Sunday, November 9, 2008

Emo Hero Bab 27

Emo Hero Bab 27



Sabtu. Malam. Lokasi : Savoire-Faire. Waktu : Aku tak nampak. Gelap sangat!

“WOOO!!! Bunk Face! I love YOUUU!!!”

Aku memandang ke arah Nizam yang membuat muka kurang senang dengan sikap ‘rusa masuk kampung’ Alisha. Entahnya minah ni. Dah le duduk kat depan. Terpekik-pekik seronok tak tentu pasal pulak bila tengok bebudak Bunkface buat gig mereka kat Savoire-Faire. Aku pun minat habis jugak kat band indie tersebut. Diorang ni gaya ala-ala campuran Green Day dan All American Reject. Tapi tak la melompat-lompat macam Apache dapat pisang bila nampak bebudak tersebut. Selepas menyanyikan lagu keempat mereka yang bertajuk Bunk Anthem, akhirnya Bunk Face berhenti sebentar untuk berehat.

“Finally… you calm down…” ujar Nizam dengan nada sinikal. Alisha yang tak terperasankan maksud yang sebenar tertawa riang dengan ‘jenaka’ tersebut. Aku memandang ke arah Adrina. Beliau tersenyum tetapi ianya senyuman yang dipaksa. Ternyata sahabat comelku itu tidak menyukai apa yang Nizam sedang lakukan. Wadi pulak dari tadi asyik berbisik-bisik dengan Wawa. Kunun gaya cakap romantik le tu. Entah-entah Wadi dok cium bau taik telinga si Wawa. Sahabat aku tu memang dah sedia maklum terkenal dengan sikap pengotornya. Tapi semenjak akhir-akhir ni aku tak nampak pulak Wadi memakai spenda ‘kitar semula’ macam selalunya. Oro! Entah-entah semenjak couple dengan si Wawa ni, dia dah jadi budak pembersih. Oh no… Wadi! Don’t turn yourself to the Dark Side!

“Apa yang Arip menungkan tu?” tanya Adrina tiba-tiba sambil mencubit lunak lenganku.

“Sekarang Wadi dah rajin basuh spenda laa…” Itulah perkataan yang sepatutnya bergema di dalam cepu fikiranku tetapi terpacul keluar dari mulutku. Serentak dengan itu kesemua grup kami (kecuali Wadi) tertawa. Alanek! Aku buat perkara yang tak wajar lagi…

“Badigol lu, Arip!” maki Wadi. Aku yang turut tertawa hanya membuat isyarat dengan tanganku untuk memohon maaf. Namun ianya nyata tidak memuaskan hati Wadi. Kini mulutnya menyeranahku dalam bahasa Jawa pulak. Aku tak paham apa maksudnya kecuali perkataan ‘kontol’.

“Something is bothering you… A penny for your thought.” Adrina cuba memancing untuk mengetahui apa yang terbuku di benakku. Taakulannya memang tepat. Aku sebenarnya berasa cemas kerana takut rakan-rakanku ini dapat menghidu tujuanku yang sebenar mengajak mereka semua ke Savoire-Faire.

“Aku sakit perut. Dari semalam tak buat pelaburan.” maklumku.

“Tipu. Arip bukannya pandai berbohong. I can see it right through your eyes that you’re up to something. Mana kawan Arip si Marlboro Man tu?” tanya Adrina.

“Ha-ah! Ya tak ya pulak. Mana member kau tu, Rip?” tanya Nizam. Aku menoleh ke arahnya pula. Ternyata beliau berasa tidak selesa (dan mungkin malu) apabila Alisha tak habis-habis mengepit dan ‘menyondol’ tubuhnya. Minah ni gedik betul Menyampah pulak aku menengoknya. Nak tunjuk ala-ala kasih-sayang pulaaak. Tu yang tak habis-habis menyondol tu. Macam babi hutan.

“Macam babi hutan.” Kata-kata tersebut terpacul pula di mulutku. Kesemua yang berada di sofa bulan tersebut terdiam.

“Kau kata Alisha ke tadi?” tanya Nizam. Alamaak… mulut aku buat hal lagiii…

“Aaa… Err…” Itu sahaja yang mampu kukatakan. Aku agak Batman pun akan terbungkam macam aku juga pada situasi sebegini. Mungkinkah aku ni Batman?

“You ni Alisha… memang betul pun macam babi hutan. Ayah I ada ladang di Miri. Di sana selalu pekerjanya terserempak dengan babi hutan menyondol pokok-pokok yang ditanam. Macam you la dari tadi menyondol-nyondol kat I.” Tergamam aku tatkala mendengarkan kata-kata berbisa yang terhambur dari mulut Nizam. Aku rasa kesemua yang ada di situ pun tergamam juga. Aku memandang ke arah Alisha. Beliau nampak pucat. Matanya mula digenangi air. Beliau kemudiannya bingkas bangun.

“ASSHOLE!!!” jeritnya seraya mencapai jag minuman dan cuba menghamburnya ke muka Nizam. Namun sahabatku itu berjaya menepisnya. Pun begitu air minuman tersebut tetap menemukan mangsanya.

“Adrina!” seruku dalam nada separuh meneriak. Tubuh Adrina basah kuyup bermandikan hampir 2 liter teh lemon ais. Aku juga terkena sedikit tapi cuma di bahagian lengan kiri.

“Rina sejuk, Arip…” ujar Adrina dalam nada yang masih terkejut. Aku segera menanggalkan jaketku dan menggunakannya untuk membalut tubuh Adrina. Alisha pula masih tergamam kerana tersalah sasaran.

“Who’s the asshole now?” tanya Nizam dengan nada sinis. Alisha melemparkan pandangan tajam ke arah sahabatku itu. Kemudian beliau terus melangkah keluar dengan pantas. Ternyata beliau benar-benar marah sekarang.

“Jom cuci rambut, muka dan badan Rina kat toilet.” saranku. Adrina mengangguk. Aku berasa geram juga dengan perangai Alisha dan Nizam. Nak bergaduh ke, berpistol high noon ke… pergi aje la kat luar. Tak pasal-pasal orang lain yang kena. Aku segera bangun dan memimpin Adrina ke tandas wanita. Aku pun tak tahu mengapa aku berbuat begitu. Ianya spontan sahaja.

“Pakai jaket tu dulu. Aku tunggu kat luar.” pintaku tatkala kami sampai di pintu tandas wanita.

“T.. Thanks…” ujar sahabatku itu dalam nada menggeletar kesejukan. Ketikamana aku sedang menunggu kat luar tandas sambil memaki Nizam, tiba-tiba telefonku berdering. Aku melihat skrin telefonku. Ianya panggilan daripada pak cik Jeffery, bapa Adrina.

“Dah sedia?” tanya pak cik Jeffery

“Tunggu dulu. Ada hal sikit. Tangguh sekejap.” jawabku. Pak cik Jeffery meletakkan telefon. Aku pula kembali menunggu bak bouncer yang kesepian ditinggal kekasih. Seketika kemudian Adrina muncul dari tandas tersebut.

“Cakap dengan siapa tadi? Marlboro Man?” tanyanya sambil tersenyum.

“Ha-ah!” jawabku.

“Kenapa panggil Marlboro Man? Sebab dia macho ke?” tanyanya lagi sambil mengirai-ngirai rambutnya yang basah. Kesian Adrina, teruk-teruk bermekap dan ke salun, alih-alih dapat fesyen ‘wet look’ pulak!

“Memang dia macho.” balasku.

“Waa… silap gaya Rina boleh jatuh hati ni! Arip jangan jealous, ya?” usiknya.

“Tak ku siyo.” jawabku dengan loghat Perak. Maknanya ‘aku tak peduli pun’. Adrina tertawa. Kami berdua mula melangkah kembali ke arah tempat duduk kami tadi.

“Siapa lagi macho. Ayah Rina ke atau Marlboro Man?” tanyanya tiba-tiba.

“Tentulah Marlboro Man. Ni apahal tiba-tiba bertanya pasal bapak Rina ni?” tanyaku dengan nada yang agak tertekan. Ceh! Punyalah tak pandai berlakon. Harapnya dia tak terperasan la…

“Kan hari ni Hari Bapa. Tentulah Rina teringat kat dia. Arip dah hantar kad ucapan kat bapa Arip?” tanya Adrina.

“Hm. Dah.” jawabku. Kami akhirnya sampai di tempat duduk kami. Nizam, Wadi dan Wawa sedang memandang ke arah kami tanpa berkelip.

“Sorry, Rina.” ucap Nizam.

“I’m still angry with you.” balas Adrina dengan nada bengang.

“Hey, it’s not my fault. She’s the one who did it.” balas Nizam pula.

“Yeah, but-“ Belum sempat Adrina menghabiskan ayatnya, mulutnya telahpun dipekup olehku. Adrina segera menepis tangan tersebut.

“Kenapa Arip menangkan dia?” tanyanya dengan nada tak berpuas hati.

“Aku bukan nak menangkan sesiapa. Aku nak menyanyi sekarang. The song is for you.” jawabku. Air muka masam Adrina serta-merta berubah. Senyuman kembali terlakar pada bibir mungilnya.

“Surprise untuk Rina? Bestnyaaa!” ujar Adrina dengan gembira dalam nada separuh berteriak.

“Hah! You pulak nak jadi macam Alisha sekarang.” sindir Nizam.

“Shut the hell up!” balas Adrina.

“Rina…” tegurku.

“Okay… Okay… Sorry Arip. Rina keep quiet sekarang.” balas Rina dengan muka comel-comel kucing Whiskies (mak aku yang cakap bila dia gabung makanan kucing Whiskas dengan Friskies). Aku segera bangun dan menuju ke pentas. Ketika ini band tetap Savoire-Faire telahpun selesai mengalunkan lagu instrumental mereka.

“Aaa… Hello! Apa khabar semua? Saya minta maaf kalau mengganggu anda semua dengan suara saya ni. Tapi saya ingin menyanyikan sebuah lagu yang ditujukan khas buat kawan saya yang sedang basah kuyup tu.” Pegumuman yang kubuat mengundang tawa daripada para pengunjung. Aku merenung ke arah Adrina. Gadis tersebut mencebikkan bibirnya.

“Nama kawan saya yang basah kuyup itu ialah Adrina. Saya tujukan lagu ini khas buatnya sempena Hari Bapa pada hari ini.” Sebaik sahaja aku berkata sedemikian, hadirin kesemuanya bertepuk tangan dan bersorak. Fuh… Mujo la deme ni sporting! Adrina tersenyum-simpul kerana berasa malu.

“Dan saya juga nak Adrina tahu bahawa sungguhpun beliau kini telah basah kuyup, namun bagi saya beliau tetap seorang yang jelita.” ujarku. Hadirin bersorak mengusik. Nizam, Wadi dan Wawa tertawa. Manakala Adrina mengacukan buku limanya kepadaku. Kemudian beliau turut tertawa. Namun aku pasti beliau berasa amat segan sekarang. Aku memandang ke arah bebudak band untuk memberikan isyarat agar bersedia.

“Terimalah lagu sempena Hari Bapa ini yang bertajuk ‘Daddy’s Little Girl’.” ujarku. Hadirin bertepuk tangan memberikan sokongan serta semangat kepadaku.

“Okey. One, two… Go!” Sebaik sahaja berkata demikian, band tetap Savoire-Faire mula mengalunkan lagu tersebut.

You’re the end of the rainbow
My pot of gold
You’re daddy’s little girl
To have and to hold
The precious gem
Is what you are
The ray of hope
The shining star

You’re as bright as the sunshine
Morning first light
You warm my day
And bright in my night
You’re sugar, you’re spice
And everything nice
And you’re daddy’s little girl

Tatkala aku sedang mengalunkan rangkap lagu tersebut, muncullah bapa Adrina di atas pentas bersamaku. Aku dapat melihat reaksi terkejut gadis tersebut. Aku dapat melihat bibirnya bergetar untuk mengungkapkan sesuatu namun tiada suara yang keluar. Aku dapat melihat air mata Adrina yang mula beruraian keluar. Aku memandang ke arah pak cik Jeffery. Aku juga dapat melihat air mata yang bergenang pada kedua matanya yang macho itu. Menangis pun nampak macho! Sial betullah! Dulu masa aku menangis Nizam dan Wadi kata aku macam bapuk! Aku kembali melontarkan pandangan ke arah Adrina. Beliau sedang menyeka air matanya. Namun senyuman kembali bertaut pada bibirnya sedangkan matanya tertancap kemas pada bapanya. Aku memandang pula ke arah pak cik Jeffery Beliau juga turut memakukan pandangannya terhadap Adrina sambil tersenyum. Kemudian beliau mendepangkan kedua belah tangan. Adrina bingkas bangun dan berlari ke arah pak cik Jeffery. Tatkala bertembung mereka terus berpelukan dengan begitu erat sekali. Aku hanya menghalakan tanganku kiriku ke arah bapa dan anak yang sedang berpelukan lantas menghabiskan rangkap terakhir laguku :

And you’re daddy’s little girl….

Dan aku dapat melihat hadirin bersorak sambil bertepuk tangan…..


- Bersambung -

Sunday, November 2, 2008

Emo Hero Bab 26

Emo Hero Bab 26



Sabtu. Malam. Pukul 9.34 pm.

“Waaa… Arip memang sangat bergaya la!” puji Adrina tatkala beliau turun dari Toyota RAV4 miliknya. Seperti yang dirancang dan dijanjikan, kami semua berkumpul di perkarangan hostel penginapanku. Nizam pun baharu sahaja tiba bersama ‘koleksi’ terbaharunya. Aku kadang-kala berasa kasihan dengan gadis-gadis yang menggedik dengan sahabatku itu, dek berasakan bahawa mereka sudah menemui cinta yang sejati. Gedik la selagi boleh. Jangan tergeletak dalam longkang bila kena buang, sudah…

“Mana Wadi? Wawa pun tak ada.” tanya Nizam.

“Wadi pinjam motor aku nak ngambik si Wawa.” maklumku.

“Waa… Romantiknya Wadi. Arip pun patut begitu la! Patutnya Arip datang ambil Rina dengan motor, tau?” sindir Adrina.

“Eleh… Itu kau kata romantik? Aku lagi romantik daripada si tempe tu, tau?” tingkahku. Apa yang bestnya naik motor memalam buta ni? Romantik hapa! Kang silap gaya kena kencing dek langsuir. Tak pun kena taik burung hantu. Tapi aku tak pernah dengar orang kena taik burung hantu. Kenapa, ya? Salah satu lagi misteri yang tidak terungkap sehingga kiamat.

“Prove it. Tunjukkan la keromantikan de amour awak tuuuu…” sakat Adrina lagi. Minah ni nak kena ni… Aku segera berpaling mengadapnya dan memegang kedua bahu Adrina.

“Hohohooo… Now we’re talking! Okey… Lepas ni apa pulak?” cabar Adrina. Aku hanya mendiamkan diri sedangkan mataku tepat tertancap pada pandangannya.

“Tak rasa apa-apa puuun…” sakat Adrina lagi.

“Rina. Saya berasa sangat bertuah kerana ditakdirkan bertemu dengan awak… mengenali awak… menyayangi dan akhirnya mencintai awak… dan kalaulah ianya membuatkan saya menderita, maka ianya adalah lebih baik dari saya hidup bahagia tanpa merasai cinta yang sebegitu rupa.” Sebaik sahaja aku mengungkapkan kata-kata tersebut kesemua yang berada di sekeliling kami berdua seakan-akan senyap secara mutlak. Tapi memang pun, sebab diorang semua tergamam!

“Wow…” Aku berpaling ke arah empunya suara tadi. Ianya milik Alisha, teman wanita Nizam. Aku memandang pula ke arah Nizam. Ternyata sahabatku membuat muka kurang enak sambil menggelengkan kepala. Memang tak patut pun aku mengungkapkannya. Bodoh betullah aku ni! Kecik-kecik dulu mak aku bagi makan otak kerbau ke?

“I like that. Romantik. Memang romantik. Tentu ramai gadis yang makan hati dengan Arip nanti.” puji Adrina dengan senyuman lembut. Aku pula berasa kurang selesa kerana gagal membaca perasaan di sebalik senyuman tersebut.

“Habislah you Nizam…” usik Adrina sambil memandang ke arah sahabatku.

“Apa pulak? Aku pun romantik jugak, apa?” tingkah Nizam dengan perasaan kurang senang. Adrina ni… Kenapa dia nak cari pasal dengan Nizam pulak ni? Kan aku dah bagitau yang Nizam tak sukakan dia?

“Okay. Say something romantic to me.” Tiba-tiba Alisha mengutarakan permintaannya. Nizam tergamam. Begitu juga aku. Adrina tertawa kecil.

“Aaa… Er… My life’s incomplete without you by my side.” ujar Nizam dengan gaya tak keruan. Oro? Ini pertama kali aku melihatnya sebegitu rupa.

“Hmm… Not bad. Mungkin kawan sayang lagi romantik sebab dia dah lama into relationship dengan girlfriend dia.” komen Alisha. Serentak dengan itu Nizam dan Adrina tertawa. Aku pulak terkedu.

“What’s going on?” tanya Alisha.

“I’m not his girlfriend. Just a good friend. Macam Nizam juga.” maklum Adrina.

“So you sanggup cakap macam tu pada kawan perempuan you? You’re so mean, man!” kritik Alisha dengan keras terhadapku. Celaka punya betina! Baharu aje kenal dah pandai melampiaskan kata-kata yang berbisa kepadaku. Tapi yang sialnya cakap dia memang betul! Aku memang kejam sebab cakap begitu pada seorang perempuan yang menyukaiku sedangkan aku menganggapnya sebagai seorang kawan sahaja.

“Don’t ever use that kind of tone to my best friend, okay?” ujar Nizam dengan nada bengang terhadap teman wanitanya. Alisha tergamam. Adrina pula perlahan-lahan mendekati mereka berdua.

“Arif selamatkan saya. Saya tak layak diselamatkan atas apa yang saya buat padanya. Tapi dia tetap selamatkan saya. You cakap begitu tadi sebab you tak tahu. Ianya boleh dimaafkan. Tapi sekarang you dah tau. Jadi janganlah cakap begitu lagi pada orang yang telah menyelamatkan saya.” Begitu lembut sekali ungkapan Adrina. Namun bagiku ianya lebih menakutkan dari kata-kata Nizam. Dari reaksi wajah Alisha, nampaknya beliau juga sependapat denganku.

“Okey! Okey! Jangan marah Alisha lagi. Dia tak bersalah dalam hal ni. Aku yang bersalah. Nizam… berbaik-baik semula dan peluk ciumlah girlfriend kamu tu.” ujarku untuk menenangkan keadaan. Aku berpaling pula ke arah Adrina.

“I’m sorry. Maafkan saya, ya?” pintaku. Adrina tersenyum. Manis sekali senyumannya.

“Sebenarnya Rina suka dengan kata-kata Arip tadi. Okey. Cakap satu lagi benda yang romantik. Baru boleh dikira mintak mahap.” Nampaknya Adrina masih mengusikku. Atau mungkin juga beliau mahu menunjukkan bahawa beliau sebenarnya tidak kisah dengan perbuatanku tadi.

“Okey… Kini saya tak perlu lagi memandang ke langit untuk melihat keindahan kerdipan bintang-bintang kerana ianya terzahir pada kedua mata bening Rina.” ujarku.

“Whoa…” ujar Alisha.

“Whoa indeed… Rina dah cair ni, Arip! Oh my Goood!” teriak Adrina dengan perasaan teruja bercampur malu. Beliau kemudiannya tertawa manja. Pandangannya kemudian dijuruskan ke arah Nizam. Pandangan menyindir.

“Hantu kau, Rip!” bentak Nizam sambil memandang dengan perasaan bengang ke arahku. Kecuali Nizam, kami semua tertawa.

*********************************************************************
Savoir-Faire, lebih kurang 1 jam kemudian…


“Wauu… Eksklusif la tempat ni.” komen Alisha. Aku pun tergamam melihatnya. Ianya lebih pada kelab malam elit berbanding dengan bistro-bistro yang kami biasanya sondol dulu. Tapi macam kelab orang tua la…

“Mana Arip tau tempat ni?” tanya Adrina. Kelihatan beberapa pasang mata mengekori langkah kami ke meja yang telahpun ditempah. Dari pemakaian mereka, berkemungkinan besar mereka datang ke sini dari tempat kerja. Nampak macam ekssutif syarikat atau lawyer aje…

“Member saya yang rekemen. Siap dia tempahkan.” jawabku.

“The atmosphere is great. Tapi macam kelab untuk orang-orang berumur laa…” komen Adrina pula. Oro? Dia pun sependapat denganku?

“Entahnya! Macam tempat elit aje. Tentu cajnya mahal…” komen Nizam pula. Matanya sempat mengenyit ke arah salah seorang eksekutif perempuan yang juga sedang mengutuskan senyuman ke arahnya tatkala pandangan Alisha terarah ke lain. Sempat lagi tu… Buaya Kelas A sungguh!

“Jangan risau la! Kawan aku tu yang belanja. Dia akan join kita sekali. Tapi mungkin sekejap.” maklumku.

“Mana pulak laa kau kenal orang macam tu? Tentu dia loaded gila.” komen Wadi pula.

“Aku berkenalan dengan dia masa kita tengah clubbing.” jawabku.

“Bila tu? Tak pernah aku teringat kau menyembang dengan sesiapa kecuali dengan kami. Kau kelentong, ya?” tingkah Wadi dengan nada curiga.

“Just drop it, okay?” ujarku dengan nada kurang senang.

“Ceh! Sah kamu kelentong! Liar-liar… pants on fire!” kutuk Wadi. Kesemua mereka tertawa. Aku aje yang buat muka hero filem Tamil yang tak dapat menari dalam filemnya.

“Aku kenal dengan dia masa Nizam tengah mengayat Alisha. Kamu pulak Wadi… masa tu kau tengah BERAK!” balasku dengan suara yang lantang. Kami kemudiannya berdekah-dekah mentertawakan Wadi. Aweknya si Wawa jenuh menekup mulut. Kunun nak jaga hati balaknya le tu. Eleh… padan muka pun mat tempe tu. Cari geruh dengan aku lagi.

“Celaka kau. Malu la aku!” bentak Wadi. Kami terus mentertawakannya. Tiba-tiba handphone milikku berbunyi. Menandakan ada SMS yang baharu sahaja masuk. Aku segera melihatnya.

“I saw you guys just now. I guess our plan is now in motion.” Begitulah bunyi pesanan ringkas tersebut. Aku tersenyum. Namun ianya tidak kekal tatkala terasa lenganku disentuh dengan lunak.

“Siapa tu? Shaleen, ya?” tanya Adrina, si empunya jari-jemari yang masih memegang lenganku. Rakan-rakanku yang lain masih mengutuk dan mentertawakan Wadi. Aku tersenyum seraya menggelengkan kepala.

“Kawan misteri saya tu la. Saya panggil dia Marlboro Man.” jawabku dengan senyuman yang penuh bermakna.


- Bersambung -

Notakaki :

Sebenarnya mungkin ramai yang tak terperasankan bahawa setiap kali aku menukar gambar anakku yang berada di atas, maka pasti aku juga akan menukar gambar (atau gambar-gambar) yang berada kat bawah sinuuun... Tapi korang cuma dapat tengok ajelah. Nak copy-paste tak boleh. Eleh... bukannya korang nak pun kalau boleh buat begitu, ya tak?

Aku berasakan bahawa cerita Emo Hero sudah tiba ke fasa yang agak lembab. Ini bermakna bahawa berkemungkinan besar ia akan tiba ke penghujungnya lambat-laun nanti. Sahabatku si editor Liana meminta aku menghantar karya pertamaku bertajuk Pirate Lisfer kepadanya. Aku tak dapat menghantarnya atas dua sebab. Sebab pertamanya ialah aku tak siapkan lagi walaupun dah sampai ke episod penghujung. Sebab kedua ialah bila aku baca balik, aku rasa macam nak memaki hamun diri sendiri. Punyalah teruk gaya penulisan aku! Macam manalah aku dulunya boleh terperasan bahawa aku dah cukup hebat untuk bermain dengan bahasa sastera pada masa itu! Maluuuu siuuut...

Aku pasti suatu hari nanti bila aku membaca balik cerita Zero Hero, Emo Hero dan 'ahem' Hero (rahsia lagi), maka perasaan yang serupa akan menyelubungi diriku. Tapi perkara yang paling kubimbangi ialah aku tidak lagi mampu untuk membuat cerita yang baik sungguhpun gaya bahasaku pada masa itu mencecah ke tahap kesempurnaan. Maka dengan sebab itulah aku melabelkan diriku sebagai 'story teller' atau si pencerita dan bukannya 'penulis'. Aku harap ianya dapat mengingatkan diriku tentang tujuan asalku berkarya iaitu : Keseronokan... Dan kekayaan... Dan terkenal ramai aweks keliling pinggang...

Aiseh... aku memang la hipokrit kalau semata-mata kata demi keseronokan dan demi memperjuangkan sastera. Aku bukannya nak jadi lilin yang sanggup membakar dirinya demi orang lain. Tau sebabnya? Sebabnya ialah aku cumalah seorang si pencerita... bukannya penulis...

Saturday, October 25, 2008

Emo Hero Bab 25

Emo Hero Bab 25




Hari yang kutunggu telah tiba!

“Betul la diorang tak kisah Rina ikut. Serius. Tengok muka saya ni. Serius, kan?” Begitulah balasanku terhadap kesangsian Adrina untuk menyertai kami semua pergi berlibur di SAVOIR-FAIRE. Sambil tu aku membuat mimik muka Cikgu Azizan Hashim (guru disiplinku) di zaman mudanya.

“Entah apa-apa muka serius Arip!” komen Adrina seraya tertawa. Aku nak ikut tertawa. Tapi kang rasa macam angkuh pulak mentertawakan lawak sendiri. Ingat sudarra-sudarraku sekalian… Keangkuhan itu hanya milik Allah sahaja.

“Arip paksa diorang, ya?” telah Adrina dengan nada nakal kanak-kanak Ribena.

“Mana ada paksa!” tingkahku dengan gaya yang mampu membuatkan sapi berasa terancam nyawanya.

“Habis? Guna undue influence, ya?” telah Adrina lagi. Undue influence atau ‘pengaruh tak wajar’ adalah satu lagi bentuk paksaan yang rendah sikit tarafnya dari paksaan tapi masih dianggap salah di sisi undang-undang.

“Saya gunakan hujah yang sangat dahsyat lagi mengagumkan sehingga diorang tak dapat membantah lagi.” jawabku untuk mematikan telahan-telahan negatif Adrina. Minah ni pernah eksiden dan terima darah O negatif ke?

“Ha! Angkuh betul jawapan! Ingat Rip, keangkuhan hak Allah saja, tau?” tegur Adrina dengan senyuman mengusik. Oro? Dia sebut benda yang aku fikirkan dalam kepala? Seekers! Aku musti menghubungi kumpulan Seekers. Boss diorang namanya Meet Uncle Hussain, kan?

“Astaghfirullah! Betui cakap kamu tu Rina. Makin alim halalan toyyiban kamu ni ya? Nampak gayanya kamu layak untuk menyertai kumpulan nasyid Mawwadah sekarang. Yang merah itu sagaaa…” usikku seraya menyanyikan lagu nasyid old school. Kami berdua tertawa berdekah-dekah. Buruk sungguh rupanya bila awek nan jelita ketawa terbahak-bahak sampai nampak taik tekak. Adrina kemudiannya mencebikkan muka dan mencubit lengan kananku dengan agak keras.

“Oik! Sakit la, pandai!” omelku. Kini giliran sahabatku itu pula mentertawakanku. Aku yang naik bengang cuba untuk mencubit lengannya kembali namun Adrina mengelak-ngelak sambil tertawa dan kemudiannya menjerit.

“Syy!!! Jangan la jerit! Kang orang ingat aku nak buat benda tak baik kat kamu pulak!” rungutku. Adrina tertawa riang kerana berasakan dirinya telah menang glassware. Eleh, aku pun bukannya betul-betul nak cubit kamu. Buat batal air wuduk aku aje.

“Oro? Bukan ke Arip ada lunch date dengan Shaleen kejap lagi ni?” Adrina mengutarakan pertanyaan yang spontan menaikkan kening Ziana Zainku. Aku menganggukkan kepala.

“Hm.” jawabku dengan serba-salah. Selalunya Adrina akan pulang ke rumahnya pada hari Sabtu. Tapi oleh kerana aku mahu mendesaknya untuk clubbing bersamaku malam ini, maka beliau terpaksa bermalam di hostel selepas kuliah terakhir pada hari Jumaat. Pun begitu aku telah berjanji untuk menemaninya bersarapan pagi pada hari Sabtu. Namun aku terpaksa memaklumkan kepada Adrina bahawa aku mempunyai janji temu dengan Shaleen.

“Pergilah bersiap. Have a good time. No… Have a GREAT time, okay?” ujar Adrina yang menandakan janji temu kami telahpun berakhir. Beliau memaniskan wajahnya dengan senyuman. Namun ternyata masih jelas secalit perasaan suramnya terpapar pada wajah ayu tersebut.

********************************************************************
Beberapa jam kemudian…


“Makanan di sini sangat sedap!” Aku tersenyum mendengarkan komen Shaleen. Pastilah mak cik Brutal tersenyum ganas mendengarkan pujian tersebut. Sebenarnya aku agak tak la sedap sampai menjilat kaki. Tapi nampaknya nyonya ni bersungguh-sungguh benar menyantapnya. Ni kalau sumbat dalam ISA ni pun pasti tak komplen bila masa makan.

“Betullah kot?” balasku dengan ragu-ragu. Tiba-tiba Shaleen menghulurkan sudunya yang diisi dengan nasi goreng. Aku tergamam sambil memerhatikan sudu tersebut. Hmm… sudu baharu. Mana boleh dibuat ibu duit!

“Cuba leee…” pujuknya. Nak tergelak aku mendengarkan cara beliau berkata ‘leee’ tadi. Namun hatiku agak berdebar kerana gadis di hadapanku ini mahu menyuapkan makanan ke mulutku. Dengan agak ragu-ragu aku menyuakan muka dan membuka mulut. Shaleen dengan cermat menyuakan sudu tersebut ke dalam mulutku. Jantungku semakin keras debarannya.

“Sedap dak?” tanya Shaleen.

“Hm. Boleh laa…” jawabku. Sebenarnya sedap. Sedap disuap dengan sebegitu rupa oleh gadis pujaan hatiku.

“Boleh laa…” ajuk Shaleen seraya tertawa. Aku juga tertawa. Nasib baik laaa aku syok kat kau, amoi. Jadi terpaksa la aku pendamkan aura bunuhku buat waktu ini.

“Pelik la bunyi kau cakap Melayu.” komenku.

“I have to learn until it’s perfect. Arif tolong leee Leen cakap betul-betul.” maklumnya. Aku sekali lagi rasa nak tergelak dengan perkataan ‘leee’nya itu. Macam bomoh Siam tengah menurun nombor Sports Toto.

“Maca mana kalau nak cakap ‘I love you’ in Malay?” tanya Shaleen tiba-tiba.

“Saya cintakan awak la!” jawabku dengan sambil lewa. Pun begitu hatiku tetap terusik dengan pertanyaan tersebut.

“No! Bukan simple macam itu. Romantik. Maca mana mao kata dengan romantik?” tanyanya lagi.

“Ni apahal pulak ni? Selalunya orang lelaki yang bersusah-payah nak cari cara romantik untuk kata I love you.” rungutku dalam keadaan ingin tahu.

“Leen nak kasitau girlfriend Leen. Dia orang Melayu. Tentu dia suka.” jawabnya. Oo… nak bagitau kaum seGomorrah dengannya ke! Ceh! Aku ajar kang kira untuk mendorong diorang buat maksiat la!

“Leen ni memang versi Nizam dalam kategori playboy leee…” ujarku dalam nada mengusik. Shaleen tertawa. Tapi memang ya pun. Dah berapa kali dia tukar girlfriend setakat ni.

“Asshole! Kacau orang lagi, neh?” Dah mula keluar putik bunga mencarutnya dah. Suka sangat mencarut! Aku kena la tanya beras jenama apa yang dia makan supaya aku tak belikan untuk anak-anak aku kelak. Hmm… mungkin anak-anak ‘kami’ kot? Yiahaha!!! Merah ah muka aku ni!

“Please! Please! Pretty please! Arip cakap la macam mana nak kasitau kita sayang orang cara romantik.” Kedua tanganku yang berada di atas meja digenggam dengan erat oleh Shaleen.

“Oih! Oih! Apa ni, Shaleen!” tegurku. Amoi ni sekali lagi dengan gaya selamba membuat perkara semberono di hadapan orang awam. Cakap sekuat-kuatnya pulak tu. Seperti yang kuduga, beberapa pasang mata yang mengenaliku mula menaruh minat ke atas situasi yang sedang berlaku ini.

“Leen tamau lepas! Cakap dahulu, bersenang-senang kemudian!” ujarnya. Aku tertawa, yang mana kemudiannya turut disusuli dengan tawa manja Shaleen.

“Ni mana pulak kamu belajar cakap macam Karam Singh Walia ni?” usikku. Shaleen kembali menyambung tawanya.

“Kasitau la Leen! Pleaaaaseee… Tolooooong…” rayunya. Tanganku masih lagi digenggam dengan erat. Sebenarnya mudah aje aku nak melepaskan diri. Tapi jangan harap la aku nak berbuat begitu!

“Okey! Dengar ni… Saya berasa sangat bertuah kerana ditakdirkan bertemu dengan awak… mengenali awak… menyayangi dan akhirnya mencintai awak… dan kalaulah ianya membuatkan saya menderita, maka ianya adalah lebih baik dari saya hidup bahagia tanpa merasai cinta yang sebegitu rupa.” ungkapku. Buat seketika kami hanya mendiamkan diri tanpa sebarang komen.

“Hooh… Shit, Arif! You’re… Wow… That’s… That’s really… wow…” Nampaknya Shaleen juga kehilangan kata-katanya. Itupun sempat juga mencarut tu!

“Heh! Baru kau tau! Ini Arif the new guy from da block, you dig?” ujarku ala-ala mat Negro hip-hop masuk ke Malaysia tanpa permit. Sebenarnya aku pun berasa segan juga sebab mengungkapkan kata-kata yang sedemikian rupa. Jadi cepat-cepat aku buat cool hip-hop agar tak dapat dikesani oleh gadis yang masih kucintai.

“Mamang betul romantik.” puji Shaleen.

“Aku hanya sebut saja. Ia datang dari hati.” balasku merendah diri. Tiba-tiba Shaleen bangun dan terus menghadiahkan ciuman di pipi kananku.

“Kamu sekali lagi laaa buat hal, amoi oiii….” keluhku. Kini sahih semua mata yang berada di kafeteria tersebut menghalakan fokus ke arah kami.

“Sapa-sapa yang cakap bagitu romantik… mmm… mamang patut dicium oleh seorang gadis yang dengar dia cakap begitu.” ujar Shaleen. Aku terkaku. Gadis tersebut terus-menerus menatapku dengan senyuman manisnya.

“Thanks…” ucapku.

“No. Thank YOU. Sekarang ajar Leen cara cakap macam tu tadi, okay? Leen nak tulis.” ujarnya seraya menggeledah beg sandangnya yang dibawa bersama. Aku hanya tersenyum melihatkan telatahnya. Gadis ni benar-benar membuatkanku bahagia tadi. Tapi aku juga turut menderita dalam masa yang sama.


- Bersambung -



Wednesday, October 8, 2008

Emo Hero Bab 24

Emo Hero Bab 24




Seminggu telahpun berlalu semenjak insiden aku bertemu dengan Shaleen. Adrina kini nampaknya riang seperti biasa. Aku pun berasa agak lega juga kerana kalau beliau berasa tertekan dengan kehadiran Shaleen nanti pasti ia turut memberikan tekanan kepada persahabatan kami berdua. Aku cukup benci perkara-perkara yang membuat aku tertekan ni. Itu sebabnya aku tak suka paku tekan.

Shaleen… Kini aku kerap bermain SMS dengan amoi tersebut. Mungkin sikit lagi kami main sepak takraw pulak. Apabila waktu malam tatkala selesai berborak dengan Adrina di telefon (walaupun selepas bertemu dan bersembang berjam-jam), aku pasti akan menghantar SMS atau menelefon Shaleen pula. Shaleen pasti akan memintaku menamatkan perbualan kami agar beliau boleh menelefonku. Dan kami akan berbual berjam-jam pula sehingga ke pukul 3-4 pagi. Banyak betul topik yang diperbualkan. Ada sekali tu entah macam mana boleh masuk bab tapir cacat kat Zoo Taiping pulak!

“Hai bro! Kenapa nampak monyok ni?” Sapaan lunak daripada Adrina kubalas dengan senyuman Amber Chia. Aku nak bangun dari kerusi ala-ala gentleman pun terasa malas hari ni. Adrina terus melabuhkan punggungnya di kerusi empuk yang ditempatkan di luar perpustakaan. Paha kirinya bersentuhan dengan paha kananku. Nak stim ke tak nak? Letih laa… esok ajelah stim…

“Uik! Kurang mesra, cekap dan betul la senyuman Arip hari ni.” komennya. Aii… Adrina ni sekarang dah pandai melawak ikut cara aku melawak. Gaya stail cakap pun dah macam aku.

“Aku letih dan ngantuk la, Rina.” ujarku seraya menopang mukaku dengan kedua belah tapak tangan. Kedua sikuku pula teralas pada paha.

“You looked awful. Ini tentu salah Rina sebab ajak Arip sembang dalam fon lepas kita jumpa setiap malam.” telah Adrina. Aku yang masih memekup muka menggelengkan kepala.

“Bukanlah.” balasku pendek. Tiba-tiba kedua bahuku terasa diurut dengan lembut. Ianya cukup melegakan. Pasti sahabat comelku yang buat begitu. Huu… nanti bila aku dah kahwin, aku nak suruh bini aku urut badan macam ni setiap malam. Tapi orang tua-tua kata jari pompuan ni bisa kalau mengurut lelaki. Badan lelaki boleh jadi lemah sebab bisa tu. Kalau pakai emas atau sutera kat badan pun akan dapat natijah yang sama.

“Eleh, Rina tau la… Lepas kita sembang, Arip sembang dengan Shaleen pulak kat telefon, kan?” Aku perlahan-lahan mengalihkan pandangan ke arah Adrina. Air mukaku jelas gagal menyembunyikan perasaan terkejut.

“Sharingan! Sharingan! Zzzziinngg!” ujar Adrina dengan nada melawak seraya tertawa. Aku tertawa kecil. Ternyata beliau seboleh-bolehnya mahu menghapuskan perasaan bersalah dan panikku.

“Rina marah tak?” tanyaku. Nampak tak macam dia nak mengapak dahiku dengan failnya yang tebal. Tapi dalam hati siapa yang tahu, ya tak?

“Marah sebaaaab….” tanya Adrina kembali.

“Yalah. Sebab saya tak berterus terang dengan Rina.” balasku. Adrina terdiam seketika. Kemudian bibirnya melirikkan senyuman.

“Arip nak jaga hati Rina, kan? Itu sebab yang cukup baik untuk sembunyikan hal Shaleen daripada Rina. Jadi buat apa Rina nak marah? Ignorance is bliss.” terang Adrina. Buat seketika kami hanya mendiamkan diri. Tiba-tiba aku tersenyum.

“Kenapa senyum?” tanyanya setelah melihatkan bibirku yang menyengih-nyengih kepadanya.

“Tolong urut. Tadi Rina urut sedap la…” jawabku. Rina tertawa.

“Manja betul! Kalah Rina kalau macam ni!” omelnya. Pun begitu beliau tetap memicit-micit kedua bahuku dengan penuh iltizam. Lantaklah badan aku jadi lemah. Sekarang pun tengah lesu nak tidur ni.

************************************************************************
Selepas kuliah. Tiga jam kemudian…

“Betul ke kau nak Adrina pergi sama? Alaa… Lecehlah…” Aku mengerutkan muka tatkala mendengarkan protes Nizam. Mataku spontan terarah kepada Wadi. Dari mimik mukanya jelas beliau juga sependapat dengan Nizam.

“Apa pasal Adrina tak boleh ikut sama ke clubbing pulak? Bagi aku sebab-musabab yang baik.” persoalku kembali.

“Yalah! Aku dan Wadi bukannya ngam lagi dengan dia.” jawab Nizam.

“Haa… Abih tu inilah masa kome berdua nak ngam balik dengan dia.” hujahku pula.

“Susah la… Aku rasa susah nak terus berbaik dengan dia sekali bergaul aje.” hujah Nizam pula. Macam debat perdana pulak!

“Abis? Aku macam mana? Dah la korang berdua seret awek masing-masing. Aku kang terbungkang la sorang-sorang! Kalau korang berdua tak selesa dengan Adrina, habis dengan awek korang berdua tu korang ingat aku rasa selesa ke? Awek kau Wadi, si Wawa tu. Aku bukannya mesra geng bas sekolah dengan dia pun. Sembang pun ada la dua tiga patah perkataan macam burung kakak tua. Awek koleksi musim luruh kau pulak Nizam; lagi la aku tak boleh nak ngam. Entah tulat nanti kau dah tukar dengan awek lain pulak.” Aku mulalah mengeluarkan senjata terakhirku berserta nas-nas yang diluluskan oleh jumhur ulamak. Terkedu Wadi dan Nizam mendengarnya. Dan spontan hati kecilku mengetahui bahawa aku telah memenangi perdebatan ini.

Pada malam Sabtu nanti; aku, Wadi, Nizam, Wawa, Adrina dan awek Nizam akan bersama-sama clubbing di SAVOIR-FAIRE. Aku akan ada date untuk hari tersebut. Dan yang paling penting, ianya mengikut apa yang kurancangkan. Kalaulah Nizam dan Wadi tau apa yang kurancangkan, mau la aku kena makian Quiraisy Bani Sayyaaroh daripada diorang berdua!

************************************************************************
Malam tu. Pukul 12.13 am.

“Hi Shaleen. Tgh buat pe?” Begitulah mesej SMS yang telah kuhantar kepada Shaleen. Baharu saja tadi aku menghabiskan masaku bersama Adrina untuk menyudahkan assignment subjek Undang-undang Komersan. Adrina berjanji untuk tidak menelefonku selepas ini untuk membolehkanku melabun bersembang dengan Shaleen. Sporting betul minah tu. Kalau la mak aku macam dia… nanti kejap… macam tak sesuai aje ayat tu tadi! Seketika kemudian telefon selularku mula menyanyikan lagu Kucing Hitam dari kumpulan Bittersweet.

“Hello Shaleen.” ucapku.

“Hai Arif. Awal you SMS. I’m surprised.” balas Shaleen.

“Rina janji tak nak telefon dan kacau kita berdua.” maklumku.

“Oh… Bagitu.” balas Shaleen.

“Leen marahkan Rina lagi ke?” tanyaku. Keadaan senyap seketika.

“Sorry… Leen tengah geleng-geleng kepala just now.” balasnya seraya tertawa. Aku turut tertawa. Sepanjang kami berdua terputus hubungan, Shaleen rupa-rupanya berusaha untuk mempelajari cara bercakap Bahasa Melayu dengan betul. Banyak meningkat dah prestasinya. Tapi biasalah sesekali terpelecok ke gaung. Dari Bahasa Melayu kekadang tu bunyi mak cik Siam tua bercakap pulak!

“Jadi Leen tak marah kat Adrina?” tanyaku lagi.

“Tak. Leen tiada marah lagi. Mmm… hati Leen tiada simpan dendam. Betul ke cakap Leen tadi?” tanyanya.

“Hm. Saya tengah angguk-angguk kepala just now.” usikku. Shaleen ketawa. Gaya tawanya yang manja spontan membuatkan jantungku berdegup keras.

“Arif ada rancangan untuk waktu Sabtu ni tak? Leen nak jemput makan Laksa Shack di Jusco.” pelawa gadis idamanku itu. Alamak! Timing belt tak bagus! Aku nak keluar dengan Adrina ke SAVOIR-FAIRE pada hari tersebut!

“Sorry Leen. Saya ada rancangan lain untuk hari tersebut.” jawabku dengan nada serba-salah.

“Mmm.. Ada nak keluar janji temu dengan Adrina, kan?” tanya Shaleen. Keadaan senyap seketika.

“Sorry… Tadi saya angguk-angguk kepala sekali lagi.” maklumku. Shaleen sekali lagi tertawa manja.

“I’m really sorry, Leen.” ucapku lagi.

“Eh! Eeh! Tak apalah Arif! Leen tak apa-apa. Mmm.. Tak simpan dalam hati Leen ni.” ujar Shaleen. Aku berasa lega. Kami kemudiannya berborak sakan sehingga hampir mencecah ke pukul 3 pagi. Punyalah lama telefon ditepekkan ke telingaku. Hampir masak empuk cuping telingaku. Hatiku masih lagi terasa berbunga-bunga sungguhpun telah menamatkan perbualanku dengan gadis idaman hati. Aku berbaring di atas katil. Wadi dan Nizam telahpun lama berdengkur. Aku pun akan berdengkur juga tak lama lagi. Pun begitu, hati kecilku masih mendesak-desak untuk melakukan sesuatu sebelum aku melenakan diri.

“Goodnite Rina.” Begitulah ayat SMS yang kuutuskan kepada Adrina tanpa kuketahui motifku untuk perlu berbuat begitu. Selepas itu keadaan senyap sunyi. Aku dah memang mengagak Adrina telahpun lama dibuai mimpi. Namun entah mengapa aku berharap agar beliau membacanya dan kalau boleh membalasnya. Dan hatiku berasa sedikit hampa kerana apa yang kuharapkan tak-

“Dididiit…” Aku bingkas bangun lantas mencapai telefon selularku di atas meja dan menekan kekunci untuk membaca SMS yang baharu kuterima.

“Gdnite Arif. Hv a pleasant dream.” Aku tersenyum membaca SMS daripada Adrina. Aku kembali berbaring. Tidak lama kemudian kesedaranku mulai beransur-ansur menyusut. Dan tatkala aku mulai melangkah ke alam mimpi, baharulah aku terperasankan yang aku telah meletakkan telefon yang kugenggam pada dadaku dan rasa-rasanya bibirku masih lagi melakarkan senyuman.


- Bersambung -

Thursday, September 18, 2008

Emo Hero Bab 23

Emo Hero Bab 23




“Adrina. Are you okay?” tanyaku sebaik sahaja memarkirkan Toyota RAV4 beliau di tepi jalan. Adrina kini sedang mengesat kedua belah matanya dengan lengan kanan. Tapi tak pulak dia kesat hidung. Kenapa dalam komik Jepun kalau awek cun nangis keluar air hidung sekali, ah? Kat Jepun cuacanya sejuk kot?

“Rina okey. Rina cuma tiba-tiba teringatkan ayah Rina.” maklumnya. Aku hanya menatap dengan teliti wajah gadis tersebut. Adrina cuba mengelakkan renunganku dengan memandang ke tempat lain. Teringat kat bapak dia? Sebelah lutut Nicol Ann David pun aku takkan percaya! Ini tentu hal Shaleen ni. Askar Jerman boleh la kau tipu, Rina! Namun aku mengambil keputusan untuk tidak bertanya dengan lebih lanjut. Tampak jelas sahabat comelku itu terganggu fikirannya. Aku meletakkan tangan kiriku ke bahu kanan Adrina dan meramas lembut untuk menenangkan perasaannnya. Adrina memandang ke arahku dan menggenggam pula tanganku itu dengan tangan kirinya.

“Thanks.” ujarnya sambil tersenyum. Hatiku dapat merasai kepahitan pada senyuman tersebut. Sahih al-Bukhary dia terganggu tentang hal Shaleen ni! Aku kembali meneruskan perjalanan ke UNISAS.

“Arip, boleh tak hantar Rina terus balik ke rumah. Esok kita nak tengok wayang, kan? Arip bawa balik aje SUV Rina ni balik ke UNISAS.” Tiba-tiba Adrina mengemukakan saranan yang boleh membuatkan Mak Temah menyembur sogeknya!

“Biar benar kau ni! Kang apa-apa jadi pada SUV ni kang, macam mana?” tanyaku untuk menduga. Tapi dalam hati syok jugak! Boleh la aku menayang pada awek-awek kat UNISAS tu!

“Arip bawa SUV ni okey apa? Rina confident la..” jawab gadis tersebut.

“Bawak bila kau ada memang la hati-hati.” ujarku.

“Oo… Kalau tak ada tuan SUV ni baru la bawak macam hantu?” tanya Adrina. Aku menoleh ke arahnya. Senyuman mengusik jelas melirik di bibirnya.

“Bukan sebab itu la! Saya bawak SUV ni dengan hati-hati sebab saya tak mau apa-apa yang buruk terjadi pada Rina.” tingkahku untuk mempertahankan diri. Keadaan sunyi seketika daripada perbualan.

“Sayang juga Arip pada Rina, ya?” Tiba-tiba Adrina bersuara.

“Tentu la! Ek-” Alamak! Aku macam dah tersalah pilih ayat pulak. Time ni yang buat aku berharap sangat agar dilahirkan sebagai Ultraman. Ultraman semuanya bisu. Cuma tau membentak Hep! Hep! aje. Suasana kekok mulai menjalar di setiap inci SUV tersebut. Masing-masing kini hanya mampu untuk berdiam diri sahaja.

***************************************

Lebih kurang 17 minit kemudian…

Akhirnya kami selamat tiba di rumah Adrina. Kalau tak silap, ini kali kedua aku menjejakkan kaki ke rumah agam tersebut. Kali pertama ialah masa parti sambutan hari lahir Adrina. Hari yang cukup tak ingin kukenangi. Aku masih gagal mengurangkan perasaan kekagumanku sungguhpun pernah melihat rumah tersebut sebelum ini. Toyota RAV4 milik Adrina kini telah diparkirkan di lobi tempat aku hampir dilanggar oleh Evo si Shaleen.

“Thanks. Esok kita jumpa lagi. Jangan lewat, tau?” pesan Adrina. Aku menganggukkan kepala. Adrina membuka pintu SUV tersebut.

“See ya. Bye!” ucapnya.

“Bye Rina.” balasku kembali. Adrina tersenyum lantas menutup pintu. Aku hanya memerhatikan langkah-liuknya yang kini menuju ke arah pintu utama rumah tersebut. Tidak sampai beberapa saat kemudian aku tiba-tiba sahaja terus keluar dari SUV tersebut dan berjalan menuju ke arah Adrina.

“Rina! Rina!” seruku. Langkah Adrina terhenti, sedangkan langkahku kini semakin menghampirinya.

“Kenapa Arip?” tanya Adrina tatkala derap kakiku berhenti betul-betul di hadapannya. Baharu sahaja aku mahu membuka mulut tiba-tiba pintu utama terbuka dengan bunyi kuakan yang secara tidak langsung mengganggu mood aku untuk berbicara. Kacau betul! Aku pungkang dengan botol oren kang! Aku memandang ke arah pintu. Seorang wanita dalam lingkungan umur lewat 40’an terpacul di jenang pintu tersebut. Iras wajahnya mengesahkan wanita itu sebagai ibu Adrina sungguhpun inilah kali pertama kami bertemu. Dah tua pun cantik lagi, siul! Mesti ada bela ‘anak ikan’ ni…

“Ibu dah agak Rina yang balik.” ujarnya.

“Ibu, ini kawan Rina. Arif Akmal.” maklum Adrina untuk memperkenalkan diriku kepada ibunya. Alaa… tak payah la bagitau nama sebenar. Sebut nama penuh pulak tu! Lain kali bagitau aje gelaran aku iaitu ‘Wira Tunggal di Gunung Zu’.

“Selamat malam. Apa khabar, puan?” sapaku. Kena la sopan-santun sikit. Kang buatnya dia lepaskan Rottweiler untuk pokah dagingku sebab kurang ajar dengan dia kang, tak ke naya? Ingat rumah orang Melayu besar gedabak macam ni tak bela anjing pengawal ke? Kurang-kurang mesti ada bela angsa!

“Khabar baik, nak. Panggil saja saya ni mak cik.” balas ibu Adrina. Waa… mak Adrina ni baik dan merendah dirinya orangnya. Kalau macam ni sahih dia tak bela Rottweiler. Selamat daging punggung pejalku!

“Arip nak bagitau Rina apa tadi?” tanya Adrina untuk menamatkan basa-basi perbualan. Alamak! Dia ingat lagi la…

“Tak apalah. Lain kali saya bagitau.” jawabku.

“Okey…” balas Adrina dengan nada agak kecewa. Perasaan tersebut jelas terpapar pada wajahnya. Aii… Ni yang malas ni. Kang mesti nangis manja lara lagi ni nanti. Gasaklah ada mak dia ke tidak. Aku kena juga bagitau sekarang.

“Sebenarnya saya nak bagitau Rina… Kalaulah saya kena pilih antara Rina dengan Shaleen, saya tetap pilih Rina. Saya pernah hampir hilang sahabat baik dulu sebab cinta. Saya tak akan ulangi kesilapan yang sama. Jadi Rina janganlah bersedih dan susah hati. Saya tak akan tinggalkan Rina. Rina lebih penting dari cinta saya. Itu yang saya nak cakap.” ujarku. Keadaan seolah-olah menjadi sepi seketika. Gadis di hadapanku benar-benar terperanjat sehingga tidak tahu bagaimana untuk membalas kata-kataku tadi.

“Okeylah. Saya nak balik sekarang. Esok kita-” Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, Adrina menerpa dan memelukku seerat-eratnya. Giliranku pula tergamam dan termangu-mangu. Gila minah ni! Depan mak dia berani nak dakap aku! Sahih kena piat telinga kejap lagi ni. Aku pulak kena pepah dengan penyapu laman.

“Thank you.” bisiknya pada telingaku. Memang sah dia susah hati tadi sebab takut kehilanganku. Rasa bangga Zeus pulak sebab awek cantik susah hati takut kehilanganku. Adrina kemudiannya melepaskan rangkulannya dan terus berlari masuk ke rumah. Namun beliau berhenti seketika di jenang pintu dan menoleh ke arahku. Senyuman manis dilemparkan ke arahku yang masih bungkam sebelum gadis tersebut masuk ke dalam. Eleh, macam awek filem Hindustan pulak gayanya. Ni banyak menonton siaran Zee kat Astro la nih!

“So… You’re the infamous Arif Akmal?” Komentar daripada ibu Adrina kembali memulihkan diriku dari bungkaman tadi. Aku perlahan-lahan memandang ke arahnya pula.

“Oro?” ujarku yang masih kelabu-kelabu.

“Arif, apa yang Arif cakapkan tadi memang buat Adrina rasa gembira. Tapi satu hari ayat yang sama juga akan membuat dia terluka.” ujar ibu Adrina.

“Saya tak faham.” balasku. Ibu Adrina tersenyum.

“Mak cik percaya Arif akan faham nanti.” balasnya. Aku hanya menganggukkan kepala dan kemudian meminta diri untuk pulang ke UNISAS.

*****************************************

Lebih kurang 30 minit kemudian…

Akhirnya aku selamat tiba pula ke UNISAS. Aku memarkirkan SUV Adrina dengan cermat di suatu sudut yang cukup selamat dari sebarang pencerobohan. Setelah selesai memarkir, aku mematikan enjin kenderaan tersebut dan mula termenung. Fikiranku melayang kembali kepada situasi perbualan di antara aku dan ibu Adrina. Setiap bait-bait katanya bermain-main di dalam cepu memoriku.

“Saya faham apa yang mak cik cakap. Sebenarnya saya faham…” ujarku seolah-olah menjawab kembali komentar ibu Adrina tadi. Aku memang telah mengesyaki bahawa Adrina melayani dan menganggapku lebih dari seorang sahabat baik. Buktinya Toyota RAV4 yang dipinjamkan olehnya kepadaku ini. Aku juga telah mengesyaki bahawa Adrina benar-benar menyimpan perasaan terhadapku dan bukannya bermain-main seperti dahulu. Aku dapat mengagak yang Adrina telah benar-benar jatuh cinta kepadaku.

Namun mustahil aku dapat membalas perasaannya itu dengan perasaan yang serupa. Aku menyintai gadis lain. Mana mungkin perasaan cintaku itu dengan mudah beralih kepada orang lain. Aku dahulunya memang tergila-gilakan Adrina. Namun itu bukannya cinta. Aku yang menyangka ianya adalah cinta. Sebenarnya ianya hanyalah obsesiku semata-mata. Cintaku yang sebenar buat masa ini hanyalah pada seorang gadis. Gadis tersebut adalah Shaleen.

Kata-kataku tadi telah menggembirakan Adrina tetapi akan melukakan hatinya suatu hari nanti. Namun bagiku kata-kataku itu buat masa ini bukan sahaja telah memberi impak kepada Adrina seorang malah terhadap diriku juga.

Kata-kataku itu sebenarnya secara tak langsung amat menyakitkan hatiku. Kalaulah aku terpaksa memilih, aku akan tetap memilih sahabatku. Dan pastinya aku akan menderita kerana terpaksa meninggalkan cintaku…



- Bersambung -



Nota Kaki Busuk :

Sepatutnya bab ini saya hantar pada minggu hadapan. Namun rasanya minggu hadapan jadual saya lebih padat dengan beberapa perbicaraan. Jadi sesiapa yang melawati blog saya pada hari Jumaat yang berbahagia ini bolehlah dikira sebagai bertuah.

Jadi bolehlah dianggap Bab 23 cerita ini untuk minggu hadapan. Selepas itu raya puasa. Tiada sebarang cerita akan dihantar kerana saya ingin beraya sakan. Anda semua juga eloklah beraya sakan bersama keluarga dan orang yang dikasihi. Jangan buang masa asyik melawati blog sahaja.

Di kesempatan ini ingin saya mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada semua pembaca beragama Islam dan selamat bercuti kepada yang selainnya. Semoga kita semua mendapat keberkatan dan keceriaan di hari yang dirahmati tersebut.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf sekiranya ada di antara anda yang berasa hati dengan saya selama ini. Kalau ada, sila nyatakan. Saya akan terus meminta maaf kepada anda semua, InsyaAllah.

Jumpa lagi.

Wednesday, September 10, 2008

Pengumuman

Assalamualaikum dan apa khabar semua.

Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada anda semua kerana sudi membaca cerita saya ini dan memberikan komen-komen serta kritikan-kritikan yang membina. Saya juga sebenarnya berasa bangga dan seronok kerana cerita saya ini mempunyai kultusnya yang tersendiri dan ada di antara anda yang tertunggu-tunggu untuk setiap episod. Kalaulah saya hentikan cerita ini serta-merta maka mungkin ada yang datang ke rumah saya dan menembak saya dengan senapang hippotamus dek kerana terlalu kecewa.

Setiap minggu anda menunggu...

Malangnya ini adalah cuma hobi saya semata-mata. Kalaupun mahu dijadikan perniagaan mungkin saya tidak begitu serius untuk membuatnya. Saya mempunyai kerjaya yang baik serta mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.

Jadi saya memohon maaf sekiranya saya tidak dapat mengujakan anda setiap minggu dengan bab-bab yang baharu pada setiap masa. Minggu ini sahaja saya telah menghabiskan masa di jalanraya sejauh hampir 1,200 km setakat ini. Saya penat. Terlalu penat. Tambahan lagi terkena flu pula. Selalunya pada ketika ini (hari Rabu) saya telahpun menyiapkan hampir separuh cerita saya. Namun pada hari ini otak saya kosong sahaja. Saya tahu macam mana jalan ceritanya tetapi saya tak tahu macam mana untuk menulis dengan sulaman kata yang baik. Sungguhpun cerita ini adalah bergenre romantik picisan yang penuh dengan bahasa pasar, namun kalau anda perasan saya tetap memasukkan bait-bait ayat yang indah serta berbunga-bunga. Saya memang sangat menghargai sastera Melayu. Saya berasakan bahawa inilah cara saya mendidik generasi muda untuk menyukai sastera dan menghargai keindahannya.

Mungkin minggu depan tiada bab 23 untuk anda. Namun saya cuba untuk menulisnya bukan kerana anda. Tapi kerana saya suka bercerita...

Ma'assalamah.

Sunday, September 7, 2008

Emo Hero Bab 22

Emo Hero Bab 22


“Huh?” Pegunku disentak oleh ramasan lembut di bahu kananku. Aku menoleh ke kanan. Adrina rupa-rupanya. Beliau kini telahpun duduk di sebelahku. Nasib baik bukan tenuk yang pegang aku tadi. Kalau tidak… kalau tidak aku berasa hairan la, ya tak?

“Lama betul Arip terpegun tadi. Sikitpun tak menguit!” usiknya. Eh? Ye ke?

“Ye ke?” tanyaku dengan nada suara yang seolah-olah tersekat di kerongkong. Adrina menganggukkan kepala.

“Pergilah tegur dia.” Tiba-tiba Adrina membuat saranan yang tidak kusangkai.

“Aaa?” Terkejut aku mendengarkan kata-kata tersebut. Minah ni biar betul… Termakan makjun pasak bumi ke semalam?

“Pergilah. Rina tak kisah. Rina akan pergi menyorok kat mana-mana. Nanti bila dah sudah, Arip call Rina.” saran Rina lagi. Aku meneliti wajah gadis yang suatu ketika dulu amat kuagungkan dan kemudian amat kubenci. Kini wajah yang sama membuatku berasa amat terharu pula. Adrina tersenyum untuk membalas senyumanku. Aku menoleh kembali ke belakang. Ke arah Shaleen, gadis yang kini bertakhta di hatiku. Beliau yang nampaknya berseorangan, sedang ralik membelek-belek beberapa anak patung yang diperagakan di kedai cenderamata tempat kami singgah tadi.

“Betul ke?” tanyaku tanpa sekejip pun meninggalkan fokusku daripada Shaleen. Gadis tersebut masih terserlah kecantikan dan keyakinannya. Namun kali ini beliau memakai gaun putih dari kain kapas yang berlawanan sekali dengan citarasanya dahulu. Shaleen kini semakin nampak jelita dengan menyerlahkan aura femininnya. Jantungku semakin berdebar keras bersama perasaan terujaku yang meluap-luap.

“I’m cool with it. Pergilah. Have fun.” balas Adrina. Aku berpaling ke arah sahabat baikku. Mataku meneliti air mukanya. Adrina nampaknya cuba menyembunyikan saki-baki perasaan suramnya tadi dengan sealas senyuman. Aku kembali memandang ke arah Shaleen. Hatiku berasa teruja dan gembira tetapi kembali terluka dalam masa yang sama. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Kepalaku kini dihala ke lantai.

“Sudahlah… It’s over.” ujarku dengan perlahan.

“WHAT? Apa yang Arip cakapkan ni?” pertikai Adrina dengan nada yang agak tertekan. Aku memandang ke arahnya. Gadis di sisiku kini menunjukkan air muka bengangnya.

“Aku tak sanggup dilukakan lagi.” balasku. Adrina menggelengkan kepala.

“Kenapa Arip macam ni? Arip takkan nak menyerah begitu saja? Ariiip… Itu Shaleen tu. The one that you love wholeheartedly. Takkan dia cakap sekali saja Arip akan pegang cakapnya tu sepanjang hayat? Perempuan memang macam itu, Arip. Kami hanya akan benar-benar mencintai lelaki yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh menyayangi kami.” leternya. Isk! Tak pernah aku terfikir akan perkara tersebut. Nizam pun tak pernah cakap begitu. Gamaknya pompuan yang couple dengan dia pun tak ikhlas. Pilih dia sebab paras rupa dan wallet tembamnya. Patutlah Nizam buang diorang macam sampah aje. Padan muka korang jadi sampah tak boleh kitar semula! Muahahahaa!!!

“Apa kena kau ni, Rina? Kan kau yang kaw-kaw tak suka kat Shaleen?” tanyaku pula. Entahnya. Kalau ikut ramalan kitab kungfu segienam yang dicuri dari tokong Tai Kam Beng, tatkala Adrina dan Shaleen bertemu maka musnahlah kawasan sekeliling seluas 60 radius natijah bahang pertarungan mereka berdua.

“Kalau Arip tak tegur dia, confirm Arip akan menyesal. Lepas tu jadi bad mood. Lastnya Rina le tempat Arip lepaskan marah dan tension! Nanti Rina pun bersedih dan nangis macam anak rusa nani yang comel!” jawabnya yang lebih kepada suatu rungutan. Aku tertawa kecil. Pandai dah budak ni berseloka-ria. Boleh la tergelak dengan ikhlas sekarang.

“You think it’s a good idea?” tanyaku. Adrina menganggukkan kepala.

“Shaleen tentu gembira jumpa Arip. And if anything’s goes wrong, I’m here for you.” Emosiku kembali pulih mendengarkan kata-kata Adrina. Aku segera bangun dan mengorakkan langkah ke arah Shaleen. Namun aku berhenti pada langkah ketigaku. Aku menoleh ke belakang.

“Kenapa?” tanya Adrina dengan wajah yang agak cemas.

“Thanks, Rina. And… Sorry…” ujarku.

“Sorry? Kenapa?” tanya Adrina dengan nada kehairanan. Aku menggelengkan kepala. Tidak kutahu mengapa bibirku perlu menuturkan perkataan tersebut. Aku bergegas menuju ke arah Shaleen. Hatiku semakin teruja bergaul dengan rasa cemas. Jantungku semakin berdebar keras. Pelbagai bentuk prasangka datang menerjah ke dalam benakku.

Tatkala aku menghampirinya, gadis tersebut masih belum menyedari kehadiranku. Aku terkaku berdiri di belakangnya. Tidak tahu apa yang harus kubuat. Tidak tahu apa yang harus kukatakan. Aku cuma terpacak dalam keadaan pegun di situ. Tiba-tiba Shaleen berundur sedikit. Tubuhnya semakin menghampiriku. Bau tubuhnya yang harum kini mulai membelai di rongga pernafasanku. Aku semakin cemas. Semakin kalut dan tidak tahu apa akan kulakukan. Tatkala aku terbelit dalam emosiku sendiri, Shaleen dengan tidak semena-mena berpaling ke belakang.

“Arif…” Itulah tuturan pertama daripadanya yang singgah menyapa ke cuping telingaku setelah hampir dua bulan lebih terputus hubungan. Tuturan yang bagaikan bayu yang lembut di telingaku namun bagaikan halilintar yang memalu keras di dalam hatiku. Aku terpegun. Masih tidak tahu apa yang patut kuungkapkan atau kubuat. Hanya sekilas senyuman gementar sebagai balasan pada tutur lembut tadi.

“Arif…” Sebaik sahaja menuturkan namaku buat kali kedua, tubuhku didakap dengan erat oleh Shaleen. Aku betul-betul tak sangka begini keadaan situasinya. Betul-betul sungguh berbeza dari apa yang kubayangkan tadi. Sahihlah adegan kami berdua menjadi tumpuan ramai sekarang. Sahih ramai yang berasa jelak dan mual dengan kami. Namun aku membuat keputusan untuk membalas kembali pelukan Shaleen. Buat seketika kami berdua hanyut dalam emosi masing-masing. Mungkin emosi yang berbeza.

***********************************************
Beberapa jam kemudian. Jam lebih kurang 10 malam.

“Are you okay?” Tumpuanku yang separuh di jalanraya dan separuh pada insiden tadi terlupus dengan pertanyaan Adrina tadi. Kami kini dalam perjalanan pulang ke UNISAS. Adrina agak keletihan. Jadi aku menawarkan diri untuk memandu RAV4 beliau.

“Arip okey ke?” tanya gadis tersebut sekali lagi. Aku menganggukkan kepala.

“Macam mana dating dengan Shaleen?” tanyanya pula. Dari tadi aku mengelak untuk bercerita tentang janji temu ‘bidan terjun’ antara aku dan Shaleen. Aku bimbang kalau-kalau Adrina kurang senang mendengarnya.

“Lebih baik dari yang saya jangkakan.” jawabku pendek. Aku seboleh-bolehnya memberikan jawapan ahli politik kali ini.

“Tentu seronok habis, kan?” tanya Adrina. Seolah-olah ingin memancing emosiku.

“Samalah macam kita berdua keluar ni. Rasa seronok macam itu aje la.” Sekali lagi aku memberikan jawapan ahli politik.

“Tipu. Rina tengok muka Arip cerah dan berseri-seri sampai sekarang. Macam baju dicuci dengan Breeze. Happy dan excited habis!” usiknya. Aku tertawa. Adrina turut tertawa. Selepas itu kami berdiam diri buat seketika.

“Arip takut Rina kecil hati, ya?” tanya Adrina tiba-tiba. Aku bungkam. Namun setelah beberapa ketika akhirnya aku mengangguk kecil.

“Hey! I’m your best friend. I’m happy for you, okay? Rina dah lupakan permusuhan Rina dengan Shaleen.” maklumnya sambil menepuk-nepuk lengan kiriku.

“Macam mana kalau Shaleen masih bermusuh dengan Rina? Aku nanti tersepit kat tengah-tengah.” tanyaku. Kami berdiam diri seketika.

“Kalau Shaleen masih bermusuh dengan Rina tapi dia cintakan Arip, Rina… Rina sedia undur diri.” Jawapan yang terpacul dari mulut Adrina benar-benar mengejutkanku.

“Eh! Janganlah cakap macam tu.” tingkahku.

“I only asked for your forgiveness. But you gave me more than that. Arip sanggup terima Rina sebagai seorang sahabat. Rina rasa sangat bertuah. Rina tak patut minta apa-apa lagi.” ujarnya.

“Saya percaya Shaleen pun tak mahu bermusuh dengan Rina. Jadi kita bertiga boleh bersama tanpa ada masalah.” ujarku dengan penuh keyakinan.

“Tanpa masalah? Harapnya begitulah…” ujar Adrina. Aku kurang pasti apa yang beliau maksudkan dengan kata-katanya itu. Tiba-tiba radio yang sedia terpasang mengumandangkan lagu ‘Menunggu Dirimu’ dari kumpulan Nadia’s Picture Show.

“Eh! Rina suka lagu ni!” ujar Rina dengan nada teruja.

“Aku pun suka, siuull..” ujarku. Lantas aku turut sama menyanyikan bait-bait lagu tersebut.

Semuanya kan berakhir
Kiranya kau kan mungkir
Tetapku menunggumu
Untuk kau terus berfikir

Jangan kau anggap ini semuanya
Hanya mimpi yang tak berharga
Jangan kau alpa tentang isinya
Kenangan yang telah kita bina

Hanya ku yang inginkan semua
Untuk kita terus berdua

Ku kan terus tersiksa
Kiranya aku tetap akan menunggu dirimu
Dan harus kumenahan semua
Kisah cintaku… jauh-jauh

Entah mengapa tiba-tiba aku melontarkan pandanganku ke arah Adrina. Mungkin kerana berasa hairan mengapa lagu kesukaannya ini tidak dinyanyikan bersama. Tapi iyalah, suara minah ni pun macam bunyi tikus kena dera aje!

“Eh! Rina! Kenapa ni?” Itu yang dapat kuucapkan untuk menzahirkan perasaan terkejutku. Adrina hanya memandang dengan pandangan kosong ke depan. Namun ekspresi muka tersebut gagal menutupi perasaannya yang sebenar kerana air matanya tidak putus-putus beruraian keluar…


- Bersambung -



Nota Kaki :



To reza : Diorang bukan artis. Kalau main tarik-tarik rambut pun takkan keluar paper punyalah… Awek kedai magazine tu buat apa kau usha saja? Pi la ngorat! Dapat baca majalah free lain kali, apa!

To eddie : Kau ni banyak sangat tengok cerita Melayu tipikal la… Hahahaa…

To heart : Nampak sangat kau tak sukakan amoi Shaleen tu, ya?

To qasehnuryz : Ha-ah. Rugi tak beli Harmoni keluaran lepas.

To kucing_gile : Aku ingat kau dah masuk Spital Gumbira. Lama tak dengar khabar! Yiahaha!

To lona : Welkam! Welkam! Kenapa tulis bunyi macam Indonesian? Orang sana ke?