Saturday, May 26, 2012

MetroPolis Episod 3 - Bab 09


MetroPolis Episod 3
Bab 9
Bibit-bibit Perpecahan (Bah. 2)




Balai MetroPolis, pada hari yang sama...

“Assalamu ‘alaikum Terawez!” tegur Nazrul yang baharu sahaja keluar dari keretanya. Bersama beliau muncul Raihanah. Terawez senyum seraya mengangkat kedua keningnya sebagai isyarat menyakat Nazrul. Nazrul tersenyum dan kemudian ketawa kecil.

“Wa ‘alaikumsalam Nazrul. Hari ini bukan syif awak. Datang kemari nak mencari Enbikah?” tanya Terawez. Nazrul menggelengkan kepala.

“Nicol ada? Dia syif denganmu, kan?” tanya Nazrul. Terawez mengangguk.

“Dia ke tandas. Lama betul. Memang sah kena sembelit.” jawab beliau seraya tertawa. Nazrul turut ketawa. Raihanah kini telahpun berdiri di sebelahnya.

“Oh, ya! Perkenalkan kawan saya : Raihanah.” maklum Nazrul. Terselit perasaan bangga dan teruja dalam tonasi suaranya.

“Raihanah, ini Terawez.” maklum Nazrul pula.

“Apa khabar, Terawez?”  ucap Raihanah dengan sulaman senyuman mesra.

“Khabar baik, cik Raihanah. Harapnya awak juga sihat dan sejahtera.” balas Terawez.  

“Terima kasih.” balas Raihanah dengan nada gembira. Lega hatinya kerana anggota MetroPolis tidaklah seganas yang dikhabarkan dalam media massa. Namun senyumnya itu segera terhapus tatkala terpandangkan seorang perempuan yang baharu  sahaja muncul  dari bilik balai tersebut. Masa seolah-olah telah terhenti di antara kedua kaum hawa ini buat seketika. Sungguhpun tidak mengenali siapa si jelita di hadapannya, Raihanah dapat mengagak beliau ialah Nicol Hanany yang dimaklumkan adalah sahabat Nazrul. Malah entah mengapa tiba-tiba menyelit pula perasaan terancam dan benci tatkala bertentang matanya itu dengan Nicol.

“Ah, Nicol! Boleh tak pulangkan kembali novelku yang kau pinjam bulan lalu?” pinta Nazrul. Pada zaman akan datang ada juga novel yang dijilidkan sebagai sebuah buku. Namun ianya sangat mahal kerana dunia kekurangan bekalan kertas yang dibuat dari pulpa pokok. Jadi itulah sebabnya semua bacaan dibuat dalam bentuk kertas elektronik.

“Hm. Ada di bilik belakang ni. Nanti aku ambilkan.” balas Nicol seraya mengegaskan diri kembali masuk ke dalam.

“Jadi itulah dia Nicol?” tanya Raihanah beberapa ketika kemudian.

“Ha-ah! Anggota paling banyak hal dalam MetroPolis.” jawab Nazrul seraya ketawa dengan jenakanya sendiri. Namun tidak melucukan pada Raihanah.

“Dia cantik. Tidak. Dia sangat-sangat cantik.” komen Raihanah dengan nada yang mendatar tetapi serius. Nazrul kali ini hanya memandang wajah Raihanah tanpa berkelip. Hatinya tiba-tiba berasa kurang enak.

*************************************************

Sementara itu di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya...

Dato’ Seri Khamal tidak berkelip memandang di sekelilingnya. Tempat itu benar-benar membuatkannya trauma kerana di situlah Maharaja Naga Petir telah mengamuk dan memusnahkannya. Bahkan dia turut membunuh tentera-tentera peribadi serta dua orang pengawalnya yang berpangkat Grand Master. Kini tempat tersebut telahpun diperbaiki dan diperelokkan dengan begitu sempurna sekali. Namun mustahil ia dapat melupuskan perasaan ngeri yang berlaku di dalam bilik tersebut.

“Aii...” keluh Dato’ Seri Khamal. Kini matanya beralih pula pada seorang pemuda yang masih tersenyum padanya. Jelas riak keangkuhan tertera pada wajah dan gayanya. Itulah juga gaya yang telah ditunjukkan oleh mendiang Rabbin yang akhirnya menjadi abu dibunuh oleh Maharaja Naga Petir alias Zoei Bukhary.

“Dato’ Seri dah tiada pilihan lain. Pastinya pihak Organisasi akan mencari jalan untuk menggulingkan Dato’ Seri dengan seorang tokoh yang menjadi pilihan mereka.” ucap pemuda tersebut yang pada telinga Dato’ Seri Khamal cukup menyakitkan.

“Kau ingat aku tak tahu akan perkara itukah? Aku bukanlah seorang yang bodoh!” bentak Dato’ Seri Khamal dengan perasaan bengang.

“Kalau begitu tahukah Dato’ Seri bahawa tokoh pilihan Organisasi adalah seorang pengurus sebuah syarikat polis di Perak?” Kata-kata pemuda tersebut kali ini membuatkan air muka Dato’ Seri Khamal menjadi pucat. Orang yang dimaksudkan oleh pemuda tersebut tidak lain tidak bukan adalah Enbi daripada MetroPolis. Memang sukar untuk dinafikan lagi akan kebarangkalian tersebut. Enbi bukan sahaja seorang yang kini menjadi sangat popular atas pendiriannya memberikan perkhidmatan percuma kepada semua rakyat tidak kira dari kelas sosial apa, malah beliau turut disebut oleh Maharaja Naga Petir sebagai ‘kawan’ dan diberikan keistmewaan untuk memohon lesen senjata api oleh pendekar Organisasi nombor satu tersebut.

“Ma.. mana kau tahu perkara ini?” tanya Dato’ Seri Khamal. Pemuda tersebut tersenyum.

“Janganlah kita berbicara tentang hal yang remeh tersebut. Kita berbincang saja tentang hal-hal yang penting. Adakah Dato’ Seri sudi menerima kami lagi di sini?” Pemuda tersebut ternyata cuba untuk mengelak daripada menjawab persoalan yang diutarakan tadi.

“Apakah yang kalian mampu buat? Setakat menghantar dua orang pendekar Masonik yang tak berguna lagi? Anak buah kamu pasti akan menjadi daging panggang sekali lagi.” sindir Dato’ Seri Khamal untuk membalas sikap angkuh pemuda tadi. Senyuman masih tidak lekang dari bibir pemuda tersebut. Namun perubahan pada air mukanya jelas menunjukkan bahawa beliau tersinggung mendengarkan sindiran tadi.

“Kedatangan Maharaja Mayhem memang tidak kami jangkakan. Malah tiada seorang pun pendekar Masonik yang mampu menghadapinya kecualilah Maharaja Adaj kami.” balas pemuda tersebut dalam nada yang sedaya upaya dikawal untuk tidak menunjukkan emosinya yang sebenar.

“Jadi adakah Maharaja Adaj sendiri yang akan datang membantuku?” tanya Dato’ Seri Khamal dengan nada yang masih menyindir. Namun kali ini pemuda tersebut tidak menunjukkan kemarahannya. Malah senyumannya semakin melebar.

“Ya, memang benar. Maharaja Adaj sendiri yang akan datang membantu Dato’ Seri. Jadi, bagaimana? Adakah Dato’ Seri sudi menerima kami lagi di sini?” tanya pemuda tersebut yang berasa agak suka melihatkan perasaan kaget di wajah Perdana Menteri Malaysia itu.


*************************************************

Kubu Utama al-Mahdi pihak Organisasi di Makkah. Beberapa minggu sebelum itu semasa mesyuarat empat Maharaja Emissary berlangsung...

“Ketua MetroPolis yang dipanggil Enbi itu nampaknya bukanlah begitu mudah mahu tunduk dengan permintaan orang lain. Orang kananku si Ardh Ukhrowi telahpun meluangkan masa beberapa kali berbual dengannya. Pada pengamatan Ardh, saudara Enbi bukanlah seorang yang mudah jinak sungguhpun Organisasi yang membiayai projek-projeknya.” perjelas Muhammad Zikrullah alias Maharaja Debu Berlian dengan agak serius.

“Itu suatu kualiti yang baik untuk memimpin.” komen Syeikh Ahmed Qordhowi. Beberapa hadirin dalam mesyuarat mengangguk.

“Aku masih berpendapat bahawa kita sepatutnya meletakkan seorang Emissary untuk menggantikan Dato’ Seri Khamal yang kini terbukti bersekongkol dengan pihak Masonik.” Naar Saif melontarkan pandangannya pula.

“Hm. Aku bersetuju dengan kata-kata Naar. Seorang Emissary selebihnya layak untuk memimpin Malaysia daripada encik Enbi sungguhpun beliau mempunyai ciri-ciri yang baik. Emissary adalah seorang yang sangat berilmu dan warak serta faqih dalam agama. Bukannya semata-mata mahir bertarung dan mempunyai Karamah, malah seorang Emissary dapat memimpin dengan baik mengikut landasan al-Quran dan as-Sunnah tanpa dicemari dengan hawa nafsu dan kejahilan.” sokong Zoei Bukhary.

“Jangan menyangka saya tidak terfikirkan hal yang kalian sebutkan tadi. Namun rakyat Malaysia mempunyai sikap ketaksuban pada rakyat dan bangsanya sendiri. Sungguhpun Organisasi telah menguasai Malaysia, namun rakyatnya masih memberikan sokongan kepada Perdana Menteri mereka tanpa menghiraukan sama ada beliau betul atau salah. Rakyat Malaysia kurang senang dengan Organisasi dan buat masa ini enggan menerima seorang Emissary sebagai perdana menteri. Kecualilah kalau kita mempunyai seorang Emissary berwarganegara Malaysia.” balas Ren Fairuz. Beberapa hadirin ketawa mendengarkan kata-kata tersebut.

“Ditambah pula dengan racun psikologi Masonik dan kecenderungan rakyat Malaysia pada hiburan setiap masa.” tambah Syeikhul Imaduddin Katheer. Ren Fairuz mengangguk.

“Jadi saudara Enbi sahajalah calon kita yang sesuai buat masa ini?” tanya Muhammad Zikrullah. Ren Fairuz sekali lagi mengangguk.

“Bagaimana kita nak meladeni sikap keras kepalanya itu?” tanya Professor ‘Asree Hibban.

“Ada caranya. Jendela peluang tersebut dibukakan oleh Allah kepada kita. Encik Enbi pasti akan berjumpa dengan kita dan akan bersetuju dengan apa sahaja syarat yang kita kemukakan, ya tak Ren?” tanya Zoei Bukhary. Ren Fairuz tersenyum dan buat kesekian kalinya mengangguk lagi.


*************************************************

Pada masa sekarang. Lebih kurang sejam kemudian...

Di Hospital Ibnu Sinna, Doktor Lavaniya kelihatan agak tertekan dengan kehadiran Enbi di bilik pejabatnya. Beliau telah menjangka akan kunjungan lelaki yang melecehkan itu namun tidak menyangka dengan begitu cepat sekali. Pada ketika ini perasaan gementar beliau setidak-tidaknya dapat diredakan dengan adanya meja yang menjarakkan di antara mereka berdua.

“Maafkan saya, tuan Enbi. Rekod setiap pesakit adalah rahsia yang sangat sulit. Saya tidak boleh menunjukkan kepada tuan kecuali setelah mendapat keizinan bertulis daripada Cik Catherine.” ujar Doktor Lavaniya cuba mengeraskan pendiriannya. Enbi tiba-tiba bangun dan menepuk meja sekuat-kuat hati. Tersengguk seluruh tubuh Doktor Lavaniya dek terlampau terkejut.

“Pergi mampus dengan itu semua! Aku mahukan rekod Catherine sekarang juga!” pekik Enbi selantang-lantangnya.

“Enbi, dengar sini. Walaupun saya baru sahaja berumur dua puluh tujuh tahun, awak jangan ingat awak boleh membuli saya sesuka hati. Saya tak peduli awak banyak kali membuat sumbangan ke hospital ini. Saya juga tak peduli selepas ini saya akan dipecat atau ditukarkan. Saya kata tak boleh; tak boleh. Awak menubuhkan MetroPolis untuk mempertahankan prinsip awak. Saya juga berbuat perkara yang sama sekarang!” ujar Doktor Lavaniya dengan tegas. Bungkam Enbi buat seketika. Tidak tersangka olehnya akan reaksi doktor muda tersebut ke atas ancaman beliau tadi. Enbi akhirnya beralah. Beliau perlahan-lahan kembali duduk lantas memekup kedua tapak tangan ke muka.

“Saya minta maaf.” Enbi akhirnya bersuara setelah selang beberapa saat kemudian.

“Tak mengapa. Saya memahami perasaan tuan.” balas Doktor Lavaniya yang berasa lega dengan perubahan positif emosi Enbi. Terselit juga perasaan bangga atas sikapnya yang berani tadi. Enbi perlahan-lahan meleraikan kedua tapak tangan di mukanya. Pandangannya tajam menghunjam ke arah doktor muda tersebut. Doktor Lavaniya kembali menjadi gementar.

“Tidak. Awak tak faham. Tak mungkin awak akan faham.” balas Enbi pula. Doktor Lavaniya menggelengkan kepala.

“Saya memahami perasaan tuan. Percayalah. Tuan cintakan cik Catherine, bukan?” Kata-kata doktor muda tersebut membuatkan Enbi terkedu.

“Betulkah sangkaan saya tadi?” tanya Doktor Lavaniya. Enbi akhirnya mengangguk perlahan. Kemudian melepaskan satu keluhan yang berat dan panjang.

“Semasa Catherine koma, saya selalu membayangkan bahawa apabila beliau tersedar nanti segala-galanya akan menjadi begitu baik dan membahagiakan. Saya tahu yang dia mencintai saya dan saya juga mencintainya. Saya juga berangan-angan bahawa kami akan berkahwin dan mempunyai dua atau tiga orang anak. Kami hidup cara sederhana dan saling menyayangi. Saya akan menjaganya dengan amat baik dan akan sentiasa menyayanginya selagi saya masih bernyawa.” cerita Enbi dengan nada perlahan untuk menahan rasa sedihnya.

“Ianya sangat indah.” komen Doktor Lavaniya dengan nada agak terharu. Enbi mengangguk.

“Tetapi sekarang Catherine sengaja menjarakkan dirinya dengan saya. Dia bagaikan enggan menerima saya dalam hidupnya. Saya tak faham. Saya tak faham mengapa. Itulah sebabnya saya datang ke sini. Saya ingin mendapatkan kepastian. Tolonglah doktor. Saya dah hampir nak gila sekarang dibuatnya. Tolonglah.” rayu Enbi. Doktor Lavaniya memejamkan mata dan mengeluh kecil. Kata-kata Enbi tadi ternyata telah berjaya melunakkan hati kerasnya.

“Baiklah tuan. Saya akan beritahu serba-sedikit. Tetapi setakat itu sahaja. Selebihnya saya tidak dapat menolong lagi.” ujar doktor muda tersebut. Enbi menganggukkan kepala dengan wajah ceria.

“Terima kasih, doktor. Terima kasih.” ucapnya.

“Ingat tak ketika keadaan cik Catherine dibawa ke hospital?” tanya Doktor Lavaniya. Enbi mengangguk.

“Keadaannya sangat parah dan sangat mustahil untuk diselamatkan. Namun sesuatu yang ajaib berlaku pada tubuhnya. Sel-sel di dalam tubuhnya diransangkan dengan begitu giat dan pantas sekali sehingga tubuhnya mengalami penyembuhan dengan kadar yang amat luar biasa.” Enbi sekali lagi mengangguk dengan penjelasan doktor muda tersebut.

“Cik Catherine akhirnya berjaya diselamatkan dan sembuh seperti sediakala. Namun kemudiannya kami mendapati bahawa seluruh sel-sel di dalam tubuhnya yang memacu untuk penyembuhannya kini mengalami kehausan yang melampau.” ujar Doktor Lavaniya lagi.

“Kehausan yang melampau?” tanya Enbi dengan nada kerisauan. Doktor muda tersebut mengangguk.

“Pemacuan penyembuhan sel-sel di dalam tubuh cik Catherine sebenarnya bagaikan pedang bermata dua. Ia berserta juga dengan kemudaratan. Kini sel-sel yang dulunya menyelamatkan nyawa cik Catherine telah secara mendadak dan besar-besaran mulai menyusut dan akhirnya mati. Sel-sel baru yang sepatutnya menggantikan sel-sel luar biasa tersebut kami jangkakan tidak sempat dihasilkan dengan sempurna.” penerangan Doktor Lavaniya membuatkan air muka Enbi berubah dengan mendadak.

“Maafkan saya, Enbi. Tubuh cik Catherine tidak akan bertahan lama. Apabila setiap sel dalam tubuhnya menyusut dan mati...” doktor muda itu tidak sanggup meneruskan kata-katanya.

“Catherine akan mati dan tubuhnya akan berderai...” sambung Enbi dengan nada tersekat-sekat.


- Bersambung -

No comments: