanlah aku.” Aku menyanyikan lagu Nitrus bertajuk Cinta dengan penuh perasaan. Wadi yang duduk setentang denganku hanya menjeling. Beliau ditemani oleh buah hatinya si Wawa. Kami bertiga kini sedang melepak di luar perpustakaan Fakulti Undang-Undang.

“Wei, bro! Dah la dari tadi kau senyap saja. Ni apahal layan emo sangat ni?” tanyanya dengan nada yang agak bimbang.

“Suara Arip best la. Tapi macam bunyi tension aje.” komen Wawa pula. Hmh! Ikut aje la apa yang boyfriend kamu cakapkan. Macam burung kakak tua.

“Lechum! Lechum! Lechum ulalaa! Burung kakak tuaaaa!!!” nyanyiku pula. Wadi menggelengkan kepala. Sekoyong-koyongnya kami dihampiri oleh Nizam pula. Di tangannya tergenggam sekeping coklat. Uii… Cadbury perasa kacang Hazel. Kegemaran aku tu!

“Yo!” tegur Nizam.

“Hai!” balas Wadi.

“Hai Nizam.” sapa Wawa pula. Aku hanya mengangkat tanganku dengan lesu.

“Apahal mangkuk tu?” Nizam mengutarakan soalannya kepada Wadi tetapi ditujukan kepadaku. Pemuda berketurunan Melayu-Jawa tersebut menggelengkan kepala. Macam ala tarian Jaipong pulak! Lagipun berani Nizam kata aku ‘mangkuk’? Aku spontan menunjukkan isyarat tangan lucah ke arahnya. Wawa menggelengkan kepala.

“Waa… Junior perempuan bagi coklat kat awak ke, Nizam?” tanya Wawa. Nizam pula menggelengkan kepala. Apahal semua orang nak menggeleng kepala juga ni? Disampuk hantu Ronda si Macan Betawi ke?

“Coklat ni daripada Adrina.” Nizam menghulurkan coklat tersebut kepadaku. Terbeliak mataku. Pada pembungkus coklat tersebut terlekat sekeping kertas kecil yang berlipat rapi. Sekeping nota. Yang enggan diuar-uarkan kepada sesiapa kecuali pada diriku sahaja dari gaya lipatannya. Aku segera menguraikan lipatan nota tersebut.

“I’m so sorry :( ” Begitulah tulisan tangan Adrina yang tercoret pada kepingan nota tersebut. Heh… rupa-rupanya sahabatku itu lebih memahami keadaanku sekarang berbanding dengan diriku sendiri.

“Kau bergaduh dengan Adrina ke?” tanya Wadi. Aku menggelengkan kepala. Namun seperti juga tadi, aku tak ingin nak memanjangkan topik perbualan tersebut. Jadi aku terus menceraikan punggungku dari kerusi empuk yang disediakan di luar perpustakaan tersebut.

“Aku nak ke toilet.” ujarku dengan pendek. Suka hatilah sama ada mereka nak mempercayainya atau tak. Aku terus melangkah pergi meninggalkan mereka.

**********************************************

Ketika sedang merayau-rayau tak tentu hala di bahagian pentadbiran, langkahku memegun kerana terserempak dengan Adrina. Kenapa dia berada kat sini juga?

“Arip nak ke mana? Puas Rina cari merata tempat.” omelnya dalam keadaan termengah-mengah. Aku menatap wajah gadis manis tersebut dengan agak lama.

“Arip? Kenapa ni? Arip marah kat Rina, ya? Arip marah kat Rina sebab Rina nak tinggalkan Malaysia, ya?” Bertubi-tubi pertanyaan Adrina dihunjamkan kepadaku. Aku bungkam. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan-soalan tersebut.

“Arip tak nak Rina pergi ke? Kalau Arip tak nak… Rina… Rina tak akan pergi!” ujarnya yang menyentakkan setiap inci tubuhku.

“Kau cakap apa ni? Jangan mengarutlah Adrina! Takkan kau nak korbankan bapak kau demi untuk aku? Kita ni… kita ni kawan aje, tau? Aku bukannya apa-apa pun dalam hidup kau!” bentakku. Adrina terdiam. Ekspresi wajahnya yang terkejut dan gementar membuatkanku berasa kesal kerana meninggikan suaraku tadi.

“Rina… A… Aku minta maaf.” ujarku dengan nada mengendur. Aku terus berpaling dan berlari meninggalkan Adrina. Namun baharu aje beberapa tapak, tiba-tiba aku tersepak kakiku sendiri lantas jatuh tertiarap ke lantai.

“ARIP!” Aku dapat mendengar jeritan Adrina. Pandanganku berpinar-pinar. Aduuii… Malunya aku! Celaka betul! Kuat betul bunyi dentumanku jatuh tadi. Pasal apa kalau dalam filem komedi perkara macam ini dianggap kelakar? Sakit, tau? Setelah beberapa ketika baharulah aku mampu untuk bangun. Adrina dengan segenap kudratnya berusaha memapahku untuk bangun.

“Ya Allah! Mulut Arip berdarah!” teriak Adrina dengan nada cemas. Oro? Patutlah mulutku terasa masin.

************************************************


Telah hampir setengah jam lamanya aku berada di klinik universiti. Aku telahpun dibawa oleh Adrina pergi ke klinik tersebut. Doktor yang merawatku tadi memberitahuku bahawa kecederaan bibirku tidak berat. Cuma bibirku aje yang pecah. Dahiku pula dah membenjol. Kini kami berdua sedang duduk menunggu pembantu doktor memberikan ubat-ubatan.

“Arip, rasa pening lagi tak? Teruk juga dahi Arip bengkak.” Adrina masih lagi menyuarakan rasa kebimbangannya.

“Teruk? Ada cermin tak?” tanyaku. Adrina membuka beg tangannya lantas mengeluarkan sekotak bedak asas. Baharu la aku terperasan beg tangannya jenis Prada. Kaya-raya, sial… Adrina membuka bedak asasnya. Ah! Aku tak teringat pulak ada cermin disediakan sekali pada bedak asas tu. Sahabatku itu segera menghulurkannya kepadaku.

“Thanks.”ucapku. Perasaan kurang selesa dan bersalah masih kuat bersarang di hati ini. Namun aku segera membelek wajahku pada cermin.

“Alamak! Teruknya benjol kat dahi aku ni! Macam askar Klingon la!” komenku. Namun Adrina tidak ketawa dengan jenakaku kali ini. Aku spontan berpaling ke arah sahabatku itu. Matanya tajam memaku ke mataku. Ternyata beliau berasa marah terhadapku. Aku mengambil keputusan untuk tunduk memandang ke lantai dan mendiamkan diri.

**********************************************


Setelah mengambil ubat, Adrina menghantarku pulang dengan kenderaannya. Aku telahpun menghantar SMS kepada Nizam untuk memaklumkan bahawa aku tak akan menghadiri kuliah Undang-Undang Jenayah Islam dan terus balik ke hostel. Dalam perjalanan kami langsung tidak bercakap. Akhirnya kami tiba ke destinasi yang ditujui. Namun kami berdua masih berdiam diri seribu bahasa.

“Rina… Ingat lagi ke tak lama dulu masa saya gunakan kereta Nizam untuk tumpangkan Rina balik? Masa tu hujan lebat. Ingat tak?” tanyaku seraya memandang ke arah Adrina. Gadis tersebut hanya mendiamkan diri dan memandang ke hadapan. Aku spontan kemudiannya memandang ke hadapan. Manalah tau kot-kot Adrina tengah usha awek cun mana kat hostel aku ni. Nak la tumpang sekaki. Eh! Itu perangai si Shaleen. Silap orang!

“Rina ingat tak kita singgah kat kafe dan Rina belikan saya burger?” tanyaku lagi.

“Arip masa tu sangat-sangat menyakitkan hati Rina. Macam sekarang.” jawab Adrina tiba-tiba. Wah la toi! Masih membara lingkaran api pasifik kemarahannya!

“Hm. Ya. Macam sekarang. Dulu situasinya pun lebih kurang sama macam sekarang juga. Kita dalam kenderaan. Tak berapa mahu bercakap.” ujarku dengan perlahan. Buat seketika kami berdua hanya mendiamkan diri.

“Cuma ada sikit yang berbeza. Sekarang saya pulak di tempat Rina masa dulu tu. Barulah saya tau macam mana perasaan Rina sekarang.” ujarku lagi.

“Tak. Tak berubah. Kedudukan kita tak berubah. Dulu Arip lukakan hati Rina dan buat Rina berasa sangat sedih. Sekarang pun Arip masih lukakan hati Rina dan buat Rina sangat sedih.” Sebaik sahaja mengungkapkan kata-kata tersebut, Adrina terus memekup mukanya dan menangi teresak-esak. Aku bungkam. Tidak tahu apa yang patut terungkap dari mulutku lagi.

“Kenapa Arip buat Rina macam ni? Rina dah beribu-ribu kali minta maaf kat Arip. Tapi kenapa Arip masih buat Rina macam ni?” soalnya pula dalam esakan tangisnya. Hatiku bagaikan luluh mendengarkan pernyataannya yang sayu itu. Memang buat masa ini aku berasakan bahawa akulah manusia yang paling keji dalam dunia ini. Aku melepaskan suatu keluhan berat.

“Saya memang… Saya minta maaf. Saya tak layak jadi sahabat Rina. Saya… Saya tak tau apa nak cakap lagi. Bye, Rina. Goodbye.” jawabku akhirnya seraya membuka pintu kenderaan dan keluar. Setelah menutup pintu kembali, aku terus melangkah ke arah hostelku. Sial betul! Kenapa jadi begini? Kenapa jadi perkara yang membuatkan aku berasa sangat sakit hati sekarang ni? Sial! Sial betul! SIAL BETUL!

Aku kembali berpusing dan berlari ke arah kenderaan Adrina yang masih pegun di kawasan parkir. Ternyata beliau masih memekup mukanya. Masih menangis. Aku segera membuka pintu RAV4 tersebut. Adrina yang tidak menyedari kehadiranku berasa tersentak melihatkan diriku yang tiba-tiba saja muncul di depannya. Buat seketika kami saling berpandangan. Air mata Adrina masih bergenang di kedua matanya. Jangan peduli yang itu. Cakap saja apa yang aku nak cakapkan. Cakap sekarang!

“Adrina… Saya rasa sangat sedih dan marah sebab Rina nak pergi. Tapi saya tetap tak mahu menghalang Rina pergi sebab… sebab saya sangat-sangat sayangkan Rina. Dan kalau kita sayangkan seseorang tu, kita mesti sanggup bekorban demi kepentingannya dan bukan demi kepentingan kita. Itulah yang saya buat sekarang. Tapi saya ni manusia yang lemah. Hati saya tetap sedih dan marah. Saya tak dapat halang perasaan itu sekarang. Maafkan saya, Rina. Saya tak ada niat nak sakitkan hati Rina lagi. Maafkan saya.” perjelasku dengan panjang lebar. Buat seketika kami hanya saling pandang-memandang.

Adrina tiba-tiba memelukku dengan seerat-eratnya. Esak tangisnya semakin lantang di telingaku. Namun ia akhirnya benar-benar melegakan hatiku.


- Bersambung -

3 comments:

Sirah@Cyrah said...
This comment has been removed by the author.
Sirah@Cyrah said...

hmm...menarik..tapi, mcm xmenyentuh sgt..cuma, sy masih dpt rasakan apa yg arif rasa..

ndia :) said...

kalau buat movie nie,agaknya jadi musical kut..tiap2 post mesti ada lagu.haha