Tuesday, April 24, 2012

MetroPolis Episod 3 - Bab 08


MetroPolis Episod 3
Bab 8
Bibit-bibit Perpecahan (Bah. 1)


Kubu Utama al-Mahdi pihak Organisasi di Makkah. Beberapa minggu sebelum itu semasa mesyuarat empat Maharaja Emissary berlangsung...

“Jadi nampaknya kita perlu menangguhkan perkara berkenaan dengan asal-usul Maharaja Adaj sehingga kita mendapat pengesahan daripada pakar forensik dan bio-genetik kita.” saran Maharaja Debu Berlian yang juga merangkap pengerusi bagi mesyuarat tersebut.

“Kalau begitu, mari kita membincangkan isu-isu remeh pula.” saran Ren Fairuz yang nampaknya tidak sabar-sabar mahu memperkatakan sesuatu.

“Apa yang berada dalam kepala otak licikmu itu, Ren?” tanya Zoei Bukhary. Pertanyaannya itu ternyata mengundang deraian tawa daripada para hadirin di dalam mesyuarat tersebut.

“Sebelum kita membincangkan hal ketua MetroPolis iaitu Nizar Badaruddin, eloklah saya memperkatakan suatu hal yang menarik tentang anak buahnya.” ujar Ren membuka bicara setelah surai deraian tawa tadi.

“Siapakah dia yang awak maksudkan itu, Ren?” tanya Debu Berlian dengan penuh minat.

“Terawez namanya. Beliau seorang yang agak lurus tetapi seni mempertahankan dirinya adalah sangat hebat. Beliau hampir setaraf dengan pendekar berpangkat Eksekutif sungguhpun dilatih oleh guru-gurunya yang tidak berguna.” jawab Ren dengan panjang lebar.

“Agaknya dialah yang mengacukan Seru Tempur kepadaku semasa di Putrajaya tidak lama dulu.” taakul Zoei. Ren mengangguk.

“Kau memberinya pedang milik si Hujan Suram, Ren?” tanya Naar Saif alias Emissary Drakulon dengan nada yang agak terkejut. Sekali lagi Ren mengangguk.

“Tentu dia seorang yang istimewa sehingga awak sanggup memberinya pedang yang amat hebat itu.” taakul Doktor Abdel Quddus pula.

“Ya. Saya nampak akan bakat dan potensinya. Saya percaya Terawez mampu menjadi seorang pendekar Emissary yang amat hebat jika beliau menyertai kita nanti.” balas Ren Fairuz tanpa berselindung lagi.

*****************************************************

Pada masa ini di Masjid As-Syakirin...
“Bagaimana Terawez? Awak suka tak dengan tawaran saya ini?” Pertanyaan Ren semakin mencelarukan jiwa Terawez.

“Awak... awak ini sebenarnya siapa?” tanya Terawez buat kesekian kalinya. Hatinya berdetak dengan suatu perasaan. Perasaan yang serupa tatkala berhadapan dengan Maharaja Naga Petir di Putrajaya tidak lama dulu.

“Laa... kan saya dah beritahu tadi yang saya adalah wakil Organisasi?” jawab Ren dengan gaya yang masih mahu berteka-teki.

“Ya, saya tahu awak ini orang Organisasi. Tapi awak sendiri ini siapa? Awak ini bukan sembarangan orang dari gaya seni berpedang yang awak tunjukkan tadi. Awak memberikan saya perasan serupa ketika saya bertemu dengan Maharaja Naga Petir dulu. Awak ini seorang Emissary, bukan?” Pertanyaan Terawez ternyata memberikan isyarat bahawa beliau tidak ingin dipermain-mainkan lagi oleh orang di hadapannya itu. Ren Fairuz yang memahami tuntutan di sebalik kata-kata tersebut tersenyum.

“Ya. Saya seorang Emissary. Orang mengenali saya sebagai Windblade.” jawab Ren dengan berterus-terang akhirnya. Maka meloponglah sekali lagi mulut Terawez jadinya.

“Pemancung Angin. Awak ini Maharaja Pemancung Angin.” teka Terawez dengan nada terketar-ketar. Ren Fairuz tidak menjawab. Namun senyumannya menjadi semakin lebar.

*********************************************

Beberapa hari kemudian di balai MetroPolis...

“Terawez! Oi Terawez!” Lamunan Terawez langsung mati tatkala bahu digoncang dengan agak kuat oleh Nicol Hanany. Seperti baharu terjaga dari tidur, pemuda tersebut hanya mampu memandang kosong ke arah gadis jelita tersebut dengan mata yang terkejip-kejip.

“Sekarang kau pun dah pandai mengelamun jauh macam Remy.” omel Nicol.

“Kenapa Nicol?” tanya Terawez yang masih tak ketahuan punca.

“Aku nak ke tandas sekejap. Hal keperempuanan. Boleh jaga di kaunter balai seorang diri sekejap?” tanya Nicol yang lebih merupakan suatu permintaan tanpa pilihan. Terawez senyum seraya mengangguk.

“Pergilah. Ambillah masa awak.” balasnya.

“Hei, aku nak hisap rokoklah. Bukannya sembelit, tahu?” tingkah Nicol. Terawez ketawa kecil. Nicol dilihatnya sempat tersenyum sebelum berpaling dan melangkah masuk ke dalam. Tidaklah begitu lama untuk Terawez kembali termenung. Cepu memorinya kembali terlontar pada peristiwa di Masjid As-Syakirin baharu-baharu ini.

************************************************

Beberapa hari sebelum itu di Masjid As-Syakirin...

“Mengapa? Mengapa Organisasi mahukan orang macam saya?” tanya Terawez dengan rasa tidak percaya.

“Sama sebabnya mengapa Enbi mahukan awak di dalam pasukan MetroPolis, Terawez. Awak seorang pendekar yang sangat hebat. Di samping itu juga awak adalah seorang yang baik dan boleh dipercayai. Enbi mengambil awak bekerja tanpa menemuduga awak atas kualiti yang awak miliki. Kami juga mahukan awak atas sebab yang sama Terawez.” jawab Ren Fairuz dengan panjang lebar. Terawez bungkam. Agak lama juga mereka diam tanpa sebarang bicara.

“Sertailah Organisasi, Terawez. Saya pasti teknik berpedang awak nanti akan menjadi berkali-kali ganda lebih baik dari sekarang.” Kata-kata Ren Fairuz kali ini benar-benar memaut hati Terawez. Beliau dapat membayangkan tahap ilmu seni mempertahankan dirinya jika menerima tawaran daripada Organisasi.

************************************************

Nicol kini hanya duduk termenung di dalam tandas. Bilik yang bersih tetapi sempit tersebut kini sesak dengan asap rokok yang kini tinggal separuh di bibir mungilnya. Hatinya mengkal. Fikirannya benar-benar bercelaru. Nicol tiba-tiba teringatkan sesuatu. Beliau terus menyeluk poket kanan seluar dan mengeluarkan telefon selularnya. Jari-jemarinya giat memicit-micit butang telefon.

“Okey, nasihatkan aku sekali lagi.”

“Tak mahulah. Kau tengah mempermain-mainkan aku. Malas aku nak melayan kau.”

“Ei, Nazrul. Terima kasih kerana selalu mengambil berat tentangku.”

“Kau kan sahabatku? Lagipun kau ni kadang-kala polos dan semberono. Aku dah tak larat nak melihat lelaki lain cuba mengambil kesempatan bila kau tengah mabuk.”

“Hehee...”

“Hah? Kenapa pula?”

“Kau cemburu, ya?”

“Kepala otak kau!”

“Kau rupa-rupanya ada menyimpan perasaan padaku, kan?”

“Pandailah kau!”.

“Kau tentu sangat sayangkan aku, kan? Kan? Kan?”

“Tentulah! Kau ini kan sahabat baikku?”

“Nazrul, kau cintakan aku?”

“........”

“Jawablah...”

“Ya.”

“Betul?”

“Betul. Aku cintakan kau, Nicol. Tapi aku tak mahu beritahu kerana kita ini bersahabat baik. Lagipun aku tahu aku langsung tidak sepadan denganmu. Macam aku dengan Suraya dulu. Kalau kau tak berperasaan serupa denganku, kita pasti akan berasa kekok nanti. Tambah memburukkan keadaan kerana kita bekerja di bawah satu bumbung.”

“Cakap kau memang betul. Aku memang tiada perasaan terhadap kau, Nazrul.”

“Aku memang tahu, Nicol. Tapi kau ini sangat berterus-terang bila mabuk. Kurang ajar betul.”

“Hahaha!”

“Aku sangat gembira sekarang. Terima kasih, Nazrul.”

“.........”

“Tak mengapalah. Esok kau pasti tak akan ingat apa-apapun tentang apa yang aku dah beritahu tadi.”

Nicol tersenyum mendengarkan rakaman yang dimainkan oleh telefon selularnya. Rupa-rupanya ketika mabuk beliau benar-benar telah mengaktifkan mod rakaman pada telefon selularnya dan segala percakapan di antara beliau dan Nazrul telah dirakamkan sepenuhnya. Nicol menyedut rokok sedalam-dalamnya lantas menghembuskan asap sehingga habis nafas. Beliau kemudiannya tersenyum.

“Nazrul, bodoh betul kau ini!” teriak Nicol sekuat-kuat hatinya.

************************************************

Sementara itu di restoran milik Catherine, gadis manis tersebut sedang termenung panjang tatkala Enbi, Ganshamdass dan Ren Fairuz masuk dalam keadaan riuh-rendah. Langsung mati lamunan Catherine. Beliau segera bangkit untuk mendapatkan rakan-rakan seperjuangannya itu.

“Assalamu ‘alaikum.” sapanya. Terpegun Enbi dan Ganshamdass dibuatnya.

“Wa ‘alaika wa hidayatullah, cik Catherine.” balas Ren Fairuz dengan nada ceria.

“Apa maksud kata-kata ustaz tadi?” tanya Catherine.

“Cik Catherine ucap selamat sejahtera ke atas kami semua. Saya balas : dan ke atas awak juga dan hidayah Allah untuk awak.” jawab Ren.

“Hidayah?” tanya Catherine.

“Ya, hidayah. Maksudnya petunjuk yang benar sebenar-benarnya daripada Tuhan.” jawab Ren.

“Bagus sungguh kata-kata ustaz itu.” ujar Catherine.

“Terima kasih.” balas Ren seraya ketawa.

“Cik Catherine dah masuk Islamkah?” tanya Ganshamdass dengan nada agak terkejut. Catherine ketawa sambil menggelengkan kepala.

“Saja ambil tahu dengan lebih mendalam lagi tentang agama Islam.” jawabnya.

“Okey. Kalian nak makan apa hari ini?” tanya gadis manis tersebut pula.

“Saya nak makan nasi ayam Hainan. Minum teh Oolong.” pesan Ganshamdass.

“Saya pun nak makan nasi ayam juga. Saya nak minum air kotak sirap ros.” maklum Ren Fairuz pula.

“Enbi?” tanya Catherine dengan nada lembut.

“Err... macam biasa. Minum pun macam biasa.” jawab Enbi dengan nada yang teragak-agak. Catherine tersenyum lantas menepuk-nepuk lunak bahu kanan Enbi sebelum melangkah meninggalkan mereka. Agak lama mereka bertiga berdiam diri. Kecuali Ren, mata Enbi dan Ganshamdass masing-masing mengekori langkah-liuk gadis manis tersebut ke dapur sehingga hilang.

“Apahal Enbi?” tanya Ganshamdass tiba-tiba.

“Apa maksudmu?” tanya Enbi kehairanan.

“Enbi bergaduh dengan cik Catherinekah?” tanya Ren pula.

“Eh? Mana ada!” tingkah Enbi.

“Suara Enbi bunyinya agak tertekan. Adakah oleh sebab Catherine sakit teruk sekarang?” tanya Ren pula. Enbi ternganga. Air mukanya kini berubah serta-merta.

“Sakit? Sakit teruk? Ustaz janganlah main-main pula! Kan Catherine masih dalam proses pemulihan. Tentulah dia belum sihat sepenuhnya. Namun dia kini dah boleh berdiri dan berjalan tanpa bertongkat. Itu maknanya dia dah semakin pulih, betul tak?” tikai Enbi dengan agak panjang lebar. Buat seketika Ren terdiam sambil merenung ketua balai MetroPolis tersebut untuk melihat sejauh mana keyakinan beliau pada tiap bait perkataannya tadi.

“Baguslah kalau begitu. Tapi mata saya tak pernah tersilap sebelum ini. Catherine sedang sakit teruk. Besar kemungkinan dia enggan memberitahu awak kerana tidak mahu awak berasa bimbang. Atau sedih.” Bungkam Enbi mendengarkan kata-kata Ren tersebut. Wajahnya semakin merah padam. Sekonyong-konyongnya muncul Catherine dengan tiga gelas minuman di atas dulang.

“Nah, air minuman dulu. Makanan kena tunggu sekejap lagi, ya?” maklum Catherine sambil mengunjukkan minuman rakan-rakannya itu setiap seorang. Enbi tiba-tiba bingkas bangun lantas memegang erat lengan kanan Catherine. Sahsiahnya itu ternyata mengudang reaksi kehairanan semua orang.

“Kenapa ni Enbi?” tanya Catherine dengan lembut tetapi gagal menyembunyikan rasa terkejutnya.

“Cat, kenapa kau menolak cintaku?” tanya Enbi. Habis melongo kesemua yang berada di situ dengan pertanyaan semberono tadi. Muka Catherine terus bertukar menjadi kemerah-merahan.

“Enbi, apa ni? Janganlah begini. Fikir perasaan saya sekarang.” balas Catherine dengan nada agak geram.

“Baiklah, aku tukar soalanku. Bilakah kau akan mula bertugas kembali di balai MetroPolis?” tanya Enbi pula.

“Bila saya sudah sihat, saya akan bertugas kembali.” jawab Catherine.

“Bila kau akan sihat?” tanya Enbi pula. Pertanyaannya itu kali ini tidak dapat dijawab oleh Catherine. Gadis tersebut memandang ke sana-sini seolah-olah mencari jawapan pada soalan mudah tersebut. Enbi terus melepaskan pegangan tangannya dan segera berlari meninggalkan mereka bertiga.

“Enbi nak kemana tu?” tanya Ganshamdass dengan penuh tanda-tanya. Ren mengangkat kedua bahu tanda tidak tahu. Catherine pula hanya mampu tercegat sambil memerhatikan kereta Enbi yang sedang memecut laju meninggalkan restoran tersebut.

“Enbi...” ujar Catherine dengan perlahan. Air mata bergenang di kedua mata gadis manis tersebut.

- Bersambung -

No comments: