MetroPolis Episod 2 - Bab 7
Temuduga (bahagian pertama)
Temuduga (bahagian pertama)
Beberapa hari kemudian…
“Beberapa pertempuran sindiket penjenayah di antara kumpulan Don dan Tai-Pan telahpun merebak ke seluruh Malaysia. Bagaimanapun pihak Syarikat Polis Malaysia Berhad atau SPMB telah berjaya mengekang dari terus merebak. Ketua Polis Negara Tan Sri Albaeen Otman percaya bahawa Malaysia akan kembali aman selewat-lewatnya pada minggu hadapan.”
“Aku tak pecaya Malaysia akan aman pada minggu hadapan.” komen Nazrul yang sedang asyik menonton siaran berita semasa di tele holo. Red Wigwam dan Catherine mengangguk. Kini mereka terpaksa menutup balai MetroPolis dan berlindung seketika di kondominium Enbi. Tadi Red Wigwam sempat mengemas di ruang tamu, dapur dan bilik air kondominium Enbi sehingga menjadi bersih dan sangat rapi. Ren Fairuz yang turut menyibuk sama sedang bersandar di sofa dengan tenang. Beliau berpuasa sunat pada hari ini. Jadi imam muda tersebut tidaklah begitu aktif atau mengambil air minuman kotak sewenang-wenangnya seperti selalu. Enbi yang duduk di sudut yang agak jauh daripada anak buahnya turut menonton berita tersebut. Rasa kecewa serta tidak puas hatinya masih membelenggu diri. Perasaan tersebut jelas terpapar di riak wajahnya.
“Sementara itu di Beijing, China kebakaran akibat pertempuran di antara pendekar Emissary Mayhem dan batalion di bawah pimpinan mendiang Jeneral Miao Xeng masih gagal dipadamkan oleh pasukan bomba sungguhpun telah masuk hari ke tigabelas. Emissary Mayhem sebelum ini dilaporkan telah datang berseorangan untuk menyerang batalion mendiang Jeneral Miao Xeng yang baharu beberapa jam sahaja menakluki Beijing daripada Organisasi setelah berperang selama hampir setahun. Keseluruhan batalion tersebut telah musnah dan hampir 97 peratus bilangan tentera dalam pasukan tersebut telah terkorban. Jeneral Miao Xeng juga turut terkorban dalam serangan tersebut. Organisasi berjaya menawan kembali Beijing tidak sampai sejam selepas ditakluki. Kerajaan China terpaksa menghantar wakil untuk mengadakan gencatan senjata dengan wakil Organisasi selewat-lewatnya minggu hadapan.” pemberita di teleholo kini beralih ke berita di luar negara pula.
“Dahsyat betul pendekar Emissary ini. Kan bagus kalau kita boleh mengupah salah seorang daripada mereka untuk menyertai MetroPolis?” komen Nazrul. Catherine tertawa. Enbi hanya tersenyum sumbing. Ren Fairuz pula tidak berkata apa-apa. Beliau hanya merenung teleholo dengan wajah yang agak muram.
“Kenapa dengan kau ni Ren? Dari tadi macam kucing nak beranak saja?” tegur Nazrul. Ren Fairuz cuma mampu tersenyum tawar.
“Tak ada apa-apa. Saya cuma teringatkan seorang kawan lama. Lama benar kami tak bertemu. Mungkin tak lama lagi dia akan datang melawat saya.” balas Ren.
“Ha! Tentu kawan perempuan. Betul tak?” usik Catherine dengan nada menduga.
“Gatal juga kau ni, ya Ren? Aku ingatkan kau cuma minatkan air kotak saja!” usik Nazrul. Ren tertawa bersama kawan-kawannya itu. Cuma Enbi sahaja yang masih menyugulkan diri.
****************************************
Dua hari kemudian…“Awak ada lesen atau permit senjata api?” tanya Enbi. Lelaki di hadapannya menggelengkan kepala.
“Kan syarat saya ialah perlu mempunyai lesen atau permit senjata api? Kalau tiada, buat apa buang masa datang untuk temuduga ini?” tanya Enbi lagi. Kali ini bernada berang.
“Saya ingat hanya mahu kerja-kerja pengkeranian saja. Saya tak mahu kerja-kerja luar. Saya cekap-” Lelaki tersebut bungkam apabila Enbi menghempaskan kedua penumbuknya di atas meja.
“Berambus…” ujar Enbi dengan perlahan. Namun sinar matanya begitu garang sekali menghunjam ke arah lelaki tersebut yang kini menggigil ketakutan. Dengan tergopoh-gapah beliau meninggalkan bilik temuduga tersebut. Sudah dua hari berlalu semenjak Enbi mengadakan temuduga bagi mendapatkan anggota baharu. Namun setakat ini yang datang hanyalah sekumpulan insan yang membuang masanya sahaja.
“Sabarlah abang ngah.” pujuk Nazrul. Beliau bertindak membantu Enbi untuk mengesahkan resume dan permit senjata api calon-calon yang hadir. Setakat ini semua permit yang dikemukakan adalah permit palsu.
“Ya, Enbi. Bawalah bertenang. Pasti ada di antara calon yang memohon nanti benar-benar mengikut kehendak kita.” pujuk Catherine pula. Beliau membantu Enbi untuk memeriksa dan menyaring senarai calon yang mendaftar untuk ditemuduga.
“Ya, Enbi. Janganlah berputus harap untuk mendapat rezeki daripada Allah.” nasihat Ren Fairuz pula. Beliau membantu untuk menghabiskan air minuman kotak di dalam peti sejuk balai.
“Semuanya setakat ini tak berguna. Semuanya bodoh! Bodoh! Bodoh!” maki Enbi dengan geram.
“Ah… saya ini dah salah masa datang.” suara garau di hadapan Enbi segera mematikan lamunannya. Enbi mengangkat kepala. Di hadapannya adalah seorang lelaki yang tegap lagi tampak hebat.
“Aaa.. Nama?” tanya Enbi.
“Ghanshamdass.” jawab lelaki tersebut seraya tersenyum. Namun penampilannya itu hanya membuatkan sesiapa sahaja berasa gelisah serta gentar.
**********************************************
Pada masa yang sama di kondominium Taman Babylon, Meru Heights.
“Benar-benarkah Cik Puan akan pergi menyertai temuduga tersebut?” Nicol Hanany tersenyum tatkala dipersoal oleh butlernya sendiri.
“Dah tak seronok rasanya mencuri barang-barang perhiasan orang kaya. Saya dah jemu menjadi orang jahat. Sekarang saya nak jadi polis pula. Tambahan pula MetroPolis tebabit dalam kancah pertempuran dengan kumpulan-kumpulan sindiket jenayah. Tentu makin seronok.” perjelas Nicol dengan panjang lebar. Beliau tidak perlu berbuat demikian. Namun beliau berasa begitu teruja sekali dengan panggilan temuduga terbuka oleh MetroPolis sungguhpun Enbi dan bapanya adalah musuh di dalam dunia perniagaan.
“Cik Puan mungkin akan tercedera nanti. Atau lebih buruk mungkin kehilangan nyawa.” ujar butlernya dengan nada yang masih memprotes. Nicol Hanany tertawa kecil.
“Enbi seorang multi-millionair pun sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk perkara menyeronokkan ini. Malulah keluarga saya jika hanya menonton di bangku selesa sahaja.” balas Nicol. Butler beliau yang menjaganya semenjak anak dara sunti cuma mampu menggelengkan kepala. Beliau tahu bahawa apabila gadis di hadapannya ini membuat keputusan bagi sesuatu, hampir mustahil untuk beliau mengubahnya.
******************************************
Di balai MetroPolis…“Permit senjata api kau adalah yang tulen. Malah kau juga memegang pangkat sebagai Inspektor di dalam SPMB. Kenapa kau sanggup meletakkan jawatan dan mahu bekerja di sini? Gaji di sini adalah kecil berbanding di sana. tau?” tanya Enbi dengan gaya menduga. Inspektor Ghanshamdass hanya tersenyum dengan pertanyaan bertubi-tubi tersebut.
“Di SPMB, kerja saya sudah tidak mencabar lagi. Saya selalu terhalang daripada melakukan kerja-kerja polis yang sebenar kerana terlalu banyak permainan politik di kalangan para pegawai seperti saya. Saya bukannya peduli sangat dengan pangkat, gaji dan nama. Saya cuma mahu memastikan bahawa tiada penjenayah yang berani bermaharajalela di negara kita ini seperti sekarang. Setiap hak rakyat di negara ini patut dilindungi oleh polis; bukannya segolongan orang kaya sahaja.” Perjelas Ghanshamdass dengan pajang lebar.
“Bagaimana dengan kemahiran menembak awak?” tanya Nazrul. Ghanshamdass tersenyum lagi.
“Bolehkah tuan aktifkan teleholo untuk membentuk imej tiga individu di dinding sana?” pinta Ghanshamdass seraya menunding ke arah dinding di sebelah kanannya.
“Baiklah! Teleholo, pancarkan imej Enbi, Nazrul dan Catherine di dinding sebelah kiriku.” arah Enbi kepada teleholonya. Teleholo tersebut baharu sahaja dipasang di balai polis. Mesin teleholo segera memancarkan imej penuh Enbi, Catherine dan Nazrul di dinding.
“Hah, sekarang bagaimana?” tanya Enbi. Ghanshamdass berpaling ke sisi kanannya untuk melihat imej-imej tersebut. Kemudian beliau kembali memandang ke arah Enbi. Bibirnya mengorak senyuman. Enbi juga tersenyum. Namun ianya terselit dengan perasaan hairan serta curiga.
“ZAP! ZAP! ZAP!” Begitu pantas sekali Ghanshamdass menghunuskan pistolnya dan menembak tiga kali ke arah dinding di sebelah kanannya. Namun matanya masih terpaku ke arah Enbi. Ghanshamdass kemudian perlahan-lahan menyimpan kembali pistol plasmanya di sarung.
“Inilah tahap kemahiran saya.” ujar Ghanshamdass dengan perlahan tetapi penuh dengan keyakinan. Enbi, Catherine, Nazrul, Red Wigwam dan Ren Fairuz menoleh ke arah imej-imej yang dipancarkan oleh teleholo tadi. Ketiga-tiga imej Enbi, Catherine dan Nazrul tepat ditembak bahagian mata sebelah kanan oleh Ghanshamdass. Kecuali beliau, kesemua yang berada di dalam bilik temuduga tersebut terlopong mulut.
“Jadi bila saya boleh mula bekerja?” tanya Ghanshamdass seraya tersenyum.
*************************************************
Di Bandaraya Las Piedras, Uruguay. Pada masa yang sama…“Tuan Presiden, pasukan pengintip yang dihantar oleh kita untuk memantau pergerakan Organisasi membawa suatu perkhabaran buruk.” maklum Jeneral Dante dengan kerut cemas. Presiden Maximiliano yang sedang bergurau dengan kedua orang cucunya serta-merta bangun. Beliau meminta diri untuk mengambil udara di luar rumahnya.
“Apakah berita buruk tersebut, Jeneral?” tanya Presiden Maximiliano dengan tenang.
“Petaka Dunia telahpun siap diasah oleh Wingblade. Mayhem mungkin akan ke Malaysia bila-bila masa sahaja. Lepas itu…” Jeneral Dante tidak sanggup menghabiskan kata-katanya.
“Maharaja Mayhem akan datang untuk menuntut kepalaku. Mungkin seluruh Bandaraya Las Piedras akan bermandi dengan darah dan api. Seperti Beijing.” sambung Presiden Maximiliano. Jeneral Dante mengangguk sugul.
“Hubungi wakil Organisasi. Aku mahukan perbincangan dengan wakil mereka sebelum Mayhem tiba.” arah Presiden Maximiliano.
- Bersambung -
No comments:
Post a Comment