“Kau pasang muzik kuat sangat!” tegurnya. Ternyata orang tua tersebut tidak berpuas hati dengan perbuatan Remy yang menguatkan radionya. Remy tersenyum dan mengangguk tanda berdamai. Orang tua tersebut merengus dan kembali terkedek-kedek ke apartmentnya.
********************************
Beberapa hari kemudian…
“Tok! Tok! Tok!” Pintu apartment Remy diketuk dengan agak kasar. Remy membuka pintu dan pak cik Azali sekali terpacul di muka pintunya.
“Kuat betul bunyi radio yang kau pasang!” tegurnya dengan agak kasar. Remy mengangguk dan segera memohon maaf. Pak cik Azali tidak membalas kemaafan tersebut. Beliau hanya merengus dan melangkah pergi. Remy pula hanya mampu tersenyum sambil menggelengkan kepala.
*********************************
Beberapa hari selepas itu…
“Tok! Tok! Tok!” Kali ini Trini, kekasih Remy pula yang menguakkan pintu.
“Cik, panggil tuan rumah ke sini. Dia pasang radio terlalu kuat. Perlahankan sikit!” tegur pak cik Azali dengan nada bengang.
“Mana ada kami pasang radio dengan kuat? Kami tak pasang radio pun. Kami tengah tidurlah! Pak cik gilakah?” bentak Trini kembali. Orang tua tersebut tergamam. Remy muncul tiba-tiba seolah-olah menyelinap daripada belakang Trini.
“Maafkan kami pak cik. Kami akan perlahankan bunyi radio.” pohonnya. Pak cik Azali merenung tajam sepasang kekasih tersebut sebelum merengus dan melangkah pergi. Trini berpaling memandang ke arah Remy pula.
“Kita tak pasang radio pun. Kenapa abang Remy meminta maaf pula?’ tanya Trini dengan nada kurang berpuas hati. Remy tersenyum, menutup pintu dan terus bergerak ke arah ruang tamu. Trini mengekorinya daripada belakang. Beliau duduk di atas sofa bersebelahan dengan Remy.
“Pak cik tu namanya Azali. Lima tahun yang lalu beliau kehilangan cucu dalam kemalangan jalanraya. Pak cik Azali telah memarahi cucunya kerana memasang radio terlalu kuat. Mereka berdua bertengkar. Cucu kesayangannya itu merajuk dan keluar daripada rumah sebentar. Namun selepas itu beliau terlibat dalam kemalangan dan terbunuh. Pak cik Azali sangat menyesal dan menjadi tak betul semenjak hari itu. Menurut anaknya, aku hampir mirip dengan cucunya yang sudah mati itu. Jadi beliau sebenarnya hanya datang untuk berjumpa denganku. Mungkin nak melepaskan kerinduannya.” perjelas Remy. Trini tidak berkata apa-apa selain memeluk kekasihnya dengan erat.
“Itu sebabnya Trini sangat sayangkan abang…” ujarnya dengan perlahan di dalam pelukan Remy.
Tamat
No comments:
Post a Comment