Saturday, February 16, 2013

Zero Hero SE - Bab 3



Zero Hero SE
Bab 3
Berjuang Mendapatkan Pengesahan



Still no luck with your career?” Aku yang tengah sedap menghabiskan susu kocak milik mertuaku agak tersentak dengan soalan tersebut. Orang yang bertanyakan soalan terunggul tersebut tidak lain tidak bukan ibu mertuaku. Janganlah kalian membayangkan ibu mertuaku ini seperti ibu mertua Kassim Selamat. Jauh panggang dari api. Kuburnya si Sabariah pun dia tidak tahu setakat ini.

“Tak adalah, ma. Ada tu, ada sebenarnya. Tapi semuanya yang macam dulu. Saya kena outstation dua-tiga bulan baru balik.” jawabku dan kemudian menyambung gogokan susu kocak tersebut.

“Sayang anak, tangan-tangankan. Sayang isteri tinggal-tinggalkan.” sindir ibu mertuaku. Aku tertawa kecil. Perkataan ‘anak’ membuatkan perasaanku sedikit tersentuh.

“Tak ada makna untuk orang berkahwin kalau dua-tiga bulan outstation dan bila balik rumah masih berkepit dengan handphone untuk troubleshooting dalam kerja. Tengoklah dulu betapa stress-nya kami.” maklumku. Ibu mertuaku yang aku panggil ‘mama’ menganggukkan kepala.

“Arif ni memang lelaki yang baik. Mama dulu terkejut betul bila Rina beriya-iya nak Arif menjadi suaminya walaupun begitu lama duduk di Milan. Now I can see why.” puji ibu mertuaku. Aku hanya mengangguk sambil tersenyum. Yalah, takkan pula aku nak ketawa berdekah-dekah dengan rasa bangga sambil bercekak pinggang ala Superman. Aku mencapai buah pear pula untuk disumbatkan ke dalam mulut.

“Makan sajalah semuanya, Rif. Kat rumah ni makanan berlambak tapi orangnya makan sikit. Mama memang belikan untuk Arif sebab Arif selalu macam orang lapar saja bila datang ke sini. Eh, Rina tak masak ke di rumah?” tanya ibu mertuaku. Dengan spontan aku berbohong dengan menganggukkan kepalaku.

“Dia masak, ma. Tapi dah memang ditakdirkan saya ni kuat makan.” bohongku. Ibu mertuaku pasti akan memarahi Adrina jika anaknya itu tidak bersungguh-sungguh menjaga makan minumku.

“Rina kerja dari pagi sampai malam, bila sempat dia memasak?” tanya ibu mertuaku pula. Aku dah dapat mengagak soalan berkuasa nuklear sebegini akan terpacul; jadi aku telahpun menyediakan jawapannya.

“Rina bangun awal untuk masak breakfast dan lunch saya. Untuk makan malam terpaksalah dia beli untuk kami. Tapi sebelum tidur Rina masak nasi dulu dan sediakan rencah untuk saya makan esok. Cuma hari ni saja yang tak sempat. Jadi saya datanglah kemari untuk menghabiskan makanan di rumah mama.” bohongku lagi.

Good. Very good. Dah berubah akhirnya anak mama yang degil dan liar tu.” puji ibu mertuaku sambil tersenyum bangga. Aku pula tersenyum kelat.

“Apa program Arif lepas breakfast kat rumah mama ni?” tanya ibu mertuaku. Mungkin kerana melihatkan aku yang berpakaian begitu kemas dan formal pada hari ini.

“Saya nak berjumpa dengan ayah Rina pula. Dia ajak lunch hari ini.” maklumku. Ibu mertuaku bungkam seketika. Mungkin beliau tidak bersedia dengan topik bekas suaminya itu.

“Ma, saya nak minta pendapat mama ni.”  Aku segera menukar topik perbincangan. Lagipun itulah tujuanku ke rumah mertuaku itu. Tujuan lain pula ialah untuk menghabiskan apa sahaja yang sedap di lidahku.

“Hah, ada problem dengan Rina ke?” tanya ibu mertuaku. Aku menggeleng.

“Adrina cadangkan pada saya untuk berniaga kecil-kecilan.” maklumku dalam nada teragak-agak.

“Berniaga apa?” tanya ibu mertuaku.

“Burger bakar.” jawabku ringkas. Mataku sedikit memincing. Mungkin kerana sedang menunggu leteran ibu mertuaku.

“Bagus! Bagus! Mama pun memang suka makan burger bakar.” Tidak tersangka kata-kata sedemikian terpacul dari mulut ibu mertuaku.

“Eh, tak sangka.” ucapku.

“Tak sangka apa pula?” tanya ibu mertuaku yang kini sedang sibuk membasuh pinggan nasi goreng yang dihidangkan padaku tadi.

“Yalah, mama ni moden ala-ala Puan Sri. Ada kerjaya yang hebat dan pakai Bavarian Motor Works lagi. Saya ingatkan akan kena laser Death Star daripada mama tadi.” ujarku melawak untuk melunakkan isi hatiku. Pun begitu kata-kataku membuatkan ibu mertuaku berhenti melakukan kerjanya dan merenung tajam ke arahku.

Sorry, ma.” pintaku dengan nada kesal.

“Arif, jangan stereotaipkan mama dengan karektor dalam televisyen. Mama dah pergi banyak tempat dan berjumpa dengan ramai orang. Bahkan orang macam mama ini yang jarang buat perangai materialistik begitu. Kebanyakan mak mertua yang berperangai begitu bukannya jenis orang kayapun. Mereka tak pernah menjadi kaya dan itu sebabnya mereka begitu memandang kebendaan sekali. Mama sokong Arif nak berniaga. Lebih baik dari mencari rezeki yang haram.” leter ibu mertuaku. Akhirnya kena juga laser Gaban daripadanya. Namun aku lega kerana bukannya seperti yang kujangkakan.

Thanks, ma. You’re the coolest.” pujiku.

“Baru kau tau!” tempelak ibu mertuaku sebelum kami sama-sama ketawa.


************************************************


Beberapa jam kemudian aku bertandang pula ke syarikat bapa mertuaku. Inilah sebabnya aku memakai lawa-lawa. Aku seboleh-bolehnya mahu menjaga air muka bapa mertuaku dan Adrina yang juga bekerja di situ. Setelah disambut dengan mesra oleh penyambut tetamu yang comel, aku dibawa oleh setiausahanya yang seksi pula ke bilik bapa mertuaku. Aiseh, ada pula bapa mertuaku dalam biliknya. Kalau tidak; bolehlah aku melakukan upacara sesi beramah mesra dengan cik setiausaha seksi tersebut.

“Ayah, mujurlah saya tak berpuasa hari ini. Kalau tidak tinggal kosong pahala bila saja datang ke sini.” usikku setelah bersalaman dengan bapa mertuaku. Lelaki yang masih kacak lagi bergaya tersebut ketawa berdekah-dekah.

“Semuanya ‘A’ kan? Kalau kau nak menambah cawangan, kat sini pun ramai yang available.” usik bapa mertuaku.

“Untungnya saya dapat bapa mertua macam cerita Madu Tiga. Semoga Allah memanjangkan umur bapak mertuaku.” usikku kembali. Kami sama-sama pula ketawa berdekah-dekah. Kalau Adrina ada bersama kami pada masa ini alamat lebamlah mukaku dibaling olehnya dengan laptop.

“Masih tak ada luck lagi dalam kerjaya?” tanya bapa mertuaku yang kini menukar ke topik serius pula. Aku tersenyum kelat.

“Saya tak jumpa kerja yang lebih mementingkan famili dari kerjaya.” balasku. Bapa mertuaku merengus kecil.

“Kau kerjalah dengan ayah. Dah berapa kali ayah offer kat kau.” leter bapa mertuaku pula. Aku menggeleng.

“Ayah offer kat saya sebab saya menantu ayah. Saya tak selesa dapat kelebihan macam itu.” balasku pula. Bapa mertuaku merengus lagi.

“Arip, kau dulu adalah one of the top-notch dalam Henry and Heimlich. Kau ingat ayah tak tahu ke? Be my right hand man, Arip. Kau memang lebih dari layak.” hujah bapa mertuaku.

I got your approval and respect but will never get them from your underlings. Orang-orang bawahan ayah akan memusuhi saya nanti. Ayah pun tahu ini adalah calculated risk yang boleh menggugat syarikat ini nanti. Saya nanti terpaksa bekerja dengan lebih keras dan akhirnya jadi semula masalah seperti dulu antara saya dengan Rina.” hujahku pula. Bapa mertuaku bungkam. Kemudian merengus lagi.

“Susah bercakap dengan orang pandai ni!” omelnya. Aku ketawa besar.

“Saya nak berniaga burger bakar. Mama dan Adrina dah bagi sokongan penuh.” maklumku. Terbelalak mata bapa mertuaku. Dan seperti yang kuagak beliau memarahi dan meleteriku kerana perkara tersebut.


************************************************


Aku terkejut tatkala berasa tubuhku didakap dengan kemas. Namun sebelum mataku menjadi fokus, bau haruman yang terhidu membuatkan jantung hatiku segera mengenali orang yang memelukku. Mataku kembali terpejam rapat.

“Hai sayang. Hari itu Rina beritahu tak mahu pakai perfume takut menjadi fitnah lelaki lain.” sindirku dalam keadaan mamai. Telingaku jelas dapat menangkap tawa kecil isteriku.

“Rina tak pakai masa pergi kerja tadi. Bila balik ni barulah Rina pergi mandi dan pakai wangi-wangi untuk abang.” maklum isteriku. Tubuhnya yang terasa agak sejuk mengesahkan kata-katanya itu tadi sungguhpun mataku masih terpejam. Ketika ini aku masih terbaring di sofa panjang dan Adrina sedang meniarap di atas tubuhku.

“Abang penat, ya? Rina ada belikan makan malam kita.” maklum Adrina. Aku memaksa mataku untuk terbuka seluas mungkin.

“Manja beli apa?” tanyaku.

“Nasi goreng pattaya. Rina beli satu saja. Kita kongsi, okey?” balas isteriku.

“Boleeeh...” jawabku pula.

“Jom kita makan.” ajak Adrina.

“Abang dah beritahu mama dan ayah tentang rancangan berniaga burger bakar. Mama sokong penuh. Ayah yang problem sikit. Marah sungguh dia tadi.” maklumku.

“Rina tahu. Dia panggil Rina lepas tu. Rina pun kena fire juga tadi.” maklum Adrina pula. Kami spontan sama-sama ketawa.

“Rina masih sokong abang?” tanyaku pula.

“Tentulah! Abang nak mencari rezeki yang halal untuk Rina. Mana mungkin Rina nak bantah dengan suami Rina yang baik dan banyak bekorban ni. Rina akan sokong dan bantu abang habis-habisan. Duit pun Rina akan bagi. Kita jadi rakan kongsi, okey?” Saranan Adrina kubalas dengan pelukan yang lebih erat.

“Oh, ya! Abang tengok makin ramai pekerja perempuan yang seksi dalam ofis ayah.” komenku. Adrina ketawa.

“Ayah tu memang gatal. Pening kepala Rina dibuatnya. Semenjak bercerai lagi ni makin menjadi-jadi perangainya. Abang kalau berminat boleh Rina rekemenkan seorang dua. Tapi setiausaha ayah jangan kacau. Itu dia dah chop dulu.” usik isteriku seraya ketawa lagi.

“Mulut tak ada insurans. Allah makbulkan nanti baru padan muka! Cakap merepek-repek!” omelku. Adrina kini ketawa pula dengan leteranku.


- Bersambung -

No comments: