MetroPolis
Episod 3
Bab
18 (Part 1)
Suram
Dua minggu
kemudian...
Nicol Hanany
menghirup kopi di dalam termosnya dengan cermat. Beliau kini sedang bersantai
di atas bumbung penthouse milik bapanya yang dibina di atas menara Hamka
setinggi 213 tingkat. Pada ketinggian tersebut semestinya beliau memerlukan
kopi panas untuk membantu melawan kedinginan yang menyengat pada seluruh tubuh.
Kehadirannya di situ langsung tidak disedari oleh sesiapa hatta bapanya
sendiri. Malah alat keselamatan yang telah dipasang di hampir segenap penjuru
penthouse tersebut masih gagal untuk mengesan pencerobohan Nicol Hanany. Kabus
yang semakin menebal di bumbung menara tersebut juga telah banyak membantu
penyelinapannya. Namun bagi perempuan jelita tersebut, kabus yang tebal itu
membuatkan beliau berasa agak gelisah. Tambahan pula kedengaran guruh yang
bergerutup sayup-sayup di ufuk barat.
“Tam-tam-tum-tam-tam.”
nyanyi Nicol untuk meredakan kegelisahannya. Pun begitu matanya meliar ke sana
sini. Beliau nampaknya sedang mencari sesuatu. Atau mungkin sedang menunggukan sesuatu.
Sudah hampir setengah jam beliau berada di puncak menara Hamka tersebut. Nicol
sebelum itu telah berjaya mematikan keseluruhan sistem penggera canggih pada
bangunan tersebut. Pengalaman beliau sebagai penceroboh dan pencuri yang licik
ternyata masih lagi berguna.
Tiba-tiba
kilat memancar di hadapan matanya. Nicol spontan memejam mata. Tatkala kedua
matanya kembali terbuka, sesosok tubuh seorang lelaki yang tegap dan tinggi
lampai telahpun tegak berdiri di hadapan beliau. Nicol Hanany dengan spontan berundur.
Ternyata lelaki tersebut membuatkannya gementar. Pun begitu senyuman gembira
tetap dioles pada bibir Nicol.
“Assalamu
‘alaikum bos!” sapa Nicol Hanany. Lelaki tegap tersebut senyum.
“Wa’alaikum
salam, Nicol.” tegurnya. Kabus semakin menebal sehingga meliputi keseluruhan
bahagian penthouse bangunan tersebut. Pun begitu, tidak begitu sukar untuk
Nicol mengecam lelaki di hadapannya itu sebagai Zoei Bukhary.
************************************
Pada masa
yang sama di kubu Organisasi Daulah Maddani, Madinah.
Enbi tidak
segan-segan untuk menunjukkan wajah kegelisahannya. Catherine yang amat
dicintainya pada hari ini sedang menjalani rawatan pemulihan dalam fasa yang
terakhir. Bila-bila masa sahaja beliau akan muncul di bilik menunggu yang telah
disediakan untuk Enbi. Sungguhpun berasa gelisah dan teruja untuk bertemu
dengan Catherine, Enbi sehingga kini tidak tahu bagaimana untuk bereaksi
apabila tiba ke saat itu kelak. Beliau tahu adalah tidak wajar untuk memeluk
kekasihnya itu di tempat sebegini. Tiada sepotong ayat pun dirasakan amat
sesuai untuk diungkapkan kepada Catherine sungguhpun sudah beribu kali
terlintas dalam cepu pemikirannya.
Lagipun
tindakan Nazrul yang menerima penyertaan hampir kesemua bekas anggota kumpulan
gengster Neon Melambai dan Terendak Biru juga telah membuatkan hati Enbi
semakin kacau. Namun beliau tidak memarahi Nazrul kerana baginya itu adalah
salah satu strategi terbaik untuk memulihkan kembali kehebatan MetroPolis.
Nazrul dan Ganshamdass telah bertindak dengan bijak sekali. Nampaknya Enbi
tidak perlu berasa risau apabila melepaskan pucuk kepimpinan syarikat tersebut kepada
adiknya itu kelak. Pun begitu beliau tetap berasa tidak sedap hati.
Tiba-tiba
pintu bilik menunggu terkuak buka. Enbi tersentak. Jantungnya semakin berdegup
keras tetapi senyumannya semakin melebar pula. Perasaan terujanya kembali surut
tatkala melihatkan wajah Ren Fairuz yang muncul di jenang pintu.
“Oh, kau
rupanya!” ujar Enbi dengan nada dingin.
“Sampai
bilalah Enbi nak marah-marah dengan saya? Kasihan saya ini si imam muda yang
baik hati.” seloroh Ren.
“Ceh!” balas
Enbi. Ren tersenyum. Namun pada senyumannya itu turut memaparkan perasaan
beliau yang sebenar.
“Adakah kau
berkecil hati?” tanya Enbi setelah menyedari akan senyuman kelat Ren.
“Huh? Oh,
tak... tak. Enbi, saya bukan ambil hati sangat dengan sikap Enbi terhadap saya.
Saya datang ke sini kerana cik Catherine.” maklum Ren Fairuz. Air mukanya
semakin muram. Jantung Enbi tiba-tiba kembali berdegup keras. Wajahnya berasa
kebas dan tubuhnya tiba-tiba berasa dingin.
“Ke.. kenapa
Ren? Kenapa dengan Cat? Apa yang dah terjadi?” tanya Enbi. Ren bungkam. Beliau
memandang tepat ke arah Enbi. Namun bibirnya tak mampu untuk mengungkapkan
sebarang bicara.
“Ren...”
seru Enbi dengan nada semakin cemas.
“Jangan
bimbang, Enbi. Cik Catherine masih menjalani rawatan Kapsul Hydro dan
keadaannya adalah sangat baik. Cuma Drakulon mendapati sesuatu yang kurang baik
tentang keadaan fizikalnya. Saya tak tahu bagaimana nak memperjelaskan tentang
hal ini. Jadi adalah lebih baik kita menunggu sendiri fakta yang sahih daripada
beliau sendiri.” maklum Ren. Kata-katanya itu sedikit sebanyak merudumkan
kebimbangan Enbi. Namun hatinya masih berasa kurang enak dengan pemberitahuan
Ren tentang keadaan fizikal Catherine. Apakah maksudnya itu?
- Tunggu
Part 2 nanti -