Friday, July 23, 2010

Sketsa : "Baisikal"

“Kamu semua. Tengoklah apa yang aku tengah pegang ni.” Catherine, Nazrul, Red Wigwam dan Ren Fairuz tercengang melihatkan sebuah peralatan kuno yang dipegang oleh Enbi. Mereka kini berada di luar balai apabila dipanggil oleh Enbi tadi.

“Apa tu?” tanya Catherine. Enbi masih tersengih-sengih.

“Inilah peralatan pengangkutan yang dipanggil “Baisikal”. Kononnya moyang kita menggunakannya untuk begerak dari satu tempat ke tempat lain. Bukan sahaja tidak menggunakan bahan api, malah satu cara untuk menyihatkan tubuh badan. Bahan api tak perlu beli. Vitamin pun tak perlu beli juga.” perjelas Enbi dengan panjang lebar.

“Mulah perangai kedekutnya dah muncul!” perli Nazrul. Catherine dan Ren Fairuz tertawa. Red Wigwam masih meneliti dengan tekun “baisikal” tersebut.

“Apa kedekut pula? Ini barang antik yang mahal, tau? Bukan senang nak mencarinya.” tingkah Enbi.

“Mulalah mengumpul sampah lagi.” perli Catherine pula.

“Kau orang perempuan manalah tau impian kami kaum lelaki ni!” tingkah Enbi pula.

“Macam kurang selamatlah tuan!” ujar Red Wigwam tiba-tiba.

“Ceh! Senang saja aku lihat dalam filem tiga dimensi di pusat lelongan tadi. Tengok ni ha!” Enbi terus duduk di atas “Baisikal” dan mula mengayuhnya. Namun “Baisikal” yang hanya mempunyai dua roda nipis mula melelong kerana tidak diimbangi dengan baik.

“Enbi!” jerit Catherine. Namun sudah terlambat. Enbi tersungkur menyembah bumi bersama-sama “Baisikal” beliau. Catherine dan Nazrul segera mendapatkannya.

“Enbi okey?” tanya Catherine dengan nada kebimbangan. Enbi bangun perlahan-lahan.

“Kenderaan ini sangat merbahayalah! Kenapa moyang kita sanggup menggunakannya?” omel Enbi. Seketika kemudian mereka semua ketawa dengan insiden lucu tersebut.


Tamat

No comments: