Friday, July 23, 2010

Sketsa : Balada Chin, si banduan

Ini adalah hari pertama Terawez berada di dalam Penjara Taiping, Perak. Beliau berasa kesal kerana mencederakan ramai pendekar di Sekolah Seni Wushu Langit Perkasa. Kini biarlah beliau menjalani hukuman di atas kesalahannya. Terawez redha. Namun beliau berasa agak gementar kerana para banduan di sini adalah ganas-ganas belaka. Beliau berharap agar mereka tidak mempedulikannya sepanjang beliau menjalani hukuman. Kini Terawez sedang mundar-mandir di kawasan tanah lapang di penjara tersebut

“Hei! Budak Baru! Kemari kamu!” Baharu sahaja Terawez berdoa dalam hati, tiba-tiba beliau telahpun dipanggil oleh salah seorang banduan di situ. Malang sungguh nasibnya. Dengan langkah yang berat Terawez bergerak menuju ke arah empunya suara tersebut. Beliau adalah seorang banduan yang sangat tegap dan berwajah bengis. Ada lebih kurang sepuluh orang banduan yang begis-bengis belaka mengerumuni beliau. Mungkin beliau adalah ketua bagi para banduan di sini.

“Kau siapa?” tanyanya dengan suara garau.

“Err… nama saya ialah Terawez.” jawabnya dengan jujur dan sopan/

“Ini ialah Mongkut. Beliau adalah ketua kami. Aku adalah Chin, timbalannya.” maklum seorang banduan berbangsa Cina pula. Nada suaranya begitu angkuh seolah-olah bangga dengan jawatan tak rasmi yang disandang olehnya itu.

“Kenapa kau di sini?” tanya Mongkut. Suara garaunya membuatkan Terawez semakin gementar.

“Saya dipenjarakan sebab mencederakan orang.” jawab Terawez. Para banduan di situ serta-merta tertawa berdekah-dekah.

“Muka lembik macam kau ini mencederakan orang? Siapa yang kau pukul? Orang perempuankah?” sindir Chin yang disusuli dengan tawa terbahak-bahak mereka lagi.

“Saya tak pernah mencederakan orang perempaun.” balas Terawez dengan jujur.

“Habis, berapa orang lelaki yang kamu cederakan sehingga masuk ke sini?” tanya Mongkut dengan senyuman sinis.

“Tak pasti. Lebih kurang empat puluh orang agaknya. Saya berlawan dengan adil sebab mereka semuanya pendekar dari Sekolah Seni Wushu Langit Perkasa. Tapi saya rasa menyesal juga.” jawab Terawez dengan jujur. Tiba-tiba para banduan di situ kesemuanya bungkam.

“K.. Kau… Kau yang keluar dalam berita hari tu?” tanya Mongkut dengan suara tersekat-sekat. Kini giliran beliau pula berasa gementar dengan pemuda di hadapannya ini. Terawez mengangguk.

“B.. Bohong! Kau jangan berani bohong, budak mentah!” jerkah Mongkut seraya menerkam ke arah Terawez.

Seminggu kemudian jawatan ketua para banduan yang disandang oleh Mongkut terpaksa diberikan kepada Terawez yang menewaskannya bersama dua puluh tujuh orang banduan lain. Mongkut terpaksa berpuas hati dengan jawatan timbalan ketua yang dirampas daripada Chin. Chin pula sehingga kini akan menangis setiap kali mengenangkan jawatan tidak rasminya itu yang telah dirampas.


Tamat

No comments: