Sunday, July 14, 2013

MetroPolis Episod 3 Bab 18 (Part 4) - Suram



MetroPolis Episod 3
Bab 18
Suram (Part 4)


“Identiti sebenarmu telahpun diketahui oleh Masonik, Nicol. Kau sepatutnya akan ke Prague lagi pada minggu hadapan, bukan? Mereka akan menangkapmu dan menyiksamu untuk mendapatkan maklumat tentang Organisasi.” Pemberitahuan Mayhem itu membuatkan muka Nicol menjadi pucat.

“Bos janganlah bermain-main dengan saya!” tikai Nicol dengan bentakan kecil.

“Aku tak main-mainlah! Aku serius ni!” balas Mayhem.

“Habis, mengapa tuan tersengih-sengih bila bercakap begitu tadi?” hujah Nicol pula.

“Yakah aku tersengih? Aku memang suka tersenyum; apa nak buat! Lagipun tadi dalam masa yang sama sebenarnya aku terfikir untuk menyakatmu. Tapi dalam hal yang lain.” balas Mayhem pula. Nicol memincingkan mata. Orang atasannya itu masih tersengih-sengih.

“Bos tipu!” bentaknya dengan nada bengang.

“Demi Allah yang jiwaku di dalam genggamannya. Aku benar-benar bercakap benar, Nicol. Aku tersengih sebab aku bercadang nak mengusik fesyen rambutmu yang macam separuh tempurung kelapa. Wuahaha!” Mayhem ketawa berdekah-dekah selepas itu. Nicol menggelengkan kepala.

“Baiklah! Serius! Serius semula! Nicol! Aku arahkan agar kau terus pergi ke kubu utama Organisasi. Malam ini juga!” ujar Mayhem tiba-tiba menghentikan tawanya. Wajahnya kali ini benar-benar serius.

***************************************

Pada masa yang sama di kubu Organisasi Daulah Maddani, Madinah.

“Ren; apa maksudmu? Kenapa dengan Cat, Ren?” tanya Enbi bertalu-talu. Ren Fairuz memperlihatkan wajah serba-salahnya. Seketika kemudian Drakulon dengan pakaian makmalnya muncul.

“Ah! Saif! Tepat pada masanya!” seru Ren dengan nada gembira dan lega. Kini pandangan bimbang Enbi beralih kepada Drakulon pula.

“Tuan Drakulon...” ujar Enbi. Drakulon senyum tapi ketara kelatnya.

“Enbi, cik Catherine telah menggunakan kaedah terlarang iaitu mengaktifkan adrenalinnya tanpa henti-henti untuk jangkamasa yang lama. Saya sendiri pun berasa kagum dengan tekniknya itu tapi malangnya ia telah memudaratkan tubuh cik Catherine dengan serius. Dengan kata lain, cik Catherine telahpun memusnahkan otot-otot serta sel-sel dalam tubuhnya apabila menggunakan teknik adrenalin tersebut. Ditambah pula dengan kecederaan akibat rejatan elektrik berkuasa tinggi, sepatutnya beliau telah lama mati. Namun Mayhem telah berjaya menahan kerosakan sel-sel dalam tubuhnya dan memacu penyembuhannya dengan kadar ratusan kali ganda. Mayhem tiada pilihan kerana kalau dia tak berbuat begitu, maka cik Catherine mustahil dapat diselamatkan. Bagaimanapun semua kombinasi yang terjadi ke atas tubuh cik Catherine telah menyebabkan kerosakan sel-sel di tahap yang amat serius. Tubuhnya tak mampu lagi menghasilkan sel-sel yang baru. Sel-sel lama pula telah musnah dengan kadar yang begitu cepat sekali. Maka apa yang saya dapat buat cuma memperlahankan kadar kemusnahan sel-sel cik Catherine ke tahap paling optimum.” perjelas Drakulon dengan panjang lebar.

Air mata Enbi bercucuran dengan deras tatkala mendengarkan kata-kata tadi. Beliau menyedari bahawa orang yang amat dicintainya akan mati tidak lama lagi. Namun suatu persoalan masih kuat bersarang di sanubarinya buat masa ini.

“Berapa... berapa lama lagi... dia akan hi.. dia akan bertahan, tuan?” tanya Enbi dengan nada tersekat-sekat. Drakulon dan Ren berpandangan sesama sendiri. Drakulon kemudian memalingkan wajahnya ke arah Enbi kembali.

“Paling lama dalam masa enam tahun sahaja.” jawab Drakulon. Sekonyong-konyongnya Catherine muncul. Beliau tidak lagi menggunakan kerusi roda. Tubuhnya nampak telah pulih seratus-peratus.

“Hai Enbi.” tegur Catherine. Senyuman manisnya masih dipaparkan sungguhpun telah melihat suasana suram di dalam bilik tersebut. Enbi tidak berkata apa-apa. Beliau cuma mendakap tubuh Catherine dan menangis semahu-mahunya.


- Bersambung di Bab 19 -

3 comments:

Anonymous said...

dah 3 tahun tunggu..bab 9 x keluar lagi...

Anonymous said...

Salam tuan penulis. Dah lama kami peminat metropolis ni menunggu. Makan tahun. Apakah kiranya tuan sudi sambung cerita ini. Hohoho.

-nuyrah-

Unknown said...

Assalamualaikum tuan. dah 3 tahun tggu ni metropolis bila nak sambung...:-*