Friday, September 30, 2011

MetroPolis Episod 2 - Bab 31

MetroPolis Episod 2

Bab 31

Porak-Peranda (Mayhem) Bahagian 2

Markas Utama Cawangan Masonik di Paris, 3 tahun sebelum insiden di Kediaman Rasmi Perdana Menteri Malaysia...

“Tahniah anak muda di atas pencapaianmu.” ucap Shameer kepada Rabinn sebaik sahaja mendekatinya. Rabinn yang begitu segak memakai pakaian rasmi Masonik dalam upacara perlantikan Grandmaster yang baharu membalas ucapan tersebut dengan senyuman.

“Ah, terlupa pula aku mahu mengenalkan diriku. Aku ialah Shameer. Grandmaster Zohann Shameer.” maklum Shameer memperkenalkan diri.

“Ya, saya kenal akan tuan Shameer. Tuan adalah antara Grandmaster paling senior di dalam pertubuhan kita ini. Tuan berjaya menguasai Dewa Adramelech dan kini memiliki perisai api paling kebal.” balas Rabinn dengan sulaman pujian. Shameer ketawa. Suka benar beliau dipuji-puji sebegitu rupa.

“Kau pun apa kurangnya, anak muda. Dalam usia semuda begini kau telah berjaya menguasai roh Dewa Pemusnah Abaddon. Dengan pencapaian tersebut sememangnya kau layak dianugerahi dengan pangkat Grandmaster.” Shameer membalas pujian pula.

“Haha! Janganlah terlalu memandang tinggi kepada saya, tuan Shameer. Masih ada banyak lagi yang perlu saya perbaiki untuk mengawal dengan sempurna Dewa Pemusnah Abaddon itu.” balas Rabinn merendah diri.

“Itu sememangnya benar. Kau mesti terus berlatih dan memperkuatkan tubuhnya serta rohaniahmu dengan ilmu Kabbalah. Semakin kuat tubuh dan rohmu, maka semakin kuat dan sempurna roh Abaddon dalam tubuhmu.” nasihat Shameer sambil menepuk-nepuk bahu kanan Rabinn. Beliau kini berasa senang hati kerana mendapat tugasan bersama dengan anak muda tersebut.

*************************************

Perkarangan Kediaman Rasmi Perdana Menteri. Sekarang...

Sebaik sahaja Enbi, Nazrul, Terawez, Remy dan Nicol tiba di perkarangan Kediaman Rasmi Perdana Menteri, mereka terkaku melihat permandangan di hadapan mereka. Kelihatan berpuluh-puluh komponen besi pelbagai saiz bertaburan di merata tempat. Kebanyakannya masih terbakar dengan marak. Lantai marmar yang melimpahi perkarangan bangunan tersebut juga telah rosak dengan teruk dan dicemari dengan puluhan lubang-lubang yang agak besar. Terdapat juga puluhan mayat bergelimpangan di sana-sini. Ada yang lengkap sempurna namun ada juga yang telah bercerai-berai tubuh mereka. Tidak kurang juga ada yang masih marak dijilat api dan ada juga yang telah rentung dan hangus luluh. Mana-mana yang hidup pula sedang mengerang dan merintih kesakitan.

“Ya Allah... apakah yang telah terjadi ni?” ujar Nazrul. Kemusykilan beliau tidak diberikan sebarang respons. Keadaan di hadapan mereka sekarang adalah jauh lebih dahsyat daripada kemusnahan yang pernah dilakukan oleh Remy dan Ganshamdass. Tiba-tiba mata Nicol terpandang ke arah seorang lelaki tua yang sedang terbaring tetapi masih mampu melambaikan tangannya kepada mereka.

“Enbi! Itu Datuk Seri Rathichandran. Beliau adalah pegawai tinggi dalam SPMB. Selalu keluar mukanya dalam berita teleholo.” maklum Nicol sambil mencuit lengan majikannya. Tanpa banyak bicara mereka kesemuanya bergegas mendekati Datuk Seri Rathichandran. Beliau kelihatan termengah-mengah sambil memegang dada.

“Dia sakit jantung!” ujar Nazrul walaupun menyedari perkara tersebut juga dimaklumi oleh rakan-rakannya.

“Tak mengapa! Tak mengapa! Aku dah okey. Dia dah berikan aku dos ubat tadi.” ucap Datuk Seri Rathinathan dengan nada tercungap-cungap. Mata Enbi terarah pada sebatang tiub kecil tidak jauh daripada mereka.

“Dia? Siapa itu dia?” tanya Nazrul.

“Mayhem. Maharaja Mayhem. Jangan masuk. Jangan. Kamu semua pasti akan mati. Pasti mati.” ucap Datuk Seri Rathinathan dalam cungapnya. Air muka Remy berubah serta-merta menjadi pucat lesi.

“Enbi, kita mesti tinggalkan tempat ini dengan segera. Sekarang juga!” pinta Remy.

*************************************

Sementara itu di dalam Kediaman Rasmi Perdana Menteri...

“Bangsat kau, Mayhem! Goyyim laknat!” maki-hamun Shameer. Ternyata kematian Rabinn memberi kesan yang besar kepada emosinya. Zoei Bukhory hanya memerhatikan sahaja tindak-tanduk orang tua yang angkuh tersebut.

“Mengapa kau tak menyerangku? Mengapa kau masih duduk diam di kerusimu?” tanya Zoei. Shameer tergamam. Beliau tidak mampu menyembunyikan perasaan gelisahnya kini.

“Adramelech? Jin apa itu? Apakah kekuatan dan kuasanya? Kau hanya duduk di situ bagai seekor labah-labah di atas jaring perangkapnya. Tentu kuasa jin itu adalah kuasa pemusnah yang pasif.” taakul Zoei. Air muka Shameer berubah serta-merta. Nampaknya tekaan Maharaja Naga Petir itu adalah tepat sekali.

“Rabinn masih belum dapat menguasai kuasa Abaddon dengan sempurna. Sungguhpun begitu, kepantasan serangannya memang tiada tolok bandingan. Akan tetapi dengan begitu mudah Mayhem menampan penumbuknya dengan daya penanggapan yang begitu tepat sekali. Nampaknya kuasa petir si celaka ini termasuklah juga kelebihan pergerakan selaju cahaya. Pasti serangan Rabinn adalah nampak perlahan di matanya. Tapi bagaimana pula dengan kuasa pemusnah Abaddon yang gagal mengapa-apakannya walau sekelumit pun?” Nampaknya Shameer juga turut meneliti kelebihan dan kuasa yang ada pada Zoei Bukhory.

“Kau tak mahu memberitahuku? Baiklah, biar aku cari sendiri!” ujar Zoei Bukhory. Beliau kini menuju ke arah kepala Obelisk yang hancur remuk-redam tadi. Lengan kanannya memancar-mancar dengan kuasa elektrik. Zoei mencengkam kepala Obelisk tersebut dan mengangkatnya dengan begitu mudah sekali.

“Biar benar...” getus hati Shameer. Kepala Obelisk itu sekurang-kurangnya seberat tujuh tan. Mustahil bagi seseorang untuk mengangkatnya sungguhpun berkeupayaan luar biasa. Zoei Bukhory melemparkan kepala Obelisk tersebut ke arah Shameer. Lemparannya itu amat laju bagaikan peluru.

“Argh!” jerit Shameer ketakutan. Namun kepala Obelisk tersebut tidak berjaya menyentuhnya. Sebaliknya ia terapung-apung di udara dan dibakar dengan marak. Tidak sampai sepuluh saat kemudian kepala Obelisk tersebut lenyap dimamah oleh api yang amat marak dan panas tersebut.

“Dahsyatnya! Jadi inilah kuasa jin Adramelech. Memang kau ini bukan sebarang Grandmaster, Yahudi!” puji Zoei Bukhory. Beliau ketawa kemudiannya.

“Kuasa elektrik bervoltan tinggi turut menjanakan kuasa elektromagnetik. Patutlah si celaka ini mampu mengangkat dan membaling sebarang komponen besi dengan mudah. Beliau hanya perlu memanupulasikan kuasa elektromagnetik untuk menarik kepala Obelisk, mengecasnya dengan kuasa elektromagnetik dan kemudian menolaknya dengan kuasa elektromagnetik bagaikan kutub magnet yang serupa bila bertemu. Nampaknya si celaka ini bukanlah setakat kuat dan gila sahaja.” getus Shameer di dalam hatinya lagi. Zoei Bukhory kini telahpun berdiri di hadapannya. Namun jarak beliau masih di luar lingkungan perisai api Adramelech. Kini Zoei cuba menembusi perisai itu dengan kuasa elektrik yang dijanakan dengan tangan kanannya pula.

“Tiada gunanya. Api milik Dewa Adramelech akan menahan dan membaham apa sahaja. Kuasa petirmu juga tidak terkecuali.” ujar Shameer dengan sinis. Kata-katanya itu ternyata benar. Kuasa elektrik setinggi hampir setengah juta volt juga gagal menembusi perisai api tersebut. Namun Zoei Bukhory tidak kelihatan kecewa. Bahkan beliau masih tersenyum-senyum. Tindak-tanduknya itu membuatkan Shameer kembali menjadi gelisah.

“Mengapa kau masih tersenyum sedangkan kau tak mampu berbuat apa-apa, hah si celaka?” tanya Shameer dengan kasar. Lawannya itu tidak berkata apa-apa. Sebaliknya beliau terus-menerus memancarkan kuasa elektriknya ke arah perisai api tersebut. Lidah-lidah arus elektriknya itu kini menjalari hampir ke setiap inci lingkungan perisai api jin Adramelech. Namun kesemuanya dibaham oleh perisai api tersebut dengan begitu marak sekali.

“Aku suka makan ayam panggang.” Zoei Bukhory tiba-tiba bersuara. Kata-katanya itu membingungkan Shameer.

“Namun aku tidak suka makan yang dipanggang dengan api. Aku suka yang dimasak dalam ketuhar. Ayam panggang yang dimasak dalam ketuhar memang sedap kerana tidak bercampur dengan rasa arang.” ujar Zoei lagi. Namun kali ini air muka Shameer telah berubah menjadi pucat lesi. Beliau bingkas bangun dari tempat duduknya. Kuasa elektrik bervoltan tinggi milik Zoei kini telahpun menjalari segenap inci perisai api tersebut.

“Adramelech, bersurai dari dunia ini!” jerit Shameer. Namun kali ini lingkaran cahaya yang diaktifkan olehnya untuk menjemput Adramelech ke dunia sebelum ini tidak lenyap. Di sekeliling Shameer kini adalah perisai api jin Adramelech yang aktif membaham lidah-lidah elektrik milik Zoei Bukhory. Bahang kepanasan perisai api tersebut kini mulai menyapa di setiap inci tubuh tua si Yahudi itu.

“Adramelech! Bersurai dari dunia ini!” jerit Shameer sekuat-kuat hati. Beliau tidak menyangka pertahanan mutlak dan kebal miliknya itu kini menjadi perangkap maut buatnya.

“Tidak ada gunanya lagi, Yahudi. Jin Adramelech adalah berasal dari api. Beliau sedang seronok memakan kuasa Karamahku yang juga berasal dari api dan tak mungkin akan berhenti walau apa sekalipun. Jin selama-lamanya tidak akan menganggap manusia sebagai tuannya. Beliau hanya mempergunakan manusia sahaja demi untuk kepentingannya. Apabila tiada kepentingan, manusia itu akan ditinggalkan atau dibaham. Seperti kaulah sekarang ini, Yahudi!” ujar Zoei Bukhory.

Kata-kata lawannya itu ternyata benar. Adramelech tidak lagi mematuhi arahan Shameer. Bahang api perisai tersebut semakin meningkat suhunya. Kini nafas Shameer mulai tersesak. Pakaiannya mulai mengeronyot dan melekat di setiap inci kulit tuanya. Setiap rerambut di tubuhnya juga mengerinting dan terbakar. Daging di tubuhnya mulai berasap dan menggelegak. Kedua bola matanya turut mengembang dan kemudian meletup. Tiada apa yang mampu dilakukan oleh Shameer kini melainkan menjerit-jerit kesakitan. Setelah beberapa ketika kemudian akhirnya jeritan tersebut lenyap. Zoei Bukhory berhenti mengaktifkan kuasa Karamahnya. Perisai api Adramelech tersebut turut lenyap dan bulatan cahaya yang menjadi pintu masuk jin kuno tersebut akhirnya turut menghilang.

“Hm! Kalaulah Emissary Drakulon menjadi lawanmu kau juga pasti akan mati, Adramelech!” ujar Zoei Bukhory sambil tersenyum. Di hadapannya kini hanyalah mayat Shameer yang telah dipanggang hidup-hidup oleh jin peliharaannya sendiri. Mayat tersebut melekat di kerusi mewah yang kini hangus dan mencair. Begitu mudah Zoei mengetahui akan kelemahan perisai api kebal dan mutlak milik Shameer sungguhpun kali pertama melihatnya. Ternyata gelaran Maharaja Emissary sememangnya amat layak diberikan untuknya. Zoei Bukhory kini bergerak pula mendekati Dato’ Seri Khamal.

“Hoi lipas! Kini giliran kau pula untuk mati!” ujar Zoei dengan kasar.

“Tolong! Tolonglah saya! Saya tidak mahu mati! Jangan bunuh saya, tuanku! Berikan saya satu lagi peluang! Tolonglah!” teriak Dato’ Seri Khamal dalam esak tangisnya. Seluarnya turut menjadi basah dek ketakutan yang amat sangat.

“Kau sendiri yang mencari pasal, bodoh!” herdik Zoei Bukhory. Beliau tidak mempedulikan rayuan serta esak tangis Perdana Menteri Malaysia itu. Tangannya kanannya kini dihalakan ke arah Dato’ Seri Khamal untuk melepaskan kuasa petir mautnya.

“Zoei, berhentilah! Aku tak bersetuju dengan tindakanmu itu!” Tiba-tiba satu suara menegurnya di belakang. Zoei tersenyum. Perlahan-lahan beliau memusingkan tubuhnya. Di hadapannya kini tegak berdiri pendekar Eksekutif Tal Kushaini.

“Kau ini sememangnya tak berperikemanusiaan, Windblade. Sanggup menghantar anak buahmu dalam keadaan anginku sebegini. Baiklah, kali ini aku benar-benar akan mematahkan kakinya selepas menghapuskan lipas yang tak berguna ini!” ujar Zoei Bukhory dengan kasar.

“Aku ada sebab tersendiriku. Tapi ini tidak bermakna aku enggan bertemu denganmu. Kita bertemu di tempat lain, setuju? Tal Kushaini akan memberitahumu lokasinya. Sementara itu, aku berharap agar kau tidak lagi membunuh sesiapa walau si lipas bodoh itu. Boleh?” Rupa-rupanya suara Emissary Windblade dipancarkan dari alat komunikasi milik Tal Kushaini. Zoei Bukhory tersenyum. Kemudian ketawa.

“Baiklah. Aku bersetuju!” ujarnya. Kemudian beliau merenung tepat ke arah Dato’ Seri Khamal yang masih dalam ketakutan.

“Sekejap lagi kawan-kawanku akan datang untuk memohon sesuatu daripadamu. Pastikan permintaannya dipenuhi supaya aku tidak perlu datang lagi ke mari melawatmu.” maklum Zoei Bukhory dengan nada berbaur ancaman. Gaya percakapannya kini adalah kasar dan keras.

*************************************

Sementara itu di perkarangan Kediaman Perdana Menteri...

“Kamu semua ini bodohkah? Kita sepatutnya mengikut nasihat orang tua itu dan lari dari sini. Bukannya menyerbu masuk ke dalam!” teriak Remy dengan nada marah-marah. Namun beliau masih menapak mengikuti Enbi dan lain-lain ke sana.

“Dato’ Seri Khamal dalam bahaya. Beliau adalah pemimpin negara kita ini. Kita mesti membantu sebab kita adalah polis yang melindungi keselamatan rakyat Malaysia!” balas Enbi dengan tegas.

“Enbi! Kalian semua! Kamu faham tak dengan siapa kamu bakal berhadapan nanti? Kemusnahan di depan mata kita hanyalah sekelumit dari kuasa sebenarnya. Emissary Mayhem adalah Maharaja Emissary yang paling ditakuti hatta orang-orang di Organisasi sekalipun. Apa sahaja yang tidak berkenan di mata dan di hatinya pasti akan dibunuh dan dimusnahkan seperti sekarang. Kuasa, kekuatan dan kehandalan beliau adalah seribu kali ganda lebih dari kita semua, tahu tak?” herdik Remy lagi. Wajahnya benar-benar dihiasi dengan ketakutan serta kebimbangan. Enbi berhenti melangkah. Matanya tepat merenung ke mata Remy.

“Aku tahu, Remy! Aku bukannya bodoh! Tetapi inilah sumpah kita semua sebagai anggota MetroPolis iaitu menjaga keselamatan rakyat Malaysia. Kita mesti cuba menghalang Emissary Mayhem dari membunuh Dato’ Seri Khamal dengan cara apa sekalipun termasuklah dengan mempertaruhkan nyawa kita. MetroPolis ini bukanlah untuk merealisasikan impian seorang budak kecil. Ianya adalah perjuanganku dan untuk menyatakan pendirianku. Kau faham tak, Remy?” Jawapan Enbi membuatkan Remy bungkam. Beliau tidak sama sekali menyangka ketuanya itu berpendirian sedemikian rupa.

“Janganlah bimbang. Perdana Menteri kamu semua masih hidup dan selamat. Dia ada di dalam rumahnya itu. Pergilah berjumpa dengannya. Dia nampaknya ingin benar berjumpa dengan kalian.” Enbi dan rakan-rakannya terpaku. Di hadapan mereka kini tegak berdiri pendekar nombor satu dalam Organisasi bergelar Emissary Mayhem. Bersamanya adalah Tal Kushaini yang memiliki Karamah setaraf dengan pendekar Emissary. Kedua-dua mereka melakar senyuman. Tiba-tiba suatu bunyi desingan kedengaran.

“Terawez...” ucap Nicol. Terawez telahpun menghunuskan pedangnya dan bersedia untuk bertempur. Wajahnya terpamer perasaan ketakutan yang amat sangat.

“Tuan Mayhem...” ucap Remy seraya berteleku ke lantai. Wajahnya ditundukkan. Namun jelas terlihat tubuhnya yang menggeletar di mata mereka.

“Remy...” ucap Nazrul pula. Namun pandangannya segera mengarah kepada Enbi yang kelihatan bergegas mendekati Zoei Bukhory.

“Bang Ngah!” teriak Nazrul. Namun niatnya untuk menghalang itu telahpun terlewat. Enbi telahpun mendakap tubuh Zoei Bukhory dengan seerat-eratnya. Kesemua yang berada di situ tergamam. Seketika kemudian baharulah Enbi meleraikan pelukannya itu. Beliau berpaling mengadap ke arah rakan-rakan seperjuangannya. Air mata jelas bergenang di kedua matanya.

“Kalian semua! Inilah orang yang telah menyelamatkan nyawa Catherine tempohari! Dialah orangnya!” ujar Enbi dengan perasaan gembira dan teruja.

- Bersambung -

No comments: