Zero Hero SE
Bab 6 (Part 2)
Airbus A380, Ferrari dan Buggati Veyron
milikku, PSY!
“Bisnes abang tentu okey, kan?” tanya Adrina tatkala
kami berada di pasaraya. Aku yang sedang membelek-belek kobis berwarna ungu
mengangguk.
“Alhamdulillah, bisnes abang okey. Tapi abang
masih cemerkap dan tak cekap lagi. Mujurlah pelanggan kedai makan itu tak
berapa ramai. Yang ramainya ialah orang lain yang datang daripada
pejabat-pejabat yang berdekatan.” jawabku kemudian.
“Abang dapat untung?” tanya isteriku pula.
“Ada, tapi abang masih tak pandai menguruskan kos
dan keuntungan. Biasalah keuntungan itu tentu belum dapat membayar balik modal
pembelian aset-aset. Tapi setakat ini modal pusingan abang tak terjejas.”
jawabku.
“Berapa sebiji burger abang jual?” tanya Adrina.
“Kalau yang biasa sama ada ayam atau daging, abang
cuma jual seringgit lapan puluh sen saja.” jawabku.
“Murahnya! Boleh ke buat untung kalau macam itu?”
tanya Adrina dengan nada kurang yakin.
“Boleh, tapi bukan sekarang. Abang nak main volume
(bilangan) dengan kedua burger murah tu. Yang lain-lain macam burger special
abang jual pada harga biasa macam yang dijual oleh peniaga lain. Dekat situlah
abang dapat tutup balik kos burger seringgit lapan puluh sen tadi dan buat
keuntungan.” perjelasku. Adrina menganggukkan kepala tanda memahami strategiku.
“Selainnya kita berserah kepada Allah.” ujarku lagi.
“Ya, sememangnya Allah yang memberikan rezeki kepada
kita. Kalau Dia nak beri, tiada siapa boleh menahan. Kalau Dia nak menahan,
tiada siapa boleh memberi.” sokong isteriku. Terangkat kedua keningku
mendengarkan kata-kata Adrina. Mungkin Ziana Zain juga akan berbuat perkara
yang serupa.
“Hebat betul kata-kata Rina tu!” pujiku.
“Bukan Rina yang kata. Rasulullah SAW yang kata.”
maklum isteriku. Terdiam aku seketika. Ternyata Adrina benar-benar bersungguhan
dalam mempelajari ilmu agama. Malu pula aku kerana isteriku ternyata lebih
dalam pengetahuannya daripadaku.
“Abang, Rina petang ni ikut berniaga bersama abang,
boleh?” Tiba-tiba isteriku mengutarakan cadangan yang membuatkan jantungku
hampir berhenti. Aku merenungnya lama-lama untuk mencari kepastian sama ada
Adrina hanya bergurau atau beliau benar-benar serius.
“Kenapa tak boleh pula?” tanyanya dengan perasaan
tidak puas hati. Nampaknya beliau benar-benar memahami kehendakku sungguhpun
melalui riak air muka sahaja.
“Di lapangan terbang saja Rina dah diganggu
bertalu-talu. Malah mat salleh tadi tidak peduli pun akan kenyataan yang Rina
dah berkahwin. Rina fikir apa pula yang akan terjadi pada kita kalau ada orang
yang obses dengan kecantikan Rina nanti?” tanyaku. Adrina bungkam. Akhirnya
setelah lama dalam keadaan begitu beliau mengangguk dengan perasaan berat hati.
“Okeylah! Okeylah! Tapi abang mesti bagi Rina tengok
abang daripada jauh.” pintanya seperti budak kecil. Aku yang berasa agak
keberatan terpaksa mengangguk tanda setuju.
**************************
Petang itu aku berniaga burger seperti biasa.
Pelangganku setakat ini cuma ada tiga orang sahaja dan kesemua mereka membeli
burger ekonomi. Banyak masaku dihabiskan untuk berbual dengan pak cik Tow.
Ternyata warga tua tersebut begitu kaya dengan pengalaman serta banyak kali
telah jatuh dan bangkit kembali dalam perniagaannya.
“Taiko! Burger daging special sudah
siap.” ujarku sambil meletakkan pesanan yang diminta oleh salah seorang
pelanggan setiaku. Beliau jugalah orang pertama yang memesan burger daripadaku
pada hari pertama aku berniaga. Lelaki dalam lingkungan usia empat puluhan
tersebut bernama Andrew namun beliau menyukai gelaran ‘taiko’ yang kuberikan
padanya.
“Thank you.” ucapnya seraya menghulurkan not lima
ringgit kepadaku. Aku yang telah bersedia membawa duit kecil segera
menghulurkan baki kepadanya selepas itu.
“Thank you, taiko!” ucapku. Andrew ketawa kecil. Aku
kembali kepada gerai burgerku. Namun sempat ekor mataku menangkap sesosok tubuh
yang berdiri tidak jauh dari kopitiam pak cik Tow. Sosok tubuh yang kurus
kering itu adalah milik seorang lelaki berbangsa India yang agak berumur. Dari
keadaan beliau yang comot, kotor dan berpakaian compang-camping itu, adalah
tidak sukar untukku menelah bahawa beliau ialah seorang peminta sedekah.
“Uncle Tow, apa yang dicakapkan tu?” tanyaku
setelah melihat si peminta sedekah tadi terkumat-kamit mulutnya meminta sesuatu
dariku. Pak cik Tow yang sedang melepak di kaunter bayaran memanjangkan
lehernya antara hendak dengan tidak untuk melihat ke arah skop padanganku.
“Hm. Itu India minta sedekah. Dia mau makan. Nanti
wa panggil tukang masak kasi dia nasi sama ikan.” jawab pak cik Tow.
“Tak apalah, uncle. Hari ini saya belanja uncle
peminta sedekah tu makan. Tadi ada burger saya dah silap buat. Saya bagi
sajalah burger tu kepada dia.” maklumku. Aku segera mengambil bungkusan burger
yang masih tergantung di gerai dan pergi mendapat si peminta sedekah tersebut.
Sebaik sahaja aku mendekatinya, beliau kelihatan agak takut dan seolah-olah
ingin melarikan diri.
“Nah, burger. Burger! Makan! Makan!” pujukku.
Setelah beberapa ketika memujuknya, akhirnya si peminta sedekah tadi terus
merenggut bungkusan burger di tanganku dan dengan pantas melarikan diri.
“Uih! Boleh tahan lajunya dia berlari. Macam
Usain Bolt.” komenku. Pak cik Tow, taiko Andrew dan beberapa pelanggan lain
ketawa mendengarkan jenakaku.
- Tunggu Part 3 -
1 comment:
bro...bila nk post cita lg??dh lma sgt xpost bro..
Post a Comment