Wednesday, December 15, 2010

MetroPolis 2 - Bab 17

MetroPolis Episod 2
Bab 17
Karamah


Beberapa hari kemudian…

Keadaan di Malaysia menjadi semakin gawat dengan peperangan di antara kumpulan-kumpulan gengster berlaku di sana-sini. Nyatalah keadaan semakin tidak terkawal sekarang. Ketika ini suatu pertempuran sengit sedang berlaku di antara Kumpulan Don dan Kumpulan Tai-Pan di Ampang, Kuala Lumpur. Mayat-mayat kedua pihak bergelimpangan di sana sini. Yang menyedihkan, beberapa orang yang tidak berdosa juga turut menjadi mangsa.

Sedang kedua-dua musuh ketat tersebut asyik bertempur, muncul tiba-tiba tiga buah pesawat udara berwarna serba hitam yang berukuran hampir 90 meter setiap sebuah. Kemunculan pesawat-pesawat udara tersebut hanya disedari tatkala ia berlegar-legar lebih kurang lima puluh meter dari paras bumi. Kedua-dua pihak serta-merta mengendurkan serangan mereka untuk mendongak ke atas.

“SPMBkah itu?” tanya salah seorang ahli Kumpulan Tai-Pan. Kedua-dua pihak meneliti pesawat-pesawat udara yang bentuknya amat asing bagi mereka. Enjinnya terlalu senyap dan hampir-hampir tidak kedengaran. Tiba-tiba salah seorang anggota Kumpulan Don ternampak lambang bintang berbucu segi lapan pada pesawat tersebut. Di dalam bentuk segi lapan tersebut tertulis perkataan jawi Alif Lam Lam Ha Alif Kaf Ba Ro.

“Itu pesawat udara daripada Organisasi!” teriaknya. Serentak dengan itu ketiga-tiga buah pesawat udara tersebut mula menembak secara bertubi-tubi ke arah kedua-dua belah pihak. Tembakan-tembakan tersebut bukanlah cahaya-cahaya plasma atau laser, sebaliknya seperti peluru-peluru mesingan. Serta-merta kawasan di sekeliling tempat tersebut hancur berkecai bersama-sama kedua-dua belah pihak Don dan Tai-Pan. Setelah lima saat menembak tanpa henti, akhirnya pesawat-pesawat udara tersebut menghentikan serangan. Apa yang tinggal hanyalah debu dan habuk yang tebal bersama runtuhan-runtuhan bangunan dan mayat-mayat yang berkecai-kecai. Amat dahsyat sekali keadaannya.

Tiba-tiba bahagian perut ketiga-tiga pesawat udara tersebut terbuka. Muncul berpuluh-puluh tentera Organisasi berpangkat Guardian turun perlahan-lahan seolah-olah mereka itu berpayung terjun. Namun sebenarnya but di kaki mereka adalah suatu peralatan yang amat canggih yang mampu mengatasi daya tarikan graviti. Pakaian seragam mereka yang berwarna hijau tua membuatkan mereka kelihatan amat segak dan gagah sekali. Bersama-sama mereka muncul seorang lelaki yang berpakaian seragam serba putih. Beliau tidak lain tidak bukan adalah Eksekutif Tal Kushaini, pembantu kanan kepada Emissary Windblade ataupun Maharaja Pemancung Angin.

“Mohon saudara-saudara untuk memeriksa di persekitaran kawasan ini. Bunuh mana-mana yang masih hidup.” arah Tal Kushaini dengan lembut dan tenang. Serta-merta askar-askar berpangkat Guardian yang mengiringinya bersurai dengan loncatan yang amat luar biasa. Ianya samalah seperti loncatan Remy atau Disco Inferno ketika menentang Algojo Tiga Elemen tidak lama dahulu. Tal Kushaini pula masih berdiri di situ. Mayat-mayat yang bergelimpangan disertai bau darah yang membuak-buak memang amat memualkan. Namun ianya biasa sahaja bagi pendekar berpangkat Eksekutif tersebut. Tal Kushaini memicit butang baju di kolarnya.

“Tuan Windblade. Operasi pembersihan telahpun bermula. Perancangan tuan agar kesemua kumpulan penjenayah menonjolkan diri telahpun berjaya. Dijangkakan hampir sembilan puluh lima peratus ahli kumpulan penjenayah dan sindiket yang selama ini berleluasa di Malaysia akan dihapuskan.” maklum Tal Kushaini. Ternyata butang di kolarnya itu adalah sebuah alat komunikasi canggih ciptaan Organisasi.

“Tal Kushaini, kau mesti elakkan daripada menyerang anggota-anggota polis yang sedang bertempur dengan kumpulan penjenayah ini. Lebih-lebih lagi MetroPolis.” Satu suara muncul membalas makluman Tal Kushaini tadi. Empunya suara tersebut tidak lain tidak bukan kepunyaan Emissary Windblade, salah seorang daripada empat pendekar kelas Emissary bertaraf Maharaja.

“MetroPolis?” ujar Tal Kushaini. Bibirnya mengorak senyuman.

“Aku mempunyai perancangan terhadap mereka. Aku tidak mahu mereka dicederakan oleh orang-orang kita.” maklum Windblade.

“Nampaknya seperti suatu lagi permainan tuan. Tuan Mayhem pasti akan marah nanti.” ujar Tal Kushaini dengan nada yang agak sinis. Windblade hanya tertawa dengan kata-kata orang kanannya itu.

**********************************************

Beberapa jam kemudian…

Berita tentang kemunculan ribuan pesawat udara milik Organisasi yang menyerang dan membunuh kumpulan gengster dan penjenayah giat ditayangkan dalam teleholo di setiap saluran. Pembunuhan beramai-ramai tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dan spekulasi orang ramai. Ada yang berasa sangat gembira kerana para penjenayah tersebut telah mendapat balasan yang setimpal. Ada pula yang berasa marah kerana kerosakan serta kemusnahan yang berlaku. Ada juga yang berasa amat takut melihatkan kekuatan serta tindakan yang sangat agresif daripada Organisasi. Apapun, keamanan dijangkakan akan dapat dikembalikan dengan serta-merta.

“Dahsyatnya Organisasi. Inilah kali pertama aku dapat melihat dan menilai kekuatan mereka. Tindakan yang mereka ambil sangat bersistematik dan efektif. Kesemua para penjenayah telah diserang dan dibunuh hampir serentak di serata negara. Akan tetapi cara mereka adalah amat ganas dan tidak berperikemanusiaan.” komen Enbi yang matanya masih tertancap di teleholo. Kesemua anggota MetroPolis yang lain turut berada di balai untuk menonton berita tersebut.

“Cara mereka itu dapat menimbulkan perasaan takut dan gerun kepada para penjenayah dan musuh-musuh. Untuk sepuluh tahun akan datang, pasti tiada siapa yang berani lagi melakukan keganasan dengan sewenang-wenangnya di negara ini.” maklum Remy.

“Oh, ya! Kau dulu adalah bekas tentera berpangkat Guardian, kan?” tanya Ghanshamdass. Remy tersengih seraya menganggukkan kepala.

“Remy seorang sahaja sudah begitu handal. Organisasi mempunyai puluhan ribu tentera berpangkat Guardian. Memang patutlah hampir kesemua kumpulan samseng di negara ini dapat dihapuskan.” ujar Red Wigwam. Catherine pula mengangguk. Sengihan Remy semakin melebar kerana dipuji sedemikian rupa.

“Saya tidak begitu faham tentang hierarki dan pangkat di dalam Organisasi.” ujar Terawez. Kesemua yang berada di dalam bilik teleholo menghalakan pandangan mereka ke arah Remy.

“Apa hal?” tanya Remy dengan nada kurang senang.

“Ceritakanlah kepada kami tentang hierarki pendekar dalam Organisasi.” pinta Enbi.

“Mana boleh! Ianya adalah rahsia. Aku telahpun bersumpah untuk menjaga rahsia Organisasi. Sungguhpun tidak lagi berkhidmat dengan mereka, aku tetap utuh dengan sumpah untuk menjaga kerahsiaan Organisasi.” bentak Remy.

“Hierarki pendekar dalam Organisasi bukanlah suatu rahsia, Remy. Musuh mereka iaitu Masonik juga mengetahui perkara ini.” tingkah Ren Fairuz. Kemudian menyedut kembali minuman kotak perasa tembikai susunya.

“Baiklah. Taraf pendekar dalam Organisasi terbahagi kepada empat kelas. Kelas terendah sekali adalah kelas tentera biasa. Namun mereka amat mahir dan berpengalaman dalam peperangan. Taraf di atas mereka adalah berkelas Guardian. Kami ini masih dianggap sebagai tentera. Kelas Guardian adalah jauh lebih handal daripada tentera biasa. Ada sesetengah daripada mereka mencapai tahap Karamah, namun ianya jenis Karamah yang kecil dan biasa sahaja. Aku sehingga sekarang tidak memiliki sebarang Karamah.” perjelas Remy. Yang lain-lain mendengar penerangannya dengan penuh minat.

“Taraf kedua tertinggi adalah Eksekutif. Mereka ini sangat handal dan dengan itu layak digelar sebagai pendekar. Tahap Karamah mereka juga adalah sangat tinggi. Mereka mampu berjalan di atas air, menundukkan binatng buas dan berkomunikasi dengan orang yang beribu-ribu batu jauhnya daripada mereka dengan kuasa telepati.” perjelas Remy lagi.

“Wah, hebatnya! Tentu sangat sukar untuk mencapai tahap Eksekutif.” komen Enbi. Remy mengangguk.

“Er, Remy. Karamah itu apa dia?” tanya Nazrul yang dari tadi nampak keliru. Remy ketawa besar.

“Itulah akibatnya terlalu jahil dalam Islam. Tak berguna kalau kau setakat pandai dalam ilmu duniawi sahaja.” tempelak Remy setelah menghabiskan ekor tawanya. Kemudian beliau berpaling pula ke arah Enbi.

“Kau pun tidak tahu, bos?” tempelak Remy terhadap Enbi seraya menyambung lagi tawanya. Muka Enbi dan Nazrul mencuka sehabisnya.

“Karamah adalah keistimewaan luar biasa yang dikurniakan oleh Allah terhadap hambaNya. Biasanya tahap ini dicapai apabila seseorang Muslim itu benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah.” perjelas Remy dengan seringkasnya.

“Bertaqwa?” tanya Nazrul. Remy menggelengkan kepala. Diikuti oleh Ren Fairuz.

“Maksud taqwa ialah tunduk dan patuh kepada perintah Allah serta larangannya tanpa sebarang keraguan dan bantahan.” Remy menerangkan makna tersebut dalam bentuk yang paling ringkas dan mudah difahami.

“Oh! Seperti kuasa luar biasa para nabi dan rasul.” telah Enbi.

“Para nabi dan rasul dikurniakan dengan Mukjizat. Kita manusia biasa ini hanya mendapat Karamah. Namun keistimewaan luar biasa yang dikurniakan oleh Allah melalui Mukjizat dan Karamah tersebut tampak hampir sama.” balas Remy.

“Seperti ilmu sihir?” tanya Red Wigwam. Remy menggelengkan kepala.

“Ilmu sihir adalah kuasa luar biasa yang dibantu oleh unsur-unsur jahat seperti iblis, syaitan dan jin. Kuasanya adalah terhad dan terbatas. Pada ketika rasul Allah Raja Sulaiman mengkehendaki singgahsana diambil dari istana Ratu Balqis dan diletakkan di istana baginda, jin Ifrit yang merupakan jin paling hebat dan handal menawarkan dirinya. Jin Ifrit mendakwa beliau mampu mengambil singgahsana Ratu Balqis yang terletak teramat jauh untuk diletakkan di hadapan Raja Sulaiman sebelum sempat baginda bangun daripada tempat duduknya. Datang pula seorang yang alim dan warak menawarkan dirinya untuk membuat perkara yang sama. Tatkala Raja Sulaiman mengejipkan matanya, singgahsana Ratu Balqis telahpun dibawa di hadapannya oleh manusia yang alim tersebut dengan Karamah yang dikurniakan kepadanya. Sungguhpun jin Ifrit telah hidup beribu tahun, namun kuasanya tidak setaraf langsung dengan manusia warak tersebut.” perjelas Remy dengan panjang lebar. Kesemua yang berada di situ begitu asyik mendengar penerangannya.

“Begitulah hebatnya Karamah ini. Bagi pendekar Emissary, Karamah yang mereka punyai adalah tersangat tinggi sehinggakan mereka mampu mengeksploitasi empat unsur utama dalam dunia ini iaitu tanah, air, api dan angin. Dengan kuasa sebegini hebat, seseorang pendekar bertaraf Emissary mampu melakukan kemusnahan secara besar-besaran di dunia ini. Jangankan manusia, jin serta syaitan juga berasa takut kepada mereka. Antara Pendekar Emissary yang amat digeruni ialah Emissary Drakulon yang mampu menghanguskan musuh-musuh dengan Karamah apinya dan Emissary Mayhem yang mampu menggunakan kuasa petir untuk memusnahkan apa sahaja. Kedua-dua mereka dikurniakan Karamah menguasai elemen api.” terang Remy lagi. Timbul perasaan bangga bila menceritakan kehebatan ahli pertubuhan yang pernah disertainya dahulu.

“Heh! Kau tak mendapat kuasa Karamah sebab suka buat maksiat, kan Remy?” tiba-tiba Nazrul mencelah. Kemudian ketawa berdekah-dekah.

“Kau ini memang celaka, Nazrul!” jerkah Remy seraya menendang bangku yang diduduki oleh Nazrul. Ahli-ahli yang lain turut tertawa melihatkan telatah mereka berdua.

“Oh, ya. Kau kenal tak dengan pemerintah kita, Emissary Windblade atau lebih dikenali sebagai Maharaja Pemancung Angin?” tanya Enbi tiba-tiba.

“Ya, aku kenal.” jawab Remy.

“Ceh! Aku mahu mencercanya bila bertemu dengannya kelak. Beliau nampaknya hanya bertumpu kepada jajahan yang lain seperti Thailand, Indonesia, Berunai dan Kalimantan. Negara Malaysia langsung tidak diendahkannya.” nista Enbi dengan perasaan geram.

“Memang betul kata-kata Enbi itu. Kita langsung tidak dipedulikan oleh Windblade. Saya dengar beliau lebih suka bermain daripada memerintah.” sokong Ren Fairuz pula. Kesemua yang berada di situ terdiam seketika.

“Itulah sebabnya mengapa awak keluar daripada Organisasi, kan Remy?” Tiba-tiba Ren menghunjamkan pertanyaan pula terhadap Remy. Remy bungkam seketika. Matanya merenung tajam ke arah Ren. Kemudian beliau perlahan-lahan bangun lalu melangkah keluar daripada bilik. Ternyata Remy enggan menjawab persoalan tersebut.


- Bersambung -

2 comments:

Imran nyambek said...

hebat lu menulis

reza said...

salam...bro shu...kapan lagi mau di sambung cerita nya...waduhhh kangen banget deh...