Sunday, August 16, 2009

Metropolis 2009 - Bab 3

Pendirian Yang Berbaloi



Seminggu kemudian…

“Catherine, Enbi sakit lagikah? Sudah lama tak kemari.” Pertanyaan ibunya itu dibalas dengan senyuman yang agak tawar daripada Catherine.Beliau tahu bahawa Enbi sedang sibuk mengisi borang dan mendapatkan beberapa dokumen penting untuk menubuhkan syarikat polisnya sendiri. Apabila Enbi sedang menumpukan perhatian ke atas sesuatu matlamat, maka beliau langsung boleh terlupa makan serta minumnya. Malah telah hampir seminggu beliau tidak menjengah ke restoran Catherine. Perasaan rindu mulai membuai di sanubari gadis tersebut.

“Mama, saya nak ke kedai Enbi sekejap.” maklum Catherine seraya menunjukkan bekalan bubur nasi yang dibawanya untuk Enbi. Ibunya mengangguk tanda faham.

Tatkala Catherine tiba di kedai Enbi, beliau terus ternampak kelibat Enbi. Sahabat yang dicintainya itu nampak agak kurus. Di hadapan beliau penuh dengan longgokan kertas yang pastinya dokumen-dokumen untuk menubuhkan syarikat polis. Enbi memanggung kepala apabila tubuh Catherine semakin menghampirinya.

“Oh, Cat. Ada apa?” tanyanya dengan nada acuh tidak acuh. Catherine membalasnya dengan beberapa penembi di bahu.

“Aduh! Apa ni, Cat?” teriak Enbi dengan nada terkejut bercampur bengang. Gadis tersebut tidak menjawab. Sebaliknya beliau menghunjamkan renungan tajam ke arah pemuda tersebut.

“Maaf, Cat. Aku sibuk sangat kebelakangan ini sampai tak sempat menjenguk kau. Maaf.” pohon Enbi. Ternyata beliau menyedari kemarahan di dalam hati sahabatnya itu. Catherine tidak membalas permohonan tersebut. Sebaliknya beliau terus membuka bekal nasi bubur yang dibawanya dan menghidangkannya kepada Enbi. Enbi tanpa banyak soal terus menyatapnya.

“Enbi tak makan pagi, ya?” tanya Catherine setelah melihatkan cara sahabatnya itu yang agak lahap.

“Aku tak makan dari semalam.” jawab Enbi. Gadis tersebut menggelengkan kepala. Ingin sahaja beliau memarahi Enbi. Namun Catherine mengambil keputusan untuk membiarkannya sahaja sementelah melihatkan betapa lahapnya Enbi memakan bubur nasinya.

“Sedapnya bubur nasi ni, Cat!” komen Enbi setelah menyudu hampir sepuluh kali. Catherine tersenyum.

“Makanlah perlahan-lahan. Kalau tak cukup, saya ambilkan lagi.” ujarnya dengan lembut.

******************************************


Beberapa hari kemudian….

“APA?!!! Saya kena mendepositkan RM100,000.00 untuk mendaftar sebuah syarikat polis?!!!”

Kerani perkhidmatan pelanggan Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang bernama Lola Kumari menjerit kecil gara-gara terkejut mendengarkan suara lantang Enbi. Pemudi berketurunan India berumur 21 tahun yang baharu sahaja 3 bulan bekerja di situ berasa seolah-olah isi perutnya berkocak di dalam.

“Aduh! Nak buat kebajikan pun kena berbelanja begitu mahal!” rengus Enbi pula.

“Aaa.. Aaa… Tidak dapat dinafikan bahawa dewasa ini bidang kepolisan adalah suatu bentuk perniagaan yang paling menguntungkan. Sementelah itu bidang perniagaan ini adalah berbaloi untuk diceburi sungguhpun ianya berisiko. Perdana Menteri kita,…”

“Kamu jawab soalan saya dengan membaca buku?” tingkah Enbi dengan agak keras bila melihatkan Lola yang menjawab komennya sambil menundukkan kepala. Lola yang tersentak spontan mengangkat sebuah buku berjudul ‘Manual Menangani Pelanggan Yang Cerewet’. Enbi mencebik. Benarlah bahawa Lola telah menggunakan buku manual tersebut untuk menghadapinya. Menghadapi pelanggan yang cerewet sepertinya.

**********************************************


3 jam kemudian…

Seperti selalu, Catherine menyambut kedatangan Enbi dengan senyuman manis. Malah seingat Enbi, hanya Catherine sahaja satu-satunya manusia yang boleh bersabar dengan kerenahnya. Itulah sebabnya gadis manis tersebut boleh menjadi sahabat baiknya. Satu-satunya sahabat Enbi. Kenalan Enbi sebenarnya sangat ramai. Namun tiada seorang pun layak menjadi sahabatnya. Itulah masalah Enbi. Baginya, kawan adalah menyusahkan. Konsep menolong kawan tanpa mengharapkan sebarang balasan adalah perkara yang paling tidak munasabah; pada pandangan Enbi.

“Enbi, selamat datang! Awak nak makan apa hari ni?” tegur Catherine sebaik sahaja sahabat baiknya itu melabuhkan punggung di kerusi restoran. Enbi menggeliat kecil untuk melepaskan penatnya.

“Aku nak makan bubur nasi resepi baru kau tu. Minum air suam,” Enbi membuat pesanannya dengan secepat kilat. Namun beliau masih membelek-belek buku menu seolah-olah mahu memesan makanan yang mahal. Catherine yang sudah masak akan perangai sahabatnya segera ke dapur untuk membuat pesanan.

“Haji bakhil,” Telinga Enbi dapat menangkap suara lirih abang Catherine bernama David sedang menyindirnya. Beliau berpaling memandang David yang juga sedang memandang tajam ke arahnya. Enbi merengus sambil membuat ekspresi muka mencari pasal. Begitu juga David. Namun sesi pandang-memandang mereka ditamatkan oleh Catherine yang menyekeh kepala David sambil mulutnya terkumat-kamit memarahi abangnya itu dalam bahasa Cina.

“Haha! Padan muka!” ejek Enbi dengan gembira. Memang tak ubah seperti budak-budak bila mereka berdua bergaduh. Catherine menghidangkan juadah yang dipesan dan kemudian duduk menemani Enbi.

“Bagaimana dengan pendaftaran syarikat polis tu?” tanya Catherine dengan penuh minat. Enbi terus menyantap bubur nasi yang dihidangkan dengan agak gelojoh kerana terlalu lapar. Beliau enggan menjawab soalan sahabatnya lagi.

“Aiya… Panas tu!” teriak Catherine dengan nada cemas. Namun sudah terlewat.

“AAAUHH! AUUHH! FANAHH!” teriak Enbi pula sambil mengipas-ngipas mulutnya yang ternganga dengan tangan kanan. Macamlah perbuatan tersebut akan meredakan bahang bubur nasi di dalam mulutnya. Catherine ketawa besar melihatkan telatah Enbi. Kadang-kadang beliau sendiri pun berasa hairan mengapa beliau begitu tergila-gilakan sahabatnya itu. Walhal Enbi adalah seorang yang lokek, berkira, anti-sosial, panas baran dan semberono tingkah-lakunya.

“Hokeh,” ujar Enbi sambil menunjukkan isyarat ‘baik’ dengan ibu jarinya. Dalam mulutnya itu masih dibanjiri dengan bubur nasi.

“Bubur tu okey?” tanya Catherine. Enbi menelan bubur nasi yang kini menjadi suam di dalam mulutnya.

“Bukan bubur. Pendaftaran tu okey tapi aku kena bayar wang sebanyak RM100,000.00 sebagai deposit sekuriti. Aii.. nak buat kebajikan pun kena berbelanja mahal,” sambat Enbi mengulangi kata-katanya di kaunter Suruhanjaya Syarikat Malaysia tadi.

“Enbi; awak rasa berbaloi ke berbuat begini untuk balas balik kebiadaban polis-polis tu?” tanya Catherine. Enbi terkedu seketika. Beliau menyudu bubur nasi dan meniupnya terlebih dulu. Kesilapan tadi enggan diulanginya lagi.

“Cat, aku memang sayangkan duitku,” balas Enbi sebelum menghirup bubur nasi tadi. Beliau memejamkan mata untuk menikmati kelazatan masakan sahabatnya. Kemudian beliau meneguk air suamnya.

“Namun apa yang aku buat ini bukanlah untuk memenuhi egoku semata-mata. Lihatlah sekeliling kita, Cat. Enam puluh tahun lalu Malaysia telah diselamatkan oleh pendekar Emissary daripada serangan pengganas Amerika. Kemudian tiba-tiba kita ditinggalkan begitu sahaja untuk membangunkan kembali negara kita. Malaysia kembali maju. Sayangnya ia juga telah mereput dari dalam dengan para pemimpin yang korup serta jenayah yang begitu berleluasa. Agensi yang sepatutnya membendung jenayah ini telah menjadi badan kapitalis yang hanya tahu membuat keuntungan di atas kesengsaraan orang lain. Aku sangat benci melihatkan keadaan sebegini. Jadi aku telah membuat keputusan untuk menubuhkan agensi polis bagi melindungi mereka yang lemah dan teraniaya tanpa mengenakan sebarang bayaran. Biarpun aku kehilangan seluruh wangku dan nyawaku, aku sanggup. Aku rasa ianya berbaloi. Inilah pendirianku,” Kata-kata Enbi yang panjang lebar tadi bagaikan arus elektrik yang merenjat di segenap tubuh Catherine. Ia begitu tulus sekali dan telah memberi impak yang hebat kepada emosinya. Kini gadis molek tersebut kembali menyedari akan hakikat mengapa beliau mencintai sahabat baiknya itu. Beliau memandang Enbi yang lahap menyudu bubur nasi ke mulut dengan pandangan yang berbunga-bunga.

“Errp… Bubur nasi resepi baru kau ini memang sedap sekali. Berapa yang aku kena bayar? Bagi diskaunlah, Cat.” Begitulah perangai Enbi. Setiap hari meminta diskaun daripada Catherine bagi bubur nasi yang dimakan tanpa segan silu.

“Tak perlu bayar. Hari ini percuma,” balas Catherine sambil tersenyum manis.

“Alhamdulillah! Kau memang sahabat yang baik, Cat! Aku kena buka kedai dengan segera. Petang nanti aku datang lagi ke sini, ya?” Enbi sempat mencubit kecil pipi kanan Cathrine sebelum bergegas keluar. Catherine yang kini tersenyum tawar melepaskan keluhan masyghul. Entah mengapa Enbi tidak pernah memandangnya lebih daripada seorang sahabat baik. Catherine adalah seorang gadis cantik yang serba-serbi bersifat kewanitaan. Tutur katanya juga lemah-lembut dan beradab. Malah keluarga Catherine bersikap terbuka tentang pilihan hatinya dan tidak kisah akan anutan agamanya kelak. Namun ianya masih belum memadai nampaknya…

*********************************************


Keesokan harinya…

Catherine yang baharu sahaja membuka restorannya pada pagi itu telah terperasankan beberapa orang berpakaian seragam jingga sedang mundar-mandir di hadapan kedai kad-kad eksotik Enbi. Setelah diamat-amati olehnya, mereka rupa-rupanya adalah para pekerja daripada syarikat perkhidmatan perpindahan. Barang-barang dari kedai Enbi yang berada di tingkat bawah dan tingkat satu telah dibawa naik ke tingkat paling atas yang telah sedia kosong. Oleh kerana Enbi adalah pemilik bangunan kedai 3 tingkat tersebut, maka tiada masalah baginya untuk melakukan perpindahan sedemikian rupa. Enbi juga kelihatan berada di situ; memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan juga agar tiada kad-kad eksotiknya dicuri. Seperti yang telah dimaklumi; Enbi tidak mempercayai sesiapa.

“Selamat pagi Enbi!” Enbi mengalihkan pandangannya seketika ke arah suara yang menegurnya. Ianya milik Catherine.

“Hai Cat! Aku sedang memindahkan kedai kad eksotikku ke tingkat paling atas. Dua tingkat lagi ni akan aku jadikan balai polis. Aku akan cat sendiri dan kemudian pergi mencari peralatan dan perabot terpakai untuk membuat hiasan dalaman. Selepas itu, barulah aku akan cari pasukan polisku sendiri; yang gagah perkasa yang mempunyai jati diri yang hebat!” perjelas Enbi secara panjang lebar dengan nada teruja. Kilauan ceria pada matanya tidak ubah seperti seorang kanak-kanak yang mendapat gula-gula.

“Enbi,” ujar Catherine tiba-tiba.

“Hah, kenapa Cat?” tanya Enbi seraya memandang ke arah wajah sahabatnya itu.

“Saya nak menyertai awak. Menjadi seorang polis,” Kata-kata Catherine benar-benar membuatkan Enbi terkejut. Beliau tidak menyangka sahabat baiknya ini adalah orang pertama yang menyokong usaha murni tersebut. Enbi merenung air muka Catherine dengan teliti. Ternyata gadis manis ini bersungguh-sungguh.

“Betul ke ni? Kau bersungguh-sungguh ni?” tanyanya untuk melihat keikhlasan hati Catherine.

“Kata-kata Enbi semalam benar-benar menyentuh hati saya. Saya telah menimbang akan penyertaan saya semenjak semalam lagi. Saya benar-benar mahu menolong Enbi.” jawab Catherine. Enbi tersenyum gembira. Beliau terus memeluk sahabatnya itu dengan erat.

“Terima kasih, Cat. Sebenarnya aku memang berharap agar engkau dapat menyertai aku. Tapi aku takut kau setuju dalam terpaksa nanti. Aku memang perlukan kau sebab kau handal. Aku ni apa pun tak tahu.” ujar Enbi. Catherine berasa agak segan dipeluk dengan sebegitu erat oleh sahabatnya sementelah beliau menyimpan perasaan terhadap Enbi.

“Saya tahu Enbi perlukan pertolongan saya. Kita bukannya setahun dua baru kenal.” balas gadis tersebut. Akhirnya Enbi melepaskan rangkulannya.

“Haha! Maaflah sebab memeluk kau tadi. Aku ini tak senonoh betul!” ujar Enbi seraya tertawa. Catherine juga turut tertawa. Namun bulu roma di seluruh tubuhnya masih meremang kerana bersentuhan dengan Enbi tadi.

“Selamat bertugas di syarikat MetroPolis, Konstabel Catherine!” ujar Enbi dengan nada gembira seraya menghulurkan salamnya. Catherine segera menjabat salam tersebut; dan kemudian memberi tabik hormat kepada Enbi.

“Cara tabik kau itu salah, Cat. Itu cara tabik Pandu Puteri.” tegur Enbi seraya tertawa. Catherine yang berasa malu ditertawakan sebegitu rupa spontan memukul-mukul bahu Enbi.


- bersambung -

Tuesday, August 4, 2009

Metropolis 2009 - Bab 2

Kecewa


Pada masa yang sama di restoran Catherine…

“Enbi nampaknya suka benar dengan bubur resepi baruku. Baik juga kalau aku masakkan lagi untuknya makan malam pula. Dia pasti akan makan pizza yang tak berzat seperti selalu dengan adiknya.” fikir Catherine yang sedang membasuh pinggan mangkuk di dapur.

“Aah! Aku akan masakkan bubur untuk Nazrul sekali. Tentu dia pun akan suka.” fikirnya lagi.

“Cat! Kenapa kau mandikan kucing dalam sinki tu!” teriak ibunya. Catherine tergamam yang sekaligus mematikan lamunannya. Baharulah beliau tersedar bahawa salah seekor kucing yang dinamakannya Rocky dalam keadaan basah lenjun di tangannya dan sedang mengiau-ngiau cemas.

“Rocky! Maafkan kakak!” teriak Catherine dengan nada kesal.

**************************************

“Kenapa mahu merompakku? Aku bukannya orang kaya. Kedai aku sangat selekeh dan berdebu. Barangan yang dijual juga bukanlah benda yang sangat bernilai.”

Begitulah hujah Enbi kepada kelima-lima orang mak nyah tersebut agar mereka membatalkan hasrat untuk merompaknya. Beliau berharap agar kelentongnya menjadi. Kumpulan mak nyah tadi berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka ketawa mengilai-ngilai. Enbi berasa agak tersinggung kerana berasakan mereka seolah-olah mengejeknya.

“Kenapa ketawa? Aku bukannya cakap perkara yang kelakar tadi?” tanyanya dengan nada keras. Hilai tawa para penceroboh tadi mati serta-merta. Pun begitu senyuman sinis masih terukir di bibir mereka.

“Memang benar you ni not much duit. Tapi we all tetap nak merompak you sebab you mangsa yang easy.” balas seorang lagi mak nyah yang gempal dengan bahasa rojaknya. Kononnya mahu menunjukkan bahawa beliau seorang yang terpelajar. Mak nyah tersebut memakai pakaian tube yang jelas kelihatan di sebalik baju jarangnya yang berwarna merah jambu. Muka Enbi berubah serta-merta mendengarkan kata-kata tersebut.

“Mudah? Apa maksud kau?” tanya Enbi.

“Yalah… mudah nak dirompak. Gaya you ni not melawan punya type. Menyerah gitu-gitu ajelah rupanya mak tengok.” jawab si mak nyah tadi kembali. Serta-merta emosi Enbi berubah. Perasaan takutnya kini berganti dengan perasaan marah.

“Jadi maksud kamu, aku ini orang yang lemahlah, ya?” tanya Enbi dengan suara yang bergetar. Menahan amarahnya. Kelima-lima mak nyah tersebut mengangguk serentak bagaikan kumpulan boria. Senyuman sinis mereka masih ditujukan kepada Enbi.

Darah Enbi benar-benar mendidih. Beliau cukup berasa terhina dengan pernyataan mak nyah tadi. Lemah? Mereka menelahnya sebagai seorang yang lemah? Enbi boleh menerima kenyataan kalau mereka ingin menyamun kedainya hingga licin. Namun menuduhnya sebagai seorang yang lemah adalah keterlaluan.

“PONDAN JAHANAM!!!” jerit Enbi seraya menerkam ke arah kumpulan mak nyah tersebut. Salah seorang daripada mereka jatuh terlentang ditolak olehnya. Enbi terus menindih tubuh lawannya seraya bertubi-tubi menumbuk muka mak nyah tersebut.

“Aww!!! Sally! Sally! Tolong akuuu!!!” pekik mak nyah tersebut dengan suara garau. Baharulah keluar suara jantannya kali ini.

“Jangan ingat aku ini lemah!” jerkah Enbi. Kedua-dua tangannya kemas mencengkam batang leher lawannya.

“TANGG!!!”

Kepala Enbi terasa berpinar-pinar tiba-tiba. Telinganya berdengung. Pasti belakang kepalanya telah dihentak dengan suatu objek yang keras. Menyusul pula satu hentakan tepat ke rusuk kanannya. Tubuh Enbi melayang ke arah sebuah rak peragaan kad-kad eksotik. Berderai kaca rak peragaan tersebut dihempas oleh tubuh pemiliknya.

“Honey, tak baik memukul seorang wanita yang lemah, tau? Mak you tak ajar ke perkara-perkara begini?” leter mak nyah berbadan gempal tadi. Kedua-dua tangannya sedang memegang sebuah tong sampah besi yang kemik. Sahih bahawa kepala Enbi telah dihentak dengan tong sampah tersebut.

“Bangsat! Jangan kau mencerca ibu aku pula. Lagipun bila pula aku memukul wanita lemah? Aku cuma membelasah lelaki hodoh yang perasan dirinya perempuan,” sindir Enbi seraya ketawa kecil. Mulutnya terasa masin dengan kehadiran darah di bibirnya yang pecah. Darah juga meleleh turun melalui kecederaan di belakang kepalanya. Badan Enbi pula dipenuhi dengan liang-liang luka kecil akibat diguris oleh serpihan-serpihan kaca rak peragaan tadi. Enbi cuba bangkit, namun tubuhnya terasa kebas dan lemah. Kesakitan di rusuk kanannya juga turut membantu mengekang keupayaannya untuk bergerak.

“Amboi… Bisanya muluuut. Macam perempuan! If I follow my heart, hiiii… Mau aku cili-cilikaaan mulut engkau tu,” herdik mak nyah gempal tadi dengan nada marah. Ternyata beliau berasa bengang dengan kata-kata Enbi tadi.

“Pergi mampuslah kau, pondan gemuk. Meluat aku tengok muka hodoh kamu semua,” cerca Enbi dalam keadaan tercungap-cungap. Kemudian beliau tertawa terkekeh-kekeh untuk menaikkan darah mereka.

“Jantan sial! Mampus kau!” bentak mak nyah gempal tadi. Beliau terus meluru ke arah Enbi yang masih mengerekot di atas lantai lantas menendangnya berkali-kali dengan sekuat hati. Rakan-rakannya turut sama bergotong-royong membelasah Enbi. Namun Enbi masih tetap tertawa tanpa menghiraukan kesakitan yang dialami olehnya.

***********************************************


Setelah hampir setengah jam kemudian, akhirnya Catherine siap memasak resepi bubur baharunya. Beliau segera membungkus bubur tersebut dalam sebuah bekas penebat haba.

“Mama! Saya nak pergi menghantar makanan kepada Enbi, ya?” teriak gadis manis tersebut kepada ibunya yang hampir siap mengeringkan Rocky. Catherine segera menuju ke pintu utama melalui kawasan para pelanggannya makan.

“Hai Catherine. Bekal makanan itu untuk pak cikkah?” usik salah seorang pelanggannya. Beliau adalah salah seorang pelanggan setia dan lebih mesra dipanggil sebagai Uncle Hooi.

“Hai Uncle Hooi. Bubur ni untuk Enbilah. Nanti saya buatkan yang lain untuk Uncle Hooi, okey?” maklum Catherine. Uncle Hooi merengus dengan gaya bergurau.

“Buat apa kau masakkan untuk budak itu? Dia tu sangat kedekut, tau?” kutuk Uncle Hooi.

“Heh! Tak baik tuduh Enbi begitu. Dia bukan sangat kedekut. Dia itu sangat kedekut dan berkira, tau?” ujar Catherine. Mereka berdua tertawa besar. Catherine kemudiannya meminta izin untuk menamatkan perbualan dan bersegera ke kedai Enbi.

“Hai Enbi! Saya…” Kata-kata ceria Catherine mati serta-merta tatkala menjengah ke dalam kedai Enbi. Gadis tersebut bungkam seketika. Keadaan kedai Enbi yang berselerak dan dipenuhi dengan serpihan kaca dan darah benar-benar membuatkan degupan jantungnya menjadi kencang. Catherine meliarkan matanya memandang sekeliling. Sepasang mata beliau akhirnya terpaku ke arah kaki seseorang. Dari kasut empunya kaki tersebut, Catherine dapat mengecamnya.

“ENBI!!!”

**************************************


“Enbi! Enbi! Enbi! Dengar tak? Enbi!” Perlahan-lahan Enbi membuka mata tatkala mendengar suara lunak yang seakan-akan merayunya. Seorang gadis yang jelita sedang menatapnya dengan riak penuh pengharapan. Usapan serta sentuhan jari-jemarinya di muka Enbi terasa begitu lembut dan hangat sekali. Pasti beliau seorang bidadari.

“Cik bidadari; saya ada seorang kawan yang semirip dengan muka cik bidadari.” ujar Enbi dengan suara yang lemah. Si bidadari tadi tersenyum mendengarkan kata-katanya. Namun usapan jari-jemarinya yang lunak tadi masih berterusan. Hati Enbi berasa begitu tenang sekali kini.

“Dia meroyan lagilah,”

“Bukan meroyanlah, bodoh! Meroyan tu penyakit perempuan lepas beranak. Dia mamai lagilah. Dia ingat ini syurga agaknya?”

“Enbi, awak okey?” Suara lunak tadi kembali menggantikan suara-suara sumbang tersebut.

“Cat?” tanya Enbi dengan nada yang masih lemah. ‘Bidadari’ tersebut menganggukkan kepala. Senyuman leganya masih tidak lekang di bibir. Enbi membalas senyuman tersebut lantas kembali memejamkan matanya.

*******************************************


6 hari kemudian…

“Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menemaniku, Cat!” ujar Enbi sambil tersenyum sumbing. Bibirnya yang pecah masih terasa sakit. Beberapa orang anggota polis yang lalu-lalang di hadapannya sempat mengerling. Memang keadaan Enbi kelihatan amat teruk. Balutan kain kasa di tubuhnya tidak ubah seperti mumia. Enbi memfokuskan pandangannya ke sekeliling balai polis yang julung-julung kali dilawati olehnya semenjak kematian bapanya. Terdapat tiga belas kaunter di balai polis tersebut. Hiasan dalamannya sangat mewah dan canggih serba-serbi. Karpetnya sungguh tebal dan empuk; seperti tempat duduk menunggu mereka juga. Malah terdapat beberapa gadis yang agak seksi melayan serta menghidangkan teh dan makanan ringan kepada orang ramai yang sedang menunggu untuk membuat repot. Semenjak bidang kepolisan dikorporatkan 40 tahun lalu, begitu drastik perubahannya dari segi perkhidmatan dan layanan.

“Nombor 1109; kaunter 6!” Sebaik sahaja nombor giliran tersebut diumumkan oleh suara gemersik di corong pembesar suara, Enbi dan Cat segera bangkit daripada kerusi empuk dan menderapkan langkah ke kaunter 6. Seorang pegawai polis lelaki berpangkat Konstabel menyambut mereka dengan senyuman manis yang dibuat-buat. Enbi sempat lagi mengerling ke arah jam Rolex koleksi musim luruh terkini di tangan kiri anggota polis tersebut. Ianya barangan asli.

“Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. Buat makluman tuan, kadar tarif kami bagi masa membuat laporan telahpun dipinda. Ianya mendapat persetujuan dari Kementerian Perdagangan dan Hal-Ehwal Pengguna Malaysia dan diendorskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” maklum Konstabel tersebut seperti menerangkan harga promosi telefon mudah alih.

“Kadar tarif baru? Apa maksud awak?” tanya Enbi. Matanya memicing. Hatinya berasa kurang sedap.

“Sebelum ini, kami mencaj setiap pelapor RM200 sahaja sejam bagi waktu kemuncak iaitu dari jam 7.00 malam hingga 7.00 pagi; dan caj RM150 sahaja sejam bagi waktu biasa iaitu dari jam 7.01 pagi hingga 6.59 malam. Kini kami mencaj setiap pelapor RM400 sahaja sejam bagi waktu kemuncak iaitu dari jam 7.00 malam hingga 7.00 pagi; dan caj RM300 sahaja sejam bagi waktu biasa iaitu dari jam 7.01 pagi hingga 6.59 malam,” jawab Konstabel tersebut seolah-olah telah menghafal skripnya dengan baik.

“Apa? RM300 sejam? Kau sudah gilakah?” Bentakan Enbi membuatkan semua mata di balai polis tersebut tertumpu ke arahnya. Catherine segera menenangkan sahabat baiknya.

“Biasalah, tuan. Takkan tuan tidak pernah membuat laporan polis sebelum ini?” tanya Konstabel tersebut. Pandangannya seolah-olah mengejek Enbi.

“Ini kali pertama,” balas Enbi seolah-olah mengulum ayatnya sendiri. Mukanya menjadi agak merah kerana menahan segan.

“Kalau begitu, saya perlu beritahu tuan caj-caj lain dalam proses membuat laporan. Tuan juga perlu membayar caj sebanyak RM50 sahaja untuk mengisi borang laporan, RM70 sahaja untuk diproses dan dihantar ke Kementerian Dalam Negeri, RM500 sahaja untuk membuka fail kes, RM1,000 sahaja untuk penyimpanan fail, RM2,000 sahaja untuk kos pengurusan kes, RM400 sahaja untuk menyerahantar laporan ke pihak insurans bagi kes-kes tertentu, RM500 sahaja untuk kos penangkapan bagi seorang penjenayah atau orang yang disyaki, RM1,000 sahaja untuk kos lokap dan reman bagi seorang penjenayah atau orang yang disyaki, RM3,000 sahaja untuk membuat pendakwaan ke atas penjenayah atau orang yang disyaki dan RM2 sahaja untuk mendapatkan salinan laporan,” Terbeliak mata Enbi mendengarkan caj-caj yang perlu dibayar olehnya. Spontan tubuhnya tegak berdiri.

“Hoi! Aku ini telah dirompak enam hari lalu. Sekarang aku dirompak pula di sinikah?” tanya beliau dengan keras. Namun seketika kemudian Enbi menyeringai kesakitan natijah daripada perbuatannya tadi. Nyata kecederaan beliau masih belum pulih.

“Jaga pertuturan tuan itu. Ini adalah balai polis. Tempat yang dihormati atas jasa-jasa kami menjaga dan mengekalkan keselamatan serta keharmonian rakyat.” balas Konstabel tersebut dengan nada tersinggung.

“Kepala otak kamu! Menjaga keselamatan dan keharmonian konon! Kamu kenakan bayaran kepadaku lebih kurang RM14,000 untuk suatu rompakan dan kerugian yang tidak sampai RM2,000. Tidak habis-habis menyebut perkataan ‘sahaja’ seolah-olah caj kamu murah dan berpatutan. Tapi kamu sebenarnya mengambil kesempatan ke atas orang awam yang memerlukan bantuan kamu untuk membuat keuntungan yang tidak munasabah. Patutlah pangkat cabuk macam kamu ini pun mampu memakai jam Rolex. Kamulah sebenarnya yang menindas rakyat. Perompak besar!” cerca Enbi dengan perasaan berapi-api. Marah benar beliau nampaknya. Tambahan pula beliau adalah seorang yang amat kedekut. Orang ramai di dalam balai tersebut mula menumpukan perhatian mereka ke arah kaunter 6. Catherine hanya membisu seribu bahasa. Beliau memang telah sedia maklum akan sikap baran sahabat baiknya itu. Namun dalam masa yang sama Catherine juga berasa agak marah dengan caj-caj yang mengarut tersebut.

“Saudara, dalam dunia sekarang, mana ada yang percuma! Kalau tidak mampu, lain kali jangan datang ke sini dan membuang masa saya.” ujar Konstabel tadi dengan agak keras seraya menekan butang biru di atas mejanya.

“Nombor 1113; kaunter 6!” Gema di corong pembesar suara menunjukkan bahawa Konstabel tersebut enggan berurusan lagi dengan mereka. Seketika kemudian muncul seorang pak cik berkot mahal di belakang mereka.

“Harap maaf, saya perlu melayan pelanggan lain. Sila beredar sekarang,” pinta Konstabel tadi dengan agak kasar dan sinis. Enbi yang masih merenung tajam ke arah anggota polis tersebut segera dipapah bangun oleh Catherine. Mereka beredar.

“Hoi orang miskin! Kau ingat kami nak tolong kau secara percuma ke? Kau dah gila agaknya!” teriak salah seorang anggota polis yang sedang melepak di situ seraya disambut oleh gelak tawa rakan-rakannya. Enbi dan Catherine terus melangkah menuju ke arah pintu keluar tanpa berhenti atau memaling ke belakang.

“Kalau hendak percuma, buatlah syarikat polis sendiri!” teriak seorang anggota polis yang lain. Rakan-rakannya kembali menyambung ekor tawa mereka.

**************************************

“Enbi, awak okey tak?” tanya Catherine sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari balai polis tersebut. Enbi masih tidak bersuara. Beliau meleraikan tangan Catherine yang memapahnya dan terdengkot-dengkot bergerak menuju ke arah kereta. Catherine mengekori Enbi. Tiba-tiba Enbi memegunkan diri. Hampir sahaja Catherine melanggarinya.

“Kenapa Enbi?”

Enbi tidak menjawab. Pandangannya terlontar ke arah kereta-kereta Mercedes, BMW, Pontiac, Ferrari, Lamborghini dan Jaguar yang diparkir di hadapan balai polis tersebut. Kesemua kereta mewah tersebut mempunyai pelekat logo ‘Polis’ di bahagian cermin hadapan. Enbi berpaling pula ke arah balai polis tersebut. Matanya meneliti papan tanda yang tertancap tulisan ‘Syarikat Polis Malaysia Berhad - Cawangan Medan Gopeng Ipoh’. Serta-merta air mata Enbi beruraian membasahi pipi.

“Aku benar-benar kecewa, Cat. Aku benar-benar rasa kecewa. Aku tahu aku ini kedekut dan berkira. Tetapi apa yang pihak polis buat sekarang ini adalah sangat teruk dan menindas rakyat yang miskin. Aku sangat kecewa dengan polis kita di zaman ini. Dulu bidang kepolisan adalah institusi yang dipandang tinggi oleh rakyat kerana mereka memberikan khidmat tanpa mengharapkan sebarang balasan atau mengenakan bayaran yang bukan-bukan. Namun semenjak ia diswastakan, dikorporatkan dan disenaraikan di bursa saham, polis adalah suatu badan kapitalis yang mengaut keuntungan berlipat-ganda daripada kita. Siapa yang mahu bergaji besar, memakai aksesori mahal-mahal dan berkereta mewah, maka sertailah bidang kepolisan. Kini tiada siapa peduli akan penderitaan dan kesusahan rakyat yang miskin dan tidak berkemapuan.” ujar Enbi dalam nada tersekat-sekat. Catherine hanya berdiam diri. Namun telapak kanannya menepuk-nepuk belakang Enbi dengan lunak untuk menenangkannya.

********************************************

Sudah hampir dua jam Enbi duduk termenung di meja makan restoran Catherine. Beliau benar-benar rasa terpukul dengan kejadian tadi. Nasi bubur yang dihidangkan oleh Catherine masih belum terusik; sungguhpun ianya percuma. Catherine yang sangat memahami sahabatnya hanya duduk di sebelah Enbi tanpa sepatah bicara. Memadai dengan menemani Enbi akan menenangkannya. Tiba-tiba gadis manis tersebut mendapat suatu idea.

“Enbi, jom ikut saya.” ajaknya. Enbi merenung muka sahabatnya dengan pandangan kurang senang. Kemudian merengus.

“Alaa… jomlah ikut saya.” desak Catherine.

“Aku tengah sakitlah ni!” bentak Enbi. Ternyata anginnya kurang baik sekarang.

“Awak ni lelaki. Malulah kalau cakap begitu.” usik Catherine dengan nada provokasi. Enbi yang berasa bengang dengan ungkapan tersebut segera bangun dari tempat duduknya. Taktik Catherine nampaknya telah berjaya. Mereka berdua seiringan melangkah keluar. Pada masa yang sama seorang wanita bersama anaknya yang berumur lebih kurang 6 tahun melangkah masuk.

“Maak! Hantuu! Hantu mumiaa!!!” teriak budak tersebut seraya menangis teresak-esak. Si ibu tadi segera memeluknya dengan penuh kasih sayang.

“Kurang ajar punya budak.” rungut Enbi perlahan. Wajahnya semakin mencuka. Catherine tertawa kecil melihatkan senario tersebut.


********************************************

“Oh! Rupa-rupanya kau nak bawa aku ke sini.” Enbi menghadiahkan senyuman tawar kepada sahabatnya tatkala dibawa ke tepi pantai buatan di Jelapang. Tempat tersebut agak sunyi. Mungkin kerana hari ini hari bekerja dan cuacanya agak panas. Kelihatan ombak yang dijanakan oleh mesin berdesir-desir bunyinya menuju ke tepian pantai tersebut. Horizon saujana mata memandang dihadapan mereka cumalah ciptaan hologram semata-mata. Pada zaman ini kesemua tujuh lautan di muka bumi ini telah teruk dicemari dengan sisa toksik hasil tangan manusia yang sepatutnya menjadi khalifah di muka bumi ini. Jadi untuk menikmati kembali apa yang telah ditarik balik oleh si Pencipta, manusia terpaksa mencipta pantai mereka dengan kos yang amat tinggi. Inilah balasan atas apa yang mereka lakukan terhadap alam semulajadi selama ini.

“Enbi nampak tertekan sangat. Jadi saya bawa Enbi ke sini untuk tenangkan fikiran.” balas Catherine. Mereka berdua melabuhkan punggung di atas sebuah hamparan yang disediakan khas untuk para pengunjung.

“Yalah! Polis-polis celaka tu sudahlah tak mahu menolong, mengejek-ejek aku pula. Kalau aku ini ketua gangster, dah lama aku bakar balai itu!” ujar Enbi dengan nada bengang.

“Ha! Marah lagi! Marah lagi! Nanti cepat dapat sakit jantung baru tau.” tegur Catherine. Enbi segera mengendurkan emosi marahnya. Dalam hidupnya, hanya Catherine sahaja yang boleh menegur atau mengkritiknya. Entah mengapa beliau sanggup menerimanya. Walhal ahli keluarga Enbi sendiri tidak berani berkata apa-apa. Mungkin kerana Catherine sering memberinya bubur nasi percuma.

“Aku peliklah dengan manusia zaman ini. Semuanya kena pakai duit. Nak menolong orang lain pun mesti ada upahnya. Masyarakat kita sekarang sudah pincang dan rosak sama sekali. Kemajuan yang kita ada sekarang semakin mengeraskan hati manusia. Semuanya mementingkan diri sendiri.” rungut Enbi meluahkan isi hatinya.

“Enbi tak macam itu.” balas Catherine.

“Heh! Akulah manusia paling teruk sekali, tau? Sudahlah kedekut; amat berkira pula tu. Malah dengan keluarga sendiri pun aku tak bagi muka. Kau ingat aku tak tahu ke mereka semua mengutuk aku selama ini kerana perangai buruk aku ini?” ujar Enbi.

“Ha! Betul! Betul! Saya pun ada kutuk Enbi!” maklum Catherine. Enbi yang berasa geram terus menyiku lengan sahabatnya itu. Catherine pura-pura mengaduh dengan nada manja.

“Tapi pantai ni Enbi yang beli, kan? Kononnya Enbi beli sebab tak mahu bayar fee kemasukan yang mahal. Tapi Enbi sebenarnya membeli pantai ni sebab nak bagi penduduk Ipoh beriadah di sini dengan percuma, kan?” tanya Catherine. Enbi terdiam. Mukanya menjadi agak kemerahan.

“Enbi juga membeli tanah di Gunung Rapat seluas satu ekar dengan harga yang sangat tak munasabah dengnn alasan Enbi bencikan syarikat Setia Makmur yang juga membida untuk tanah tersebut. Tapi sebenarnya Enbi nak mengelakkan rumah anak yatim di tanah tu dirobohkan untuk membuat hotel lima bintang, kan? Malah Enbi membina semula rumah anak yatim yang buruk itu untuk menyakitkan lagi hati syarikat musuh Enbi tu. Itu pun alasan saja, kan?” tanya Catherine. Sahabatnya itu masih diam seribu bahasa.

“Enbi juga menubuhkan bank perdangangan sendiri atas alasan kehilangan tiga ratus ringgit dalam akaun. Tapi sebenarnya Enbi menolong ramai peniaga kecil-kecilan yang nak meminjam untuk modal berniaga mereka, kan?” tanya Catherine lagi.

“Cukuplah tu, Cat.” ujar Enbi dengan nada perlahan.

“Mungkin betul masyarakat kita sekarang sudah terlalu mementingkan wang dan barangan material duniawi. Tetapi kami perlukan orang macam Enbi. Orang-orang macam Enbi yang mampu membuka mata dan hati kami untuk tidak mementingkan diri dan wang semata-mata dalam dunia ini.” ujar Catherine.

“Manisnya kata-kata kamu ni Cat. Buat aku bersemangat semula.” komen Enbi. Kedua-dua mereka tertawa.

“Nantilah kamu, Syarikat Polis Malaysia Berhad. Aku akan balas balik sikap kurang ajar kamu padaku.” ujar Enbi dengan geram.

“Ha! Mulalah tu! Mereka tu macam tentera di Malaysia, tau? Takkan nak mencari pasal dengan mereka pula.” omel Catherine.

“Aku tetap tak puas hati. Ada ke patut suruh aku buat syarikat polis sendiri kalau nak perkhidmatan percuma. Celaka!” maki Enbi lagi. Cemuhan salah seorang anggota Syarikat Polis Malaysia Berhad masih terngiang-ngiang di cepu memorinya.

“Kalau hendak percuma, buatlah syarikat polis sendiri!” Cemuhan tersebut bagaikan kotoran degil yang gagal dikikis di dalam sanubarinya.

“Kalau hendak percuma, buatlah syarikat polis sendiri!” kata-kata tersebut berulang-ulang terngiang di fikirannya.

“Kalau hendak percuma, buatlah syarikat polis sendiri!”

“Kalau hendak percuma, buatlah syarikat polis sendiri!” Sekonyong-konyong Enbi tegak berdiri, menyentakkan lamunan Catherine.

“Cat,”

“Apa dia, Enbi?” tanya Catherine dengan agak cemas. Jawapan tidak segera diberi oleh Enbi. Sebaliknya beliau tegak memandang ke arah horizon hologram yang indah tersebut.

“Aku mahu tubuhkan syarikat polis sendiri!” ujar Enbi akhirnya. Catherine terlongo. Nampaknya Enbi mahu melakukan sesuatu yang gila lagi…


- bersambung -

Friday, July 17, 2009

MetroPolis 2009 - Bab 1

Enbi dan Cat



Malaysia; 100 tahun akan datang…

Vaskoff begitu ralik membelek-belek sekeping kad yang ditempatkan di dalam bekas plastik khas. Wajahnya tampak berseri-seri dek berasa sangat teruja. Sudah begitu lama beliau mencari kad tersebut. Melalui maklumat supernet (generasi baharu bagi internet) yang diperolehinya, Vaskoff telah berjaya mengesani sebuah kedai koleksi kad-kad eksotik yang menjual kad buruannya. Ianya terletak di Malaysia. Di Perak Darul Ridzuan. Atau lebih tepatnya di Ipoh, Perak Darul Ridzuan, Malaysia Barat.

“Tuan menangis? Tuan tak apa-apa?”

Vaskoff mengalihkan pandangannya ke arah suara tersebut. Ianya milik seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an. Kulit sawo matangnya adalah jenis yang cerah. Tubuhnya agak kurus dan tinggi lampai. Wajahnya sedap-sedap mata memandang namun penampilannya yang tampak mewah dan bergaya menyebabkan mana-mana gadis pun sanggup meluangkan masa untuk menoleh buat kali kedua. Lelaki tersebut yang lebih mesra dipanggil Enbi, adalah pemilik kedai koleksi kad-kad eksotik tersebut.

“Saya sanggup terbang beribu-ribu batu daripada Russia semata-mata untuk kad ini. Kad watak ‘Dark Magician’ edisi pertama versi Amerika Syarikat adalah kad terakhir yang akan melengkapkan koleksi kad dagangan Yu-Gi-Oh! ‘Legend of Blue Eyes White Dragon’ saya. Tentulah saya menangis kegembiraan,” balas Vaskoff sambil menyeka air matanya.

“Memang benar. Kesemua nilai kad-kad koleksi versi Amerika Syarikat telah melambung naik hingga ke tahap 400 peratus semenjak negara tersebut dimusnahkan 60 tahun yang lalu. Malah kad ‘Dark Magician’ pada pertama kali dikeluarkan pun telah menjadi mahal dan sukar didapati. Perkara tersebut berlaku pada 112 tahun yang lalu,” ujar Enbi sambil tersenyum penuh bermakna.

“Saya faham. Harga kad ini tentunya mahal dan tiada kompromi untuk sebarang diskaun. Baiklah; berapakah harga yang tuan kenakan? Jangan kata tuan enggan menjualnya untuk memaksa saya menawarkan harga yang tinggi. Berterus terang sahaja. Berapa pun saya sanggup membayarnya,” ujar Vaskoff dengan tenang dan berkeyakinan.

“Senang hati saya kalau tuan berkata begitu. Okey; saya hanya akan menjualnya pada harga RM700,000.00 sahaja. Tiada kompromi,” balas Enbi dengan nada yang masih sempat bergurau.

“Saya sanggup membelinya dengan harga tersebut,” Vaskoff terus mengeluarkan kad banknya dan menyerahkannya kepada Enbi. Enbi segera memasukkan kad tersebut ke dalam mesin pengimbas dan mula menekan kekunci papan komputernya. Nilai bayaran tersebut siap sedia untuk dipindahkan daripada akaun Vaskoff di Russian VIP Bank ke akaun Enbi di Bank Enbi Sdn. Bhd.

“Oh, tuan pun memiliki sebuah bank perdagangan rupanya,” puji Vaskoff.

“Bank kecil sahaja. Saya dan beberapa orang kawan tidak percayakan bank-bank perdagangan lain yang kerap kehilangan wang pelanggan. Jadi kami menubuhkan bank yang eksklusif untuk menyimpan wang kami. Barulah kami dapat tidur lena. Maklumlah, dunia sekarang ini perompak berkolar putih lebih dahsyat daripada perompak jalanan,” perjelas Enbi seraya ketawa.

“Memang betul. Russian VIP Bank juga diperbadankan atas tujuan yang sama,” sokong Vaskoff seraya turut sama ketawa.

“Oh ya! Minta maaf, tuan. Saya perlu mengimbas cap jari tangan kanan dan kedua-dua belah retina mata tuan bagi tujuan pengesahan,” pinta Enbi dengan sopan.

“Tiada masalah. Tapi saya tak sangka bank sekecil macam itu pun mempunyai protokol yang setaraf seperti bank-bank korporat yang besar,” puji Vaskoff. Setelah selesai melakukan prosedur tersebut, Enbi bersegera meletakkan kad ‘Dark Magician’ tersebut ke dalam sebuah kotak logam anti-karat yang berukir cantik. Kotak tersebut kemudiannya diserahkan ke tangan Vaskoff sebagai isyarat urusan perniagaan mereka telahpun sempurna terlaksana.

“Terima kasih, tuan Vaskoff. Sila datang lagi!” Selesai sahaja Enbi mengungkapkan kata-kata tersebut, Vaskoff terus melangkah pergi ke arah pintu kedai; diiringi oleh empat orang pengawal peribadinya yang lengkap bersenjata. Enbi tersenyum memerhatikan mereka. Jutawan berumur 70 tahun tersebut memang seorang penggila kad-kad eksotik. Nama dan hobinya sering disebut-sebut di dalam majalah dan supernet. Tidak tersangka oleh Enbi bahawa Vaskoff akan menjengah ke kedai kecilnya pada hari ini.

“Kruuuuuutt…”

“Wah! Perut aku dah berbunyi! Rupa-rupanya dah pukul 2.46 petang.” ujar Enbi di dalam hati sambil menggosok-gosok perutnya.

“Kalau selalu terlambat makan macam ini, tentu aku akan kena gastrik. Pasti terpaksa dirawat di hospital. Bilnya pasti tinggi.” rungut hati Enbi lagi sambil berjalan melangkah keluar ke pintu kedai.

Sebaik sahaja melangkah keluar, Enbi disambut oleh bunyi hiruk-pikuk kota metropolitan, seratus tahun akan datang. Kebanyakan bangunannya berbentuk kapal layar dan berwarna hitam. Setiap bangunan diselaputi oleh plet-plet karbon untuk menerima cahaya suria dan menukarkannya kepada tenaga elektrik. Dipuncak setiap bangunan pula dipacakkan sebuah mesin penyah graviti. Kegunaannya adalah untuk mengapungkan ribuan satelit yang mengorbit cuma beberapa ratus kaki dari bumi. Satelit-satelit ini berfungsi sebagai pusat telekomunikasi dan pancaran digital pelbagai bentuk selain tempat untuk memancarkan iklan-iklan hologram.

Kenderaan canggih pelbagai jenama pula berpasuk-pasuk menyusuri setiap jalanraya di bandaraya Ipoh ini. Ianya terapung beberapa sentimeter dari bumi dengan menggunakan teknologi penyah graviti yang sama seperti mesin-mesin pengapung satelit tadi. Bagaimanapun kesemua kenderaan ini adalah separuh kawalan manusia manakala separuh lagi oleh komputer. Jadi apabila Enbi melintasi jalanraya secara automatik kenderaan-kenderaan tersebut berhenti tidak kira berapa kelajuannya. Dengan teknologi pelenyap kuasa momentum dan inertia, para pemandu dan penumpang tidak akan terhumban atau tersembam apabila kenderaan mereka berhenti atau terlanggar sesuatu secara tiba-tiba.

************************************************

Enbi menghayunkan langkah ke sebuah restoran yang terletak di seberang kedainya. Restoran tersebut dimiliki oleh kawan karibnya, Catherine Zhang. Sungguhpun Catherine berbangsa Cina, restorannya telah mendapat pengiktirafan ‘Halal dan Suci’ oleh PAIM (Perbadanan Agama Islam Malaysia). Lagipun di situ, Enbi boleh mendapat diskaun yang besar ke atas makanannya. Kalau bertuah, beliau mungkin akan dapat makan percuma setiap kali Catherine membuat resepi baharu atau anginnya tengah baik.

Sebaik sahaja melangkah masuk, seorang gadis manis berbangsa Cina menyambutnya dengan senyuman mesra. Wajahnya putih kekuningan kelihatan bersih dan berseri-seri tanpa sebarang bedak asas atau solekan yang tebal. Sepasang mata menawannya pula tidak seperti kebanyakan orang Cina. Ianya bulat dan galak bersama alis yang melentik. Hidungnya juga agak mancung. Bibirnya nipis dan berkilat semakin sedap dipandang kerana asyik disulamkan dengan senyuman. Gadis tersebut tidak lain tidak bukan adalah Catherine Zhang, pemilik Restoran Bubur Hainan yang tersohor di Perak. Beberapa pelanggan lelaki berhenti menyantap seketika untuk menyantap pula keayuan wajah gadis tersebut.

“Hai Cat! Waah… manisnya kau hari ini berbaju kurung. Nak pergi beraya ke mana?” sakat Enbi. Catherine tertawa manja. Semakin manis paras rupanya hingga membuatkan seorang pak cik yang sedang menikmati bubur nasi hampir tercekik sudu.

“Hai Enbi! Kenapa lambat?” tanya Catherine kembali yang nampaknya enggan membalas usikan Enbi tadi.

“Kruuuuttt…” Catherine memekup mulut dengan tangannya tatkala mendengarkan bunyi perut Enbi yang begitu kuat sekali. Enbi pula menjadi segan-silu dan terus sahaja menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Minta maaf… Perut saya yang berbunyi tadi. Bukannya saya terkentut,” maklum Enbi kepada para pelanggan yang menjeling ke arahnya.

“Mak, abang tu tipu. Dia terkentut tapi bagitau konon perutnya yang berbunyi,” kedengaran suara halus di belakang Enbi. Ia milik seorang budak kecil. Enbi menjeling tajam ke arah budak tersebut.

“Hei, hei! Jangan kacau pelanggan saya,” tegur Catherine seraya menarik kolar baju Enbi dari belakang. Pun begitu, Enbi sempat memberikan renungan ancamannya sekali lagi ke arah budak kecil tersebut sehingga beliau hampir menangis.

“Enbi; hari ini saya berjaya membuat resepi nasi bubur yang baru. Enbi nak cuba?” saran Catherine.

“Cat; nasi bubur di restoran ini adalah yang paling lazat di Malaysia. Tak putus-putus pengunjung datang ke mari, bagaikan ketagih candu. Buat apa nak buat resepi baru lagi?” tingkah Enbi. Namun pernyataannya itu adalah ikhlas.

“Ala… cubalah, ya? Tak perlu bayar untuk nasi bubur baru ni. Bolehlah, ya?” pujuk Catherine.

“Yalah; yalah… Asalkan percuma” jawab Enbi. Catherine segera berlari anak memasuki dapur. Kedengaran jelas beliau menyanyi dengan perasaan gembira. Beberapa minit kemudian, bubur nasi tersebut siap dihidangkan oleh Catherine untuk Enbi.

“Untuk Enbi. Percuma hari ini.” ujar Catherine seraya tertawa kecil. Ternyata beliau sedang menyakat Enbi. Enbi yang juga sedang bergurau sengaja membuat muka bengis terhadap gadis ayu tersebut hingga beliau tertawa.

“Wah… wanginya…” puji Enbi tatkala menghirup aroma bubur tersebut dengan deria baunya.

“Cubalah rasa. Enbi adalah orang yang pertama mendapat penghormatan merasainya, tau?” ujar Catherine. Enbi mula menjamah bubur nasi tersebut. Catherine pula hanya merenung sahsiah Enbi yang sedang lahap tersebut dengan senyuman berbunga-bunga.

‘Aku namakan bubur nasi ini : Kemanisan Cinta. Selepas Enbi menjamahnya, pasti beliau semakin terpaut hati kepadaku,’ bisik isi hati Catherine.

************************************************


Angan-angan Catherine :

“Catherine sayang, setelah aku menjamah bubur nasimu ini barulah aku tersedar yang selama ini aku telah terpaut hati padamu,” ujar Enbi dengan renungan teruja.

“Oh, Enbi… Syukurlah Enbi telah sedar akhirnya. Tidak sia-sia saya menamakan masakanku itu : Kemanisan Cinta,” maklum Catherine dengan perasaan terharu.

“Kemanisan Cinta? Patutlah ada rasa kayu manis. Oh, Catherine sayang… Sungguh luhur perasaan hatimu. Izinkanlah aku yang hina ini mencintaimu dengan sepenuh dan setelus hatiku,” rayu Enbi dalam keadaan berteleku.

“Oh, Enbi… saya rela menerima cinta Enbi; kerana saya juga mencintai Enbi,” balas Catherine dengan renungan mata yang redup. Enbi bingkas bangun dan terus mendakapnya. Kedua-dua pasangan kekasih tersebut ketawa dengan gembira kerana cinta mereka akhirnya bersemi.

************************************************

Dunia realiti :


“Aaa… hahahahahahaaa!!!”

“Apa kena pula kau ini, Cat? Hoi! Hoi Cat! Apahal ketawa berdekah-dekah ni? Cat! CAT!!!” seru Enbi dengan lantang sambil menggoncang-goncang bahu kawan karibnya. Baharulah Catherine kembali ke alam realiti dan fokus akan keadaan sekelilingnya.

“Kenapa ni?” tanya Enbi.

“Err… Tak ada apa-apa,” balas Catherine seraya menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Senyuman malu mulai berputik di bibir mungilnya. Rupa-rupanya gadis manis ini telah lama mencintai sahabat karibnya sendiri. Namun hingga kini tidak berani langsung untuk diungkapkan oleh bibir mungilnya.

“Apalah kau ni? Suka sangat mengelamun!” leter Enbi. Catherine hanya tersenyum dengan penuh makna ke arah Enbi. Namun sahabatnya hanya menghiasi wajahnya dengan riak yang selamba. Enbi kemudian melayangkan pandangan ke arah para pelanggan yang sedang menumpukan perhatian ke arah mereka berdua.

“Hei, tak baik merenung kawan baik saya macam itu, faham?” tegur Enbi kepada mereka.

“Bukan begitu… Kami ada terbau sesuatu…”

“JAHANAM!!! BUKAN AKU YANG KENTUT, FAHAM?!!!” bentak Enbi.

************************************************

Jam tangan Enbi tepat menunjukkan pukul 3.00 petang. Beliau telahpun selesai makan percuma tadi dan kembali membuka kedainya. Memang perangainya dari dahulu tidak mahu melepak di suatu tempat dengan lama yang sekaligus akan membazirkan masa. Masa itu emas. Enbi bukan sahaja kedekut untuk membazirkan wangnya dengan tidak tentu hala; malah beliau juga amat kedekut untuk membazirkan masanya dengan perkara-perkara yang baginya tidak penting untuk diluangkan dengan begitu lama.

Enbi merenung keadaan kedainya yang kecil dan agak berserabut tersebut. Segala perabot untuk peragaan kad-kad eksotiknya adalah barangan terpakai. Jadi hiasan dalamannya adalah cacamerba langsung tidak bergaya. Namun ada kebaikannya juga. Setakat ini tiada siapa menyangka Enbi menyimpan koleksi barangan yang sangat berharga; hinggakan ada yang mencecah ratusan ribu Ringgit Malaysia. Oleh itu, setakat ini tiada penjahat yang ingin merompak kedainya.

“Ting! Ting!” Bunyi loceng di pintu kedai Enbi menandakan ada pelanggan yang datang.

“Selamat datang…” Sapaan Enbi mati serta-merta. Di hadapannya tegak berdiri lima orang lelaki yang memakai pakaian wanita. Bukan main seksi lagi fesyen mereka; namun tubuh para pemakainya yang agak kekar dan tegap menyebabkan ia nampak begitu hodoh sekali. Mereka merenung Enbi dengan pandangan bengis.

“Aaaa… boleh saya bantu anda semua?” tanya Enbi dengan nada yang agak gementar. Beliau tidak tahu sama ada mahu menggunakan perkataan ‘Cik’ atau ‘Encik’.

“Boleh, sayaaaang. Kami ni daripada geng ‘Neon Melambai’. Hajat hatiii… nak la merompak kedai niii… Boleh, kan baaaang?…” ujar salah seorang daripada mak nyah tersebut lantas disambut dengan hilai tawa rakan-rakannya.

Enbi terkaku. Mungkin kerana geli-geleman mendengarkan kata-kata mak nyah tadi. Mungkin juga kerana hilai tawa mereka yang persis langsuir tua. Atau mungkin juga kerana mereka ini adalah kumpulan ‘Neon Melambai’, iaitu salah satu kumpulan perompak yang paling ganas dan dahsyat di Ipoh, Perak Darul Ridzuan.


- bersambung -

Sunday, July 5, 2009

Emo Hero Bab 48 (Akhir)




Emo Hero Bab 48 (Akhir)

“Apa kau buat kat sini, Leen? Ni… Anak siapa pulak ni?” Shaleen tertawa melihatkan kekalutan yang wujud di dalam pertanyaanku. Budak kecil tersebut pula dengan selamba menarik-narik seluarku. Budak ni nak membogelkan aku ke? Sudah dikira kelucahan melampau ni!

“Nizam bagi kau kunci, ya?” tanyaku pula dengan nada geram.

“Tanyalah dia sendiri.” jawab Shaleen seraya menguak pintu apartmentku seluas-luasnya. Maka ternampaklah olehku kelibat tubuh Nizam yang sedang enak melepak di sofa sedang melambaikan tangan kepadaku. Ewah! Macam nak pelawa aku mengapak kepalanya saja!

“Woi! Kau orang berdua ni bukan muhrim, tau? Mana boleh lepak berdua-duaan kat sini. Rumah aku pulak tu! Menyesal betul bagi kau kunci apartment aku.” omelku.

“Kami bukan berdualah! Kakak Nizam pun ada bersama. Nun ada di dapur.” perjelas Shaleen terhadap kegusaranku.

“Si kecik ni anak sedara kamu la, ya Zam?” tanyaku sambil meneliti budak kecil yang amat comel tadi. Kini beliau menarik-narik seluar Wadi pula. Wadi terus sahaja mendukungnya. Oh… rupa-rupanya dia nak didukung…

“Ha-ah. Namanya Aqilah. Dia menangis nak mengikut kakak aku tadi.” jawab Nizam yang lebih mirip kepada melaung.

“Jemputlah masuk. Buatlah macam rumah sendiri.” pelawa Shaleen dengan nada gurauan. Aku dan Wadi membuat muka menyampah dengan gurauan tersebut. Kini gadis berbangsa Cina yang suatu ketika dulu mampu membunuh seorang Sasterawan Negara dengan percakapannya kini mampu bertutur Bahasa Melayu dengan begitu baik sekali. Malah lebih baik daripada sesetengah orang Melayu yang kebanyakannya lebih suka menggunakan bahasa rojak.

“Dah bersiap ke ni? Adrina akan sampai ke KLIA dalam pukul 3.00 petang ni.” ujarku dalam nada mendesak. Nizam dan Wadi tergelak.

“Punya la tak sabar-sabar nak berjumpa dengan Adrina. Keloloh betul!” sindir Wadi. Aku membuat isyarat kasar dengan jari tengahku kepadanya sebagai membalas sindiran tadi. Stone Cold Steve Austin pasti berbangga kerana ajaran sesatnya itu telah diterima pakai oleh golongan professional sepertiku.

“Nah.” ujar Shaleen tiba-tiba seraya mencampakkan kunci apartmentku ke arah Nizam. Mujurlah dengan tangkas sahabatku itu menyambutnya. Kalau tidak, pasti hinggap ke muka kacaknya yang mampu membawa sponsor dari mak-mak Datin yang gersang.

“You ni kasar betullah. Macam mana la nak menjadi isteri yang solehah kalau macam ni?” sindir Nizam.

“Eleeh… bila dah kahwin nanti, I jadi isteri yang lemah-lembut dan sopanlah.” balas Shaleen seraya mnjelirkan lidahnya ke arah Nizam. Sahabatku itu terus bangun lantas mendekati gadis tersebut.

“Okey. Kalau begitu, boleh la I mengganas jugak!” ujar Nizam seraya menendang betis kanan Shaleen. Namun ianya lebih kepada perlakuan bergurau. Nizam cuba menendang lagi namun Shaleen berjaya mengelak sambil tertawa dan menjerit-jerit.

“Woi! Ini dah dikira sebagai keganasan rumah tangga ni! Aku panggil polis nanti! Eh! Lupa pulak polis dah memang ada kat sini. Inspektor Sahaaab! Sila gari ini playboy pencen.” ujarku sambil memandang ke arah Wadi. Wadi yang sedang mendukung Aqilah hanya tertawa.

“Hai Arip; Wadi. Baru sampai, ya? Patutlah riuh-rendah di ruang tamu.” Aku memandang ke arah empunya suara yang menegurku. Beliau adalah kakak Nizam yang bernama Nora Niza.

“Hai Kak Nora.” sapaku kembali dengan mesra. Wadi juga berbuat perkara yang sama.

“Nizam yang paksa akak ke sini. Dia kata tak elok kalau dia dengan Shaleen saja di dalam rumah kamu. Akak kena la setuju. Kalau tak entah apa pulak perkara tak elok yang terjadi.” maklum Kak Nora dengan nada menyindir.

“Betul tu. Nizam ni bukannya boleh dipercayai sangat. Dia ni dah diperakui sebagai karnivor terganas dalam teori rantaian makanan pemangsa.” kutukku pula. Kini giliran Nizam pula menunjukkan isyarat lucah kepadaku.

“Elok sangat la kamu dengan Shaleen dalam bab-bab mencarut ni. Macam pinang dibelah dua.” perliku lagi. Kami semua tertawa.

“Awak okey ke Wadi? Dari tadi awak tak banyak berbunyi dan nampak monyok saja.” tanya Shaleen. Wadi yang tersentak dengan pertanyaan tersebut hanya mampu melemparkan senyuman tawar.

“Saya okey. Jangan risau.” balasnya pendek. Ternyata luka di hatinya masih belum pulih sepenuhnya.

“Awak pasti akan mendapat seorang gadis yang benar-benar menyayangi awak nanti. Allah tak akan menzalimi orang yang baik macam awak.” ujar Shaleen lagi. Aku memandang ke arah Nizam. Beliau yang sedang memandang ke arah Shaleen jelas melakarkan senyuman bangganya.

“Terima kasih, Leen.” ucap Wadi seraya tersenyum.

“Ha! Macam itulah baru dikatakan tersenyum. Orang Jawa kalau tersenyum memang manis.” usik Shaleen pula.

“Kecuali si Wadi.” tokok Nizam. Kami semua ketawa terbahak-bahak.

“Aku gari kau nanti, Zam!” ancam Wadi sebaik sahaja menghabiskan baki tawanya.

“Boleh tak aku pinjam gari kau tu bila aku nak pergi honeymoon nanti?’ tanya Nizam. Aku, Wadi dan Kak Nora kembali menyambung tawa kami. Nizam pula tersengih-sengih tatkala dijeling tajam oleh Shaleen.

“Eh! Aku nak bersiap dulu. Kalau ada sesiapa yang nak bersiap, pergi buat cepat.” ujarku.

“Kami berdua dah bersiap.” balas Nizam. Aku memandang ke arah Wadi pula.

“Aku pakai macam ini saja la.” ujarnya.

“Akak tak ikut. Tumpang melepak kat rumah kamu, ya Arip?” ujar Kak Nora pula. Nampaknya aku seorang yang belum bersiap lagi.

***************************************************

Kami berempat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur lebih kurang dua jam selepas bertolak. Aku yang sudah biasa dengan tempat tersebut tidak perlu tercangak-cangak untuk mencari pintu balai ketibaan pesawat dari Milan, Itali. Sungguhpun kesekian kalinya kemari, aku masih belum dapat mengurangkan rasa kekagumanku terhadap senibinanya yang estetik dan canggih. Aku sempat singgah di kedai bunga untuk menyambut tetamu yang paling istimewa di hatiku hari ini. Namun alangkah terkejutnya tatkala tiba di balai ketibaan tersebut.

“Alamak! Kapal terbang dari Milan tiba awal dari jadual la.” ujarku setelah meneliti carta jadual penerbangan yang terpampang di dinding. Aku segera menyeluk kocek untuk mengeluarkan telefon bimbitku.

“Alamak! Ini telefon urusan rasmi. Aku terlupa bawak telefon yang satu lagilah!” teriakku dengan nada panik bercampur kecewa. Kecewa dengan sikapku yang kelam-kabut sehingga terlupa membawa benda yang paling penting buat masa ini.

“Tentu Adrina dah call berkali-kali tadi.” ujar Wadi yang menambahkan perasaan bersalah serta panikku.

“Takkan kau tak ingat nombor telefon Adrina, beb?” tanya Nizam.

“Bukan Arip tak ingat. Tapi kan Rina tinggal kat Milan selama ini? Tentulah dia pakai perkhidmatan telefon mudah-alih yang berbeza dengan kita. Jadi di sini hanya Adrina yang boleh call Arip.” maklum Shaleen sebelum sempat aku menjawab soalan tersebut.

“Hm. Kalau begitu tentu Adrina kena beli sim card dan telefon di Malaysia. Jadi tentu dia akan beli di kedai-kedai kat airport ni, kan?” Pernyataan Nizam kembali membuatkan aku berasa teruja dan ceria. Aku menepuk-nepuk bahu Nizam dengan agak kuat.

“Terima kasih, Zam! Aku tahu kedai mana dia akan pergi.” ujarku dengan gembira. Aku terus berlari meninggalkan sahabat-sahabatku yang terpinga-pinga. Jarak kedai yang menjual telefon mudah alih dan kad prabayar tersebut terletak kira-kira lima puluh meter dari tempat kami tadi. Aku berdoa agar Adrina masih berada di situ.

Akhirnya aku tiba di situ. Aku yang masih tercungap-cungap segera masuk ke kedai tersebut dan mulai meneliti wajah-wajah yang berada di dalamnya satu-persatu. Tindakanku itu menimbulkan rasa kurang senang di hati pemilik kedai tersebut. Beliau datang mendekatiku.

“Can I help you?” tanyanya. Agak kurang sopan cara beliau menyampaikan pertanyaanya. Aku yang mulai berasa sakit hati mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan pertanyaannya.

“Can you understand me? Do you want me to talk in Bahasa Melayu?” tanyanya lagi. Pertanyaannya itu seakan menyentap jantungku. Dengan rasa penuh kemarahan aku menghunjamkan pandangan bengisku ke arahnya.

“Listen… you insignificant human. You are nowhere near my standard in anyway you can think of. That’s why I ignored you. So, be thankful that I’m not thinking of shutting your business down. Now do yourself a favour by keeping your filthy mouth shut, okay?” balasku dengan garang. Pemilik kedai tersebut tergamam dengan ancamanku. Begitu juga dengan para pelanggannya. Aku terus keluar dari premises tersebut dengan perasaan marah bercampur kecewa.

Hatiku menyumpah-nyumpah kerana terlupa membawa telefon selularku.Entah bagaimanalah aku akan dapat mencari Adrina di kawasan yang nan luas ini. Mungkin aku patut berpatah balik ke pintu balai ketibaan kalau-kalau Adrina akan kembali mencariku di situ. Mungkin juga aku patut pergi ke kaunter pertanyaan untuk membuat pengumuman agar Adrina mencariku di sana. Mungkin juga…

“Arif…”

Aku segera menoleh di belakangku. Buat seketika kurasakan masa seolah-olah terhenti. Seorang gadis yang amat jelita sedang tepat memandangku dengan senyuman gembira terukir di bibir. Sepasang matanya yang memukau itu bagaikan tidak puas-puas menatapku. Aku turut tersenyum. Hatiku kini berasa amat bahagia kerana saat-saat yang kutunggu selama ini untuk bertemu dengan orang yang kucintai tiba juga akhirnya. Gadis tersebut mulai menderapkan langkah mendekatiku.

“Adrina…” ucapku dengan nada gementar. Aku ternampak di tangan kanannya tergenggam kemas telefon mudah alih yang kelihatan baharu sahaja dibeli. Sahihlah Adrina telah cuba untuk menghubungiku.

“Saya kelam-kabut nak datang ke sini. Langsung tertinggal handphone peribadi kat rumah. Sorry, Rina.” pohonku. Adrina menggelengkan kepala tanda tidak kisah dengan kecuaianku itu. Bibirnya masih mengukir senyuman. Parasnya menjadi semakin jelita semenjak kali terakhir kami bertemu. Bukanlah beliau tidak mengemelkan gambar-gambarnya yang terkini selama ini. Namun bertemu dengan Adrina sendiri membuatkan aku terpaku dengan kejelitaannya.

“Arif dah nampak matang sekarang. Dah semakin kacak.” puji Adrina.

“Haha! Taklah! Rina yang betul-betul berubah.” balasku.

“Berubah? Macam mana tu?” tanyanya dengan senyuman nakal.

“Makin bertambah-tambah cantik sampaikan saya rasa kecil aje di depan Rina.” jawabku. Adrina tertawa kecil. Pipinya menjadi kemerah-merahan menahan malu. Buat seketika kami mendiamkan diri. Namun senyuman yang terlakar di bibir kami masih belum surut.

“Arif…” Akhirnya Adrina memulakan bicara.

“Ya, Rina.”

“Rina masih di hati Arif ke?” tanya Adrina dengan nada tersipu-sipu. Aku yang masih tersenyum terus medekatinya lantas merangkul tubuhnya. Adrina membalas dakapanku dengan rangkulan yang erat juga.

“Ya. Saya sangat menyintai Rina.” jawabku membisik ke telinganya.

“I love you too, Arif.” bisik Adrina pula ke telingaku. Rangkulannya semakin erat.

Aku hanya memejamkan mataku untuk menikmati saat-saat manis ini. Segala yang pernah kami berdua lalui selama ini bagiku adalah demi untuk mematangkan cinta kami. Selama tiga tahun berjauhan di mata tidak langsung memudarkan cinta dan kasih antara aku dan Adrina. Inilah bukti terbaik kematangan cinta kami.

Aku berharap cinta kami akan kekal selama-lamanya… hingga ke syurga…


- Tamat -


*****************************************************************************
Notakaki :

Akhirnya kisah Arif dan Adrina dalam Zero Hero dan Emo Hero tamatlah sudah. Aku berasa amat lega tapi berasa agak sedih juga. Aku berharap agar kalian sukakan pengakhiran cerita ini. Selepas ini aku akan membuat cerita yang lain pula. Tapi tak tahu cerita apa. Apapun aku berharap agar ia lebih baik daripada Zero dan Emo Hero.

Cerita ini juga mungkin telah meninggalkan suatu pertanyaan kepada kalian semua iaitu berkenaan dengan tunang Nizam. Aku harap kalian mendapat jawapannya. Dan di kesempatan ini aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen kalian membaca cerita yang merapu daripadaku ini. Segala kritikan dan komen kalian semua amatlah dialu-alukan walaupun kritikan yang pedas dan negatif. Ianya tetap dialu-alukan. Malah aku akan melemparkan alu lesung padi ke muka kalian sebagai bukti keikhlasan hatiku. Haha! Aku melawak ajelah!

Wednesday, July 1, 2009

Emo Hero Bab 47

Emo Hero Bab 47



Tiga tahun kemudian…

Sudah hampir tiga tahun berlalu semenjak pemergian Adrina ke Milan, Itali. Sungguhpun kami telah menyedari tentang perasaan masing-masing, namun akhirnya Adrina tetap pergi jua. Malah kami sama-sama berjanji bahawa andai kata jodoh kami memang ditakdirkan, maka ianya memang sudah ditakdirkan. Namun sekiranya kami membawa haluan cinta masing-masing, maka tiada apa lagi yang perlu dikesalkan.

Kini telah hampir setahun aku menamatkan pengajianku dalam bidang perundangan. Aku telah diterima untuk bekerja di sebuah syarikat antarabangsa bernama Rochester Inc sebagai penasihat undang-undang dan korporat. Sungguhupun masih baharu di sana, di atas komitmen serta kerajinanku, aku telah mendapat kepercayaan syarikat untuk menguruskan beberapa projek mereka di Amerika, India, Dubai dan China. Tidak perlu aku mengipas punggung sesiapa untuk berada di mercu tersebut. Malah aku baharu sahaja pulang dari Bhutan baharu-baharu ini untuk meneroka pasaran di sana bersama majikanku, encik Hickling.

Taraf penghidupan keluargaku kini telah berubah dengan pencapaianku sekarang. Ibu bapaku kini boleh hidup senang-lenang dengan hanya wang pemberianku bulananku. Namun mereka masih menerima wang pemberian daripada anak-anak yang lain sungguhpun tidak perlu berbuat demikian. Malah kedua ibu bapaku langsung enggan mendedahkan berapa jumlah yang kuberikan setiap bulan kepada adik-beradikku. Bapaku juga telah mengingatkanku agar jangan memberitahu jumlah wang pemberianku kepada adik- beradik yang lain demi menjaga hati mereka. Nasihatnya itu kuterima dengan sepenuh hati. Tambahan pula masa itu beliau sedang memegang sebilah golok untuk menebang pokok pisang.

Kereta Honda Civic yang kupandu kini telahpun tiba di perkarangan Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur. Kelihatan Wadi yang segak memakai uniform sedang menungguku di kawasan pintu pagar. Jadi tidak perlu aku meminta pas pelawat serta melalui proses yang menrenyahkan untuk masuk mencarinya. Wadi telah memohon jawatan sebagai pegawai polis sebaik sahaja selepas konvokesyen kami. Dengan fizikalnya yang tegap dan tinggi, maka tentu sahaja beliau akan diterima masuk. Kini Wadi baharu sahaja menamatkan latihan pegawainya di PULAPOL dan dilantik menjadi seorang Inspektor Pelatih. Beliau telah ditempatkan sebagai pegawai penyiasat jenayah daerah. Bersama-sama beliau ialah rakan baharu kami merangkap senior Wadi iaitu Cif Inspekor Nor Azlan.

“Deyyy… Inspektor Sahaab!” teriakku setelah menurunkan tingkap kereta. Mereka berdua tertawa. Aku segera keluar dari keretaku dan bersalaman dengan mereka.

“Nak pi mana pulak ni dengan Wadi?” tanya Cif Inspektor Nor Azlan dalam loghat Nibong Tebalnya. Menurut Wadi, mereka memanggilnya dengan gelaran ‘Gunda’ sahaja.

“Airport, tuan. Member lama kami nak datang dari Milan.” maklumku. Setelah berbual-bual ringan, aku dan Wadi meminta diri untuk mencari Nizam pula.

“Nizam tak ada kat ofis ke?” tanya Wadi setelah beberapa meter keretaku bergerak meninggalkan pejabatnya. Aku menggeleng.

“Habis tu dia kat mana?” tanya Wadi pula. Sekali lagi aku menggeleng.

“Aku dah telefon. Tapi tak dapat. Entah ke mana perginya!” omelku.

“Tak telefon tunangnya?” tanya Wadi pula.

“Depa dua ekor tu serupa aje la.” jawabku. Aku juga telah cuba untuk menghubungi tunang Nizam namun gagal. Oh ya! Terlupa aku nak memberitahu kalian bahawa Nazirun Nizam akhirnya telah menemui cintanya yang sejati. Beliau yang kini masih dilamun asmara baharu sahaja melangsungkan majlis pertunangan dengan cinta sejatinya itu.

Nizam tidak terus bekerja dengan bapanya selepas menamatkan pengajian. Beliau terus menyertai sebuah firma yang agak kecil di Kuala Lumpur untuk membuat chambering dan selepas itu menjadi peguambela dan peguamcara di situ. Sesekali bapanya datang dari Sarawak untuk memujuknya agar menyertai syarikat keluarga namun Nizam tetap menolak dengan alasan masih mahu menimba pengalaman di bidang undang-undang. Beliau hanya bersetuju untuk bekerja dengan bapanya setelah berasakan cukup ilmu perundangan di dada.

Keputusan Nizam itulah yang akhirnya menemukan dirinya dengan cintanya yang sejati. Sungguhpun Nizam bergaji kecil, namun tunangnya itu tetap menerima beliau seadanya tanpa mengira paras rupa ataupun harta. Aku percaya gadis tersebut mencintainya dengan tulus. Aku berani menjamin dengan nyawaku.

Aku begitu bersyukur akhirnya Nizam mendapat secebis kebahagiaan di dalam kehidupannya yang selama ini bercelaru. Namun aku juga berasa sedih kerana Wadi pula baharu sahaja putus tunang dengan Norazwa. Puncanya adalah kerana Wawa telah ditangkap berkhalwat dengan suami orang. Ketika ditemui, tunang Wadi yang berada di atas katil hotel hanya mampu menutup tubuhnya yang tanpa seurat benang itu dengan sebiji bantal sahaja.

“Kau macam mana?” tanyaku setelah agak lama kami berdiam diri.

“Maksud kau, sama ada aku dah pulih daripada hal putus tunangku?” tanya Wadi kembali.

“Ha ah.” jawabku mengiyakannya. Tiba-tiba Wadi mengunjukkan telefon selularnya kepadaku. Badigol budak ni!

“Woi! Aku tengah memandulah, bodoh!” bentakku.

“Alaa… Tengok saja la. Sekejap saja.” pinta Wadi. Aku mengerling sebentar ke arah skrin telefonnya.

“Tengok apa? Skrin kau gelap aje, samdol!” omelku.

“Ah! Kau lambat sangat tengok! Ha! tengok sekali lagi.” pinta Wadi. Aku sekali lagi mengerling ke arah skrin telefonnya. Terpampang gambar seorang gadis yang manis bertudung di skrin telefonnya.

“Wuih! Awek mana tu? Lawanya..” komenku.

“Budak ni sama latihan dengan aku kat PULAPOL. Tuan Gunda yang rekemen dia kat aku. Sekarang dah lekat, beb!” maklum Wadi dengan rasa teruja. Kami tertawa.

“Syukurlah kau pun dah okey!” ujarku. Aku terperasankan yang Wadi mengangguk.

“Kita ni nak ke mana?” tanya Wadi.

“Balik sekejap ke rumah aku untuk bersalin baju la. Takkan nak pakai baju ofis pergi ke airport. Macam bodoh aje rupanya!” jawabku. Wadi tertawa.

“Bos kau bagi cuti ke?” tanyanya pula. Aku menggeleng.

“Aku kan baru balik dari Bhutan? Aku memang tengah bercuti. Cuma aku terpaksa datang hari ni sebab ada hal sikit.” jawabku.

“Aii… Patut la bos kau sayang sangat kat kau.” komen Wadi.

“Bukan macam kau. Asyik tidur semedang. Sekarang ni dah jadi IO (pegawai penyiasat) pun asyik tidur aje.” kutukku seraya tertawa.

“Aku penat-penat puji kau tapi kau kutuk aku pulak. Celaka betullah!” omel Wadi dengan nada geram lantas menyiku bahuku. Tawaku semakin lantang. Nampaknya ikatan persahabatan kami masih tidak berubah walaupun membawa haluan masing-masing. Malah perangai kebudak-budakan kami juga masih tidak berubah. Akhirnya kami tiba di sebuah apartmen mewah yang baharu sahaja enam bulan kusewa. Ketika baharu putus tunang dahulu, Wadi saban hari asyik menghabiskan masa bermurungnya di apartmenku ini.

“Kenapa kau tak nak beli apartmen ini? It’s really cosy and within the range of your status.” komen Wadi tatkala kami menaiki lif untuk ke tingkat empat.

“Aku ni berjiwa orang kampung. Tetap nak rumah yang ada tanah juga.” jawabku.

“Hui.. Rumah yang ada tanah kat KL ni mahal gila, tau?” komen Wadi.

“Aku tengah kumpul duit la sekarang untuk bayar deposit nanti. Kalau ada rezeki aku terus beli cash aje.” maklumku. Terbeliak mata Wadi mendengarnya.

“Wuii… Aku tau la gaji kau banyak daripada kami. Tapi cara kau cakap ni macam gaji kau dua puluh ribu sebulan aje.” komen Wadi. Aku tersenyum seraya memandangnya.

“Tambah lima ribu lagi.” balasku. Mata Wadi kembali terbeliak.

“Baru setahun kerja dah dapat dua puluh lima ribu ringgit sebulan? Gila babi kau ni, Rip!” teriak Wadi dengan perasaan teruja. Aku membuat isyarat agar beliau memperlahankan suaranya.

“Syarikat aku kan dari UK? Jadi mereka bayar gaji aku ikut pound sterling. Kalau ikut matawang mereka, gaji aku cuma dalam tiga ribu tujuh ratus lebih pound sterling. Bos aku kata eksekutif macam aku kat negara lain gajinya lagi tinggi daripada aku. Jadi dia nak hubungi HQ untuk minta gaji aku disemak semula sebab rendah sangat.” maklumku. Kami terus melangkah keluar sebaik sahaja pintu lif terbuka.

“Memang baik betullah rezeki engkau ni. Tentu keluarga kau amat berbangga dengan kau sekarang, Rip.” komen Wadi. Kami beriringan melangkah ke arah apartment sewaku yang bernombor 11-4-35 itu. Aku tersenyum mendengarkan kata-kata Wadi tersebut.

“Kalau abang long aku masih hidup, tentu dia juga amat berbangga denganku.” ujarku dengan nada perlahan. Wadi menepuk-nepuk bahuku. Akhirnya kami tiba di hadapan pintu apartmentku. Aku terus membuka kunci pintu jeriji besi yang menjadi pelindung utama pintu asal tanpa bertangguh. Namun sebaik sahaja aku mahu memegang tombol pintu, tiba-tiba pintu yang diperbuat dari kayu cengal tersebut terbuka. Muncullah kelibat Shaleen bersama seorang kanak-kanak perempuan yang berusia setahun lebih. Shaleen memandangku dengan wajah ceria.

“Hi, honey! Welcome home!” ucapnya.


- Bersambung -