Thursday, September 30, 2010

MetroPolis 2 - Bab 11

MetroPolis Episod 2
Bab 11
Raksasa

Seminggu kemudian…

“Hah! Itu dia balai MetroPolis!” ujar salah seorang dari penumpang sebuah van. Orang-orang yang berada di dalam van tersebut kesemuanya lengkap bersenjata berserta dengan niat buruk. Pemandu van tersebut segera memberhentikan vannya di perkarangan balai MetroPolis. Begitu juga dengan tiga buah kereta yang mengekori van tersebut. Seramai hampir dua puluh orang lelaki turun dari kenderaan-kenderaan tersebut dengan senjata api masing-masing tergenggam erat di tangan.

“Hoi MetroPolis! Hari kematian kamu semua sudah sampai!” jerit salah seorang dari kumpulan bersenjata tersebut. Tak lama kemudian muncul Terawez yang memakai apron dan serkup kepala sedang menyapu lantai balai. Beliau sedikitpun tidak mempedulikan kumpulan bersenjata tersebut.

“Celaka!” maki lelaki yang memekik-mekik tadi. Ternyata beliau berasa tersinggung dengan sikap endah tak endah Terawez. Beliau mengacukan pelancar roketnya ke arah Terawez dan terus memetik picu. Peluru roket tersebut bergerak pantas menuju ke sasaran. Ke arah kepala Terawez.

“Tang!” Dengan secepat kilat Terawez menepis peluru roket tersebut dengan batang penyapunya. Sasaran peluru tersebut mencapah keluar dari balai dan meledak dengan hebat tidak jauh dari kumpulan penjahat tersebut. Beberapa orang daripada mereka lari lintang pukang untuk melindungi diri. Lelaki yang menembak tadi turut meniarap kerana panik. Apabila keadaan kembali menjadi agak reda, lelaki tersebut bangun perlahan-lahan dengan kedua matanya masih mengawasi Terawez. Hatinya mula berasa gentar dan keyakinannya mulai goyah. Terawez tetap tegak berdiri di tempat tadi. Beliau hanya memerhatikan telatah mereka semua dengan senyuman sinis.

“Jahanam!” carut lelaki tersebut dengan perasaan bengang dan malu. Namun tiba-tiba matanya terarah pula ke arah seorang lelaki yang sedang memegang sebuah tong sampah berbentuk silinder yang agak panjang muncul berdiri di sebelah Terawez. Lelaki tersebut adalah Remy, bekas anggota tentera Organisasi berpangkat Guardian.

“Giliran kami pula, bangsat!” maki Remy seraya menghalakan tong sampah silinder ke arah kumpulan penjahat tadi. Serta-merta tong sampah tersebut meledak serta memuntahkan letusan-letusan bunga api ke arah para penjahat tersebut. Apabila mengenai sahaja sasaran, ianya meletus menjadi bebola api yang sangat besar dan marak. Kesemua para penjahat tadi dibakar hidup-hidup oleh senjata ciptaan Remy. Kenderaan mereka turut musnah dan meletup. Remy pula tertawa terbahak-bahak melihatkan senario tersebut. Ternyata kumpulan penjahat tersebut telah tersilap memilih lawan mereka kali ini.

“Ah! Masih ada yang hidup lagi!” ujar Remy. Nadanya agak gembira benar. Beliau mencapai sebuah senjata api berbentuk mesingan dan melompat keluar dari balai MetroPolis. Kemudian Remy mula menembak mana-mana yang masih bergerak atau menguit lagi. Bergerutup bunyi mesingan tersebut memamah tubuh mangsa di selang-seli dengan jeritan mereka. Akhirnya kesemua penjahat yang ingin menyerang MetroPolis tadi mati dalam keadaan yang mengerikan. Dalam sekelip mata Remy berjaya mencipta neraka dunia di hadapan balai MetroPolis.

“Kau ini sudah melampau Remy! Mereka sudah tak berdaya untuk membalas lagi. Mengapa kau harus menembak mereka macam binatang pula?’ jerkah Nazrul yang baharu muncul daripada belakang balai. Sekonyong-konyongnya muncul pula Enbi, Catherine dan Ghanshamdass.

“Sebaik sahaja mereka datang ke sini dengan senjata api yang erat di tangan, mereka memang telah bersedia untuk mati. Kalau situasi kita pula di tempat mereka sekarang, mereka pasti tak akan berbelas terhadap kita, tau?” balas Remy. Nazrul terkedu. Enbi memandang ke arah Dass. Dass menganggukkan kepala.

“Kau juga bersetuju dengannya Dass?” tanya Nazrul yang ternampak anggukan Dass tadi. Beliau berasa agak kecewa.

“Tak guna biarkan mereka hidup. Mereka ini adalah samseng kelas bawahan yang biasanya tak bermaruah. Kalau mereka terselamat, nescaya pasti akan ada orang tertentu yang mempergunakan mereka untuk mendakwa kita di mahkamah. Masa dan wang MetroPolis pasti akan terbazir.” perjelas Dass. Mendengarkan perkataan ‘wang’, Enbi dengan laju mengangguk menyetujui kata-kata Dass. Catherine yang berasa geram dengan prinsip Enbi tersebut spontan mencubit rusuk kiri sahabatnya itu sehingga Enbi mengaduh.

“Lagipun tindak-tanduk ganas Remy telah mencipta ketakutan dan rasa hormat terhadap MetroPolis. Selepas ini tiada penjahat yang berani lagi membuat kacau di tempat kita.” ujar Dass seraya mendongak ke arah langit. Anggota MetroPolis yang lain mendongakkan kepala. Di atas mereka kelihatan sebuah helipad dengan logo syarikat penyiaran Arus Media Berhad sedang berlegar-legar di situ sambil merakamkan setiap aksi dan kejadian yang berlaku tadi dan sekarang.

“Malulah kau sedang memegang sebuah kalkulator sebagai senjata, Nazrul!” ujar Remy seraya tertawa.

“Aku sedang menguruskan pelarasan gaji kamu semualah, bodoh!” bentak Nazrul seraya melemparkan kalkulator tersebut ke arah Remy. Remy tidak sempat mengelak dan ia mengenai kepalanya.

“Bangsat! Kau mahu matikah?” bentak Remy pula seraya mengacukan mesingannya ke arah Nazrul.

“Woi! Kau dah gilakah?” jerkah Enbi. Tahu-tahu sahaja Terawez telah menghentak lengan kanan Remy sehingga mesingan tersebut terlepas dari tangan manakala Dass pula menyerbu ke arah Remy dan mengunci pergerakannya.

“Lepaskan aku, sialan!” jerit Remy dengan marah.

*****************************************

Dua jam kemudian…

“Wah! Mereka bergaduh pula!” komen Inspektor Razmel. Peristiwa pertempuran dahsyat di MetroPolis tersebut kini telahpun terpampang di teleholo melalui saluran berita utama. Namun tiada siapa dalam balai Ibu Pejabat Daerah SPMB Kerian tersebut yang ketawa. Ternyata kemusnahan dan pembunuhan beramai-ramai angkara Remy seorang sahaja telah menyelinapkan perasaan takut dan bimbang di hati setiap anggota dan pegawai SPMB.

“MetroPolis sekarang sangat hebat. Seorang anggotanya sahaja dengan mudah membunuh lebih kurang dua puluh penjahat yang lengkap bersenjata. Beliau macam seekor haiwan pemangsa yang buas.” komen lans koporal Chuah pula.

“Bukan haiwan pemangsa yang buas. Beliau adalah raksasa.” balas ASP Muttaleeb.

***************************************

Pada masa yang sama di markas Kumpulan Neon Melambai…

“Erika! Kau dah lihat berita teleholo tadi? MetroPolis yang lemah kini menjadi sangat hebat. Jahanam!” Erika dapat mengagak empunya suara yang menelefonnya adalah Monsoon daripada kumpulan Terendak Biru.

“Ya, aku sedang melihat berita tersebut ditunjukkan lagi sekarang. Nampaknya MetroPolis mempunyai raksasa dalam skuadnya. Mungkin lebih daripada seorang.” komen Erika. Nampaknya sesuatu sedang bermain di fikirannya mengenai berita tersebut.

**************************************

Pada masa yang sama di markas Kumpulan Don…

“Wah… hebatnya.” puji Donald yang sedang menatap teleholo bersama orang-orang kuatnya.

“Mana Enbi mendapat individu-individu yang hebat itu untuk menyertainya? Kalau tak salah, saya ternampak penuntut tunggal daripada Dojo Pedang Mangkubumi yang meruntuhkan reputasi tidak terkalah Sekolah Pedang Angkasa bersama mereka dalam teleholo tadi. Malah si ‘Pembunuh Satu Peluru’ Ghanshamdass juga telah menyertai MetroPolis.” komen Duali dengan nada musykil. Daryll atau algojo ‘Serigala Angin’ juga kelihatan agak teruja melihatkan senario dahsyat tersebut yang masih diulang tayang di teleholo.

“Mungkin Tuhan dan dewa merahmati perjuangannya. Jadi Enbi dikurniakan dengan beberapa raksasa untuk merealisasikan hasratnya dan menggegarkan dunia.” komen Donald pula.

****************************************

Pada masa yang sama di markas Geng Chanderan.

Sebaik sahaja kabus di serata bilik utama markas mulai menipis, ternampaklah sesosok tubuh yang menggiurkan berdiri dengan penuh keyakinan. Beliau adalah Nicol Hanany yang kini memakai cat-suit dengan agenda tersendiri. Nicol meneliti beberapa orang lelaki dan wanita yang pengsan atau terbaring lumpuh di atas lantai. Seorang lelaki yang amat bengis rupanya sedang menghunjamkan pandangan ke arah Nicol. Beliau adalah Chanderan yang merupakan ketua Geng Chanderan tersebut.

“K.. Kau.. ini.. siapa?” tanya Chanderan dengan nada jerih payah. Kabus yang tiba-tiba menyelubungi ruang markasnya tadi ternyata melumpuhkan kesemua anggota kumpulannya. Seluruh tubuhnya terasa sengal-sengal dan amat lemah. Nicol Hanany tidak menjawab. Sebaliknya beliau yang masih memakai topeng pelindung segera menuju ke arah peti simpanan kebal milik Geng Chanderan dan mula menggodamnya. Tidak sampai beberapa saat kemudian peti simpanan kebal itu berjaya dibuka.

“M.. mustahil…” ujar Chanderan dengan amat terperanjat. Kabus yang melumpuhkan Geng Chanderan akhirnya sama-sekali menghilang. Nicol baharu berani membuka topengnya. Chanderan sekali lagi terkejut. Kali ini kerana melihatkan kejelitaan Nicol. Nicol yang tidak mempedulikan lelaki tersebut terus mengaut berikat-ikat wang, syiling-syiling emas dan barang-barang kemas dan disimpan di dalam karung kulit yang dibawa bersamanya. Setelah agak puas hati dengan ‘kutipannya’, baharulah Nicol mengusung karung tersebut dan melangkah pergi.

“Tunggu!” teriak Chanderan dengan payah. Nicol berhenti. Beliau berpaling ke arah Chanderan.

“Kau ini jenis penjenayah… yang bodoh.” ujar Chanderan.

“Mengapa pula?” tanya Nicol.

“Sepatutnya kau… bunuh sahaja kami semua. Tapi kau… tak sampai hati. Aku… sudah mengecam wajahmu. Aku pasti… akan mencari kau. Kau pasti… akan nahas. Aku… akan merogolmu… menyiksamu… meliwatmu… dan membunuhmu. Bagaimana… wahai gadis jelita? Suka tak?” ujar Chanderan seraya tertawa. Nicol hanya tersenyum dan kemudian meneruskan perbuatannya tadi.

Apabila beliau telahpun keluar daripada bangunan tinggal lima tingkat tersebut, Nicol dengan cermat menyimpan harta rampasannya di bonet kereta mewah beliau. Beliau melemparkan sekilas pandangan ke arah markas Geng Chanderan yang terkenal dengan aktiviti samun dan pecah rumah mereka. Kemudian gadis jelita tersebut masuk ke dalam keretanya yang terletak lebih kurang seratus meter dari bangunan tersebut. Sebaik sahaja pintu kereta ditutup dan enjin dihidupkan, Nicol mencapai sebuah alat kawalan jarak jauh di atas dashboard keretanya. Beliau memicit butang berwarna merah dan serta-merta markas Geng Chanderan meledak dan runtuh menyembah bumi. Di kawasan terbiar sebegini, pasti tiada siapa yang peduli atau datang menghulurkan bantuan.

“Aku bukan gadis jelita. Aku ialah raksasa.” ujar Nicol. Beliau kemudiannya tersenyum.



- Bersambung -

Friday, September 17, 2010

MetroPolis 2 - Bab 10

MetroPolis Episod 2
Bab 10

Temuduga (bahagian akhir)

Keesokan harinya…

“Terawez, bangunlah. Jangan tidur lagi. Tak baik tidur selepas bangun waktu Subuh, tau?” Terawez membuka matanya perlahan-lahan. Perkataan daripada Ren Fairuz adalah antara dengar dan tidak. Beliau mahu bangun namun ditahan oleh Ren Fairuz.

“Jangan terus bangun. Nanti Terawez pening kepala.” Nasihat Ren. Terawez mengangguk. Ren duduk menemaninya sambil menyanyi-nyanyi riang. Setelah diamat-amati, ianya adalah salah satu tarannum untuk pembacaan Al-Quran. Sudah hampir sebulan Terawez menumpang teduh di masjid. Mujurlah Ren Fairuz tidak kisah. Namun imam muda tersebut memintanya untuk menolong serba-sedikit sebagai balasan menginap di bangunan jagaan Ren tersebut.

“Ustaz, siapa yang berbual-bual dengan ustaz semalam?” tanya Terawez secara tiba-tiba.

“Oh, orang muda semalam tu, ya?” tanya Ren Fairuz. Terawez menganggukkan kepala.

“Saya pun tak tahu.” ujar Ren seraya tertawa. Terawez tertawa juga namun ianya tidak ikhlas.

“Kenapa Terawez tanya?” tanya Ren pula.

“Saya dapat rasakan bahawa dia sangat hebat. Gerak-gerinya nampak lembut tetapi penuh dengan tenaga. Hela nafasnya juga tenang menunjukkan jantungnya amat kuat. Tentu dia seorang yang handal walaupun berjaya menyembunyikan aura pokok badannya secara mutlak.” jawab Terawez. Terbeliak mata Ren.

”Terawez tahu dia handal atau tak dengan memerhatikan dari jauh saja?” tanya Ren. Terawez mengangguk.

”Memang hebat awak ni, Terawez!” puji Ren seraya menepuk-nepuk dahi Terawez dengan gaya bergurau. Mereka berdua tertawa dengan senang hati.

****************************************

Pada masa yang sama.

“Kau buat apa di sini?” Gadis jelita di hadapan mereka tersenyum. Dihulurkannya pamplet yang tercetak tawaran bekerja dengan MetroPolis. Nazrul pula kelihatan tersipu-sipu.

“Hai Nazrul!” tegur gadis tersebut dengan mesra. Kedua pipi Nazrul semakin merah padam. Catherine memandang gadis tersebut dengan pandangan curiga. Manakala Dass dan Remy pula hanya memerhatikan tidak-tanduk gadis tersebut tanpa berkata apa-apa. Tiba-tiba Enbi menepuk meja dengan agak kuat.

“Nicol! Janganlah buang masa kami lagi. Di belakang pintu untuk kamu keluar. Sekarang silalah keluar!” ujar Enbi dengan agak keras. Ternyata gadis tersebut ialah Nicol Hanany, iaitu anak kepada pemilik Kumpulan Hamka. Kumpulan tersebut adalah merupakan musuh perniagaan Enbi Sdn. Bhd.

“Aku seriuslah Nizar! Aku datang kemari untuk bekerja denganmu. Aku mahu menjadi anggota MetroPolis. Ini dia sijil-sijil serta permit senjata apiku. Setiap tahun aku mengikuti latihan ketenteraan secara intensif. Aku sangat layak untuk menyertai MetroPolis.” ujar Nicol kepada Enbi sambil mengunjukkan dokumen-dokumen miliknya yang agak tebal.

“Aku tak peduli. Kau berambus sekarang! Bodoh betul si Hamka sebab menghantar anaknya sendiri untuk jadi pengintip Kumpulan Hamka.” cemuh Enbi. Nicol terdiam. Mukanya merah padam. Tiba-tiba gadis tersebut mencapai dokumen-dokumen milik beliau dan menghentakkannya ke kepala Enbi.

“Woi!!! Celaka kau!” jerkah Enbi seraya bangun dari kerusi empuknya. Mahu sahaja ditamparnya gadis yang biadap tersebut. Catherine turut bangun untuk menenangkan Enbi. Remy tertawa kecil.

“Cubalah bertenang! Aku dah agak kau akan emosional sebegini. Berilah aku masa berkata sesuatu dulu. Kau pasti tak akan menyesal.” ujar Nicol.

“Kau ada sepuluh saat sahaja. Lepas itu kau boleh berambus dan jangan berani tunjukkan mukamu lagi. Bermuda dari sekarang.’ ujar Enbi seraya merenung jam tangannya.

“Aku sanggup menanggung separuh gaji kesemua anggota MetroPolis dengamu kalau kau benarkan aku menyertai MetroPolis.” ujar Nicol seraya memeluk tubuhnya. Kemudian beliau tidak lagi berkata apa-apa. Beliau tidak lagi perlu berbuat demikian kerana Enbi tidak lagi merenung ke arah jam tangannya.

“Bagaimana?” tanya Nicol. Enbi kembali duduk.

“Apakah muslihat kau sebenarnya?” tanya Enbi. Tawaran Nicol terlalu menarik untuk diketepikan begitu sahaja.

“Tiada muslihat. Aku cuma bengang dengan bapaku. Beliau mahu aku berkahwin dan memegang teraju Kumpulan Hamka bersama bakal suamiku. Aku masih muda. Aku tak berminat.” jawab Nicol.

“Aku memang tahu bahawa kau akan dijodohkan dengan anak Tan Sri Muhammad Bakree. Perkahwinan kamu berdua pasti akan mengukuhkan kedudukan Kumpulan Hamka di dunia perniagaan korporat.” ujar Enbi.

“Malangnya aku tak mendapat untung apa-apa. Jadi aku tak berminat.” ujar Nicol. Nazrul nampaknya agak gembira dengan pernyataan tersebut.

“Minta maaflah. Tapi aku tetap tak mempercayaimu.” ujar Enbi. Nicol mengeluh kecil.

“Enbi, dengar sini. Aku tahu bahawa kau mempunyai masalah untuk mendapatkan pelabur bagi projek kau di London. Projek kau di Dubai pula telah terlewat setahun perlaksanannya dan dua pelabur telahpun menarik diri. Kau terpaksa menggunakan keseluruhan wang milikmu untuk kedua-dua projek tersebut. Ditambah pula dengan pengurusan MetroPolis. Dalam keadaan sekarang kau pasti akan menghadapi masalah mungkin tak sampai enam bulan lagi. Saudara-maramu yang menjadi lembaga pengarah di Enbi Sdn. Bhd. pula hanya menunggu masa untuk melihat kau tersungkur dan kemudian membaham syarikatmu.” Kata-kata Nicol membuatkan Enbi bungkam. Malah Catherine juga turut terperanjat.

“Mana awak tahu semua ini, Nicol?” tanya Nazrul. Nicol Hanany tersenyum.

“Saya siasat sendiri, Nazrul. Kumpulan Hamka langsung tidak tahu-menahu tentang hal ini. Jadi Enbi, macam mana? Kau perlu bertahan sekurang-kurangnya sepuluh bulan sebelum kedudukan kewanganmu kembali lega. Kalau aku menanggung separuh kos MetroPolis, kau tentu tiada masalah untuk bertahan lebih dari sepuluh bulan.” ujar Nicol. Enbi terdiam. Beliau nampaknya murung. Ternyata kata-kata Nicol tersebut adalah tepat mengena ke sasaran. Catherine yang baharu sahaja mengetahui akan perkara itu mulai nampak bimbang.

“Kalau kau masih ragu-ragu, aku telahpun menjual kesemua syerku dalam Kumpulan Hamka. Aku akan menggunakan wang dari jualan syer itu tersebut untuk dilaburkan ke dalam projekmu di Dubai atas kapasitiku sendiri dan bukannya Kumpulan Hamka. Bagaimana? Setuju? Anggaplah seperti membunuh dua ekor burung dengan sebiji batu. Kau dapat menghalang syarikatmu dari dibaham oleh saudara-maramu dan pada masa yang sama dapat menyakiti hati bapaku.” ujar Nicol lagi dengan panjang lebar. Enbi terdiam. Agak lama beliau termenung memikirkan tawaran tersebut. Nicol pula telahpun duduk dan menunggu jawapan Enbi dengan senyuman.

“Okey.” Akhirnya Enbi bersuara dengan perlahan.

*******************************************

Beberapa jam kemudian…

“Enbi, kenapa tak beritahu saya yang kedudukan kewangan Enbi sudah tergugat? Kalau saya tahu pasti saya dapat membantu.” leter Catherine. Beliau berasa amat tersinggung kerana sahabatnya itu enggan berkongsi kesusahan dengannya. Enbi hanya mendiamkan diri. Permintaan Catherine untuk menemaninya berjalan kaki pulang ke restoran rupa-rupanya adalah untuk meleterinya. Langkah mereka berdua amat lengah. Tidak jauh di belakang mereka, Dass mengekori untuk memastikan keselamatan majikan baharunya itu.

“Kalau Enbi tak mempercayai Nicol, kenapa tetap menerima tawarannya tadi?” tanya Catherine pula. Akhirnya Enbi memberhentikan langkah. Catherine turut berhenti. Dass juga menuruti perbuatan yang sama.

“Aku memerlukan seratus juta ringgit. Hanya Nicol yang dapat membantuku. Kau ada tak seratus juta ringgit Cat?” tanya Enbi. Tonasi suaranya lebih kepada menyindir. Catherine menyedari akan hal tersebut. Namun beliau cukup memahami perangai defensif sahabatnya ini bila berasa bersalah.

“Saya tak mempunyai seratus juta ringgit. Tapi saya mempunyai wang simpanan sebanyak lima ratus ribu lebih. Kalau Enbi kesempitan wang, bila-bila masa sahaja saya sanggup hulurkan bantuan. Walaupun hanya sedikit, tapi kalau dapat meringankan satu peratus daripada masalah Enbi pun saya dah cukup gembira.” balas Catherine. Enbi bungkam. Mereka pegun tidak berkata apa-apa. Tiba-tiba Enbi terus merangkul tubuh Catherine dan mendakapnya dengan erat.

“Maafkan aku, Cat. Maafkan aku…” ujar Enbi dengan perlahan. Catherine merangkulkan kedua tangannya di pinggang Enbi. Kepalanya disandarkan ke dada sahabatnya itu. Air matanya berlinangan.

*************************************

“Assalamu’alaikum.” Ren Fairuz agak terkejut dengan kedatangan Nazrul ke masjidnya. Terawez yang sedang mengalihkan pasu-pasu bunga terus memberhentikan pekerjaannya itu dan bergerak menuju ke arah Nazrul apabila digamit oleh pemuda tersebut.

“Alaikumsalam, Nazrul. Jemputlah masuk.” pelawa Ren. Nazrul bersegera menanggalkan sepatunya dan masuk ke dalam masjid. Huluran kedua tangan Ren dijabatnya dengan kemas.

“Sudah agak lama Nazrul dan Enbi tak kemari. Apa hajat nak bertemu dengan saya?” tanya Ren dengan sopan. Beliau berasa sangat gembira menerima kunjungan tetamu di masjid bawah jagaannya. Amat jarang sekali masjid beliau dikunjungi oleh orang.

“Ceh! Aku bukannya nak bertemu denganmu, Ren. Aku mahu bertemu dengan Terawez.” jawab Nazrul.

“Oh! Begitukah? Kalau begitu kamu berdua berbuallah dahulu. Saya nak sediakan teh.” balas Ren seraya bergerak ke arah dapur. Nazrul hanya memerhatikan Ren dengan perasaan tak puas hati. Sepatutnya Ren berasa segan dan bolehlah Nazrul menempelaknya habis-habisan. Namun nampaknya imam muda tersebut buat endah tak endah sahaja bila mengetahui bahawa Nazrul bukanlah mahu berurusan dengannya.

“Mengapa tuan mahu berjumpa dengan saya?” tanya Terawez dengan sopan. Nazrul tidak segera menjawab. Sebaliknya menghulurkan sekeping pamplet kepada Terawez.

“Encik Enbi mahukan khidmat awak di MetroPolis. Kami amat memerlukan orang yang handal seperti awak, Terawez!” jawab Nazrul.


- Bersambung -

Friday, September 3, 2010

MetroPolis 2 - Bab 9

MetroPolis Episod 2
Bab 9
Temuduga (Bahagian 3)


Di Bistro Gusmuk Girl, Buntong Ipoh

“Erika, aku Monsoon sengaja melewat-lewatkan pertemuan kita kerana mengesyaki bahawa di kalangan kita sudah ada pembelot. Pertempuran kita pada hari itu nampaknya telah diketahui oleh algojo kumpulan Don pada awal-awal lagi. Sialan!” Erika tersenyum mendengarkan kata-kata Monsoon itu. Nampaknya pemimpin kumpulan Terendak Biru ini bukanlah sembarangan orang.

“Aku pun berasakan begitu juga. Malah aku telah mengesyaki bebarapa orang anak buahku. Itu sebabnya aku meminta anak-anak buah kita tunggu di luar dan hanya kita berdua sahaja yang berbincang.” maklum Erika.

“Aku pun telah memgesyaki beberapa orangku juga. Celaka betul kalau ianya benar!” ujar Monsoon seraya menepuk-nepuk meja.

“Aku bercadang untuk memerangkap algojo bedebah itu dan menyerang balas kembali. Namun aku bimbang kalau-kalau rancangan kita dibongkar oleh pembelot dalam kumpulan kita. Buat masa ini janganlah kita menggunakan emel kita. Seeloknya kita berkomunikasi dengan cara tersembunyi.” ujar Erika dengan separuh berbisik.

“Siaaal… itu memang gagasan yang bagus! Apa cara yang kau cadangkan Erika?” tanya Monsoon.

“Aku telah membuka sebuah laman blog secara rahsia. Nama blog tersebut ialah erikamonsoon.blogring.com. Aku telah meninggalkan semua mesej rahsia kepada kau di situ. Jadi perancangan kita tak akan bocor kecualilah kau atau aku adalah pembelotnya.” maklum Erika. Terbeliak kedua mata Monsoon. Tiba-tiba beliau bingkas bangun.

“BANGSAT! Itu memang gagasan yang bernas!” ujar Monsoon dengan perasaan yang sangat teruja. Kemudian ketawa terbahak-bahak pula. Para pengunjung di bistro tersebut kini menumpukan perhatian mereka ke arah Monsoon dan Erika. Erika hanya mampu memekupkan mukanya tanda berasa aib yang amat sangat.

*****************************

Pada masa yang sama…

“Resume kau memang sangat bagus. Namun selama setahun kau menghilangkan diri. Apa sudah jadi pada masa itu?” tanya Enbi sambil membelek-belek resume Remy.

“Saya diambil oleh kerajaan sebuah negara untuk kerja-kerja pengintipan. Tetapi ianya adalah perkara yang amat sulit dan peribadi. Saya tak dapat nak memberitahu. Minta maaf.” jawab Remy yang kini menyamar sebagai Fayeed As-Salam. Setahun lalu beliau menyamar sebagai Disco Inferno dan menjadi konco Don. Enbi memandang ke arah Ghanshamdass. Anak buah terbaharunya juga memandang ke arahnya.

“Jangan-jangan kau bekerja untuk negara yang memusuhi Organisasi. Susahlah MetroPolis kalau begitu.” pertikai Enbi. Remy agak tergamam dengan kata-kata tersebut.

“Baiklah. Kalau tuan agak bimbang, saya sebenarnya bekerja dengan sekutu Organisasi pada masa itu. Tapi setakat itu sahaja yang saya boleh beritahu.” ujar Remy. Seketika kemudian komputer di hadapan Enbi berbunyi. Enbi membelek monitornya seketika.

“Nampaknya maklumat yang diberikan semuanya benar. Kau memang pernah mendapat latihan ketenteraan dan kini bekerja sebagai tentera upahan. Dass, ada apa-apa yang ingin kau suarakan?” tanya Enbi setelah melihat Ghanshamdass yang daripada tadi agak gelisah.

“Ya. Setahu saya askar upahan biasanya tidak setia. Bila-bila masa sahaja boleh membelot. Buat apa kamu bekerja dengan MetroPolis? Gaji yang ditawarkan amat sedikit bagi askar upahan yang berpengalaman sepertimu, kan?” tanya Ghanshamdass. Remy tertawa kecil.

“Memang saya dulunya begitu. Namun selepas suatu insiden saya mula berubah hati. Kesemua rakan-rakan saya terbunuh, Hanya saya seorang yang terselamat. Jadi saya terfikir bahawa mungkin Tuhan memberikan peluang kepada saya untuk membuat sesuatu yang baik sebelum saya mati. Itulah sebabnya saya menyertai sekutu Organisasi setahun yang lalu. Namun saya masih tidak berpuas hati selepas tamat kontrak. Saya dimaklumkan oleh ejen Organisasi tentang matlamat MetroPolis. Saya berasa sangat teruja dan sanggup datang ke mari demi untuk berkhidmat dengan tuan.” perjelas Remy dengan panjang lebar. Beliau berharap kelentongnya itu berhasil.

“Ceh! Macamlah kami nak percayakan cerita kamu itu!” bentak Enbi.

“Lebih baik kamu beritahu hal yang sebenarnya.” ujar Ghanshamdass memberikan amaran. Remy mengeluh pendek. Kemudian beliau cuba menyeluk sesuatu di koceknya. Dengan secepat kilat juga Ghanshamdass mengacukan pistol ke muka Remy. Namun Remy masih dengan selamba mengeluarkan sesuatu di koceknya. Ia adalah sekeping kad pengenalan yang agak pelik rupanya. Kad tersebut diberikan kepada Enbi. Mata Enbi dan Ghanshamdass terbeliak besar.

“Kau adalah tentera Oganisasi rupa-rupanya!” ujar Enbi dengan nada yang agak gugup. Namun beliau segera meyematkan kad Remy tersebut di alat pengimbas kad elektronik. Ghanshamdass pula perlahan-lahan menyimpan kembali pistolnya.

“Ya. Nama saya yang sebenar ialah Abdel Rahimy. Panggil saja saya Remy.” ujar Remy sambil menguntum senyuman. Seketika kemudian pengimbas kad elektronik tersebut berbunyi. Enbi segera merenung ke arah monitor komputernya.

“Kau memang adalah tentera Organisasi. Bertaraf Guardian pula tu! Akan tetapi khidmat kau telah ditamatkan kerana salah laku.” ujar Enbi yang membaca catatan profail Remy.

“Ya, sebab saya suka mencuri harta rampasan perang dan kesalahan maksiat dengan kekasih saya.” maklum Remy seraya tertawa. Sedikitpun tidak berasa malu dengan kesalahannya itu.

“Tak sangka aku akan berjumpa dengan orang-orang yang pelik dan istimewa.” ujar Enbi dengan perlahan. Beliau menyandarkan tubuhnya di kerusi empuk yang dihadiahkan oleh Catherine kepadanya. Remy terus ketawa.

“Bagaimana, tuan Enbi? Saya adalah sangat handal dan boleh diharap seperti anggota tuan itu juga.” ujar Remy sambil matanya menyorot ke arah Ghanshandass. Ghanshamdass berasa agak gementar sekarang. Inilah kali pertama beliau berhadapan seseorang yang setaraf dengannya daripada segi kemahiran bertempur. Malah Remy sedikitpun tidak takutkan ancaman pistolnya tadi. Ternyata lelaki di hadapannya ini juga telah biasa merenung ke arah mata kematian.

“Kami berdua sahaja sudah cukup untuk mengalahkan kumpulan Don dan Tai-Pan sekalipun mereka bergabung. Tuan Enbi pasti tak akan menyesal!” ujar Remy lagi dengan penuh keyakinan. Keangkuhannya itu memang agak keterlaluan tetapi ia membuatkan Enbi turut berasa teruja dan berkeyakinan.

“Fayeed… Remy, boleh tak kau keluar sekejap? Aku mahu berbincang sesuatu dengan Dass.” pinta Enbi. Remy tersenyum dan bingkas bangun.

“Nama kau ialah Dass, ya? Memang hebat hasil karya kau ini Dass.” ujar Remy yang merujuk pada darah yang memercik di merata balai. Kemudian beliau tertawa dengan senang hati.

“Macam mana Dass? Biasanya aku akan merujuk pada Chief atau Cat kalau berhadapan dengan orang macam dia itu. Tapi aku rasa kau pun layak untuk menilainya.” pinta Enbi. Ghanshamdass terdiam seketika.

“Saya tak tahu sama ada dia layak atau tidak. Tapi apa yang saya tahu ialah Remy atau Fayeed itu memang sangat handal. Pandangan matanya juga adalah sama seperti saya. Kami sama-sama biasa bergelumang dengan maut dan tidak gentar akannya.” maklum Ghanshamdass.

“Kau dan dia sebenarnya tak sama. Aku berasa hormat kepada kehandalanmu, Dass. Tapi dengan Remy ini; kehandalannya membuatkan aku berasa sangat gentar. Namun rasionalku mengatakan bahawa beliau memang patut bekerja dengan kita.” ujar Enbi.

“Orang seperti dia pasti mempunyai agenda tersendiri. Itu sebab beliau tak kisah menerima gaji yang kecil daripada tuan.” telah Ghanshamdass. Enbi terdiam seketika untuk memperhalusi kata-kata anggota baharunya itu.

“MetroPolis sekarang dianggap lemah dan menjadi sasaran ramai samseng yang ingin menempa nama. Kita perlukan orang-orang yang handal dengan segera untuk mengelakkan perkara ini. Kalau aku pun berasa takut kepadanya, apatah lagi orang lain.” Akhirnya Enbi bersuara setelah agak lama mendiamkan diri.

*****************************

Sementara itu Catherine pula sedang sibuk mengemaskan meja-meja di restorannya tatkala restoran tersebut dimasuki oleh enam orang lelaki yang tidak dikenali. Mereka semuanya nampak bengis dan angkuh sekali. Mereka ketawa sekuat-kuat hati dan duduk dengan gaya kasar. Beberapa orang pelanggan menjeling-jeling takut kepada keenam-enam lelaki tersebut. Catherine segera mendapatkan seorang pelanggan yang baharu sahaja selesai menjamah buburnya.

“Kesemuanya hanya lima ringgit sahaja.” maklum Catherine dengan sopan. Lelaki tersebut memakai jubah serba putih dan mempunyai wajah yang warak seperti Ren Fairuz juga. Cuma bezanya imam muda tersebut juga suka menumpang makan secara percuma seperti Enbi juga.

“Bubur nasi yang saya makan ini sangat sedap.” puji lelaki tersebut seraya menghulurkan wang pembayaran.

“Terima kasih.” jawab Catherine yang tersenyum bangga dipuji sedemikian.

“Oh, ya. Bolehkah cik memberitahu saya di mana letaknya masjid di sini?” tanya lelaki tersebut.

“Tuan ikut jalan ini dan bila tiba ke simpang tiga terus belok ke kanan. Teruskan perjalanan. Selepas melalui balai MetroPolis, tuan boleh nampak masjid tersebut.” maklum Catherine. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat. Rupa-rupanya seorang daripada lelaki yang datang berenam tadi menumbuk meja.

“Aku mahu tahu siapa pelayan di restoran ini yang menjadi barua MetroPolis. Aku mahu mencincangnya!” bentak lelaki tadi seraya mengacukan pisaunya ke arah David. Merah padam muka David menahan marahnya.

“David, jangan! Tunggu saudara semua. Marilah kita keluar dari restoran ini dan cuba selesaikannya dengan cara baik.” pujuk Catherine. Beliau perlahan-lahan datang merapati keenam-enam lelaki tersebut.

“Kau diamlah, betina!” herdik seorang yang lain pula. Dua daripada mereka ketawa sinis. Catherine mengulum kemarahannya. David cuba bertindak namun dengan segera Catherine menarik bahu abangnya untuk mundur.

“Marilah kita keluar dulu. Nanti saya akan beritahu siapa orangnya. Tolonglah jangan membuat kecoh di sini.” pinta Catherine dengan nada separuh merayu. Beliau seboleh-bolehnya enggan membabitkan para pelanggan lain dalam kejadian yang tak diingini.

“Kau tak faham bahasa ke, betina sial?” tengking seorang yang lain pula. Ternyata mereka semua mahu membuat kacau di restoran Catherine. Tiba-tiba lelaki yang berjubah tadi menyelinap di hadapan Catherine. Tindakannya adalah amat pantas sehinggakan gagal disedari oleh gadis tersebut mahupun David. Sedar-sedar beliau telahpun berada di hadapan Catherine seraya menekan dada salah seorang lelaki yang berada di hadapan sekali.

“FFFUPHH!” Tiba-tiba sahaja keenam-enam lelaki tersebut terhumban keluar daripada restoran seperti luncuran anak panah. Mereka terguling-guling di atas jalan dengan ganas sekali.

“Biarlah saya membalas budi baik cik kerana menunjukkan jalan ke masjid tadi.” ujar lelaki berjubah putih itu dengan lembut. Beliau terus melangkah keluar dari restoran dan menuju ke arah keenam-enam lelaki yang masih mengerang di atas jalan yang bertar itu. Catherine dan David terlopong besar melihatkan kehebatan lelaki berjubah tersebut.

“Celaka… Kau memang sudah jemu hidup agaknya!” ujar lelaki yang memegang pisau tadi. Rakan-rakannya juga telah bangun dan mengeluarkan senjata mereka. Lelaki berjubah tersebut terus melangkah ke arah mereka tanpa sebarang kegusaran.

“Hiah!” Keenam-enam lelaki yang membuat kacau tadi menyerbu ke arah lelaki berjubah tersebut. Lelaki berjubah tersebut terus melangkah ke hadapan sambil mengibas-ngibaskan tangannya seperti gaya tai-chi Catherine juga. Tubuh keenam-enam lelaki tersebut tiba-tiba berputar-putar tidak tentu arah bagaikan digulung oleh ombak yang ganas.

“KRAK-KRAk-KRAK!” Jelas kedengaran bunyi tulang-temulang kesemua lelaki pengacau patah-riuk. Disusuli kemudiannya dengan bunyi jeritan kesakitan mereka tatkala tubuh patah-riuk mereka terhempas ke bumi. Catherine dan David ternganga melihatkan perkara yang menakjubkan tersebut. Lelaki berjubah tadi hanya maju ke hadapan tanpa mempedulikan nasib para pengacau tadi. David tiba-tiba terus berlari mendapatkan lelaki berjubah tersebut.

“Tunggu! Tunggu!” teriak David. Lelaki tersebut akhirnya berhenti. Beliau berpaling memandang ke arah David.

“Ya?” tanyanya. Senyuman terlakar di bibirnya.

“Siapakah awak sebenarnya?” tanya David dengan nada yang agak gementar.

“Nama saya ialah Tal Kushaini. Saya ialah orang kanan kepada Maharaja Pemancung Angin.” jawab lelaki tersebut. Hampir-hampir sahaja mangkuk bubur nasi yang dipegang oleh Catherine terlepas dari tangannya.


- Bersambung -