Friday, December 21, 2012

Zero Hero SE - Bab 1



Zero Hero SE (Special Edition)
Bab 1
Seperti Burger Dalam Tong Sampah



Ahh... begitu nyaman sekali pagi ini. Aku menghirup udara segar sedalam-dalamnya. Mmm... bau segar macam bau durianlah. Oh! Aku makan crepe durian semalam dan terlupa gosok gigi. Patutlah. Suasana pagi yang dilitupi oleh kabus dingin dihiasi pula dengan kicauan burung yang amat menghiburkan. Begitu gembira sekali burung-burung...

“Woi! Burung celaka! Kau berak atas kereta akulah!” Begitulah akhirnya keceriaan pagiku dirosakkan oleh burung-burung pipit celaka tersebut. Ustaz kata Rasulullah melarang kita mencaci makhluk lain. Baiklah. Aku cuma akan menembak mereka dengan senapang angin nanti.

“Hei! Pagi-pagi belum gosok gigi dah mencarut.” Satu suara menegurku dari belakang. Aku segera berpaling dengan senyuman. Di hadapanku tegak berdiri Adrina. Senyuman manis terhias indah di bibir mungilnya. Bak delima merekah. Aku bukannya suka makan buah delima pun. Tapi bibir delima Adrina membuatkanku dalam dilema dan mahu menjamahnya segera.

“Eee... Tak gosok gigi ada air liur basiii...” protesnya sambil menyeka daguku agar tidak dapat bibir kami bertemu. Aku segera menarik mukaku dengan cebik merajuk.

“Dulu sebelum kahwin asyik nak cium bibir saya walaupun lepas makan petai. Sekarang barulah tahu nak geli pulak!” omelku dengan nada geram. Adrina ketawa kecil. Beliau bergegas ke arahku lantas memautkan kedua belah tangannya ke belakang leherku. Tubuhnya dieratkan ke tubuhku. Manakala kepalanya melentok ke dadaku.

You know I love you always and forever, right?” pujuknya. Hatiku kembali menjadi ceria dan teruja. Sesungguhnya Allah memberikan frekuensi suara kepadanya yang selalu mencairkan hatiku. Setakat ini dah tiga puluh ribu berbalas kosong dah. Datuk Lee Chong Wei pun hanya mampu angkat reket ke udara.

“Habis tu berkorbanlah sikit demi untuk menggembirakan bibir saya.” pujukku pula. Adrina langsung ketawa. Beliau memukul-mukul manja dadaku.

“Tak mau! Tak mau! Tak gosok gigi! Bau doloyan! Busyuuuk!” protesnya dalam tawa. Aku turut ketawa. Sebenarnya aku pun tak tergamak pun nak mencium Adrina yang sudah siap melawakan diri untuk ke tempat kerja.

“Mengapa tak pakai parfum?” tanyaku dengan nada kehairanan. Biasanya semerbak bau wangian Adrina walau dalam jarak enam relung sepuluh rantai dua pol sekalipun.

Sejak bila pulak aku jadi juruukur tanah ni?

“Semalam kan ada cerita Kurma Kurma di televisyen? Ustazah tu kata haram hukumnya si isteri yang memakai wangian untuk dihidu oleh lelaki lain selain suaminya.” perjelas Adrina. Kurma Kurma? Cerita apa pulak tu?

“Alhamdulillah! Semakin banyak hidayah yang Allah bagi pada Rina. Tapi tudung bila nak pakai?” tanyaku dengan nada mengusik. Adrina mencebik pula lantas mencubit lenganku.

“Oh, ya! Hari ini apa program Arif?” tanyanya tiba-tiba. Dumbfounded aku seketika. Tak terfikir pula nak buat apa pada hari ini. Tadi rasanya macam nak memanfaatkan senapang anginku. Tapi untuk apa, ya?

“Tak tahu. Mungkin pergi beratur ambil BR1M kot?” jawabku dengan acuh tidak acuh. Adrina menggelengkan kepala tanda kurang senang dengan sikapku tersebut.

“Ayah kan dah tawarkan jawatan pada Arif? Kenapa tak mahu terima?” leternya dengan lembut. Segera wajah bapa mertuaku yang macho ala-ala Marlboro Man terpampang di cepu ingatan.

“Tak mahulah. Dia tawarkan jawatan yang terlampau tinggi. Saya tak layak.” hujahku.

“Arif kenalah confident dengan diri sendiri.” pujuk Adrina.

“Rina, saya cukup kenal dengan kemampuan saya. Sebab itulah saya menolak.” hujahku lagi.

“Tapi dah tiga bulan Arif tak bekerja. Arif tak risau ke?” tanya isteriku dalam nada bimbang. Aku menggeleng.

“Apa nak risau? Duit VSS ada banyak lagi. Ratus-ratus ribu lagi, tau?” balasku dengan gaya pura-pura angkuh. Adrina mencebik. Tangan kanannya pantas menepuk punggungku tanda geram. Aku ketawa berdekah-dekah.

**************************************

Sudah hampir tiga jam Adrina berada di pejabat. Aku pula melengong tak tahu buat apa. Nak menonton televisyen pun dah tak gamak. Rancangan memasak berbahasa Cina yang kutonton semalam akhirnya menyedarkanku bahawa aku terlampau banyak membuang masa di hadapan monitor LED tersebut. Setelah berfikir sejenak akhirnya aku membuat keputusan untuk keluar merayau-rayau. Belum sempat aku bangkit meninggalkan sofa, telefon selularku yang berada di atas meja kopi berbunyi. Aku segera mencapainya dan melihat skrin. Adrina rupa-rupanya.

“Hai manja.” ucapku dengan agak tidak bermaya.

“Hai sayang! Dah lunch?” tanya isteriku.

“Belum.” jawabku ringkas.

“Biar Rina order pizza untuk Arif. Nak?” tanyanya. Aku menggeleng. Eh! Dia manalah nampak!

“Tak apalah. Saya nak keluar dah ni. Bolehlah cari makan sekali.” tolakku dengan sopan.

“Keluar seorang ke?” tanya Adrina sekoyong-koyongnya. Oro? Cemburulah pulak!

“Tak. Ada kawan perempuan temankan. Apa ke nama dia.. Wawa? Wawa Zainal?” jawabku dengan nada mengusik.

“Yalah tu!” ujar Adrina dengan nada geram.

“Dah tentulah saya seorang saja. Wadi dah kena posting di Sarawak. Nizam semenjak kahwin dengan Shaleen entah lesap kemana!” rungutku. Bercakap tentang Aswadi, aku pernah berpesan agar dia hantar kek lapis Sarawak secara pos bulan lepas. Namun dia cuma hantar ikan Terubuk masin saja. Punyalah kedekut Haji Bakhil. Bila dia balik ke Semenanjung aku akan lepuk dia dengan Terubuk masin tersebut. Awas kau, Wadi!

“Hey...” seru Adrina dengan lembut.

“Hm. Apa?” tanyaku pula.

La tahzan.” ucapnya yang bermaksud ‘jangan bersedih’. Aku terdiam sebentar.

I love you, baby.” Akhirnya kuungkapkan kata-kata tersebut sebagai tanda terima kasihku atas kata-kata perangsangnya tadi.

I love you too, abang.” balasnya. Oro? ABANG? Buat julung-julung kalinya Adrina memanggilku ‘abang’. Kata-kata tersebut benar-benar meresap ke dalam jiwa dan sanubari sehingga naik meremang bulu romaku. Serta-merta kegelisahanku lenyap entah kemana. Beginilah gamaknya perasaan Ultraman tatkala mengalahkan raksasa Baltan yang jahat.

*************************************

Telah hampir dua jam aku merayau-rayau di kotaraya tanpa sebarang halatuju yang tertentu. Aku sempat singgah membeli sebiji burger untuk mengalas perut yang berbunyi dari tadi. Kononnya burger yang kubeli ini burger unta. Tak rasa macam daging unta pun. Entah kaki pesakit untut mana yang mereka cincang untuk buat burger gamaknya. Burger tersebut yang hanya kugigit dua kali itu akhirnya selamat dikebumikan di dalam tong sampah yang berdekatan. Aku bangkit dan mengibas-ngibas bahagian punggungku. Nampak gayanya kena jualah aku bertandang ke kedai pak cik Kolonel Sanders untuk memuaskan nafsu perutku ini.

“Dik! Dik! Boleh tolong tak dik?” Dalam beberapa langkah sahaja aku berjalan, sekoyong-koyongnya seorang lelaki dalam lingkungan usia empat puluhan menegurku dengan penuh pengharapan.

Mengapa pulak tiba-tiba aku teringatkan Tanjung Pengharapan di Afrika?

“Boleh tak tolong abang buka meja dan kerusi ni? Nanti abang belanja makan sebagai upah.” ujar lelaki tersebut dengan tawaran yang aku kira amat menarik buat kala ini. Aku merenung dengan teliti keadaan gerai makan miliknya. Oh ya, lupa pula aku nak beritahu bahawa lelaki tersebut adalah pemilik sebuah gerai makan nasi Padang.

“Abang terlambat hari ni. Pekerja abang pulak hilang entah ke mana. Tolonglah. Boleh, ya dik?” pintanya dengan nada separa rayuan. Aku bukannya suka makan nasi Padang. Lagipun keadaan gerainya yang agak kotor semakin membantutkan seleraku. Entah dijamunya aku makan tikus Padang pulak nanti. Manalah tahu!

“Sepuluh ringgit. Tak mahu makan.” Aku memberikan tawaran balasku pula. Terkedu seketika abang gerai tersebut. Kemudian beliau tersenyum.

“Lima ringgit, boleh?” tawarnya pula.

“Nasi padang dengan lauk biasa-biasa dan teh-o ais pun dalam tujuh ringgit. Takkan nak bagi lima saja, kot? Itu tawaran Vasco da Gamma tu!” pertikaiku. Aku peduli sama ada abang tersebut memahami ayat terakhirku. Yang penting aku nampak pandai bila mengungkapkan kata-kata tersebut. Yalah, macam pak-pak menteri bila menggunakan perkataan ‘retorik’ itulah.

“Okeylah! Okeylah! Sepuluh! Sepuluh!” Akhirnya lelaki tersebut beralah. Mungkin kerana beliau perlu menjenguk ke dapurnya sebelum semua lauk-pauknya mengepulkan asap hitam. Aku tanpa bertangguh terus mengerahkan kudratku untuk membuka dan menyusun meja serta kerusi. Setelah sempurna dan memuaskan hati pekerjaanku itu, lelaki tersebut terus menghulurkan upah seperti yang dijanjikan. Tatkala aku membuka dompet untuk memasukkan not sepuluh tersebut, baharulah beliau terperasankan berkeping-keping not seratus di dalamnya.

“Woih! Banyaknya duit kau! Aku ingat mamat daif tadi!” perlinya. Nada tidak berpuas hatinya jelas terpapar. Aku hanya tersenyum.

“Abang yang menawarkan upah kepada saya. Manalah boleh saya nak menolak rezeki.” balasku seraya tertawa. Abang gerai nasi Padang turut ketawa. Namun biasalah ketawa ala-ala Yahudi kalah perang.

Aku ternampak seorang yang kurang siuman sedang makan burger di tepi tong sampah. Aku pasti itu adalah burger daging kaki pesakit untut tadi. Aku tiba-tiba berasa sedih. Sedih dengan keadaanku yang sebegini rupa. Dahulunya aku adalah seorang yang sangat berjaya dalam kerjaya. Kini aku seolah-olah hampir hilang segala-galanya.

Pun begitu aku masih berselera untuk makan nasi ayam di KFC!



- Bersambung -

Monday, December 17, 2012

MetroPolis Episod 3 - Bab 15



MetroPolis Episod 3
Bab 15
Ahli Baharu (Bah. 1)



Tal Kushaini menahan cungapnya. Kecederaan yang dialami olehnya adalah begitu berat sekali. Ternyata lawan yang dihadapi oleh Tal kali ini adalah setanding dengan gurunya Ren Fairuz. Sempat pula beliau mengerling di sekitar jangkauan pandangan. Batalion tentera Organisasi yang berpengkalan di Algeria kini telah dibinasakan sama sekali dalam masa tidak sampai sehari. Lebih kurang dua ribu orang tentera terlatih yang rata-ratanya berpangkat Guardian habis kesemuanya dibunuh. Kebanyakan bangunan di markas Organisasi tersebut telahpun musnah dijilat api. Pesawat udara dan darat dengan persenjataan yang berat juga telah rosak binasa. Kesemua perkara ini telah dilakukan oleh seorang individu sahaja. Namun beliau yang berada di pihak Masonik itu sebenarnya mempunyai kedudukan teratas dalam hierarki pendekar. Kini lawan yang menggerunkan tersebut tegak berdiri dalam lingkungan tujuh puluh meter daripada Tal Kushaini.

“Memang aku bukan tandinganmu, Adaj.” ujar Tal seraya tertawa kecil. Rupa-rupanya lawan orang kanan Maharaja Pemancung Angin ini adalah Maharaja Adaj yang dianggap sebagai salah seorang Dajjal yang akan muncul dan melakukan kerosakan di muka bumi kelak. Maharaja Adaj mempunyai paras rupa yang segak dan lembut. Rambutnya hitam dan bersinar dengan kepanjangan separas pinggang. Tubuhnya tinggi lampai dan agak kurus. Kulitnya pula agak pucat dan kering. Pemimpin tertinggi pertubuhan Masonik tersebut turut ketawa kecil.

“Namun kau langsung tidak takutkan aku. Malah begitu gembira sekali nampaknya sekarang. Adakah kerana kau tahu bahawa kau akan mendapat syahid pada hari ini?” tanya Adaj dengan nada ramah. Tal agak tergamam dengan soalan yang dilontarkan kepadanya tadi. Namun beliau kembali mengukir riak ceria di bibirnya seketika kemudian.

“Harap-harapnya begitulah. Tapi jangan mimpilah aku akan memberikan nyawaku dengan begitu saja.” balas Tal. Kedua-dua mereka ketawa bagaikan kawan baik yang sedang bergurau. Namun mereka sedang mempertaruhkan nyawa di medan pertempuran buat masa ini. Dengan pantas Tal Kushaini menghalakan kedua belah telapak tangannya ke arah Adaj lalu dibacakannya potongan ayat dari Surah Al-Baqarah pada ayat yang ke dua ratus enam puluh enam yang membawa maksud “... maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandungi api, lalu terbakarlah...”. Dari telapak tangannya berderu letusan angin yang dengan pantas menuju ke arah Adaj.

“Ktulu!” teriak Adaj seraya menghalakan tapak tangannya ke arah letusan angin tersebut. Muncul tiba-tiba seekor jin yang amat besar lagi menakutkan. Tubuhnya seperti bongkah-bongkah batu gunung dan seolah-olah dipenuhi dengan rekahan di sana-sini. Dari celahan rekahan tersebut mengalir keluar cecair nanah yang berasap dan berbau hamis. Letusan serangan angin Tal Kushaini lantas berlaga dengan jin yang diseru oleh Adaj untuk melindungi dirinya itu. Satu letupan yang amat kuat terjadi. Jin yang digelar sebagai Ktulu tadi menjerit-jerit kesakitan. Tubuhnya marak dibakar dengan api yang mendebukan setiap incinya.

“Oh! Kau ini sangat hebat dan masih mampu mengancam nyawaku, Tal Kushaini. Thor! Muse!” pekik Adaj seraya menghalakan kedua tapak tangannya di sisi kiri dan kanan Ktulu. Muncul pula dua ekor jin jantan dan betina. Jin yang jantan lengkap berperisai dan dipersenjatai dengan sebilah tukul yang sangat besar. Sosok tubuhnya tegap dan dipenuhi dengan calar-balar parut lama. Wajahnya bengis persis seekor babi hutan. Manakala si betina pula kurus dan tinggi. Rambutnya putih mengurai dengan wajah cengkung yang menyeramkan. Kulitnya pucat lesi dan dipenuhi dengan liang-liang luka besar yang tidak henti mengalirnya darah.

“Teruklah aku! Dia asyik menyeru keluar jin-jin yang kuat dan hebat!” rungut Tal di dalam hati. Jin jantan yang digelarkan Thor tersebut meluru ke arah pendekar berpangkat Eksekutif tersebut dengan kepantasan yang luar biasa. Namun dengan pantas juga Tal Kushaini melentingkan tubuhnya ke udara dengan bantuan letusan angin di kedua belah kakinya. Tukul besar milik Thor yang dihentakkan ke ubun kepala musuhnya gagal menemukan sasaran. Sebaliknya tanah yang dihentak dengan tukul tadi meledak dan menjadi lekukan yang amat besar. Thor memekik dan menghayunkan-hayun tukulnya secara membabi buta. Tal mengambil peluang di atas amarah jin tersebut untuk menyelinap di belakangnya lantas meledakkan angin puting beliung ke arahnya. Thor yang kini hilang keseimbangan diri melambung naik dan berputar-putar ke udara dengan pantas.

“Nike!” pekik Adaj pula. Muncul seekor jin lagi yang mempunyai tubuh hampir lutsinar. Jin tersebut meluru masuk ke arah angin puting beliung hasil kuasa Karamah Tal tadi dan berjaya meneutralkannya. Malahan Thor juga berjaya ditahan di udara agar tidak jatuh terhempas ke bumi.

“Celaka!” teriak Tal seraya mengaktifkan pedang pemancung angin ciptaan Ren Fairuz dengan kuasa Karamahnya. Namun sebaik sahaja beliau ingin melibas pedang anginnya itu ke arah Thor dan Nike, tiba-tiba Tal kejang dan menjerit-jerit kesakitan. Mata pendekar Eksekutif itu sempat mengerling ke arah Muse yang kini mengumandangkan lagu yang menyakitkan telinga dan segenap urat sarafnya. Darah keluar memercik dari setiap liang luka Tal. Beliau benar-benar dalam keadaan derita sekarang. Maharaja Adaj pula hanya tersenyum kambing memerhatikan keadaan lawannya itu.

“Jaga-jaga Tal!” teriak Adaj. Namun amaran separuh hatinya itu sudah terlambat. Tubuh Tal tiba-tiba tertiarap ke bumi. Rupa-rupanya Nike telah menekan tubuhnya dengan kuasa angin yang tersangat keras. Manakala Thor pula menghentakkan tukulnya ke belakang Tal dengan sekuat-kuat hati. Bukan itu sahaja, malah tukul milik Thor tadi mengeluarkan arus elektrik yang amat tinggi. Tal menjerit-jerit kesakitan. Penderitaan yang dialaminya adalah begitu menyayat hati.

“Cukuplah Allah sebagai penjaga dan pelindungku!” jerit Tal tiba-tiba. Dengan tidak semena-mena muncul angin puting beliung besar yang menyedut Thor dan Nike ke dalamnya. Tal bingkas tegak berdiri. Beliau membacakan potongan surah al-Baqarah ayat dua ratus enam puluh enam tadi. Angin saiklon tadi kini marak dijilat api yang besar dan ganas. Jin Nike dan Thor sama-sama menjerit-jerit kesakitan dibakar di dalam api Karamah tersebut.

“Ktulu! Mara! Anubis!” seru Maharaja Adaj yang menjelmakan dua lagi ekor jin bersama Ktulu yang masih lagi bernyawa. Beliau mahu membantu kedua-dua hambanya yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu. Muse pula semakin lantang mengalunkan lagu pembinasa sarafnya tadi. Kesakitan dan penderitaan Tal Kushaini kian bertambah. Namun seruan syahid semakin mengobar-ngobarkan sisa semangatnya yang masih ada. Mulutnya terkumat-kamit membacakan ayat ke empat puluh satu dari Surah Az-Zariyat (angin yang mencerai-beraikan) yang bermaksud “Dan tentang kaum ‘Aad, ketika Kami mengirimkan kepada mereka angin yang membinasakan”.

“Mampuslah kamu semua!” pekik Tal seraya mendepangkan kedua belah tangannya. Dari pusaran ganas angin puting beliung tersebut muncul puluhan pedang pemancung angin yang membelah apa sahaja di laluannya. Jin-jin yang bergelar Ktulu, Mara dan Anubis tidak sempat tiba untuk mengeroyok tubuh Tal. Kesemua mereka habis dipancung dengan kuasa Karamah milik Tal yang sempurna dan sangat dahsyat tersebut.

***********************************************

Di Ipoh, Perak di Malaysia. Beberapa jam sebelum itu...

“Daryll! Tuan Don ingin berjumpa denganmu!” Daryll yang juga dikenali sebagai Serigala Angin tiba-tiba menjadi bersemangat dan ceria. Beliau hampir-hampir sahaja mahu terlelap di dalam biliknya yang sunyi lagi membosankan itu. Daryll bingkas bangun dan terus sahaja mengekori Duali yang mulai bergerak keluar dari bilik tersebut.

Selang seminit kemudian akhirnya mereka berdua tiba di hadapan bilik Donald. Duali berdehem sebentar lantas mengetuk pintu dengan penuh rasa hormat. Pun begitu beliau terus sahaja membuka pintu tersebut tanpa menunggu dipelawa. Di hadapan mereka berdua Donald duduk menunggu dengan senyuman ceria.

“Apa khabar, tuan Don?” sapa Daryll dengan nada yang agak gusar. Sudah begitu lama beliau tidak bertemu dan berbicara dengan pemimpinnya itu.

“Aku baik dan sihat. Terima kasih kerana bertanya.” balas Donald dengan nada agak girang. Daryll menarik nafas lega. Sangkanya tentu ketuanya itu akan menambahkan hukuman lagi ke atas beliau kerana begitu berani mencabar Maharaja Pemancung Angin tidak lama dahulu.

“Daryll, aku mahu memberikan tugasan yang penting kepadamu. Namun kau duduklah dahulu.” arah Donald yang masih bernada mesra. Pun begitu hati Daryll berdetak bahawa arahan yang akan diberikan kepadanya ini pastinya suatu perkara yang kurang menyenangkan. Beliau sudah masak benar dengan sikap pemimpinnya itu.

***********************************************

Pada masa yang sama di markas Neon Melambai di Batu Gajah...

“Erika! Aku si Monsoon kini hadir di hadapanmu atas kepercayaan bahawa kau mempunyai maklumat yang teramat penting untuk disampaikan!” ujar ketua kumpulan Terendak Biru tersebut dengan suara yang amat lantang. Bersama beliau adalah empat orang ahli Terendak Biru yang amat handal. Erika tersenyum kambing bila Monsoon menyebut perkataan ‘percaya’ sedangkan beliau sendiri diiringi oleh empat orang terhebatnya.

“Monsoon! Apa kata kalau kita berdua bubarkan sahaja kumpulan kita dan menyerah diri kepada MetroPolis?” saran Erika. Terbelalak mata Monsoon mendengarkan kata-kata tersebut. Beliau menumbuk meja Jepun di hadapannya sekuat-kuat hati lantas bingkas berdiri. Telunjuk kanannya dihalakan tepat ke muka Erika.

“Bangsat! Kau mensia-siakan masa emasku hanya untuk menyebut perkataan yang sia-siakah?” jerkah Monsoon. Beberapa orang ahli terhandal Neon Melambai mula menampilkan diri. Empat orang pengiring Monsoon juga telah membuka langkah waspada. Namun dengan cepat Erika menahan anak-anak buahnya daripada bertindak melulu.

“Dengarlah dulu, Monsoon. Kau adalah seorang yang amat bijak dan mungkin melebihi kehebatanku. Itulah sebabnya aku membawa tawaran ini kepadamu. Namun kau dengarlah dulu habis-habisan. Kemudian barulah kau buat keputusan.” Erika menggunakan kebijaksanaannya untuk memujuk sekutunya itu. Monsoon yang pantang diampu akhirnya akur dengan permintaan tersebut. Beliau kembali duduk. Erika segera memberikan sekeping kertas kepada Monsoon.

“Jawatan kosong sebagai anggota polis di MetroPolis Enterprise?” baca Monsoon dengan nada kemusykilan. Matanya kemudian tepat memandang ke arah Erika.

“Ya! Aku fikir inilah jalan terbaik untuk kita bersatu dan membalas dendam secara halal terhadap ahli kumpulan Don!” ujar Erika dengan nada teruja.

***********************************************

Pada masa yang sama di Restoran Bubur Nasi Zhang milik Catherine...

David, abang Catherine yang kini mempunyai masa terluang membelek-belek risalah iklan yang diberikan oleh adiknya sebelum beliau bertolak menjalani rawatan Peranchis bersama Enbi. Catherine beriya-iya memujuknya agar menggantikan tempat beliau di dalam MetroPolis. Walhal David sehingga kini menyalahkan Enbi di atas kecederaan berat adiknya. Beliau termenung agak lama. David mempelajari senibela diri selama ini dengan niat untuk menjaga dan mempertahankan orang-orang yang disyanginya serta membela orang yang ditindas. Tatkala Enbi menubuhkan MetroPolis, hatinya begitu terpanggil untuk menyertai Enbi. Namun David begitu bimbang dengan niat sebenar buah hati adiknya itu. Enbi yang dikenalinya semenjak kecil adalah seorang yang sangat bermasalah dan dipenuhi dengan perasaan dendam. Tidak mustahil orang sepertinya itu akan menggunakan MetroPolis sebagai jalan untuk melampiaskan dendam kesumatnya.

Namun setakat ini ternyata sangkaannya itu salah. Enbi sememangnya berjaya membalas dendam terhadap orang-orang yang telah menganiayai bapanya. Namun tidak pernah walau sekali beliau menggunakan MetroPolis untuk mencapai matlamatnya itu. Enbi dan ahli MetroPolis telah bermati-matian membela orang-orang yang selama ini tertindas akibat badan kepolisan yang telah dikorporatkan. Mungkin itulah sebabnya mengapa beliau terus menyampaikan ilmu seni beladirinya kepada Enbi hingga Enbi menjadi handal dan terkenal. Mungkin David secara tidak langsung mahu ‘turut bersama’ di dalam perjuangan MetroPolis. Kini Catherine menawarkan peluang untuk beliau benar-benar bersama dengan MetroPolis. Hati David cukup gembira. Namun rasa was-wasnya masih ada.

“David! Pelanggan di meja tigabelas!” jerit si ibu yang langsung mematikan lamunan David. Beliau bingkas bangun menuju ke arah pelanggannya yang baharu tiba. Senyuman sentiasa meniti di bibir tatkala melayan mereka ketika mengambil pesanan. Namun hanya Tuhan sahaja yang mengetahui betapa berkecamuk hatinya sekarang.


- Bersambung -

Tuesday, October 23, 2012

saja-saja 24-10-2012

Assalamu'alaikum Warahmatullah kepada sesiapa yang mahu menerima petunjuk Allah.

Terlebih dulu saya meminta maaf kerana tak dapat lagi memberikan komitmen penuh untuk blog ini. Sekarang saya ada orang baru dalam keluarga. Maka kenalah bekerja dengan lebih keras untuk mencukupkan keperluan kami semua.

Sebenarnya saya telah memasukkan tiga entry sekaligus sebelum ini. Maka ramai yang tidak terperasan tentang Bab 13 dan hanya membaca Bab 14 sahaja. Harapnya anda semua sudi meluangkan masa untuk membaca Bab 13 agar tak terputus kesinambungan cerita ini.

Jumpa lagi.Ma'assalamah.

Sunday, October 21, 2012

MetroPolis Episod 3 - Bab 14


MetroPolis Episod 3
Bab 14
Bibit-bibit Perpecahan (Bah. Akhir)




“Kamu berdua ini biar betul!” bentak Enbi. Matanya menghunjam tajam ke arah Remy dan Terawez. Baharu sahaja tiga hari lepas beliau bergembira kerana akhirnya Catherine bersetuju untuk menjalani rawatan bagi menyelamatkan nyawanya. Namun kini beliau benar-benar terkejut dan kecewa kerana Remy dan Terawez menyerahkan surat perletakan jawatan kepadanya. Di meja terpakai milik balai MetroPolis itu beliau menerima resume Remy dan Terawez. Di meja yang sama juga beliau menerima surat perletakan jawatan mereka.

“Maafkan kami, tuan Enbi.” ucap Terawez. Kepalanya masih tunduk dengan beban perasaan bersalah. Remy pula sepatahpun tidak berkata apa-apa. Enbi merengus. Wajah Remy langsung tidak menunjukkan perasaan bersalah. Memang padanlah dengan sikapnya sebagai askar upahan. Namun agak mengejutkan kerana Organisasi masih menerima orang seperti Remy.

“Kamu berdua ialah antara anggotaku yang amat kuat dan handal. Cat mungkin tidak dapat membantu MetroPolis lagi kerana masih dalam tempoh rawatan. Nicol pula telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kita kerana masalah peribadinya dengan Nazrul. Chief kini senasib dengan Cat dan tak mungkin dapat membantuku lagi. Kini kamu berdua pula mahu memecahkan diri dari MetroPolis.” ujar Enbi dengan nada yang jelas menunjukkan kekecewaannya.

“Benarkah Organisasi yang menjemput kalian berdua menyertai mereka dan bukan sebaliknya?” tanya Enbi. Kedua anak buahnya itu mengangguk hampir serentak. Enbi mengeluh. Adakah Organisasi ini membawa manfaat atau mudarat kepadanya? Mungkinkah bantuan kewangan mereka sebelum ini adalah untuk mempampas perbuatan mereka mencuri anak buah terhandalnya sekarang?

“Sekurang-kurangnya beritahulah siapa yang membuat tawaran kepada kalian berdua.” pinta Enbi dengan nada memujuk.

“Windblade!” jawab Terawez dengan pantas sebelum sempat Remy memegang bahunya. Terawez tahu bahawa Remy pasti akan cuba mengisyaratkannya agar berdiam diri. Namun beliau tidak sanggup untuk menyakitkan hati Enbi dengan tidak memberitahunya perkara sebenar. Atau lebih teruk lagi iaitu berbohong pula kepada ketuanya.

“Pemancung Angin...” ujar Enbi dengan perlahan. Giginya terketap rapat. Dengan tidak semena-mena buku lima tangan kanan Enbi menghentak meja dengan sekuat-kuat hati.

“Maaf, tuan Enbi...” ucap Terawez lagi. Enbi tidak berkata apa-apa selain dari bingkas bangun. Langkahnya digegaskan ke arah pintu yang kemudian dikuakkan dengan cara yang agak keras.

“Aku menerima perletakan jawatan kalian. Sekarang berambus dari sini dan jangan tunjukkan lagi muka kalian kepadaku.” maklum Enbi dengan nada dingin sebelum keluar dan menghempaskan pintu.

**************************************

Lima hari kemudian. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibnu Thaimiyah...


Cuaca agak mendung di luar balai berlepas namun Nicol Hanany memakai gaun kain kapas yang amat cantik dan berwarna-warni pada hari ini. Ketika ini beliau sedang memeluk erat Catherine. Kebanyakan anggota MetroPolis hadir untuk menghantar Nicol pergi. Namun Enbi dan Remy tidak kelihatan di situ.

“Tahniah Cat! Aku daripada dulu sudah tahu yang kamu berdua patut menjadi pasangan bercinta.” ucap Nicol dengan nada ceria.

“Yalah tu! Tapi terima kasih!” balas Catherine. Wajahnya berseri-seri sungguhpun nampak agak pucat.

“Bila kalian akan berkahwin?” tanya Nicol. Catherine yang agak terkejut dengan soalan tersebut bingkas memukul bahu kawannya itu. Pipinya menjadi kemerah-merahan.

“Maaf! Maaf! Aku tanya soalan lain pula. Apa kata keluargamu tentang hubungan kalian berdua?” tanya Nicol pula. Catherine tersenyum lantas sekali lagi memukul bahu beliau.

“Itupun salah?” pertikai Nicol.

“Keluarga saya tak kisah. Mereka sudah mengenali Enbi dari kecil lagi. Lagipun keluarga kami mempunyai ramai sahabat beragama Islam termasuklah Allayarham bapa Enbi. Soal agama tidak menjadi hal.” jawab Catherine akhirnya.

“Haii, cemburunya aku dengan kebahagiaan kalian berdua. Apapun aku juga sangat gembira dengan perkembangan hubungan kalian. Ucapkan tahniahku juga kepada Enbi.” maklum Nicol.

“Saya minta maaf kerana Enbi tidak dapat datang ke sini.” ujar Catherine.

“Aku tahulah Remy itu memang anti-sosial dan bersifat anarki. Tetapi aku agak kecil hati kerana Enbi tidak mahu datang.” omel Nicol dengan nada kecewa. Catherine ketawa kecil.

“Dia masih marah dan bersedih dengan perletakan jawatan Remy dan Terawez.” maklum Catherine yang ingin membela tindakan ketua mereka. Matanya sempat mengerling ke arah Terawez yang tunduk ke lantai tatkala mendengarkan kata-katanya tadi.

“Janganlah susah hati, Terawez. Enbi selalu bercakap yang bukan-bukan bila dia tengah marah. Tapi awak pun dah tahu dia bukannya bermaksud sedemikian. Nanti bila kemarahannya dah reda, dia pasti akan rasa menyesal bercakap sebegitu pada awak dan Remy.” maklum Catherine dengan nada memujuk.

“Ya, Terawez. Janganlah ambil hati dengan cakap si Enbi. Dia itu selalu merepek dan suka berlagak kononnya tiada perasaan. Tapi hatinya memang baik dan lembut. Tahniah kerana awak ditawarkan untuk menyertai Organisasi. Awak sememangnya handal dan layak.” pujuk Nicol pula seraya memeluk Terawez dengan erat.

“Oih! Oih!” ujar Terawez yang berasa kekok dan tidak selesa diperlakukan sedemikian. Pipinya menjadi kemerah-merahan.

“Haha! Kau ini budak sucilah, Terawez!” usik Nicol yang akhirnya melepaskan pelukannya. Beliau mengorak langkah ke arah Red Wigwam pula. Orang tua tersebut dipeluknya dengan erat.

“Pak cik Wigwam jaga kesihatan dan jangan banyak makan daging, ya?” nasihat Nicol. Anaknya Ox yang menemani beliau tergelak. Red Wigwam turut ketawa sambil menepuk-nepuk belakang Nicol.

“Cik Nicol juga jaga diri dan kesihatan. Kalau ada kesempatan hubungilah kami semua, ya?” pesan Red pula.

“Itu suatu janji yang mesti ditepati!” balas Nicol seraya tertawa. Beliau melepaskan dakapannya dan menuju ke arah Ren Fairuz pula.

“Awak jangan peluk saya, cik Nicol. Nanti reputasi saya sebagai imam muda yang baik hati akan tercemar dan akhirnya kita terpaksa bernikah untuk memulihkan kembali reputasi tersebut.” maklum Ren memberikan amaran. Nicol terkaku seketika. Buat seketika beliau memandang tepat ke arah mata Ren dan dapat melihat perasaan lega ustaz tersebut. Bibir Nicol mengorakkan senyuman nakal.

“Nikah? Okey!” balas Nicol seraya mendepangkan kedua belah tangannya ke arah Ren. Namun Maharaja Pemancung Angin yang masih menyembunyikan identitinya itu terlebih dahulu melarikan diri. Kesemua yang berada di situ ketawa terbahak-bahak. Nicol berjalan menuju ke arah Ganshamdass dan ibunya pula. Beliau terus menghulurkan tangan untuk berjabat salam. Dass tersenyum dan menyambut salam wanita jelita itu.

“Mampuslah!” ujar Nicol seraya terus mendakap tubuh Dass pula. Ibu Dass yang amat terkejut dengan perbuatan Nicol tidak henti-henti berleter dalam bahasa Tamil. Dass ketawa terbahak-bahak.

“Maaf mak cik! Saya pun sayangkan mak cik juga.” ucap Nicol seraya terus memeluk ibu Ganshamdass pula. Ibu Dass langsung terdiam dari menceceh. Sebaliknya dia membalas kembali pelukan Nicol sambil ketawa.

“Awak sangat nakal, tau? Tapi mak cik juga sayangkan awak.” balas ibu Dass. Mereka yang berada di situ kembali ketawa dengan telatah Nicol.

“Hai Nicol! Tunggu!” Tiba-tiba kedengaran suatu suara berteriak keras. Nicol dan kesemua yang berada di situ agak terkejut lantas memalingkan wajah ke arah si empunya suara.

“Enbi!” teriak Catherine dengan nada gembira. Enbi kini tiba di hadapan mereka semua dalam keadaan termengah-mengah. Namun matanya sempat menjeling tajam ke arah Terawez.

“Kan aku sudah kata aku tidak mahu melihat mukamu? Pandang ke tempat lain!” herdik Enbi. Terawez yang terkulat-kulat kerana dimarahi oleh Enbi akur menghadapkan wajahnya ke arah lain.

“Enbi...” seru Catherine yang kurang senang dengan perlakuan kekasihnya itu.

“Sebelum kau bertolak ke markas Organisasi, pergi ambil gaji dan bonus tahunanmu daripada Nazrul. Jangan terlupa pula. Kalau tidak aku campakkan kesemua duit gaji dan bonus kau itu ke tong sampah! Beri pesanan yang sama kepada Remy.” ujar Enbi dengan keras. Catherine tersenyum. Ternyata kemarahan Enbi telahpun reda.

“Terima kasih, tuan Enbi!” teriak Terawez. Jelas kedengaran nada sebaknya sungguhpun beliau membelakangi mereka.

“Menangis konon. Menyampah.” omel Enbi. Pun begitu bibirnya mengorakkan senyuman gembira. Namun ianya tidak lama kerana satu terjahan keras hinggap di perut beliau.

“Berani kau enggan menghantarku pergi!” bentak Nicol. Rupa-rupanya beliau yang menumbuk perut Enbi tadi.

“Ce.. celaka kau, Nicol. Aku datanglah sekarang ini, bodoh!” maki Enbi dengan wajah yang menyeringai. Namun amarahnya segera hilang tatkala didakap dengan erat oleh wanita jelita tersebut.

“Terima kasih bos kerana menjaga saya selama ini.” ucap Nicol. Enbi tersenyum.

“Jangan lupakan kami semua, tau? Kalau tidak, nahas kau!” pesan Enbi dengan nada gurauan. Nicol melepaskan pelukannya. Matanya terarah pula kepada Nazrul yang kira-kira lima belas kaki jaraknya dari Nicol. Buat seketika mereka saling berpandangan. Mata Nicol kemudian teralih pula ke arah Raihanah. Jelas pada senyuman kelat gadis itu bersama renungan yang agak tajam. Nicol membalas senyuman tersebut dengan sebuah senyuman yang dipaksa juga.

“Semoga kalian berdua berbahagia.” ucapnya. Nicol terus menggegaskan diri meninggalkan mereka semua dengan semena-mena. Namun setelah berada dalam jarak sepuluh meter beliau kembali bepusing menghadap mereka.

“Selamat tinggal semua!” teriak Nicol dengan senyuman ceria dan kemudian kembali berpaling mengorakkan langkah masuk ke dalam balai berlepas. Catherine faham mengapa kawannya itu berbuat sedemikian. Nicol tidak mahu Nazrul nampak air mata yang bergenang di kedua kelopak matanya. Catherine melepaskan keluhan kecil. Kemudian beliau berpaling ke arah Enbi yang kini mendekatinya.

“Nampaknya saya kenalah mencari ahli-ahli baru selepas ini.” ujar Enbi.

“Ya, Enbi perlu mencari ganti tempat mereka dengan segera untuk mengukuhkan kembali MetroPolis.” balas Catherine. Enbi menggelengkan kepala.

“Tak mungkin saya akan menggantikan tempat mereka dengan orang lain. Tempat mereka sentiasa akan ada di Metropolis dan mereka bila-bila masa boleh kembali mengisinya.” maklum Enbi. Catherine tersenyum. Beliau berasa bangga dengan pendirian kekasihnya itu.

“Tempat saya bagaimana pula?” tanya Catherine tiba-tiba. Enbi tersenyum sambil merenung kekasihnya itu.

“Tempat awak bukan lagi di MetroPolis, Cat. Tempat awak kini di hati saya.” jawab Enbi. Catherine tersenyum dan tertunduk malu. Enbi mengambil kesempatan tersebut untuk mendakap bahu kekasihnya itu.


-  Bersambung -